You are on page 1of 9

MENINGKATKAN MINAT PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 1L KEPADA

PELAJARAN PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN MELALUI


KAEDAH PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Oleh
En. Kam Foo Kong
SMK Seri Keledang
31400 Menglembu, Perak
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan minat dan pengetahuaan pelajar
tingkatan 1L melalui teknologi komputer semasa mempelajari Unit 2 Pendidikan Sivik
dan Kewarganegaraan (Penyelesaian Konflik). Seramai 42 orang pelajar dan seorang
guru terlibat dalam kajian ini. Perancangan tindakan difokuskan kepada pengetahuan dan
konsep Sivik yang berkaitan dengan penyelesaian masalah, konflik diri dan juga rakan
sebaya. Tinjauan awal telah dilakukan melalui ujian pra dan sesi soal jawab di dalam
kelas.
Hasil tinjauan mendapati pelajar kurang pengetahuan dan kurang menghayati
nilai-nilai sivik. Empat sesi pengajaran dan pembelajaran (35 minit setiap sesi) telah
dijalankan dalam tempoh 4 minggu yang mana pelajar belajar pengetahuan dan konsep
Sivik yang disampaikan melalui kaedah pembelajaran berbantukan komputer.
Keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan prestasi pelajar secara mendadak.
Pelajar lebih berminat untuk belajar dan masing-masing berlumba-lumba untuk
menyelesaikan masalah melalui kaedah ujian interaktif berkomputer. Kaedah ini sedikit
sebanyak mengatasi masalah kebosanan dan tidak minat belajar dalam kalangan pelajar.
Pengajaran dan pembelajaran PSK melalui kaedah penyampaian berbantukan
teknologi komputer perlu diperkenalkan kepada guru di semua peringkat sama ada
menengah rendah atau menengah atas. Dengan ini guru boleh menarik minat pelajar
untuk belajar dan menjadikan proses P & P lebih menarik.
3. Latar Belakang Kajian / Refleksi P & P yang lalu
Sewaktu saya mengajar PSK di kelas IL, saya mendapati ramai pelajar tidak dapat
menunjukkan minat dan tumpuan dalam pelajaran tersebut. Pelajar juga banyak
menghabiskan masa berbual-bual dan membuat kerja lain apabila kelas PSK dijalankan.
Ada juga pelajar yang menunjukkan sikap negatif dan tidak menjawab soalan
yang dikemukakan kerana tidak dapat memahami konsep-konsep sivik yang ada dalam
mata pelajaran tersebut. Selain daripada itu, minat mereka dalam mata pelajaran ini
adalah hambar. Ini dapat dilihat daripada air muka mereka apabila saya masuk ke dalam
kelas untuk memulakan pengajaran. Konsep-konsep mudah seperti pencapaian kendiri,

hubungan kekeluargaan, dan hidup bermasyarakat kurang difahami dan dihayati. Saya
telah mengajar tajuk tersebut selama dua bulan sebelum ujian bulanan 1 (ujian pra).
Selain itu mereka juga telah mempelajari konsep-konsep tersebut dalam mata pelajaran
moral yang turut merupakan subjek wajib bagi mereka yang bukan beragama Islam.
Dalam ujian pra 1 sebanyak 30 soalan aneka pilihan telah diberikan. Pelajar
diminta menandakan jawapan yang betul. Soalan yang diberi lebih berfokuskan kepada
tajuk daripada Unit 1 iaitu Identiti Diri. Keputusannya ialah hanya 45% sahaja yang lulus
dengan mendapat 40 markah dan ke atas.
Apabila saya bertanya kepada pelajar tentang keadaan ini, jawapan yang mereka
berikan adalah susah. Ada juga yang menjawab tidak faham. Saya lihat mereka tidak
kisah, seolah-olah perkara tersebut tidak penting.
Perlukah saya mengajar semula topik tersebut? Adakah teknik pengajaran saya
tidak berkesan? Apakah yang boleh saya lakukan untuk menarik minat pelajar
mempelajari topik ini? Apabila saya membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat
panitia, sebahagian guru menyalahkan pelajar dengan menyatakan pelajar malas
membaca dan mengulang kaji. Namun begitu, apakah tindakan yang boleh saya ambil
bagi menangani masalah ini?
Saya berpendapat kelemahan pelajar ini adalah disebabkan oleh kaedah P & P
yang saya gunakan membosankan para pelajar iaitu banyak menggunakan kaedah chalk
and talk. Pelajar juga kurang diberi motivasi dan pengukuhan ketika berada dalam kelas.
Sekiranya saya tidak memperbetulkan keadaan ini, saya khuatir pelajar akan kerugian
kerana tidak mendapat manfaat daripada P & P tersebut.

4. Fokus Kajian / Isu Keperihatinan


Daripada pemerhatian, saya dapati banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar.
Namun begitu, saya hanya akan memfokuskan kajian ini kepada minat dan keinginan
belajar terhadap tajuk dalam Unit 2 iaitu Penyelesaian Masalah (Menangani Pengaruh
Negatif Rakan, Sikap Asertif Saya, Dilemaku, Pilihan Bijak, Membantu Rakan
Menyelesaikan Masalah dan Saya Bertindak Rasional.) Pelajar saya amat tidak berminat
terhadap tajuk-tajuk yang terdapat di dalam PSK yang banyak menekankan konsep
pencapaian kendiri dan nilai-nilai sivik. Pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai sivik
dan kewarganegaraaan yang diperoleh tidak dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian
mereka. Mereka belajar PSK sekadar memenuhi waktu yang telah diperuntukkan dalam
jadual mereka. Pelajar berasa bosan belajar PSK dan tidak membuat ulang kaji. Mereka
menganggap pengetahuan sivik dan kewarganegaraan tidak penting dan hanya memberi
tumpuan kepada subjek-subjek lain yang dianggap lebih penting seperti sains dan
matematik.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah :

tidak memberi tumpuan di dalam kelas


mengantuk di dalam kelas
kurang memahami konsep PSK dengan baik
Berbual-bual dan bermain-main di dalam kelas
tidak membuat ulang kaji

Kaedah pengajaran PSK menggunakan teknologi komputer yang digunakan


mampu membuatkan pelajar lebih berminat belajar PSK. Pelajar memberi lebih tumpuan
dan tertunggu-tunggu kelas yang berikutnya. Pelajar juga berlumba-lumba untuk
menjawab soalan-soalan yang dibuat dalam bentuk penyoalan/ujian interaktif. Saya yakin
pelajar yang aktif dan seronok belajar di dalam kelas mampu menghayati nilai-nilai sivik
dan kewarganegaraan dan meninggalkan kesan yang baik serta memberangsangkan
dalam kehidupan mereka. Hal ini seterusnya diharapkan dapat membantu mereka lulus
mata pelajaran PSK dalam peperiksaan.

5. Objektif Kajian
Selepas kajian ini selesai dijalankan, diharap pelajar Tingkatan 1L
mencapai objektif berikut:
i.

dapat

Objektif Umum
Supaya pelajaran PSK menjadi satu mata pelajaran yang menarik dan tidak
membosankan.

ii.

Objektif Khusus
-Murid dapat menerangkan kepentingan memilih rakan dengan bijak.
-Murid dapat membuat keputusan yang bijak dalam memilih rakan
sebaya.
-Murid dapat mengenal ciri-ciri individu yang bersikap asertif dan
bertindak secara asertif untuk menangani pengaruh negatif rakan
sebaya.

6. Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan 42 orang pelajar tingkatan 1L yang terdiri daripada 17
orang pelajar perempuan dan 18 orang pelajar lelaki. Pelajar di dalam kelas ini terdiri
daripada 41 orang pelajar Cina dan seorang pelajar India. Kebanyakan pelajar dapat
memahami Bahasa Melayu dan mengambil Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
sebagai mata pelajaran wajib.

7. Perancangan Tindakan
Tinjauan Masalah
Sebelum langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini, tinjauan
terhadap masalah yang dikenal pasti dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih
mendalam masalah tersebut. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti berikut.

Ujian pra yang mengandungi soalan-soalan berkaitan tajuk Pencapaian


Kendiri
Soal jawab lisan berkaitan pelajaran tersebut dan pemerhatian
Soal selidik.

Keputusan ujian pra ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah:


Jadual 1 : Analisis Skor Kelulusan Pelajar 1L dalam Ujian Pra
Ujian Pra
Skor
40% dan
ke atas
40% ke
bawah

Jumlah
20
42
22
Lulus = 20 (47.6 %)

Gagal = 22
(52.4 %)

100%

Jadual 1 menunjukkan hanya 20 orang pelajar (47.6 %) lulus manakala 22 orang


pelajar (52.4%) gagal dalam Ujian Pra. Skor kelulusan juga memperlihatkan kadar
kelulusan yang tidak memuaskan iaitu lebih daripada separuh pelajar gagal dalam ujian
ini.
Apabila guru menyoal pelajar berkaitan dengan isi pelajaran yang lalu, ramai
pelajar tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan. Ini membuktikan pelajar tidak
menumpukan perhatian di dalam kelas. Pelajar hanya belajar PSK hanya pada waktu P &
P sahaja. Pelajar juga jarang membuat latihan kerja rumah yang diberikan oleh guru.
Sebahagian pelajar menyalin jawapan daripada kawan apabila di arah menghantarkan
latihan mereka untuk disemak.

