BAB 5 PERANAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SEBAGAI SALURAN BAGI PENYERAPAN DAN PENERAPAN NILAI

Bahagian pertama bab ini memberikan gambaran umum tentang latar belakang pendidikan nilai di sekolah-sekolah di Singapura dan hubungan antara pengajaran dan pembelajaran bahasa dengan pendidikan nilai dan budaya. Seterusnya, rujukan akan dilakukan terhadap sukatan pelajaran dan bahan-bahan pengajaran bagi mengenal pasti matlamat pendidikan nilai yang terdapat dalam kurikulum Bahasa Melayu. Kajian terperinci akan dilakukan terhadap peranan aspek-aspek peribahasa dan bahan-bahan sastera yang digunakan dalam bahan pengajaran sebagai alat penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni yang diingini. Bahagian ini juga akan membincangkan beberapa masalah yang berkaitan dengan penyaluran dan penerapan nilai-nilai murni melalui pendidikan. Ini diikuti dengan beberapa saranan yang diharapkan dapat menyumbang kearah mempertingkatkan usaha mendidik dan membentuk pelajar-pelajar menjadi insan yang berbudi dan berhemah tinggi.

5.1

Skop dan Objektif Kajian

Pada umumnya, kajian ini membuat penelitian terhadap peribahasa, dan bahan-bahan sastera yang digunakan dalam bahan-bahan pengajaran Bahasa Melayu di peringkat menengah 1-4/5 sejak tahun 1983 sebagai saluran penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni. Bahan-bahan pengajaran ini meliputi buku teks, buku kerja dan buku panduan guru yang diterbitkan oleh MOE. Beberapa rujukan juga akan dilakukan terhadap sukatan pelajaran Bahasa Melayu yang digunakan sejak tahun 1983 hingga tahun 2004 (tahun kajian dijalankan). Jenis-jenis nilai yang terkandung dalam bahan-bahan kajian ini akan diteliti dan dianalisis

126

kesesuaiannya berdasarkan matlamat penyerapan nilai-nilai murni pendidikan di sekolahsekolah menengah di Singapura.

Secara ringkas, kajian ini bertujuan untuk meninjau sejauh mana peribahasa dan bahan-bahan sastera Melayu telah bertindak selaku wadah bagi penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni menerusi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Bentuk atau jenis nilai apakah yang cuba diperkenalkan? Dapatkah bahan-bahan yang diketengahkan memenuhi aspirasi dan matlamat penyerapan nilai-nilai murni pendidikan seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran? Mampukah bahan-bahan ini memberikan model atau contoh-contoh yang boleh diikuti oleh para pelajar? Bagaimanakah nilai-nilai ini diserapkan atau disampaikan bagi memaksimumkan peluang tercapainya hasrat yang diingini? Dengan kata lain, apakah peranan yang dimainkan oleh bahan-bahan ini untuk menjadikan penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu satu kenyataan.

5.2

Definisi dan Fungsi Nilai

Nilai boleh dimengertikan sebagai ‘sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan, dan lain-lainl ).1 Nilai dilihat sebagai ‘sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan dan kesederhanaan’.2 Beberapa orang sarjana seperti Sutan Takdir Alisyahbana, Rokeach, Williams, R., M., Loius Raths, Merrill Harmin, dan Sidney B. Simon memandang nilai sebagai sesuatu yang berupaya mencerminkan perlakuan manusia. Nilai pemikiran adalah sesuatu unsur penting yang mempunyai kuasa penentu bagi bentuk dan corak tindakan dan 1. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, DBP, hlm 930. 2. Jules Henry, disebut dalam Abdul Rahim Abdul Rashid, 1993. Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum, Kuala Lumpur, DBP, hlm 1. 127

perlakuan manusia.3 Ringkasnya, nilai merupakan suatu sistem yang menentukan patut tidaknya tindakan atau kelakuan seseorang. Bolehlah dikatakan nilai ialah satu sistem yang merupakan aspek penting dalam mencorakkan budaya hidup seseorang. Nilai ialah sesuatu yang menjadi garis panduan umum terhadap cara dan gaya bertingkah laku, bertutur, memberikan pandangan, dan mempengaruhi pilihan seseorang. Garis panduan ini menjadi pegangan atau gagasan yang memberikan satu arah kepada kehidupan seseorang atau anggota sesuatu masyarakat.

Nilai yang disampaikan melalui sesuatu kurikulum berfungsi untuk memberikan garis panduan ini kepada para pelajar dalam mencapai kehidupan yang sejahtera. Nilai bertindak untuk mengawal dan mencorakkan pola tingkah laku mengikut apa yang baik dan tidak baik. Tingkah laku dan peribadi yang baik dapat dibentuk dengan penerapan nilai-nilai murni secara berterusan. Seterusnya, dengan berpandukan nilai-nilai murni ini, seseorang pelajar lebih berupaya untuk memahami dunia sosial di sekelilingnya dan ini membantunya untuk menjauhi dan mengatasi gejala sosial dan moral yang dihadapinya dalam kehidupan. Oleh yang demikian, seseorang pelajar itu boleh mengurangkan krisis dalam kehidupan dan hubungannya dengan masyarakat.4

3. Lihat: Raths L, Harmin M., dan Simon S., 1966. Values and Teaching. Ohio, Charles B. Merril: Rokeach, 1973. The Nature od Human Values. Illinois, Free Press: Sutan Takdir Alisjahbana, 1974. Value An Intergrating Force in Personality, Society and Culture, Kuala Lumpur, Universiti Malaya Press: Williams, R., M., 1968. Values dalam Sills, E., (ed), International Encyclopedia of the Social Sciences, New York, Macmillan. 4. Lihat Hillindale Peter, 1986. “Values in the Teaching of English and Drama”, dalam Tomlinson Perter & Quinton Margaret (ed), Values Across the Curriculum, hlm 2950, Great Britain, taylor and Francis (Printers) Ltd.:Liddicoat, Anthony J. and Crozet, Chantal (ed), 2000. Teaching Languages, Teaching Cultures, Melbourne, Applied Linguistics Association of Australia: Sapir Edward, 1961. Culture, Language and Personality, Berkelay, University of California Press: Sufean Hussin, 1995. Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum, edisi kedua, Shah Alam, Fajar Bakti Sdn Bhd. 128

Penghayatan dan pembatinan nilai-nilai murni boleh memberikan panduan kepada seseorang pelajar bagi dirinya dan dalam hubungan kemasyarakatanya. Nilai-nilai murni yang dihayati boleh mempengaruhi sikap, pegangan, prinsip dan falsafah hidupnya. Nilai-nilai yang dipegang merupakan satu kriteria bagi seseorang itu dalam membuat keputusan. Setiap keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan yang melibatkan nilai iaitu berdasarkan apa yang difikirkan baik dari kaca mata atau sistem nilai yang dipegangnya. Tegasnya, seseorang itu dipandu untuk bertindak dan membuat keputusaan dengan bijak berdasarkan nilai-nilai yang diterima oleh masyarakat, negara dan agama.

5.3

Latar Belakang Sejarah Pendidikan Nilai di Singapura

Penyerapan dan penerapan nilai merupakan salah satu ciri penting pendidikan di Singapura sejak Singapura mencapai taraf pemerintahan sendiri. Fungsi pendidikan sebagai wadah bagi membangunkan identiti nasional amat penting terutama bagi sebuah negara yang baharu ketika itu dan mempunyai rakyat yang pelbagai bangsa. Sejak itu, beberapa program pendidikan nilai telah diperkenalkan oleh pemerintah untuk mencapai tujuan ini.

Usaha ini bermula dengan subjek yang dikenal sebagai ‘Tatasusila’ (Ethics) pada tahun 1959. Subjek ini kemudian digantikan oleh pelajaran ‘Sivik’ (Civics) pada tahun 1963 yang ditujukan kepada pelajar-pelajar peringkat menengah bagi pelajar yang berumur antara 13 hingga 16 tahun. Pada tahun 1973 pula, satu subjek rentas disiplin yang berfokus kepada pendidikan nilai diperkenalkan. Subjek yang dikenali sebagai ‘Pendidikan untuk Kehidupan’ (Education for Living) adalah untuk pelajar-pelajar peringkat rendah yang berumur antara 6 hingg 12 tahun. Namun, subjek ini didapati tidak sesuai dan merupakan satu usaha yang agak lemah bagi tujuan pendidikan nilai. Berikutan dengan itu, dua program telah dibina dan

129

dilaksanakan pada awal tahun 1980an: ‘Rakyat yang Baik’ (Good Citizen) bagi peringkat sekolah rendah dan ‘Being and Becoming’5 bagi peringkat sekolah menengah. Tetapi tidak lama selepas dua program ini diperkenalkan, pada tahun 1984, subjek Pengetahuan Agama (Religious Knowledge atau RK) diperkenalkan dan menjadi subjek wajib bagi setiap pelajar menengah atas. Pelajar-pelajar daripada kumpulan etnik yang berlainan dikehendaki memilih subjek ini daripada enam subjek yang telah dikenal pasti iaitu Bible Knowledge, Buddhist Studies, Hindu Studies, Islamic religious Knowledge, Sikh Studies dan Confusion Ethics. Namun, tidak lama selepas itu, MOE mengambil langkah yang mendadak dengan memansuhkan subjek ini sebagai subjek wajib pada tahun 1989. Antara sebab yang diberikan ialah langkah memperkenalkan dan menyokong pendidikan agama di sekolah-sekolah tidak konsisten dengan corak pemerintahan sekular yang diamalkan di Singapura. Subjek ini juga dikatakan berpotensi untuk mengugat keharmonian kaum dan perpaduan negara. ‘RK mempunyai kesan untuk meningkatkan sokongan terhadap agama etnik setiap masyarakat, oleh itu ia mendatangkan ancaman kepada kaharmonian kaum dan perpaduan negara.’6

Dengan pemansuhan RK, ‘ White Paper for Shared Values’ yang telah dibincangkan di parlimen sejak tahun 1988, telah diumumkan pada tahun 1990. Sebanyak lima nilai telah diusulkan bagi menjadi asas pembentukan nilai-nilai yang dikongsi sama oleh rakyat Singapura. Nilai-nilai ini memberikan tumpuan kepada pentingnya mendahulukan keperluan

5. Hanya diajar di peringkat sekolah menengah dalam Bahasa Inggeris. 6. Han Christine, Chew Joy and Tan Jason, 2001. “Singapore: Values Education for Knowledge-Based Economy”, dalam Cummings William K., Tatto Maria Teresa & Hopkins John (eds ), Values Education for Dynamic Societies: Individualsm or Collectivism?, Hong Kong, Comparative Education Research Centre, University of Hong Kong, hlm 268. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘RK had the intended effect of increasing the religious favour of each ethno-religious community, and thus posed a threat to multiracial harmony and national unity’

130

masyarakat daripada keperluan diri dan keluarga sebagai asas yang kukuh bagi sesebuah masyarakat dan negara. Nilai muafakat dalam menyelesaikan masalah dan keharmonian kaum juga diberikan penekanan. Dalam ucapan pembukaan di sidang parlimen ketujuh, Encik Wee Kim Wee (pada masa itu presiden Singapura) mengatakan bahawa ‘Jika kita tidak mahu kehilangan pertalian, kita perlu mengekalkan warisan budaya setiap komuniti kita, dan mempertahankan nilai-nilai umum tertentu yang merangkumi sari pati sebagai rakyat

Singapura. Nilai-nilai teras ini termasuk mendahulukan masyarakat daripada diri, meletakkan keluarga sebagai blok asas masyarakat, menyelesaikan isu-isu yang besar melalui kesepakatan dan bukan pertelingkahan, dan menekankan toleransi dan keharmonian agama dan kaum. Kita perlu mengekalkan idea-dea asas dalam Ideologi Nasional. Kenyataan formal seperti ini akan mengikat kita bersama sebagai rakyat Singapura, dengan kelainan dan nasib kita sendiri. Kita perlu menyemai Ideologi Nasional ini dalam setiap rakyat Singapura, terutamanya rakyat yang muda’.7 Dengan kata lain, nilai-nilai yang merentasi pelbagai kaum ini dilihat sebagai cambah atau mangkin bagi pembentukan identiti Singapura dan bertujuan untuk mengekalkan identiti masyarakat timur dan untuk menanam nilai-nilai dan kepercayaan asas bagi pemupukan dan pembentukan kesedaran nasional di kalangan rakyat Singapura.

Berdasarkan nilai-nilai yang diperkenalkan ini, satu program yang dikenali sebagai ‘Sivik dan Pendidikan Moral’ (Civics and Moral Education) dibina antara tahun 1992-1995 7. Quah Jon S. T. ( ed ), 1990. In Search of Singapore’s National Values, The Institute of Policy studies, Times Academic Press, hlm 2. Tukilan dalam bahasa Inggeris ialah ‘‘ If we are not to lose our bearing, we should preserve the cultural heritage of each of our communities, and uphold certain common values which capture the essense of being a Singaporean. These core values include placing society above self, upholding the family as the basic block of society, resolving major issues through consensus instead of contention, and stressing racial and religious tolerence and harmony. We need to enshrine these fundamental ideas in a National Ideology. Such a formal statement will bond us together as Singaporean, with our Own distinct and destiny. We need to inculcate this National Ideology in all Singaporeans, especially the young.’

131

dan diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Inti pendidikan nilai yang terangkum dalam subjek ini ialah untuk menggalakkan penghayatan terhadap budaya dan agama; menggalak dan meningkatkan semangat kemasyarakatan; meningkatkan kehidupan berkeluarga; menyemai hubungan interpersonal dan memupuk rakyat agar komited terhadap pembangunan negara. Subjek ini masih dilaksanakan di kedua-dua peringkat, sekolah rendah dan menengah hingga ke hari ini.

Usaha menanam nilai murni di kalangan rakyat khususnya di kalangan para pelajar sekolah tidak berhenti di sini sahaja. Pada bulan May 1997, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong ( pada masa itu Timbalan Perdana Menteri Singapura) telah melancarkan satu inisiatif baharu dalam pendidikan, iaitu Pendidikan Nasional ( National Education atau NE ).8 NE merupakan salah satu daripada tiga inisiatif MOE selain Teknologi Maklumat dan Kemahiran Berfikir. Dalam pelaksanaannya, semua subjek termasuk subjek bahasa ibunda perlu mengandungi komponen NE sekurang-kurangnya 10% daripada keseluruhan masa kurikulum. Komponen ini dibentuk khusus untuk mengajar para pelajar pengetahuan yang dianggap penting bagi penakatan negara pada kurun 21. Tujuan asas komponen ini adalah untuk membina perpaduan nasional, semangat penakatan dan yakin diri terhadap masa depan negara. Pada tahun 1998 pula, MOE memperkenalkan pula Hasil Pendidikan Yang Diingini (Desired Outcome of Education)9. Seperti juga NE, Hasil Pendidikan Yang Diingini ini juga perlu diserapkan dalam pengajaran semua subjek di sekolah-sekolah termasuk Bahasa Melayu.

8. Lihat Ucapan Encik Lee Hsien Long dalam Majlis Perasmian NE pada 17 May 1997, MOE. Perutusan NE yang lengkap ada dicatatkan dalam Bab 5 ini, halaman 152-153. 9. Lihat Laporan tentang Hasil Pendidikan yang Diingini yang diterbitkan oleh MOE pada 1 Januari 2000 dalam lelamannya. Teks penuh Hasil Pendidikan yang Diingini ada dicatatkan dalam Bab 5 ini, halaman 153. 132

Usaha-usaha yang dijalankan selama ini menunjukkan bahawa penyerapan dan penerapan nilai-nilai di kalangan rakyat Singapura mendapat perhatian yang amat mendalam khususnya daripada pihak pemerintah. Keadaaan ini ialah kerana ‘ia (penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni) akan menentukan daya saing nasional kita, dan juga kemakmuran dan penakatan kita sebagai sebuah negara.10

Secara ringkas dapatlah disimpulkan bahawa semua usaha yang dijalankan berkaitan dengan pendidikan nilai di sekolah-sekolah menunjukkan bahawa sistem pendidikan di Singapura memainkan peranan yang penting bagi pembangunan negara sama ada dari segi ekonomi, politik atau sosial. Melalui pendidikan nilai, pemerintah ingin membina identiti nasional, menyemai dan mengekalkan nilai-nilai masyarakat timur seperti jimat cermat, kerja keras dan taat setia, meletakkan keperluan masyarakat melebihi keperluan individu, memastikan kekebalan negara daripada pengaruh luar yang tidak diingini dan meningkatkan keupayaan Singapura untuk menghadapi persaingan ekonomi di persada dunia bagi menjamin penakatannya.

