Tazkira Ramadan 3 Hari 7; Hari 8 dan Hari 9

Musbri Mohamed DIL; ADIL ( ITM ) MBL ( UKM )

1

7. JALAN KE SYURGA PENUH DURI Segala puji bagi Allah s.w.t . Salam dan juga selawat buat Junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia. Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah s.w.t yang beramal soleh. Neraka pula adalah tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).

2

Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah s.w.t dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula daripada keimanan kepada Allah s.w.t. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah maka Nabi Muhammad s.a.w mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.

3

Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak akan mampu melakukan sebarang kebajikan. Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu.

4

Amat mudah melakukan kejahatan. Di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu. Betapa tidak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan memerlukan banyak latihan dan perjuangan. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak dan tidak putus harapan saja akan berjaya sampai ke mercu.

5

Kebahagiaan di dunia belum menjadi tiket untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islam. Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat akan kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.

6

Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sedikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawasi diri daripada serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan juga dalami.

7

Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah s.w.t sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah s.w.t tidak gerakkan kita untuk beramal, kita tidak akan beramal. Ini maknanya Allah s.w.t mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah s.w.t menggerakkan kita untuk beramal. Jadi soal pahala tidak akan timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah s.w.t gerakkan kita beramal.

8

Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali r.a yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan beliau sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali r.a memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali r.a menggigil mengenangkan bekalan yang sedikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.

9

Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah s.w.t mengampun dan meninggikan darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

10

Ingat sekali lagi pesanan Nabi Muhammad s.a.w "Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu adalah jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu merupakan jalan ke neraka. Wallahu 'Alam

11

9. KEDUNIAAN YANG MERUGIKAN AKHIRAT

Bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana melahirkan kita ke alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan insyallah akan dimatikan dengan izinNya. Kita dipinjamkan jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang diizinkan yang kita sendiri tidak mengetahui kecuali diriNya. Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi.

12

Pengembara yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan sementara yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya adalah warga satu alam lagi. Manakala pengembara yang lupa daratan akan menikmati sepuaspuasnya apa sahaja yang dijumpai dan ditempuhi ; seolah-olah inilah dunianya sehingga terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka terpedaya dengan kemanisan dunia dan menyangkakan apa yang dipungut itulah bekalan .

13

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut arah kompas yang dipiawaikan oleh Rasulullah s.a.w. Untuk sampai ke destinasi akhirat , pungutlah bekalan sebanyak mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai beban yang boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang tua : Kita sebenarnya adalah Warga Akhirat - tempat yang kekal abadi; sementara dunia ini ialah rumah tumpangan sementara yang penuh kepalsuan dan tipu-daya. Oleh itu kita mestilah bijak memilih mana satu bekalan dan mana satu bebanan . Barangan yang dikategori sebagai bebanan akan menyusahkan perjalanan ke akhirat manakala barangan bekalan akan berfaedah untuk kehidupan di sana. Kutiplah bekalan sebanyak mungkin dan hindarkan memikul bebanan yang menyulitkan perjalanan. Ingatlah: "Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di akhirat nanti."

14

"Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya." - Hadis Ramai mentafsirkan hadis ini dari segi keduniaan iaitu kerja bersungguh-sungguh kerana kita akan hidup lama di dunia. Tetapi makna yang tersirat ialah kita hidup lama lagi di dunia jadi kenapa nak bekerja beria-ia mencari pendapatan lebih sedangkan masa banyak lagi. Tetapi dalam hal dan perspektif akhirat, kita akan mati esok - jadi terpaksalah buat persiapan dengan lengkap dan berhati-hati kerana kita akan mati esok. Tafsiran begini jarang diterangkan oleh umum terutama pemburu harta di dunia ini.

15

Islam tidak menghalang umatnya mencari harta-benda dan kekayaan; asalkan ia tidak menghalang dari melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t. Malahan orang Islam yang kaya adalah amat diperlukan kerana ia adalah sumber ekonomi negara dan sebagai juruwang bagi saudaranya yang miskin dan memerlukan bantuan. Orang kaya adalah pembantu orang miskin, orang kuat adalah pelindung golongan yang lemah, orang alim sebagai sumber cahaya dan ilmu kepada orang jahil. Begitulah golongan ini saling bantu-membantu antara satu dengan lain. Apa yang Islam larang ialah meletakkan keduniaan sebagai sasaran utama dalam hidup melebihi hal-hal keakhiratan dan pengabdian kepada Allah s.w.t. Sekiranya keduniaan diberikan keutamaan dalam hidup bererti konsep syahadahnya terjejas.

16

Intipati syahadah ialah mengaku dengan sebenar-benar pengakuan bahawa Tiada lain yang lebih besar selain Allah s.w.t dan pengakuan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah s.w.t. Ini bererti tumpuan pengabdian hakiki ialah Allah s.w.t dan bukannya harta-benda dunia. Jika kekayaan dunia dijadikan asas hidup berertilah kita telah membesarkan dunia daripada Allah s.w.t sendiri; atau dalam kata-kata lain kita bertuhankan harta bukannya Allah s.w.t . Di sinilah terpesongnya aqidah orang-orang kebendaan.

17

Sangat beruntunglah mereka yang mempunyai harta kekayaan yang menjadikannya sebagai modal untuk akhirat. Wang ringgit dipertaruhkan sebagai saham akhirat dengan bersedekah, mendirikan masjid, membantu fakir miskin dan anak yatim, menyelesaikan masalah dan keperluan jiran dan masyarakat sekeliling. Mereka inilah yang berjaya menukar harta menjadikan sebagai pahala atau membeli akhirat dengan dunia. Sebaliknya amat rugi mereka yang mempunyai wang ringgit dan harta kekayaan tetapi membelanjakan untuk perkaraperkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah untuk akhiratnya; atau lebih dahsyat jika digunakan untuk kerja-kerja maksiat dan hiburan semata. Di akhirat akan ditanya Allah s.w.t ke mana wang ringgit kita dibelanjakan dengan begitu halus dan tereperinci.

18

Dalam Al-Quran banyak sekali ayat yang menjelaskan bahawa kehidupan akhirat adalah lebih penting dan lebih kekal. Oleh itu sayugia bagi kita melebihkan kehidupan akhirat daripada dunia. Kehidupan di dunia hanya dalam tempoh terhad; jarang-jarang melebihi 90 tahun; tetapi akhirat tiada batasan waktu. Sudahlah begitu diriwayatkan satu hari di akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Jadi berapalah nilai umur di dunia dibandingkah di akhirat? Orang yang bijak tentunya berpandangan jauh iaitu untuk kehidupan akhirat. Ada di antara orang-orang alim dan para wali sangat mengambil berat tentang pengisian waktu dengan ibadat. Mereka tidak rela membuang masa begitu sahaja. Setiap saat bagi mereka adalah berharga dan mesti diisi dengan sesuatu ibadat supaya tidak terbuang begitu saja. Bagi mereka, setiap nafas yang turun naik akan dipersoalkan. Pada sebelah malam, mereka menggunakan masa untuk beribadat. Masa tidur mereka amat sedikit.

19

Sebaliknya mereka yang asyik mengumpul harta dunia untuk dunia adalah berfikiran sempit kerana tidak menjangkau alam abadi di akhirat. Ahli dunia saban masa memikirkan bagaimana nak mengumpul harta benda hingga menjadi kaya. Walaupun sudah kaya, mereka masih berusaha lagi supaya menjadi bertambah kaya; tanpa sedikit pun memikirkan bagaimana harta yang ada pada mereka hendak diinfaqkan di jalan Allah s.w.t supaya hasilnya dapat dituai di akhirat kelak. Orang kaya begini pada hakikatnya adalah miskin kerana masih banyak memerlukan sesuatu. Semasa perjalanan Israk Mikraj, Allah s.w.t menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru lepas ditanam, terus berbuah dan dituai; begitulah seterusnya. Inilah ibarat orang yang membuat kebajikan sentiasa tak putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi Allah s.w.t. Balasan pahala ini akan dinikmati kebahagiaannya di akhirat kelak.

