You are on page 1of 10

DILEMA MASYARAKAT CINA DALAM NEGARA BANGSA MALAYSIA

Pembabitan aktif masyarakat Cina dalam politik negara bermula sejak Perang Dunia Kedua .
Pada dasarnya, reaksi masyarakat Cina terhadap Malayan Union berbelah-bagi dan gagal
menyatakan satu pendirian yang kukuh terhadap dasar itu walaupun secara keseluruhannya ia
berpihak kepada mereka. Komuniti itu kurang berminat terhadap polisi itu kerana melihatnya
sebagai satu lagi dasar penjajah yang bersifat kolonial dan tidak demokratik. Namun begitu
menjelang proses rundingan pindaan terhadap Malayan Union yang telah diadakan di sekitar Jun,
masyarakat Cina mula menunjukkan minat mereka terhadap perkembangan itu. Ia telah
menyaksikan satu senario baru dalam politik masyarakat Cina di Tanah Melayu. Di mana
golongan yang berlainan ‘mahzab’ dari komunis, koumintang dan fahaman sederhana berjaya
bekerjasama dan mendesak British untuk menimbang semula pindaan perlembagaan Malayan
Union.

Ia telah membawa kepada penubuhan Majlis Tindakan Bersama Tanah Melayu ( AMCJA
) pada 22 Disember 1946. Ia telah menggabungkan parti-parti politik dan kesatuan seperti
Kesatuan Demokratik Malaya, Kongres India Malaya ( MIC ), Malayan People’s Anti-Japanese
Ex- Services Comrades Association dan Pan-Malayan Federation of Trade Unions dan dibawah
kepimpinan Tan Cheng Lok. AMCJA telah mengemukakan 3 prinsip utama dalam usahanya
untuk membentuk satu perlembagaan baru iaitu penyatuan Tanah Melayu dengan Singapura,
pemerintahan sendiri melalui sebuah Badan Perundangan Pusat dengan keahliannya dipilih oleh
rakyat. Manakala hak kerakyatan pula, sama bagi semua penduduk yang menganggap Tanah
Melayu sebagai tanah air dan setia kepadanya. Oong. 2000 :110 ).

AMCJA semakin lantang bersuara apabila ia mendapat mula mendapat sokongan


daripada dewan-dewan perniagaan Cina yang bimbangkan kepentingan ekonomi mereka akan
terjejas lantaran daripada kejayaan golongan nasionalis Melayu dalam memberi tekanan
sehingga membawa kepada pindaan terhadap dasar Malayan Union. Kebimbingan golongan itu
tertumpu kepada dua perkara utama iaitu kekuasaan raja-raja Melayu dalam Perlembagaan
Melayu yang dijangka akan menjadi penghalang kepada sebarang pindaan perlembagaan itu
pada masa hadapan ( C0 537/ 2144 no. 264).
Selain itu, mereka turut berpendapat pemulihan kedudukan orang Melayu bakal menyukarkan
lagi proses kerakyatan yang akan menindas dan menghalang penguasaan ekonomi orang Cina di
Tanah Melayu.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mendapat reaksi negatif daripada
masyarakat Cina termasuklah AMCJA yang telah melancarkan hartal kerana beranggapan
perlembagaan baru itu menafikan hak golongan imigran. Ia menyaksikan wujudnya kerjasama
antara kaum yang pertama dalam politik negara. AMCJA telah membentuk pakatan dengan
PUTERA, sebuah parti haluan kiri yang dianggotai oleh parti-parti radikal seperti PKMM, API
dan Awas. Perlembagaan Rakyat yang terdiri daripada 10 prinsip telah diluluskan pada April
1947 (James P. Ongkili. 1985, 63). Ia menampilkan konsep bangsa iaitu bangsa Malaya yang
terdiri daripada semua kaum yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya serta
menunjukkan taat setia terhadapnya. Namun begitu, British enggan berunding mahupun
mengiktiraf kerjasama AMCJA-PUTERA yang didalangi oleh PKM.