Walaupun demikian, usaha menanam dan menyemai nilai-nilai yang dihajatkan bukanlah satu tugas yang mudah. Para guru sering mengalami konflik yang menjadi hambatan kepada keberhasilan usaha murni ini. Selain faktor masa dan dilema untuk mengimbangi program yang dapat memenuhi tuntutan yang bertentangan, para guru juga

berhadapan dengan para pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga dan juga memegang sistem nilai yang berbeza-beza.11 Oleh itu tidaklah mudah bagi para guru

10. Ibid, hlm 1. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘it will determine our national competitivenes, and hence our prosperity and survival as a nation’. 11. Lihat: Chew, J., 1997. Schooling for Singaporeans: The Interaction of Singapore 133

menerapkan nilai-nilai murni yang dihajati oleh sebab para pelajar tersebut tidak akan mudah menerima apa jua nilai yang dihadapkan kepada mereka khususnya nilai-nilai yang bertentangan dengan sistem nilai yang ada pada mereka. Tugas membentuk para pelajar juga memerlukan para guru untuk memahami proses perkembangan moral dan pemikiran kanakkanak. Pengetahuan ini dapat membantu para guru memilih dan menggunakan pendekatanpendekatan pengajaran yang dapat menyokong tahap perkembangan moral dan pemikiran para pelajar. 12

5.4

Hubungan antara Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa dengan Pendidikan Nilai dan Budaya

Beberapa orang pengkaji seperti Kramsch, Byram dan Edward Sapir berpendapat bahawa sesuatu bahasa itu tidak boleh dipelajari atau diajar kepada para pelajar tanpa mendedahkan para pelajar tersebut kepada budaya dan nilai di mana bahasa tersebut dilahirkan dan digunakan. Satu-satu program bahasa itu akan mengandungi dan melibatkan pelbagai cara yang bertindak untuk membentuk nilai dan kepercayaan para pelajar. Paling tidak, dalam setiap pelajaran bahasa, guru akan menyentuh atau mengetengahkan contohcontoh yang ada kaitan dengan apa yang dipelajari seperti sikap, tindakan dan nilai-nilai Culture and Values in the School, dalam J. Tan, S. Gopinathan and W. K. Ho (eds ), Education in Singapore: A Book of Reading, Singapore, Prentice Hall, hlm 90-91: Pring Richard, 1986. “Aims, Problems and Curriculum Contexts”, dalam Tomlinson Peter & Quinton Margaret (ed ) Values Across the Curriculum, Hlm 181-194, Great Britain, Taylor and Francis (Printers ) Ltd, hlm 182. 12. Lihat: Kohlberg, L., 1973. “The Claim to Moral Adequacy of Higher Stage of Moral Judgement”, dalam The Journal of Philosophy 70, Bil 18: Kohlberg, L., 1982. “Recent Work in Moral Education”, dalam Ward, I.,O., The Ethical Dimension of the School Curriculum, Swansea, Pineridge Press: Piaget, C., 1932. The Moral Judgement of the Child, London, Routledge and Kegan Paul: Sufean Hussin, 1995. Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum, edisi kedua, Shah Alam, Fajar Bakti Sdn Bhd.

134

masyarakat bahasa yang dipelajarinya. Walaupun, hal ini pada satu-satu masa memberikan kesan yang agak kecil, dalam jangka panjang pendedahan ini boleh mempengaruhi pembangunan dan pembentukan para pelajar.

Budaya dalam konteks kajian ini bermaksud ‘keseluruhan cara hidup dari segi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir serta segala hasil kebendaan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban dan kemajuan (akal budi)’.13 Budaya ialah ‘satu set-sistem-- prinsip-prinsip interpretasi, bersama dengan produk sistem tersebut’. 14 Dalam hal ini, budaya boleh dilihat sebagai satu kerangka bagi anggapan, idea dan kepercayaan yang digunakan bagi menginterpretasikan gerak laku dan perkataan seseorang. Budaya merupakan tunjang atau warisan adat dan ini merangkumi kepercayaan, sistem nilai dan tatalaku.

Banyak kajian yang dijalankan terhadap budaya, bahasa dan sosiolinguistik merumuskan bahawa secara tak langsung, pembelajaran sesuatu bahasa melibatkan pendedahan terhadap budaya masyarakat bahasa tersebut. Oleh itu, menurut Kramsch ‘Sesuatu bahasa itu tidak boleh dipelajari tanpa memahami konteks budaya dimana bahasa itu digunakan’.15 Bagi Kramsch kesedaran tentang budaya akan memungkinkan dan membantu pembelajaran dan penguasaan seseorang tentang bahasa yang dipelajari. Dalam

13. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan, Edisis Ketiga, Kuala Lumpur, DBP, hlm 180. 14. Hinkel Eli (ed.), 1999. “Culture in Research and Second Language Pedagogy”, dalam Hinkel Eli (ed ), Culture in Second Language Teaching and Learning, Cambridge, Cambridge University Press, hlm 197. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Culture is a set – perhaps a system- of principles of interpretation, together with the products of that systems.’ 15. Disebut dalam Hinkel Eli (ed.), 1999. “Culture in Research and Second Language Pedagogy”, dalam Hinkel Eli (ed ), Culture in Second Language Teaching and Learning, Cambridge, Cambridge University Press, hlm 6. Tukilan asal dalam bahasa 135

mempelajari budaya sesebuah masyarakat kita berpeluang dan berupaya untuk mempelajari tentang interaksi sosial dan bahasa tulisan dan bahasa pengucapan masyarakat tersebut. Oleh yang demikian, beliau berpendapat bahawa ‘Budaya dan bahasa tidak boleh dipisahkan dan membentuk satu alam semesta atau satu bidang pengalaman’.16

Hubungan erat kedua-dua aspek ini disokong oleh Byram yang mengatakan bahawa pengajaran bahasa tidak mungkin berlaku tanpa melibatkan pendedahan budaya penutur bahasa tersebut kerana baginya ‘bahasa selalunya merujuk pengetahuan dan persepsi mereka tentang dunia, konsep dan pembelajaran budaya. Kecekapan berkomunikasi melibatkan penggunaan bahasa yang betul dimana sekurang-kurangnya ia melibatkan aspek budaya yang khusus.’17 Ini bermakna pembelajaran sesuatu bahasa itu akan melibatkan antara lain pendedahan terhadap sistem pengucapan dan sistem makna sebagaimana yang diamalkan dan diterima pakai oleh masyarakat penutur bahasa tersebut, juga pengetahuan dan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara berdasarkan sistem budaya mereka. Begitu juga sebaliknya, pembelajaran sesuatu budaya termasuk nilai dan pandangan masyarakat penutur bahasa itu, melibatkan pendedahan terhadap struktur dan sistem bahasa masyarakat berkenaan. Ini kerana, ‘sifat sesuatu bahasa itu mempunyai perhubungan rapat dengan cara hidup masyarakat yang menuturkanya. Jika sesuatu masyarakat itu bersifat pertanian, maka kata-kata dan ungkapannya menggambarkan cara hidup pertanian; jika masyarakat itu cenderung kepada

Inggeris ialah ‘a language cannot be learned without an understanding of the cultural context in which it is used’. 16. Ibid., hlm 6. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Culture and language are inseperable and constitute a single universe or domain of experience’. 17. Byram, M., 1989. Cultural Studies in Foreign Language Education, Clevedon, United Kingdom, Multilingual Matters, hlm 16. Tukilan dalam bahasa Inggeris ialah ‘language invariably refers to their knowledge and perceptions of the world, the concepts of culture, and culture learning. Communicative competence involves appropriate language use which, in part at least, is cultural specific’. 136

perniagaan, corak bahasanya juga condong ke arah perniagaan, dengan istilah-istilah dan bunga bahasa yang berkait rapat dengan aspek-aspek perniagaan’.18

Edward Sapir menyimpulkan bahawa bahasa dan budaya seseorang penutur itu tidak boleh dianalisis secara berasingan. Baginya ‘Bahasa boleh dilihat sebagai satu cara untuk menerangkan atau mewakili pengalaman dan pemahaman seseorang tentang dunia, dan anggota masyarakat bahasa itu berkongsi kepercayaan dan anggapan yang mendasari taksiran mereka tentang dunia. Taksiran tersebut, dilihat sebagai fenomena yang mempunyai objektif , kepercayaan dan sejarah disampaikan melalui bahasa, dengan demikian ia mewujudkan hubungan antara bahasa dan budaya sesebuah masyarakat itu’.19

Dalam hal ini bahasa dikaitkan dengan budaya kerana bahasa dilihat sebagai wadah bagi penerangan dan penyaluran pengalaman dan pemahaman seseorang tentang alam sekelilingnya berdasarkan sistem nilai dan kepercayaan yang dikongsi sama dengan anggota masyarakat yang lain. Tugas bahasa yang khusus ini membentuk hubungannya dengan budaya masyarakat di mana bahasa itu lahir dan dituturkan.

Dengan kata lain , bahasa dan aspek-aspek lain yang ada hubungan dengan budaya para penutur bahasa tersebut merupakan dua entiti yang saling berkaitan. Hubungan antara 18. Nik Safiah Karim, 1981. Beberapa Persoalan Sosiolonguistik Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, DBP, hlm 39. 19. Sapir Edward, 1961. Culture, Language, and Personality, Berkeley, University of California Press, hlm 11. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Language can be seen as a way to describe and represent human experience and understanding of the worlds, and members of a language community share systems of beliefs and assumption which underlie their constructions of the world. These constructions, views of objective phenomena, beliefs and histories are communicated through language, thus establishing a connection between language and the culture of a community’ . 137

bahasa dengan budaya ada diterangkan oleh Asmah Haji Omar. Menurut beliau, ‘ …telah menjadi fakta yang sudah lama diketahui bahawa bahasa adalah indeks bagi budaya. Ini bermaksud yang bahasa mencerminkan budaya para penuturnya, cara hidup mereka dan juga persekitaran fizikal serta sosial mereka’.20 Pernyataan ini menggambarkan bahawa unsurunsur budaya bagi sesuatu bangsa merupakan sebahagian daripada sifat bahasa yang dituturkan oleh bangsa tersebut. Unsur-unsur yang terkandung dalam bahasa sering kali menggambarkan budaya masayarakat yang menggunakan bahasa kerkenaan.

Dalam menghuraikan keeratan hubungan antara bahasa dan budaya, Brown berpendapat, ‘budaya merupakan unsur yang bersifat utuh yang menjadi sebahagian daripada diri kita, dan bahasa – sebagai alat komunikasi anggota sesuatu budaya- merupakan pernyataan yang paling jelas dan yang sedia ada bagi budaya tersebut’.21 Kenyataan ini memberikan penjelasan kepada kita bahawa tiada bahasa yang tidak diwarnai dengan budaya para penutur bahasa tersebut.

Oleh itu pembelajaran sesuatu bahasa tidak boleh tidak akan melibatkan pendedahan dan penyaluran pengetahuan tentang bagaimana sesebuah masyarakat penutur bahasa tersebut bertindak, berfikir, memberikan tindak balas terhadap alam sekeliling mereka dan membuat pilihan. Dengan mempelajari bahasa seseorang itu akan terdedah kepada sistem nilai, kepercayaan, tamadun dan peradaban masyarakat berkenaan.

20. Asmah Haji Omar disebut dalam Zulkifley Hamid, 1997. “Bahasa dan Budaya”, dalam Pelita Bahasa, Jilid 9:4, hlm,26-27, Kuala Lumpur, DBP, hlm 26. 21. Brown, Ibid., 26. 138

5.5

Kurikulum Bahasa Melayu Sebagai Wadah Penyerapan dan Penerapan Nilai-nilai Murni

Dalam konteks pendidikan, kurikulum Bahasa Melayu mempunyai peranan dwifungsi iaitu yang pertama bertujuan untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran bahasa bagi mencapai tahap penguasaan Bahasa Melayu yang diingini dan yang kedua sebagai wadah bagi penyerapan dan penerapan budaya dan nilai-nilai murni. Tugas yang kedua ini amat jelas termaktub dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu yang disediakan oleh MOE pada tahun 1993 dan 2002 kecuali sukatan pelajaran tahun 1982. Sukatan tahun 1982 tidak menyatakan secara terang akan peranan kedua program Bahasa Melayu ini, namun jika diteliti, nilai-nilai murni masyarakat, agama dan negara jelas diserapkan dalam teks-teks yang digunakan. Matlamat program bagi pendidikan nilai yang terdapat dalam sukatan tahun 1993 dan 2002 ini mencatatkan bahawa program yang disediakan bertujuan untuk:

1. ‘membolehkan pelajar menyerapi nilai-nilai murni dan menanam sikap positif terhadap konsep, idea dan gagasan. 2. menghargai dan menghayati unsur-unsur budaya Melayu khususnya dan budayabudaya lain amnya serta menanam atau memupuk kecintaan pada negara’.22

Bagi tujuan penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni ini juga, program Bahasa Melayu dibina berdasarkan tema-tema tertentu yang disarankan dalam sukatan yang merangkumi aspek kehidupan yang luas dan menyeluruh seperti sikap dan perlakuan, tabiattabiat baik, nilai-nilai masyarakat dan sejagat, hak dan tanggungjawab terhadap diri

22. Jabatan Pegembangan dan Pembangunan Kurikulum, MOE,1993 & 2002. Sukatan Pelajaran bagi Sekolah Menengah,Singapura, MOE, hlm 5 dan 9. 139

sendiri, keluarga, rakan, jiran dan negara.23. Selain itu, program ini merangkumi perutusan Pendidikan Nasional dan Hasil Pendidikan yang Diingini yang telah diperkenalkan di sekolahsekolah sejak tahun 1997 dan 1998. Menurut kurikulum, penerapan Pendidikan Nasional dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ini antara lain bertujuan untuk memupuk sikap kecintaan terhadap tanah air, dan mengukuhkan jati diri sebagai rakyat Singapura yang kecintaan mereka tidak berbelah bagi.24 Berikut ialah perutusan Pendidikan Nasional dan Hasil Pendidikan yang Diingini seperti yang termaktub dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

Pendidikan Nasional mengandungi enam perutusan seperti berikut: 1. 2. ‘Singapura adalah tanah air kita; di sini tempat kita. Kita mahu mengekalkan warisan dan cara hidup kita. Kita mesti mengekalkan keharmonian kaum dan agama. Walupun kita terdiri daripada berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, kita mempunyai nasib yang sama. Kita mesti mendukung meritokrasi dan sifat amanah. Ini bermakna peluang bagi semua, mengikut kebolehan dan usaha mereka. Tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap Singapura. Kita mesti mencari jalan sendiri untuk bertahan dan mencapai kemakmuran. Kita sendiri yang mesti mempertahankan Singapura. Tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan kita. Kita mempunyai keyakinan terhadap masa depan kita. Dengan bersatu, berazam dan bersedia, kita akan membina masa depan yang cerah bagi diri kita sendiri’.25

3.

4.

5.

6.

23. Lihat lampiran 5 bagi perincian tema-tema yang disarankan dalan sukatan pelajaran Bahasa melayu tahun 1993 dan 2002. 24. Lihat Jabatan Pegembangan dan Pembangunan Kurikulum, MOE, 2002. Sukatan Pelajaran bagi Sekolah Menengah,Singapura, MOE, hlm 10. 25. Ibid., hlm 10

140

Hasil Pendidikan Yang Diingini mengandungi matlamat-matlamat afektif. Inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan para pelajar mencapai perkara-perkara berikut di akhir pendidikan di sekolah menengah:

1. ‘Mempunyai integriti moral 2. Mengambil berat terhadap orang lain 3. Dapat bekerja dalam kumpulan dan menghargai setiap sumbangan 4. Mempunyai asas yang luas untuk pendidikan lanjutan 5. Yakin dengan kebolehan mereka 6. Menghargai nilai-nilai estetik 7. Mengenali dan yakin terhadap Singapura’.26

Secara ringkas, fungsi kedua program Bahasa Melayu adalah untuk memupuk sikap dan nilai-nilai murni sesuai dengan budaya dan masyarakat pelajar dan dalam konteks negara berbilang bangsa dan budaya di Singapura. Program ini diharapkan dapat membantu pelajar mencapai kemahiran-kemahiran untuk ‘menggunakan fungsi bahasa sebagai alat pembentuk sikap dan nilai; menunjukkan sikap positif terhadap budaya-budaya lain; mengenal pasti dan menghargai nilai-nilai budaya sendiri terutama yang sesuai dengan semua masa dan zaman; mengenal pasti dan menghargai nilai-nilai sejagat seperti keadilan, tanggungjawab dan persamaan; dan memahami peranan bahasa sebagai wahana penerusan budaya’.27

26. Ibid., hlm 96. 27. Ibid., hlm 9. 141

5.5.1 Peribahasa Sebagai Wadah Penyerapan dan Penerapan Nilai

Dalam kurikulum Bahasa Melayu peringkat menengah, peribahasa merupakan salah satu aspek bahasa yang perlu dipelajari oleh pelajar-pelajar semua peringkat dan kursus/aliran. Memang diakui umum bahawa peribahasa sama ada jenis simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah atau bidalan, mempunyai peranan unik dalam mengetengahkan nilai-nilai dan unsurunsur budaya Melayu. Oleh itu, melalui penggunaan peribahasa, kurikulum yang ada cuba menyampaikan tugas keduanya iaitu sebagai wadah penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar.

Mengikut sejarahnya, peribahasa ialah warisan kebudayaan Melayu lama yang diperturunkan dari satu jenerasi ke satu jenerasi secara lisan dan perkembangannya juga banyak berlaku secara lisan. Lama-kelamaan peribahasa dikumpulkan dan dirakamkan dalam bentuk tradisi tulisan sebagai warisan budaya dan bahasa Melayu. Peribahasa merupakan susunan perkataan yang teratur, sedap didengar dan padat maknanya. Peribahasa sama ada jenis simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan atau bidalan dibentuk atau dicipta oleh masyarakat Melayu berdasarkan pandangan, pengalaman dan perbandingan yang teliti terhadap alam sekeliling dan kejadian atau peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Oleh yang demikian, peribahasa merupakan cerminan pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu.

Pendita Zaa’ba mendifinisikan peribahasa Melayu sebagai ‘segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama, oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya; dipakai akan dia jadi sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Maka

142

ialah juga dikatakan bidalan, perumpamaan kerana tiap-tiap satu ini cakap yang mengandungi segala sifat-sifat peribahasa yang telah disebutkan itu’.28

Ciri-ciri yang terdapat dalam peribahasa daripada definisi di atas seperti ‘susunan cakap yang pendek’ dan ‘sedap dan bijak perkataannya’, diperjelas oleh Keris Mas. Beliau mengatakan bahawa ‘gaya percakapan dan ujaran yang berisi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian, yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan serta fikiran’.29

Menurut H. Tenas Effendy, ‘peribahasa mencerminkan kehalusan budi pekerti Melayu, yang selalu mengatakan sesuatu dengan bahasa yang singkat tetapi mengandungi makna yang dalam. Peribahasa juga mencerminkan akal budi Melayu yang santun, yang berusaha untuk mengatakan sesuatu melalui kata-kata yang sopan, halus dan terpuji. Peribahasa juga mencerminkan kearifan Melayu, yang berusaha menyampaikan sesuatu dengan halus dan arif, sehingga tidak menyinggung perasaan atau tidak melukai perasaan orang lain’.30 Selanjutnya, beliau mengatakan bahawa ‘orang tua-tua juga mengatakan bahawa nilai-nilai asas budaya Melayu yang menjadi jati diri, petuah amanah, tunjuk ajar dan sebagainya diwariskan melalui peribahasa, yang mudah diingat dan mudah difahami, serta dapat dijabarkan atau ditakrifkan sesuai dengan perkembangan zaman dan masyarakatnya.

28. Za’ba, 1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur , DBP, Kementerian Pelajaran, hlm 165. 29. Keris Mas disebut dalam Kamaruzzaman A. Kadir (Dharmawijaya), 2002. Jauhari Juga yang Mengenali Manikam – Peribahasa Melayu: Apresiasi dan Aplikasi Estetikanya, kertas kerja dalam ceramah sempena Bulan Bahasa 2002 anjuran PGBM, Singapura , hlm 2. 30. Tenas Effendy disebut dalam Mohd Gani Ahmad, 2003. Peribahasa Menjana Minda, Singapura, S-One Consultant Pte Ltd, hlm 9. 143

Kerananya, peribahasa tetap hidup dan dapat disesuaikan dengan perubahan zaman, sepanjang para pewarisnya mampu menerjemahkan dengan pemahaman yang benar dan arif’.31

Jika dilihat dari segi isi, ‘Peribahasa merupakan nasihat atau aturan tingkah laku yang mengandungi nilai. Tingkah laku ini mempunyai aturan dan menyangkut juga laranganlarangan. Tingkah laku ini menggambarkan pula hubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan hidup, manusia dengan karya, manusia dengan waktu dan manusia dengan alam. Dari segi makna pula, peribahasa mengungkapkan masalah perbandingan, perumpamaan dan prinsip hidup’.32 Jadi, peribahasa menjadi pedoman di dalam tingkah laku apabila anggota masyarakat mahu melaksanakan kegiatan yang berkaitan dengan setiap unsur budayanya.

Jelasnya melalui peribahasa, anggota masyarakat diajak untuk meneroka nilai-nilai murni keMelayuan yang penuh dengan tuntutan baik untuk kehidupan; nilai-nilai yang cintakan kedamaian dan mengajak semua anggota masyarakatnya hidup rukun damai dan saling hormat menghormati agar tidak membawa bencana yang merosakkan kehidupannya dan kehidupan orang lain. Berpandukan nilai-nilai yang terangkum dalam peribahasa ini, masyarakat Melayu menggunakan peribahasa sebagai kiasan, teladan dan pengajaran dalam pembentukan tingkah laku, peribadi dan sikap para anggotanya dan juga dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan aspek kehidupan masyarakat sehari-hari. Setiap peribahasa itu mengandungi maksud yang sama ada terungkap secara tersirat atau tersurat. Anggota masyarakat dididik dan diasuh dengan cara yang halus dan santun. Dalam hal ini, peribahasa

31. Ibid., hlm 9. 32. H. Ahmad Samin Siregar, 2002. “Nilai-nilai Budaya di dalam Peribahasa Melayu Serdang”, dalam Dewan Bahasa, Jilid 2:1, Hlm 36-43, Kuala Lumpur, DBP, hlm 36.

144

digunakan sebagai alat bagi menyemai nilai-nilai murni masyarakat Melayu. Penyaluran dan penerapan nilai-nilai murni ini jugalah yang cuba dihasilkan atau dicapai melalui pengajaran peribahasa dalam program Bahasa Melayu di sekolah-sekolah selain bagi tujuan pengekalan warisan budaya.

Berdasarkan kurikulum yang ada, jumlah peribahasa yang perlu dipelajari berbezabeza mengikut kursus/aliran. Berikut ialah jumlah peribahasa yang perlu dipelajari seperti yang tercatat dalam sukatan pelajaran:

Jadual 15: Jumlah Peribahasa Yang Perlu Dipelajari Jumlah Peribahasa Kursus Normal (Akademik ) Ekpres Khas Sukatan Pelajaran Tahun Penggunaan 1993 128 160 180 Sukatan Pelajaran Tahun Penggunaan 2002 75 100 120

( Sumber: Kementerian Pendidikan Singapura, 1993 dan 2002:62 ) Jadual 15 di atas menunjukkan bahawa jumlah peribahasa yang perlu dipelajari oleh para pelajar berbeza-beza berdasarkan kursus/aliran pelajar tersebut. Umpamanya bagi tahun penggunaan 2002, sukatan pelajaran memperuntukkan sejumlah 75 peribahasa bagi pelajar aliran Normal (Akademik), 100 peribahasa bagi para pelajar aliran Ekspres dan 120 peribahasa bagi pelajar aliran Khas. Jadual 15 ini juga menunjukkan bahawa terdapat pengurangan dari segi jumlah peribahasa yang perlu dipelajari oleh pelajar pelbagai kursus bagi tahun 2002 berbanding tahun 1993. Umpamanya bagi kursus Khas, jumlah peribahasa yang ditetapkan ialah 120 peribahasa bagi tahun 2002 berbanding dengan 180 peribahasa pada

145

tahun 1993. Pengurangan terhadap komponen ini merupakan salah satu usaha untuk memberikan laluan kepada penerapan tiga inisiatif MOE ketika itu iaitu Pendidikan Nasional, Kemahiran Berfikir dan Teklologi Maklumat.33 Bagi sukatan pelajaran tahun 1982, jumlah peribahasa yang perlu dipelajari oleh pelajar pelbagai kursus/aliran tidak dinyatakan. Namun sukatan pelajaran menyarankan sejumlah 160 peribahasa bagi peringkat menengah 1-4/5 perlu dipelajari. Ini dapat diandaikan bahawa semua pelajar akan mempelajari jumlah peribahasa yang sama tidak kira sama ada mereka daripada kursus Khas, Ekspres atau Normal (Akademik ). Begitu juga, bagi kesemua sukatan pelajaran iaitu bagi tahun 1982, 1993 dan 2002, tiada catatan atau garis panduan yang diberikan bagi pembelajaran peribahasa untuk para pelajar kursus Normal (Teknikal ). Tanggapan yang boleh diambil ialah para pelajar Normal (Teknikal ) tidak perlu mempelajari peribahasa. Tiada sebarang kenyataan yang terang yang tercatat dalam sukatan pelajaran bagi menerangkan pengecualian ini. Namun dapat difahami bahawa pendekatan yang diambil ini berdasarkan andaian bahawa pelajarpelajar Normal (Teknikal) yang memang agak lemah penguasaan bahasanya tidak berupaya untuk mempelajari peribahasa Melayu. Juga, pendekatan ini mungkin satu cara untuk tidak membebankan para pelajar ini dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Ini bermakna kumpulan pelajar ini berada dalam kedudukan yang kurang mendapat faedah (disadvantage) berbanding dengan rakan-rakan mereka dalam kursus/aliran lain di peringkat menengah. Mereka tidak berpeluang untuk mengenal dan mempelajari peribahasa Melayu dan mempelajari nilai-nilai murni masyarakat mereka seperti mana yang cuba diajarkan melalui peribahasa. Jika pelajarpelajar ini didedahkan kepada nilai-nilai yang terdapat dalam peribahasa, besar kemungkinan mereka boleh didorong untuk lebih bermotivasi atau paling tidak didedahkan kepada nilainilai kerja keras, semangat kekumpulan, sikap tidak putus asa, berdikari dan sikap berani mencuba. Walaupun demikian, buku teks bagi pelajar Normal (Teknikal) yang diterbitkan 33. Lihat Sukatan Pelajaran bagi tahun penggunaan 2002, hlm 62 bagi penerangan tentang pengurangan jumlah peribahasa yang diajar. 146

berdasarkan sukatan pelajaran 2002 sudah memberikan sedikit tumpuan dalam hal ini, walaupun pendedahannya hanya tertumpu kepada simpulan bahasa sahaja.

Penggunaan peribahasa sebagai wadah bagi penyerapan dan penerapan nilai amat dipersetujui oleh pengkaji. Tetapi, berdasarkan penelitian pengkaji terhadap sukatan pelajaran yang disediakan, kurikulum yang ada tidak menyenaraikan nilai-nilai yang hendak disampaikan melalui pengajaran dan pembelajaran peribahasa ini. Kurikulum yang ada hanya menyenaraikan peribahasa dan jumlah peribahasa yang perlu dipelajari oleh para pelajar bagi setiap peringkat dan aliran/kursus. Jadi penyerapan dan penerapan nilai yang disasarkan oleh kurikulum tidak dijelaskan bagi panduan para guru. Hal ini sudah tentu mempengaruhi cara dan pendekatan yang digunakan oleh para guru dalam pengajaran mereka dan seterusnya mempengaruhi hasilan yang diingini. Oleh itu, kurikulum yang ada haruslah mengemukakan nilai-nilai yang hendak diserapkan dan diterapkan dengan jelas dan boleh menjadi panduan atau bimbingan kepada para pendidik.

Berdasarkan hasil penelitian dan kajian yang dijalankan oleh pengkaji terhadap peribahasa yang disarankan dalam kurikulum, pengkaji dapat merumuskan bahawa secara umum peribahasa yang disarankan dalam kurikulum Bahasa Melayu cuba menyampaikan nilai-nilai yang boleh digolongkan kepada tiga jenis. Pertama, nilai budaya yang baik dan yang harus dipegang oleh setiap anggota masyarakat bagi kesejahteraan hidup. Antara contohnya ialah peribahasa yang menggambarkan hubungan sesama manusia seperti yang terdapat dalam peribahasa yang berikut:

Sedencing bagai besi, seciap bagai ayam. (Mengerjakan sesuatu bersama-sama, baik ringan mahupun berat.)

147

Air yang dingin juga yang dapat memadami api. (Perkataan yang lembut juga yang dapat mendinginkan hati orang yang sedang marah.)

Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. (Berhati-hati semasa bercakap dengan orang kerana percakapan yang sembarangan boleh membawa akibat yang buruk.)

Peribahasa di atas yang dikemukakan dalam kurikulum ini menggambarkan perlunya kerjasama dan hubungan yang baik dalam sesebuah kumpulan, keluarga, masyarakat dan negara. Hal inilah yang menguatkan kesatuan dan persatuan masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian dan seterusnya mengarah kepada keharmonian dan perpaduan hidup yang diingini. Contoh lain tentang nilai baik yang harus dipegang juga terdapat dalam peribahasa yang berikut:

Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam. (Seseorang yang bodoh sekalipun, jika diajar betul-betul akan menjadi pandai.)

Ringan tulang, berat perut. (Jika rajin dan tekun berusaha melakukan pekerjaan, maka akan murahlah rezekinya.)

Sehari selembar benang lama-lama jadi kain. (Sesuatu kerja yang dibuat dengan tekun dan sabar akhirnya akan selesai.)

Melalui peribahasa di atas, para pelajar diajar agar jangan putus asa, sentiasa berusaha dan sabar untuk mencapai kejayaan. Mereka juga didedahkan kepada sifat berhati-hati supaya apa jua yang dilakukan akan membuahkan hasil yang dihajatkan.

148

Kedua, melalui peribahasa, kurikulum juga mengetengahkan nilai yang tidak patut dipegang. Nilai sedemikian haruslah digunakan sebagai tauladan atau sesuatu yang patut dihindari agar anggota masyarakat tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sistem nilai masyarakatnya yang akhirnya membawa kerugian bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada keluarga dan anggota masyarakat yang lain. Kurikulum mengetengahkan peribahasa yang mengandungi nilai tersebut seperti:

Umpama air digenggam tiada tiris. (Orang yang sangat kikir atau bakhil tidak sedikit terbuka tangannya untuk menolong orang yang hidup sengsara.) • Melepaskan batuk di tangga (Membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh.) • Ayam terlepas tangan berbau tahi. (Orang yang membuat pekerjaan yang ditegah, akhirnya mendapat malu.) • Menconteng arang di muka. (Melakukan sesuatu pekerjaan yang boleh memberi aib atau mencemarkan nama baik ibu bapa atau keluarga.)

Nilai seperti yang digambarkan dalam contoh peribahasa yang dikemukakan dalam kurikulum ini tidak harus dipegang kerana menunjukkan perlakuan manusia yang tidak baik. Orang yang melakukan perlakuan seperti itu dianggap tidak mempunyai pertimbangan dan kebijaksana dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga perlakuan seperi itu mendatangkan kerugian kepada dirinya dan juga orang-orang sekelilingnya. Oleh itu para pelajar dididik agar tidak menunjukkan perlakuan seperti itu.

149

Ketiga, kurikulum juga mengetengahkan nilai budaya yang bersifat universal dan umum yang boleh digunakan untuk mengetahui kegiatan dan kebiasaan manusia yang bersifat umum dan lumrah berlaku. Dalam hal ini, peribahasa yang disampaikan dalam kurikulum ini diharapkan boleh bertindak untuk memberikan pengetahuan dan informasi kepada pelajar tentang pelbagai tingkah laku manusia yang akhirnya dengan tidak secara langsung diharapkan dapat membentuk sikap dan peribadi mereka. Contoh peribahasa seperti yang termuat dalam kurikulum yang ada ialah:

Seperti anak kehilangan ibu. (Sekumpulan orang yang tidak tentu arah atau berpecah-belah akibat kehilangan pemimpin atau tempat tumpuan dan penghargaan.)

Besar periuk besar keraknya. (Orang yang berpendapatan besar, besar juga perbelanjaannya )

Laut mana yang tidak ditimpa hujan. (Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.)

Setelah meneliti dan memperincikan peribahasa yang disarankan dalam kurikulum secara lanjut, pengkaji mendapati bahawa peribahasa yang disarankan dalam kurikulum Bahasa Melayu menengah ini cuba mengenegahkan nilai-nilai murni yang dirasakan perlu bagi pembangunan individu, masyarakat dan negara terutamanya dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Singapura, walau pun nilai-nilai ini tidak dinyatakan dengan jelas dalam kurikulum Bahasa Melayu yang ada.

