You are on page 1of 8

HSF3013 - PERKEMBANGAN ISLAM DI ASIA BARAT

TUGASAN ARTIKEL

UMAR AL-KHATTAB: SEBELUM DAN SELEPAS


ISLAM
ABSTRAK
Artikel ini mengupas mengenai sejarah hidup Umar bin Al-Khattab pada zaman kanakkanaknya sehingga dewasanya yang mana meliputi peranannya dalam masyarakat jahiliah
iaitu sebelum beliau memeluk agama Islam dan selepas Islam. Personaliti atau keperibadian
Umar Al-Khattab juga dihuraikan dalam penulisan artikel ini iaitu lebih berfokus kepada
sebelum dan selepas beliau memeluk agama Islam. Selain itu, penulisan artikel ini juga
menfokuskan kepada peranan dan perwatakan Umar Al-Khattab dalam menangani masalah
ketika beliau masih pada zaman jahiliahnya yang menyembah berhala sehingga memasuki
Islam dan sebelum beliau menjadi khalifah pada zaman Khulafa Al-Rasyidin.

PENGENALAN
Dalam sejarah Islam, sesudah Nabi Muhammad s.a.w, nama yang sering disebut-sebut
dengan penuh kagum dan sekaligus dengan rasa hormat apabila dihubungkan dengan segala
yang diketahui orang tentang sifat-sifatnya dan bawaannya yang begitu agung adalah Umar
Al-Khattab. Umar Al-Khattab juga dikenali sebagai Umar Al-Farooq menjadi Khalifah kedua
Islam selama 10 tahun pada zaman Khulafa Al-Rasyidin. Kepimpinannya sebagai Amirul
Mukminin, sebagai pemimpin dan kepala pemerintahan, dan prestasi yang telah dicapainya
memang terasa unik. Umar Al-Khattab telah menghabiskan separuh hayatnya di zaman
jahiliah dan separuh lagi di dalam Islam. Pada zaman jahiliahnya iaitu sebelum beliau
memeluk agama Islam, beliau sangat digeruni oleh masyarakat Arab Quraisy dan umat Islam
dengan sikapnya yang tegas dan keras. Masyarakat Arab ketika itu tidak berani untuk
melawan Umar Al-Khattab kerana beliau dianggap pahlawan yang sangat berani dalam
0

menegakkan keadilan dalam kabilahnya. Sehingga pada masa beliau telah memeluk agama
Islam, masyarakat Arab Quraisy juga tidak berani untuk menentangnya. Manakala, umat
Islam pula tidak berasa takut dan curiga lagi untuk mengerjakan ibadat setelah Umar AlKhattab memeluk Islam berbanding dengan ketika beliau masih menyembah berhala yang
mana umat Islam sangat takut dan bimbang untuk mengerjakan ibadat kerana Umar
seringkali mengusir dan mengancam mereka. Dengan itu, sejarah hidup Umar Al-Khattab
dibincangkan langkah demi langkah sebelum beliau menjadi Khalifah.

UMAR AL-KHATTAB: SEBELUM MEMASUKI ISLAM


Nama penuh Umar Al-Khattab ialah Umar Ibnu Al-Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza bin
Riah bin Abdullah bin Qalth bin Razah bin Adi bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihir.
Menurut Imam Nawawi, beliau dilahirkan 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah.
Umar Al-Khattab berasal dari keturunan Bani Adi. Bani Adi adalah salah satu keturunan
kaum Quraisy yang masyhur dan mempunyai kedudukan yang baik dalam kalangan
masyarakat Arab jahiliah ketika itu.
Masa Kecil Umar
Pada zaman kanak-kanaknya, Umar dibesarkan seperti layaknya anak-anak Quraisy.
Umar berbeza dengan kanak-kanak Quraisy yang lain apabila beliau sempat belajar membaca
dan menulis, hal yang jarang sekali berlaku dalam kalangan mereka. Dari semua suku
Quraisy ketika Nabi diutus hanya tujuh belas orang yang pandai membaca dan menulis.1 Oleh
itu, Umar termasuk dalam golongan yang istimewa di antara kawan-kawannya kerana beliau
pandai membaca dan menulis.
Zaman Remaja dan Dewasa Umar
Pada zaman remajanya, Umar menolong ayahnya dengan bekerja sebagai gembala
kambing. Menggembala kambing atau unta sememangnya merupakan kebiasaan dalam
kalangan masyarakat Quraisy tanpa mengira kedudukan mereka. Umar juga seorang yang
sangat berkemahiran dalam menunggang kuda dan beliau berniaga berulang alik ke Syam
dengan barang dagangan. Pada zaman jahiliahnya, Umar adalah seorang yang mempunyai
watak yang keras dan cergas. Berdasarkan kepada badannya yang tampan, beliau mempunyai
1 Muhammad Husain Haekal. 1999. Sejarah hidup Umar bin Al-Khattab.
Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd. Hlm. 45.
1

