Konsep Terapi Bercerita Aktiviti bercerita merupakan kaedah yang digunakan untuk menyampaikan peristiwa dengan menggunakan perkataan

, imej dan suara. Cerita berbentuk naratif ini telah digunakan oleh setiap budaya masyarakat sebagai hiburan, pengekalan budaya serta ia berkesan dan sesuai digunakan dalam pemupukan nilai-nilai murni dan moral di kalangan kanak-kanak sejak kecil lagi. Plot dan watak-watak dalam sesebuah cerita juga merupakan elemen penting yang terkandung dalam cerita yang hendak disampaikan selain daripada nilai-nilai murni yang diterapkan. Oleh kerana dalam sesebuah cerita itu terkandung nilai-nilai murni yang boleh diterapkan ke dalam setiap diri individu terutama kanak-kanak, dan ditambah pula dengan sifat instrinsik kanak-kanak yang suka mendengar cerita, maka terapi bercerita dijadikan sebagai pendekatan yang paling berkesan untuk kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku bermasalah. Kanak-kanak akan dapat mempelajari cara-cara penyelesaian masalah seperti yang dilakukan oleh watak dalam cerita dan menjadikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam cerita sebagai panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan mereka. Bercerita dijadikan sebagai satu kaedah yang boleh digunakan dalam menjalankan terapi terhadap kanak-kanak selain daripada terapi-terapi lain yang turut digunakan seperti terapi muzik, terapi seni, biblioterapi dan terapi bermain. Seperti terapi-terapi lain, terapi bercerita mempunyai kegunaan yang sangat menyeluruh dalam membantu kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah. Dalam sesebuah cerita, ia merangkumi pelbagai pengalaman emosi. Ini membantu kanak-kanak memilih perkataan yang bersesuaian dan diperlukan untuk menyatakan perasaan yang sedang mereka alami serta membantu kanak-kanak untuk memahami perasaan tersebut.