20

Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanya kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir." Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau ia dicuri orang, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa amat sedih." Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya. Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali berjumpa Allah s.w.t

21

Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah mempunyai pendirian berkaitan dengan penumpukan harta kekayaan. Yang lebih penting bagi kita ialah adakah kita akan diterima oleh Allah s.w.t di akhirat kelak sebagai hambaNya yang soleh. Begitu juga adakah Nabi Muhammad s.a.w akan mengaku atau mengiktiraf kita sebagai umatnya. Jika Allah tak mengaku hambaNya dan Nabi Muhammad s.a.w tak mengaku kita sebagai umatnya, ke mana lagi kita nak pergi ketika itu? Ke mana tempat kita nak mengadu nasib? Di dunia bolehlah meminta bantuan dari kaum kerabat dan sebagainya tetapi di akhirat siapa lagi selain Allah s.w.t dan rasulnya.. Akhirnya sama-sama kita meminta taufiq dan hidayat semoga kita berada di landasan sebenar sebelum kita dipanggil oleh Allah s.w.t. Kita pohonkan keselamatan dan taubat di atas dosa-dosa kita dan mudahan kita kembali menemuiNya dalam keadaan Allah s.w.t meredhai kita, Insyaallah..

22

9. INGAT-BERINGAT BUDAYA KITA

Dalam surah Al-Asr, Allah s.w.t yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memperingatkan kita tentang perlunya kita memenuhkan jiwa kita dengan iman, dan kemudian diikuti dengan amal soleh. Iman dan amal soleh adalah gandingan sifat yang berdaya maju untuk memberi motivasi dan sekaligus mengubah diri kita menjadi manusia berakhlak mulia. Sekadar memperbaiki diri sendiri belum mencukupi. Kita mempunyai misi seterusnya iaitu menunaikan tanggungjawab kepada anak-anak, isteri, keluarga, jiran dan manusia keseluruhannya. Dalam Surah Al-Asr, Allah s.w.t seterusnya mengingatkan kita supaya memberikan nasihat dan ingat-beringat sesama muslim dan juga nonmuslim. Sebagaimana misi para Rasul dan Nabi untuk menyelamatkan umat, kita juga perlu menanamkan tekad yang sama sebab mereka adalah contoh teladan yang terbaik untuk kita ikuti.

23

Dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada yang mungkar, pastinya kita akan menerima cemuhan dan tentangan, kerana untuk mendapatkan yang baik, lumrahnya akan menempuh kesusahan dan keperitan terlebih dahulu. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah dicerca, dihina, dipukul, dihalau dan menanggung kesusahan serta kelaparan untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan; sedangkan baginda adalah manusia termulia dan maksum. Betapalah pula dengan diri kita yang bergelumang dengan noda dan dosa. Ini adalah lumrah perjuangan. Tidak dinamakan perjuangan dan jihad sekiranya tidak dicuba terlebih dulu dengan kepayahan. Dalam AlQuran selalu dinyatakan 'di dalam kepayahan ada kebaikan'. Oleh itu setiap diri kita perlu menanggung sabar semasa melakukan usaha nasihatmenasihati ini. Tugas dakwah ini bukan tugas tok guru dan ustaz sahaja. Dalam zaman yang penuh dengan kegelapan di mana manusia sudah ramai yang lari dari Allah s.w.t tugas ini menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim.

24

Para rasul tidak kenal penat dalam menjalankan usaha dakwah. Mereka tidak berputus asa walaupun usaha mereka tidak berjaya, sebab yang memberikan taufiq dan hidayah ialah Allah s.w.t. Kita berusaha tapi Allah s.w.t jua yang memberikan petunjuk. Nabi Noh a.s. meskipun beratus-ratus tahun berdakwah kepada umatnya, namun yang mengikutnya segelintir saja. Bukan makin lama makin bertambah, bahkan ada pula yang lari meninggalkan Nabi Noh a.s. Lantas Nabi Noh a.s membuat bahtera untuk menyelamatkan para pengikutnya dari ancaman Allah s.w.t. Yang naik bahteranya adalah sebahagian kecil pengikutnya dan juga haiwan peliharaan mereka. Anak dan isterinya sendiri tidak berjaya diselamatkan. Di sinilah letaknya nilai kesabaran yang amat perlu dalam meneruskan perjuangan.

