You are on page 1of 13

PROFESION KEGURUAN

EN. M. ELANGKO A/L MUNIANDY


JABATAN ILMU PENDIDKAN
IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN
elangko2003@gmail.com

1.0

Pendahuluan
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat

mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan


perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan
pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru, dengan
pelaksanaan berbagai-bagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan
dan tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar.
Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan
dewasa ini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan
tugas guru sekarang tidak mewujudkan profesion keguruan yang menarik. Malah tidak
dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan
pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi
muncul dari situasi yang tidak diduga( Abdul Shukor, 1996). Jika keadaan sedemikian
dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran-pembelajaran di sekolah kini akan
menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk
mencapai matlamat yang diidamkan. Persepsi seperti ini sudah tentulah akan menjejaskan
reputasi profesion keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia.
2.0

Keguruan Sebagai Satu Profesion

Mengajar ialah pekerjaan profesional. Tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat
intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata
atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.
Janet A. Weiss (1989,2)
1

Penyataan seperti yang dikemukakan oleh Weiss (1989) di atas memperlihatkan


antara ciri profesion keguruan. Ciri utama sebuah profesion ialah yang melibatkan proses
membuat keputusan berdasarkan pengetahuan formal yang diperoleh daripada pendidikan
dan amalan yang menyeluruh. Secara ringkasnya, ciri utama sebuah profesion ialah
mempunyai asas pengetahuan yang kukuh berkaitan dengan tugas (Bowman,1989).
Berdasarkan asas pengetahuan ini, individu profesional adalah seorang pakar dalam
bidang yang khusus dan terhad serta melaksanakan tugas berdasarkan kompleksiti dan
penyesuaian. Golongan profesional turut mempunyai kebebasan untuk melaksanakan
tugas berlandaskan pertimbangan bijak (educated judgment) yang tidak dimiliki oleh
individu lain yang tidak mempunyai pengetahuan atau kelayakan berkaitan (Freidson,
1986, 141).
Seorang profesional ialah individu yang bersifat objektif, adil dan tidak
mementingkan diri sendiri. Perhubungan dengan klien adalah dibatasi oleh tugas secara
teknikal dan mengelakkan penglibatan secara emosi. Ciri ini membolehkan seorang
profesional membuat keputusan yang munasabah dan rasional bagi pihak klien.
Ciri seterusnya bagi seorang profesional ialah berkenaan dengan tahap
perkhidmatan yang diberikan kepada klien. Individu profesional diharapkan sentiasa
memberikan keutamaan kepada klien dan melakukan tindakan yang sewajarnya demi
kepentingan klien. Hal ini demikian kerana klien menaruh keyakinan yang tinggi terhadap
individu profesional tersebut untuk membantunya.
Orientasi berasaskan kumpulan (reference-group orientation) merupakan salah
satu ciri yang penting bagi individu profesional. Kumpulan yang penting bagi golongan
ini ialah teridiri daripada rakan sejawat yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang
yang sama dan berguna dalam proses membuat keputusan. Golongan profesional ini
menitikberatkan integriti profesion dan perkhidmatan yang diberikan kepada klien
mereka.
Ciri lain bagi profesion ialah mempunyai struktur kawalan yang jelas (distinctive
control structure) di mana kepakaran mereka adalah berdasarkan pengetahuan teoritikal
2

dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan yang panjang. Dalam hal ini, golongan
profesional mengharapkan autonomi dalam melaksanakan kepakaran mereka dan
berpandangan bahawa mereka layak untuk membuat sebarang keputusan dalam ruang
lingkup bidang kepakaran mereka. Danisiewicz (1985) menyatakan terdapat dua bentuk
autonomi klien dan organisasi. Golongan profesional mengawal klien mereka dan
responsif terhadap keperluan klien mereka. Dalam masa yang sama juga, prestasi
golongan profesional ini tertakluk kepada kawalan dan kehendak organisasi mereka yang
mengurangkan tahap profesional mereka.
Ciri terakhir profesional ialah golongan ini mempunyai suatu kod etika yang
memandu aktiviti mereka. Kod etika ini digubal untuk melindungi profesion dan klien
atau kepentingan awam (Benvineste, 1987, 40).
Kesimpulannya, ciri sesuatu profesion merangkumi pengetahuan teknikal yang
diperoleh daripada latihan berjangka panjang; akur kepada norma profesional

yang

meliputi keobjektifan profesion, tidak mementingkan diri dan tidak berat sebelah;
berorientasi berasaskan kumpulan; mempunyai autonomi dalam membuat keputusan
profesional; dan mempunyai kod etika tersendiri berdasarkan pengetahuan, tanda aras dan
pendapat rakan sejawat. Ciri-ciri yang disenaraikan di atas merupakan ciri-ciri yang
melayakkan bidang keguruan sebagai satu profesion.
3.0

