You are on page 1of 5

Al-Farabi

Abu Nasr Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh Al-Farabi, atau lebih dikenali
dengan Al-Farabi, merupakan ahli falsafah Islam terulung, seorang ahli muzik, ahli logik, dan
ahli saintis politik. Beliau dianggarkan lahir pada 870 Masihi ataupun 257 Hijrah, di
Turkistan. Ayah beliau merupakan seorang anggota tentera yang tidak berkemampuan dari
segi kewangan. Namun begitu, itu tidak menghalang Al-Farabi untuk menimba ilmu. Beliau
telah berhijrah ke Baghdad untuk mempelajari Bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr
Muhammad ibn al-Sariy, dan dikatakan bahawa beliau menghasilkan kebanyakan karyanya
di sana. Al-Farabi memperkembangkan ilmunya dengan berhijrah ke Damsyik, Mesir, Harran
dan Aleppo, sebuah wilayah di Syria. Kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu ini haruslah
dijadikan teladan untuk pelajar-pelajar masa kini. Beliau telah menunjukkan bahawa dengan
ketekunan dan keinginan yang kuat, sesiapa pun boleh mengubah nasib mereka.
Kesederhanaan tokoh tamadun ini dapat dilihat semasa beliau bekerja di bawah Sayf
Al-Dawla di Baghdad dengan gaji empat dirham sehari, walaupun beliau pernah ditawarkan
lebih daripada itu oleh majikannya. Kezuhudan dan sifat beliau yang cintakan ilmu
berbanding harta duniawi merupakan antara personaliti yang boleh diaplikasikan rakyat
moden kita yang lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti dalam melakukan sesuatu
pekerjaan.
Keupayaan beliau dalam menjadi role-model masa kini dibuktikan dengan
penguasaan beliau dalam pelbagai bidang melalui hasil karya-karya ulung beliau, seperti
dalam bidang metafizik, muzik, epistemologi, pendidikan dan pelbagai bidang sains yang
lain. Al-Farabi amat dikenali dengan gelarannya "guru kedua" selepas Aristotle oleh orang
Arab. Majid Fakhry (1983) menerangkan bahawa Al-Farabi merupakan pelopor falsafah
Neoplatonisme Arab (Netton, 1998). Desas-desus ada mengatakan bahawa beliau telah
menelaah risalah Aristotle "On The Soul" sebanyak dua ratus kali dan membaca "the
Physics" empat puluh kali. Antara keunikan Al-Farabi ialah beliau tidak mengabaikan ilmuilmu dan sumber dari tamadun sebelumnya.
Karya-karya beliau banyak dipengaruhi oleh ahli-ahli falsafah Plato dan Aristotle,
dibuktikan melalui persamaan teori-teori beliau dengan tokoh-tokoh Tamadun Yunani
tersebut. Namun begitu, bukan semua pendapat-pendapat Plato dan Aristotle dijamah oleh
Al-Farabi begitu sahaja. Beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep
pemisahan dalam kehidupan manusia (IslamGrid, n.d.). Selain itu, beliau juga menambah
pandangan-pandangan beliau yang tersendiri dalam karyanya. Walaupun kita berada dalam
kemelut pengaruh hegemoni Barat yang menyumbang kepada pelbagai keburukan, namun
terdapat juga manfaat dari dominasi dunia Barat, terutamanya dari segi rujukan ilmu. Cara

