You are on page 1of 2

ARKIB : 06/03/2010

GPMS bantah hasrat KBS

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA


pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mac - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menentang hasrat
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda
Kebangsaan kerana mendakwa ia tidak selari dengan aspirasi bagi melahirkan aktivis belia yang
berjiwa sukarela.

Presidennya, Jais Abd. Karim berkata, selain itu, fungsi pertubuhan baru itu juga nanti akan
bertindih dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diiktiraf sebagai badan induk bagi
menguruskan semua aktiviti berkaitan belia.

"Adalah pelik apabila kementerian bercadang menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) belia yang baru bagi menguruskan semua aktiviti berkaitan belia sedangkan pada masa
yang sama kita telah mempunyai MBM.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan cuba meminggirkan MBM yang telah sekian
lama menjadi peneraju kepada pertubuhan belia.

"Lebih membingungkan, ahli majlis perundingan ini bukan bergerak sukarela seperti kami dan
NGO yang lain tetapi dibayar kementerian seolah-olah makan gaji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan
Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jais mendesak kementerian membatalkan hasrat menubuhkan majlis


perundingan tersebut yang dijangka ditubuhkan secara rasmi selepas sambutan Hari Belia pada
31 Mei nanti.

Beliau mendakwa, penubuhan majlis perundingan itu bakal memberi implikasi negatif yang lain
kepada MBM kerana dijangka antara 15 dan 30 peratus peruntukan kepada NGO berkenaan akan
dipotong untuk disalurkan kepada Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan.

Mengulas hal yang berkaitan, Jais berkata keputusan tegas itu terpaksa diambil GPMS kerana
KBS tidak telus dalam melaksanakan perancangan awal semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan.

"Dulu semasa Kelab Rakan Muda ditubuhkan, kementerian menjelaskan setiap ahli kelab itu
yang berusia melebihi 21 tahun akan diserap ke dalam NGO belia sedia ada bagi mengelakkan
sebarang pertindihan.
"Tetapi sekarang kementerian tidak melakukan perkara tersebut sebaliknya berhasrat pula
menubuhkan NGO belia baru dengan membuka keahlian kepada mereka yang berusia antara 25
hingga 40 tahun," katanya.

Ditanya tindakan GPMS jika kementerian tetap dengan pendirian mahu meneruskan penubuhan
NGO baru itu, Jais berkata, beliau bersama-sama NGO belia lain bergabung tenaga bagi
memastikan perkara itu tidak berlaku.