You are on page 1of 3

Wirid Tidur

Waktu kecik-kecik dahulu, aku diajar dengan beberapa bacaan untuk diamalkan sebelum tidur. Bacaan-bacaan tersebut dinukilkan daripada kitab tok-nenek dahulu, kitab yang masyhur, di mana rata-rata golongan tua dahulu mengenali dan memilikinya. Kitabnya tak lain tak bukan kitab "Perukunan" dikenali juga sebagai "Perukunan Besar" karangan Syaikh Abdur Rasyid Banjar. Dalam kitab itu disebut sekali akan kaifiat dan kelebihannya, dan tidaklah aku ketahui akan sumber darjat riwayatnya itu. Tetapi bagiku, bacaan-bacaan tersebut tidaklah menjadi kesalahan atau bid`ah dholalah untuk diamalkan kerana semua bacaan - bacaan tersebut adalah tsabit pada syarak, cuma kelebihan yang dinyatakan dan waktu atau kaifiyat bacaannya sahaja yang mungkin kita yang jahil ini tidak tahu samada ianya warid daripada Junjungan s.a.w. dalam rupa bentuknya tersebut. Oleh itu jika kita dituntut untuk berhusnudz dzan, maka husnudz dzan terhadap ulama terdahulu terlebihlah wajar. Tujuan aku nukilkan di sini bukanlah untuk meninggalkan riwayat-riwayat yang shohih berkenaan doa, wirid dan zikir tidur sebagaimana diketahui umum dalam banyak hadits seperti riwayat Imam al-Bukhari berkenaan Ayatul Kursiy yang jika dibaca tatkala hendak tidur dipelihara kita daripada syaitan hingga ke pagi atau hadis berhubung tasbih Siti Fathimah r.anha atau hadits Imam at-Tirmidzi yang menyatakan apabila seseorang hendak tidur lalu membaca istighfar 3 kali nescaya diampunkan akan dosa kesalahannya walaupun sebanyak buih lautan, sebanyak bintang-bintang atau dedaun pohonan, sebanyak pasir halus dan sebanyak bilangan hari dunia. Kunukilkan di sini sekadar untuk dijadikan amalan tambahan bagi sesiapa yang berkehendak, sesiapa yang tidak mahu maka tidaklah ada apa-apa paksaan, kerana kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah memang terkenal dengan sikap tasamuh yang tinggi sesama ahli kalimah "La ilaha illa Allah". Oleh itu, harap jangan ada yang

nak bercekak ngan aku dalam apa yang hendak kusampaikan, kerana kalau ada yang cekak, aku pun cekak, bila sama-sama cekak maka tidaklah boleh berlawan lagi sebab satu perguruan, terpaksalah guna buah 6 tolak 6. Tapi la ni dah timbul 2 cekak pulak, satu cekak Hanafi lagi satu cekak Syafi`i, kot. Eh, melalut pulak aku dalam arena seni pertahanan diri cekak mencekak ni (p/s - aku melawak je, jadi ahli cekak tak kiralah dari kumpulan mana, jangan marah nooo sebab aku dulu pun cekak jugak). Berbalik kepada kitab "Perukunan" maka tersebutlah pada mukasurat 25 26 demikian itu kitab begini bunyinya: "Sabda Rasulullah s.a.w. kepada sahabat:-Barangsiapa hendak tidur, jika belum membaca Quran 30 juzuk, jangan engkau tidur, maka baca olehmu akan Fatihah 3 kali maka serasa membaca Quran 30 juzuk. Barangsiapa hendak tidur jika belum perang sabilillah jangan engkau tidur, maka baca olehmu ‫( ققل هقو الله احقد‬alIkhlash) 3 kali maka serasa perang sabilillah. Barangsiapa hendak tidur jika belum memerdekakan hamba 40 orang jangan engkau tidur, maka baca olehmu sholawat 3 kali maka serasa memerdekakan hamba 40 orang. Maka barangsiapa hendak tidur jika belum memberi makanan segala mukminin maka jangan engkau tidur, maka baca olehmu Allahummagh fir lil mu`miniina wal mu`minaat wal muslimiina wal muslimaat 3 kali maka serasa memberi makanan segala mukminin. Barangsiapa hendak tidur jika belum naik haji jangan engkau tidur, maka baca olehmu akan SubhanAllah walhamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar 3 kali maka serasa naik haji." Begitulah, keterangan dalam kitab "Perukunan", dan pernah juga aku terjumpa dalam kitab lain riwayat yang sedikit berbeza di mana Junjungan s.a.w. diriwayatkan bersabda kepada Siti 'Aisyah r.anha ketika hendak tidur, "Wahai 'Aisyah, jangan engkau tidur sebelum mengkhatamkan al-Quran, menjadikan para nabi mensyafaatimu kelak di hari kiamat, menjadikan semua orang Islam meredhaimu dan sebelum engkau mengerjakan haji dan umrah." Siti Aisyah r.a. bertanya kepada Junjungan s.a.w.: "Ya RasulAllah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, apa yang engkau perintahkan aku lakukan empat perkara tersebut dalam waktu itu tidaklah dapat aku laksanakan." Junjungan s.a.w. tersenyum dan menyatakan:- "Apabila engkau membaca suratul Ikhlas 3 kali, maka seolah-olah engkau mengkhatamkan

al-Quran, apabila engkau membaca sholawat kepadaku dan ke atas para nabi maka kami akan mensyafaatimu pada hari kiamat, apabila engkau beristighfar untuk sekalian orang mukmin, maka telah redhalah mereka akan dikau, dan apabila engkau membaca SubhanaAllah wal hamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar, maka seolah-olah engkau berhaji dan berumrah. Begitulah ikhwah, antara amalan yang disebut dalam kitab-kitab ulama dahulu. Sekadar untuk tatapan kalian, dan jika yang hendak memakainya, silalah, sesiapa yang tidak mahu, maka silalah jugak, yang penting jangan sampai tidur bersila, karang lenguh pinggang dan lutut.