Dalam usaha untuk menunjukkan penentangan masyarakat Cina terhadap Persekutuan


Tanah Melayu, AMCJA bersama-sama dengan dewan perniagaan Cina telah melancarkan
beberapa siri hartal di Tanah Melayu. Ia bermula di Melaka pada 9 September 1947, Perak pada
25 September 1947 dan hartal secara besar-besaran di seluruh negara pada 20 Oktober 1947. Ia
dikatakan telah melumpuhkan hampir ke semua bandar-bandar besar di Tanah Melayu dan
melibatkan kira-kira 90% perniagaan persendirian di Tanah Melayu. Di mana menurut The
Malaya Tribune, hartal tersebut mendapat sambutan kira-kira 95% penduduk Asia di Singapura
dan kira-kira 99% peniagaan berketurunan Asia ( Mohamed Noordin Sopiee. 1974 : 43). Namun
begitu, hartal tersebut hanya mendapat sambutan di bandar-bandar besar yang dikuasai oleh
masyarakat Cina sahaja. Di mana ia dikatakan gagal sama sekali di negeri-negeri Pantai Timur
serta negeri-negeri Melayu seperti Kedah , Perlis dan Johor ( Simandjuntak .1969 : 52 ).

Menurut Lee Kong Chian yang mewakili Dewan Perniagaan Cina, hartal tersebut
sebenarnya merupakan protes daripada komuniti Cina yang jelas tidak menyenangi keputusan
British dalam meminda perlembagaan Malayan Union ( Albert Lau. 1991: 241 ). Di mana dalam
pertemuan dengan Encik Creech Jones, Lee mendakwa penglibatan Dewan Perniagaan Cina
dalam hartal tersebut merupakan jalan terakhir dewan itu meminta British untuk memperhalusi
pindaan perlembagaan yang bakal dibuat agar kepentingan kaum lain diambil kira (C0 537/ 2144
no. 264 ).

Kemunculan Malayan Chinese Association ( MCA ) pada 27 Februari 1949 semasa


negara berada dalam darurat, dilihat sebagai satu langkah yang tepat pada masanya. Ia muncul
sebagai satu parti fahaman sederhana dan mampu menarik minat masyarakat Cina daripada terus
menyokong Parti Komunis Malaya ( PKM ). Oleh yang demikian, Henry Gurney telah memberi
sokongan padu kepada pemimpin-peminpin Cina aliran Barat seperti Tan Cheng Lock, H.S. Lee,
Yong Shook Lin dan Leung Chueng Ling bagi menubuhkan MCA ( Tan Liok Ee.1997: 116). Ia
jelas dalam surat Gurney kepada J D Higham yang bertarikh 10 Februari 1949 ( C0 537 / 4242
no. 3 ) yang menyatakan bahawa :
“ The association is likely to be widely supported by the Chinese and may become a
powerful body in the future. It will be interesting to see how far it will be prepared to
declare itself openly against Communism but we have not that stage yet and must
concentrate more on the short term problem of getting co-operation for the purposes of
the emergency.”

Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa salah satu faktor yang membawa kepada pembentukan
MCA adalah untuk membantu British dalam menangani ancaman komunis. Ia turut bertujuan
untuk membuktikan bahawa masyarakat Cina sanggup untuk bekerjasama dengan British dalam
usaha menjaga keamanan Tanah Melayu. Perkara ini telah diberi penekanan oleh Yong Shook
Lin, Setiausaha MCA ( C0 537/ 4242 n0. 5 ) yang menyatakan:

“ The principal object of the Malayan Chinese Association is to assist and maintain
peace and order in the whole of Malaya and to strive for advancement under this policy.
All law abiding Chinese should have this as their object. All lover of peace and orderly
progress must naturally stand on side of law and order. Therefore it is incumbent to
every Malayan Chinese to join this Association”

Penubuhan The Malayan Chinese Association ( MCA ) dianggap sebagai detik peralihan ataupun
‘turning point ’ dalam perkembangan politik masyarakat Cina di Tanah Melayu sebelum
merdeka. Heng Peck Koon(1988) menegaskan bahawa “ The formation of MCA, bridged the
divide between trational and modern modes of community organization in both ideological and
structural terms. It also spanned the gap between the Laukeh and Baba political cultures to
produce a synthesized Malayan-Centred Chinese world-view ”.
Pada peringkat awal perjuangannya, MCA dilihat lebih cenderung sebagai satu organisasi
sosial yang bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat Cina. Ia terlibat dalam menjaga
kebajikan penduduk Cina yang dipindahkan ke penempatan baru yang dikenali ‘kampung baru’.
Namun begitu, menjelang tahun 1949, perubahan mula jelas dalam matlamat perjuangan MCA.
Di mana dalam Mesyuarat Agung pada Jun 1949, parti itu telah menjelaskan bahawa objektif
utamanya adalah menggalakkan muhibah antara kaum, menjaga kebajikan penduduk Cina dan
turut bergerak ke arah mencapai ketenteraman di Tanah Melayu. MCA telah memainkan peranan
yang penting dalam politik negara dari tahun 1949-1957. Ia dianggap sebagai parti tunggal yang
mewakili orang Cina dan mandat itu jelas apabila MCA memenangi kesemua 15 kerusi yang
ditandingi dalam Pilihan Raya Umum 1955.