25

Untuk itu saya ingin mengingati diri saya dan juga saudara dan saudari supaya kekal menunaikan ibadat solat 5 kali sehari semalam. Solat ialah anak kunci syurga dan juga amalan yang mula-mula sekali ditanya dan diperiksa pada hari kiamat. Ia sebagai tiang agama. Apabila saudara saudari mengerjakannya bererti anda telah mendirikan agama. Sebaliknya jika ditinggalkan bermakna anda merobohkan agama. Sebaik-baiknya solat adalah secara berjemaah di masjid atau surau. Ingatlah bahawa apabila anda tidak meninggalkan solat dan apabila anda ditimpa dugaan hidup maka anda tetap bersabar««..anda dianggap sebagai insan bertakwa. Hanya insan bertakwa yang layak menghuni syurga Allah s.w.t

26

Al-Quran adalah kitab yang paling mulia. Ia merupakan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w meninggalkan dua perkara yang mana jika berpegang dengan kedua-duanya kita tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu Al-Quran dan hadis. Oleh sebab itu, usahlah dijadikan Al-Quran sebagai kitab buruk yang diletak di atas almari tanpa dibaca dan dihayati. Lazimkanlah membaca Al-Quran di rumah anda. Kalau dapat khatamkan sebulan sekali; atau kalau tidak mampu, memadailah sehari sehelai. Ramai antara kita yang boleh membaca akhbar harian berjam-jam, malah ada yang diulang bacaannya. Tetapi mengapa minat membaca ini tidak dijuruskan pada Al-Quran sedangkan ia menjadi pelita dan perisai di dalam kubur kita.

27

Untuk menjaga hubungan baik dan silaturrahim sesama Islam, Nabi Muhammad s.a.w menyarankan agar kita sebarkan ucapan 'Assalamu Alaikum' (sejahtera atas kamu). Ini adalah ucapan ahli syurga. Malangnya ada yang beranggapan ucapan salam ini kolot dan tidak diplomatik. Mereka lebih suka mengucapkan 'selamat pagi atau selamat petang' atau 'selamat sejahtera'. Ucapan begini walaupun nampak sama maknanya tapi tidak membawa sebarang pahala. Ucapan Assalamu alaikum adalah doa untuk keselamatan sesama Islam. Dengan ucapan itu, kita sudah menyambung silaturrahim.

28

Keberkatan adalah segalanya. Amatlah beruntung jika kita mempunyai umur dan harta yang berkat. Menggunakan usia dan harta di jalan Allah s.w.t dikira usaha yang diberkati dan Allah s.w.t akan membalas dengan berlipat ganda. Untuk memperolehi keberkatan dalam segala amalan dan tindakan kita, biasakanlah membaca 'Bismillahir rahmanir rahim' apabila memulakan sesuatu.

29

Lidah adalah punca segala maksiat. Ia adalah ibarat pedang jika disalahgunakan yang mampu membunuh diri sendiri. Orang tua pernah berkata 'sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa'. Di antara bahaya lidah ialah apabila digunakan untuk mengumpat, menghina, mengejek, memfitnah, mengutuk, memaki, membohong dan sebagainya. Oleh itu sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berfikir terlebih dulu. Gunakan otak sebelum berkata-kata. Jika tidak perlu, lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang siasia.

30

Semua yang ada di muka bumi ini adalah makhluk Allah s.w.t. Kita juga adalah makhluk Allah s.w.t sama seperti mereka. Oleh itu berbuat baiklah sesama makhluk Allah s.w.t walaupun mereka bukan jenis manusia. Allah s.w.t akan melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada mereka yang menyayangi sesama mereka. Barangsiapa menyayangi makhluk di bumi, nescaya disayangi oleh makhluk di langit (malaikat).

31

Allah s.w.t memberi nikmat yang banyak kepada kita. Nikmat teragung ialah nikmat iman dan Islam. Sebaik yang menerima nikmat ialah mensyukuri Allah s.w.t yang mengurniakannya. Bersyukur atas nikmat ialah menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaanNya. Menyalahgunakan nikmat untuk melanggar perintah Allah s.w.t adalah mengkufuri nikmat.

