You are on page 1of 7

 

CABARAN SEMASA EKONOMI MALAYSIA

Oleh: ABDUL AZIZ AWANG

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 7% dalam tahun 2010 yang


merupakan lantunan daripada kemelesetan sebanyak -1.7% pada tahun 2009. Data
separuh pertama tahun 2010 menunjukkan ekonomi berkembang pesat 9.5%, setelah
pertumbuhan ekonomi meningkat 10.1% dalam suku pertama dan 8.9% dalam suku
kedua 2010. Namun pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan dalam separuh kedua
tahun 2010, dengan pertumbuhan dalam suku ketiga meningkat sederhana 5.3%. Bagi
mencapai pertumbuhan sebanyak 7% dalam tahun 2010, pertumbuhan ekonomi dalam
suku keempat perlu meningkat sekurang-kurangnya 5.3% Pertumbuhan ekonomi pada
tahun 2010 disokong oleh pengukuhan dalam permintaan domestik berikutan
kedudukan ekonomi global yang masih lemah.

Bajet 2011 yang telah diumumkan pada 15 Oktober, 2010 merupakan asas kepada
pelaksanaan projek dibawah Rancangan Malaysia ke Sepuluh (RMK-10) dan Program
Transformasi Ekonomi (ETP). Pertumbuhan ekonomi 2011 dijangka berkembang
antara 5% hingga 6% dengan sektor swasta memainkan peranan utama. Pelaburan
swasta dan penggunaan swasta masing-masing dijangka berkembang sebanyak 10.2%
dan 6.3% (Jadual 1). Sektor perkhidmatan dijangka menyumbang sebanyak 57.3%
daripada KDNK pada tahun 2011. Pada tahun-tahun akan datang, sektor ini dijangka
memberi sumbangan yang lebih besar kepada KDNK melalui pelaksanaan projek-
projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA). Daripada dua belas projek
yang diumumkan di bawah NKEA, sebanyak tujuh daripadanya adalah di bawah sektor
perkhidmatan iaitui penddikan, perhubungan, kesihatan, kewangan, pelancongan dan
perniagaan.


 
 

Jadual 1: Anggaran KDNK 2009-2011 (%)

2009 2010 2011


Sebenar Anggaran Unjuran

KDNK -1.7 7.0 5.0 - 6.0


Sektor Awam 5.2 3.8 2.8
Penggunaan Awam 3.1 0.2 4.6
Pelaburan Awam 8.0 8.3 0.6

Sektor Swasta -2.7 8.1 7.0


Penggunaan Swasta 0.7 6.7 6.3
Pelaburan Swasta -17.2 15.2 10.2
Eksport -10.4 11.6 6.7
Import -12.3 16.6 7.2

Dari segi fiskal, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat hanya 2.3%
atau RM3.7 billion dalam tahun 2011. Sebaliknya, perbelanjaan mengurus dianggar
meningkat sebanyak RM10.6 billion. Oleh itu lebihan mengurus hanya berjumlah RM3
billion yang merupakan lebihan terkecil semenjak era 1990an. Perbelanjaan
pembangunan pula dikurangkan sebanyak RM4.8 billion dalam tahun 2011. Kerajaan
menghadapi kesukaran untuk mengurangkan perbelanjaan bagi mengatasi masalah
defisit fiskal kerana dalam masa yang sama Kerajaan perlu melaksanakan pelbagai
inisiatif transformasi dibawah RMK-10, Program Transformasi Ekonomi dan Program
Transformasi Kerajaan. Oleh yang demikian, defisit fiskal dijangka meningkat sebanyak
RM2.2 billion dari RM43.3 billion (2010) kepada RM45.5 billion (2011). Walau
bagaimanapun, dari segi peratusan kepada KDNK, defisit fiskal berkurangan sedikit dari
5.6% (2010) kepada 5.4% (2011) setelah mengalami defisit yang besar sebanyak 7%
pada tahun 2009 berikutan pelaksanaan projek-projek dibawah pakej ransangan
ekonomi.

Di antara cabaran utama yang dihadapi dalam pengurusan ekonomi negara pada masa
ini ialah cabaran untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjelang


 
 

tahun 2020. Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan KDNK perkapita
dari US$6,760 (2009) kepada US$15,000 pada tahun 2020. Bagi mencapai sasaran
ini, KDNK perlu meningkat 6% setahun hingga tahun 2020. Ini merupakan lonjakan
yang besar berbanding dengan peningkatan sebanyak hanya 4.4% dalam tempoh
Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Bagi mencapai pertumbuhan KDNK
sebanyak 6% setahun, pelaburan swasta perlu meningkat 12.8% setahun. Ini
merupakan satu persoalan utama kerana pelaburan swasta hanya meningkat sebanyak
10% dalam tahun 2010 dan dianggar meningkat 11.3% pada tahun 2011. Bagi
mencapai sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
pergantungan kepada pelaburan swasta tidak dapat dielakkan. Sektor swasta perlu
memainkan peranan utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Walau
bagaimanapun, prestasi pelaburan swasta setakat ini amat perlahan. Sumbangan
pelaburan swasta kepada KDNK juga telah merosot dari 30% sebelum krisis ekonomi
1997/1998 kepada hanya kira-kira 10% kini.

Cabaran yang perlu dihadapi bukan sahaja untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi
atau pendapatan perkapita tetapi yang lebih penting ialah keterangkuman (inclusive)
yang merupakan matlamat utama Model Ekonomi Baru bagi memupuk semangat
kekitaan dan selari dengan prinsip Satu Malaysia. Dasar pertumbuhan dengan
keterangkuman akan memberi manfaat pertumbuhan ekonomi kepada semua golongan
masyarakat. Jika ekonomi mengembang, semua kumpulan masyarakat akan mendapat
faedah melalui pertambahan pengagihan kerana pie agregat akan turut mengembang.
Walaupun Kerajaan telah melaksanakan dasar dan strategi bagi mengatasi masalah
ketidaksaimbangan pendapatan antara bandar dan luar bandar dan juga antara etnik,
namun masih terdapat jurang yang luas dari segi kesaksamaan pendapatan
keseluruhan. Angkatunjuk Gini yang mengukur ketidaksamaan pendapatan telah
menunjukkan perkembangan positif apabila berkurangan dari 0.51 pada tahun 1970
kepada 0.45 pada tahun 1990, dan terus berkurang kepada 0.441 pada tahun 2009.
Kerajaan telah meletakkan sasaran untuk mengurangkannya kepada 0.420 pada tahun
2015.


 
 

Isu yang berkaitan dengan pengurusan fiskal negara juga merupakan cabaran yang
perlu ditangani. Kerajaan Persekutuan terlalu bergantung kepada sumber hasil
berasaskan petroleum yang merangkumi kira-kira 40% daripada jumlah hasil Kerajaan
Persekutuan iaitu melalui kutipan cukai pendapatan petroleum, duti eksport petroleum,
dividen PETRONAS dan royalti minyak. PETRONAS telah membayar dividen sejumlah
RM30 billion kepada Kerajaan Persekutuan selama 3 tahun berturut-turut (2008-2010).
Kebergantungan yang berlebihan kepada satu sumber hasil merupakan suatu keadaan
yang kurang sihat. Sukar dibayangkan apa yang akan terjadi sekiranya pengeluaran
minyak atau keuntungan PETRONAS berkurangan. Malaysia perlu mempelbagaikan
sumber hasil bagi meningkatkan kutipan hasil dan mengurangkan pergantungan
kepada petroleum. Dalam masa yang sama, kenaikan hasil mampu mengatasi
masalah defisit fiskal yang dialami secara berterusan sejak tahun 1998. Defisit yang
berterusan mengakibatkan Kerajaan perlu membuat pinjaman bagi membiayai defisit
tersebut. Peningkatan pinjaman bermakna bayaran khidmat hutang Kerajaan akan
terus bertambah. Oleh sebab bayaran khidmat hutang merupakan satu komponen
utama dibawah perbelanjaan mengurus, ini bermakna defisit yang berterusan juga akan
meningkatkan perbelanjaan mengurus walaupun nisbah perbelanjaan mengurus
dengan perbelanjaan pembangunan kini 77:23 sudah dianggap besar dan wajar
dikurangkan.

Bajet 2011 menganggarkan defisit sebanyak 5.4% berbanding dengan deficit sebanyak
5.6% pada tahun 2010. Pengurangan peratusan defisit tersebut berpunca daripada
peningkatan KDNK nominal dan bukannya disebabkan penguncupan fiskal secara jelas
oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, seringkali berlaku keadaan dimana defisit
sebenar lebih besar berbanding dengan defisit dalam cadangan Belanjawan. Misalnya
Bajet 2009 mencadangkan defisit sebanyak 3.6% daripada KDNK namun data sebenar
2009 menunjukkan defisit adalah sebanyak 7%. Bajet 2008 mencadangkan defisit
sebanyak 3.1% namun data sebenar 2008 menunjukkan defisit sebanyak 4.8%.
Kedudukan ini terjadi kerana terdapatnya sejumlah peruntukan tambahan yang besar
terpaksa dibuat dalam tahun semasa bagi memenuhi tuntutan oleh pelbagai


 
 

Kementerian apabila cadangan peruntukan dalam Belanjawan tidak cukup untuk


menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Oleh yang demikian, Kerajaan perlu melaksanakan dasar perbelanjaan terpilih iaitu
menghapuskan perbelanjaan yang tidak perlu serta mengutamakan nilai wang dalam
urusan perolehan Kerajaan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan dalam setiap
urusan yang melibatkan perbelanjaan wang awam. Perbelanjaan berhemat perlu
diterapkan oleh semua Kementerian. Perbelanjaan yang besar untuk subsidi perlu
dihapuskan terutamanya pembiayaan subsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya
menerima subsidi. Utusan Malaysia pada 17 November, 2010 telah melaporkan
masalah penyelewengan diesel bersubsidi telah menyebabkan Kerajaan kehilangan
jutaan ringgit setiap bulan akibat ketirisan. Oleh itu rasionalisasi subsidi perlu
dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah difisit yang beterusan yang boleh
menjejaskan kestabilan ekonomi negara dalam jangkamasa panjang.

Di antara isu yang masih gagal diatasi sehingga kini ialah pergantungan yang
berlebihan kepada tenaga kerja asing. Syarikat-syarikat yang terlalu bergantung
kepada tenaga kerja asing akan terus selesa dengan kadar upah yang rendah dan tidak
perlu memberikan latihan kemahiran bagi meningkatkan kemahiran modal insan kerana
pekerja-pekerja tersebut hanyalah pekerja kontrak asing. Berikutan itu, produktiviti
syarikat menjadi statik dan syarikat tidak mempunyai daya usaha untuk beralih kepada
penggunaan teknologi tinggi atau inovasi dalam pengeluaran. Kegagalan Malaysia
mengatasi masalah pembangunan modal insan boleh menyebabkan Malaysia terus
kekal terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana. Kemajuan sesebuah
negara mesti berasakan kepada kemahiran dan teknologi, dan bukannya kepada
bekalan sumber semulajadi yang dianugerahkan atau bergantung kepada kelebihan
geografikal. Pertumbuhan ekonomi akan menjadi perlahan jika sesebuah negara gagal
membangunkan modal insan dan instiusi bagi menggalakkan pembangunan yang
berterusan. Malaysia seperti negara-negara berpendapatan sederhana yang lain perlu
bergerak daripada sektor pembuatan yang mempunyai kos dan upah rendah serta


 
 

tenaga kerja kurang mahir kepada inovasi ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan
kemahiran bagi meningkatkan produktiviti.

Bagi mencapai matlamat ini, tumpuan perlu diberikan bagi memperbaiki tahap dan
kualiti pendidikan. Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi diperingkat asas akan
mempunyai implikasi yang besar kepada tahap pembelajaran individu serta
penyesuaiannya dengan perubahan dalam pasaran buruh, kreativiti dan kapasiti
pengeluaran. Pencapaian tahap pendidikan di Malaysia agak membimbangkan.
Berbanding dengan negara-negara maju di Asia, pencapaian dalam ujian metamatik
bagi pelajar-pelajar Malaysia mengikut TIMSS (Trends in International Mathematics and
Science Study) adalah pada skor 525 berbanding dengan 600 bagi Singapura, dan
hampir 600 bagi Jepun, Hong Kong dan Korea. Ini bermakna di Malaysia, bukan sahaja
golongan pekerja mempunyai produktiviti yang rendah, golongan pelajar juga tidak
mampu bersaing dengan pelajar-pelajar di Negara-negara maju

Malaysia tidak lagi mampu bersaing dengan negara-negara yang mempunyai kos
pengeluaran rendah seperti Indonesia dan Vietnam dan lain-lain. Dalam masa yang
sama, Malaysia juga tidak mampu bersaing dengan negara-negara yang mempunyai
teknologi dan inovasi yang tinggi seperti Korea Selatan, Singapura atau Taiwan. Oleh
yang demikian, Malaysia perlu memandang ke hadapan supaya seiring dengan negara
maju dari segi keupayaan modal insan dan teknologi bagi membolehkan Malaysia terus
bersaing dan keluar dari kepompong negara berpendapatan sederhana. Pada tahun
1970, KNK perkapita Malaysia adalah sebanyak US$380 berbanding dengan Korea
Selatan sebanyak US$260. Walau bagaimanapun, pada tahun 2009, KNK Per Kapita
Malaysia berjumlah US$6,760 berbanding dengan Korea Selatan sebanyak US$21,500.
KNK perkapita Singapura berjumlah US$512 semasa Singapura merdeka melalui
Malaysia pada tahun 1965 berbanding dengan KDNK Malaysia pula berjumlah US$335.
Walau bagaimanapun, KDNK Singapura kini berjumlah US$210 billion berbanding
dengan KDNK Malaysia sebanyak US$205 billion. Harus diingat, jumlah penduduk
Singapura hanyalah seramai 4.8 juta yang dapat mengeluarkan KDNK sebanyak itu


 
 

berbanding dengan 28 juta di Malaysia. Ini menjadikan KDNK perkapita Singapura


sebanyak US$36,537 berbanding dengan Malaysia sebanyak US$6,975.

Cabaran lain yang dihadapi oleh negara ialah kedudukan ekonomi global yang masih
lemah walaupun telah mula menunjukkan pemulihan dalam tahun 2010. Pakej
rangsangan fiskal yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di dunia menjadi faktor
utama kepada pemulihan ekonomi global pada tahun 2010. Di sebalik pakej ransangan
ekonomi yang dilaksanakan, ekonomi Amerika Syarikat masih lemah. Rizab
Persekutuan Amerika Syarikat pada 23 November, 2010 telah mengumumkan ekonomi
Amerika Syarikat hanya meningkat antara 2.4% hingga 2.5% dalam tahun 2010 dan
meningkat antara 3% hingga 3.6% pada tahun 2011. Kadar pengangguran masih tinggi
dan tidak banyak berubah iaitu pada pada kadar antara 9.5% hingga 9.7%. Ireland
menjadi negara kedua di Eropah yang diselamatkan melalui pakej penyelamat oleh EU
dan IMF berjumlah $110 billion berikutan defisit fiskal yang meningkat sehingga 32%
daripada KDNK dan hutang Kerajaan melambung hingga 99% daripada KDNK.
Kelembapan ekonomi yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah boleh menjejaskan
ekonomi negara-negara Asia termasuk Malaysia. Pemulihan dan perkembangan yang
lebih pesat dalam ekonomi dunia adalah penting bagi Malaysia untuk terus memacu
kehadapan dalam tempoh sepuluh tahun berikutnya bagi mencapai sasaran menjadi
negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.


 

You might also like