tanda-tanda yang dapat dikenali sebagai seorang yang gagah berani, rajin, cergas, dan cekap.
Sifat beliau yang merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah membuatkan orang takut
dan hormat akan kegagahannya. Misalnya, peristiwa di pasar Ukaz iaitu Umar dicabar oleh
seorang pemuda untuk berlawan dengannya. Umar yang panas baran kemudiannya menyahut
cabaran pemuda tersebut dengan perasaan marah. Dengan sekelip mata sahaja, pemuda
tersebut tewas di tangan Umar dan Umar meraikan kemenangannya dengan penuh bangga
kerana tiada orang yang dapat mengalahkan Umar Al-Khattab. Seperti pemuda-pemuda lain
di Makkah, Umar gemar sekali meminum khamar (minuman keras) sampai berlebihan dan
juga pada waktu mudanya beliau tergila-gila kepada gadis cantik, sehingga para penulis
biografinya sepakat bahawa beliau ahli minuman keras dan ahli mencumbu perempuan. 2
Umar sentiasa menentang umat Islam dan menangkap mereka dengan kekerasan tanpa belas
kasihan malah beliau selalu menakut-nakutkan mereka dengan ugutan kekerasan.
Pada suatu ketika Umar berada di sekitar Kaabah, dia berasa sakit hati akibat dicela
oleh salah seorang yang ada di situ terhadap seorang puterinya. Mendengar celaan dan ejekan
tersebut maka dia segera bangun pulang ke rumahnya. Lalu dibawanya puterinya yang masih
kecil ke sebuah tanah lapang di Kota Makkah untuk ditanamnya hidup-hidup. Setelah
menanam puterinya, Umar berasa seperti dalam keadaan yang mulia dan disanjung oleh
masyarakat kerana memenuhi kemahuan dan adat mereka yang membuang atau menanam
dan menimbus anak perempuan. Umar mengatakan Di zaman jahiliah, kami tidak
memandang perempuan itu ada dan tidak pernah kami masukkan dalam perhitungan kami.3
Namun begitu, usaha Umar dalam memburu pengetahuan membuatkannya sejak
mudanya memikirkan nasib masyarakatnya dan usaha apa yang akan dapat memperbaiki
keadaan mereka. Dengan itu, Umar menjadi fanatik terhadap pendapatnya sendiri tentang
tujuan yang ingin dicapainya bahkan tidak mahu dibantah atau berdebat. Situasi ini jelas
menunjukkan keperibadian Umar yang bersikap keras dan tegas dalam setiap perkara. Pada
zaman jahiliahnya, Umar adalah seorang yang sangat fanatik terhadap agama dan
masyarakatnya sehinggakan beliau memusuhi sesiapa sahaja yang bukan penyembah berhala
dan memerangi sesiapa sahaja masyarakatnya yang meninggalkan kepercayaan yang diwarisi
oleh mereka. Bagi Umar, sesiapa yang berbuat demikian harus diperangi kerana dia
2 Ibid., hlm 46-47.
3 Talib Samat. 2004. Umar Al-Khattab khalifah Al-Rasyidin kedua. Malaysia:
Karisma Publications Sdn Bhd. Hlm. 11.
2

beranggapan bahawa jika dibiarkan pasti akan menyesatkan masyarakatnya yang lain dan
akan memecahbelahkan mereka, sekaligus akan menjurus kepada kehancuran negeri. Umar
termasuk orang yang paling keras dan kejam serta paling berani menghadapi kaum Sabiorang yang meninggalkan kepercayaan yang diwarisi oleh nenek moyang mereka.4
Sebelum Umar Al-Khattab memeluk agama Islam, beliau sangat memusuhi Islam dan
menentang sekeras-kerasnya agama Islam dengan berusaha mengancam pengikutnya supaya
tidak memeluk agama Islam. Umar juga pernah sekali hendak membunuh Muhammad kerana
baginya Muhammad hanya akan menghancur dan memecahbelahkan orang Arab Quraisy.
Umar beranggapan jika dibiarkan dakwah Muhammad berkembang maka akan bertambahlah
perpecahan dalam kalangan Quraisy sekaligus kedudukan Kota Makkah semakin hina.
Peribadi Umar yang cukup kuat menentang Islam adalah disebabkan kedudukannya dalam
kalangan kaum yang mempunya kedudukan yang tinggi dalam kalangan masyarakatnya.
Beliau bertanggungjawab dalam hal ehwal penghantaran wakil ke sesuatu tempat di dalam
kerajaan pimpinan pembesar-pembesar Quraisy di Makkah.5

