You are on page 1of 12

KAEDAH-KAEDAH PROSES TERJEMAHAN

Terjemahan berasal daripada perkataan al-tarjamah daripada bahasa protosemitik (al-Arab) yang bermaksud mentafsirkan perkataan lisan atau tulisan dengan
menggunakan perkataan dalam bahasa lain. Perkataan tarjamah itu sendiri
mempunyai dua pengertian, iaitu pertama, menterjemahkan teks atau buku daripada
satu bahasa kepada bahasa yang lain, manakala yang kedua bermaksud
autobiografi.
Bagi tarjamah yang pertama, makna ini mempunyai hubungan rapat dengan
pentafsiran dan penghuraian yang boleh ditemui dalam buku-buku sejarah, falsafah
dan sains yang diterjemahkan oleh penterjemah bahasa Arab daripada bahasa lain.
Kadangkala terjemahan yang dilakukan tidaklah begitu tepat. Malahan terjemahan itu
bersifat satu ulasan pandangan penulis asal atau lebih tepat lagi merupakan hasil
terjemahan bebas.
Tarjamah dari segi autobiografi pula merupakan pengertian bagi konsep
baharu. Menurut Harun Al-Rasyid Yusuf (1991), kemungkinan perkataan tarjamah
datang ke dunia Arab dari zaman pra-Islam dalam kelompok bahasa Akadia. Istilah
ini sering digunakan dalam tulisan Arab tradisional dan Arab moden.
Penterjemahan merupakan proses memindahkan sesuatu daripada bahasa
sumber kepada bahasa sasaran. Tujuan utama penterjemahan adalah untuk
menghubungkan anggota dalam masyarakat dwibahasa atau multibahasa.
Kamus Dewan (1986:1247) mendefinisikan terjemahan sebagai ...pindahan
dari suatu bahasa ke suatu bahasa yang lain, alihan bahasa, salinan....
Penterjemahan merupakan perbuatan memindahkan sesuatu isi atau teks ke dalam
bahasa lain atau menukarkan bahasa teks tersebut.
Menurut Ramli Salleh (1986), konsep penterjemahan boleh dibahagikan
kepada dua, iaitu konsep lama dan konsep baharu. Konsep lama penterjemahan
mengkehendaki penterjemah memberikan perhatian kepada bentuk apabila
penterjemah mengekalkan unsur-unsur stilistik seperti rima rentak, permainan kata,
struktur tatabahasa yang luar biasa, dan lain-lain supaya menyerupai teks asli.
Konsep baharu pula mementingkan respons pembaca terjemahan, iaitu reaksi yang
sama dengan reaksi pembaca teks asal. Prinsip-prinsip penterjemahan telah

bertambah bebas dengan pengertian bahawa pemahaman dan emosi daripada


pembaca itu diutamakan.

KAEDAH TERJEMAHAN FORMAL


Mengikut kaedah penterjemahan lama, penterjemah menumpukan perhatian
terhadap bentuk teks yang diterjemahkan. Penterjemah cuba mengekalkan unsurunsur stilistik seperti rima, rentak, bunga bahasa dan ciri nahu yang tertentu supaya
bahan terjemahan itu menyerupai bentuk teks sumber. Terjemahan baharu pula
mengutamakan reaksi pembaca atau kesan terhadap pembaca. Sambutan pembaca
teks terjemahan hendaklah serupa dengan sambutan pembaca teks sumber, begitu
juga dengan emosi yang dialaminya. Sebenarnya terdapat banyak kaedah yang
boleh digunakan dalam penterjemahan. Ini dapat dikategorikan kepada kaedah
terjemahan formal dan kaedah terjemahan dinamik.
Kaedah terjemahan formal pula dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu:
a.

Pinjaman

b.

Peniruan

c.

Penggantian

Pinjaman
Peminjaman kata berlaku kerana terdapatnya pertembungan antara dua
bahasa yang berbeza misalnya bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang
bertembung akibat penjajahan. Peminjaman antara dua bahasa ini tidak dapat
dielakkan kerana keperluan komunikasi. Dalam hal ini, bahasa penjajah tentulah
lebih dominan daripada bahasa yang dijajah. Kemasukan penjajah juga membawa
konsep baharu yang tidak wujud dalam bahasa kedua, misalnya teknik, konsep,
istilah, dan seumpamanya. Untuk mengisi kekosongan, maka kaedah pinjaman
diamalkan. Kaedah ini juga diamalkan untuk menimbulkan sifat-sifat khusus dalam
sesebuah teks. Kata ini dipinjam dan ditulis miring dalam teks, misalnya ad valorem,
tort, ad hoc, alibi, dan sebagainya. Kata pinjaman ini diklasifikasikan sebagai kata
pinjaman tulen tidak asimilasi.