Seterusnya, berdasarkan gambaran umum tentang tiga jenis peribahasa yang diketengahkan, pengkaji memperincikan jenis-jenis nilai murni tersebut kepada beberapa

150

kumpulan nilai berikut dan memberikan penerangan ringkas mengenai setiap kumpulan nilai itu diikuti oleh contoh peribahasa yang terdapat dalam kurikulum:

1. Berdikari dan bekerja keras Nilai berdikari dan bekerja keras merupakan salah satu tunjang bagi kejayaan. Seseorang yang mahu berusaha itu, tidak hanya mengharapkan bantuan orang lain, terutama untuk mencapai cita-cita atau kejayaan. Orang-orang yang berdikari mempunyai daya usaha dan azam yang kuat walaupun menghadapi kesukaran dan cabaran. Bersungguh-sungguh dalam menjalankan apa juga pekerjaan akan meletakkan kita sebagai warga yang berdaya maju dan berdaya saing. Hanya orang yang mempunyai kekuatan untuk berdaya maju dan berdaya saing akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain. Nilai-nilai ini disampaikan melalui peribahasa:

• • • •

Naik tangga dari bawah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu daleh. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh dapat sagunya. Ditumbuk, dikisar barulah lumat.

2.

Muafakat dan kerjasama Nilai ini amat perlu bagi pembangunan dan perpaduan sesebuah masyarakat, bangsa dan negara khususnya negara berbilang kaum seperti Singapura. Sesuatu perkara yang hendak dilakukan atau sesuatu keputusan itu terutama yang menyangkut maslahat masyarakat dan negara perlulah dibincangkan dan difikirkan bersama terlebih dahulu. Mereka juga digalakkan untuk bantu-membantu dan

151

bersedia untuk melalui kepayahan dan cabaran dan kejayaan bersama-sama. Nilainilai murni ini boleh dilihat dalam peribahasa yang berikut: • • • • 3. Bahu-membahu. Bagai aur dengan tebing. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Bulat air oleh pembetung, bulat kata oleh muafakat. Budi pekerti yang mulia atau berhemah tinggi Amalan berbudi amat penting dijadikan budaya dalam kehidupan kita. Hidup tanpa berbudi pekerti yang mulia menjadikan kita orang-orang yang tidak berhemah. Orang-orang yang tidak berhemah itu adalah orang-orang yang rendah martabatnya sebagai ahli sesebuah masyarakat. Sebaliknya, orang yang mempunyai budi pekerti yang mulia biasanya bersopan santun dan berbudi bahasa. Dia tidak sombong atau angkuh sebaliknya dia sentiasa merendahkan diri walaupun dia dikurniakan dengan pelbagai kelebihan. Dia juga pandai menyesuaikan diri apabila bergaul dengan orang-orang di sekelilingnya. Budi pekerti yang mulai ini disampaikan melalui peribahasa berikut: • • • • • Halus bahasa Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati. Baik membawa resmi ayam betina. Jika ular menyusur akar tiada akan hilang bisanya. Seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi. • Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

152

4.

Taat setia dan cintakan tanah air Nilai patriotisme atau rasa cinta akan negara amat penting bagi kesetabilan, perpaduan dan kedaulatan sesebuah negara. Seseorang yang taat setia dan cintakan tanah airnya yakin terhadap negaranya dan sanggup berkorban untuk melindungi kedaulatan dan maruah bangsa dan negara. Orang yang demikian ini sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan di mana dia tinggal. Contoh peribahasa yang mengandungi nilai ini ialah:

• • •

Biar putih tulang jangan putih mata. Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

5.

Berkasih sayang dan hormat-menghormati Berkasih sayang dan hormat-menghormati merupakan asas bagi menuju kepada kehidupan yang lebih bahagia dan harmoni. Berkasih sayang dan hormat-menghormati amat perlu bagi membina keluarga yang bahagia dan utuh. Begitu juga, setiap orang hendaklah saling menyayangi, menghormati dan mengambil berat terhadap orang lain tanpa mengira bangsa, agama, keturunan atau hartanya. Setiap anggota masyarakat dan negara berhak mendapat kasih sayang dan dihormati. Jika nilai ini dapat ditanam, anggota masyarakat akan menjadi orang-orang yang lebih ihsan dan lebih bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan. Dia juga akan lebih terlindung daripada melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan perselisihan dan merosakkan hubungan sesama insan. Contoh peribahasa yang mengajar nilainilai ini seperti:

153

• • •

Seperti labah-labah cinta akan telurnya. Quran buruk. Ditatang bagai minyak yang penuh.

6.

Hidup bermasyarakat Apabila seseorang hidup dalam masyarakat, dia hendaklah mengamalkan sikap dan menjalankan kegiatan yang sesuai dengan sistem nilai dan diterima oleh masyarakat. Seseorang itu juga haruslah menyesuaikan dirinya dengan keadaan dan adat resam masyarakatnya. Nilai hidup bermasyarakat ini juga memerlukan seseorang itu untuk berbuat baik, bertolak ansur dan bekerjasama atau dapat bekerja dalam kumpulan dan menghargai sumbangan anggota masyarakat yang lain. Nilai ini terkandung dalam peribahasa ini:

• • • • •

Hidup kayu berbuah, hidup manusia berjasa. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ambil patinya, buangkan hampasnya. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.

7.

Bertindak dengan rasional Anggota masyarakat sentiasa diingatkan agar mengutamakan pemikiran waras dan tenang semasa melakukan sesuatu tindakan dan jangan mengikut hawa nafsu dan perasaan semata. Ini juga bermakna setiap anggota masyarakat perlu menggunakan kebijaksaan, pertimbangan, pemikiran yang kritis dan kesabaran agar sebarang tindakan atau perbuatan yang dilakukan tidak mendatangkan

154

bencana, kerugian dan akibat yang negatif yang boleh merosakkan dirinya dan orang lain. Nilai-nilai yang dimaksudkan ini terhimpun dalam contoh peribahasa yang berikut:

• • •

Air tenang jangan disangka tiada buaya. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga Seperti manarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

8.

Berlaku adil dan jujur Ini bermakna dalam setiap perlakuan dan tindakan, seseorang itu hendaklah berlaku adil dan tidak berat sebelah umpamanya ketika membuat keputusan. Keputusan yang diambil hendaklah berpihak kepada yang benar dan setiap kesalahan dikenakan hukuman yang sewajarnya. Dalam melakukan keadilan, seseorang pula perlu bersikap jujur, ikhlas dan amanah. Orang yang jujur juga menepati janji yang dibuatnya dan menjaga kepercayaan yang diberikan kepadanya. Nilai-nilai ini dapat dilihat dalam contoh peribahasa yang berikut:

• •

Jika kerbau dipegang talinya, jika manusia dipegang janjinya Memegang kerbau pada talinya, memegang manusia pada katanya.

• •

Tangan mencencang, bahu memikul. Berani kerana benar, takut kerana salah.

155

9.

Nilai kekeluargaan Hubungan kekeluargaan amatlah dipentingkan dalam masyarakat Melayu. Keutuhan unit keluarga bukan sahaja dapat menjamin keutuhan masyarakat tetapi juga negara. Keluarga yang baik akan menghasilkan keturunan yang baik dan seterusnya menjamin mutu hidup masyarakat dan negara. Nilai-nilai kekeluargaan ini terkandung dalam contoh peribahasa yang berikut: • • • Air dicincang tiada putus. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Biduk lalu kaimbang bertaut.

10.

Jimat cermat Sikap jimat cermat ialah satu sikap yang terpuji dan perlu dimiliki oleh setiap anggota masyarakat. Dengan berjimat cermat bermakna kita melakukan perancangan bagi menjamin masa depan kita. Sikap berjimat cermat ini bukan sahaja dalam bentuk material tetapi juga merangkumi tutur kata dan perlakuan kita. Nilai yang demikian ini terdapat dalam contoh peribahasa yang berikut: • • • • Berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Cermat masa banyak, jimat masa kecil.

Secara ringkas, nilai-nilai yang cuba diterapkan melalui pembelajaran peribahasa ini menyentuh, walaupun tidak menyeluruh, nilai-nilai masyarakat Melayu, dan menyokong perutusan dalam Pendidikan Nasional dan Hasil Pendidikan yang Diingini yang juga mengandungi nilai-nilai seperti yakin diri, bertanggungjawab, cintakan keluarga, masyarakat

156

dan negara, rajin berusaha, bekerja dalam kumpulan dan mengambil berat terhadap orang lain. Dengan menggunakan ungkapan yang pendek, bernas dan tepat, peribahasa dapat memberikan makna dan nilai yang padat. Makna dan nilai yang disampaikan itu dapat dijadikan pengajaran kepada para pelajar bagi membina jati diri yang lebih meyakinkan dan seterusnya menjadi anggota masyarakat yang berbudi dan berhemah tinggi.

Namun, sejauh manakah nilai-nilai ini dapat disampaikan dan diterapkan secara berkesan? Apakah penilaian yang digunakan untuk memastikan keberkesanan matlamat penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni ini? Persoalan inilah yang akan dikupas dalam perenggan yang seterusnya.

Berdasarkan reka bentuk bahan pengajaran dan pembelajaran peribahasa seperti yang terdapat dalam program Bahasa Melayu bagi sekolah menengah, penyerapan nilai dan penerapannya dijalankan secara tidak langsung. Para pelajar akan diperkenalkan kepada sejumlah peribahasa yang sudah ditetapkan bagi setiap peringkat dengan memberikan penekanan terhadap maksud peribahasa yang diperkenalkan. Buku panduan guru yang disediakan pula, tidak mencatatkan jumlah masa pengajaran tertentu yang diperuntukkan bagi pengajaran dan pembelajaran peribahasa. Aspek peribahasa ini pula terangkum di bawah komponen tatabahasa. Buku panduan guru yang disediakan bagi para guru juga tidak menyatakan jenis nilai murni yang perlu ditekankan dan disalurkan oleh para guru apabila mengajar sesuatu peribahasa itu. Dapatlah dibayangkan bahawa pengajaran peribahasa ini lebih tertumpu kepada pengajaran dari segi maksudnya tanpa penekanan yang sewajarnya kepada nilai yang hendak disampaikan. Jadi persoalan sama ada pengajaran dan pembelajaran peribahasa telah menyalurkan dan menerapkan nilai-nilai murni yang dihajati masih diragukan. Penyaluran dan penyerapan nilai-nilai ini akan lebih berkesan sekiranya kurikulum

157

yang ada memberikan panduan yang jelas kepada para guru yang bertindak sebagai agen penting dalam usaha menanam nilai-nilai murni yang diingini dalam kalangan para pelajar.

Penelitian yang dilakukan terhadap pembelajaran peribahasa di sekolah menengah ini, menunjukkan selain mengetahui peribahasa dan maksudnya, para pelajar juga dikehendaki untuk mengetahui penggunaannya dalam ayat atau sesuatu wacana yang diberikan. Latihanlatihan yang dimuatkan dalam kurikulum berfokus kepada maksud peribahasa tadi melalui latihan memadankan peribahasa dengan maksud dan penggunaannya dalam ayat atau teks. Tidak ada soalan, aktiviti atau perbincangan susulan yang meninjau atau menyentuk tentang soal nilai murni yang tersurat atau yang tersirat yang terdapat dalam peribahasa yang dipelajari. Jadi penekanan dari segi pengajaran dan pembelajarannya lebih tertumpu kepada memperkenalkan peribahasa dan maksudnya kepada para pelajar dan kurang penekanan yang diberikan kepada pendidikan nilai yang terkandung dalam peribahasa tersebut. Dengan yang demikian, setakat ini keberkesanan penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam peribahasa Melayu ini melalui program Bahasa Melayu di sekolah-sekolah belum dapat dipastikan.

Begitu juga, penelitian pengkaji terhadap sukatan pelajaran yang ada mendapati bahawa asas pemilihan peribahasa seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tidak jelas. Ini kerana sukatan yang ada tidak mengenal pasti dan menyenaraikan nilai-nilai murni yang hendak disampaikan dengan terang dan jelas yang boleh menjadi panduan dan asas pemilihan peribahasa yang disarankan. Ketiadaan senarai ini menggambarkan bahawa pemilihan peribahasa yang diajar dilakukan secara rawak. Sekiranya pengenalpastian nilainilai ini dapat dilaksanakan terlebih dahulu, pemilihan peribahasa akan lebih sistematik dan dapat mengelakkan perulangan peribahasa yang mempunyai nilai yang sama atau hampir

158

sama.34 Pemilihan yang lebih sistematik juga dapat memberikan tumpuan dan penekanan yang sama rata terhadap nilai-nilai murni yang telah dikenal pasti. Dengan ruang dan masa pengajaran yang terhad, pemilihan peribahasa yang hendak diajar perlulah dilakukan secara berhati-hati agar peluang menyampaikan nilai-nilai murni boleh dimaksimumkan dan dengan sebaik mungkin.

5.5.2 Bahan Sastera Sebagai Wadah Penyerapan dan Penerapan Nilai

Selain peribahasa, program Bahasa Melayu memuatkan bahan-bahan sastera sebagai wadah bagi mengajar bahasa, memperkenalkan dan mengekalkan warisan budaya dan juga sekali gus menyerapkan dan menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam bahan sastera. Bahan sastera yang dimaksudkan ialah seperti pantun, gurindam, syair, sajak, prosa klasik dan moden.

Bahagian ini akan meneliti beberapa contoh bahan sastera yang digunakan untuk mengenal pasti nilai murni yang hendak disampaikan, model atau tokoh-tokoh yang ditonjolkan dan keberkesanan peranan model atau tokoh-tokoh ini dalam penyaluran dan penerapan nilai-nilai yang dihajati. Bahan-bahan yang akan diteliti ialah gurindam, pantun, prosa klasik dan prosa moden. Penelitian terhadap keempat-empat bahan ini didapati sudah dapat mewakili bahan-bahan sastera yang digunakan dalam kurikulum dan cukup untuk memberikan gambaran umum mengenai tujuan utama penggunaannya khususnya dalam penyerapan dan penerapan nilai. Jadi penelitian terhadap kesemua jenis bahan sastera yang digunakan tidak akan dilakukan. 34. Lihat daftar peribahasa yang terdapat dalam ketiga-tiga sukatan pelajaran yang dikaji: hlm 41-54 bagi sukatan pelajaran tahun penggunaan 1983, hlm 64-81 bagi sukatan pelajaran tahun penggunaan 1993 dan hlm 64-76 bagi sukatan pelajaran tahun penggunaan 2002. 159

5.5.2.1

Gurindam

Gurindam sering dijadikan contoh bagi memperkenalkan puisi klasik kepada para pelajar sekolah menengah. Selain bentuknya yang tersendiri, gurindam mengandungi maksud yang padat dan nilai-nilai murni yang sesuai diketengahkan kepada para pelajar. Menurut Za’aba, gurindam ialah ‘suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatnya, atau rangkapnya, isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian’.35 Berdasarkan penyelidikan pengkaji, hanya Gurindam 12 yang termuat dalam ketiga-ketiga pakej MOE yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu pakej Intisari Bahasa, pakej Pancaran Bahasa dan pakej Jendela Bahasa.

Gurindam 12 merupakan salah satu hasil puisi Raja Ali Haji yang terkenal selain Syair Abdul Muluk. Gurindam ini mengandungi nilai-nilai murni dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh manusia seperti perlunya pegangan agama yang kukuh, memelihara anggota badan dan hati, hidup bermasyarakat, menghormati orang tua, sikap muafakat, berbuat baik dan berjasa, berbudi bahasa dan berhemah tinggi. Sebagai contoh, cuba teliti rangkap dalam pasal kedua dan ketiga daripada Gurindam 12 ini.

