You are on page 1of 6

RUMUSAN ARTIKEL

Penyelidikan kualitatif merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penyelidik bagi
mencari penyelesaian sesuatu masalah yang timbul. Penyelidikan kualitatif berteraskan kepada
konteks sosial yang berdasarkan kepada perasaan, pemerhatian, pengalaman dan pemahaman
yang mendalam tentang masalah yang dikaji. Bidang pendidikan juga tidak terkecuali, para
penyelidik pada masa kini telah berusaha untuk membuat penyelidikan secara kualitatif. Bidang
pendidikan pula semakin pesat berkembang dan tidak ketinggalan turut menyahut seruan
kerajaan untuk menjadikan teknologi tunjang dalam memperkasakan lagi bidang ini. Teknologi
yang dimaksudkan adalah terdiri daripada penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi
multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pendidikan teknik dan vokasional tidak terkecuali dalam usaha untuk mempersiapkan diri ,
menerima ledakan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Pendidikan teknik dan
vokasional diwujudkan adalah untuk menyediakan peluang pembelajaran secara teori dan
aplikasi bagi pelajar-pelajar yang berminat mengembangkan minat dan kecenderungan pelajar
serta berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang ini. Konsep
pengajaran dan pembelajaran dalam bidang teknik dan vokasional adalah sama dengan bidang
pendidikan biasa selain mementingkan aplikasi. Kaedah pengajaran yang digunakan di institusi
pendidikan teknik dan vokasional masih lagi menggunakan pendekatan tradisonal yang mana
berorientasikan peperiksaan, sedangkan rata-rata para pelajar masih mengalami masalah yang
sama iaitu tidak dapat mengintegrasikan pengetahuan lama kepada pengetahuan yang baru.
Strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai perlu diaplikasikan secara menyeluruh bagi
bertepatan dengan perubahan zaman dan teknologi, disamping dapat mengatasi masalah tersebut.
Kepelbagaian teknik pengajaran perlu dikuasai oleh para guru dalam untuk memenuhi gaya
pembelajaran pelajar contohnya pembelajaran berasaskan masalah, sekaligus dapat
meningkatkan kemahiran generik pelajar seperti kemahiran menyelesaikan masalah, bekerja
dalam kumpulan, kemahiran berkomunikasi, lebih bertanggungjawab dan aktif terhadap
pembelajaran dan menjadikan mereka lebih berdikari.
Gaya pembelajaran merujuk kepada ciri istimewa kepunyaan seseorang pelajar untuk
memperlihat, berinteraksi, dan bergerak balas dalam suatu suasana pembelajaran. Gaya
pembelajaran perlu disesuaikan dengan gaya kognitif pelajar bagi memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan sempurna. Gaya kognitif pelajar terbahagi kepada
empat jenis iaitu auditori, visual, taktil dan kinaestetik, yang mana setiap jenis gaya kognitif
pelajar memerlukan bahan yang bersesuaian dengan gaya kognitif mereka. Oleh itu, gaya
kognitif pelajar memainkan peranan yang berbeza-beza dalam menentukan cara seseorang
pelajar berinteraksi dengan persekitarannya. Sesetengah pelajar mungkin lebih cenderung kepada
melakukan aktiviti memproses maklumat dengan cara melihat, melalui penggunaan grafik,
gambar rajah atau ilustrasi, sementara pelajar yang lain berkemungkinan lebih suka memproses
maklumat dengan menggunakan perkataan, melalui bacaan atau ilustrasi. Bagi pelajar visual,
mereka suka belajar dengan melihat huruf atau perkataan, benda, gambar atau gambar rajah.
Mereka lebih cenderung kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan
demonstrasi, tindakan dan lakonan. Manakala pelajar auditori pula belajar dengan mendengar
atau bercakap. Mereka meminati aktivit seperti bercerita, penerangan, syarahan dan huraian
daripada guru-guru atau pelajar lain. Sedangkan pelajar kinaestetik pula suka belajar dengan
membuat atau melakukan aktiviti pembelajaran seperti menulis, melukis, membuat latihan, kerja
amali, eksperimen, lakonan, simulasi atau projek. Pe1ajar akan cuba mengaplikasi pembe1ajaran
dengan mengikuti panduan dan menyusun semula kemungkinan-kemungkinan berdasarkan
pemahaman mereka.

