You are on page 1of 23

SIRI CERDIK PANDAI ISLAM

AL-KHAWARIZMI
Pakar Matematik
Terunggul

Penyusun : Shafie bin Abdul Rahman


Muka Surat 1

PEMBUKA KATA

Islam pada zaman kegemilangannya iaitu sekitar tahun 800 – 1100


atau pada abad ke 9 hingga abad ke 12 telah berjaya melahirkan ramai
cerdik pandai Islam. Pusat tamadun dan kecemerlangan umat Islam ketika
itu di Baghdad Iraq dan di Cordova Sepanyol. Negara-negara Islam pula
membangun dengan pesat. Pelbagai jenis bangunan didirikan lengkap
dengan sistem jalan raya, perhubungan dan saliran yang begitu
menakjubkan. Pusat-pusat pendidikan, perpustakaan, hospital, tempat
mandi awam dan lain-lain lagi boleh didapati di mana-mana pelosok
kawasan ketika itu.

Ramai cerdik pandai Islam telah berjaya dilahirkan dalam pelbagai


bidang termasuklah dalam bidang ilmu sains, perubatan dan kedoktoran,
matematik, astronomi dan lain-lain lagi. Bidang matematik dan astronomi
telah berjaya melahirkan ramai tokoh cerdik pandai Islam yang dikagumi
serta diiktiraf oleh cerdik pandai di negara Barat. Antara mereka ialah Al-
Khawarizmi, Al-Biruni, Al-Jazani, Umar Khayyam dan ramai lagi..

Al-Khawarizmi dan al-Biruni adalah dua orang tokoh cerdik pandai


Islam yang dilahirkan di daerah yang sama iaitu Khwarizm yang sekarang
ini terletak di Uzbekhistan. Al-Khawarizmi lahir lebih awal daripada al-Biruni
dan dianggap antara cerdik pandai Islam yang paling awal berjaya
menonjolkan diri dalam bidang ilmu matematik. Beliau bertanggungjawab
memperkenalkan algoritma yang diambil sempena nama beliau. Dalam
kalangan cerdik pandai Barat, Al-Khawarizmi lebih dikenali sebagai Al-
Goritmi, Al-Cowarizmi atau Al-Gorism.

Al-Khawarizmi juga adalah tokoh yang paling awal memperkenalkan


algebra dan hisab. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan angka-
angka India dan cara-cara perhitungan India kepada dunia Islam.
Penggunaan angka sifar atau kosong, juga dipercayai diperkenalkan oleh
beliau sehingga memudahkan kita dalam pengiraan.
Muka Surat 2

Nama sebenar Al-Khawarizmi ialah Abu Abdullah Muhammad bin


Musa Al-Khawarizmi. Gelaran Al-Khawarizmi yang diberikan kepada beliau
adalah mengambil nama Khwarizm, iaitu tempat kelahiran beliau. Ketika itu
Khwarizm terletak dalam jajahan Parsi. Al-Khawarizmi dilahirkan pada
tahun 780 dan berbangsa Farsi.

Setelah tentera Islam berjaya menawan Empayar Parsi, Islam


berkembang dengan pesat di Iran dan Irak. Apabila Kerajaan Bani
Abbasyiah berkuasa, hampir seluruh kekuasaan Islam terletak di bawah
pemerintahan khalifah Abbasyiah. Ketika itu pusat pemerintahan Kerajaan
Abbasyiah berpusat di Baghdad. Keadaan ini telah menyebabkan Baghdad
berkembang dengan pesatnya dan menjadi pusat tamadun serta pusat
kecemerlangan pendidikan.

Banyak pusat pendidikan dan perpustakaan didirikan di Baghdad


serta beberapa bandar lain seperti Basra, Rayy, Hamadan dan lain-lain.
Ketika itu orang ramai datang bertumpu ke Baghdad untuk mencari
pekerjaan serta bagi menuntut ilmu pengetahuan. Catatan sejarah juga
menunjukkan bahawa pelajar-pelajar dari Eropah juga datang ke Baghdad
bagi tujuan meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.

Al-Khawarizmi juga tidak terkecuali dalam hal ini. Setelah mengikuti


pendidikan asas dalam pendidikan Islam di tempat kelahirannya, Al-
Khawarizmi bercadang untuk menambahkan lagi ilmu di dadanya.
Pelajaran yang diterima di kampung halamannya adalah sekadar
pengetahuan awalan selain asas membaca Al-Qur’an, ilmu tauhid, fekah
dan bahasa Arab.
Muka Surat 3

ILUSTRASI

(lukis keadaan di Baghdad yang pesat membangun)


Muka Surat 4

Pada suatu hari selepas pulang daripada madrasah, Al-Khawarizmi


pergi berjumpa dengan sahabat baiknya bernama Yusuf. Yusuf adalah
rakan sepermainan Al-Khawarizmi dan sama-sama belajar di sebuah
sekolah agama di Khwarizm.

“Betulkah aku dengar bahawa engkau hendak pergi mengembara?”


tanya Al-Khawarizmi kepada sahabatnya itu.

“Ya, betul tu. Aku ingin melihat tempat lain. Lagi pun bukankah cikgu
kita sendiri ada memberitahu bahawa banyak berjalan, luas pemandangan.
Jauh berjalan, banyak pengalaman,” jawab Yusuf.

“Kamu hendak ke mana? Kamu hendak pergi dengan siapa?” tanya


Al-Khawarizmi.

“Aku hendak pergi dengan bapa saudaraku dan sepupuku, Anas.


Kebetulan satu rombongan perniagaan dari kampong kita akan bertolak ke
Baghdad hujung ,minggu ini. Jadi kami mengambil keputusan untuk ikut
serta dan mencuba nasib di sana,” jawab Yusuf.

Yusuf telah mengajak Al-Khawarizmi untuk turut serta bersamanya.


Walau bagaimanapun, Al-Khawarizmi takut untuk memberitahu ayahnya.
Dia bimbang ayahnya akan memarahinya.

“Tak apalah, Yusuf. Kau pergilah dulu. Mungkin suatu hari nanti bila
kau pulang, mana tahu aku boleh ikut serta bersamamu ke Baghdad,” kata
Al-Khawarizmi.

Hampir dua tahun Yusuf pergi merantau ke Baghdad tanpa mengirim


sebarang berita kepada Al-Khawarizmi. Pada suatu hari, dia pulang bercuti
ke Khwarizm menemui keluarganya. Yusuf datang menemui Al-
Khawarizmi dan menceritakan tentang pusat-pusat pendidikan yang
terdapat di Baghdad. Yusuf mengajak Al-Khawarizmi untuk ikut
bersamanya ke Baghdad, jika betul-betul hendak meluaskan lagi
pengetahuannya.
Muka Surat 5

Al-Khawarizmi sungguh teruja apabila mendengar cerita daripada


Yusuf. Dia lalu menemui kedua orang tuanya dan meminta keizinan
mereka untuk ke Baghdad.

“Ayah dan ibu membenarkan kamu pergi ke Baghdad. Tetapi kamu


mestilah berjanji untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan
sekali-kali mengabaikan perintah Allah. Selalulah mendirikan solat lima
waktu dan sentiasalah mematuhi perintah dan larangan Allah. Pasti kamu
akan menjadi orang yang berjaya dan anak kebanggaan kami,” pesan ibu
dan ayah Al-Khawarizmi.

Al-Khawarizmi sungguh gembira mendengar kata-kata ayah dan


ibunya. Dia memeluk kedua ibu bapanya sambil menyatakan ucapan
terima kasih. Al-Khawarizmi segera berlari ke rumah Yusuf dan
memberitahu berita baik tersebut.

Setelah tiba hari yang dijanjikan, Al-Khawarizmi pun bertolaklah ke


Baghdad bersama-sama dengan Yusuf dan beberapa orang anggota
keluarganya. Ayah dan ibu al-Khawarizmi membekalkan sedkit wang bagi
perbelanjaan sepanjang Al-Khawarizmi berada di sana.

Begitulah bermulanya detik kehidupan al-Khawarizmi di Baghdad.


Ketika itu usianya sudah remaja iaitu dalam belasan tahun. Al-Khawarizmi
sungguh terpegun apabila tiba di Baghdad. Dia kagum melihat keadaan di
Baghdad yang pesat membangun. Bangunan-bangunan cantik dan tinggi
terdapat di mana-mana.

Dia juga melihat kesibukan di kota Baghdad. Orang ramai berpusu-


pusu di tengah kota Baghdad. Ramai anak muda sibuk mengepit buku dan
berkejar ke pusat-pusat pengajian yang tumbuh bercambah di tengah
bandar Baghgad. Al-Khawarizmi ibarat seekor rusa masuk kampong. Dia
terpinga-pinga melihat keadaan di Baghdad sambil diperhatikan oleh Yusuf
di sebelahnya. Ysuf hanya tersenyum melihat keadaan sahabat baiknya
itu.
Muka Surat 6

Al-Khawarizmi tidak membuang masa lagi dan menoleh ke belakang.


Beliau menggunakan kesempatan berada di Baghdad untuk menuntut ilmu.
Dengan bantuan Yusuf, Al-Khawarizmi telah mendaftarkan diri untuk
mengikuti pendidikan di sebuah pusat pengajian tinggi yang ada di situ.
Dengan ilmu yang dimilikinya serta pengetahuan tentang banyak perkara
serta sifatnya yang rajin membaca, Al-Khawarizmi diterima belajar di situ.

Pada waktu siang, al-Khawarizmi belajar sepenuhnya. Dia mengikuti


apa yang diajar oleh guru-gurunya dengan penuh khusyuk dan teliti. Al-
Khawarizmi adalah pelajar yang rajin dan cerdas. Dia cepat menerima apa-
apa yang diajar oleh guru-guru di situ. Jika dia tidak faham tentang sesuatu
perkara, Al-Khawarizmi tidak malu untuk bertanya. Dia akan bertanya
kepada gurunya dan mendapatkan penjelasan sehinggalah dia benar-
benar faham.

Pada waktu malam pula, dia akah menghadiri majlis-majlis ilmu yang
banyak diadakan di sekitar Baghdad. Ketika itu Baghdad cukup meriah
dengan majlis-majlis ilmu dan tidak sunyi pada waktu malam. Majlis-majlis
ilmu diadakan di masjid-masjid dan juga di rumah-rumah orang kenamaan
serta para pembesar negara. Al-Khawarizmi tidak ketinggalan untuk
mengikuti majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid. Dia banyak
bergaul dengan mereka yang sebaya dengannya serta dengan para cerdik
pandai yang mengajar di masjid-masjid tersebut.

Pada hujung minggu pula, Al-Khawarizmi akan pergi ke


perpustakaan awam yang terdapat di Baghdad. Pada mulanya, dia pergi
dengan ditemani oleh Yusuf. Lama-kelamaan setelah biasa, Al-Khawarizmi
pergi bersendirian. Dia mendapat ramai kenalan di sana dan cukup dikenali
oleh kakitangan perpustakaan tersebut.
Muka Surat 7

ILUSTRASI

(lukis Al-Khawarzimi sedang membaca buku-buku di

perpustakaan sambil membuat catatan.)


Muka Surat 8

Al-Khawarizmi sungguh seronok dapat datang ke perpustakaan


tersebut. Dia melihat ribuan buku tentang pelbagai jenis ilmu pengetahuan
dalam perpustakaan tersebut. Pada mulanya dia tidak tahu hendak
membaca buku yang mana satu kerana semua buku di situ belum pernah
dibacanya.

Pada kunjungan kali kedua, barulah Al-Khawarizmi menyusun jadual


membaca buku di perpustakaan tersebut. Dia memulakan membaca buku-
buku yang berkaitan dengan ilmu yang diminatinya iaitu matematik dan
astronomi. Terdapat banyak buku tentang ilmu matematik dan astronomi
yang ada di perpustakaan tersebut. Ada yang dalam bahasa Yunani, ada
yang dalam bahasa Parsi dan ada juga yang ditulis dalam bahasa India.

Al-Khawarizmi hanya tahu bahasa Arab dan bahasa Parsi serta


sedikit bahasa India. Oleh itu, dia membaca buku-buku dalam bahasa Arab
dan bahasa Parsi. Setelah habis buku-buku dalam kedua-dua bahasa itu
dibaca, barulah Al-Khawarizmi membaca buku-buku tentang perkara lain
seperti fizik, sains dan falsafah.

Al-Khawarizmi membaca buku-buku tersebut sambil membuat


catatan. Jika ada perkara yang tidak difahaminya, dia akan bertanya pada
gurunya di sekolah keesokan harinya. Ada sesetengah perkara yang
ditanya kepada gurunya adalah cukup tinggi dan tidak sesuai dipelajari
oleh mereka yang sebaya dengannya. Walau bagaimanapun untuk tidak
mengecewakannya, terpaksalah guru-gurunya itu menerangkannya dan
memberikan penjelasan yang panjang lebar.

Al-Khawarizmi belajar dengan tekun. Dia juga kerap pergi ke rumah


guru-gurunya untuk menelaah pelajaran dan bertanya. Oleh sebab itu, Al-
Khawarizmi jauh maju ke hadapan berbanding dengan rakan-rakan
sekelasnya. Dia paling menonjol dalam pelajaran matematik dan
astronomi. Guru-gurunya sangat sayang akan Al-Khawarizmi dan
menghormatinya.
Muka Surat 9

Al-Khawarizmi juga mengambil kesempatan untuk belajar tentang


bahasa India dan juga bahasa Greek daripada beberapa orang gurunya.
Agak sukar juga untuk mempelajari bahasa Greek kerana dia tidak
mempunyai asas sama sekali. Walau bagaimanapun, Al-Khawarizmi tidak
berputus asa. Dia berusaha belajar dengan bersungguh-sungguh. Kadang-
kadang dia tidur lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran itu. Lama –
kelamaan barulah dia dapat menguasai serba sedikit bahasa Greek.

Bagi bahasa India pula, al-Khawarizmi tidak mengalami banyak


rintangan. Dia sudah mempunyai sedikit sebanyak asas semasa tinggal di
Khwarizm. Dia hanya perlu belajarnya semula setelah agak lama tidak
menggunakan bahasa tersebut. Setelah itu dia berusaha mendalami lagi
pengajian tentang bahasa tersebut sehinggalah beliau menjadi mahir dan
fasih dalam bahasa India.

Dengan kerajinan Al-Khawarizmi dan kesungguhan beliau belajar


daripada beberapa orang guru serta cerdik pandai Islam, bakat dan
kepintaran Al-Khawarizmi mulai menonjol. Dia kerap bangun memberikan
pendapat dalam majlis-majlis ilmu yang dihadirinya. Keberanian dan
kepetahannya berhujah, menyebabkan pendapat yang diberikan oleh
beliau tidak dipandang ringan oleh para cerdik pandai Islam ketika itu.

Mereka sendiri kagum dengan ilmu yang dimiliki oleh Al-Khawarizmi


jika diukur pada usianya. Pendapat dan buah fikiran yang diberikan oleh
beliau menyebabkan beliau dikagumi oleh guru-gurunya dan para cerdik
pandai islam di Baghdad ketika itu. Hari demi hari, namanya mulai menjadi
sebutan. Beliau mula dikenali sebagai anak muda yang berpengetahuan
tinggi serta mempunyai akhlak yang mulia.
Muka Surat 10

Al-Khawarizmi kini mula menjadi tumpuan orang ramai. Beliau kerap


diundang untuk mengajar dan memberikan kuliah dalam majlis-majlis ilmu
yang diadakan di masjid-masjid. Apabila nama beliau kerap diperkatakan,
para pembesar di Baghdad pun turut mengundang Al-Khawarizmi ke
majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh mereka. Di situ, Al-Khawarizmi di
minta memberikan pendapatnya atau mengulas pendapat yang diberikan
oleh cerdik pandai Islam yang lain.

Al-Khawarizmi bijak dalam memberikan pendapat-pendapatnya. Dia


sama sekali tidak menolak pendapat yang diberikan oleh cerdik pandai
Islam yang lain. Jika pendapat yang diberikan oleh cerdik pandai islam
tersebut benar, dia akan memujinya. Begitu juga jika pendapatnya salah,
dia tidak akan segan-segan untuk mengakui akan kesalahannya.

Apabila dia membahas pendapat para cerdik pandai Islam yang lain,
dia begitu menjaga adab. Dia berhujah dengan nada yang lembut sambil
menggunakan bahasa yang baik. Dia akan membentangkan hujah-
hujahnya serta mengemukakan pendapat cerdik pandai yang lain bagi
menyokongnya. Kerap kali juga dia menggunakan perumpamaan dan
perbandingan ketika menampaikan kuliahnya.

Dia juga kerap meminta tunjuk ajar dan bimbingan daripada para
cerdik pandai yang lebih tua daripadanya. Walaupun pendapat yang
dikemukakannya adalah betul dan diterima ramai, dia tetap memuji cerdik
pandai yang bertentangan pendapat dengannya. Dia sama sekali tidak
mengherdik atau menghina mereka. Sebaliknya dia tetap memuliakan
mereka dan sentiasa merendah diri ketika berhadapan dengan mereka.

Keadaan itu menyebabkan Al-Khawarizmi begitu dihormati oleh


cerdik pandai Islam yang lain. Mereka menjadi lebih kagum terhadap Al-
Khawarizmi di atas ilmu-ilmu yang dimiliki oleh beliau serta akhlak beliau
yang terpuji. Oleh sebab itu, Al-Khawarizmi selalu menjadi tumpuan ramai
apabila beliau menyampaikan ceramah atau memberikan pandangan.
Muka Surat 11

ILUSTRASI

(lukis al-Khawarizmi sedang menyampaikan kuliah pada satu


majlis ilmu. Rujuk teks pada muka surat 10)
Muka Surat 12

Pada masa itu, terdapat sebuah pusat pengajian ilmu ditubuhkan


oleh Khalifah Al-Makmun. Baginda telah menubuhkan Baitul Hikmah, yang
bertujuan untuk menjalankan kegiatan penterjemahan. Ketika itu, buku-
buku tentang pelbagai jenis ilmu pengetahuan dalam bahasa Arab masih
kurang. Banyak buku pengetahuan yang penting ditulis dalam bahasa
Greek, bahasa Parsi dan bahasa India.

Oleh sebab itu, Khalifah Al-Makmum mahukan buku-buku dalam


bahasa lain diterjemah dalam bahasa Arab. Kegiatan penterjemahan
dijalankan di Baitul Hikmah. Ramai cerdik pandai Islam telah diambil
bertugas di situ dengan diketuai oleh Hunayn bin Ishak. Hunayn bin Ishak
adalah penasihat raja di samping menjadi doktor istana. Beliau adalah
seorang cerdik pandai yang ulung ketika itu.

Beliau telah diperintahkan oleh khalifah untuk menjadi pengarah di


Baitul Hikmah. Beliau bertanggungjawab mencari cerdik pandai Islam yang
terkenal dan bijaksana untuk bertugas di Baitul Hikmah. Apabila beliau
mendapat tahu tentang kepandaian Al-Khawarizmi, beliau segera
mengundang Al-Khawarizmi untuk datang ke Baitul Hikmah.

“Selamat datang wahai sahabatku Al-Khawarizmi. Saya telah


mendengar akan kehebatan tuan dalam menyampaikan kuliah khususnya
yang berkaitan dengan matematik dan astronomi. Saya juga banyak
mendengar nama tuan daripada ramai cerdik pandai Islam yang saya
kenali. Mereka memuji akan ketinggian ilmu tuan,” kata Hunayn.

“Terima kasih wahai Tuan Hunayn yang dihormati. Menjadi satu


penghormatan bagi saya untuk berjumpa dengan tuan. Selama ini saya
selalu mendengar nama tuan dan begitu kagum akan ilmu-ilmu yang
dimiliki oleh tuan. Tidak hamba sangka, hamba akan dapat berjumpa
dengan tuan pada hari ini,” balas Al-Khawarizmi.
Muka Surat 13

Kedua-dua mereka berbual panjang sambil bertukar-tukar pendapat.


Dari perbualan tersebut, Hunayn dapat melihat kebijaksanaan Al-
Khawarizmi dan ketinggian ilmu yang dimilikinya. Dia lalu berterus terang
kepada al-Khawarizmi dan menyatakan tujuannya mengundang al-
Khawarizmi datang ke Baitul Hikmah.

“Tujuan saya mengundang tuan hamba ke sini ialah bagi


mempelawa tuan hamba untuk bekerja di sini. Baitul Hikmah amat
memerlukan orang seperti tuan hamba. Dengan itu barulah kegiatan
penterjemahan buku-buku dapat dibuat dengan lebih rancak. Saya harap
tuan hamba dapat mempertimbangkan tawaran ini demi kemajuan umat
Islam,” Hunayn berkata kepada Al-Khawarizmi.

Al-Khawarizmi sungguh terkejut dengan tawaran tersebut. Dengan


penuh gembira, beliau berkata :

“Tiada ada sesuatu berita yang paling menggembirakan sejak saya


berada di Baghdad selain daripada berita yang saya dengar sekarang.
Tentu sekali saya akan menerimatawaran tuan kerana saya memang
sudah lama bercita-cita untuk bekerja bersama-sama dengan tuan,” jawab
Al-Khawarizmi sambil menunduk hormat kepada Hunayn sebagai tanda
terima kasih.

Sejak itu, bermulalah detik baru dalam kehidupan Al-Khawarizmi.


Bekerja di Baitul Hikmah yang lengkap dengan segala keperluan adalah
menjadi impian setiap cerdik pandai ketika itu. Apatah ketika itu terdapat
ramai lagi cerdik pandai Islam yang bertugas di situ. Bailtul Hikmah juga
mempunyai sebuah perpustakaan yang besar lengkap dengan ribuan buku
termasuk buku-buku yang tidak boleh didapati di mana-mana.
Muka Surat 14

Al-Khawarizmi telah diperkenalkan kepada kakitangan lain di Baitul


Hikmah. Beliau juga telah dibawa ke perpustakaan yang terdapat di situ.
Sungguh teruja Al-Khawarizmi apabila melihat timbunan buku-buku yang
terdapat di situ.

Baitul Hikmah menjadi rumah kedua Al-Khawarizmi. Beliau banyak


menghabiskan waktu di situ dengan membaca buku-buku tulisan cerdik
pandai yang terdahulu. Beliau juga banyak membuat kajian sebelum
menterjemah buku tersebut supaya dapat difahami oleh semua pembaca.

Di Baitul Hikmah, Al-Khawarizmi diberi tugasan untuk menterjemah


buku-buku tentang matematik dan astronomi. Bidang tugasan tersebut
adalah suatu pekerjaan yang amat diminatinya. Beberapa buah buku
matematik dalam bahasa Greek, Parsi dan India telah diambil dari
perpustakaan dan dibawa ke meja tempat beliau bekerja.

Sambil bertugas menterjemah buku-buku tersebut, Al-Khawarizmi


dapat menambahkan lagi pengetahuan beliau dalam kedua-dua cabang
ilmu pengetahuan tersebut. Al-Khawarizmi seorang yang rajin dan tekun
dalam menjalankan tugasnya. Dia menjalankan tugas dengan baik dan
penuh tanggungjawab. Ada ketikanya al-Khawarizmi tertidur di tempat
kerjanya dengan pena masih di tangan kerana keletihan.

Al-Khawarizmi bekerja siang malam demi memenuhi tanggungjawab


beliau. Beliau hanya mengambil masa rehat yang singkat. Berkat
ketabahan dan kesungguhan beliau bekerja, beberapa buah buku dalam
bidang matematik dan astronomi berjaya diterjemahkan. Hunayn bin Ishak
sungguh gembira dengan kejayaan Al-Khawarizmi itu. Beliau tahu bahawa
beliau melakukan keputusan yang tepat apabila mengambil Al-Khawarizmi
bekerja di situ.
Muka Surat 15

ILUSTRASI

(lukis Al-Khawarizmi sedang bertugas di biliknya di Baitul


Hikmah. Sila rujuk teks pada m/s : 14)
Muka Surat 16

Al-Khawarizmi tidak berhenti setakat menterjemah buku-buku


tersebut. Beliau juga telah menulis buku-buku yang membuatkan
pandangan beliau yang tersendiri dalam beberapa cabang ilmu
pengetahuan. Beliau juga ingin membetulkan beberapa kelemahan dan
kesilapan pendapat yang dberikan oleh tokoh-tokoh matematik Greek,
Parsi dan India.

Pada suatu hari, Al-Khawarizmi telah didatangi utusan daripada


istana. Beliau telah dijemput oleh Khalifah Al-Makmun untuk menghadap
baginda.

“Saya diperintahkan oleh khalifah untuk membawa tuan menghadap


baginda. Baginda ada perkara mustahak untuk berbincang,” kata utusan
tersebut.

Al-Khawarizmi telah mengikuti utusan tersebut ke istana. Beliau


menghadap baginda dengan hati yang berdebar-debar. Beliau tertanya-
tanya jika beliau ada membuat masalah. Setibanya di istana, Al-
Khawarizmi berasa amat lega. Bersama-sama beliau menghadap baginda
ialah Hunayn bin Ishaq, Pengarah Baitul Hikmah.

“Ampun tuanku, patik Al-Khawarizmi masuk menghadap,” kata Al-


Khawarizmi sambil menyusun sembah.

“Persilakan duduk wahai Al-Khawarizmi. Maafkan beta kerana


setelah sekian lama kamu bertugas di Baitul Hikmah, baru sekarang beta
dapat berjumpa dengan kamu. Beta telah lama mendengar tentang
kehebatan dan ketinggian ilmu kamu. Beta juga ada mendengar kejayaan
kamu menterjemah beberapa buah buku tentang matematik dan astronomi
daripada Hunayn,” titah baginda.
Muka Surat 17

“Terima kasih di atas puji-pujian daripada tuanku. Patik hanya


menjalankan tugas yang diamanahkan kepada patik. Patik mahu melihat
lebih ramai pemuda-pemudi kita menguasai ilmu tentang matematik dan
astronomi serta dapat menyebarkannya kepada orang lain,” sembah Al-
Khawarizmi.

“Kamu sendiri tahu bahawa ilmu matematik itu bukan asing dalam
agama Islam kita. Kita diperintahkan mendirikan solat lima kali sehari. Ada
solat yang terdiri daripada dua rakaat, ada yang tiga rakaat dan ada juga
empat rakaat. Umat Islam perlu menguasai ilmu matematik jika hendak
mengira berapa kali sehari mereka membaca al-Fatehah, membaca
selawat ke atas junjungan nabi s.a.w. atau mengira berapa kali mereka
sujud kepada Allah dalam satu hari setelah mendirikan solat lima waktu.
Begitu juga bagi pengiraan pembayaranzakat pertanian, hasil penternakan
dan perniagaan. Jika kita tidak menguasai ilmu matematik, bagaimana kita
hendak mengira jumlah zakat yang wajib dibayar,” Khalifah Al-Makmun
berkata kepada Al-Khawarizmi.

“Betul kata tuanku itu,” kata Al-Khawarizmi. Beliau begitu kagum


dengan minat yang ditunjukkan oleh baginda terhadap ilmu matematik.
Beliau sama sekali tidak menyangka hingga begitu meluas pemahaman
baginda terhadap keperluan orang Islam menguasai ilmu matematik.

“Jadi beta mahu kamu mengarang sebuah buku tentang pengiraan


dalam ilmu matematik supaya dengan itu, orang-orang Islam dapat
menyelesaikan sebarang masalah pengiraan apabila mereka hendak
membayar zakat. Begitu juga dalam hal pembahagian harta pusaka atau
faraid,” titah baginda.

“Patik menerima tugas dan permintaan tuanku itu dengan penuh


tanggungjawab. Akan segera patik usahakan bagi menulis buku yang
berkaitan dengan pengiraan dalam ilmu matematik itu,” kata Al-Khawarizmi
sambil menjunjung perintah daripada Khalifah Al-Makmun itu.
Muka Surat 18

ILUSTRASI

(lukis Al-Khawarizmi sedang menghadap Khalifah Al-


Makmum di dalam istana. Di sisi beliau ada beberapa pembesar yang lain.)
Muka Surat 19

Al-Khawarizmi segera pulang ke Baitul Hikmah. Di situ, beliau


mengambil beberapa buah buku rujukan tentang ilmu matematik dan
pengiraan. Beliau mengambil sehelai kertas sambil merangka kandungan
buku yang hendak ditulisnya. Kata-kata daripada Khalifah Al-Makmum
dijadikan sebagai pembakar semangatnya untuk menulis sebuah buku
tentang algebra.

Setelah bertungkus lumus tanpa menghiraukan penat dan letih, Al-


Khawarizmi akhirnya berjaya menulis sebuku tentang aljebra. Buku
tersebut yang bertajuk “Al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabala” telah
ditulis pada tahun 830. Buku tersebut ditulis atas dorongan Khalifah Al-
Makmun sendiri. Terhasilnya buku itu telah membolehkan ilmu algebra
diperkenalkan di kalangan orang Arab. Oleh itu, Al-Khawarizmi telah
diiktiraf oleh cerdik pandai di Barat sebagai orang yang paling awal
memperkenalkan ilmu algebra.

Al-Khawarizmi ada menulis tentang pertemuan dengan Khalifah al-


Makmun dalam karyanya. Beliau menulis seperti berikut :

“Imam Al-Makmun, Amirul Mukminin memerintahkan saya


menerangkan sesuatu yang masih samar dan memudahkan sesuatu yang
sukar. Baginda juga memerintahkan saya mengarang sebuah buku ringkas
mengenai pengiraan algebra dan perbandingan kerana ia amat diperlukan
dalam pembahagian harta pusaka, wasiat, pembahagian hartanah
perniagaan serta urusan jual beli.”

Al-Khawarizmi juga menulis beberapa buah buku lain yang


menerangkan tentang pecahan perpuluhan, geometrid an artimetik. Beliau
menggunakan buku “Al-Ustugusat” (The Elements) yang ditulis oleh
seorang cerdik pandai Yunani bernama Euclid.
Muka Surat 20

Al-Khawarizmi juga diiktiraf sebagai tokoh matematik Islam yang


paling awal menulis tentang sistem pernomboran dan matematik yang
digunakan oleh orang-orang India. Bagu tujuan tersebut, beliau sendiri
telah pergi ke India untuk menemui seorang tokoh matematik India ketika
itu yang bernama Karkah. Cubaan beliau untuk berjumpa dengan Karkah
pada kali pertama gagal.

Beliau berusaha untuk bertemu Kankah buat kali kedua dan akhirnya
berjaya. Dengan sikap beliau yang begitu merendah diri, beliau berjaya
memujuk Kankah untuk mengajar tentang ilmu nombor Hindu kepada
beliau. Pada mulanya Kankah menolak permintaan Al-Khawarizmi tetapi
akhirnya timbul perasaan simpati beliau terhadap Al-Khawarizmi. Kankah
menjadi lembut hati dan mengajar ilmu tersebut kepada Al-Khawarizmi
setelah Al-Khawarizmi berkali-kali memujuk beliau.

Berdasarkan apa yang telah dipelajari oleh Al-Khawarizmi dengan


Kankah, beliau telah memperkenalkan nombor kosong atau sifar dalam
sistem pernomboran Arab. Beliau sebelum itu telah memberi nilai kepada
angka kosong kepada sistem pernomboran Hindu sedangkan pada masa
itu angka kosong tidak mempunyai nilai sama sekali. Dari situlah
berkembangnya penggunaan nombor kosong sehingga digunakan oleh
orang-orang Eropah dan seterusnya pada zaman moden ini.

Hasil daripada pengetahuan Al-Khawarizmi tentang sistem


penomboran dalam bahasa Hindu, beliau telah menulis beberapa buah
buku. Antaranya ialah buku “Al-Jami wa al-Tafsir bi Hisab al-Hind” yang
begitu terkenal dan diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa. Salah
sebuah daripadanya telah diterjemah kepada bahasa latin oleh Prince
Boniopagri.

Al-Khawarizmi meninggal dunia di Baghdad pada tahun 850. Beliau


pergi setelah menabur jasa yang tidak ternilai terutamanya dalam ilmu
matematik dan astronomi.
Muka Surat 21

TELADAN DAN PENGAJARAN

Al-Khawarizmi adalah lambang seorang cerdik pandai Islam yang


gigih dan rajin dalam menjalankan tugasnya. Beliau juga seorang pelajar
yang kuat berusaha, mempunyai akal yang cerdas dan azam yang kuat
untuk berbakti kepada umat Islam dan manusia seluruhnya.

Beliau gigih dalam menuntut ilmu dan tidak melepaskan peluang


untuk menambah ilmu dalam pelbagai bidang. Beliau bukan sahaja
terkenal sebagai seorang yang bijak dalam ilmu matematik, tetapi juga
pandai dalam ilmu astronomi, geografi, sains dan lain-lain. Beliau juga
dikatakan pernah terlibat membuat beberapa peralatan astronomi yang
digunakan untuk mengukur jarak matahari serta untuk mengkaji
pergerakan di angkasa. Beliau juga telah merintis usaha-usaha bagi
penubuhan sebuah planetarium bagi mengkaji pergerakan objek-objek di
langit khususnya binang, bulan dan matahari.

Sebagai menghargai usaha-usaha beliau dalam bidang astronomi,


nama beliau banyak diabadikan dalam beberapa buah planetarium di dunia
antaranya di Melaka. Bahkan beliau juga tergolong antara cerdik pandai
Islam yang paling awal menulis tentang ilmu astronomi.

Pencapaian paling cemerlang yang dicapai oleh Al-Khawarizmi ialah


dalam bidang matematik sehingga beliau digelar sebagai perintis atau
bapa matematik moden. Hal ini diakui oleh ramai cerdik pandai di Barat
antaranya ialah George Sarton dan Wiedmann. Buku beliau yang paling
terkenal dalam bidang matematik iaitu “Kitab al-Jabr wal Muqabala” telah
diiktiraf sebagai buku yang paling awal membicarakan tentang
penyelesaian linear dan persamaan kuardratik selain memperkenalkan
ilmu algebra.

Kejayaan dan pencapaian oleh Al-Khawarizmi perlu dicontohi oleh


generasi muda umat Islam khususnya para pelajar. Sama-samalah kita
menanam azam untuk menjadi seperti Al-Khawarizmi dan mengharumkan
nama dunia Islam.
Muka Surat 22

PEMAHAMAN

1. Apakah nama sebenar Al-Khawarizmi? Dari manakah beliau berasal?

2. Mengapakah Al-Khawarizmi pergi ke Baghdad?

3. Bagaimanakah Al-Khawarizmi menjadi terkenal?

4. Apakah yang dilakukan oleh Al-Khawarizmi di Baitul Hikmah?

5. Mengapakah Al-Khawarizmi dipanggil oleh Khalifah Al-Makmun?

6. Apakah bidang ilmu yang diceburi oleh Al-Khawarizmi?

You might also like