Fasal kedua: Apabila terpelihara mata, Sedikit cita-cita. Apabila terpelihara kuping, Khabar yang jahat tidaklah damping. Bersungguh-sungguh engkau memeliharanya, Tangan daripada segala berat ringan. 35. Za’ba, 1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur , DBP, Kementerian Pelajaran, hlm 242. 160

Apabila perut terlalu penuh, Keluarlah fiil yang tiada senonoh. Fasal ketiga: Hati itu kerajaan di dalam tubuh, Jikalau zalim segala anggota pun roboh. Apabila dengki telah bernanah, Datanglah daripadanya beberapa anak panah. Mengumpat dan memuji hendaklah fikir, Di situlah banyak orang yang tergelincir. Pekerjaan marah jangan dibela, Nanti hilang akal di kepala. Jika sedikit pun berbuat bohong, Boleh diumpamakan mulutnya pekong. ( Sumber: MOE 1986: 95 ) Fasal kedua dan ketiga Gurindam 12 ini memperkatakan tentang diri dan cara-cara bagaimana manusia boleh menjaga diri daripada terjerumus ke lembah kejahatan. Menurut Raja Ali Haji, sekiranya manusia boleh menjaga anggota badannya seperti mata, telinga, tangan dan lidah, maka manusia boleh terhindar daripada perbuatan jahat. Antara bahagian anggota tubuh yang disentuh ialah hati yang merupakan bahagian terpenting dalam tubuh manusia. Manusia menurutnya lagi, perlulah menjaga hatinya agar sentiasa bersikap baik. Jika hati manusia itu tidak dijaga dan menjadi rosak, maka akan rosaklah segala anggota badan yang lain. Begitu juga manusia mestilah membuang perbuatan keji dalam dirinya seperti perasaan marah kerana sikap ini boleh mendorong kepada perbuatan keji dan boleh menghilangkan kewarasan akal dalam membuat keputusan dan melakukan tindakan.

Pengkaji bersetuju bahawa Gurindam 12 yang sarat dengan pengajaran ini amat baik dijadikan wadah bagi menyalurkan nilai-nilai murni ini. Tetapi, keberkesanan penyaluran ini

161

bergantung kepada kecekapan dan kebijaksanaan para guru untuk mentakrif dan mencungkil setiap nilai yang terkandung dalam gurindam ini dan disampaikann secara berkesan pula dalam bilik darjah dengan contoh-contoh yang boleh meyakinkan. Malangnya kajian yang dijalankan terhadap kurikulum mendapati bahawa Gurindam 12 yang tersaji dalam buku teks Bahasa Melayu tidak dikupas isinya secara terperinci. Juga tidak terdapat penerangan yang boleh dijadikan panduan sama ada oleh para guru atau para pelajar tentang isi dan pengajaran yang boleh diraih daripada gurindam yang dipelajari. Sukatan pelajaran dan buku panduan guru juga tidak memberikan contoh-contoh pengajaran atau pendekatan yang boleh digunakan oleh para guru dalam pengajaran gurindam. Selain itu para guru tidak diberikan panduan atau saranan tentang bahan-bahan bacaan lain yang boleh dijadikan rujukan. Keadaan ini mengandaikan bahawa setiap guru yang mengajar haruslah sudah berupaya untuk menangani hal ini dalam pengajaran mereka. Andaian serupa ini kurang tepat, kerana sukatan pelajaran dan bahan pengajaran haruslah memberikan panduan yang jelas dan cukup untuk dijadikan contoh oleh para guru agar mereka dibimbing dalam menjalankan tugas mereka untuk mencapai objektif pengajaran Gurindam 12 ini.

Begitu juga, untuk mendapatkan hasil yang diingini, para pelajar haruslah dibimbing oleh para guru agar maksud dan pengajaran yang terkandung dalam gurindam dapat difahami dan dihayati. Para pelajar tidak harus diminta untuk membincangkan atau mengupas maksud gurindam yang diberikan tanpa sebarang panduan dan penjelasan yang sepatutnya. Jika ini berlaku fungsi dan tujuan memperkenalkan gurindam kepada para pelajar khususnya bagi tujuan penyaluran nilai tidak akan menemui matlamatnya. Malangnya, hal inilah yang sebenarnya berlaku umpamanya dalam teks bagi para pelajar yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang agak lemah iaitu para pelajar dari kursus/aliran Normal (Teknikal). Latihan dalam buku teks menengah 4, pakej Pancaran

162

Bahasa, halaman 96 dan 97, menghendaki para pelajar untuk membincangkan fasal ketujuh Gurindam 12. Buku ini hanya memuatkan fasal tersebut tanpa sebarang huraian. Di bawah ini diturunkan pasal ketujuh yang dimaksudkan sebagai mana yang termuat dalam buku teks tersebut:

Fasal Ketujuh: Apabila banyak berkata-kata, Di situlah jalan masuk dusta. Apabila banyak berlebih-lebih suka, Itulah tanda hampir duka. Apabila kita kurang siasat, Itulah tanda pekerjaan akan sesat. Apabila anak tiada dilatih, Jika besar bapanya letih. Apabila banyak mencela orang, Itulah tanda dirinya kurang. (Sumber: MOE 1995: 96 & 97 ) Dalam latihan yang diberikan, para pelajar dikehendaki untuk memberikan penjelasan ringkas mengenai salah satu rangkap dalam fasal tersebut tanpa adanya pengajaran dan penjelasan tentang gurindam tersebut terlebih dahulu. Latihan ini sebenarnya merupakan latihan susulan setelah para pelajar membaca teks bacaan mengenai Raja Ali Haji. Pendekatan seperti ini boleh membebankan para pelajar, kerana pelajar perlu mengenal pasti nilai-nilai yang ingin disampaikan terlebih dahulu, dan oleh sebab para pelajar ini adalah para pelajar yang mempunyai tahap keupayaan yang agak rendah, kemungkinan pengenalpastian nilai-nilai tersebut tidak akan tercapai sekiranya pelajar tidak memahami maksud yang terkandung dalam gurindam tersebut. Pendekatan ini juga boleh mematikan minat pelajar terhadap puisi ini dan pemahaman serta penghayatan para pelajar terhadap

163

nilai-nilai yang terkandung dalam gurindam ini belum dapat dipastikan. Ini bermakna bagi tujuan kerberkesanannya, para pembina bahan dan guru haruslah peka terhadap pendekatan yang sesuai yang perlu digunakan dalam pengajaran puisi ini berdasarkan tahap keupayaan para pelajar yang disasarkan.

5.5.2.2 Pantun

Pantun merupakan salah satu genre puisi Melayu tradisional yang tergolong dalam kategori sastera rakyat. Ramai sarjana seperti Zaaba, Mohd Taib Osman dan Harun Mat Piah yang membincangkan asal-usul, maksud dan fungsi pantun.36 Pantun dikatakan puisi lama yang mempunyai bentuk atau rangkap yang teratur. Pantun ‘bertujuan untuk memimpin, mendidik dan memberikan panduan’.37 Pantun dicipta sebagai satu saluran untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara. Bahkan pantun digunakan juga untuk menyindir, berjenaka, memberikan nasihat dan bersukasuka. Menurut Mohd Taib Osman ‘sebagai artifak pantun mempunyai fungsi yang dimainkan dalam kehidupan orang Melayu. Sebagai puisi ia merupakan pernyataan melalui bahasa indah satu-satu pemikiran seperti juga pepatah petitih. Untuk berfalsafah terhadap hidup manusia, mengutarakan nasihat, menyatakan isi hati atau sekadar untuk menyerikan majlis adalah

36 . Lihat Za’ba, 1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur , DBP, Kementerian Pelajaran: Za’ba ( penyelenggara) 1983. Kumpulan Pantun Melayu, Kuala Lumpur DBP, Kementerian Pelajaran Malaysia: Mohd Taib Osman, 1965. Kesusasteraan Melayu Lama, Singapura, Federal Berhad: Mohd Taib Osman (penyusun), 1975. Warisan Puisi Melayu, Kuala Lumpur, DBP: Mohd Taib Osman 1983. Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur, DBP: Harun Mat Piah, 2001. Pantun Melayu Bingkisan Permata, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan. 37. Harun Mat Piah, 2001. Pantun Melayu Bingkisan Permata, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan, hlm viii. 164

antara penggunaan pantun.’38 Selain itu, ‘Pantun juga sarat dengan nilai-nilai murni yang dianggap baik oleh masyarakat Melayu: ini termasuk nilai budi, nilai ilmu dan nilai seni dan sebagainya. Unsur-unsur ini dianggap sebagai sebahagian daripada ciri-ciri estetika pantun, iaitu digolong dalam estetika dalaman’.39

Pantun merupakan cerminan akal pemikiran dan hati budi serta budaya masyarakat Melayu. Melalui pantun, seseorang itu dapat mengenali orang Melayu kerana pantun mempunyai pertalian akrab dengan kehidupan sosiobudaya masyarakat Melayu. Ini kerana pantun menjadi wadah bagi mengungkapkan isi hati orang-orang Melayu yang kaya dengan nilai kesopanan dan kesantunan serta mengutarakan pemikiran yang tinggi dan bermakna. Misalnya, sejak zaman berzaman pantun memainkan peranannya sebagai satu bentuk hiburan di samping berperanan dalam majlis merisik, meminang atau majlis istiadat perkahwinan secara meluas. Pantun juga digunakan sebagai alat pertarungan antara cendikiawan dan pendekar untuk menguji kepintaran mereka. Begitu juga pantun digunakan untuk melahirkan perasaan yang tersirat melalui ungkapan dan ucapan yang dalam dan murni maksudnya. Pendeknya, ‘pantun memberikan satu ruang dan bidang pengucapan yang cukup luas untuk difahami dan pada keseluruhannya merupakan suatu bentuk pengucapan dengan fungsi sosial dan unsur psikologi yang cukup berkesan’.40

Melalui penggunaan pantun sebagai bahan pengajaran dalam kurikulum Bahasa Melayu, para pelajar diajak untuk menyusuri pola dan cara berfikir serta hati budi orang

38. Mohd Taib Osman, 1996. “Pantun Sebagai Cerminan Minda Melayu”, dalam Pantun Manisfestasi Minda Masyarakat, Kuala Lumpur, Akademi pengajian Melayu, Universiti Malaya, hlm 5. 39. Opcit., hlm xiii. 40. Ibid., hlm xiii.

165

Melayu. Para pelajar didedahkan kepada nilai-nilai budaya Melayu seperti halus budi bahasa dan pekerti dan suka menjaga hati orang lain. Masyarakat Melayu berpendapat bahawa cara terbaik untuk menegur kesilapan orang lain atau memberikan teguran, nasihat atau kritik ialah dengan cara berseloroh atau dengan kata-kata kias dan sindiran. Oleh itu, pantun digunakan untuk tujuan ini selain meluahkan hasrat hati dan kemahuan dengan cara halus, tertib dan dipandang manis oleh masyarakat. Nilai-nilai ini amat bertepatan dengan matlamat penyaluran nilai-nilai murni program Bahasa Melayu yang ingin membentuk para pelajar agar berbudi pekerti yang baik dan berhemah tinggi.

Melalui pantun juga, pelajar dapat melihat betapa sememangnya masyarakat Melayu menekankan sifat-sifat ketertiban yang memperlihatkan adab dan rasa hormat yang tinggi terhadap orang lain. Sejak kecil lagi , dalam setiap jiwa anak Melayu sudah ditanam nilai-nilai murni agar memiliki budi dan budaya sendiri yang menjadi identiti unggul orang-orang Melayu. Nilai ini tergambar dalam maksud pantun yang digunakan dalam kurikulum Bahasa Melayu ‘Mesej dan nasihat yang diterapkan dalam pantun-pantun pusaka itu amat berguna dan boleh dijadikan pegangan hidup. Berdasarkan pantun-pantun Melayu, seseorang itu dapat mewarisi nasihat dan meneroka alam pemikiran datuk nenek mereka.’41 Sebagai contoh, kurikulum Bahasa Melayu menampilkan pantun-pantun berikut ‘bagi menggambarkan sikap orang Melayu yang mementingkan nilai budi’.42

41. Buku teks 4, Kursus Normal (Teknikal), Pancaran Bahasa, Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, hlm 15. 42. Buku Teks 1A, Kursus Khas, Jendela Bahasa, Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, hlm 46. Lihat juga buku teks 1 Intisari Bahasa, Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, hlm 76-77: buku teks 1, Kurus Ekspres, Pancaran Bahasa, Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, hlm 32: buku teks 4, Kursus Normal (Teknikal), Pancaran Bahasa, Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, hlm 15-16. 166

Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti; Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati. Apa guna berkain batik, Kalau tidak serta raginya; Apa guna rupa yang cantik, Kalau tidak serta budinya. (Sumber: MOE 1996 & 2002 : 15-16 & 46-47) Orang-orang Melayu sangat mengutamakan hubungan keluarga, sesama jiran dan sesama ummah. Untuk menunjukkan rasa hormat, sopan dan beradab, setiap orang Melayu dituntut untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata. ‘Anak-anak dididik agar jangan menjatuhkan air muka atau mendedahkan keaiban orang di khalayak ramai.’43 Kata-kata yang hendak diutarakan haruslah dinilai dan diteliti supaya tidak menyinggung orang lain secara kasar. ‘Seseorang itu akan berasa lebih selesa jika teguran, nasihat atau kritik yang membina itu disampaikan dengan cara berseloroh atau kata-kata kiasan. Melalui pantun jugalah hasrat hati dan kemahuan disampaikan dengan cara yang dipandang manis oleh masyarakat.’44 Oleh sebab dididik demikian, dengan menggunakan pantun, orang Melayu mempunyai kemampuan untuk mengucapkan dan menyampaikan mesej, amanat dan kehendak secara halus dan bersopan tetapi mengandung makna dan pengajaran tanpa menjejaskan simpulan tali silaturahim yang telah dibina. Dalam hubungan seharian, orang-orang Melayu lebih suka berpegang atau memilih untuk menggunakan cara yang lembut dan berhati-hati dalam

43. Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, 1996. Pancaran Bahasa, Buku Teks 4, Kursus Normal (Teknikal), hlm 15. 44. Ibid, hlm 5. 167

pertuturan dan pergaulan. Sifat inilah yang tertera dalam pantun. Kurikulum Bahasa Melayu menggunakan pantun-pantun berikut yang bertujuan untuk ‘memberikan gambaran betapa orang Melayu memandang tinggi kemurnian budi dan akhlak dan mengingatkan seseorang kepada pesanan dan nasihat datuk neneknya dahulu’.45

Kalau tuan pergi ke darat, Bawa saya bersama pergi; Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli. Kebun ini tanam-tanaman, Ke barat juga condong buahnya; Dunia ini pijam-pinjaman, Akhirat juga kesudahannya. (Sumber: MOE 1996: 16 & 17 ) Pendek kata, menggunakan pantun untuk membentuk dan melentur peribadi para pelajar sebagaimana yang diusahakan oleh kurikulum Bahasa Melayu merupakan satu pendekatan yang tepat dan bijak. Walaupun demikian, kajian yang dijalankan terhadap pantun-pantun yang digunakan mendapati kebanyakan pantun yang digunakan dalam bahan pengajaran program Bahasa Melayu berkisar tentang soal mengenang budi dan menghormati orang yang menabur budi serta aspek berbudi bahasa dan sedikit tentang menuntut ilmu. Nilai-nilai lain seperti nilai taat setia kepada negara, bekerja keras, berdisiplin, berani mencuba dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu diteladi oleh para pelajar dalam mengharungi gelombang hidup kurang diberikan perhatian.

Aspek-aspek lain yang sering dibentangkan dalam ketiga-tiga pakej bahan pengajaran yang dikaji ialah tentang sejarah penciptaan pantun, stuktur pantun dan cara-cara mencipta pantun. Memang tidak dapat dinafikan sejarah penciptaan pantun dan struktur pantun ini perlu 45. Ibid, hlm 15. 168

diterangkan agar para pelajar mempunyai pengetahuan latar yang cukup sebelum mereka belajar tentang pantun dan memahami maksudnya. Tetapi untuk tujuan keseimbangan, perlu juga nilai-nilai murni yang lain yang boleh diketengahkan melalui pantun diberikan ruang dan peluang agar para pelajar dapat meninjau kepelbagaian nilai tersebut dan juga untuk tujuan pengukuhan terhadap nilai-nilai murni yang disampaikan melalui genre-genre lain dalam kurikulum yang disediakan.

5.5.2.3

Prosa Klasik dan Moden

Bahan atau teks prosa klasik dan moden yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu dipilih berdasarkan tema-tema tertentu yang disarankan dalam sukatan pelajaran. Tema-tema ini selaras dengan tema-tema yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Pembina bahan biasanya diberikan tugas melakukan pemilihan ini berdasarkan topik atau tema-tema yang dipilih. Walaupun demikian, para guru diberikan kelonggaran untuk memilih teks prosa klasik atau moden yang lain yang lebih sesuai dengan tahap keupayaan pelajar mereka dengan syarat pemilihan tersebut memenuhi objektif pengajaran dan pembelajaran yang ditentukan.