Ciri Profesionalisme Guru

Guru yang profesional ditakrifkan sebagai seorang guru yang tahu cara

menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dalam bidangnya. Guru yang profesional
sentiasa terbuka untuk belajar tentang cara meningkatkan mutu amalannya serta sentiasa
berusaha memperbaiki dirinya. Guru yang profesional sentiasa bersedia berkongsi
kepakarannya dengan profesional lain dalm bidang keguruan. Matlamat kerjaya seorang
guru yang profesional ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan
(continuous development) (Wan Mohd Zahid Noordin, 2003).

Tugas guru yang berbentuk meningkatkan tahap pembelajaran, pengetahuan dan


pencapaian melayakkan guru digelar sebagai seorang profesional dengan kemahiran dan
kompetensi yang dimiliki untuk melaksanakan tugas tersebut. Impak daripada tugas
profesional yang dilaksanakan oleh guru ternyata memberikan sumbangan yang amat
signifikan terhadap ekonomi dan masa depan negara khususnya dalam konteks
pembinaan modal insan.
4.0

Cabaran Dalam Profesion Keguruan

Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru
membuat anjakan paradigma yang menyeluruh. Pergolakan dalam bidang pendidikan
memerlukan guru meneliti setiap aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan
perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat
dalam sesebuah institusi pendidikan.
Kompleksiti tugas dalam profesion keguruan sering disalahtafsir oleh ahli
masyarakat yang beranggapan bahawa jadual tugas guru amat mudah dan guru hanya
perlu bekerja setengah hari sahaja dan mempunyai cuti yang banyak. Pada hakikatnya,
tugas guru adalah melangkaui waktu persekolahan. Di samping melaksanakan
tanggungjawab mengajar murid, guru turut berperanan melaksanakan tugas berdasarkan
arahan dan keperluan tugas yang lain.
Noriah (1994) menyatakan bahawa profesion keguruan merupakan profesion yang
tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas. Bebanan kerja guru bukan sahaja
mengajar tetapi juga melaksanakan kerja perkeranian dan pentadbiran, menjalankan
aktiviti kokurikulum dan juga kerja-kerja Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (Faridah
dan Zubaidah 1999). Selain daripada itu, guru juga turut menjalankan tugas tambahan
seperti menjadi guru penasihat persatuan, jurulatih permainan dan sukan, mengendalikan
rekod murid, memeriksa kerja murid, menyedia persediaan mengajar serta kertas soalan
dan menanda kertas peperiksaan. Pelaksanaan tugas tambahan ini menuntut guru untuk

datang ke sekolah selepas waktu persekolahan termasuklah pada hujung minggu dan
semasa cuti persekolahan.
Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, guru turut berhadapan dengan
masalah yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan tugas hakiki sebagai
pendidik. Guru perlu mengendalikan murid bermasalah, menghadapi konflik dengan
pihak pentadbiran, kritikan masyarakat, kekangan sumber dan sebagainya. Cabaran yang
dihadapi guru pada masa kini bukan sahaja datang daripada pihak sekolah, bilik darjah
atau murid tetapi merangkumi harapan dan ekspektasi daripada masyarakat dan negara.
Perkembangan dunia tanpa sempadan menuntut guru untuk melihat proses pengajaran dan
pembelajaran dalam konteks yang lebih luas dan bukannya dalam konteks tradisional lagi.
Guru masa kini perlu menjalankan tugas yang diamanahkan untuk mendidik generasi
muda menjadi warganegara seperti yang diaspirasikan oleh masyarakat dan negara.
Justeru, profesion keguruan yang semakin mencabar dalam era globalisasi ini
menuntut guru untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan emosi untuk memastikan
proses mendidik anak bangsa berjalan lancar di samping memenuhi tuntutan dan harapan
ibu bapa, masyarakat dan negara agar murid akan dapat mengharungi cabaran era
globalisasi dengan penuh yakin dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Cabaran yang dihadapi oleh guru dalam profesion keguruan boleh dikategorikan
seperti berikut:
4.1