32

Anak-anak dan isteri adalah petaruhan Allah s.w.t . Allah s.w.t akan menanya atas didikan yang kita berikan. Oleh itu berikanlah didikan agama Islam yang sempurna. Penekanan yang begitu serius kepada akademik dan keduniaan menyebabkan anak-anak semakin jauh dari agama Islam. Akhir zaman ini, manusia terlalu asyik mengejar keduniaan dan kebendaan sehingga ramai anak muda jahil dalam perkara agama. Tidak hairanlah ada di antara mereka yang menjual agama kerana material yang sedikit. Oleh sebab tidak adanya perasaan sayang terhadap agama Islam, maka ramai di antara mereka yang menghina ulama dan Islam, malahan menjadi murtad dengan menganut agama yang kononnya menjanjikan kemewahan dan kebahagiaan. Di manakah maruah individu Islam apabila membiarkan di depan mata, anak muda kita dimurtadkan oleh kafir laknatullah?

33

Bantulah Allah s.w.t dengan mengembalikan kedaulatan Islam dan maruahnya. Kelak Allah s.w.t akan membantu anda. Didiklah anak-anak muda dengan menyerapkan iman di dada mereka. Mereka bakal menggantikan kita suatu masa nanti. Amalan kita terputus apabila kita mati kecuali ilmu kita yang baik, sedekah jariah serta doa anak kita yang soleh.

34

Ajarkanlah anak-anak dengan Al-Quran. Ramai anak-anak kita dewasa ini celik IT dan celik korporat tapi sayang sekali buta AlQuran. Mereka tidak pandai membaca Al-Quran, tidak tahu rukun Islam, rukum Iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu 'ain. Siapa yang perlu dipersalahkan, tidak lain dosa tertanggung ke atas bahu ibu bapa kerana anak-anak dilahir ikut fitrah; bapa bertanggungjawab sama ada meyahudi atau mengkristiankannya. Berjaga-jagalah sebelum nasi menjadi bubur.

35

Dalam mengerjakan ibadat, lakukanlah dengan ikhlas bukan seperti melepaskan batuk di tangga atau melakukan secara berpura-pura. Pelajarilah ilmu tasawuf supaya dapat kita ketahui perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala ibadat yang kita lakukan.

36

Di samping mencari kemewahan di dunia, jangan lupa bekalan kita untuk dibawa ke akhirat. Begitu juga jangan lupa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan tanahair. Mainkan peranan supaya negara yang kita cintai ini dirancang, ditadbir dan dikawalselia oleh mereka yang berjiwa Islam; dan bukan mereka yang mengutamakan kepentingan peribadi dan kroni atau mereka yang bersifat zalim.

37

Bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan bersedekahlah semasa ada fakir miskin yang mahu menerimanya. Kita semua banyak melakukan dosa dan tidak terlepas dari melakukan maksiat sama ada kecil atau besar. Sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum tanpa berdosa pun beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t , betapa pula hal dengan diri kita yang bergelumang dengan kelupaan dan dosa. Bangunlah di tengah malam dan bertaubat sambil menangis kerana ketelanjuran berbuat dosa.

38

Kepada orang-orang tua terutama kedua ibu bapa, hendaklah kita hormati dan kasihi. Begitu juga kasihilah anak-anak yatim, fakir miskin dan orangorang tua. Hulurkanlah apa-apa bantuan atau sedekah untuk mereka namun sekiranya kalau tidak mampu sukakanlah hati mereka dengan kata-kata yang menyenangkan mereka. Sesungguhnya senyuman itu juga adalah satu sedekah. Nabi Muhammad s.a.w amat menyukai anak-anak yatim. Oleh itu carilah peluang untuk berjumpa dengan anak-anak yatim sambil mengusap kepala mereka dengan kasih sayang.

39

Saya memohon doa agar saya dan saudara- saudari semua diberikan Allah s.w.t kekuatan dan semangat untuk melakukan segala amalan dengan istiqamah serta ikhlas. Semoga kita dimasukkan ke dalam kumpulan Abrar dan diterima Allah s.w.t akan amalan kita di dunia sebagai kebajikan yang berterusan ke akhirat. Amin. Insyallah . Kita bertemu lagi di Takzira di Hari 10, Hari 11 dan Hari 12. Musbri Mohamed 2010

40

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful