Katakan 'Tidak Pada Rasuah

'
Source: Pelita Brunei (22/12/2010)

PERBUATAN rasuah adalah jenayah terkutuk yang bukan sahaja merupakan satu kesalahan besar di sisi undang-undang dunia, malah dilarang keras dan dihitung di dalam Islam sebagai amalan dosa besar kerana membabitkan unsur kezaliman dan penindasan serta mengambil hak orang lain secara salah sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 188, tafsirnya: "Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bathil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya." Amalan rasuah juga disebut dalam hadits Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari 'Abdullah bin 'Amru yang bermaksud: "Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: "Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah." Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ath-Thabrani yang bermaksud: "Dari Ibnu 'Umar Radiallahuanhuma katanya, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka." Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa Islam melarang keras perbuatan rasuah dan orang yang melakukan rasuah bukan sahaja dilaknati Allah Subhanahu Wata'ala tetapi juga akan masuk neraka. Gejala rasuah sudah lama wujud sejak zaman dahulu lagi dan amalan ini masih lagi berleluasa dan menulari kehidupan masyarakat antarabangsa tidak kira di negara kaya mahupun miskin, negara Islam atau sebaliknya. Tiada negara boleh mendakwa dirinya bebas daripada jenayah rasuah, cuma kadar rasuah itu sahaja yang berbeza sama ada besar ataupun kecil. Pendek kata, amalan rasuah berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja dengan tidak memilih tempat, waktu dan peringkat manusia. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah ditawarkan perempuan cantik, jawatan tinggi dan harta kekayaan, oleh kaum Musyrikin Quraisy dengan harapan agar Rasulullah berhenti dari berdakwah ke jalan Allah. Bagaimanapun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak tergoda dengan tawaran rasuah itu dan tidak berganjak seinci pun dengan komitmen Baginda meskipun mereka meminta bapa saudara Rasulullah, Abu Talib untuk memujuk Baginda namun Rasulullah tetap masih dengan pendiriannya dan bersabda:

"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan dakwah Islamiah." Begitulah kentalnya iman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang tidak mahu melibatkan diri dengan gejala rasuah yang menjijikkan itu demi mempertahankan syiar Islam. Perbuatan rasuah bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama Islam serta nilai-nilai dan tatasusila murni kemanusiaan, tetapi ia juga boleh menjejaskan imej negara dan integriti Perkhidmatan Awam. Rasuah boleh mengakibatkan sikap mementingkan diri sendiri dan menjejaskan keadilan. Bayangkan sahaja sebagai contoh, rasuah punca manusia sanggup berdusta dengan menyalahkan yang benar dan membenarkan yang salah, memberikan sesuatu jawatan kepada orang yang tidak mempunyai kelayakan, menafikan hak orang lain yang lebih layak daripada kita atau meluluskan sesuatu permohonan yang tidak sepatutnya diluluskan. Amalan rasuah sedemikan bukan sekadar menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial, tetapi juga menjejaskan kemajuan ekonomi negara bahkan boleh melumpuhkan jentera pentadbiran sesebuah organisasi atau sesebuah negara. Perbuatan rasuah juga boleh merosakkan imej individu itu sendiri serta keluarganya selain jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan dibuang kerja. Oleh itu perbuatan rasuah tidak sepatutnya dianggap remeh walaupun ia hanya melibatkan jumlah yang kecil sahaja kerana ia boleh membawa banyak keburukan dan kerugian kepada masyarakat dan negara, sebagaimana dalam salah satu petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda menegaskan: "Jangan dianggap 'rasuah kecil tidak mengapa', tetapi ingatlah akan risikonya. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, adalah sama bernama penyakit yang boleh menjejaskan negara. Negara yang karam dengan rasuah adalah negara yang malang." Bersempena dengan Hari Antarabangsa Rasuah yang disambut setiap 9 Disember, adalah tepat bagi kita semua menyedari tentang bahaya rasuah dan menghindari diri daripada terlibat dengan budaya rasuah. Sama-samalah kita bekerjasama dan berusaha membenteras gejala rasuah dengan mengatakan 'Tidak Pada Rasuah'. Marilah kita semua timbulkan rasa insaf dan amalkanlah sifat jujur dan amanah, serta jadikanlah diri kita orang yang tahu mana yang hak, mana yang bathil dan jadikanlah diri kita orang yang bertakwa, mudah-mudahan kita mendapat keredaan, keberkatan, perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Rasuah dapat dihindarkan jika seseorang itu sentiasa berpegang kepada ajaran agama dan moral serta nilai-nilai murni kemanusiaan, di samping melaksanakan tugas dan tanggungjawab masingmasing dengan cekap, jujur dan amanah serta tulus ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful