You are on page 1of 7

Moral dan undang-undang -- Jangan gadai

maruah dan negara untuk keseronokan hari


ini
BAGI sesebuah masyarakat yang bertamadun, perbincangan mengenai soal moral ataupun
akhlak tidak dapat dielakkan, walaupun ia sering menimbulkan kontroversi. Ini berlaku kerana
apabila manusia mula hidup bermasyarakat, peraturan terpaksa diwujudkan bagi menentukan hak
dan tanggungjawab. Darinya lahirlah adat resam yang menggariskan kaedah dalam menguruskan
perhubungan di antara individu dan masyarakat dan di sebaliknya.
Apabila masyarakat mempunyai persamaan sama ada dari segi bangsa atau sempadan negara
yang lebih tetap dan terjamin, maka timbullah keperluan untuk mengadakan undang-undang
yang boleh diterima. Undang-undang seterusnya terjalin dari budaya dan adat resam yang perlu
dikuatkuasakan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta negara yang
telah ditubuhkan.
Undang-undang juga boleh ditentukan dari sumber hukum agama yang diturunkan Allah melalui
para nabi dan rasul ataupun melalui kepercayaan yang dijuruskan melalui pegangan falsafah atau
kepercayaan masyarakat berkenaan.
Dalam hubungan ini kita perlu melihat bagaimana moral dan undang-undang mempunyai
hubungan yang bertaut. Adakala hubungan tersebut jelas dan adakalanya juga kabur.
Oleh kerana undang-undang dan moral mempunyai kaitan yang rapat maka ia menjadi unsur
penting dalam kehidupan harian manusia bagi menjamin kesempurnaan dan kesejahteraan.
Seorang ahli falsafah di abad kelapan belas, Immanuel Kant, dalam penulisannya bertajuk
Critique of Pure Reason menyatakan, "Dua perkara mengisi pemikiran saya dengan penuh
kehairanan dan ketakjuban - lebih kerap dan lebih hebat lagi ialah apabila saya membayangkan
perkara tersebut semasa memerhati langit di atas dengan bintang-bintang yang bergemerlipan
serta undang-undang dan akhlak yang tertanam di jiwa."
Immanuel Kant telah memilih pendekatan yang mencantumkan akhlak dan undang-undang dan
disebut sebagai undang-undang akhlak. Namun semenjak itu bukan sahaja dua perkara tersebut

terpisah, malahan kedua-duanya sudah mula diberi penakrifan yang tersendiri. Keadaan ini
membuatkan masyarakat bertanya tentang - apakah undang-undang dan apakah akhlak?
Penulis Alexander Pope pula dalam karyanya #An Essay On Men membuat pemerhatian bahawa
Order Is Heaven's First Law, ia bermaksud ketenteraman adalah undang-undang pertama di
syurga.
Sebenarnya undang-undang adalah satu kumpulan peraturan atau kanun rasmi yang dibuat oleh
mereka yang berkuasa untuk mengawal hal ehwal masyarakat dan negara.
Mengikut Austin, "setiap undang-undang mengandungi peraturan untuk memandu manusia yang
waras dan ditadbir oleh manusia yang waras.'' Dalam konteks negara ia bermaksud kita
memerlukan kewujudan kerajaan yang waras untuk memerintah rakyat yang waras. Ini tidak
bermakna bahawa masyarakat primitif tidak mempunyai peraturan, ataupun undang-undang yang
berkuat kuasa bagi mengawasi tatacara hidup mereka. Sebagaimana yang diungkapkan oleh
Alexander Pope, "untuk keamanan dan ketenteraman dalam sesebuah masyarakat, undangundang diperlukan.''
Persoalan yang timbul apabila kita memperkatakan tentang penakrifan undang-undang ialah
apakah perlu dibezakan antara undang-undang Tuhan dan undang-undang yang dicipta oleh
manusia. Dalam Islam, konsep hukuman terhadap kesalahan dilihat melalui dua pendekatan.
Pertama melalui undang-undang yang berdasarkan kepada hukum Tuhan yang ditetapkan
mengikut kaedah yang ditentukan oleh Quran atau sunah rasul.
Keduanya, jika hukuman tersebut tidak dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu seseorang itu
masih lagi tidak dapat mengelakkan dirinya dari hukuman Allah melalui konsep dosa di akhirat
kelak.
Dalam kata lain jika seseorang tidak mematuhi undang-undang atau melanggarnya ia tetap
tertakluk kepada hukuman Tuhan di atas kesalahan yang dilakukan. Justeru itu, kepatuhan
kepada undang-undang berjaya dilaksanakan kerana ada ancaman hukuman terhadap mereka
yang melanggarinya.
Moral ataupun akhlak secara umumnya adalah nilai-nilai yang diamalkan oleh sesebuah
masyarakat pada sesuatu masa yang boleh berubah menjadi adat.

Ia juga kemudiannya boleh bertukar menjadi satu peraturan hidup bermasyarakat. Standard yang
diterima oleh masyarakat akan berubah dari masa ke masa mengikut sistem nilai yang diamalkan
oleh masyarakat berkenaan.
Apabila membicarakan persoalan hak dan batil ia selalunya dikaitkan dengan prinsip ajaran
agama dan hukum agama yang dipanggil sebagai undang-undang Tuhan.
Walaupun boleh dikatakan bahawa akhlak sebenarnya bersendikan ajaran agama tetapi ia juga
boleh berkembang dari pegangan dan pandangan masyarakat yang mengambilnya sebagai
amalan lazim.
Di peringkat awal perkembangan undang-undang, terangkum dalam sistem akhlak yang diakui
perlu dipertahankan oleh masyarakat tetapi kini proses mengasingkan undang-undang daripada
akhlak sudah menjadi kenyataan.
Keadaan ini berlaku kerana kebebasan dan hak individu diberikan keutamaan mengatasi hak
masyarakat. Ini timbul kerana masyarakat umum pada mulanya tidak mengambil kisah, tidak
mahu terlibat dan menjadi lebih toleran terhadap isu ini. Lama-kelamaan nilai dan norma
sebegini menjadi satu cara hidup baru yang diterima oleh masyarakat, walaupun ia bertentangan
dengan moral ataupun sifat-sifat kemanusiaan.
Sememangnya akhlak mempengaruhi bentuk dan jenis undang-undang yang diwujudkan. Namun
demikian undang-undang kini tidak lagi menentukan bentuk akhlak yang boleh diungkapkan
dalam sesebuah masyarakat.
Mungkin kerana pertentangan sedemikianlah yang menyebabkan salah seorang karakter dalam
drama Pygmallion karya Bernard Shaw bernama Doolittle, bila dipersoal tentang sama ada
beliau ada moral ataupun tidak menjawab, "saya tidak mampu tuan, tuan juga saya percaya tidak
mampu memilikinya, jika tuan semiskin saya.'' Akhlak dianggap sebagai sesuatu kemewahan
untuk dimiliki oleh seseorang.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat masa kini serta perkembangan sistem kapitalis secara
meluas, masyarakat terus memberikan keutamaan kepada individu yang memilih kebebasan
untuk diri masing-masing.

Umpamanya berdasarkan kepada undang-undang seseorang mungkin dikenakan hukuman ke


atas kesalahan tertentu melibatkan seks tetapi dalam masa yang sama terdapat juga kesalahan
seks yang boleh terlepas dari hukuman undang-undang seperti pelacuran, menyimpan teman
wanita dan hidup bersama sebagai suami isteri tanpa nikah. Semua ini sememangnya berlaku
tetapi undang-undang tidak menganggapnya salah.
Undang-undang sepatutnyalah berasaskan kepada pemikiran waras. Sebagaimana dikatakan oleh
W.S.Gilbert, "undang-undang adalah rangkuman segala yang cemerlang. Ia tidak seharusnya ada
kecacatan.''
Sir Edward Cooke, seorang pakar undang-undang pula menyebut, "semenjak sekian lama, jika ia
bertentangan dengan kewarasan pemikiran, ia tidak patut berkuat kuasa sebagai undang-undang.''
John Milton dalam bukunya, Paradise Lost menyatakan Tuhan memerintahkan dan
meninggalkan perintahnya, yang lain dapat terus hidup, undang-undang untuk kita, kewarasan
kita adalah undang-undang kita.'' Apa yang dimaksudkan ialah undang-undang yang baik
semestinyalah berasaskan kepada pemikiran yang waras.
Masyarakat pada masa lampau menganggap hubungan homoseks (hubungan seks sesama jenis)
ataupun biseksuals sebagai bertentangan dengan hukum akhlak dan sekali gus ia menjadi
kesalahan di sisi undang-undang. Dengan peralihan masa dan juga perubahan sistem nilai
masyarakat, banyak negara khususnya di Barat menganggap kelakuan ini sebagai perkara biasa
dan tidak seharusnya menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
Keadaan ini berlaku kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan individu yang bertindak
untuk kepuasan dirinya selagi ia tidak melanggar hak orang lain.
Justeru itu undang-undang diwujudkan bagi menghalalkan perbuatan sumbang di antara dua
pihak yang melakukannya secara rela hati. Ada negara yang memberikan hak sehingga boleh
berkahwin sesama jenis dan juga mewarisi harta. Soal moral diketepikan, dan kesan buruk
terhadap masyarakat tidak menjadi pertimbangan.
Semuanya atas nama hak asasi dan kebebasan. Namun demikian pemisahan akhlak dan undangundang tidak boleh berlaku dalam sistem Islam, kerana undang-undang dan akhlak dianggap dari
intipati yang sama.

Persoalan yang sering ditimbulkan dalam perbahasan mengenai moral dan undang-undang ialah
sama ada kesalahan moral sesungguhnya patut dijadikan kesalahan di sisi undang-undang.
Persoalan mengenai kedudukan moral dalam konteks undang-undang memang selalu
mencetuskan konflik. Malahan cukup menarik sekali jika dikemukakan persoalan sama ada
undang-undang perlu menjadi pelindung kepada moral atau di sebaliknya moral sendiri menjadi
pendukung kepada undang-undang.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam undang-undang terkandung nilai moral yang diamalkan
oleh sesuatu masyarakat. Namun ia tidak pula secara keseluruhannya menjadikan kesalahan yang
berlaku di sisi akhlak sebagai sesuatu kesalahan di sisi undang-undang.
Mengikut sistem dan kaedah hukum, undang-undang berteraskan undang-undang Barat, akan
hanya mengambil kira isu moral jika ia menjejaskan ketenteraman awam atau merosakkan
keamanan atau kestabilan masyarakat.
Bagi mengelakkan kritikan tentang hak asasi dan kebebasan individu, banyak negara Barat
mencari penyelesaian secara cepat dengan menghalalkan banyak kategori salah laku seks.
Kesan dari tindakan ini ialah mereka berhadapan dengan isu moral yang tidak berkesudahan
seperti isu melibatkan euthanasia, pengguguran, bunuh diri dan sebagainya.
Apa juga pegangan atau kepercayaan kita, undang-undang semestinyalah mengiktiraf bahawa
moral adalah sistem nilai yang mengikat masyarakat. Jika ia dipisahkan sudah tentu masyarakat
akan menjadi lebih toleran terhadap tindakan yang tidak bermoral, semata-mata kerana ia tidak
bertentangan dengan undang-undang dan kepentingan masyarakat umum.
Masing-masing akan merasakan tidak bersalah bila melakukan pelanggaran moral kerana orang
lain juga melakukannya tanpa menerima sebarang hukuman.
Kesan buruk hasil dari pemisahan moral dan undang-undang ialah bertambahnya kesalahan
jenayah kerana perasaan bersalah atau berdosa tidak lagi diambil kira.
Ramai yang akan terus bermaharajalela melakukan perbuatan salah laku moral kerana mereka
mengambil sikap bahawa selagi undang-undang tidak merangkumkannya sebagai satu kesalahan
maka ia boleh dilakukan tanpa perasaan bersalah atau berdosa.

Bagi menjamin kesinambungan masyarakat yang sejahtera dan bahagia, kehidupan tidak
seharusnya diuruskan semata-mata berteraskan kepada undang-undang. Malahan amat penting
sekali bagi masyarakat mewujudkan kekuatan adat serta budi pekerti yang baik dan sempurna
yang berteraskan amalan positif bagi menghindar bangsa dan negara terjerumus ke lembah
kehinaan.
Adalah penting bagi kita tidak menggadaikan maruah dan martabat bangsa hanya untuk
menikmati keseronokan hari ini tetapi akan menjejaskan masa depan anak cucu kita.
Moral dan undang-undang sering berdampingan antara satu sama lain. Ada kalanya ia perlu
disatukan. Namun, apabila penyatuan tidak dapat dicapai kita harus mewujudkan suasana di
mana kedua-duanya menjadi kaedah hidup yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama
lain. Ini perlu dilakukan bagi menentukan kesejahteraan yang berasaskan nilai-nilai suci dan
murni akan terbina.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=1999&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz432LRJdj2
Utusan Melayu (M) Bhd

John William Salmond, Jurisprudence or the Theory of the Law, 1920


John Austin, The Province of Jurisprudence Determined, 1832
Kamal Halili Hassan, Penulis dan Undang-undang, 1990, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka
H.L.A Hart,

Positivism and the Separation of Law and Morals, 1958

Kamus Dewan, Edisi keempat, Dewan Bahasa & Pustaka, 2005