Kejayaan MCA dalam pilihan raya umum 1955 telah memberikan mandat kepadanya
untuk meneruskan perjuangan parti itu dalam mempertahankan hak serta kepentingan orang
Cina. Namun begitu, perbezaan latar belakang pemimpin MCA telah membawa kepada
keretakan parti tersebut menjelang pertengahan 1950an. Perbezaan yang ketara dari segi tempat
lahir, latar pendidikan serta profesion telah membawa kepada perselisihan pendapat dan
seterusnya mengakibatkan krisis dalaman dalam MCA. Akibatnya masyarakat Cina mulai hilang
keyakinan terhadap MCA dan mula mengalihkan sokongan mereka kepada parti-parti yang lain
dan dianggap lebih mampu memperjuangkan kepentingan mereka dengan lebih berkesan.

Akta Pendidikan 1952 telah dikaji semula selepas Pilihanraya umum 1955 dan ia
digantikan dengan Laporan Razak 1957. Namun begitu, ia tetap tidak diterima oleh majoriti
masyarakat Cina yang beranggapan ianya tidak banyak berbeza dengan Akta Pendidikan 1952.
Akta Pendidikan 1957 yang berlandaskan Laporan Razak menggariskan dua jenis sekolah rendah
iaitu ‘sekolah umum dan ‘sekolah jenis umum’. Bahasa Melayu dijadikan bahasa yang wajib
dipelajari di samping bahasa Inggeris dan laporan ini turut menekankan sukatan pelajaran yang
sama tanpa mengira bahasa penghantar. Masyarakat Cina ‘kurang senang’ dengan laporan ini
kerana beranggapan akta ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahasa Cina dan
menghapuskannya secara beransur-ansur. Di samping itu, syarat yang mewajibkan pembelajaran
bahasa Melayu dan Inggeris turut mendapat bantahan kerana ia dianggap akan membebankan
pelajar-pelajar Cina.
Pemimpin-pemimpin MCA peringkat pusat dikecam kerana gagal menangani isu
pendidikan dan bahasa ini dengan berkesan. Mereka yang kebanyakkannya berpendidikan
Inggeris dilihat lebih mengutamakan soal kepentingan ekonomi daripada bahasa, pendidikan
mahupun kebudayaan. Ia dapat dilihat dalam kenyataan Tan Cheng Lok dalam Mesyuarat
Jawatankuasa MCA pada 7 April 1957 yang menegaskan bahawa parti MCA hanya
bertanggungjawab ke atas resolusi parti tersebut dan tidak akan melayan tuntutan persatuan-
persatuan yang lain( Voon. 2007: 109 ). Ini telah mengakibatkan kebangkitan golongan
pemimpin ‘Laukeh’ yang berpendidikan Cina seperti Lau Pak Kuan dan Leong Chee Cheong,
dan Cho Yew Fai.

Pergeseran dalaman MCA telah mewujudkan dua kumpulan yang utama dan mempunyai
matlamat perjuangan, kepentingan serta pandangan yang agak berbeza. Kumpulan Cina
Peranakan yang berlatar pendidikan barat diketuai oleh Tan Cheng Lok, Tan Siew Sin, Ong
Yoke Lin dan Leong Yew Koh dilihat lebih bersifat liberal dan mempunyai hubungan yang baik
dengan pemimpin Melayu. Manakala kumpulan kedua pula yang merupakan “Laukeh” yang
berpendidikan Cina dan merupakan pemimpin dewan perniagaan Cina, persatuan dialek dan
huay tuan pula lebih menekankan kepentingan kebudayaan, bahasa, hak serta pendidikan Cina.
Mereka merupakan pemimpin di peringkat cawangan seperti Lau Pak Kuan dan Leong Chee
Cheong dari Perak, Cho Yew Fai dari Selangor dan Lim Lian Geok dari Persatuan Guru Cina
Bersatu.

