You are on page 1of 4

KARANGAN CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG (BRILLIANT AND

LANDING CONDUCT)
Merangka Karangan
Pendahuluan: konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa
Isi karangan: 1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan
awam, lanjut pelajaran
2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan,
kepimpinan
3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai
4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai
Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan.
Karangan Penuh
Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang.
Malah, kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan
pelajar cemerlang sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi
dambaan semua pihak sama ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin
semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.
Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik.
Pelajar cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di
bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah.
Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri
mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat
pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar
cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan.
Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti
pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi
pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah
bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada
dalam diri sendiri, apatah lagi daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang
tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di
hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang
sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam
iklim pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai
kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu
menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi
bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak
menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil.
Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka,
kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan
sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak
menambah, pergi tidak disuruh.
Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam.
Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan

usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus
terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang
menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala
kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam.
Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang
berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan
sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi
terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.
Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka
juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang
kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum
ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang
menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan,
memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan.
Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau
petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka
sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam
membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.
Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah
jika digelar sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun
mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak
berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan
yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi
rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam
menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar,
sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Pelajar cemerlang
mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna
mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok di tangga". Batok merujuk
kepada bekas air basuhan kaki pada zaman dahulu yang dilempar semula ke bawah setelah
seseorang itu menaiki tangga tanpa turun semula.
Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan
mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan
berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta
tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar
cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan
sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.
Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten. Maksudnya,
mereka sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka tidak bersikap
agresif, iaitu hanya menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan hanya
mementingkan hak orang lain semata-mata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan sikap
asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya mempertahan pendirian, tetapi dalam masa yang
sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka menyedari bahawa rambut sama hitam,
tetapi hati lain-lain.
Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi
akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda
kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan
negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak
menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan
penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema
untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu
dilakukan untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Panjangnya huraian anda hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Setiap pelajar ingin berjaya dalam pelajaran. Tanyalah pada sesiapa sahaja, mereka
pasti inginkan keputusan yang cemerlang. Namun demikian, usaha-usaha yang proaktif
perlu dilakukan untuk menjadi pelajar cemerlang.
Usaha paling efektif adalah dengan mengulang kaji pelajaran. Langkah ini perlu
dilakukan sepanjang masa untuk mengelakkan kita lupa akan pengajaran yang telah
disampaikan oleh guru.
Seterusnya, pelajar cemerlang perlulah membuat jadual belajar. Bukan setakat itu
sahaja, mereka perlu patuh akan jadual yang dibuat itu dan bukan sekadar melepaskan batok
di tangga sahaja.
Kita juga boleh belajar secara berkumpulan. Kumpulan yang dibentuk perlulah
mempunyai bilangan antara dua hingga tiga orang untuk berbincang serta bertukar-tukar
pandangan.
Izharnya, ada berbagai-bagai langkah yang boleh kita ambil untuk menjadi pelajar
yang cemerlang. Semuanya terletak atas kemahuan sendiri bak peribahasa di mana ada
kemahuan di situ ada jalan.

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu
dilakukan untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Panjangnya huraian anda hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Berdasarkan rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu
dilakukan untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Panjangnya huraian anda hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.