Al-Farabi dalam menggabungkan pengetahuan Yunani dan Islam boleh diaplikasikan ke


dalam kaedah pembelajaran kita seperti menggabungkan idea Barat dan Timur untuk
menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti.
Dalam konteks metafizik, Menurut Netton (1983), Al-Farabi telah menyatakan
falsafah beliau tentang konsep Tuhan yang tidak mempunyai pasangan dan bersifat Esa.
Beliau juga telah mencipta satu hierarki kewujudan yang meletakkan Tuhan di tingkat teratas
piramid hierarki tersebut. Konsep kepercayaan kepada ketuhanan ini selari dengan rukun
negara pertama yang diamalkan di Malaysia, iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Pemikiran
Al-Farabi dalam kewujudan Tuhan menunjukkan bahawa beliau mempercayai adanya Tuhan
dan beliau juga kerap menyatakan Tuhan ialah Allah dalam tulisan-tulisannya. Pemikiran ini
menunjukkan bahawa Al-Farabi boleh dicintohi oleh rakyat zaman moden dari segi
kerohanian.
Al-Farabi telah menghasilkan beberapa karya agung dalam bidang epistemologi
yang berkait dengan intelek manusia, iaitu Kitab Ihsa' al-'Ulum, Risala fi'l-'aql dan Kitab alHuruf. Penghasilan kitab-kitab ini telah membawa kepada pengenalan pertama pemikiran
logik kepada umat Islam dan penekanan terhadap pembelajaran Matematik. Dalam
terjemahan buku Al-Farabi oleh Ja'afar Al-Yasin pada tahun 1983, Al-Farabi menyatakan
bahawa kemahiran Matematik merupakan indikator kebijaksanaan seseorang (Muhammad
Rauf et al., 2013). Ideologi Al-Farabi untuk mempertingkatkan lagi perkembangan dalam
bidang intelek sangat relevan terhadap dunia masa kini.
Satu ciri lain yang dapat menjadikan Al-Farabi sebagai contoh sepanjang zaman
adalah semangat beliau dalam menimba segala jenis ilmu, berbanding hanya bertumpu
kepada satu bidang yang tetap. Telah dicatatkan bahawa Al-Farabi telah menghasilkan 117
karya yang terdiri daripada 43 karya mengenai pemikiran logik, 11 mengenai metafizik, 7
dalam etika dan sains politik, 17 tentang muzik, perubatan dan sosiologi manakala
selebihnya merupakan ulasan (Sawhney, 2003). Dalam usaha membangunkan sesebuah
negara, penyertaan rakyat amatlah penting dari segi keluasan pengetahuan dan pemikiran.
Oleh itu, kelahiran pakar dalam pelbagai bidang dapat menjadi pemangkin dalam
mempercepatkan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Di samping itu, Al-Farabi
juga merupakan seorang yang berinovasi. Bukan sahaja penghasilan penulisan, malah
beliau juga terkenal dalam aspek ciptaan. Sumbangan beliau dalam bidang muzik ialah
melalui penciptaan Kitab al-Musiqa (Buku Muzik) dan alat-alat muzik, seperti gambus.
Al-Farabi telah mempengaruhi ramai ahli falsafah Islam yang muncul selepasnya.
Karya metafizik beliau telah banyak memberi impak kepada Ibnu Sina, tokoh perubatan
Islam tersohor, contohnya dalam asas pembinaan hierarki intelek beliau. Yahya ibn 'Adi,

