You are on page 1of 6

1.1 Apakah itu Sosiolinguistik?

Menurut Janet Holmes, ahli-ahli sosiolinguistik berminat untuk mengkaji bahasa dalam
hubungannya dengan masyarakat, bagaimana bahasa berbeza, termasuk juga fungsi
bahasa dan bagaimana bahasa digunakan untuk menyampaikan maksud-maksud sosial
menerusi komunikasi. Dalam pada itu terdapat ramai tokoh sosiolinguistik yang terlibat
sama dalam menakrifkan sebagai “sosiolinguistik”, termasuk tokoh-tokoh seperti Appel,
Nikolas Coupland dan Adam Jaworski, Dell Hymes, Joshua Fishman, Nababan, Hari,
Urti Kridalaksana, Cripper dan Widdowson serta yang tidak dapat dinyatakan di sini.
Sosiolinguistik, berasal daripada gabungan perkataan sosio & linguistik, menunjukkan
bahawa bidang ilmu ini adalah perpaduan sosiologi dengan linguistik. Ada pula yang
menyebutnya sebagai linguistics plus. Kita boleh mengatakan sosiolinguistik adalah ilmu
interdisiplineri yang membincangkan dan menyusun teori-teori tentang perhubungan
masyarakat dan bahasa. Kita mudah dapat menyemak bahawa perbahasan pokok dalam
ilmu ini adalah masyarakat dan bahasa.
Sosiolinguistik ialah merupakan satu kajian tentang bahasa dan hubungannya dengan
masyarakat.

1.2 Kepelbagaian Bahasa.

Kepelbagaian bahasa membawa pengertian bermacam-macam jenis bahasa. Kepelbagai


bahasa ini juga turut dikenali sebagai kelainan bahasa. Kepelbagaian bahasa ini
merangkumi sama ada besar atau kecil, tinggi atau rendah, dan termasuklah juga aspek
dialek-dialek.
Kepelbagaian bahasa ini sebenarnya boleh kita katogerikan kepada dua kelompok bahasa
yang besar iaitu seperti berikut:

1.2.1 Bahasa Inklusif

Bahasa Inklusif adalah merupakan bahasa yang diletakkan di atas sesebuah bahasa atau
beberapa jenis bahasa yang sedia ada. Bahasa ini sebenarnya memiliki sifat dan ciri
sangat tinggi dan unggul. Di samping itu juga ianya diletakkan di atas serta dalam masa
yang sama mengatasi bahasa-bahasa lain. Boleh juga kita simpulkan sebagai bahasa sedia
ada dituturkan oleh sekumpulan masyarakat tertentu. Misalnya adalah seperti berikut;
Bahasa Kebangsaan , Bahasa Rasmi , Lingua Franca, Bahasa Pijin, Bahasa Kreol dan
Bahasa Koine

1.1.2 Bahasa Eksklusif

Bahasa Eksklusif pula ialah bahasa yang tidak diletakkan di atas bahasa lain. Akan tetapi
bahasa jenis ini sebenarnya ianya memiliki bentuk yang tersendiri, terbatas dan serba
unik. Di samping itu bahasa ini turut diajar kepada para penutur yang terbatas dalam
kelompok dalaman mereka. Pembatasan ini sama ada dari segi daerah, kumpulan, kelas
atau kelompok. Dengan kata lain, Bahasa Eksklusif ini dapatlah kita definisikan sebagai
sejenis bahasa yang diguna pakai dalam kelompok tertentu, termasuklah kelompok
sepekerjaan, puak, subetnik, gerombolan dan sebagainya. Namun penggunaannya agak
terbatas. Sehubungan itu, bolehlah kita katogerikan Bahasa Eksklusif ini kepada beberapa
jenis seperti berikut;

Ø Bahasa Purba
Ø Bahasa Slanga
Ø Bahasa Argot
Ø Bahasa Khusus
Ø Bahasa Rahsia
Ø Dialek Pijin

2.0 BEBERAPA KATOGERI BAHASA INKLUSIF

2.1 Bahasa Rasmi

Bahasa Rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran dan segala urusan
rasmi. Ini termasuklah dalam sebaran am (media massa), surat-surat rasmi kerajaan
seperti borang permohonan, dokumen peribadi yang merangkumi surat beranak, kad
pengenalan, minit mesyuarat, urusan pos dan sebagainya. Dalam sesebuah negara boleh
menggunakan lebih daripada satu bahasa rasmi. Cuma di negara kita Malaysia sahaja
menggunakan satu jenis bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu. Misalnya di negara Brunei
Darussalam menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Berikut beberapa contoh
penggunaan bahasa rasmi untuk negara tertentu;

Ø Thailand (Bahasa Thai)


Ø Indonesia (Bahasa Indonesia)
Ø Switzerland (Bahasa Perancis, Jerman, Itali, Romansch)
Ø India di peringkat kebangsaan (Bahasa Hindi, Inggeris) tetapi lebih 14 bahasa rasmi di
peringkat negeri
Ø Singapura (Bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu, Tamil)

2.2 Bahasa Kebangsaan

Bahasa Kebangsaan adalah merupakan bahasa rasmi, bahasa pentadbiran dan bahasa
pengantar sesebuah negara. Bahasa ini juga kerap digunakan di arena media massa sama
ada elektonik mahupun cetak. Di negara kita, kesemua pusat pengajian tinggi
menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan di samping menggunakan lain.
Bahasa Kebangsaan ini juga turut digunakan di dalam sistem pemerintahan negara,
parlimen, majlis konvokesyen dan menjadi bahasa pengantar di seluruh sekolah
kebangsaan di negara kita. Bahasa Kebangsaan ini sudah tentu menjadi kemegahan dan
kebanggaan bagi sesebuah negara. Kemegahan dan kebanggaan terhadap bahasa
kebangsaan ini tercetus atas sebab faktor-faktor berikut;
· Penutur bahasa bersikap positif terhadap bahasa berkenaan
· Ketaatan bahasa terutama di kalangan para nasionalisme
· Bahasa menggambarkan kemerdekaan dan kedaulatan negara
· Menjadi indentiti bagi sesebuah negara
· Memiliki sejarah kegemilangan
· Menjadi bahasa peribumi
· Menjadi bahasa lingua franca
· Ramai mengetahui dan boleh menutur bahasa tersebut
· Bahasa yang berkemampuan
2.3 Lingua Franca

Hartmann dan Stork, 1976 menyatakan Lingua Franca sebagai bahasa yang terdapat di
dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif. Di samping itu bahasa ini digunakan
oleh para penutur bahasa yang terdiri daripada pelbagai komuniti bahasa sebagai bahasa
perantara sepunya semasa berkomunikasi. Perkataan ‘lingua’ itu membawa maksud
bahasa manakala ‘franca’ bermaksud Frank, iaitu merupakan nama salah sebuah negara
bangsa di Eropah Barat pada ketika itu. Manakala istilah lingua franca ini timbul ekoran
daripada peperanagan Salib antara pasukan Tentera Kristian dari Eropah dengan para
Tentera Islam di Asia Barat yang ketika itu menguasai tanah-tanah suci di Palestine
terutamanya di Jerusalem. Sehubungan itu, pasukan Tentera Kristian telah menggunakan
Bahasa Lingua Franca sebagai bahasa perantara di kalangan mereka. Namun sekarang
pengertiannya bukan sahaja terbatas kepada pengertian seperti huraian di atas, malahan di
dunia sekarang banyak terdapat bahasa lingua franca. Berikut merupakan beberapa
contoh bahasa lingua franca;

· Asia Tenggara (Bahasa Melayu sebagai lingua franca)


· Afrika Timur & Tengah (Bahasa Swahili sebagai lingua franca)
· India (Bahasa Hindi sebagai lingua franca)
· Amerika Tengah & Selatan (Bahasa Sepanyol sebagai lingua franca) kecuali Brazil

2.4 Bahasa Pijin

Bahasa Pijin ialah bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa. Manakala bahasa yang
terbentuk tidak boleh diklasifikasikan kepada salah satu bahasa asal. Bahasa Pijin
mempunyai formulanya yang tersendiri, iaitu seperti berikut;