Keupayaan visualisasi juga penting bagi membantu pelajar membentuk konsep baru dan
seterusnya membolehkan mereka menganalisis pembelajaran pada aras-aras tertentu. Visualisasi
adalah satu proses perpindahan dan persembahan data. Proses perpindahan dan persembahan ini
biasanya berlaku dalam bentuk visual dengan menggunakan gambaran dan imej. Aktiviti visual
ini membolehkan penyampaian sesuatu maklumat dilakukan dengan lebih jelas dan mudah
difaharni oleh pemikiran manusia. Kejayaan menggambarkan maklumat menunjukkan proses
kognitif telah berlaku dalam otak pelajar. Proses kognitif juga dikenali sebagai satu bentuk
perolehan dan penggunaan ilmu pengetahuan. Berdasarkan keupayaan visualisasi serta gaya
pembelajaran pelajar dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara
maksima dengan penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi multimedia dalam alat bahan
bantu mengajar (ABBM). Penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi multimedia dalam
ABBM dapat memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih bahan pembelajaran sendiri dan
belajar pada kadar yang sesuai dengan diri sendiri. Pelajar akan mendapat banyak input daripada
teknologi maklumat seperti internet, perisian berkaitan subjek, CD interaktif dan sebagainya.
Penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi multimedia dapat membantu mengembangkan
fungsi kognitif pelajar untuk berfikir, memahami dan mengerti menerusi aktiviti – aktiviti
menghasilkan dokumen, lembaran kerja, dan penggunaan internet untuk mengakses maklumat
serta muat turun perisian bagi meningkatkan tahap kolaborasi maklumat pelajar. Selain itu,
kreativiti pelajar dapat dikembangkan dengan membangkitkan perasaan ingin tahu dan
memperbanyakkan aktiviti kemahiran praktikal, penyelesaian masalah secara berpasukan melalui
strategi penerokaan dan penemuan, mengembangkan kemahiran diri dalam menguruskan projek,
melakukan penyelidikan dan mempelajari proses membangunkan perisian dan sebagainya.
Secara tidak langsung pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri, bertindak sendiri, membina
makna melalui interaksi sosial, penemuan sendiri dan mengelakkan kebergantungan berlebihan
kepada guru atau pensyarah.

Selain mengaplikasikan teknologi dalam bidang pendidikan secara pesat, Negara tidak
ketinggalan untuk terus merancang proses pengajaran dan pembelajaran bagi masa akan datang.
Terdapat beberapa langkah yang diambil antaranya mengenalpasti teknologi baru yang akan
diguna pakai dalam bidang pendidikan pada masa akan datang. Pembelajaran simulasi
berorientasikan laman web dan pembelajaran menggunakan telefon merupakan satu langkah untuk
Negara melangkah ke hadapan dalam memperkembangkan lagi pembelajaran bertunjangkan
teknologi. Pembelajaran simulasi berorientasikan laman web masih belum digunakan secara
meluas dan baru bertapak di Negara kita, ini kerana pendidikan simulasi hanya diguna pakai
dalam bidang-bidang yang tertentu sahaja seperti bidang pendidikan perubatan, kejuruteraan,
perniagaan dan ketenteraan. Dengan berkembangnya teknologi telekomunikasi, simulasi telah
diberi nafas baru dengan menggabungkannya bersama teknologi telekomunikasi dan dikenali
sebagai simulasi menerusi laman web atau World Wide Web-based Simulation (WWWS).
Simulasi menerusi web merupakan pembelajaran berdasarkan pengalaman pelajar. Pembelajaran
sebegini menggunakan teori konstruktivisme sebagai dasar bagi proses pengajaran dan
pembelajaran. Melalui teori konstruktivisme, diharap dapat meningkatkan pengalaman
pembelajaran pelajar di mana internet sebagai medium perantaraan dan merupakan platform
yang mudah dicapai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Manakala pembelajaran
menggunakan telefon merupakan pendekatan pembelajaran melalui peralatan komputer dan masih
belum dipraktikkan di Negara kita. Pembelajaran meggunakan telefon membolehkan pelajar
untuk berkongsi maklumat, menyelaraskan tugas secara lebih luas dan berfungsi dengan lebih
berkesan dalam keadaan yang memerlukan kerjasama antara ahli. Corak pendekatan pembelajaran
telefon boleh diaplikasikan di sekolah rendah dan menengah. Penggunaan pembelajaran telefon
dilihat akan dapat membanteras golongan buta huruf dalam kalangan masyarakat. Pembelajaran ini
sudah semestinya tidak mempunyai had bagi tempat dan masa serta dapat memberi peluang yang
luas kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pendekatan
ini juga dilihat dapat menjimatkan kos dari segi ternpat tinggal, masa dan tenaga untuk berulang alik
dari tempat tinggal ke institusi pendidikan serta menjanjikan komunikasi yang lebih mudah dan
cepat. Oleh itu, penyediaan prasaran yang lengkap amat penting bagi memastikan pendidikan dapat
berlaku dengan lancar dan efisen sekiranya kedua-dua konsep ini ingin dilaksanakan.

Disamping merancang corak pendidikan bagi masa hadapan, tenaga pengajar juga merupakan
asset penting Negara bagi memastikan perancangan tidak menjadi sia-sia. Sebagai tenaga
pengajar yang akan membimbing dan membentuk pelajar menjadi pemimpin di masa akan
datang.Kurikulum pendidikan perlu menjurus kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran bagi
memenuhi keperluan Negara masa akan datang. Oleh itu, tenaga pengajar yang bakal dihasilkan
perlulah berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan aplikasi multimedia bagi
memastikan golongan pengajar tidak ketinggalan dengan kepesatan perkembangan teknologi
maklumat. Kesimpulannya peranan teknologi dalam bidang pendidikan dapat mempertingkatkan
keberkesanan dari segi kualiti, masa, kos, bilangan pelajar dan dapat mengurangkan
kebergantungan pelajar terhadap guru dimana ianya bersesuaian dengan konsep konstruktivisme
yang menekankan pembelajaran secara kendiri. Menerusi teknologi maklumat juga, pelajar dapat
membina pengetahuan atau suatu konsep pembelajaran secara aktif berdasarkan pengetahuan dan
pengalaman sedia ada secara tidak langsung dapat membina kemahiran generik pelajar.
Secara keseluruhan, didapati pendekatan penyelidikan kualitatif suatu usaha pengkaji
menghuraikan persoalan-persoalan yang tidak dapat dijawab oleh penyelidikan kuantitatif serta
memberi gambaran berkenaan perspektif yang tidak dapat diukur secara kuantiti. Penyelidikan
kualitatif menyelami sesuatu persolan kajian menerusi elemen perasaan, sikap, tingkah laku
manusia yang berbeza melalui penilaian, pemerhatian, temubual dan analisis dokumen yang
tidak dapat dipenuhi oleh penyelidikan secara kuantitatif. Masalah penyelidikan ditinjau melalui
sesuatu proses, peristiwa atau fenomena. Oleh yang demikian, penyelidikan kualitatif
membolehkan penyelidik lebih memahami dasar atau tunjang sesuatu masalah yang dikaji dan
benar-benar mahir dengan data yang didapati. Penyelidikan kualitatif juga secara tidak langsung
akan membina kemahiran diri penyelidik seperti kemahiran komunikasi, mengolah data,
kebolehan membaca gerak geri orang lain, menginterpretasi data, berfikiran lebih matang dan
cekal dengan cabaran.
TAJUK ARTIKEL:

 Pembelajaran berasaskan masalah bagi subjek elektronik: satu kajian tindakan di sekolah
menengah teknik
 Asas multimedia dan aplikasinya dalam pendidikan
 Gaya kognitif dan visualisasi pelajar melalui perisian multimedia
 Gaya pembelajaran dan penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran
 Jangkaan masa depan terhadap keperluan tenaga kerja dan penambahbaikan sistem
pendidikan
 Penggunaan komputer oleh guru pelatih: dahulu, sekarang, dan harapan masa depan
 Mengadaptasikan gaya pembelajaran pelajar esl: satu kajian kes pelajar tahun satu di ukm
 Desain dan pengembangan multimedia animasi 3d sistem air conditioning serta model
pembelajarannya untuk meningkatkan kemampuan akademik dan vokasional mahasiswa
lptk (calon guru teknik)
 Visualisasi maklumat dalam pendidikan masa kini
 Strategi pembelajaran projek pembangunan produk multimedia kreatif secara kolaboratif
 Cognitive science and behaviourism
 Simulasi menerusi web : persepsi pelajar terhadap pembelajaran wwws
 Cara pelajar pendidikan teknik dan vokasional mempelajari kemahiran teknikal dengan
menggunakan laman web (sweb-tech)
 Pembelajaran telefon dalam kurikulum masa depan

You might also like