UMAR AL-KHATTAB: SELEPAS MEMELUK ISLAM


Umar Al-Khattab memeluk Islam ketika tahun keenam kenabian pada umurnya 27
tahun dan diriwayatkan hati Umar bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar
adiknya, Fatimah membaca Al-Quran. Peristiwa Umar Al-Khattab memeluk Islam adalah
ketika beliau dalam perjalanan hendak membunuh Nabi Muhammad s.a.w lalu dia ditegur
oleh sahabatnya Nuaim bin Abdullah. Umar mengatakan bahawa dia ingin membunuh Nabi
Muhammad s.a.w lalu Nuaim memberitahu bahawa adiknya sendiri iaitu Fatimah telah
memeluk agama Islam. Dengan perasaan marah Umar lalu bergerak ke rumah adiknya,
Fatimah dan apabila sampai dia mendengar Fatimah sedang membaca Al-Quran. Setelah
dipukul dan dihunusnya pedang kepada adiknya, dia lalu meminta Al-Quran daripada
Fatimah dan dibacanya ayat dari Surah Taha. Selepas membacanya Umar tertarik dan kagum
akan ayat-ayat yang telah dibacanya lalu dia bergegas untuk berjumpa dengan Nabi
Muhammad s.a.w dan mengatakan bahawa dia ingin menjadi pengikut Nabi. Ketika
4 Muhammad Husain Haekal. op. cit. Hlm. 52.
5 Ibrahim Ali Syawat. 2003. Kesalahan-kesalahan terhadap fakta-fakta Sejarah
zaman jahiliyah dan Rasullulah yang perlu diperbetulkan semula. Johor:
Perniagaan Jahabersa. hlm. 90.
3

menyatakan hasratnya tersebut, Umar telah sah memeluk agama Islam dan meninggalkan
kepercayaan nenek moyangnya. Kemasukan Umar ke dalam kelompok agama Islam
menyebabkan umat Islam bertambah kuat dan semakin menyakinkan para sahabat untuk
mengembangkan agama Islam secara terang-terangan dan tidak takut lagi seperti sebelum
kemasukan Umar.
Keperibadian dan Peranan Umar Selepas Islam
Berikutan peristiwa Umar memeluk Islam, beliau telah memaksa suku Quraisy untuk
membenarkan dia beribadat secara terang-terangan di Kaabah, iaitu satu perkara yang tidak
pernah dibenarkan sebelumnya dan berikutnya semua umat Islam yang lain turut beribadat di
Kaabah.6 Tambahan pula, sokongannya tidak pernah disangsikan dan adakalanya Nabi
Muhammad s.a.w sendiri telah ditegur olehnya. Ketika Nabi Muhammad hijrah ditemani oleh
Abu Bakar, Umar turut menyambut Nabi dan pergi bersama-sama rombongan itu ke
Madinah. Seperti Nabi dan dan Muslimin yang lain, Umar juga turut ikut bekerja dalam
membangunkan masjid dan tempat tinggal Nabi Muhammad s.a.w.
Kedudukan dan kekuatan yang dicapai Muslimin dalam kehidupan masyarakat di Madinah
telah membuka permulaan baru bagi Umar Al-Khattab, yang selama di Makkah tidak pernah
ada. Umar adalah lelaki yang penuh berdisiplin dan bijaksana yang telah berjuang demi
disiplin. Kaum Muslimin di Makkah merupakan kaum minoriti yang dilindungi oleh
keimanan mereka yang kuat kepada Allah dan RasulNya sehingga mereka tidak tergoda dan
tidak menjadi lemah, dengan bersikap negatif dalam perlawanan terhadap mereka yang
mencuba menggoda agar meninggalkan agama Islam. Perlawanan negatif demikian tidak
sesuai dengan watak Umar yang selalu memberontak dan menentang sesiapa sahaja yang
menghalangnya. Oleh itu, di Makkah tidak cukup tempat untuk melaksanakan segala
kegiatan yang menampakkan hasilnya. Tetapi dalam kehidupan Muslimin di Madinah dengan
segala disiplinnya yang begitu jelas, bagi Umar sudah tiba saatnya untuk memperlihatkan
keperibadiannya dan harus ada pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat. Bahkan, ada sifatsifat Umar ketika di Makkah dahulu tidak terlihat mulai tampak iaitu sebagai manusia yang
dapat melihat peristiwa sebelum terjadi, dan apa yang terjadi seolah sudah diduganya.
Peranan Umar dalam Perang Badar dan Perang Uhud
6 Marshall G.S. Hodgson. 2004. Kebangkitan Islam: Gambaran dan Sejarah
dalam tamadun dunia zaman klasik Islam (Mastuti Haji Isa & Rosiah Abd. Latiff,
Penterjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 186.
4

Peristiwa Perang Badar jelas menunjukkan keperibadian Umar yang mana Umar
adalah orang yang paling keras ingin membunuh tawanan perang yang ditawan oleh
Muslimin tetapi Nabi dengan bermurah hati melepaskan tawanan tersebut. Namun, Umar
tetap berkeras hendak membunuh tawanan tersebut kerana baginya mereka telah berdusta
dengan mengusir dan memerangi Nabi Muhammad s.a.w. dan mengatakan bahawa kaum
musyrik tersebut dianggap hina dalam Islam. Pendapat yang diberikan oleh Umar tersebut
seolah-olah beliau sudah melihat peristiwa tersebut sebelum terjadi apabila tidak lama selepas
kejadian itu turunnya Wahyu yang memperkuatkan pendapatnya. Oleh itu, pendapat Umar
dalam kalangan Muslimin dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri amat dihargai dan
kedudukannya dalam Islam semakin tinggi di samping Nabi dan dalam kalangan kaum
Muslimin. Seterusnya, ketika Perang Uhud Umar begitu yakin dan berani melindungi Nabi
Muhammad ketika diserang oleh Khalid Al-Walid. Beliau berlawan bermati-matian sehingga
berhasil mengusir musuh. Situasi ini jelas membuktikan bahawa agama telah meresap ke
dalam diri Umar sehingga fikirannya hanya tertumpu pada disiplin yang akan membuat
agama Islam semakin kukuh dan tersebar luas. Keperibadian Umar menunjukkan beliau
seorang yang berhati teguh dan bersedia menyerahkan hidupnya demi keyakinannya.
Kebenaran Lidah dan Hati Umar
Keikhlasan dan kebersihan hati dari segala nafsu serta cintanya pada keadilan, itulah
yang membuatkan Umar digelar Al Faruq. Disebut bahawa Nabi Muhammad
s.a.w.berkata: Allah menempatkan kebenaran di lidah dan di hati Umar. Dialah Al-Faruq
(Pemisah), yang memisahkan antara yang hak dengan yang batil. Sememangnya Umar
adalah seorang Al-Faruq iaitu yang memisahkan antara yang hak dengan yang batil dan
sifatnya inilah yang mengabdikan nama Al-Faruq pada Umar sehingga sekarang dan
selamanya. Daripada beberapa peristiwa yang dialami oleh Umar seperti tawanan Badar,
peristiwa Abdullah bin Ubai, Perjanjian Hudaibiyah, ketentuan minuman keras sampai
kepada masalah isteri-isteri Nabi merupakan bukti yang cukup menonjol dan menunjukkan
sebahagian keperibadian Umar yang semakin jelas selepas beliau memeluk Islam. Dengan
segala keberanian, sikap berterus-terang dan keperibadiannya yang begitu menonjol
menunjukkan betapa besar perhatiannya terhadap segala kepentingan umum yang
dihadapinya serta politik bangsanya yang banyak mendapat perhatian. Bahkan, beliau
mengurus semua persoalan dan pekerjaannya itu dengan disiplin yang tinggi. Oleh itu, Nabi
menyebut bahawa Umar adalah sebagai wazirnya dan apabila Nabi bermusyawarah bersama
para sahabatnya, baginda menempatkan pendapat Umar sama dengan pendapat yang
5