Konflik MCA semakin ketara apabila soal kemerdekaan dibincangkan dan Suruhanjaya
Reid ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Lau Pak Khuan
telah mendesak MCA agar memastikan soal kewarganegaraan, persamaan hak dan kebebasan
pengunaan bahasa Cina dimasukkan ke dalam memorandum bersama Parti Perikatan yang akan
diserahkan kepada Setiausaha Negara Tanah Jajahan di London ( Vasil. 1980: 104). Kegagalan
MCA peringkat pusat melaksanakan tuntutan ini menyebabkan Lau Pak Khuan memulakan
gerakan pemisahan di dalam MCA yang diketuai beliau, Leong Chee Cheong, Cho Yew Fa dan
Lim Lian Geok yang juga dikenali sebagai ‘The Big Four’ ( Heng 1988: 239).. Ianya kemudian
menyaksikan Lau Pak Khuan mengetuai The Pan-Malayan Federation of Chinese Association
( PMFCA ) dalam mengemukakan memorandum yang berasingan kepada Setiausaha Tanah
Jajahan di London ( Oong. 1973: 172 ). PMFCA yang mewakili 1,094 persatuan Cina dan
dewan perniagaan telah membuat satu memorandum bersama dengan Parti Malaya Melaka yang
diketuai oleh Encik Tan Kee Gak. Namun begitu, memorandum tersebut tidak diterima oleh
Setiausaha Tanah Jajahan, A.Lennox-Boyd yang telah mengadakan rundingan dengan perikatan
UMNO-MCA-MIC.

Pertelingkahan secara terbuka dalam MCA jelas memberi impak kepada perkembangan
MCA di Kinta, memandangkan Lau Pak Khuan merupakan pemimpin MCA dari Perak dan
bergerak aktif di Kinta. Walaupun cubaan untuk memecat beliau gagal tetapi bibit perpecahan
dalam parti sudah jelas dan tidak dapat dibendung lagi. Krisis MCA tersebut berterusan sehingga
pada 23 November 1957 apabila Lau Pak Kuan bersama-sama Fong Seong bertindak menyokong
PPP dalam pilihan raya kecil 1957 ( Vasil. 1971: 232 ). Ia menandakan bermulanya kemerosotan
MCA di Kinta sehinggalah pada Pilihanraya Majlis Perbandaran Ipoh tahun 1958 yang
menyaksikan keempat-empat calon MCA ditewaskan oleh calon PPP.

Pilihan raya umum 1959 merupakan yang pertama selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaannya. Menurut Ting Chew Peh, ia memperlihatkan tiga aspek yang penting( Ting
Chew Peh.1976:189). Pertama, ia berlaku selepas peninggalan British dan kemerdekaan Tanah
Melayu. Kedua, perubahan saiz dan populasi pengundi serta peningkatan mendadak pengundi
Cina. Ketiga pula, perubahan kepimpinan yang menyaksikan kelahiran kumpulan “Young Blood”
mahupun “Young Turks” dalam MCA. Barisan pemimpin ini yang diketuai oleh Dr. Lim Chong
Eu lebih lantang dalam memperjuangkan hak serta kepentingan masyarakat Cina.

Kumpulan “Young Turks” ini berjaya mengambil alih pucuk kepimpinan MCA pada
tahun 1958, selepas Dr. Lim Chong Eu menewaskan Tan Cheng Lok dengan undian sebanyak
89-67. Namun begitu, hubungan kepimpinan baru ini dengan UMNO dilihat agak renggang. Ini
kerana UMNO dilihat lebih gemar bekerjasama dengan Tan Cheng Lok yang digelar “old guard”
dan lebih sanggup berkompromi dalam soal bahasa dan juga pendidikan Cina. Pergeseran MCA-
UMNO jelas apabila pilihan raya umum 1959 tiba, di mana MCA dalam kepimpinan Dr. Lim
telah menuntut 40 kerusi parlimen dan kuasa untuk memilih calonnya dalam pilihanraya itu
( Vasil. 1971:109 ). Permintaan itu, ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang hanya bersedia
untuk memperuntukkan 31 kerusi kepada MCA tanpa hak pemilihan calonnya.

Keputusan itu, jelas mengecewakan Dr. Lim dan penyokongnya yang akhirnya bertindak
berundur daripada MCA apabila beliau dan para kepimpinannya telah diketepikan oleh Tunku
dalam pilihan raya umum 1959. Perkembangan ini merupakan satu tamparan hebat kepada MCA
dan juga Perikatan. Di mana dalam pilihan raya umum 1959, Parti Perikatan hanya mampu
menawan 74 daripada 104 kerusi dan peratusannya undinya turut merosot dari 81.7% pada
tahun 1955 kepada 51.8% pada 1959 ( Gordon.1976 : 225 ). Kemerosotan undi sebanyak 28.9%
dilihat berpunca daripada prestasi buruk MCA yang hanya mampu memenangi 19 daripada 31
kerusi yang ditandinginya.

Pencapaian MCA yang buruk dalam Pilihan Raya 1969 telah mengakibatkan parti
berkenaan kehilangan kuasa tawar-menawar dalam parti Perikatan. Penyertaan parti Gerakan
dalam Barisan Nasional yang dasarnya memperkukuhkan kuasa politik masyarakat Cina dalam
kerajaan ternyata gagal mengekang penularan hegemoni politik orang Melayu yang telah
meletakkan kedudukan orang Melayu tidak mungkin dicabar oleh orang Cina. Lantaran itu, Vasil
( 1980 ) berpendapat tragedi 13 Mei 1969 telah menandakan bermulanya era pemerintahan orang
Melayu dan berakhirnya sebuah perikatan. Ini kerana hegemoni UMNO dalam Barisan Nasional
telah mengakibatkan kuasa politik MCA dan Gerakan merosot dan lemah (Vasil 1980: 206 ).

Politik di era pentabdiran Tun Abdul Razak telah membawa kepada pembentukan satu
Malaysia Baru dan menyaksikan perubahan ketara dalam kehidupan masyarakat tionghua. Di
mana ramai yang beranggapan ia merupakan titik tolak kepada hegemoni Melayu dalam politik
Malaysia. Kemunculan golongan elit politik Melayu khususnya dalam UMNO menampakkan
dominasi politik ketuanan Melayu dan juga menandakan kemerosotan pengaruh MCA dalam
masyarakat Cina ( Vasil 1980:206). Kemunculan Gerakan serta PPP dalam Barisan Nasional
gagal memperkukuhkan kekuatan kuasa politik masyarakat Cina sebaliknya ia telah
mengakibatkan masyarakat Cina berada dalam keadaan dilema. Dari aspek politik, kegagalan
MCA dan Gerakan dalam memperjuangkan kehendak komuniti Cina mengakibatkan kedua-dua
parti berkenaan gagal memainkan peranan yang penting dalam kerajaan. Ini diakibatkan oleh
kekuasaan UMNO dalam Barisan Nasional yang telah meminggirkan politik orang Cina di
negara ini ( Heng 1988: 261). Impaknya begitu ketara apabila Gerakan dan PPP mahupun MCA
gagal mencapai sepanjang keputusan yang memberangsangkan dalam pilihan-pilihan raya yang
diadakan sejak 1969 sehinggalah 1990an.

PPP yang menyertai Barisan Nasional turut terasa tempiasnya, ia gagal membawa
perubahan sikap para pengundi di Kinta terutamanya pengundi Cina. Hakikat ini diakui oleh SP
Seenivasagam bahawa penyertaan PPP ke dalam BN mengakibatkan kerisauan dalam parti
berkenaan. Menurut The Straits Times , SP Seenivasagam yang bertanding bagi kawasan
Parlimen Menglembu menyatakan bahawa ‘since supporting the government, I has probably
lost about 30 to 35% of the votes, most of them are opposition minded ( NST. 23 Ogos
1974 ). Kenyataan Seenivasagam itu, jelas menunjukkan bahawa, penduduk Kinta yang
majoritinya Cina mempunyai pemikiran yang pro pembangkang dan sebarang usaha untuk
mempengaruhi mereka agar untuk memihak kepada pihak kerajaan bukanlah suatu perkara yang
mudah.

Justeru itu, majoriti pengundi Cina di kawasan bandar sering memihak kepada parti DAP.
Namun begitu, pengaruh parti berkenaan pula sekadar berpengaruh di bandar-bandar besar dan
kegagalannya menawan kerusi parlimen yang banyak mahupun menguasai sebarang kerajaan
negeri mengakibatkan mengakibatkan banyak tuntutan masyarakat Cina gagal dipenuhi. Pada
masa yang sama, prestasi MCA dan Gerakan yang tidak konsisten menghadkan kuasa ’tawar-
menawar’ kedua-dua parti berkenaan. Ia menyebabkan kedua-duanya bersifat subordinate dan
dependent kerana terpaksa bergantung kepada restu UMNO dalam sebarang keputusan politik
yang dibuat ( Ting Chew Peh. 1984: 6 )

Senario tersebut jelas melemahkan kuasa politik orang Cina dan ia dapat dilihat dalam
perwakilan kaum tersebut dalam kabinet negara dari tahun 1962 sehingga tahun 1981 ( MCA.
1982: 67 ). Pada tahun 1962 orang Cina mempunyai 4 orang menteri dalam kabinet yang
merangkumi 29% daripada jumlah menteri dan ia kekal dengan 4 orang menteri sahaja sehingga
tahun 1981 walaupun jumlah menteri dalam kabinet terus bertambah dari 14 orang pada tahun
1962 ke 20 orang ( 1969 ), 21 orang (1974 ) dan 24 orang ( 1981). Ini mengakibatkan
penguasaan masyarakat Cina di kabinet terus merundum dari tahun 1969 ( 20% ) dan tahun
1974 ( 19% ). Masyarakat Cina mendapat tambahan menteri dalam kabinet pada tahun 1981
berikutan daripada pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974 yang menyaksikan
penyertaan Gerakan Dan SUPP . Walaupun begitu kaum Cina kekal lemah dan tidak diwakili
sepenuhnya dan ia dapat dilihat dalam laporan Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur yang
bertarikh 27 Januari 1972 yang mendakwa kerajaan Perikatan di bawah pentadbiran Tun Abdul
Razak berjaya mengukuhkan kedudukan mereka tetapi komponen Cina di dalamnya kekal lemah
dan gagal berperanan dengan berkesan ( FCO 24/ 1439 ). Kegagalan gerakan penyatuan Cina
yang dianjurkan oleh beberapa individu yang diketuai seorang peguam pada tahun 1971
mengakibatkan masyarakat Cina kecewa dan Tan Siew Sin yang kekal memimpin MCA gagal
bertindak atas kepentingan kaum Cina. Ini mengakibatkan tiada desakan yang kuat ke atas
tuntutan masyarakat Cina di peringkat kerajaan pusat.

Penstrukturan semula negara di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak yang membawa
kepada Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan serta menyusun
semula masyarakat dilihat gagal membantu masyarakat Cina. Ia dilihat lebih cenderung ke arah
memajukan masyarakat Melayu dan dasar-dasar ekonomi kawalan yang diperkenalkan banyak
membantutkan perkembangan perniagaan masyarakat tionghua. Ia dilihat menjejaskan
penguasaan ekonomi masyarakat Cina dan terlalu memihak kepada orang Melayu. Pelaksanaan
Akta Koordinasi Industri ( AKI ) pada tahun 1975 telah memberi impak yang begitu besar
terhadap masyarakat Cina ( Thock. 2005: 95). Di bawah akta ini, syarikat yang mempunyai
permodalan melebihi RM100,000 atau mempunyai pekerja tetap yang melebihi 25 orang wajib
memperuntukkan 30% daripada sahamnya kepada bumiputera. Di samping itu, ia juga perlu
memastikan corak penggunaan tenaga pekerja yang mencerminan komposisi rakyat di Malaysia.
Di samping itu, syarat-syarat tambahan dalam pelantikan pengedar dan perkhidmatan profesional
dari golongan bumiputera turut dikenakan apabila permohonan untuk mengembang atau
mempelbagaikan keluaran dilakukan.

Dari segi sosial pula, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan bagi
melahirkan jati diri bangsa Malaysia gagal mendapat sokongan masyarakat Cina. Dasar yang
dilihat bersifat asimilasi itu dikhuatiri bakal mengancam kebudayaan asal masyaraktat Cina yang
berpegang kepada prinsip ’biar mati anak jangan mati adat’. Di samping itu, soal-soal seperti
bilangan sekolah Cina, peranan bahasa Cina dalam pendidikan serta pentadbiran dan pemilikan
harta dan tanah oleh penduduk kampung baru terus menghantui komuniti Cina. Lantaran itu,
perjuangan masyarakat Cina dalam sebuah negara Malaysia milik semua dan selaras dengan
ilham Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Datuk Seri Najib Abdul Razak iaitu ’ Satu
Malaysia’ dilihat masih belum selesai.

You might also like