You are on page 1of 6

Dewasa ini, negara kita berkembang maju dengan pesatnya dengan

pembangunan teknologi dan sains dalam pelbagai bidang seiring dengan negara-
negara membangun bagi membina negara bangsa Malaysia yang berjaya. Namun
begitu, peradaban untuk membina negara bangsa pada hari ini menghadapi cabaran
yang begitu tinggi kerana pembangunan peradaban mestilah seiring dari segi
material dan spiritual. Bagi mencapai kejayaan sesebuah negara, spiritual iaitu
kepercayaan atau pegangan yang kukuh dalam masyarakat adalah penting bagi
meningkatkan budi pekerti setiap individu. Hal ini kerana jika kita mementingkan
metarial sahaja, negara bangsa yang kita bina tidak akan kekal lama.

Jika kita lihat pada hari ini, unsur-unsur spiritual itu telah hilang sedikit demi
sedikit yang mana kebanyakan daripada kita lebih mementingkan kemewahan dan
kesenangan semata-mata. Buktinya sahaja jika kita mengikuti isu-isu semasa
terutamanya melalui media cetak mahupun media massa hangat memperkatakan
tentang isu gejala sosial yang berlaku pada hari masa ini. Pembuangan bayi
merupakan salah satu gejala sosial yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat
yang mana masyarakat sudah tidak asing lagi dengan masalah tersebut.

Gejala pembuangan bayi ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat tanpa
mengira lapisan umur masyarakat tersebut dan latar belakang. Apa yang lebih
menyedihkan ialah segelintir golongan yang berpendidikan tinggi iaitu mahasiswa-
mahasiswi juga turut terlibat dalam melakukan perkara yang terkutuk lagi hina disisi
Allah S.W.T ini. Padahal mereka merupakan golongan yang terpelajar dan generasi
yang akan meneruskan pembangunan negara bangsa Malaysia supaya menjadi
sebuah negara yang mantap dan dihormati oleh negara-negara lain.

Apa yang menyedihkan mengenai masalah pembuangan bayi ialah insan


yang baru nak mengenal dunia menjadi mangsa daripada perbuatan yang tidak
bermoral oleh pelaku-pelaku tersebut. Sama ada sedar atau tidak, pelaku tersebut
dalam kalangan mereka adalah ibu bapa kepada bayi itu sendiri. Bayi-bayi yang
menjadi mangsa dibuang ke dalam tong sampah, rumah usang dan kosong, dalam
tandas, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang, rumah ibadat dan tempat-
tempat awam seperti gerai makan, perhentian bas dan pintu pagar klinik kesihatan.

Masalah gejala pembuangan bayi ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor
yang mendorong mereka melakukan perbuatan sedemikian rupa. Antara salah satu
faktor utama adalah kurangnya didikan dan menghayati ilmu agama. Hal ini kerana
jika seseorang itu tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dalam kehidupan
seharian, mereka akan lupa tiga tanggungjawab mereka sebenar dibumi Allah S.W.T
ini iaitu yang pertama sebagai hamba yang menjalankan ibadah kepada Allah S.W.T
dengan melaksanakan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang
dilarang oleh Allah S.W.T. Tanggungjawab manusia yang kedua ialah sebagai
khalifah Allah S.W.T yang mana setiap manusia di dunia ini seharusnya menjadi
pemimpin yang baik dan membantu memajukan masyarakat berlandaskan al-Q uran
dan sunnah Rasulullah S.A.W. Manakala tanggungjawab sebenar manusia yang
ketiga ialah memakmurkan bumi Allah S.W.T.

Selain itu, mudah terpengaruh dengan pujuk rayuan juga merupakan faktor
yang mendorong perlaku untuk melakukan zina secara tak langsung akan
melahirkan gajala pembuangan bayi. Hal ini kebiasaannya berlaku apabila
seseorang itu tidak mempunyai pendirian tetap yang mana keimanannya mudah
diperkotak-katikkan dengan kata-kata manis. Sebagai contoh yang cukup mudah dan
fenomena ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita iaitu dalam sesebuah
pasangan yang sedang dilamun cinta yang begitu indah sehinggakan menganggap
dunialah segalanya, bila mana ada pasangan yang meminta buktikan betapa
dalamnya cinta mereka konon-kononnya sehingga sanggup menyerahkan tubuh
kepada pasangan mereka yang belum sah sebagai suami isteri. Pada mulanya, si
perempuan tidak mahu menyerahkan diri mereka, namun apabila dipujuk rayu maka
tenggelamlah perempuan tersebut dengan kata-kata manis tersebut. Akhirnya, tanpa
mereka duga dan sangka kerana mereka tidak menjangkakan bahawa hasil
hubungan haram mereka itu menghasilkan zuriat mereka. Kadang-kadang ada
sesetengah pasangan yang merancang untuk menggugurkan kandungan, namun
Allah Maha Berkuasa, kandungan tersebut masih selamat sehingga dilahirkan.
Akhirnya jalan terakhir yang mereka pilih ialah mereka mengambil keputusan untuk
membuang bayi mereka kerana dengan alasan yang cukup mudah mereka belum
bersedia untuk mendapat bayi.

Disamping itu, pengaruh kawan dan terikut-ikut dengan budaya barat


menjadikan mereka melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan disebalik apa yang
mereka lakukan. Menurut kebanyakan pakar psikologi mengatakan bahawa
pengaruh kawan merupakan satu perkara yang boleh membentuk seseorang itu
yang mana mereka mengatakan jika baik sahabat seseorang itu, maka baiklah dia,
tetapi jika buruk sahabat itu, maka akan buruklah juga perangainya. Ekoran itu, kita
dinasihatkan untuk berhati-hati dalam memilih sahabat. Maka melihat kepada isu
pembuangan bayi, kebanyakan isu ini berlaku disebabkan pengaruh kawan yang
mana mengajak kawan untuk terlibat sama dalam melakukan gejala sosial seperti
menagih dadah, membuat hubungan seks secara bebas, menjadi pelacur dan
sebagainya sehingga menyebabkan timbulnya isu pembuangan bayi. Kebiasaanya
pengaruh kawan begitu cepat memberi impak kepada seseorang terutamanya apa
bila mereka mula diejek, dicabar dan sebagainya. Hal ini kerana terdapat individu
yang tidak suka dicabar atau dikatakan kolot dan ketinggalan zaman kerana
sekarang dunia moden mementingkan keseronokan seperti negara-negara barat
yang mengamalkan sosial yang tinggi dan hubungan bebas tanpa batasan. Malahan
di negara barat, mereka mengadakan kelas seks untuk rakyat mereka. Oleh kerana
keadaan demikian, sahabat tadi akan mengikut apa yang diperkatakan oleh
sahabatnya tanpa menghiraukan kesan negatif yang bakal dihadapinya kerana
baginya dia tidak mahu dimalukan dihadapan sahabat-sahabatnya yang lain.

Malah ibu bapa kurang memberi perhatian terhadap perlakuan dan


pergarakan anak-anak mereka juga penyumbang kepada gejala pembuangan bayi
akibat daripada mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti pergaulan bebas dan masalah
sosial yang lain. Pada hari ini, kebanyakkan ibu bapa sibuk dengan kerja dan urusan
mereka di pejabat sehinggakan tiada masa untuk bersama dengan anak-anak
mereka. Apa yang lebih menyedihkan ialah ada sesetengah anak yang terpaksa
membuat temu janji dengan ibu bapanya sendiri apabila ingin berjumpa. Hal ini
secara tidak langsung akan menimbulkan satu perasaan memberontak dalam jiwa
anak-anak kerana mereka merasa mereka tidak disayangi dan terabai. Selain itu,
ada sesetengah ibu bapa yang bersifat autoritarian yang bermaksud tegas dalam
segala hal sehinggakan pandangan anak mereka langsung tidak diterima
menyebabkan anak-anak menjadi tertekan dan tidak gembira. Apabila tertekan,
mereka mengambil keputusan untuk tinggal bersama kawan dan lari daripada
rumah. Selain itu, ibu bapa yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada
anak-anak dalam membuat segala sesuatu juga menyebabkan mereka semakin liar
dan berani menipu ibu bapa mereka sendiri. Perbuatan mereka langsung tidak
diketahui oleh ibu bapa mereka. Pembuangan bayi berlaku ekoran daripada ada
sesetengah anak-anak yang takut ibu bapa mereka mengetahui hal kegiatan mereka
yang sebenar-benarnya. Selain itu, pembuangan bayi juga berlaku apabila keluarga
terutama ibu bapa tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka melahirkan
anak luar nikah menyebabkan mereka membuang bayi tersebut agar mereka tidak
mendapat malu dan cemuhan daripada jiran tetangga.

Selain itu, tekanan hidup juga menyebabkan mereka membuang bayi hasil
daripada hubungan seks luar nikah seperti tekanan daripada keluarga. Sesetengah
mereka membuang bayi kerana apabila lelaki yang menghamilkan perempuan
tersebut tidak mahu bertanggungjawab terhadap anak tersebut. Akibat daripada
perbuatan lelaki tersebut menyebabkan perempuan itu tidak boleh menerima
kenyataan dan kehadiran bayi tersebut. Disamping itu, terdapat juga mereka yang
membuang bayi kerana tekanan daripada majikan yang mana perempuan tersebut
bekerja sebagai pelacur.

Oleh yang demikian, gejala pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat


perlu ditangani bagi mengurangkan kes pembuangan bayi seterusnya mengawal
perbuatan yang tidak bermoral ini. Langkah yang paling baik ialah melengkapkan diri
dengan ilmu agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Anak-anak
kecil seharusnya didedahkan dengan ilmu agama agar mereka boleh
mengaplikasikan ilmu tersebut. Dengan adanya pegangan agama yang kuat dapat
mengelakkan diri seseorang itu daripada terjebak ke dalam kancah maksiat yang
dimurkai oleh Allah S.W.T. Sekiranya mereka mempunyai pegangan agama yang
kuat mereka akan malu melakukan maksiat tersebut.

Kerajaan juga turut memainkan peranan dalam mengatasi masalah gejala


pembuangan bayi ini. Antara langkah inisiatif yang diambil oleh kerajaan ialah perlu
mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda lebih berat
dikenakan kepada mereka yang melakukan perbuatan pembuangan bayi ini. Hal ini
kerana jika penguatkuasaan undang-undang ini akan dapat menakutkan para pelaku
yang membuat perkara terkutuk ini dan supaya mereka tidak membuat lagi pada
masa akan datang. Jika mengikut hukum syariat Islam, perbuatan zina direjam
sampai mati bagi mereka yang telah berkahwin manakala zina bagi mereka belum
berkahwin 100 kali sebat. Untuk memberi kesedaran dan pengajaran kepada mereka
yang ingin melakukan zinah yang akan mengakibatkan buang bayi.
Selain itu, terdapat juga agensi-agensi yang diwujudkan bagi mengatasi
masalah ini seperti Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA),
Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT). Agensi-
agensi ini berfungsi sebagai menengani masalah pergaulan bebas dan masalah
sosial yang lain seperti menagih dadah, mencuri dan sebagainya.

Selain itu, kerajaan juga menubuhkan pihak berkuasa menerusi Jabatan


Kebajikan Masyarakat bagi mewujudkan pusat-pusat jagaan bagi ibu-ibu muda yang
mengandung. Pusat ini menyediakan perkhidmatan bagi bakal-bakal ibu membuat
persediaan sebagai seorang ibu yang mana mereka mendapat bimbingan, sokongan
dan sebagainya. Penubuhan bank bayi juga adalah alternatif sebagai mengatasi
masalah pembuangan bayi. Bank bayi ini berfungsi sebagai sebuah tempat yang
mana bayi-bayi yang tidak diingini atau tidak mahu dijaga akan dikumpulkan di
bawah pusat ini dan mereka akan diasuh dan diberi perlindungan sepenuhnya.
Melalui pusat bank bayi ini, ibu kepada bayi tersebut diberi tempoh tertentu untuk
mengambil kembali anak mereka untuk dijaga sebelum diberikan kepada keluarga
angkat atau kepada keluarga yang tidak mempunyai anak. Melalui kaedah ini, gejala
pembuangan bayi dapat dikurangkan.

Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam membantu
mengatasi masalah ini. Ibu bapa seharusnya tidak mementingkan kerjaya semata-
mata. Mereka harus memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk bersama
dengan mereka supaya boleh berinteraksi dengan lebih baik, saling memahami
antara satu dengan yang lain, dapat berkongsi masalah dan mendengar pendapat
anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa yang prihatin, mereka harus mengetahui
rakan-rakan kepada anak mereka dan tidak meletakkan kepercayaan seratus
peratus kepada mereka supaya anak mereka tidak terjebak dengan masalah sosial
dan pergaulan bebas. Disamping itu, andai kata keterlanjuran telah berlaku dalam
keluarga mereka yang mana anak mereka telah melahirkan anak luar nikah, maka
ibu bapa harus memberi peluang kedua kepada anak mereka dan menerima hakikat
tersebut. Dengan begitu, kadar kes pembuangan anak dapat dibendung kerana
salah satu faktor pembuangan anak ialah penerimaan ibu bapa terhadap apa yang
mereka telah lakukan.
Kesimpulannya, semua pihak perlulah berkerjasama bagi membendung gejala
pembuangan bayi yang hangat diperkatakan oleh pada masa sekarang. Kerajaan,
pihak berkuasa, agensi-agensi tertentu, ibu bapa dan semua lapisan masyarakat
harus berkerjasama bagi menghadapi masalah ini.

You might also like