KENYATAAN MEDIA PENGAGIHAN SUMBANGAN RAYUAN RAMADHAN 1431H PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM) 20 Ogos 2010 / 10 Ramadhan

1431H Hari ini kita telah masuk hari ke sepuluh Ramadhan. Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya membebaskan kita dari api neraka. Usaha Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) meneruskan program Rayuan Ramadhan pada tahun ini iaitu program penajaan berbuka puasa dan sedekah di negara atau tempat umat Islam yang faqir dan miskin, yang sedang ditindas, yang ditimpa musibah dan yang dilupakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sasaran kami ialah untuk mendapatkan penajaan untuk 100,000 orang. Setakat ini, sumbangan telah mencecah penajaan untuk 20,000 orang setelah lebih seminggu kita berpuasa. Sukacita dimaklumkan bahawa kita telah pun memulakan pengagihan bagi fasa 1 termasuk beberapa penyerahan agihan kepada wakil-wakil kami pada hari ini. Antara yang akan diagih hari ini ialah untuk negara Kemboja, Myanmar dan Pakistan. Agihan pertama telah dilakukan pada 16 Ogos yang lepas kepada Negara Vietnam berserta dengan sumbangan 580 kg kurma melalui wakil Islamic Community Ho Chi Minh City Vietnam (ICHCMCV) untuk umat Islam di sana. Pada tahun ini kami memutuskan untuk memberi sumbangan yang lebih kepada mangsa-mangsa banjir di Pakistan. Sebagaimana yang kita ketahui, keadaan banjir di Pakistan begitu buruk sekali sehingga ada yang mengatakan ianya lebih dahsyat dari tsunami 2004. Terima kasih kami ucapkan kepada mereka yang telah menyumbang. Walaupun begitu ianya masih lagi jauh dari sasaran ditetapkan. Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menyertai program ini dengan melakukan sumbangan secara individu dengan melibatkan sama anak-anak dan ahli keluarga menabung atau secara berkelompok. Sumbangan secara berkelompok boleh diusahakan melalui institusi seperti masjid dan surau, rakan-rakan sepejabat, persatuan-persatuan dan sebagainya. Apa salahnya jika sumbangan mingguan yang diterima oleh masjid setiap hari Jumaat sebahagiannya disalurkan kepada program ini. Ambillah kesempatan menyumbang di dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya digandakan oleh Allah SWT. Sumbangan yang diterima akan disalurkan melalui wakil-wakil JIM di negaranegara yang dinyatakan di atas dan akan dinikmati oleh anak-anak yatim, jandajanda, orang tua, orang sakit, orang kurang upaya, orang miskin dan yang hidup melarat. Sebagai orang yang beriman kita sering diingatkan dengan sabda

Rasulullah SAW, “Salah seorang dari kalian tidak beriman hingga mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya”. Program ini membuka peluang untuk menunjukkan rasa kasih kepada saudara kita seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Brosur serta borang penyertaan telah diedarkan di seluruh negara bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk membuat sumbangan. Sumbangan juga boleh dibuat melalui transaksi atau bank in kepada akaun“PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA” di Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun: 1211 3010 005797 atau di Bank Mualamat Malaysia Berhad, nombor akaun: 1403 0000 391 713. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Program Rayuan Ramadhan 1431H JIM di talian 03-4108 9669 atau 03-4105 3159 atau melalui emel ramadhan-qurban@jim.org.my. Boleh juga layari, http://rayuanramadhan.jim.org.my/blog/ Berbahagialah kerana dapat membantu mereka yang lebih memerlukan. Ramadan Mubarak.

Tuan Yaacob Tuan Sof Pengarah Program Rayuan Ramadhan 1431H Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)