dikemukakan oleh Abu Bakar, orang pilihan dan sahabat Nabi yang lain. Ketika kewafatan
Nabi Muhammad s.a.w. juga, Umar adalah orang yang mengimamkan solat.
Ketika pemerintahan Abu Bakar Al-Siddiq, Umar tetap menjalankan kewajibannya
sebagai wazir Abu Bakar, iaitu sebagai tangan kanan untuk memberi pendapat kepada Abu
Bakar seperti dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan Umar berkewajiban untuk mentaati segala
perintah Khalifah, dan semua itu sudah dilakukannya. Seterusnya, kreativiti Umar mulai
nampak ketika beliau khuatir akan keutuhan Al-Quran kerana banyak hufadz7 yang mati
syahid. Dengan itu, beliau mengusulkan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq untuk
mengumpul dan membukukan Al-Quran yang pada waktu itu masih merupakan catatancatatan lepas dan hafalan peribadi para sahabat.8 Gagasan awal yang berasal dari Umar
tersebut telah menjadi warisan intelektual Islam yang paling berharga. Sepanjang
pemerintahan Abu Bakar dan Umar sebagai wazirnya, berlaku banyak perbezaan pendapat
antara Umar dan Abu Bakar. Namun begitu, dalam hal mencari keadilan Umar tidak pernah
bertindak berat sebelah terhadap sesiapa pun, justeru beliau memeriksa sesuatu perkara
tersebut dengan cermat dan teliti sehingga memperoleh kebenaran yang dapat diungkapkan.
Keperibadian dan peranan Umar dalam menyelesaikan masalah serta sikapnya terhadap
masyarakat dapat dilihat dalam beberapa peristiwa antaranya peristiwa di Saqifah Bani
Saidah dan sikap Ansar, sikapnya terhadap orang murtad, sikapnya terhadap Khalid AlWalid, dan sikapnya terhadap pembebasan Syam yang mana menunjukkan kebijaksanaan dan
cara beliau dalam politik semasa pemerintahan Abu Bakar.

PENUTUP
Sepanjang riwayat Umar Al-Khattab beliau adalah seorang yang berdisiplin dalam setiap
perkara. Keperibadiannya ketika zaman jahiliahnya sehingga beliau memeluk Islam jelas
memperlihatkan bahawa beliau sentiasa bertindak adil dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Sifat dan sikap beliau membuatkan orang mempunyai rasa hormat terhadap dirinya sama ada
ketika jahiliahnya mahupun sesudah beliau memeluk Islam. Keikhlasan Umar dan
integritinya mengabdikan diri kepada Islam dan kepada umat Islam, peribadinya yang sering
7 Hufadz atau hafiz Al-Quran ialah pengumpul dan penghafal Al-Quran yang
ditulis pada kulit kayu atau kulit binatang.
8 Hj. Musyrifah Sunanto. 2003. Sejarah Islam klasik: Perkembangan ilmu
pegetahuan Islam. Indonesia: Prenada Media. hlm. 23.
6

disebut-sebut sebagai teladan kerana ketegasannya, keadilannya yang benar-benar tanpa berat
sebelah serta sikapnya yang sangat anti kolusi dan nepotisme, semua itu dibuktikan dalam
perbuatannya sehinggalah Khalifah Abu Bakar meninggal dunia lalu Umar menggantikannya
sebagai khalifah yang kedua pada zaman Khulafa Al-Rasyidin. Dalam tempoh 10 tahun
pemerintahan Umar sebagai khalifah banyak pembaharuan dan sumbangan yang telah
dilakukan yang membawa kepada era kegemilangan zaman Khulafa Al-Rasyidin.

BIBLIOGRAFI / RUJUKAN
Amira K. Bennison. (2009). The great caliphs: The golden age of the Abbasid empire. New
York: I.B. Tauris & Co. Ltd.
Hj. Musyrifah Sunanto. (2003). Sejarah Islam klasik: Perkembangan ilmu pegetahuan Islam.
Indonesia: Prenada Media.
Ibrahim Ali Syawat. (2003). Kesalahan-kesalahan terhadap fakta-fakta Sejarah zaman
jahiliyah dan Rasullulah yang perlu diperbetulkan. Johor: Perniagaan Jahabersa.
Mahayudin Hj. Yahaya. (1998). Tamadun Islam. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Majid Ali Khan, (Syed Athar Husain, Pnyt.). (1995). The pious caliphs. Kuwait: Islamic
Book Publishers.
Marshall G.S. Hodgson. (2004). Kebangkitan Islam: Gambaran dan Sejarah dalam tamadun
dunia zaman klasik Islam (Mastuti Haji Isa & Rosiah Abd. Latiff, Penterjemah). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Said Ishak. (2000). Umar Ibn Al-Khattab: Pelaksanaan hukum Islam. Johor: Universiti
Teknologi Malaysia.
Muhammad Husain Haekal. (1999). Sejarah hidup Umar bin Al-Khattab. Singapura: Pustaka
Nasional Pte Ltd.
Talib Samat. (2004). Umar Al-Khattab khalifah Al-Rasyidin kedua. Malaysia: Karisma
Publications Sdn Bhd.