Cabaran Daripada Pihak Sekolah


Cabaran daripada pihak sekolah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh

guru. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan melihat kejayaan sekolah


berdasarkan prestasi peperiksaan yang dicapai oleh muridnya. Fenomena ini mencetuskan
persaingan akademik dalam kalangan pentadbir sekolah untuk mendapatkan pengiktirafan
umum dengan mengarahkan guru mengadakan program akademik seperti kelas tambahan
termasuk dalam masa cuti dan menambah bilangan buku rujukan serta menjalankan
aktiviti bercorak motivasi untuk menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan. Hal
5

ini memberikan tekanan kepada guru serta menambahkan lagi beban tugas mereka.
Sekiranya peratusan kelulusan yang disasarkan tidak dicapai maka guru akan dianggap
sebagai guru yang tidak komited dan kurang berjaya.
Selain daripada itu, masalah kekurangan guru, kekurangan prasarana dan
kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh sesetengah sekolah turut
memberikan tekanan kepada guru. Kekurangan tenaga guru menyebabkan guru sedia ada
terpaksa memikul tanggungjawab tambahan untuk mengajar mata pelajaran yang bukan
opsyennya. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya untuk
membuat persediaan rapi dengan merujuk kepada bahan pembelajaran mata pelajaran
yang bukan opsyennya.
Di samping itu, bilangan murid yang ramai dalam sebuah bilik darjah turut
memberikan cabaran dan tekanan kepada guru. Keadaan yang sesak ditambah pula
dengan pelbagai karenah murid memberikan cabaran kepada guru untuk memastikan
pengajarannya benar-benar berkesan dan berkualiti. Justeru, sebagai jalan pintas untuk
menangani cabaran tersebut, guru akan memilih kaedah tradisional untuk melaksanakan
tugasnya.
4.2

Cabaran Daripada Murid


Pengurusan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah merupakan cabaran

kepada guru. Pelbagai karenah yang dijelmakan oleh murid daripada pelbagai latar
belakang, tahap pencapaian dan kebolehan merupakan situasi yang sering dihadapi oleh
guru. Kewujudan keperluan yang berbeza dalam kalangan murid merupakan cabaran
kepada guru yang menuntut usaha yang lebih daripada pihak guru untuk memahami serta
memenuhi kepelbagaian murid serta keperluan mereka. Dalam hal ini, guru perlu
mempunyai pengetahuan yang secukupnya dalam aspek memahami keperluan murid serta
mempunyai kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik supaya proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan lancar.

Guru juga terbeban dengan masalah tingkah laku dan disiplin dalam kalangan
murid. Selain itu, masalah murid yang tidak mempunyai minat untuk mengikuti proses
pengajaran dan pembelajaran merupakan masalah yang perlu ditangani oleh guru.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, implikasi terhadap murid
bermasalah dan murid lain akan menjadi lebih serius.
Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah amat
diperlukan bagi menangani masalah yang timbul ekoran daripada kekurangan prasarana
sekolah, sikap dan tingkah laku pelajar. Masyarakat dapat membantu dari aspek
penyediaan prasarana sekolah manakala ibu bapa dapat membantu dari aspek pemantauan
aktiviti

anak-anak mereka di rumah. Kolaborasi antara pihak sekolah, masyarakat dan

ibu bapa sudah tentu akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh
guru dalam memberikan pendidikan yang berkualiti.
4.3

Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Ibu bapa


Profesion keguruan sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat. Tanggungjawab

mendidik seringkali diserahkan sepenuhnya oleh ibu bapa kepada guru. Kehendak ibu
bapa yang mahukan guru mendidik anak mereka dan membentuk sahsiah dan
keperibadian serta kebolehan intelektual anak mereka merupakan tanggungjawab dan
cabaran yang amat berat bagi guru. Ibu bapa juga cepat mempersalah dan
mempertikaikan tindakan guru terutama sekiranya berlaku sesuatu peristiwa yang kurang
disenangi di sekolah yang melibatkan anak mereka. Sehubungan itu, adalah amat penting
bagi guru untuk mengetahui latar belakang murid dan keluarga, matlamat dan aspirasi ibu
bapa terhadap anak mereka bagi membolehkan guru menjalankan tugas mereka dengan
lancar dan penuh keyakinan. Selain itu, perkongsian dan jaringan pintar serta hubungan
yang baik antara ibu bapa dan sekolah perlu dimantapkan supaya proses pendidikan akan
dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kurang memberikan tekanan kepada guru.

