You are on page 1of 6

MATLAMAT AKADEMIK

Kecemerlangan adalah penting dan menjadi idaman setiap manusia.


Kecemerlangan bukan hanya milik satu-satu kaum, bangsa ataupun penganut agama.
Kecemerlangan adalah milik setiap individu yang berusaha dengan gigih dan
bersungguh-sungguh. Cara pengukuran kecemerlangan bergantung pula pada tahap
pencapaian dan berbeza antara satu sama lain. Bagi seorang pelajar di Universiti
Terbuka Malaysia seperti saya, kecemerlangan bermakna berjaya mencapai keputusan
yang baik di dalam bidang akademik dan aktiviti-aktiviti lain. Kecemerlangan
akademik menjadi impian setiap pelajar yang berada dan sedang menimba ilmu di
Universiti Terbuka Malaysia. Bagi menguasai ilmu dengan cemerlang dan menjadi
pelajar yang cemerlang, pelajar perlu berusaha dan bekerja keras. Kejayaan bukan
mudah dicapai namun ia bukan perkara yang mustahil. Setiap tahun, beratas-ratus
pelajar mendapat keputusan yang cemerlang apabila keputusan peperiksaan
diumumkan. Apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan, kerja keras selain memberi
tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran menjadi resepi kecemerlangan mereka. Namun
dalam mencapai kejayaan yang diimpikan, terdapat beberapa halangan dalam usaha
mencapai kejayaan. Halangan-halangan seperti komitmen terhadap universiti,
komitmen keluarga dan komitmen kerja ini perlu untuk dilihat semula oleh pelajar
untuk diseimbangkan dalam mencapai kejayaan cemerlang yang diimpikan.
Keinginan untuk cemerlang merupakan satu daripada tiga faktor pendorong
berasaskan kepada keperluan yang dikenalpasti oleh McClelland (1961). Keperluankeperluan yang sedia ada pada individu ini dikenalpasti oleh McClelland sebagai
faktor penyebab individu memperagakan sesuatu tingkah laku. Dua lagi keperluan
yang menjadi pendorong kepada individu untuk memperagakan tingkah laku ialah;
keinginan untuk berkuasa dan keinginan untuk bersosial atau untuk berada bersama
dengan individu lain.
Bagi Mc Clelland (1961), keinginan untuk cemerlang adalah satu dorongan
atau galakan yang terpendam yang menimbulkan keinginan kepada individu untuk

membuat kerja-kerjanya dengan baik dan memuaskan tetapi bukanlah keinginan


untuk berjaya mengelakkan kegagalan.

Matlamat Akademik Jangka Pendek


Matlamat jangka pendek adalah penting kerana ia merupakan gelombanggelombang serta onak duri yang harus ditempuhi oleh pelajar dalam mempersiapkan
diri mencapai matlamat jangka panjang yang dibina. Penetapan matlamat jangka
pendek yang yang perlu saya bina perlulah spesifik dan konkrit (Dr. HM Tuah).
Matlamat jangka pendek ini termasuklah matlamat harian, mingguan, bulanan dan
semester.
Saya perlu menetapkan matlamat harian dalam menentukan rutin belajar.
Sebagai seorang pelajar yang belajar di Universiti Terbuka Malaysia, saya telah
menetapkan jadual belajar selama 4 jam sehari. Oleh yang demikian, saya perlu
memastikan bahawa saya harus mendisiplin diri mengikuti jadual belajar yang telah
dibuat. Begitu juga dalam memastikan topik yang perlu dipelajari, harus diselesaikan
pada masa yang telah saya tetapkan. Ini termasuklah menyiapkan latihan dalam topik
tersebut. Saya juga perlu menetapkan aras markah minima yang harus dicapai dalam
membuat latihan di setiap topik. Penetapan yang telah saya buat ini adalah bergantung
kepada kebolehan dan kemampuan diri saya. Sebagai pelajar, sudah tentu menghadapi
cabaran dalam pengurusan masa ini termasuklah masalah yang sering dihadapi oleh
pelajar iaitu sering bertangguh, tidak mengikut jadual belajar harian dan
mengutamakan perkara lain yang tidak berapa penting. Oleh yang demikian, dalam
hal ini, saya harus meminta kerjasama dari ahli keluarga sendiri seperti ibubapa,
abang atau kakak yang boleh mengingatkan diri saya sekiranya tidak mematuhi jadual
belajar harian pelajar. Selain dari itu, saya perlu menetapkan motivasi intrisik dengan
memberi ganjaran kepada diri sendiri seperti mendengar musik kegemaran sekiranya
berjaya menyelesaikan tugasan yang ditetapkan dalam jadual belajar. Saya selalu
mengingatkan diri saya bahawa, kekalahan awal yang seringkali dihadapi ialah gagal
mengikut jadual belajar.

Matlamat jangka pendek yang telah saya tetapkan, tidak hanya berkisar
kepada pencapaian akademik sahaja kerana terdapat unsur-unsur lain yang boleh
membantu saya dalam mencapai matlamat jangka panjang yang ditetapkan. Selain
pengurusan masa belajar, saya juga perlu menetapkan untuk harus melakukan aktiviti
raiadah atau bersukan sejam sehari atau berjogging dua kali seminggu untuk
membekalkan oksigen yang perlu ke otak. Aktiviti lain yang boleh saya fikirkan untuk
dilaksanakan ialah membaca satu novel Bahasa Inggeris setiap minggu dan
sebagainya.

Matlamat Akademik Jangka Panjang


Bagi membina matlamat akademik diri saya, saya harus mempunyai target
yang spesifik. Target saya adalah dalam bentuk kerjaya, rumah, keluarga, dan
sebagainya. Penetapan matlamat jangka panjang ini, saya perlu perlu mengukur
minat, kebolehan serta bakat yang ada pada diri saya. Saya perlu selidiki dan
kenalpasti beberapa perkara mengenai diri sendiri terlebih dahulu, iaitu;
1. Adakah saya tergolong dalam kumpulan orang yang dominan otak kiri?
2. Menjalani ujian Soal Selidik Minat Kerjaya oleh John L. Holland. Ini untuk
menguatkan lagi ciri-ciri yang ada pada diri saya untuk menceburi bidang
yang diceburi pada ketika ini, iaitu pendidik.
3. Saya perlu mengenalpasti personaliti diri sendiri dengan menjalani Ujian
Inventori Warna dan Ujian Personaliti Junior Eysenck. Saya perlu
mendapatkan bantuan Kaunselor untuk analisis keputusan ujian ini.
Selepas saya mengetahui yang diri saya sesuai untuk menceburi bidang
pendidik, saya perlu mengkaji pula tentang kerjaya tersebut bahawa saya perlu mahir
dengan semua subjek yang berkaitan dengan kerjaya perguruan. Saya juga harus
mengetahui alternatif yang boleh dipilih sebagai laluan ke kerjaya tersebut seperti
memasuki pendidikan perguruan lepasan ijazah Kementerian Pelajaran Malaysia

selepas tamat pengajian di Universiti Terbuka Malaysia ini. Saya perlu mengetahui
syarat untuk memasuki program tersebut seperti keputusan yang cemerlang dalam
kursus yang saya ceburi di Universiti Terbuka Malaysia ini. Selain itu juga saya perlu
mendapat kepujian yang baik dalam setiap kursus sepanjang pengajian saya di
Universiti Terbuka Malaysia ini. Bidang perguruan memerlukan penguasaan
kemahiran dalam;
i.

Mereka bentuk dan mengubah suai kurikulum serta menyediakan kursus


pengajian mengikut keperluan. Memberi kuliah dan mengadakan tutorial,
seminar dan sesi makmal.

ii.

Merangsang perbincangan dan pemikiran bebas di kalangan pelajar.

iii.

Menyelia kerja uji kaji dan amali yang dijalankan oleh pelajar jika perlu.

iv.

Mentadbir, menilai dan memeriksa tugasan dan kertas peperiksaan.

v.

Mengarah penyelidikan yang dibuat oleh pelajar selepas ijazah atau kakitangan
lain jabatan berkenaan.

vi.

Menyelidik dan membangunkan konsep, teori dan kaedah operasi bagi kegunaan
dalam lapangan perindustrian dan lain-lain. Menyedia buku, kertas atau artikel
ilmiah.
Oleh yang demikian, saya perlu mempersiapkan diri untuk belajar dan

meneroka setiap keperluan kemahiran tersebut untuk masa depan dan matlamat
akademik jangka masa panjang yang telah saya tetapkan. Keperluan ini penting
terutamanya apabila berkeinginan untuk bersaing mendapatkan pekerjaan selepas
tamat belajar nanti, sama ada di Universiti Terbuka Malaysia ini dan seterusnya dalam
program perguruan akan datang.
Saya perlu mengetahui mengenai laluan kerjaya ini secara terperinci agar saya
dapat mempersiapkan diri dengan keperluan akademik yang diperlukan terutamanya
memperbaiki kelemahan mata pelajaran atau kursus penting dalam bidang tersebut
selain keperluan tambahan seperti mahir dalam bidang lain. Bagi meningkatkan
motivasi diri, saya perlu melawat ke kampus universiti yang menawarkan kursus
perguruan sama ada dengan keluarga atau mengikuti rombongan sekolah. Menjejaki
pengalaman dan suasana hidup di kampus yang menawarkan kursus perguruan, boleh

membakar semangat diri saya untuk berusaha menjejakkan kaki ke menara gading
tersebut.
Saya juga perlu mempersiapkan diri dengan personaliti yang diperlukan dalam
kerjaya tersebut seperti komitmen yang tinggi terhadap tugasan yang diberi, sabar,
jujur, tekun dan sedia bertugas lebih waktu kerana sesetengah kerjaya seperti pendidik
memerlukan masa yang agak panjang untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Mungkin
pada peringkat awal, saya terpaksa berkorban masa untuk mempelajari secara
praktikal rencah kehidupan seorang pendidik. Saya sentiasa tanamkan dalam diri dan
ingat bahawa senario sebenar kerjaya yang saya pilih mungkin tidak semudah yang
dibayangkan sewaktu menuntut dalam bidang tersebut di sekolah atau universiti.
Sudah semestinya saya mempunyai masa yang terhad terhadap keluarga apabila sibuk
dengan tugasan yang diberi. Bagi mendapatkan keadaan sebenar kerjaya yang saya
idamkan, saya juga perlu berkongsi pengetahuan dengan orang-orang yang telah
berpengalaman dalam kerjaya tersebut. Saya perlu mengetahui pengalaman pahit yang
dilalui oleh mereka agar diri saya bersedia untuk menghadapinya.
Apabila saya sudah mendapat gambaran yang jelas dalam bidang kerjaya, saya
akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah saya
tanamkan dalam minda. Sudah menjadi perkara biasa bahawa kadangkala sikap leka,
lalai dan mudah berputus asa akan timbul apabila gagal atau mencapai keputusan
sederhana dalam peperiksaan di alam pengajian Universiti Terbuka Malaysia ini.
Untuk menghindarinya saya perlu mendapatkan suntikan semangat dari tutor,
pensyarah dan kaunselor selalu agar sentiasa tabah dan bersedia menghadapi cabaran
yang tiba.

Kesimpulan
Kecemerlangan akademik merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar di
institusi pengajian tinggi (IPT). Pencapaian akademik yang cemerlang merupakan
idaman setiap insan yang bergelar pelajar, termasuk diri saya sendiri. Pencapaian

akademik yang cemerlang dapat mempengaruhi masa depan diri pelajar kerana
dengan adanya kelulusan yang cemerlang, akan menjamin pekerjaan yang baik,
pendapatan yang terjamin dan kedudukan sosial yang lebih baik. Pencapaian
akademik yang tinggi adalah menjadi kebanggaan dan harapan sekolah, institusi, ibu
bapa dan diri pelajar itu sendiri. Ia merupakan alat pengukur yang menentukan tahap
kejayaan seseorang pelajar di dalam bidang akademik di institusi pengajian tinggi.
Kecemerlangan di dalam bidang akademik dapat menunjukkan sejauh mana
ilmu di dalam sesuatu bidang yang dipelajari itu mampu untuk dikuasai. Perkara ini
merupakan satu isu yang amat penting di kalangan pelajar di IPT kerana merekalah
yang bakal terjun dalam masyarakat dan menggerakkan segala aspek kehidupan
dengan menggunakan ilmu dan kepakaran yang telah mereka pelajari di IPT.
Graduan sering digambarkan sebagai model golongan terpelajar yang sering
dijadikan contoh di dalam masyarakat. Oleh kerana itulah, jika sekiranya saya mampu
menguasai ilmu yang dipelajari dan mampu mengaplikasikannya di dalam
masyarakat, sudah pasti masyarakat tersebut dapat berkembang dan membangun, di
samping dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat ke arah yang lebih
baik.
Namun begitu, untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,
bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak sebenarnya faktor-faktor yang
mempengaruhi kecemerlangan akademik, terutama diri saya sendiri sebagai pelajar di
Universiti Terbuka Malaysia ini. Kecemerlangan akademik juga perlu seiring dengan
kecemerlangan aspek-aspek yang lain seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan,
pengurusan diri, akhlak dan personaliti kerana secara tidak langsung ia banyak
membantu ke arah pencapaian akademik yang cemerlang.