A+B=C

Apabila bahasa A bercampur dengan bahasa B, maka akan terbentuk bahasa C. Tetapi
bahasa C itu tidak boleh dikatogerikan sebagai bahasa A atau bahasa B. Sebenarnya
bahasa pijin ini hanya bersifat sementara kerana ianya tidak mempunyai penutur aslinya.
Ini terjadi disebabkan oleh kepentingan perdagangan dalam kalangan penutur bahasa lain
yang bertembung di tempat tertentu seperti ketika berada di pasar, pusat perdagangan dan
sebagainya. Semasa berkomunikasi lahirlah percampuran bahasa tadi dan sama sekali
tidak menguasai sebarang bahasa komuniti lain. Dengan hal yang demikian wujudlah
bahasa campuran (pijin). Di Malaysia, bahasa pasar dikatogerikan sebagai bahasa pijin
yang sering digunakan di pasar semasa membeli ikan, sayur-sayuran dan sebagainya.
2.5 Bahasa Kreol

Bahasa Kreol merupakan bahasa pijin yang telah menjadi bahasa pertama atau juga
dikenali sebagai bahasa ibunda. Bahasa kreol ini wujud akibat percampuran antara bahasa
penjajah dengan bahasa peribumi. Berikut merupakan beberapa contoh;

*Kreol Perancis di Haiti *Kreol Inggeris di Hong Kong


*Kreol Portugis di Macau dan Melaka *Kreol Cina Baba di Melaka
*Kreol Betwai di Jakarta *Kreol Osing di Jawa Timur

Bahasa jenis ini kadang-kadang menerima proses berbalik kepada bahasa asal, iaitu
ketika ia meninggalkan unsur-unsur dari salah satu bahasa campuran tadi bagi
mewujudkan bahasa asal yang sempurna serta baku. Misalnya di Papua Niugini ada
terdapat bahasa Neo-Melanesia, iaitu terbentuk campuran bahasa Inggeris dengan bahasa
peribumi. Namun hari ini keadaannya berubah, di sekolah murid-murid mula belajar
bahasa Inggeris yang asli, sempurna dan baku. Kesannya murid-murid tadi akan
meninggalkan bahasa campuran mereka tadi, kemudian ke arah bahasa Inggeris yang
standard atau baku melalui tiga proses seperti berikut:
· Basilek (kreol asli)
· Mesolek (kembali kepada asal)
· Akrolek (kelainan yang wujud)

2.6 Bahasa Koine

Bahasa Koine sama dengan bahasa lingua franca. Bahasa jenis ini digunakan oleh semua
orang dalam satu-satu daerah atau wilayah tertentu. Boleh kita katakan bahasa ini ialah
dialek yang menjadi bahasa standard dikongsi milik oleh daerah-daerah secara politik
dalam satu kesatuan. Misalnya bahasa Arab, di seluruh daerah Arab terdapat dialek-
dialek Arab yang berbeza antara satu sama yang lain. Contoh jenis-jenis dialek setempat
ialah seperti berikut;

Oman, Kuwait, Iraq, Syria, Jordan,


Yemen, Saudi, Mesir, Sudan, Libya,
Tunisia, Aljeris, Maghribi, Mauritania,
Lebanon, Amiriah Arab Bersatu

Walaupun di negara Arab mempunyai pelbagai dialek Arab, namun bukan semua mereka
memahami dialek-dialek berkenaan. Namun dengan kewujudan Al-Quran, maka mereka
dapat mengatasi masalah tersebut. Bahasa Arab Al-Quran atau Arab Klasik adalah bahasa
sepunya yang digunakan oleh orang Arab di dalam dunia Arab. Bahasa Arab ini juga
dikenali sebagai Bahasa Koine.

3.0 BEBERAPA KATOGERI BAHASA EKSKLUSIF


3.1 Bahasa Purba

Bahasa Purba juga dikenali sebagai bahasa arkaik. Bahasa ini adalah bahasa yang kuno
dan telah mati serta tidak berkembang lagi. Contohnya bahasa agama Sanskrit telah mati
sejak abad ke-2 Masihi. Bahasa ini juga telah digunakan untuk kitab-kitab suci agama
Hindu seperti Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda dan Atherva Veda. Namun bahasa ini
diajar secara tertutup dan terbatas. Contoh lain bahasa purba ialah bahasa Latin yang
digunakan oleh penganut agama katolik pada masa dahulu dan yang terakhir ialah bahasa
Kawi iaitu bahasa Jawa Kuno yang telah mati.

3.2 Bahasa Slanga


Bahasa Slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru
digubal dan cepat berubah. Bahasa jenis ini sering diguna pakai oleh kumpulan rock,
pelajar universiti dan golongan profesional semasa berkomunikasi bagi mengelak
daripada diketahu oleh kumpulan komuniti bahasa yang lain.Walapun kata-kata jenis ini
muncul dengan tiba-tiba, namun ianya mudah hilang dengan cepat. Perkataan bahasa ini
dicipta daripada bahasa dialek atau kaum tertentu termasuklah penjajah.

3.3 Bahasa Argot


Bahasa Argot juga dikenali dengan nama cant dan lingo. Ianya adalah suatu jargon yang
khusus bersifat setempat, kumpulan sosial dan kumpulan rakan sejawat, terutama sekali
di kalangan golongan masyarakat kelas bawahan.

3.4 Bahasa Khusus


Bahasa Khusus adalah suatu bahasa khas. Bahasa jenis ini sering digunakan oleh
golongan profesional termasuk juruterbang dan sebagainya. Oleh kerana bahasa jenis ini
terlalu khusus, maka sukar untuk difahami serta diketahui oleh orang lain selain daripada
penggunanya sendiri.

3.5 Bahasa Rahsia


Bahasa Rahsia adalah sejenis bahasa yang dicipta untuk tujuan perisikan, pengedaran
dadah, narkotik dan sebagainya. Di negara kita pihak polis dan tentera ada menggunakan
bahasa rahsia dalam menjalan tugas seharian mereka.
3.6 Dialek
Dialek ialah satu kelainan bahasa yang berbeza dari segi sifat sebutan, kosa kata daripada
bahasa baku dan tatabahasa. Bahasa ini juga bersifat geografis atau bersifat subbahasa.
Misalnya bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia dan dialek-dialek bahasa cina. Dialek
adalah bersifat saling memahami, namun tidak semestinya, seperti dialek bahasa cina.
Dialek boleh dipecahkan kepada tiga bahagian;
· Dialek sosial (Bahasa Jawa)
· Dialek daerah (Dialek Utara, Kelantan, Negeri Sembilan)
· Dialek seketika (Dialek zaman, seperti Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik, Bahasa
Melayu moden dan sebagainya)

Manakala berikut dinyatakan beberapa sebab mengapa timbulnya dialek tesebut.


Antaranya adalah seperti berikut;
· Pengalaman yang berlainan
· Pengaruh luar yang berlainan (Pengaruh Bahasa Inggeris kepada dialek Johor-Riau dan
Belanda ke atas bahasa Indonesia)
· Terpisah dari segi tempat (Kedah dan Kelantan)
· Terpisah dari segi zaman (Bahasa Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan)
4.0 KESIMPULAN
Umum menyedari di dunia kita terdapat kepelbagaian bahasa. Di mana-mana sahaja
masyarakat, sudah pasti adanya bahasa yang tersendiri. Sebenarnya bahasa itu
mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Ini disebabkan bahasa adalah suatu
alat penting untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Kepelbagai bahasa ini
tidak mengira besar atau kecil, tinggi atau rendah serta dialek-dialek tertentu. Sebenarnya
bahasa itu sendiri terdiri daripada dua katogeri, termasuklah bahasa Inklusif dan bahasa
Eksklusif. Bahasa Inklusif terdiri daripada Bahasa Kebangsaan, Rasmi, Lingua Franca,
Pidgin, Kreol dan Koine. Manakala bahasa Eksklusif pula merangkumi bahasa Purba,
Slanga, Argot, Khusus, Rahsia dan Dialek.

You might also like