4.4

Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Negara


Guru ialah golongan yang menjadi harapan negara dalam proses pembentukan

modal insan demi kemajuan negara di masa hadapan. Peranan guru dalam merealisasikan
misi dan visi negara tertakluk kepada bentuk warga yang dihasilkan melalui sistem
pendidikan negara. Dalam konteks ini, guru perlu memahami aspirasi masyarakat dan
negara terhadap golongan guru. Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Negara merupakan antara dokumen yang
perlu difahami dan dihayati oleh guru dalam usaha untuk merealisasikan hasrat negara
melalui proses pembinaan modal insan. Penghasilan modal insan yang seimbang dari
aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi yang menjadi tunjang pendidikan di bawah
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan
penuh tanggungjawab.
Cabaran yang dihadapi oleh guru melalui perubahan kurikulum yang bersifat
dinamik selaras dengan keperluan semasa menuntut guru untuk melakukan penyesuaian
agar segala objektif yang disasarkan melalui perubahan kurikulum akan dapat dicapai.
Perubahan secara mendadak boleh memberi tekanan kepada guru. Sehubungan itu, guru
perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan psikologi serta meningkatkan pengetahuan
mereka bagi melaksanakan perubahan yang diharapkan.
Selaku role model kepada murid, guru harus mempunyai ciri dan nilai yang boleh
diteladani oleh murid. Ciri dan nilai positif yang perlu ada pada setiap guru meliputi
ketrampilan diri, pengetahuan, akhlak dan keperibadian yang tinggi serta pengamalan
nilai murni di dalam dan di luar bilik darjah. Penyesuaian dalam kalangan masyarakat
pelbagai etnik menuntut guru melakukan penyesuaian supaya selari dengan norma yang
diamalkan oleh masyarakat setempat. Justeru, guru perlu menunjukkan kewibawaan dan
keterampilan yang boleh diteladani oleh muridnya.

4.5

Cabaran Untuk Memenuhi Tuntutan Perubahan Semasa


Masa kini, cabaran utama guru adalah berkaitan dengan keperluan masyarakat dan

negara dalam menghadapi era globalisasi dan k-ekonomi. Hargreaves (2003)


menyenaraikan tiga cabaran utama guru dlam era k-ekonomi iaitu: 1) menjadi pemangkin
kepada masyarakat berpengetahuan (knowledge society) untuk merealisasikan peluang
yang dibawa bersamanya; 2) menjadi pengimbang kepada masyarakat dari ancaman yang
dibawa oleh era k-ekonomi; dan 3) menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan untuk
memenuhi jangkaan dari segi pendidikan dengan menggunakan kos yang minima. Dalam
hal ini, bidang pendidikan dan guru adalah diharapkan berfungsi sebagai penyelamat
masyarakat.
Masyarakat yang berpengetahuan merujuk kepada sistem ekonomi yang dijana
melalui aspek kreativiti dan keaslian. Hal ini menyebabkan masa hadapan dan
kemakmuran negara bergantung kepada kemahiran tenaga kerjanya (k-worker) yang
meliputi aspek menterjemahkan idea yang kompleks, mengambil peluang daripada
perkembangan sains dan teknologi serta menyelesaikan masalah yang belum pernah
dihadapi. Tambahan pula, golongan k-worker ini diharapkan akan dapat memberikan nilai
tambah kepada sebarang bentuk produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sehubungan
itu, sekolah dan guru adalah diharapkan dapat memainkan peranan penting dengan
sebaiknya dalam menyediakan murid dengan kualiti tersebut dan memperkembangkan
pengajaran tentang kreativiti dan keaslian. Justeru, guru dan sekolah adlah diharapkan
akan dapat melahirkan modal insan yang berfungsi untuk kesejahteraan diri dan
menyumbang ke arah pembangunan negara.
4.6

Cabaran Dalam Diri Guru Terhadap Profesion Keguruan

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru ialah untuk memotivasikan diri menjadi
pendidik selaras dengan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara. Tekanan beban kerja,
penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan yang agak hambar serta imbuhan
pendapatan yang tidak setanding dengan golongan profesional lain boleh dikaitkan
9

dengan tahap motivasi dalaman guru. Faktor bebanan tugas yang boleh menimbulkan
fenomena burn out dalam kalangan guru, imbuhan kerja yang kurang menarik dan
kekurangan peluang kenaikan pangkat menjadi faktor penolak kepada guru untuk terus
kekal dalam profesion yang mulia ini.
Namun demikian, telah wujud usaha oleh pihak kerajaan untuk menangani isu ini
dengan mempelbagaikan peluang kenaikan pangkat dan penyediaan struktur gaji yang
lebih menarik serta penyediaan persekitaran kerja yang lebih kondusif demi kebajikan
guru di samping untuk menarik lebih ramai individu menyertai profesion keguruan. Hal
ini turut dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 2010 (PIPP) di
bawah teras strategik Memartabatkan Profesion Keguruan.
5.0

Memartabatkan Profesion Keguruan di bawah Pelan Induk Pembangunan


Pendidikan 2006 2010 (PIPP)
Dalam usaha untuk memotivasikan guru serta meletakkan profesion keguruan

setanding dengan golongan profesional lain, Kementerian Pelajaran melalui Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan 2006 2010 (PIPP), telah menggariskan teras strategik khas
berkaitan dengan profesion keguruan iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan.
Di bawah teras ini, KPM telah menggubal dasar untuk memartabatkan profesion
keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Bagi
mencapai matlamat dan dasar tersebut, fokus untuk memartabatkan profesion keguruan
adalah:
i.

menambah baik sistem pemilihan calon guru;

ii.

memantapkan latihan perguruan;

iii.

memantapkan kerjaya guru;

iv.

menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru; dan

v.

memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

10

Selain daripada meneruskan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti, KPM
turut berhasrat untuk memastikan guru yang berkualiti akan kekal dalam sistem
pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPM telah menggariskan beberapa strategi
berdasarkan fokus yang ditetapkan seperti berikut:
i.

Menambah baik sistem pemilihan calon guru dengan memperketat syarat dan
kriteria pengambilan calon guru.

ii.

Memantapkan latihan perguruan dengan:


a)

menaik taraf maktab perguruan kepada IPG yang menawarkan program


pada peringkat ijazah sarjana muda pendidikan;

b)

mereka bentuk serta menggubal kurikulum IPG secara berpusat dan


mendapat kelulusan Majlis Kurikulum Pendidikan Guru;

c)

meningkatkan pemantapan dan peluasan kursus dan latihan; dan

d)

memperluas dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan


(R&D).

iii.

Memantapkan kerjaya guru dengan menambah baik perjawatan guru dan


menambah perjawatan dan peluasan kenaikan pangkat untuk PPPS

di

KPM/JPN/PPD/G.
iv.

Menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru dengan menyediakan


persekitaran kerja yang kondusif serta menempatkan guru mengikut opsyen dan
keperluan.

v.

Memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia dengan


penyediaan mekanisme bekalan guru.

6.0

Penutup
Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini

menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap profesion keguruan. Profesion


keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa
sahaja. Hanya mereka yang mempunyai kualiti, keterampilan, kewibawaan, kelayakan,
11

minat, iltizam dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut
kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi,
pemantapan kebajikan dan kerjaya harus terus diberi penekanan oleh pihak kerajaan.
Skim perkhidmatan keguruan perlu terus diperbaiki bermula daripada aspek pengambilan,
latihan dan penempatan bagi memastikan guru-guru berpeluang menikmati skim yang
setara atau lebih baik daripada skim perkhidmatan profesional yang lain. Pendekatan yang
mewujudkan laluan kerjaya profesion keguruan yang lebih menarik akan meningkatkan
persepsi masyarakat terhadap profesion keguruan, menarik minat individu lain untuk
menyertai profesion ini serta akan dapat melahir dan mengekalkan guru-guru berkualiti
dan sekali gus memartabatkan profesion keguruan yang mulia ini.

12

RUJUKAN
Bakhtiar Mansor. 1993. Perguruan: Satu Perspektif Perkembangan Kerjaya dalam
Jurnal Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur: Institut Aminuddin Baki.
Hoy, K.W. & Miskel, G.C. 1991. Educational Administration: Theory, Research &
Practice.(ed. 4) New York: McGraw Hill Inc.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 20062010. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2005. Pendidikan Di Malaysia. Putrajaya: Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Risalah Maklumat Asas Pendidikan. Putrajaya:
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Norzaini Azman & Mohammed Sani Ibrahim. 2007. Profesion Perguruan. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan:Satu Pengenalan. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Shuib Dirwan & Johari Seman. 2001. Profesyen Keguruan Di Malaysia: Sejauh Manakah
Martabatnya Kini? dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 40 48.
Yazid Abdul Manap. 2001. Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab
Bersama dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 15 33.

13

You might also like