You are on page 1of 6

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan


dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman
Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman
atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman
teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui
oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran
dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu.
Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang
ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi
yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan
manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam
bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih.
Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan
pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif
atau negatif. 

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah


istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik
menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi
maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah
kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan
menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat
diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan
antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan
menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi
disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya.
Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui
iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut
berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri
sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!”Iklan
tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit
menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya
tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi
maklumat dalam bidang pendidikan. 

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat


dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya
kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-
niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-
syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas
hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan
alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik
atau e-mel. Kini, istilahwww.sesuatu.com.my bukan lagi satu
perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual
dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari
peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini.
Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal
ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat
khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan
mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah
bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan
positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat


juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara
langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti
manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat
serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya,
dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar
dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan
ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang
lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi
maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan
terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih
dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di
kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur
City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji
Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam
membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah
bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan
Malaysiaberdiri sama tinggi, dan duduk sama
rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi


maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau
yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau
perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan
sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh
diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia.
Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan
agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam
kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan
sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan
telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat.
Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin
politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui
internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat
dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang
kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok
bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi


maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet
hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang
boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah
apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan
teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak
berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-
pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan
internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya,
terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku
rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur
yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu.
Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak
di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa
kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan
tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini,
keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan
rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar
dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-


unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada
ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai
pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga
bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang
bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan
memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan
mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini
juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam
kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal
ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir
semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman
negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat
memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat
perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam
kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi
maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan
meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa


pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi
laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara
kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus
menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua
pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan
mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur
negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi
berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil
yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian
negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan
berinformasi tercapai bagi memudahkan negara
merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya
Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang
berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi
apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya
semakin berkurang.

Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan

You might also like