Beberapa kata pinjaman sudah lama dimasukkan atau diserapkan ke dalam


leksikon bahasa Melayu sebagai kata pinjaman, iaitu basikal (Inggeris), senapang
(Belanda), pisau (Cina), cahaya (Sanskrit), kedai (Tamil), dakwah (Arab), cukai
(Jawa), pamer (Jawa), sekolah (Portugis) dan lain-lain. Kata pinjaman ini dikatakan
kata pinjaman tulen asimilasi lengkap kerana berlakunya penyesuaian ortografi dan
telah lama diasimilasikan ke dalam budaya Melayu hingga tidak terasa keasingannya
dengan lidah Melayu. Pengekalan kata ini perlu untuk keperluan sosiobudaya
masyarakat pengguna bahasa Melayu. Bloomfield (1933:44), membahagikan
peminjaman

kata

kepada

peminjaman

budaya,

peminjaman

intimate,

dan

peminjaman dialek. Peminjaman budaya berlaku apabila sempadan setiap komuniti


bahasa berhubungan dengan sempadan geografi dan politik. Peminjaman dianggap
intimate apabila kedua-dua bahasa yang terlibat digunakan dalam domain politik
yang sama. Peminjaman dialek pula lebih umum sifatnya kerana anggota-anggota
daripada masyarakat yang berbeza berhubungan antara satu sama lain.
Peminjaman berlaku dalam istilah budaya yang merangkumi organisasi sosial
yang berbeza pada tahap dunia misalnya budaya dunia Barat dan dunia Timur
(budaya Amerika dengan budaya Jepun), misalnya karya Kenang-Kenangan
Seorang Geisha yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu. Penterjemah mengandaikan unsur dalam satu budaya atau bahasa
itu sendiri boleh dikomunikasikan secara "borne across", dan dihasilkan semula
dalam satu budaya atau bahasa yang lain. Dalam hal ini kadangkala yang
dipentingkan ialah kesesuaian (appropriateness) bukan ketepatan (accuracy)
menjadi pilihan penterjemah. Namun demikian penterjemah pada hakikatnya, perlu
setia kepada teks asal; malah, penterjemah tidak mempunyai autoriti untuk
menggantikan sesuatu unsur budaya itu dengan budayanya sendiri. Mounin (1963)
telah

menggariskan

kepentingan

signifikasi

sesuatu

item

leksikal

dengan

menegaskan bahawa sekiranya tanggapan kata tersebut difahami dengan jelas


baharulah item tersebut dapat diterjemahkan secara tepat. Sebagai contoh terdapat
istilah pakaian, iaitu kimono yang tidak terdapat dalam budaya Melayu, lalu
terpaksa dipinjam terus perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Begitu juga
halnya dengan perkataan sake, iaitu sejenis minuman tradisi Jepun, yang dari segi
konsepnya tidak sama dengan perkataan tuak dalam bahasa Melayu, lalu terpaksa
dipinjam perkataan tersebut dalam bahasa Jepun. Hal ini banyak sekali terdapat
dalam karya terjemahan Kenang-Kenangan Seorang Geisha yang diterjemahkan

oleh Abdul Latif Budin, a special kind of sake called amakuchi (MOG:79), sejenis
sake istimewa yang dipanggil amakuchi (KKSG:120)

Peniruan
Selanjutnya kita lihat pula kaedah peniruan. Peniruan berlaku apabila
kemasukan istilah pinjaman tetapi istilahnya sahaja yang diterjemahkan. Terdapat
dua jenis peniruan, iaitu pertama, peniruan penyampaian yang tidak mengubah
struktur bahasa sasaran (buffet servis-servis buffet, green house-rumah hijau, social
science-sains sosial, honey moon-bulan madu, yellow culture-budaya kuning, cold
war-perang

dingin,

sky

scrapper-pencakar

langit,

letterhead-kepala

surat,

underground-bawah tanah, over due-lebih masa, work load-beban kerja). Kedua,


peniruan struktur yang memasukkan lantas mewujudkan struktur baru dalam bahasa
sasaran misalnya prime minister-perdana menteri, dan mini bus-bas mini. Kata
pinjaman peniruan ini digolongkan sebagai kata majmuk yang dipinjam dan
disesuaikan dengan pola sintaktik dalam bahasa Melayu. Dalam teks terjemahan
Kenang-Kenangan Seorang Geisha, unsur ini juga ditemui apabila penterjemah
menterjemahkan jenis makanan tradisi dalam masyarakat Jepun, iaitu miso soup
kepada sup miso.

Penggantian
Penggantian merupakan satu lagi kaedah dalam penterjemahan. Anda akan
dapati bahawa dalam penggantian berlaku pemindahan warta daripada bahasa
sumber kepada bahasa sasaran. Dalam penggantian, persamaan pada peringkat
leksikal dan peringkat sintaksis sedapat mungkin dikekalkan. Hal ini bermakna setiap
perkataan dalam bahasa sumber dapat digantikan persamaannya dalam bahasa
sasaran dan pada masa yang sama struktur ayat bahasa sumber dipindahkan ke
dalam bahasa sasaran tanpa perubahan besar. Kaedah ini kerap diamalkan bagi
sesebuah teks berbentuk risalah (informative) yang ditulis dalam bahasa sumber
yang ringkas, iaitu tidak kompleks. Bagi teks yang berunsur sains, kita lazim
menggunakan istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, tetapi diubahsuaikan
mengikut ejaan Melayu. Cara ini juga dikatakan penggantian.

Contoh:
i.

I go to market = Saya pergi ke pasar.

ii.

More than half the human body is muscle = Lebih daripada separuh badan
manusia terdiri daripada otot.

iii.

There are over six hundred muscles in the muscular system = Ada lebih
daripada enam ratus otot dalam sistem otot.
Kaedah ini ditemui dalam karya terjemahan Kenang-kenangan Seorang

Geisha yang memerihalkan tentang beras sebagai makanan ruji yang sama dengan
juga dengan makanan ruji masyarakat Melayu. Dalam teks ini terdapat makanan
yang menggunakan konsep budaya Inggeris, iaitu kek bagi istilah sweet rice cake
diterjemahkan sebagai lempeng pulut manis bukan kek pulut manis. Contohcontoh lain yang diperlihatkan di bawah:
to fetch the rice crackers Auntie was so fond of (MOG:52)
untuk membeli keropok beras kesukaan Mak Cik... (KKSG:78)
Ternyata bahawa dalam terjemahan tersebut konsep dalam budaya Inggeris
disesuaikan daripada budaya Jepun kemudian disesuaikan pula dengan budaya
Melayu. Dalam teks tersebut, kita dapati berlaku penggantian daripada rice crackers
kepada keropok beras. Hal ini memperlihatkan satu unsur komunikasi silang budaya
berlaku apabila terdapat satu ciri yang unik yakni dalam persamaan konsep sesuatu
budaya, terdapat juga perbezaan ciri walaupun kecil telah memberikan istilah yang
berbeza. Peminjaman konsep berlaku tetapi digantikan dengan istilah bahasa
Melayu.
Hakikatnya kita perlu akui bahawa tidak terdapat dua bahasa yang sama di
dunia ini. Terdapat banyak persamaan dan perbezaan walau pun kedua-dua bahasa
berasal daripada rumpun yang sama. Contohnya kata bicara dalam bahasa Melayu
dan bahasa Indonesia membawa pengertian yang berbeza. Bicara dalam bahasa
Indonesia bermaksud cakap tetapi dalam bahasa di Malaysia, pengertian bicara lebih
kepada percakapan di mahkamah sahaja. Penterjemah juga perlu memilih antara
makna kamus dengan makna dinamik.
Contoh:

i.

She held back the truth. (menyembunyikan)

ii.

He wanted them to join the others but they held back. (mengasingkan diri)

iii.

His supply of food held out for ten days. (cukup)

iv.

He held out although the pain was terrible. (menahan)

v.

She held up the picture so that he could see it. (mengangkat dengan tinggi)

vi.

A signal fault held up the train for an hour. (menangguhkan atau


melambatkan)

KAEDAH TERJEMAHAN DINAMIK


Perkataan

dinamik

itu

sendiri

menjelaskan

lagi

kaedah

ini

yang

memperlihatkan satu kaedah baharu yang melibatkan banyak unsur ke arah


memudahkan kerja terjemahan. Terdapat empat kategori dalam kaedah terjemahan
dinamik, iaitu:
a.

Transposisi

b.

Modulasi

c.

Persamaan

d.

Penyesuaian

Transposisi
Transposisi bermakna berlaku perubahan dalam struktur ayat dalam
karya terjemahan. Dalam kaedah ini, kita perlu mengubah atau menukarkan
kedudukan frasa atau klausa dalam bahasa sasaran tanpa mengubah maksud warta
atau maklumat. Hal ini penting kerana dalam penterjemahan, maksud karya asal
perlu dipertahankan walaupun kita melakukan pembaharuan dalam kaedah. Ada
beberapa sebab kaedah transposisi perlu digunakan, iaitu untuk menyampaikan

warta dalam bahasa sasaran secara yang paling bersahaja dan untuk menjelaskan
lagi kandungan warta yang mungkin boleh mengelirukan.
Terdapat

dua

jenis

transposisi,

iaitu

pertama,

transposisi

wajibcara

terjemahannya merupakan yang lazim dan paling bersahaja dalam bahasa sasaran.
Contoh:
i.

We thank you for your cooperation;


Atas / kerana kerjasama tuan itu, kami ucapkan terima kasih.

ii.

After he returns;
Selepas dia pulang, Selepas kepulangannya, Sekembalinya.

iii.

Non-magic people (more commonly known as Muggles);


Manusia biasa atau yang bukan ahli sihir (lebih dikenali sebagai Muggle)

iv.

were particularly afraid of;


sangat takut akan ilmu sihir

v.

Magic in medieval times;


pada zaman pertengahan,

vi.

but not very good at recognising it;


tetapi tidak tahu-menahu langsung tentang ilmu itu.

Jelasnya, dalam kaedah transposisi penterjemah dapat memanipulasi


keupayaan bahasa sasaran dengan baik tanpa menjejaskan maksud ayat yang
diterjemahkan. Kebolehan ini memerlukan kemahiran bahasa sasaran yang cukup
tinggi dan keupayaan memahami maksud dalam bahasa sumber agar maksud teks
asal tidak disalah terjemahkan. Unsur dinamik ini membolehkan penterjemah
mendapat ruang yang lebih besar bagi menyampaikan maksud penulis teks asal.

Modulasi
Selanjutnya kita melihat pula kaedah modulasi. Sebenarnya kaedah modulasi
juga

digunakan

untuk

tujuan

yang

sama

seperti

transposisi,

iaitu

untuk

menyampaikan warta dengan gaya bahasa sasaran yang lebih bersahaja dan mudah
difahami. Namun begitu dalam modulasi, terdapat perubahan dari segi semantik
(makna) pada peringkat leksikal tetapi wartanya tetap tidak berubah. Begitu juga
penyampaian boleh negatif dalam bahasa sasaran tanpa menjejaskan makna.
Contoh:
i.

Saturday night;
Malam minggu / Ahad.

ii.

In either case, the energy that we obtain ultimately originates from starch;
Dalam kedua-dua hal, tenaga yang kita peroleh pada peringkat akhir berasal
dari kanji.
Dalam karya teks terjemahan Harry Potter dan Bilik Rahsia, kaedah ini

digunakan bagi menterjemah budaya kebendaan, misalnya perkataan,


sorting hat diterjemahkan kepada topi pengisih
Perubahan makna tidak begitu ketara tetapi perkataan sorting digantikan
dengan mengisih dalam konteks penceritaan tidak memberikan kesan yang besar .

Persamaan
Sebagaimana telah diperkatakan pada peringkat awal tadi, memang tidak
dapat dinafikan lagi bahawa tidak ada dua bahasa yang serupa. Oleh itu, untuk
mencari persamaan dalam penterjemahan memanglah sesuatu yang amat rumit.
Persamaan yang dimaksudkan ialah persamaan terdekat atau persamaan sejadi
(bersahaja). Persamaan sedemikian bergantung sepenuhnya kepada konteks dan
nilai budaya seperti dalam ungkapan idiomatik daripada peribahasa. Umumnya, tidak

ada dua perkataan yang benar-benar sama makna dalam dua bahasa yang
berlainan. Oleh itu, kita tidak menterjemah dengan menggunakan persamaan tepat.
Kita menterjemah dengan menggunakan persamaan yang paling dekat maknanya.
i.

ii.

iii.

iv.

Persamaan Terdekat

Race (sociology) - ras

national - nasional, negara, kebangsaan

Persamaan Sejadi / Bersahaja

Race - bangsa, puak, orang, kaum, keturunan

big and small - kecil besar

Perbezaan Budaya

Ouch! - Aduh!

Go to hell - Persetankan! Pergi jahaman!

Idiom dan Peribahasa

Live from hand to mouth - Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang,
makan petang

To kill two birds with one stone - Sambil menyelam minum air

Tokoh dalam bidang penterjemahan, iaitu Nida (1964) telah mengenal pasti
dua jenis persamaan, iaitu formal dan dinamik. Beliau mengatakan bahawa
persamaan formal menumpukan perhatian kepada mesej itu sendiri dalam bentuk
dan kandungan. Dalam terjemahan begini, seseorang penterjemah menumpukan
kepada puisi, ayat demi ayat dan konsep demi konsep. Nida menamakannya
terjemahan glos yang bertujuan untuk membenarkan atau memberikan ruang
kepada pembaca supaya memahami sebanyak mungkin konteks dalam bahasa
sumber. Persamaan dinamik

berasaskan

prinsip

kesan persamaan, yakni

hubungan antara penerima dan mesej bahasa sasaran seharusnya juga sama

dengan hubungan antara penerima dan mesej bahasa sumber. Dalam karya
terjemahan teks Harry Potter dan Banduan dari Azkaban, kita temui kaedah ini
digunakan, misalnya:
Barely alive, Voldemort had fled.... (hlm.11)
Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, Voldemort melarikan diri (hlm.6)
Dalam teks di atas, perkataan barely diterjemahkan ke dalam idiom bahasa
Melayu, iaitu nyawa-nyawa ikan yang membawa maksud keadaan yang sudah
nazak atau hampir mati. Walaupun dalam teks sasarannya tidak sedikit pun
menyebut tentang ikan atau kiasan yang sedemikian namun dari segi maksud,
terjemahan yang menggunakan kaedah tersebut telah menyampaikan mesej kepada
pembaca. Menurut Susan Bassnett, persamaan dalam terjemahan tidak seharusnya
mengambil pendekatan pencarian persamaan semata-mata kerana persamaan tidak
mungkin wujud antara dua versi bahasa sumber bagi teks yang sama, apa tah lagi
antara versi bahasa sumber dan bahasa sasaran. Contoh lain dapat dilihat di bawah:
Aunt Petunia, who was bony and horse faced, whipped around and peered intently
out of the kitchen window (halaman 19)
Makcik Petunia yang kurus kering, dan berwajah cengkung, berpusing pantas dan
meninjau-ninjau dari tingkap dapur (halaman 23)

Penyesuaian
Kaedah penyesuaian merupakan penggantian terhadap perbezaaan budaya
yang terdapat dalam dua bahasa. Kaedah ini dianggap sebagai kaedah terjemahan
yang paling bebas. Ianya digunakan secara meluas untuk menterjemah lakonan
(komedi) dan puisi. Tema, watak dan plot lazimnya dikekalkan. Biasanya dalam
keadaan ini makna dan mesej yang cuba disampaikan dengan cara lain, dan
pembaca akan memahaminya setelah membaca keseluruhan teks.
Persamaan terdekat bergantung sepenuhnya kepada konteks dan nilai
budaya seperti dalam ungkapan idiomatik daripada peribahasa. Tidak ada dua
perkataan yang benar-benar sama makna dalam dua bahasa yang berlainan. Oleh

10

itu, kita tidak menterjemah dengan menggunakan persamaan yang tepat, sebaliknya
menggunakan persamaan yang paling dekat maknanya.
Contoh:
He kissed his daughter on the mouth.
Dia memeluk anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.

RUJUKAN
1.

Kamus Dewan Edisi Baharu (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

2.

Ismail Hussein, 1966. Sejarah Pertumbohan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood
(2008). Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

4.

James T Collins, 1998. Malay, World Language: A Short History,. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

5.

Ibrahim Ahmad 1994. Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

6.

Gazali Dunia(1992). Sastera Melayu Lama. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.:Kuala


Lumpur.

7.

Asmah Haji Omar, 1985. Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada
perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8.

B. Mallikarjun Globalization and Indian languages. Language in India, Vol.3: 2


Februari 2003.

11

9.

A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia.


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

10. Abdullah Hassan, 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei
Lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
11. Awang Sariyan, 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu. Asas Pegangan Guru,
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
12. Hashim Bin Hj. Musa, 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia:
Menghadapi Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
13. Siti Hajar Abdul Aziz (1996). Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan). Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
14. Harimurti Kridalaksana (1983). Tradisi dan Inovasi dalam Penyelidikan Bahasa
Melayu. dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia.

12