anak murid Al-Farabi telah meneruskan legasi beliau dalam pengajian pemikiran logik.
Semangat inkuiri terhadap bidang logik ini diteruskan lagi oleh Abu Sulayman Al-Sijistani,
pewaris ilmu Yahya, sehingga beliau digelar al-Mantiqi ataupun "Ahli Logik". Perhubungan
Al-Sijistani dengan Al-Farabi dapat dikesan dalam penggunaan klasifikasi berunsurkan
falsafah Plato oleh Al-Sijistani. Kepentingan penggunaan logik juga pernah diutarakan oleh
Abu Hayyan Al-Tawhidi, juga merupakan pelajar Yahya dan Al-Sijistani. Namun begitu,
pengaruh Al-Farabi tidak terhenti di situ, malah ahli-ahli falsafah Yahudi juga pernah
mengkaji karya-karya Al-Farabi dan penulisan Al-Farabi juga dijadikan manuskrip dalam
bahasa Hebrew (Azimkhan, n.d. dalam Brusilovskaya, n.d.). Pengiktirafan ahli-ahli falsafah
Islam dan Yahudi menjadikan Al-Farabi sebagai sebuah contoh memberi bukti yang kukuh
bahawa Al-Farabi merupakan tokoh yang sesuai dijadikan contoh pada masa kini
disebabkan oleh cara pemikiran beliau yang bersifat terbuka dan usaha beliau yang
konsisten dalam bidang yang beliau telah kaji.
Anel Azimkhan (n.d.). telah menganggap Al-Farabi sebagai simbol Zaman
Kegemilangan Islam. Beliau mempunyai cita-cita yang tinggi dalam menyatukan Timur dan
Barat, seperti yang dapat dibuktikan melalui hasil karyanya yang berasaskan falsafah
Tamadun Yunani. Oleh itu, agak tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau
merupakan wahana kesatuan budaya dan masa pada waktu itu yang menyebabkan hasil
kerja beliau masih relevan dan boleh diterima sehingga hari ini. Tambah Azimkhan lagi, AlFarabi merupakan kunci untuk memahami keadaan pada zaman itu (Brusilovskaya, n.d.).
Kelebihan yang dapat dilihat pada Al-Farabi ialah kemahiran beliau dalam berfikir di luar
prospek dan lingkungan kawasan. Beliau berfikir tentang soalan-soalan yang
memperlihatkan isu-isu global tentang bidang falsafah seperti kedudukan manusia di dunia
ini.
Ibnu Sina
Nama sebenar beliau ialah Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina,
namun beliau lebih popular dengan nama samara Ibnu Sina, ataupun Avicenna di dunia
Barat. Lahir pada tahun 370 Hijrah, beliau mendapat pendidikan awal beliau di kampung
halaman, Afshana di Uzbekistan dalam pengajian Al-Quran dan sastera. Kehebatan Ibnu
Sina dapat dilihat sejak beliau berumur belasan tahun apabila beliau berjaya menghafaz AlQuran dan puisi-puisi Arab ketika berumur 10 tahun. Beliau mula menimba ilmu perubatan
semasa berusia 13 tahun, dan berjaya memahiri bidang tersebut dalam masa 3 tahun, iaitu
ketika beliau masih berumur 16 tahun dan telah mengaplikasikan pengetahuan beliau
dengan merawat pesakit. Kebolehan Ibnu Sina dalam mempelajari sesebuah bidang yang
agak sukar dalam masa yang singkat dan pada umur yang amat muda merupakan salah

satu sebab beliau dapat menjadi teladan sepanjang zaman kerana beliau telah
menunjukkan bahawa umur adalah halangan untuk menceburi minat pelajar zaman kini
cuma satu andaian yang tidak tepat.
Dalam usaha beliau mencari ilmu, Ibnu Sina telah berhijrah dari satu tempat
ke tempat yang lain. Kaedah pencarian ilmu beliau wajar dicontohi oleh pencinta ilmu zaman
moden kita dapat mencari pelbagai pendapat yang berbeza-beza dari ahli fikir yang
berlainan, seterusnya menjana pengetahuan yang lebih meluas dan mendalam serta
memperoleh pengalaman yang bermanfaat. Ibnu Sina pernah berhijrah ke Jurjan, Rai dan
Hamadan. Di Hamadan, beliau telah mencipta karya unggul beliau iaitu Al-Qanun fi-Tibb
yang bermaksud The Canon of Medicine, selain daripada merawat Shams Al-Daulah,
pemerintah Hamadan pada waktu itu daripada penyakit kolik yang teruk.
Personaliti Ibnu Sina juga merupakan sesuatu yang dapat diteladani oleh
rakyat zaman sekarang terutamanya dari aspek ketakwaan dan kesederhanaan beliau.
Pemerintah kerajaan Samaniyah pada waktu itu, Nooh Ibnu Mansoor, telah ditimpa sebuah
penyakit yang tidak dapat dirawat walaupun oleh pakar perubatan yang tersohor,
sehinggalah baginda bertemu dengan Ibnu Sina. Atas dasar terhutang budi, baginda ingin
membalas jasa beliau dengan memberi ganjaran kepadanya, namun ditolak oleh Ibnu Sina.
Sebaliknya, Ibnu Sina cuma meminta kebenaran menggunakan perpustakaan istana yang
sarat dengan beraneka jenis buku. Ini menunjukkan bahawa Ibnu Sina tidak peduli akan
kekayaan dan harta dunia, sebaliknya beliau cuma menumpukan perhatian terhadap
pencarian ilmu. Dalam erti kata lain, Ibnu Sina ikhlas dalam menimba ilmu dan dalam
menolong orang.
Encyclopaedia Brittanica telah menyatakan bahawa "... the power of
concentration and the intellectual prowess of [ibn Sina] was such that he was able to
continue his intellectual work with remarkable consistency and continuity and was not at all
influenced by the outward disturbances." Pergolakan kuasa dalam kerajaan Samaniyah dan
kewafatan ayahnya merupakan satu titik hitam dalam kehidupan beliau. Namun begitu,
beliau masih meneruskan perjalanan beliau merantau ke Khurasan, Gorgan, Khwarazm dan
Rey dan memberi tumpuan dalam menyebarkan ilmu kepada pelajar-pelajarnya serta
tanggungjawabnya sebagai seorang doktor dan pentadbir (O'Connor dan Robertson, 1999).
Walaupun bergolak dan bertarung dengan kehidupan beliau yang huru-hara, beliau masih
berupaya memberi sumbangan beliau secara konsisten tanpa dipengaruhi oleh persekitaran
beliau.
Kebijaksanaan Ibnu Sina tidak boleh disangkal, dibuktikan melalui hasil kerja
beliau yang dijadikan sumber rujukan oleh orang-orang selepas beliau dan terbukti masih

relevan sehingga masa kini. Menurut Zahoor (n.d.)., Qanun fi-Tibb telah diterjemahkan dan
diterbitkan semula kepada Bahasa Latin dan Ibrani. Ia juga telah diiktiraf sebagai buku teks
untuk sekolah-sekolah perubatan di Eropah pada waktu dahulu. Pengaruh kitab ini juga
tersebar hingga ke Barat apabila ia dijadikan tunjang utama panduan sains perubatan di
Barat. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa kebijaksanaan tokoh ini merentasi masa dan
budaya dan layak dijadikan tokoh sepanjang zaman.
Di samping Qanun fi-Tibb, O'Connor dan Robertson (1999) telah menyatakan
bahawa Ibnu Sina telah menulis sebanyak 450 karya, di mana hanya 240 hasil kerja
tersebut berjaya dikekalkan. Terkenal sebagai seorang yang berkebolehan dalam banyak
bidang, Ibnu Sina telah menghasilkan 150 karya tentang falsafah, 40 penulisan perubatan,
dan selebihnya berada dalam bidang psikologi, geologi, matematik, astronomi dan ilmu
mantik. Inovasi beliau juga telah memberi sumbangan yang besar kepada kita pada zaman
ini. Contohnya ialah penghasilan benang khusus untuk pembedahan dan penciptaan
picagari (Mahayudin Hj. Yahya et al., 2013), ubat-ubatan, mengesan punca-punca penyakit
dan kaedah rawatannya serta serta membina sebuah alat untuk menentukan koordinat dan
kedudukan bintang-bintang.
Ternyata Ibnu Sina merupakan seorang tokoh Islam yang bukan sahaja dapat
dicontohi oleh masyarakat pada zaman beliau, malah oleh masyarakat zaman ini, kerana
hasil kerja beliau relevan dengan perkembangan dunia semasa dan personaliti beliau yang
seimbang dari segi rohani dan intelek juga amat bermanfaat untuk diikuti oleh masyarakat
moden kita ini.