Bagi prosa klasik, kurikulum memberikan tumpuan yang lebih kepada kisah-kisah yang memaparkan sikap taat setia, kepahlawanan dan keistimewaan watak yang mempunyai ciri-ciri yang luar biasa. Terdapat juga cerita-cerita lain yang dipaparkan seperti Pak Pandir, Dang Anum, Si Tanggang dan cerita binatang, tetapi bilangannya amat sedikit. Barisan watak yang mendapat tempat ialah seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Bendahara Tun Perak, Raja Anggun Cik Tunggal, dan Raja Suran. Antara watak-watak ini, watak Hang Tuah yang banyak sekali mendapat perhatian dalam ketiga-ketiga pakej yang dikaji. Dalam kurikulum,

169

watak Hang Tuah dianggap sebagai watak yang ideal yang mempunyai taraf kecemerlangan yang amat tinggi yang patut diteladani. Selain Hang Tuah, Hang Jebat dan Tun Perak sering dijadikan model dalam cerita-cerita prosa klasik yang dipaparkan sebagai bahan pengajaran.46 Oleh itu, perenggan yang seterusnya akan cuba membincangkan ketiga-tiga watak utama tersebut sebagai watak yang mewakili pejuang dan wira yang biasa ditonjolkan sebagai contoh dalam prosa klasik. Perbincangan mengenai watak-watak ini juga bertujuan untuk meninjau sejauh mana kesesuaian ciri-ciri watak dan nila-nilai yang cuba diketengahkan bagi memenuhi matlamat penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan para pelajar yang disasarkan.

Dalam kurikulum, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang mempunyai kekuatan yang luar biasa, tangkas berlawan dan mempunyai sikap taat setia kepada sultan yang tidak berbelah bagi. Kisah yang dipaparkan tertumpu kepada kegagahan Hang Tuah sejak kecil lagi contohnya peristiwa Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya melawan lanun ketika berusia sepuluh tahun.47 Melalui wataknya dalam cerita-cerita yang termuat dalam kurikulum, Hang Tuah dianggap sebagai seorang wira yang mempunyai keberanian dan kepahlawanan.

Mengenai watak Hang Tuah ini, terdapat pendapat beberapa pengkaji yang bertentangan. Umpamanya, Mohd Taib Osman dalam ‘Kesusasteraan Melayu Klasik: Suatu Tinjauan Ringkas’ mengatakan bahawa Hang Tuah ialah ‘wira kebangsaan Melayu zaman

46. Lihat :Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, 1984. Intisari Bahasa, Buku Teks 2, hlm 26-28: Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2004. Jendela Bahasa, Buku Teks 2B, Kursus Ekspres, hlm 80: Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2004. Jendela Bahasa, Buku Teks 3B, Kursus Normal (Akademik), hlm 1-4. 47. Lihat Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2004. Jendela Bahasa,Buku Teks 2B, Kursus Ekspres, hlm 72-74. 170

klasik kerana beliau memaparkan semua nilai-nilai tradisional bangsa Melayu’.48 Menurut Shaharuddin (1979) terdapat dua jenis manusia yang disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu, iaitu wira feudal dan wira jenis kebendaan. Menurut beliau lagi, kedua-dua konsep wira ini bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan manusia sejagat tetapi diagung-agungkan oleh golongan elita dan terdidik Melayu sebagai contoh-contoh yang elok ditiru oleh orang-orang Melayu.

S. Othman Kelantan pula dalam eseinya ‘Hikayat Hang Tuah: Kisah Tragedi Orang Melayu’ mempunyai tanggapan yang berlainan tentang Hang Tuah. Baginya ‘Hang Tuah bukan wira bahkan penjajah. Beliau tidak menafikan bahawa Hang Tuah ialah wira Melayu tetapi hanya pada satu kumpulan orang Melayu di bawah raja Melaka dan Bendahara sahaja. Hang Tuah juga dikatakan memperlihatkan watak-watak yang penuh tipu muslihat, fanatik, tidak bersopan dan takbur. Hang Tuah menjadi lambang kemusnahan dan lambang penjajah kepada kebangkitan bangsa Melayu di negeri-negeri Melayu yang lain’.49

Selain cerita kehebatan Hang Tuah terutamanya ketika melawan lanun dan membunuh orang yang mengamuk, kisah pertarungannya dengan Hang Jebat sering dijadikan bahan pengajaran atau teks bacaan bagi para pelajar sekolah menengah. Melalui watak ini, para pelajar disogokkan dengan nilai-nilai taat setia dan sanggup berkorban bagi mempertahankan negara dan menurut perintah raja. Misalnya dalam cerita pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat seperti yang disajikan dalam kurikulum, Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat, sahabat karibnya kerana Hang Tuah tidak dapat memaafkan perbuatan Hang Jebat yang

48. Mohd Taib Osman disebut dalam Siti Aishah Murad (penyelenggara ), 1996. Konsep Nilai dalam Kesusasteraan Melayu, Kuala Lumpur, DBP, hlm viii. 49. S. Othman Kelantan, Ibid., hlm ix. 171

dikatakan menderhaka kepada sultan.50 Bagi Hang Tuah taat setia yang tidak berbelah bagi kepada sultannya amat penting.

Oleh itu, nilai taat setia Hang Tuah yang dianggap wira ini patutlah diteliti terlebih dahulu terutama jika nilai-nilai ini ingin ditanamkan ke dalam jiwa para pelajar hari ini kerana nilai-nilai yang dipegang oleh Hang Tuah pada masa itu mungkin tidak sesuai dengan nilai taat setia yang cuba disampaikan oleh kurikulum Bahasa Melayu. Para pelajar hendaklah diberikan penerangan yang jelas dan peluang untuk membincangkan perkara ini secara rasional dan kritis agar mereka tidak terkeliru dengan ketaatan Hang Tuah kepada rajanya. Ini kerana ‘taat setia Hang Tuah kepada rajanya terlalu membuta tuli. Taat setia sebegini tidak lagi memperhitungkan kepentingan orang lain bahkan kepentingan dirinya sendiri. Hang Tuah akan berasa bahagia apabila hati rajanya gembira dan apabila dimurkai, Hang Tuah akan menambat hati tuannya dengan berusaha memperoleh apa yang dihajati oleh tuannya’.51 Hal yang demikian ini amat berlawanan dengan nilai berfikir secara rasional dan kritis yang mementingkan kewarasan pemikiran dan pertimbangan yang wajar yang cuba diterapkan ke dalam jiwa para pelajar menerusi pendidikan di sekolah-sekolah.

Dalam kurikulum Bahasa Melayu, tokoh-tokoh feudal seperti Hang Jebat pula digambarkan sebagai watak yang mementingkan diri sendiri. Watak Hang Jebat ini dapat dilihat dalam cerita tentang pertarungannya dengan Hang Tuah. Hang Jebat dikatakan mengamuk dan membunuh lebih kurang 700 dalam istana oleh sebab marah kerana Hang Tuah ingin bertarung dengannya walaupun Hang Tuah tahu bahawa Hang Jebat cuba

50. Lihat Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2004. Jendela Bahasa, Buku Teks 3B, Kursus Normal (Akademik), hlm 9. 51. Siti Aishah Murad (penyelenggara ), 1996. Konsep Nilai dalam Kesusasteraan Melayu, Kuala Lumpur, DBP, hlm viii. 172

membelanya.52 Beliau membunuh rakyat yang tidak berdosa yang cuba menghalang tindakan ganasnya. Tindakannya ini menampakkan bahawa beliau tidak menghiraukan kebajikan rakyat yang sepatutnya mendapat perlindungan daripada pahlawan sepertinya. Tindakannya itu juga amat bersalahan dari segi nilai-nilai masyarakat dan agama yang melarang sebarang pengganasan dan penganiayaan terhadap mereka yang lemah dan tidak berdosa. Bolehlah dianggap bahawa perlakuan Hang Jebat ini samalah dengan perlakuan raja yang ditentangnya pada masa itu.

Dalam bahan pengajaran yang digunakan, Tun Perak pula digambarkan sebagai seorang bendahara yang cekap. Beliau dikatakan telah banyak berkorban dan berusaha untuk membangun kemajuan dan kegemilangan kerajaan Melaka. Kecekapan dan kebijaksanaannya ditonjolkan dalam beberapa peristiwa seperti ketika mempergiatkan usahanya untuk mempertahankan Melaka ketika Melaka dicerobohi oleh tentera Siam. Tun Perak memerintahkan tenteranya agar membawa isteri dan anak-anak mereka. Tindakan ini berdasarkan alasan bahawa tentera Melaka akan berjuang bermati-matian sekiranya isteri dan anak-anak mereka ada bersama mereka kerana mereka bukan sahaja berjuang untuk mempertahankan raja tetapi juga keluarga mereka. 53 Tindakan Tun Perak ini menunjukkan bahawa ‘betapa Bendehara Tun Perak ini boleh menjadi orang yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertimbang rasa. Beliau sanggup membahayakan nyawa kanak-kanak dan kaum wanita semata-mata untuk mendapatkan pujian rajanya’.54 Tun Perak sanggup mengorbankan apa sahaja termasuk wanita dan kanak-kanak demi menyelamatkan sultan. Tindakannya yang kejam dan mementingkan diri sendiri ini mendapat perhatian dan pujian daripada Sultan. 52. Lihat Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2004. Jendela Bahasa, Buku Teks 2B, Kursus Ekspres, hlm 80. 53. Lihat Institut Perkembangan Kurikulum Singapura, MOE, 1984. Intisari Bahasa, Buku Teks 2, hlm 26-28. 54. Shaharudin Maaruf, 1979. The Conception of Malay Hero in Malay Society, Tesis MA, Singapura, Universiti Singapura, hlm 76. 173

Tindakannya ini dikatakan sebagai satu strategi perang yang bijak dan harus dicontohi oleh para pegawai yang lain. Kejayaannya menentang tentera Siam itu menyebabkan ‘Sultan semakin bertambah yakin kepada kebijaksanaan dan kecekapan Tun Perak sehingga dia dilantik menjadi Perdana Menteri dan bergelar Paduka Raja.’55

Dapatlah dimaklumi bahawa pendedahan watak-watak yang dibincangkan di atas dalam kurikulum ini bertujuan untuk membangkitkan semangat patriotisme dan semangat juang di kalangan para pelajar. Tetapi dalam watak-watak yang diketengahkan terdapat banyak kelemahan. ‘Tokoh-tokoh feudal yang dipilih tidak lagi sesuai untuk masyarakat yang maju dan sedang dibina di Singapura. Tokoh-tokoh yang dipilih perlu mempunyai nilai-nilai yang sesuai dengan masyarakat yang ingin membangun dari segi rohani dan kebendaan’.56 Dalam keghairahan untuk memperkenalkan watak yang dianggap wira dan pejuang masyarakat Melayu ini, kita boleh terkeliru dan tidak menyedari hakikat bahawa terdapat nilai-nilai yang bertentangan yang terkandung dalam teks bacaan yang dipilih dengan nilai-nilai murni yang hendak disampaikan. Jika teks bacaan serupa ini mahu juga digunakan, gambaran atau penilaian yang adil tentang tokoh-tokoh tersebut hendaklah dilakukan. Ini juga perlulah disertai oleh pendekatan yang boleh membangkitkan kesedaran dan bukan meniru semata-mata. Misalnya teks bacaan seumpama ini boleh digunakan dalam pengajaran dengan berkesan sekiranya para pelajar dilibatkan untuk berfikir secara kritis dalam menilai kewajaran tindakan yang dilakukan oleh watak-watak Hang Tuah, Hang Jebat dan Tun Perak. Jika ini dapat dilakukan, penggunaan teks atau prosa klasik sebegini dalam kurikulum Bahasa Melayu akan mendatangkan pulangan yang amat lumayan. Malangnya, 55. Opcit, hlm 27. 56. Hadijah Rahmat, 1984. Sastera untuk Kanak-kanak dalam Bahasa MelayuSuatu Tinjauan dan Analisa tentang Perkembangannya dan Peranannya Sebagai Alat Pendorong Pencapaian, Tesis MA, Singapura, Universiti Nasional Singapura, hlm 168.

174

pendekatan serupa ini tidak digunakan dalam menangani semua teks bacaan yang dimuatkan dalan kurikulum yang memaparkan watak-watak berkenaan. Oleh itu, amatlah disarankan agar pendekatan yang digunakan sekarang diubah sekiranya teks serupa ini ingin dikekalkan. Begitu juga, penilaian terhadap teks sastera yang hendak dipilih perlu dilakukan dengan teliti sama ada dari segi mutu dan nilai yang hendak dikemukakan agar natijah pengajaran ini tidak bercanggah dengan falsafah, matlamat pendidikan dan nilai-nilai murni yang ingin disalurkan.

Pengkaji juga mendapati bahawa beberapa nilai yang negatif terdapat dalam teks-teks sastera yang digunakan dalam kurikulum Bahasa Melayu umpamanya cerita Puteri Santubung dan Puteri Sejenjang dalam buku teks menengah 1 Normal (Akademik) pakej Pancaran Bahasa dan cerita Sang Kuriang dan Dayang Sumbi dalam buku teks menengah 2 Normal (Teknikal).57 Teks-teks bacaan yang dimaksudkan ini tidak mengandungi nilai-nilai murni yang boleh diketengahkan, malahan cerita yang terkandung memaparkan nilai-nilai yang tidak baik yang harus dihindari oleh para pelajar. Misalnya, cerita Puteri Santubung dan Puteri Sejenjeng ini menceritakan bagaimana pergaduhan antara Puteri Santubung dan Puteri Sejejang terjadi yang akhirnya Puteri Sejenjang mati akibat ditikam dengan belingat dikepalanya oleh Puteri Sangtubung tanpa belas ihsan. Persahabatan yang telah lama terjalin akhirnya putus begitu sahaja akibat perbalahan yang tidak sepatutnya terjadi. Dalam cerita ini tidak kelihatan sebarang nilai-nilai murni yang boleh diketengahkan. Bahkan para pelajar dihidangkan dengan sikap cemburu dan tidak puas hati, dan perlakuan yang tidak mengikut pertimbangan dan pemikiran yang wajar. Berdasarkan penelitian, buku panduan guru yang disediakan tidak pula menerangkan nilai sebenar yang ingin disampaikan melalui cerita ini. Jadi, cerita yang memaparkan nilai-nilai sebegini seharusnya tidak mendapat tempat untuk 57. Lihat: Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 1994. Pancaran Bahasa, Buku Teks 1, Kursus Normal ( Akademik ), hlm 7-8: Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 1995. Pancaran Bahasa, Buku Teks 2, Kursus Normal ( Teknikal ), hlm 19-20. 175

dijadikan bahan pengajaran dalam program Bahasa Melayu melainkan tujuan pendedahan cerita seumpama ini dinyatakan dengan jelas bagi panduan guru yang mengajar. Tegasnya, pemilihan teks sastera perlulah dilakukan dengan lebih teliti dan dengan secara sedar serta berpandukan objektif dan nilai-nilai murni falsafah pendidikan agar usaha yang dilakukan tidak menyimpang daripada matlamatnya yang asal.

Bagi prosa moden pula, bahan pengajaran yang digunakan ialah sedutan daripada cerpen dan novel seperti hasil karya Hadijah Hashim, A. Samad Ismail, Atan Long dan A. Wahab Ali. Kebanyakan sedutan novel yang dipilih ialah novel yang ditulis oleh Hadijah Hashim khususnya novel yang berkisar tentang dunia remaja atau yang mempunyai kaitan dengan pembangunan remaja seperti Badai Semalam, Langkah Pertama dan Bila dan di Mana. Di bawah ini akan diberikan beberapa contoh untuk meninjau nilai-nilai yang ingin disampaikan melalui genre ini.

Sedutan Novel Langkah Pertama dijadikan teks bacaan kerana novel ini mengandungi nilai-nilai kerja keras, sikap tidak putus asa, kesungguhan dan berani menghadapi cabaran dan risiko untuk mencapai cita-cita seperti yang dipaparkan melalui pendukung watak utamanya yang bernama Mona.58 Inilah nilai-nilai yang ingin diserapkan dan disalurkan kepada para pelajar melalui pendidikan di sekolah. Para pelajar diajak agar mencontohi sikap dan watak Mona dalam merealisasikan angan-angannya.

Mona ialah anak gadis yatim yang terperangkap dalam liku-liku hidup yang sentiasa dilingkari kemelut serta kemiskinan. Dalam meniti usaha untuk menjadi pemain tenis profesional, Mona berhadapan dengan pelbagai rintangan, tentangan dan kritikan terutamanya 58. Lihat Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 1996. Pancaran Bahasa, Buku Teks 3, Kursus Khas, hlm 91-92. 176

daripada ibu dan beberapa orang gurunya. Namun, Mona tidak menjadikan perkara ini sebagai hambatan yang boleh mengheretnya ke lembah kehampaan dan menjerut dirinya. Berkat usaha padunya, Mona akhirnya ditawarkan bersekolah di sebuah sekolah asrama di Kuala Lumpur yang menyediakan banyak kemudahan sukan. Sekiranya Mona serius, dia akan dihantar pula ke Amerika Syarikat atau Australia untuk melanjutkan pelajarannya di samping mendalami bidang sukan yang diminatinya. Mona ialah contoh seorang remaja yang berjiwa waja yang berani menghadapi pahit getir dalam menjalani liku-liku hidupnya. Pendiriannya yang utuh dan fikirannya yang positif membolehkannya mengatasi segala rintangan yang cuba menghalang cita-citanya.

Sedutan cerpen Ubi Kayu karya A. Samad Ismail mengetengahkan kehidupan zaman getir semasa penjajahan tentera Jepun.59 Melalui sedutan cerpen ini, Kurikulum Bahasa Melayu cuba menggambarkan betapa susahnya untuk mendapatkan ubi kayu yang menjadi makanan asas para penduduk pada masa itu. Penulis dan rakan-rakan terpaksa berjalan jauh hanya untuk mendapatkan ubi kayu bagi mengisi perut. Hal yang demikian ini diketengahkan dengan harapan agar para pelajar berasa bersyukur dengan nikmat dan kemewahan yang dirasai oleh mereka. Oleh itu, mereka haruslah sentiasa beringat dan sentiasa bersedia dan berusaha sebelum sebarang masa getir demikian menimpa mereka. Nilai yang demikian ini bertepatan dengan nilai yang cuba disampaikan melalui Pendidikan Nasional yang menjadi salah satu dasar pembentukan Kurikulum Bahasa Melayu.

Sedutan cerpen Isteri Leong Beranak tulisan A. Wahab Ali yang digunakan dalam buku teks pula mengenengahkan tema hidup berjiran antara keluarga Leong dan jirannya yang

59. Lihat Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 1994 dan 1995. Pancaran Bahasa, Buku Teks 2, Kursus Normal (Akademik), hlm 68-69, dan Buku Teks 2, Kursus Ekspres, hlm 41-42. 177

berbangsa Melayu terutama keluarga Ahmad. Leong meminta pertolongan bidan Esah dan isteri Ahmad kerana isteri Leong hendak melahirkan anak. Walaupun isteri Leong curiga dengan niat Leong itu, Leong tetap percaya bahawa jiran Melayu mereka akan membantu. Hasil bantuan Esah dan isteri Ahmad, isteri Leong selamat melahirkan anaknya yang keempat. Sempena peristiwa ini, Leong menamakan anaknya Aminchai, agar orang memanggilnya Amin sahaja, macam nama orang Melayu.60 Apa yang jelas melalui sedutan cerita ini ialah kurikulum Bahasa Melayu mahu menunjukkan kepada para pelajar bahawa sebagai jiran, mereka harus tolong menolong walaupun jiran mereka itu tidak sebangsa dengan mereka. Mereka juga digalakkan supaya tidak bersikap curiga terhadap orang lain, kerana hal ini boleh meretakkan hubungan sesama manusia. Jika perkara ini dapat diamalkan, kehidupan manusia terutamanya dalam masyarakat majmuk seperti masyarakat di Singapura akan lebih aman dan sejahtera.

Pengkaji mendapati secara keseluruhannya, penggunaan prosa moden sebagai bahan pengajaran Bahasa Melayu amat terhad. Ini mungkin berpunca daripada ruang dan kesempatan yang juga terhad. Oleh itu nilai-nilai sejagat yang lain yang tersirat dan tersurat dalam cerpen dan novel tidak dapat diketengahkan. Secara purata hanya terdapat tiga buah prosa moden bagi satu-satu pakej. Pakej Intisari Bahasa pula tidak langsung mengenengahkan prosa moden ini sebagai bahan pengajaran. Andainya lebih banyak teks serupa ini diketengahkan, pendedahan pelajar kepada pelbagai nilai-nilai sejagat yang lain akan lebih seimbang.

60. Lihat Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Singapura, MOE, 2002. Jendela Bahasa, Buku Teks 1A, Kursus Khas, hlm 57-58

178

5.6

Kesimpulan dan Saranan

Demikianlah, perihal penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni yang ingin disampaikan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui peribahasa, gurindam, pantun, prosa klasik dan prosa modern. Penyerapan dan penerapan ini bertujuan untuk membina integrasi moral para pelajar, dan berhasrat untuk membentuk anggota masyarakat agar menjadi insan yang mulia yang berguna kepada dirinya, masyarakat dan negara.

Secara umum, memang diakui bahawa terdapat usaha-usaha yang bersungguhsungguh khususnya pihak pemerintah dan sekolah dalam memenuhi hasrat menanam dan menyemai nilai-nilai murni yang diingini dalam kalangan para pelajar untuk melahirkan Insan Kamil. Kesungguhan ini digambarkan melalui penggunaan bahan-bahan seperti peribahasa dan bahan-bahan sastera yang dimuatkan secara sedar dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, dengan harapan melalui genre-genre ini, penyaluran dan penerapan nilainiali murni akan berlaku. Usaha menggunakan bahan-bahan serupa ini bagi penyaluran dan penerapan nilai-nilai murni ini merupakan satu pilihan yang wajar dan boleh membuahkan hasil yang diingini sekiranya diberikan perhatian dan perancangan yang teliti.

Selain program pendidikan formal, pihak sekolah juga memberikan peluang kepada pelajar untuk menghayati nilai-nilai yang diserapkan melalui aktiviti-aktiviti bahasa seperti drama, minggu bahasa, debat dan sebagainya. Tetapi berapa ramaikah para pelajar yang terlibat dalam satu-satu aktiviti? Adakah aktiviti yang dijalankan itu sudah mencukupi untuk menyokong penghayatan nilai-nilai yang diserapkan? Setiap aktiviti itu pula haruslah dinilai keberkasanannya bukan saja dari segi jumlah penglibatan para pelajar tetapi juga objektif-

179

objektif lain. Hal ini perlulah diambil kira oleh setiap guru dan sekolah dalam merangka program bahasa selain memberikan pertimbangan yang sepatutnya dalam aspek-aspek lain yang berkaitan dengan penyerapan dan penerapan nilai.

Dalam memenuhi hasrat menanam dan menyemai nilai-nilai murni yang diingini dalam kalangan para pelajar, pengkaji mendapati wujud beberapa kelemahan dan ketidakwajaran dalam pembentukan dan pelaksanaan aspek penyaluran dan penerapan nilainiali ini dalam kurikulum Bahasa Melayu. Ini berpunca daripada kegairahan dan perancangan yang kurang teliti dan sistematik. Akibatnya, tanpa disedari terdapat beberapa nilai yang kurang wajar yang diketengahkan umpamanya dalam bahan prosa klasik yang digunakan walaupun pada hakikatnya ini bukanlah tujuannya apabila kurikulum memuatkan bahanbahan tersebut. Selain itu, aspek pendekatan, khususnya dari segi pengajaran dalam bilik darjah kurang diberikan perhatian dan penelitian yang cukup bagi menentukan keberkesanan penyampaian, penyaluran dan penerapan nilai-nilai murni yang terangkum dalam bahanbahan seperti peribahasa dan bahan-bahan sastera. Begitu juga, sistem pemilihan bahan-bahan yang digunakan juga kurang mendapat perhatian dan perancangan yang teliti yang akhirnya menimbulkan kesangsian dan keraguan tentang keberhasilan tercapainya penyaluran dan penerapan nilai-nilai murni ini dalam kalangan para pelajar. Pemilihan dan pendekatan bagi pengajaran dan pembelajaran bahan-bahan yang dipilih juga kurang mengambil kira tahap keupayaan para pelajar yang datang dari pelbagi kursus dan aliran seperti yang telah diterangkan lebih awal.

Oleh itu disarankan agar beberapa perubahan terhadap perancangan dan pendekatan yang sistematik perlu dilakukan bagi memaksimumkan penyaluran dan penerapan nilai-nilai yang diingini. Umpamanya, perlu disemak semula pemilihan peribahasa dan bahan-bahan

180

sastera yang hendak diajar agar memenuhi objektif pengajarannya sebaik mungkin khususnya dari aspek pendidikan nilai. Sebelum daftar peribahasa ini dibina, perlulah terlebih dahulu dikenal pasti nilai-nilai murni yang ingin disalurkan dan diterapkan melalui pembelajaran Bahasa Melayu. Hal yang demikian ini tidak berlaku kepada daftar yang ada, kerana pemilihan peribahasa dan bahan-bahan sastera yang digunakan dilakukan secara rawak oleh sebab ketiadaan senarai nilai-nilai murni yang tercatat dalam sukatan pelajaran yang boleh dijadikan panduan. Pemilihan peribahasa dan bahan-bahan sastera yang berpandukan nilainilai teras yang dikenal pasti akan lebih fokus dan boleh mengelakkan atau paling tidak mengurangkan kejenjotan dan ketidakwajaran seperti yang berlaku dalam kurkikulum yang ada. Sebagai perbandingan, sukatan pelajaran kurikulum bersepadu Bahasa Melayu peringkat sekolah rendah dan menengah yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mencatatkan dengan jelas 17 nilai murni bagi penyerapan dan penerapan nilai-nilai dalam pendidikan Bahasa Melayu.61 Daftar nilai sebegini boleh bertindak sebagai panduan kepada para pembina bahan dalam penyediaan bahan pengajaran khususnya yang ada kaitan dengan pendidikan nilai dan dapat membantu para guru dalam perancangan pelajaran dan kaedah pengajaran mereka.

Perlulah diakui usaha menanam nilai-nilai murni ini bukanlah satu tugas yang mudah. Sebaiknya, usaha ini haruslah dilakukan seawal mungkin ketika para pelajar di bangku sekolah rendah lagi dengan penuh kesabaran, ketekalan, kebijaksaanaan dan berterusan. Selain rumah dan keluarga, sekolah diberikan tugas untuk melaksanakan usaha ini.62 Di

61. Lihat Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SK Tahun 1-5, Kuala umpur, DBP. 62. Lihat Dewey J. 1934. A Common Faith, New Haven, Connecticut: Yale University Press: Swift D.F. 1969. The Sociology of Education: Introductory Analytical Perspectives, London: Routledge & Kegal Paul: Abdul Rahim Abdul Rashid, 1993. 181

sekolah pula, para guru harus berdepan dengan pelbagai tugas dan tuntutan serta hambatan yang bukan sedikit yang harus ditangani dengan tenaga dan masa yang amat terhad. Tugas menanam nilai-nilai murni ini menuntut kebijaksanaan, komitmen jangka panjang dan kesabaran para guru yang bukan sedikit.

Jelasnya, penyaluran, penerapan, penghayatan dan pembatinan nilai-nilai murni merupakan satu proses yang kompleks dan tidak mudah dicapai. Ia juga merupakan satu proses yang tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat dan tempoh itu juga tidak tentu lamanya. Usaha ini menuntut para guru agar bersikap terbuka dalam menangani hal yang serumit ini. Mereka juga perlu menyedari hakikat bahawa setiap pelajar itu datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang sosial yang berbeza dan memegang sistem nilai yang berlainan juga. Faktor-faktor perbezaan ini mempengaruhi sistem nilai, sikap, kepercayaan peribadi dan tingkah laku para pelajar. Kepercayaan dan sistem nilai para pelajar dibentuk oleh kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga sejak mereka dilahirkan. Oleh itu, tidak mudah bagi para pelajar menerima apa jua nilai yang dihadapkan kepada mereka dalam sekelip mata sahaja. Ini ialah kerana ‘sesuatu nilai yang ingin diterapkan ke dalam konsep diri perlu menembusi benteng sistem penilaian dan nilai, sistem kepercayaan, super ego dan pertimbangan kognitif yang rumit. Sesuatu nilai yang baharu, umpamanya, menimbulkan keadaan peralihan ataupun konflik pertimbangan dalam diri apabila wujud fenomenafenomena seperti penilaian nilai, piawaian nilai, organisasi nilai, penghalusan semula nilai dan penekanan. Jika sesuatu nilai berkenaan didapati sesuai atau diperlukan bagi daya hidup individu dan diperakukan pula oleh masyarakat, maka

182

individu secara tidak sedar menerapkan nilai-nilai tersebut ke dalam sistem nilainya dan menjadi sebahagian daripada konsep diri dan perwatakannya’.63 Ini bermakna dalam proses membina sistem nilai, nilai-nilai baharu yang diterima oleh seseorang pelajar akan mengalami konflik, pertimbangan dan perubahan sebelum diterapkan. Penerimaan dan penerapan hanya akan berlaku jika nilai-nilai baharu tadi bersesuaian dengan sistem nilai yang sedia ada. Pengetahuan guru mengenai proses perkembangan moral dan perkembangan pemikiran kanak-kanak merupakan satu perkara yang perlu bagi membantu dan memudahkan para guru memilih dan menyesuaikan pendekatan-pendekatan pengajaran yang menepati dan menyokong tahap perkembangan p ara pelajar dalam hal ini. Oleh itu, para guru Bahasa Melayu hendaklah dilengkapkan dengan pengetahuan asas ini dan persediaan mental yang cukup bagi menangani pelbagai cabaran dan tuntutan yang berfungsi sebagai ejen bagi penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan para pelajar.

Secara ringkas, dirumuskan bahawa bagi memantapkan usaha menjadikan para pelajar menjadi insan yang berbudi dan berhemah tinggi melalui pendidikan formal seperti kurikulum Bahasa Melayu, perlu dinilai dan difikirkan sama ada aspek-aspek yang ada kaitan langsung dengan pendidikan nilai sudah ditangani. Antaranya ialah panduan pelaksanaan penanaman nilai yang mantap, contoh perancangan pengajaran, penentuan dari segi kekerapan penanaman nilai yang perlu dibuat, strategi pelaksanaan, kaedah dan teknik, perancangan masa yang diperlukan dan penilaian isi nilai yang cuba diserapkan dan diterapkan. Semua aspek ini hendaklah diberikan pertimbangan dan diuruskan dengan wajar kerana aspek-aspek ini mempunyai peranan bagi menentukan jaya tidaknya pendidikan nilai yang direncanakan.

63. Sufean Hussin, 1995. Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum, edisi kedua, Shah Alam, Fajar Bakti Sdn Bhd, hlm 19.

183

BAB 6 KESIMPULAN Bab 3, 4 dan 5 sudah membincangkan tiga aspek kurikulum, iaitu dua aspek sistem bahasa: sebutan dan kosa kata, dan yang terakhir aspek fungsi program Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah khususnya dalam penyerapan dan penerapam nilai-nilai murni. Secara sekeluruhannya, kajian mendapati terdapat usaha yang positif ke arah pencapaian objektif ketiga-ketiga aspek yang dikaji ini walaupun masih banyak yang perlu dipertingkatkan bagi pemantapan dan keselarasan usaha yang sedang dijalankan. Perkara tersebut perlulah diperkemas dengan mengambil kira faktor-faktor yang boleh melicinkan atau menghambat usaha ini. Perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian meliputi penggubalan matlamat dan sasaran program, alat penyampaian, kaedah penyampaian dan sokongan dan juga usaha-usaha susulan yang sewajarnya.

Bagi pelaksanaan sebutan baku, usaha yang dimainkan oleh beberapa pihak seperti pemerintah, sekolah, MBMS, dan media massa khususnya di peringkat awal pelaksanaannya haruslah diberikan pujian. Nampaknya semua pihak sama-sama berusaha bagi mencapai matlamat pembakuan sebutan yang mengarah kepada tercapainya pembakuan bahasa Melayu secara lengkap. Hal ini dapatlah dimaklumi kerana tugas yang dipikul ini bukanlah tugas yang mudah. Lagi pun usaha pembakuan ini mempunyai kaitan yang rapat dengan martabat bahasa Melayu di rantau ini dan juga kaitannya dengan penakatan Singapura sebagai sebuah negara yang terletak di tengah-tengah kepulauan Melayu yang mempunyai ramai penduduk yang menggunakan bahasa Melayu. Namun yang menjadi soalan ialah dapatkah usaha-usaha yang dibangunkan oleh kumpulan ini sejak awal pelaksanaan sebutan baku ini dikekalkan dan ditingkatkan bagi memastikan objektif pelaksanaan ini dicapai sepenuhnya? Setakat ini usaha yang sedemikian mengalami kemelesetan di tengah-tengah pelaksanaannya sehingga

184

menimbulkan pelbagai persoalan tentang kesungguhan, keperluan dan kewajaran untuk meneruskan usaha pembakuan sebutan ini.

Dalam usaha memasyarakatkan sebutan baku ini, banyak kekeliruan boleh berlaku. Kekeliruan dan salah faham ini berpunca daripada kurang fahamnya beberapa golongan tentang konteks di mana sebutan baku digunakan. Sebagaimana juga bahasa baku, sebutan baku ini hanya digunakan dalam suasana dan untuk keperluan rasmi atau formal. Hakikat ini berkaitan dengan konsep laras bahasa yang menekankan ragam atau corak bahasa yang digunakan oleh penutur yang ditentukan oleh suasana dan keperluan.

Dalam hal pelaksanaan sebutan baku ini, sekolah merupakan institusi yang diberikan tugas terpenting menjadi pelaksana dasar secara teratur dan terancang. Ini kerana sekolah berperanan untuk melahirkan golongan pelapis yang bertindak sebagai pengguna dan penyambung bahasa Melayu. Sejak lebih sepuluh tahun yang lalu, sistem sebutan baku sudah dilaksanakan di sekolah-sekolah di Singapura. Secara umum, di peringkat sekolah, usahausaha yang dilakukan sudah menampakkan hasil yang boleh dibanggakan berdasarkan umur setahun jagung pelaksanaannya walapun sasaran sebenarnya masih jauh. Para pelajar sudah boleh bertutur menggunakan sebutan baku dalam lingkungan aktiviti persekolahan yang bersifat formal termasuk ujian. Hal ini diakui oleh para pelajar dan para guru yang terlibat dalam tinjauan yang dilakukan dan juga berdasarkan hasil pemantauan yang dijalankan oleh pihak MOE sejak awal pelaksanaannya hingga tahun 1998.

Namun apa yang didapati ialah masih terdapat golongan pelajar dan guru yang raguragu dengan usaha ini dan lantas tidak memberikan sokongan padu seperti yang diharapkan. Keraguan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman tentang konsep dan sistem sebutan

185

baku dan kelebihannya dalam penguasaan berbahasa seseorang. Keraguan juga bersebab daripada kurangnya sokongan dan dorongan yang sewajarnya sama ada daripada pihak MOE, sekolah dan keadaan sekitaran yang mempengaruhi pelaksanaannya. Hal sebegini perlulah ditangani supaya tidak melarat sehingga boleh merintangi usaha pembakuan ini.

Seterusnya, pelaksanaannya di peringkat sekolah berdepan dengan hambatan yang bukan sedikit. Selain hambatan masa, para guru juga perlu menangani aspek-aspek teknikal yang berpunca daripada kekurangan guru bahasa Melayu di peringkat menengah dan juga sistem persekolahan yang menempatkan para pelajar ke dalam pelbagai kurus/aliran. Perlulah diakui bahawa Bahasa Melayu bukanlah salah satu subjek teras (core subject) di peringkat sekolah sekurang-kurangnya dari segi peranannya sebagai faktor penentu keupayaan seseorang pelajar ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mengharapkan keutamaan dan tumpuan yang diberikan kepada subjek Bahasa Melayu di sekolah mengatasi keutamaan dan tumpuan terhadap subjek-subjek yang dianggap lebih penting dari segi ekonomi dan hubungan antarabangsa seperti matematik, sains dan Bahasa Inggeris. Jadi, pelaksanaan sebutan baku haruslah dilakukan dalam lingkungan dan keutamaan yang terbatas yang diperuntukkan kepada subjek Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa ibunda di sekolah. Keberhasilan pelaksanaannya banyak tergantung kepada kebijaksaan para guru melakar dan menyusun program yang proaktif dan menyokong usaha ini berdasarkan peruntukan masa dan sumber yang ada.

Kedua-dua pihak MBMS selaku badan penentu arah tuju bahasa Melayu di Singapura dan MOE selaku badan yang bertanggungjawab dalam pelaksanaannya di sekolah-sekolah perlulah bekerjasama dengan lebih erat dan giat bagi meneruskan usaha pembakuan ini. Usaha bersama serupa ini dapat dimanfaatkan dengan pihak MOE memberikan tumpuan kepada

186

usaha di peringkat sekolah, manakala pihak MBMS menumpukan usaha di peringkat masyarakat umum. Kedua-dua badan penggerak ini berperanan bagi mewujudkan peluang dan sekitaran yang positif ke arah pembakuan sebutan bahasa Melayu yang dihajati. Keduaduanya juga perlu menilai semula pendekatan dan usaha yang dilakukan selama ini dari masa ke semasa bagi memenuhi perubahan-perubahan dan kehendak semasa yang berkaitan dengan pembelajaran dan penggunaan Bahasa Melayu. Di samping itu, pihak MBMS dan MOE juga perlu menyedarkan masyarakat bahawa proses pembakuan bahasa termasuk pembakuan sebutan menuntut penyertaan dan komitmen mereka secara menyeluruh dan aktif. Hal ini adalah kerana pembakuan bahasa mempunyai erti yang penting dalam pembinaan bahasa, bangsa dan negara.

Dalam kajian terhadap aspek pembelajaran dan pemerolehan kosa kata pula, didapati sudah ada usaha kearah meningkatkan penguasaan kosa kata pelajar. Tetapi perancangan dan pembinaan bahan kosa kata dan pendekatannya kurang dilakukan dengan teliti, teratur dan sistematik. Pembentukan bahan dan pelaksanaannya rata-rata dilakukan secara rambang. Pemilihan kosa kata umpamanya tidak berpandukan sebarang daftar kata khas atau kumpulan perkataan yang telah dikenal pasti bagi satu-satu tema. Ini menimbulkan kegenjotan dari segi tahap kepayahan dan pemeringkatan kosa kata dalam bahan pengajaran bagi para pelajar pelbagai kursus/aliran, dan keadaan perulangan yang tidak sepatutnya bagi perkataan yang telah dipelajari.

Kesamaran dari segi objektif yang termaktub dalam sukatan pelajaran memberikan gambaran bahawa pembelajaran kosa kata kurang penting berbanding dengan aspek-aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa. Pada hal, telah dimaklumi bahawa penguasaan pelajar dalam kosa kata mempunyai pengaruh langsung terhadap keupayaannya mendengar, bertutur,

187

membaca dan menulis. Oleh itu, aspek ini juga berhak menerima tumpuan dan layanan yang sewajarnya seperti aspek-aspek bahasa yang lain. Kaitan dan keadaan ini kurang disedari oleh para penggubal dan pelaksana program Bahasa Melayu. Hal ini terbukti dengan cara bahan pengajaran bagi kosa kata ini dibina dan bagaimana bahan ini harus disampaikan. Walaupun ada usaha bagi memuatkan aspek kosa kata ini dalam hampir setiap unit buku teks, paparan yang dikemukakan menampaknya bahawa aspek ini hanya merupakan bahagian kecil dan tertakluk di bawah komponen aktiviti membaca yang hanya berperanan sebagai aktiviti susulan setelah para pelajar membaca teks bacaan dan menjawab soalan kefahaman. Selain diajar secara tak langsung dan tiada tumpuan terhadap pengajaran dari segi kemahirannya, aktiviti-aktiviti pengukuhan bagi tujuan pemantapan terhadap kosa kasa yang dipelajari tidak diberikan ruang langsung. Atas sebab ini, keberkesanan program yang dibina masih boleh dipertikaikan.

Pelaksanaannya di bilik darjah juga kurang diberikan perhatian. Secara umum, guru dianggap sudah dapat melaksanakan tugas ini dengan baik. Berdasarkan andaian ini, buku panduan guru yang disediakan tidak memberikan panduan pengajaran yang secukupnya kepada para guru. Panduan serupa ini penting kerana ia juga berperanan bagi menentukan kejayaan sesuatu program bahasa yang disediakan. Adalah menjadi satu hakikat bahawa para guru Bahasa Melayu hari ini berhadapan dengan kumpulan pelajar yang secara purata kurang penguasaan dalam Bahasa Melayu dan mempunyai latar belakang bahasa yang berbeza-beza. Menurut kajian yang dijalankan, sebanyak 21.3% (sila rujuk Jadual 2) para pelajar Melayu bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah. Trend ini sudah pasti memberikan kesan terhadap pengajaran, pembelajaran dan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar. Oleh yang demikian, guru khususnya guru yang baru mengajar perlulah dibantu dengan panduan-

188

panduan dan strategi-strategi yang pelbagai bagi mengatasi cabaran yang dihadapi agar mereka lebih efektif, berkeyakinan dan menghasilkan keputusan yang setimpal.

Sebagai wadah bagi penyerapan dan penerapan nili-nilai murni pula, peranan yang dimainkan oleh program Bahasa Melayu ini selaras dan bertepatan dengan pembangunan dan aspirasi masyarakat dan negara bagi membina insan yang berbudi dan berhemah tinggi. Pada keseluruhannya, nilai-nilai murni yang cuba diterapkan bersesuaian dan berlandaskan nilainilai budaya masyarakat Melayu, negara yang berbilang kaum dan agama dan nilai-nilai sejagat. Nilai-nilai ini disampaikan melalui saluran-saluran yang ada seperti peribahasa dan bahan sastera yang dimuatkan dalam program Bahasa Melayu di sekolah-sekolah menengah.

Malangnya, penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni melalui kedua-dua saluran ini tidak seimbang bagi semua pelajar pelbagai kursus/aliran. Pelajar-pelajar Normal (Teknikal) mempunyai peluang yang amat sedikit untuk mengenali dan menghayati nilai-nilai yang digambarkan melalui saluran ini. Ini kerana aspek peribahasa tidak merupakan aspek yang perlu dipelajari oleh para pelajar tersebut. Begitu juga bahan-bahan sastera yang termuat dalam program Bahasa Melayu bagi golongan ini amat terhad bilangannya.

Dari segi pemilihan dan pembinaan bahan-bahan juga terdapat kekurangan khususnya dalam aspek perancangan dan penelitian. Sejauh ini belum ada rujukan atau daftar nilai-nilai yang hendak disalurkan dan diterapkan yang tercatat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Pemilihan dilakukan secara rambang dan yang difikirkan sesuai bagi para pelajar mengikut tahap keupayaan dan kursus/aliran. Mengenal pasti atau mewujudkan daftar nilai-nilai murni yang hendak diterapkan terlebih dahulu amat perlu kerana daftar nilai ini dapat bertugas sebagai garis panduan agar pemilihan nilai-nilai yang hendak diterapkan lebih tersusun dan

189

fokus dan tidak menyimpang daripada matlamat asal penerapannya. Daftar nilai ini juga boleh dijadikan sebagai panduan atau dasar umpamanya dalam membuat pilihan dan menentukan kesesuaian peribahasa dan teks-teks bacaan yang dimuatkan dalam program Bahasa Melayu khususnya dari segi nilai yang hendak disampaikan.

Begitu juga didapati pemilihan bahan-bahan dilakukan dengan kurangnya kesedaran bahawa nilai-nilai yang terkandung dalam watak-watak tertentu boleh mendatangkan kesan yang negatif dalam jangka panjang. Jadi, ada bahan-bahan yang dikemukakan didapati kurang sesuai kerana mengandungi nilai-nilai yang sedemikian. Penggunaan bahan-bahan prosa klasik pula yang menonjolkan kejayaan dan kehandalam watak-watak seperti Hang Tuah dan Tun Perak sebagai model didapati kurang sesuai dan boleh mengelirukan para pelajar melainkan watak-watak ini dibincangkan dan dinilaikan secara wajar. Walaupun prosa moden berjaya menonjolkan nilai-nilai murni yang dingini, keupayaan bahan ini dihadkan oleh peluang, ruang dan masa kurikulum Bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan prosa moden amat sedikit bilangannya dan penggunaannya hanya terbatas kepada pelajar-pelajar kursus/aliran Normal (Akademik), Ekspres dan Khas sahaja.

Kaedah penerapan nilai-nilai murni juga perlu diberikan perhatian. Sejauh ini, penerapan nilai-nilai ini secara tidak langsung. Selain itu, para guru juga sering berdepan dengan konflik nilai seperti konflik nilai yang dipegang oleh para pelajar yang datang dan membesar dalam sekitaran yang berbeza-beza. Untuk memungkinkan penerapan nilai berjalan secara lebih licin dan berkesan, para guru perlu memahami hakikat ini dan berusaha untuk mewujudkan sekitaran yang tidak mengancam sistem nilai yang dipegang oleh setiap pelajar. Peluang-peluang bagi para pelajar menteladani contoh atau model yang ditonjolkan dan menghayati nilai-nilai yang diperkenalkan haruslah diterbitkan. Suasana sekolah dan bilik

190

darjah yang kondusif merupakan kunci bagi penglahiran pemikiran dan perlaksanaan perlakuan yang memungkinkan pembentukan moral dan peribadi setiap pelajar. Sekolahsekolah perlu bersikap terbuka dan adil agar menjadi model kepada para pelajar di samping mewujudkan suasana yang merangsang pembentukan peribadi yang diingini. Oleh yang demikian, bagi tujuan penyerapan dan dan penerapan nilai-nilai murni, setiap perancangan dan pembentukan sesuatu kurikulum bahasa perlulah mengambil kira aspek-aspek yang dibincangkan ini untuk mendapatkan keputusan yang semaksimum mungkin.

Menyedari hakikat bahawa perancangan bahasa itu penting dalam pembinaan dan penakatan negara sebagaimana pentingnya perancangan sektor ekonomi, pertahanan, politik, perundangan dan kebudayaan, maka pihak MOE perlulah bersikap lebih proaktif untuk memastikan kemantapan program Bahasa Melayu yang dihasilkan melalui perancangan bahasa yang baik. Satu langkah yang boleh dilakukan ialah dengan menubuhkan jawatankuasa penilai yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang kurikulum khususnya dalam kurikulum Bahasa Melayu. Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada pihak di dalam dan di luar MOE. Jika perlu, khidmat kepakaran luar negara juga boleh dipertimbangkan. Tugas jawatankuasa ini ialah meneliti dan menilai kurikulum yang digunakan dari masa ke semasa. Laporan yang dihasilkan daripada pengamatan dan penilaian jawatankuasa ini boleh dijadikan sandaran bagi memperkemas dan memperbaik kurikulum yang ada secara konsisten. MOE tidak harus menunggu untuk menubuhkan jawatankuasa seperti ini bila berlaku satu-satu semakan kurikulum sahaja. Ini kerana penilaian kurikulum perlu dilakukan secara berterusan dan konsisten dalam usaha memantapkan dan mewujudkan kurikulum Bahasa Melayu yang bermutu.

191

Secara keseluruhannya, berdasarkan kajian terhadap ketiga-tiga aspek bahasa iaitu sebutan baku, kosa kata dan penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni ini, dua kesimpulan dapat dibuat:

i.

Terdapat usaha secara sedar oleh pelbagai pihak dalam merealisasikan objektif ketiga-tiga aspek bahasa yang dikaji. Intipati ketiga-tiga aspek bahasa ini selaras dengan misi dan visi bagi pembangunan dan penakatan bahasa, bangsa dan negara. Walaupun demikian, penyertaan daripada semua pihak yang harus terlibat secara langsung atau tidak langsung masih di tahap yang belum mencukupi.

ii.

Beberapa golongan yang terlibat langsung dengan pembinaan dan pelaksanaan program ini masih menampakkan tahap kesedaran yang kurang memuaskan terhadap kepentingan, kedudukan dan peranan ketiga-tiga aspek yang dikaji dan kaitannya dalam pembangunan, penguasaan dan penakatan Bahasa Melayu . Hal ini tergambar dalam pendekatan dan bentuk perancangan dalam pembinaan dan pembentukan program Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, pendekatan dan tumpuan yang digunakan dalam pembentukan dan pelaksanaan ketiga-tiga aspek bahasa ini masih jauh daripada memuaskan. Terdapat beberapa pendekatan dan keputusan yang dibuat tanpa penelitian yang wajar dan tidak mengikut cara-cara yang sepatutnya yang akhirnya menimbulkan beberapa kejanggalan dan persoalan.

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa kurangnya komitmen semua pihak dan kurangnya kesedaran yang mencukupi oleh para penggubal, pelaksana dan pengguna bahasa

192

terhadap pentingnya aspek-aspek bahasa yang sedang diusahakan ini telah mempengaruhi pelaksanaan dan pencapaiannya. Usaha murni ini dapat dipertingkatkan dan dicapai sekiranya masalah kesedaran ini dapat ditangani dan semua usaha pelbagai pihak dapat disepadu dan digembeleng ke arah pencapaian objektif setiap sistem dan fungsi bahasa khususnya dan pemantapan serta penakatan bahasa Melayu amnya.

193

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful