You are on page 1of 2

Definisi Puisi Moden

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai,”khas dipakai untuk
melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan
dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan
itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan
bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang
berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau
rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang
tertentu.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi.
Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan
bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam
rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan
susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan
kesannya kepada pembaca.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut
pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan
sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera
yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam
segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.
Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai
pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan
perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang
tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-
kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Masih banyak lagi definisi puisi yang
dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi
yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya
bertajuk “Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari
1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu
tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap,
dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya,
mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan
ekonomi dan politik. Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau
pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan
puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula
kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya Harun Aminurrasyid yang
tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk
menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934.
Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-
sangka”, “Pujukan hati”, dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui
penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.
Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden
tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang
dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan
mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama
manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas
terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden
disusuri.