Jadual 2 menunjukkan keputusan kaji selidik berkaitan sikap pelajar terhadap mata
pelajaran PSK sebelum kaedah pengajaran menggunakan teknologi ICT digunakan.

Jadual 2 : Sikap Pelajar-Pelajar 1L Terhadap Mata Pelajaran PSK


No.
1
2
3

Soalan
Saya suka mata pelajaran PSK
Saya suka guru yang mengajar mata
pelajaran PSK
Saya suka cara guru saya mengajar mata
pelajaran PSK

Saya membuat ulang kaji

Saya membuat nota sendiri

Ya
15
36%
20
48 %
17
40 %
18
43 %
5
12 %

Tidak
27
54 %
22
52 %
25
60 %
24
57 %
37
88 %

Jumlah (100%)
42
42
42
42
42

Jadual 2 menunjukkan sebanyak 27 orang pelajar (54 %) tidak suka mata


pelajaran PSK. 20 orang pelajar (48 %) suka kepada guru PSK tetapi hanya 20 orang
pelajar (48 %) suka cara guru PSK mengajar. Hanya 18 orang pelajar (43 %) yang
membuat ulang kaji dan cuma 5 orang pelajar (12 %) yang membuat nota sendiri.
Langkah seterusnya guru menyediakan bahan bantuan pengajaran menggunakan
teknologi komputer. Persembahan pengajaran banyak dibuat dalam bentuk slaid
powerpoint untuk dipersembahkan kepada pelajar. Guru banyak menggunakan grafik dan
gambar rajah berkomputer untuk merangsang pemikiran pelajar dan melakukan
perbincangan dalam kelas. Grafik banyak discan daripada buku-buku rujukan dan juga
diambil daripada internet. Semua alat bantuan pengajaran ini dibuat berdasarkan isi
pelajaran Unit 2 iaitu Penyelesaian Masalah dan sub-sub topiknya Menangani Pengaruh
Negatif Rakan, Sikap Asertif Saya, Dilemaku, Pilihan Bijak, Membantu Rakan
Menyelesaikan Konflik, dan Saya Bertindak Rasional.
8. Pelaksanaan Tindakan
Setiap tajuk pengajaran akan disediakan slaid powerpoint sebagai persembahan di
dalam kelas. Grafik dan gambar rajah berkomputer juga disediakan untuk
merangsang pemikiran pelajar dan melakukan perbincangan di dalam kelas. Grafik
banyak discan daripada buku-buku rujukan dan juga diambil daripada internet. Kuiz
interaktif berkomputer turut disediakan di setiap persembahan untuk merangsang
minat dan tumpuan pelajar. Guru mengingatkan pelajar bahawa terdapat ujian di akhir
setiap pengajaran agar pelajar memberi lebih tumpuan di dalam kelas. Pelajar
dibenarkan berbincang dengan rakan untuk menjawab soalan-soalan tersebut. Pelajar
perlu membawa buku teks sewaktu mata pelajaran PSK walaupun pembelajaran
banyak merujuk kepada slaid-slaid yang disediakan. Bahagian kuiz ini boleh
dijadikan aktiviti pertandingan di dalam kelas dan perlaksanaannya bergantung
kepada kreativiti guru.

Contoh koswer boleh diperolehi dari


www.geocities.com/koswerpengajaran/contoh.ppt
Template koswer boleh dimuat turun dari
www.geocities.com/koswerpengajaran/template.ppt
Guru cuma perlu memuat turunkan fail template untuk menyediakan satu koswer
pengajaran yang lengkap. Fail template boleh digunakan berulang kali bagi
menghasilkan koswer pengajaran. Selain mata pelajaran pendidikan sivik,
template tersebut juga boleh diguna pakai untuk menghasilkan koswer pengajaran
bagi subjek lain.

Pemerhatian terhadap aktiviti P & P di kelas 1L dibuat sepanjang sesi menjawab


soalan. Setiap perubahan pelajar dicatat bagi memastikan sejauh mana penguasaan
mereka di dalam konsep-konsep PSK. Masalah yang dihadapi oleh pelajar juga turut
direkodkan. Pada minggu ke-4, satu ujian pos telah diadakan bagi menguji pengetahuan
pelajar tentang tajuk-tajuk yang terdapat dalam Unit 2. Soalan-soalan kaji selidik yang
sama (sebelum kajian dijalankan) berkaitan dengan sikap pelajar turut diberikan pada
minggu tersebut.

9. Dapatan Kajian
a) Berdasarkan Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian, semasa menjalankan aktiviti P & P, kebanyakan pelajar
cuba sedaya upaya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam bentuk
ujian/soalan interaktif. Mereka membuat rujukan dan berlumba-lumba untuk menjadi
orang yang pertama menjawab soalan-soalan tersebut. Pelajar tidak kelihatan tertekan
dan tidak bosan ketika menjawab soalan-soalan itu. Minat dan tumpuan pelajar di dalam
kelas bertambah baik. Pelajar tidak lagi bersembang atau pun tidur di dalam kelas.
Penguasaan konsep sivik didapati bertambah baik kerana tumpuan yang lebih diberikan
dalam kelas. Pelajar sentiasa tertunggu-tunggu waktu PSK yang berikutnya. Mereka
berasa girang dan gembira setiap kali guru memulakan P & P.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa orang pelajar yang masih tidak
bersungguh-sungguh untuk mengikuti kelas PSK. Walau bagaimanapun mereka turut
serta apabila sesi ujian menjawab soalan interaktif dijalankan. Ini menunjukkan teknologi
komputer ini mampu menarik minat pelajar untuk belajar walaupun kepada pelajar yang
mempunyai sikap negatif di dalam kelas. Ada juga pelajar yang tidak berputus asa
menjawab soalan-soalan tersebut dan menunjukkan minat yang mendalam dalam subjek
PSK.
b) Berdasarkan Ujian Pasca
Ujian pasca ditunjukkan dalam Jadual 3.

Jadual 3 : Analisis Skor Kelulusan Pelajar 1L


Ujian Pasca
Skor
40% dan
ke atas
40% ke
bawah

Jumlah
36
42
6
Gagal = 6 (14
%)

Lulus = 36 (86 %)

100%

Jadual 3 menunjukkan skor kelulusan bagi ujian pasca. Dapatan ujian pasca
menunjukkan bilangan pelajar yang lulus telah meningkat daripada 20 orang (47.6 %)
kepada 36 orang (86 %). Bilangan pelajar gagal berkurangan daripada 20 orang (52.4 %)
kepada 6 orang (14 %). Peningkatan kelulusan adalah tinggi dan memberangsangkan.
Guru berpuas hati kerana objektif kajian telah tercapai.
c) Berdasarkan Kaji Selidik
Jadual 4 : Sikap Pelajar-Pelajar 1L Terhadap Mata Pelajaran PSK (Selepas
Kaedah Pembelajaran Menggunakan Teknologi Berbantukan Komputer)
No.
1
2
3

Sikap Pelajar
Saya suka mata pelajaran PSK
Saya suka guru yang mengajar mata
pelajaran PSK
Saya suka cara guru saya mengajar mata
pelajaran PSK

Saya membuat ulangkaji

Saya membuat nota sendiri

Ya

Tidak

40
95 %
39
93 %
39
93 %
35
83 %
30
71 %

2
5%
3
7%
3
7%
7
17 %
12
29 %

Jumlah (100%)
42
42
42
42
42

Jadual 4 menunjukkan penurunan bilangan pelajar yang tidak suka mata pelajaran PSK
daripada 27 pelajar (54 %) kepada 2 pelajar (5 %). Bilangan pelajar yang suka kepada
guru mata pelajaran PSK meningkat daripada 20 pelajar (48 %) kepada 39 pelajar (93 %).
Begitu juga jumlah pelajar yang suka kepada cara guru mengajar meningkat daripada 17
pelajar (40 %) kepada 39 pelajar (93%). Manakala pelajar yang membuat ulang kaji
meningkat daripada 18 pelajar (43 %) kepada 35 pelajar (83 %) dan bilangan pelajar yang
membuat nota sendiri meningkat kepada 30 pelajar (71 %).

10. Refleksi Kajian


Penggunaan kaedah pengajaran PSK menggunakan teknologi komputer telah
menunjukkan peningkatan yang ketara bukan sahaja dari segi kelulusan pelajar tetapi
juga dari segi minat belajar, keterlibatan, dan sikap belajar dalam diri pelajar.
Guru berpuas hati dengan kaedah yang digunakan kerana ia merupakan satu
eksperimen kepada pelajar-pelajar yang rata-rata tidak menunjukkan minat langsung
kepada PSK di peringkat awal iaitu sebelum kajian dilakukan. Eksperimen ini boleh
diteruskan lagi jika guru dapat menyediakan persembahan di dalam bentuk powerpoint
untuk tajuk-tajuk yang seterusnya. Kaedah yang sama boleh juga digunakan dalam mata
pelajaran yang lain. Adalah lebih baik jika kepelbagaian kaedah pengajaran terutamanya
kaedah yang melibatkan teknologi canggih berkomputer digunakan dan seterusnya dapat
disimpan untuk kegunaan pada masa akan datang.
Oleh yang demikian, adalah diharapkan semua guru bekerjasama antara satu sama
lain bagi memperbanyakkan persembahan berbantukan komputer. Ini kerana terbukti ia
dapat menarik minat pelajar bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk terlibat dalam
aktiviti P & P dan seterusnya dapat mengelakkan pelajar daripada menjadi bosan semasa
belajar. Sekali gus mengelakkan berlakunya pelanggaran disiplin seperti ponteng kelas,
ponteng sekolah, dan tidak menyiapkan kerja rumah.
11. Cadangan Tindakan Seterusnya
Saya bercadang untuk meneruskan kaedah ini dalam bab-bab yang seterusnya
dalam mata pelajaran PSK. Kaedah ini dapat menarik pelajar terlibat secara aktif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran serta mengurangkan rasa bosan pelajar di dalam
kelas. Sebagai ketua panitia PSK, saya akan menyarankan kaedah ini digunakan untuk
tingkatan 2 dan seterusnya di masa hadapan.
Turut menyenangkan guru ialah tersedianya template untuk menyediakan slaid
powerpoint bagi subjek PSK. Template ini diharapkan dapat memudahkan guru
menyediakan bahan pengajaran dan boleh menjimatkan masa.
Pada umumnya untuk mencapai tahap pengajaran dan pembelajaran yang efektif,
pihak guru dan sekolah haruslah memainkan peranan masing-masing. Guru perlu
membuat perancangan yang teliti dan mengenal pasti pendekatan, kaedah, dan teknik
yang sesuai dengan tahap pengetahuan pelajar. Bagi pelajar yang kurang pandai, guru
harus menggunakan kaedah yang menarik bagi melibatkan pelajar semasa P & P. Jika
guru asyik mengajar sukatan mata pelajaran dan tidak menumpukan kepada pelajar,
pelajar akan mudah bosan seterusnya hilang minat belajar mata pelajaran tersebut.
Saya juga bercadang untuk menghasilkan lebih banyak slaid persembahan
berdasarkan kaedah teknologi berbantukan komputer ini. Walaupun ini akan mengambil
masa yang agak lama, saya percaya bahawa jika slaid-slaid ini disediakan, ia dapat

memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada guru-guru yang
mengajar mata pelajaran PSK.

12. PENUTUP
Kesimpulannya, masalah yang terdapat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran adalah sama di seluruh sekolah di Malaysia. Pada dasarnya sikap para
pelajar yang tidak serius terhadap pembelajaran menyebabkan kegagalan di dalam
peperiksaan.
Kajian ini hanya menyingkap serba sedikit tentang kelemahan pelajar dalam
menguasai pengetahuan dan konsep sivik dan kewarganegaraan. Pelajar ternyata kurang
pengetahuan dan kurang semangat untuk belajar. Keadaan ini jika dibiarkan bukan sahaja
membawa kesan negatif kepada diri pelajar tersebut, tetapi juga kepada negara yang
mengharapkan generasi masa depan mempunyai semangat patriotik dan jatidiri yang
tinggi.
Sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran PSK, saya sensitif dengan
perkara sedemikian. Saya mengakui kelemahan yang ada selama ini iaitu mengajar tanpa
melibatkan para pelajar demi menghabiskan sukatan mata pelajaran. Oleh itu saya perlu
berubah dari sekarang dengan merangka strategi, menyusun program pemulihan,
pengukuhan, pengayaan, melaksanakannya dengan sistematik, dan seterusnya menilai
semula program yang telah dijalankan. Semoga saya mendapat sokongan daripada semua
pihak.
Bahan Rujukan

1. Hamzah b Che Sidik, Moahamd kamal b. Hj Abdullah, Pendidikan Sivik dan


Kewarganegaraan Tingkatan 1 (Buku Teks), Kementerian Pendidikan
Malaysia, Kuala Lumpur, 2004.

2. Sukatan Pelajaran PSK Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Pusat


Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysiaa, 2004.

You might also like