Peranan Sebagai Anak: Sama ada BERBAKTI atau DERHAKA!

Hanya itu pilihan yang ada – tiada pilihan ketiga. MAHU menjadi anak derhaka? Hal ini bukan suatu yang dicita dan diimpikan manusia. Akal dan fitrah yang sihat pasti akan menolak dan minta dijauhkan daripada terjadi. Sungguh berkesan sekali ‘kempen anti-derhaka’ melalui kisah-kisah Si Tenggang, Batu Belah Batu Bertangkup, Anakku Sazali, Al-Qamah dan yang seumpamanya dalam masyarakat. Akibat buruk dan tragis hidup anak-anak derhaka sudah cukup menghantui jiwa dan perasaan agar dijadikan sempadan. Di dunia lagi Allah balas secara ‘tunai’ kederhakaan mereka. Sementara di akhirat mereka tidak berpeluang mencium bau syurga, apatah lagi memasukinya. Memang benar kes derhaka kepada orang tua itu amat berat. Hampir sebesar dosa syirik. Sayidina Abu Bakar r.a. pernah menceritakan, “Suatu ketika para Sahabat sedang duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w. Lalu baginda bertanya: “Mahukah kamu aku khabarkan dosa yang paling besar? Iaitu dosa syirik kepada Allah dan derhaka kepada orang tua.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Kebalikan daripada derhaka ialah berbakti kepada orang tua. Walaupun berlawanan, kedua-duanya ada pertalian yang rapat. Berbakti kepada ibu bapa sebenarnya sama besar persoalannya dengan derhaka kepada mereka. Baik dari segi manfaat mahupun mudaratnya dalam hidup. Namun amat aneh dan mendukacitakan, betapa kurangnya publisiti dan kempen untuk mewar-warkan kepentingan berbakti kepada ibu bapa. Kalaupun ada, sasarannya hanya tertumpu kepada anak-anak kecil dan remaja sahaja. Orang tua dan dewasa tidak menjadi sasaran, sedangkan mereka juga punyai ibu dan ayah. Ketidakseimbangan ini meninggalkan kesan yan tidak seimbang di hati. Hati terasa amat takut untuk derhaka kepada ibu bapa. Namun di waktu yang sama tidak terpanggil untuk benar-benar berbakti kepada mereka. Perintah Allah Berbakti kepada orang tua ini bukan perkara kecil, remeh dan enteng. Firman Allah SWT, “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” (Al-Ahqaaf: 15) Perintah berbakti kepada orang tua ini hukumnya wajib. Ianya sebaris dan seberat tuntutan wajib solat lima waktu dalam sehari semalam. Malah ia lebih utama daripada jihad di jalan Allah, taat kepada isteri dan kawan, cinta kepada anak, ibadah haji dan umrah, menziarahi Nabi s.a.w. dan mengerjakan solat-solat sunat. Berbakti kepada orang tua juga besar pengaruhnya kepada kualiti kehidupan di dunia. Manfaat yang diperolehi dengan berbakti kepada orang tua itu antaranya: 1. Hidup menjadi berkat. Diberkati hidup dengan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Rasulullah s.a.w. ada bersabda, “Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, maka ia harus berbakti kepada orang tuanya dan menyambung hubungan kerabatnya.” (Riwayat Imam Ahmad) Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi s.a.w., “Tidak ada yang dapat mengubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur kecuali berbakti kepada orang tua.” (Riwayat Tirmizi) 2. Mendapat doa malaikat. Malaikat sentiasa mendoakan orang yang berbuat baik agar diberi keampunan dan syurga serta dipelihara daripada kejahatan. Doa malaikat adalah mustajab. Lafaz doa malaikat-malaikat yang memikul ‘Arasy dan yang berada di sekeliling orang berkenaan ada dinyatakan dalam firman Allah SWT, “Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri

mereka, dan keturunan mereka semua. Sesunngguhnya Engkau maha perkasa lagi maha bijaksana. Dan peliharalah mereka daripada kejahatan.” (Al-Mukmin: 8-9) 3. Keturunannya terpelihara. Anak keturunan orang yang berbuat baik dan berbakti kepada orang tuanya mendapat perlindungan daripada Allah. Menurut Imam al-Qurthubi (dalam kitabnya Hasan al-Uswah) penjagaan itu sampai kepada tujuh keturunan. Hal ini difahamkan dari firman Allah SWT, “Sesungguhnya pelindunganku ialah Allah yang telah menurunkan al-Kitab (al-Quran) dan Dia melindungi orang-orang yang berbuat baik (soleh).” (Al-A‘raf: 196) Perlindungan tersebut boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin sahaja kerana ditolong oleh Rijalul ghaib. Ini dikiaskan daripada kisah Nabi Khidir a.s. yang membangunkan dinding bangunan yang runtuh tanpa mengambil upah. Apabila ditanya oleh Nabi Musa a.s., Nabi Khidir a.s. menjawab, “Bapanya seorang yang soleh...” (AlKahfi: 82)

4. Mendapat anak yang soleh. Bakti seseorang kepada orang tua mempunyai pengaruh besar terhadap mutu bakti anaknya sendiri kepadanya. Pertalian ini didedahkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya, “Jauhkanlah dirimu dari wanita-wanita orang lain. Nescaya wanita-wanitamu akan menjaga kesuciannya. Dan berbaktilah kepada orang tuamu, nescaya anak-anakmu akan berbakti kepadamu.” (Riwayat Hakim daripada Abu Hurairah r.a.) Sementara manfaat di akhirat nanti ialah mendapat keampunan Allah dan dimasukkan ke dalam syurga bersama kaum keluarganya. Sesungguhnya dapat berkumpul semula bersama kaum kerabat terdekat di dalam syurga adalah satu kegembiraan. Jika pun ada anak cucunya yang lebih rendah amalannya namun asalkan mati membawa iman nescaya Allah SWT akan mengangkat darjat mereka. Ini ditafsirkan dari firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka.” (Ath-Thur: 21) Soal Syurga & Neraka Berbakti kepada ibu bapa itu lebih besar ertinya kerana melibatkan persoalan syurga atau neraka di akhirat nanti. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya keredhaan Allah itu berada dalam keredhaan ayah, dan kemurkaan-Nya itu berada pada kemarahan ayah.” (Riwayat Tirmizi dari Abdullah Amru bin al-‘Ash r.a.) Untuk masuk syurga dan dilepaskan daripada neraka, keredhaan Allah diperlukan. Tanpa keredhaan orang tua maka tiadalah keredhaan Allah. Ini menjejaskan peluang mereka memasuki syurga. Kesan dan pengaruh orang tua kepada nasib anaknya sendiri di akhirat ini dijelaskan lagi oleh Abu Ummamah r.a. Dia berkata, ada seorang Sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang hak orang tua atas mereka. Nabi s.a.w. menjawab: “Bergantung kepada merekalah syurga atau nerakamu di akhirat nanti.” (Riwayat Ibnu Majah) Satu lagi pertalian yang tidak kurang penting bahkan menakutkan ialah adanya hubungan antara tidak berbakti kepada orang tua dengan derhaka kepada mereka. Sekurang-kurangnya jika berbakti kepada ibu bapa dicuaikan maka amat mudah seorang itu jatuh derhaka pula kepada mereka. Ini dapat disimpulkan dari suatu kisah ketika Sayidina Umar al-Khattab menjadi khalifah. Beliau didatangi seorang bapa yang melaporkan bahawa anaknya tidak berbakti kepadanya. Sayidina Umar pun memanggil anak itu lalu bertanya, “Kenapa engkau menderhakai bapamu?”

Anak itu menjawab dengan suatu pertanyaan, “Wahai Amirul Mukminin; apakah hak anak atas orang tuanya?” Sayidina Umar menjawab, “Memilihkan nama yang baik, memilihkan ibu yang baik (solehah) dan mengajarkan kitab suci.” Anak itu lalu berkata, “Bapaku tidak pernah memenuhi satu pun daripada hak-hakku itu.” Umar pun berpaling kepada bapa anak itu dan berkata, “Engkau telah menderhakainya sebelum ia menderhakaimu.” (Kisah ini ada disebut dalam kitab Hayatu Umar Al-Khattab oleh Thanthawiyan.) Sayidina Umar telah menyifatkan kes anak tidak berbakti kepada orang tua sebagai satu kederhakaan. Ini membawa maksud jika seseorang itu tidak berbakti kepada ibu bapa maka bererti ia telah derhaka kepada mereka. Ijtihad Sayidina Umar r.a. ini tidak boleh dipandang rendah. Ini kerana sebagai salah seorang Sahabat utama Nabi s.a.w., beliau diakui sebagai seorang yang amat faham hukum dan selok-belok perlaksanaan syariah. Sejajar dengan itu maka dapat diambil kefahaman bahawa tidak berbakti kepada ibu bapa dan derhaka kepada mereka adalah sinonim. Oleh itu sebagai anak kita hanya ada satu pilihan, sama ada berbakti atau derhaka kepada ibu bapa. Pilihan itulah yang ada pada sesiapa sahaja, kerana setiap kita juga mempunyai ayah dan ibu. Manfaatkan Diri Untuk Mereka Cara-cara berbakti kepada orang tua yang masih hidup.Apabila seorang anak menghulurkan wang, pemberian atau hadiah kepada orang tuanya, ianya hanya sebahagian dari cara berbakti kepada orang tua yang masih hidup. Ia hakikatnya adalah memberi sesuatu yang memang mereka berhak untuk mengambilnya. Ertinya, memang wajar seorang anak menjadikan diri dan hartanya juga sebagai milik orang tuanya. Kerana Nabi s.a.w. bersabda: “Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, dan sesungguhnya anak adalah hasil usaha dan perit jerih orang tua yang terbaik. Maka orang tua berhak makan dari hasil usaha anaknya.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah) Seorang bapa juga berhak mengambil kembali sesuatu yang pernah diberikannya kepada anaknya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak dihalalkan bagi seseorang yang telah memberikan sesuatu kepada orang lain, untuk mengambil kembali pemberiannya itu. Perumpamaan orang yang berbuat demikian ialah seperti anjing yang memuntahkan isi perutnya setelah terlalu kenyang, kemudian ketika lapar ia menjilat kembali muntahnya itu. Kecuali (yang boleh berbuat demikian) seorang bapa yang telah memberikan sesuatu kepada anaknya. Ia berhak mengambil kembali pemberiannya.” (Riwayat Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Baihaqi dan Abu Daud) Selain dari itu, banyak lagi yang boleh dan patut dilakukan kepada orang tua untuk melayakkan diri menjadi seorang anak yang soleh. Berbakti kepada orang tua sama ada mereka masih hidup atau telah mati, adalah sejajar dengan perintah Allah SWT, “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” (AlAhqaaf: 15) Sekurang-kurangnya ada lapan cara lain di mana seorang anak dapat memberi khidmat bakti kepada orang tua sewaktu mereka masih hidup. Dan terdapat lapan cara untuk berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal dunia.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful