KENYATAAN MEDIA PELANCARAN PROGRAM RAYUAN RAMADHAN 1431H PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM) 4 Ogos 2010 / 21 Syaaban

1431H Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Bulan Ramadhan bulan rahmat dan bulan beribadah. Pada tahun ini, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sekali lagi melaksanakan Program Rayuan Ramadhan yang telah masuk tahun ke-12 sejak inisiatif ini dilancarkan pada tahun 1999. Program Rayuan Ramadhan ini adalah program penajaan berbuka puasa dan sedekah kepada mereka yang lebih memerlukan. ”Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun dari pahalanya.” – Hadith Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi. Pada tahun lepas (1430H/2009), JIM telah berjaya memperolehi sumbangan melebihi RM170,000 daripada rakyat Malaysia. Kami ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penyumbang yang sama-sama membantu menjayakan program ini. Alhamdulillah sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada rakyat di 14 buah negara iaitu Palestin, Mindanao, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Selatan Thailand, Sri Lanka, Afghanistan, Bangladesh, Iraq, Rohingya, Turkestan Timur, Baluchistan dan juga di Malaysia melalui dua institusi iaitu Hidayah Centre (sebuah Pusat Sokongan Saudara Baru) dan Raudhatus Sakinah (sebuah Pusat Bimbingan Remaja Puteri) untuk berbuka puasa bagi 35,000 orang. Pada tahun ini, JIM menyasarkan kutipan sumbangan RM500,000 untuk menaja 100,000 orang umat Islam yang kurang bernasib baik untuk berbuka puasa di 14 buah negara. Melalui testimoni yang kami terima, penerima amat-amat bersyukur dengan sumbangan yang mereka terima pada tahun-tahun yang lepas dan mengharapkan ianya akan berterusan pada tahun ini dan seterusnya. Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam program yang kami jalankan ini dengan menyumbang mengikut kemampuan masingmasing. Untuk menyertai program ini rakyat Malaysia boleh melakukan sumbangan secara individu atau melibatkan sama anak-anak dan ahli keluarga. ”Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. – Al Baqarah 2:261.

Sumbangan secara berkelompok juga boleh diusahakan melalui institusi seperti masjid dan surau, rakan-rakan sepejabat, persatuan-persatuan dan sebagainya. JIM juga ingin mencadangkan agar, sedikit sumbangan mingguan yang diterima oleh masjid setiap hari Jumaat disalurkan kepada program ini. Sumbangan yang diterima akan disalurkan melalui wakil-wakil JIM di negaranegara yang dinyatakan di atas. Sumbangan ini akan dinikmati oleh anak-anak yatim, janda-janda, orang tua, orang sakit, orang kurang upaya, orang miskin dan mereka yang hidup melarat. Sebagai orang yang beriman kita sering diingatkan dengan sabda Rasulullah SAW, “Salah seorang daripada kalian tidak beriman hingga mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri”. Program ini membuka peluang untuk kita menunjukkan rasa kasih kepada saudara seIslam di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban saudara kita di dalam dan luar negara dalam mengharungi bulan ibadah ini. Brosur serta borang penyertaan telah diedarkan di seluruh negara bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk membuat sumbangan. Sumbangan juga boleh dibuat melalui transaksi atau bank in kepada akaun “PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA” di: Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun: 1211 3010 00 5797 atau di Bank Mualamat Malaysia Berhad, nombor akaun: 1403 0000 391 713. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat Program Rayuan Ramadhan 1431H JIM di talian 03-4108 9669 atau 03-4105 3159 atau sms 019-369 6650 melalui emel ramadhan-qurban@jim.org.my. Juga boleh layari www.rayuan-ramadhan.jim.org.my Kita amat bertuah kerana berada dalam nikmat Allah, dengan rezeki yang begitu banyak sekali. Marilah kita sama-sama mensyukuri rahmat dan pemberian Allah ini dengan menyumbang sedikit harta kita kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji oleh Allah dengan berbagai kesempitan. Usaha kita ini walaupun kecil, amatlah bermakna bagi mereka. Sama-samalah kita berlumba-lumba mengejar ganjaran Allah SWT dengan menyumbang kepada mereka yang lebih memerlukan. Selamat beribadah di bulan Ramadan Al-Mubarak.

Tuan Yaacob Tuan Sof Pengarah Program Rayuan Ramadhan 1431H Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)