You are on page 1of 16

1.

PENGENALAN

1.1 Pengertian Bahasa Melayu Klasik

Bahasa Melayu Klasik dalam konteks ini adalah bahasa Melayu yang pernah digunakan pada

suatu masa dahulu. Berikutan sifat bahasa yang sentiasa berkembang ianya juga telah

berkembang mengikut peredaran masa dan tahap kemajuan sesebuah masyarakat. Para

sarjana telah membuat pelbagai pengertian mengenai Bahasa Melayu Klasik ini, antaranya

ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), menyatakan bahawa bahasa abad ketiga belas dan ketujuh

belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik.

Seperti apa yang diutarakan oleh beliau tadi, zaman peralihan daripada bahasa Melayu

Kuno kepada Bahasa Melayu Klasik bermula pada sekitar abad ke 13 dan 14. Pada masa itu

banyak dijumpai prasasti yang ditulis menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah

terdapat pengaruh bahasa Arab. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Ismail Hussin

(1984:25), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan 14. Beliau menyebutnya

sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan kedatangan Islam. Bukti

konkrit tentang kedatangan Islam di Nusantara dari sudut sejarah diperolehi pada tahun

1292M sewaktu Marco Polo melawat Sumatera dan catatannya menganai pengislaman Pasai.

Kegemilangannya bahasa Melayu Klasik boleh dibahagikan kepada tiga zaman

penting iaitu Zaman kerajaan Melaka, Zaman kerajaan Acheh dan Zaman kerajaan Johor-

Riau. Pada zaman kerajaan Melayu Melaka bahasa Melayu menjadi medium dalam

pemerintahan, perhubungan, perdagangan dan penyebaran agama Islam. Banyak karya-karya

telah terhasil pada zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik. Karya-karya seperti Hikayat

Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Hikayat Hang Tuah dan

sebagainya begitu terkenal pada masa itu. Semua karya yang dihasilkan ditulis dalam tulisan

1
jawi. Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-

Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Banyak naskhah Melayu lama yang ditulis menggunakan bahasa Melayu sukar

diperolehi kerana beberapa faktor seperti adanya kecenderungan para orientalis Barat

mengumpul dan membawa pulang naskhah-naskhah asal ke negara mereka sehingga kita

sendiri yang terpaksa merujuk ke muzium di negara-negara Barat.

Bahasa Melayu Klasik ini mempunyai pelbagai keistimewaan. Bahasa Melayu ini

digunakan oleh pengarang bagi menghasilkan sesebuah karya sama ada dalam bentuk

keagamaan, kesusasteraan atau ketatanegaraan. Karya-karya ini juga banyak menyentuh

tentang budaya, politik, dan ekonomi sesebuah masyarakat. Para pengkaji Barat menganggap

bahawa teks Melayu lama ini serba lengkap mengenai struktur organisasi sesebuah kerajaan

Melayu pada masa itu.

1.2 Ciri-ciri bahasa klasik:

Pengaruh Islam menjadi semakin kuat sehingga bahasa Melayu Klasik mengalami banyak

perubahan dan penggunaan bahasa Melayu Kuno mula diganti dengan bahasa ini. Bahasa

Melayu Klasik banyak mendapat pengaruh Arab. Perkembangannya bahasa Melayu Klasik

seiring dengan perkembangan kerajaan Melayu yang wujud pada masa itu. Bahasa Melayu

telah mengalami perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Antara cirri-ciri

bahasa Melayu Klasik ialah:

A. Ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.

Bentuk struktur ayat dalam karya bahasa Melayu Klasik agak panjang iaitu
mengandungi beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-
kata hubung yang tertentu, terutamanya ‘dan’ dan ‘atau’ ataupun dengan
menggunakan tanda koma bertitik sahaja. Terdapat penggunaan ayat songsang dengan

2
pendepanan predikat kesan daripada tatabahasa Arab. Perkara ini amat berbeza
dengan konteks bahasa Melayu Moden yang mempunyai ayat yang lebih ringkas,
padat dan tepat sesuai dengan fungsinya untuk mengungkapkan idea dan buah fikiran
yang abstrak dan kompleks.

B. Banyak ayat pasif

Ayat pasif agak lumrah digunakan dalam sesebuah karya bahasa Melayu
Klasik. Ianya lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Perkara ini dapat kita
perhatikan dengan meneliti contoh-contoh di bawah:

a. Hatta datanglah kepada suatu hari maka hamzah dan Umar Umayyah
dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim.
b. Maka dilihatlah tanah negara bukit menjadi seperti warna emas.....

C. Menggunakan bahasa Istana

Bahasa Melayu Klasik sememangnya lebih bersifat bahasa Istana. Ini amat

ketara dengan penggunaan perkataan dan sistem panggilannya. Karya yang dihasilkan

pada masa dahulu banyak berkisar kepada keagungan raja atau kemahsyuran sesebuah

pemerintahan. Ianya telah menyebabkan tulisan yang dihasilkan lebih mirip kepada

penggunaan perkataan bahasa Istana dan struktur ayat juga berdasarkan pertuturan

lisan bahasa Istana.

D. Kosa kata bahasa Arab, Sanskrit dan Klasik

Pengaruh kosa kata daripada ketiga-tiga bahasa ini disebabkan oleh bahasa
Sanskrit sudah terlebih dahulu bertapak di kepulauan Melayu dan penyebaran agama
Islam telah membawa bahasa Arab ke kepulauan ini. Justeru itu bahasa Melayu Klasik
banyak menerima pengaruh daripada kedua-dua bahasa ini. Contoh yang jelas adalah
perkataan seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya,
masyghul (bersedih), makhdum, mualim daulat, dosa, pahala dan lain-lain.

E. Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat)

3
Bahasa Melayu Klasik banyak menggunakan perdu perkataan iaitu kata
pangkal ayat yang agak usang atau klise. Kata-kata seperti ini tidak lagi digunakan
pada masa kini. Kata-kata seperti ini bukan sahaja digunakan untuk memulakan
sesuatu perenggan, tetapi ia juga digunakan pada awal-awal ayat dalam perenggan.
Antaranya ialah perkataan sebermula, alkisah, hatta, adapun.

F. Banyak menggunakan partikel `pun' dan 'lah'

Partikel ‘pun’ dan ‘lah’ digunakan di hujung perkataan. Karya-karya bahasa


Melayu Klasik banyak penggunakan partikel-partikel ini. Penggunaan partikel-
partikel ini seperti dalam contoh di bawah:

i. “Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan


orang rupanya”.

ii. Batu pun habis berpelantingan.

iii. Syahbandar pun turunlah.

G. Penggunaan kiasan, perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi

Karya-karya Melayu Klasik banyak menggunakan kiasan dan perbandingan


serta laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam. Penggunaan ini
mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu Klasik itu sendiri, yang pada asalnya
dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dapat menghidupkan
suasana penceritaan.

2. SINOPSIS KARYA DAN BIODATA PENULISNYA.

4
2.1 Sinopsis Sejarah Melayu

Sejarah Melayu merupakan sebuah karya yang tergolong di dalam jenis sastera

sejarah. Sejarah Melayu dibina di dalam bentuk kisah-kisah yang pendek. Kisah-kisah

itu disusun mengikut kronologi tetapi tidak diatur di dalam urutan plot yang nyata.

Kisah-kisah ini tidak bertumpu khusus kepada satu-satu watak ataupun tema, tetapi

sebaliknya bertukar sewenang-wenangnya.

Teks Sejarah Melayu pada amnya mengisahkan pengalaman-pengalaman

sejarah yang dialami oleh raja-raja Melayu yang memerintah Melaka, dari awal abad

ke 15 hingga awal abad ke 17. Inti ceritanya ialah berkenaan raja-raja Melaka dan

pemerintahan rajanya yang pertama hinggalah ke raja-raja yang akhir, apabila

Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511. Selepas itu penulisannya dilanjutkan

lagi hingga ke zaman awal penubuhan raja-raja Melayu dari Melaka ke Johor.

Di samping judul dalam bahasa Melayunya ‘Sejarah Melayu’, karya sastera

sejarah ini juga dikenali dengan judul Arabnya ‘Sulalatu I’-Salatin’ yang bererti

Salasilah Sultan-Sultan. Ada di kalangan para sarjana berpendapat bahawa Sejarah

Melayu merupakan hasil sastera tradisional Melayu yang terpenting sekali. Ia bukan

hanya terletak pada nilai kandungannya, tetapi pada kekerapan dan terlalu banyak kali

ia disalin dan diminati. Oleh yang demikian, Sejarah Melayu mengandungi naskah-

naskah salinan yang paling banyak sekali bilangannya dibandingkan dengan naskah-

naskah bercorak sejarah yang lain.

Naskah Sejarah Melayu terbahagi kepada 3 jenis:

1. Naskhah Raffles 18, Royal Asiatic Society, London

2. Naskhah-naskhah edisi Abdullah Munsyi, edisi W.A Shellabear dan edisi


Dulaurier

5
3. Naskhah yang tersimpan di perpustakaan Royal Asiatic Society of London

2.2 Biodata Penulis Sejarah Melayu

Sebagai sebuah hasil sastera, sudah tentulah kita ingin tahu siapakah penulis atau

pengarangnya. R.O Winstedt berpendapat bahawa pengarang Sejarah Melayu adalah

seorang yang mempunyai jiwa seni. Pengarang Sejarah Melayu ini adalah seorang

yang menetap di istana dan mempunyai pengetahuan yang luas. Pengarang Sejarah

Melayu ini juga pandai banyak bahasa dan menguasai serta boleh bertutur dengan

pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Parsi, Jawa, Portugis dan Tamil.

Dr. T. Iskandar berpendapat bahawa sebenarnya Tun Sri Lanang adalah pengarang

Sejarah Melayu. Hal ini juga dipersetujui oleh Prof. Hsu Yun Tsiao. Perkara ini jelas

dalam pendahuluan buku Sejarah Melayu. “Bahawa beta minta perbuatkan hikayat

pada Bendahara, peri persatua dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan

istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian

daripada kita ...... Maka fakir karanglah hikayat ini ....... supaya akan menyukakan

duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat itu Sulalatu ‘I-Salatin, yakni

peraturan segala raja-raja.”

Bendahara yang dimaksudkan di sini ialah Tun Muhammad dan lebih dikenali

dengan nama timang-timangannya Tun Sri Lanang. Menurut Liaw Yock Fang, Tun

Sri Lanang adalah penulis atau penyusun Sejarah Melayu.

Ismail Hussein pula menyatakan bahawa Tun sri Lanang bukanlah pengarang

Sejarah Melayu tetapi penyalin naskah asli yang dibawa dari Goa. Penulis Sejarah

Melayu ialah orang Melaka yang menyaksikan kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi.

6
Apabila Tun Sri Lanang menyalin dan membangun semula Sejarah Melayu, beliau

telah membuat banyak perubahan daripada naskah asal.

Tun Sri Lanang seperti yang digambarkan Winsted ialah seorang yang

Bendahara Paduka Raja Melaka daripada keturunan Bendahara Melaka dan Johor.

Tun Sri Lanang hidup pada akhir abad ke-16 dan awal abad ke-17 dan telah dapat

menyelesaikan Sejarah Melayu pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah. Tun Sri

Lanang seorang yang bijak dan mempunyai jiwa seni serta rapat dengan golongan

istana. Tun Sri Lanang juga sudah membaca buku-buku hikayat seperti Hikayat

Iskandar, Hikayat Muhamad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah serta banyak

mengetahui bahasa Arab, Parsi, Jawa, Portugis dan Tamil.

3. PERANAN TEKS DALAM PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Kalau dilihat daripada segi bahasa, Sejarah Melayu adalah naskhah yang

tertua kerana selain daripada ejaannya yang lebih kuno, terdapat perkataan-perkataan

dalam sebutan lamanya yang jarang didapati dalam kitab-kitab Melayu lama seperti

kata asti, sarhad, incit, netiasa dan banyak lagi (Abdul Rahman Ismail, 1998:17).

C.Hooykaas (1981:163) menyatakan bahawa Sejarah Melayu merupakan

sumber bahasa yang penting. “Bahasa yang dipakai dalam Sejarah Melayu itu ialah

bahasa cerita yang sederhana, bahasa Melayu Kuno yang baik. Bangsa Eropah

sentiasa amat tertarik oleh cara kitab itu melukiskan sesuatu hal dengan cara yang

sederhana sekali dan oleh isi kitab itu yang sangat indah.”

Teks Sejarah Melayu telah memperlihatkan perkembangan dalam bahasa

Melayu itu sendiri. Jika kita tinjau daripada pelbagai sudut ia sememangnya telah

7
memberikan impak yang tinggi dalam kemajuan bahasa Melayu sehinggakan para

pengkaji barat begitu tertarik untuk mendalami atau mengkaji teks ini.

Jenis aksara yang digunakan dalam teks ini ialah tulisan jawi yang telah

disesuaikan bahasa Melayu ketika itu. Ada beberapa huruf baharu yang ditambah

seperti pa, nga, ga, nya dan ca. Teks ini menggunakan sistem ejaan lama, seperti

contoh, suroh berhadir (suruh hadir), membacha (membaca), dudok (duduk), sa orang

(seorang) dan lain-lain lagi.

Sekiranya kita tinjau dari aspek fonetik dan fonologi, iaitu kajian berkaitan

ilmu bahasa yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukan

sebutan dan kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa, banyak perkataan

yang telah diketengahkan. “Sejarah Melayu, cetera ketiga puluh dua: Tun Sri Lanang

menceritakan bahawa Tun Mai Ulat Bulu telah menyindir Makhdun Sadar Jahan

yang tidak dapat menyebut perkataan Melayu seperti kusying (kucing), kunit (kunyit)

dan niru (nyiru.)”.

Melalui aspek morfologi pula, kita dapat melihat keseluruhan buku ini ditulis

dalam bentuk prosa dan juga bentuk puisi yang menggunakan bahasa Melayu Klasik

yang cukup indah dan menarik. Ia telah menampakkan unsur-unsur yang gramatis dan

tatabahasa yang semakin sempurna di samping penggunaan beberapa imbuhan seperti

per....an, meng....kan dan diper....kan. Kata pangkal ayat yang lazim digunakan dalam

teks Sejarah Melayu seperti hatta, sebermula, syahadan, arakian dan lain-lain lagi.

Contoh penggunaan kata pangkal ayat yang digunakan ialah seperti berikut:

“Hatta, berapa lamanya, setelah sudah Raja Iskandar melihat matahari

terbit, maka bagindapun kembalilah, lalu dari negeri Raja Kida Hindi...

Di samping penggunaan kata pangkal ayat, terdapat juga penggunaan kosa

kata lama yang dipengaruhi oleh bahasa asing, lebih-lebih lagi bahasa Arab. Selain

8
bahasa Arab, bahasa-bahasa lain seperti bahasa Parsi, Siam, Tamil dan Jawa turut

diselitkan dalam Sejarah Melayu ini. Bahasa Arab sangat banyak digunakan lebih-

lebih lagi di bahagian awal hikayat ini. Contohnya:

Bismi’llahi-‘r-rahmanir-rahim

Alhamdu Li’llahil-lazi la-ilaha illa huwa,

Selain bahasa Arab terdapat juga beberapa perkataan atau ayat-ayat Jawa yang

digunakan, lebih-lebih lagi dalam bab-bab yang menceritakan tentang kerajaan

Majapahit, Misalnya:

Maka segala anak pariai itu pun melawan maka habis mati dibunuh orang, serta mati

seorang diberitahu pada Pateh Adam,’Pengeran, si anu sampun pejah’. Maka sahut

Pateh Adam, ‘Dimadimani’, ertinya, biarkanlah, dengan demikian keempat puluhnya

habis mati dibunuh orang, maka diberitahu Pateh Adam sekeliannya.’Kabeh sampun

pejah...kabeh insun putra dalam ikibala nanging puanara’. Ertinya, biarnyalah habis

mati semuanya, akan aku anak orang ini pun padalah.

Terdapat juga penggunaan bahasa Siam seperti :

Klang kio ertinya perbendaharaan permata

Kwai kwai ertinya perlahan-lahan

Kata-kata Parsi yang terdapat dalam Sejarah Melayu, antara lainnya ialah, “Ar’ayat

juna bakhsanat sultan khasad” yang bermaksud rakyat itu umpama akar, yang raja itu

umpama pohon. Jikalau tiada akar, nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian

lagi raja dengan rakyatnya.

Selain penggunaan kata-kata asing, dalam Sejarah Melayu juga banyak

terdapat pemakaian bahasa-bahasa perbandingan atau bahasa kiasan. Misalnya,

“...maka Raja Chulan pun berangkat mengeluari Raja Suran; rupa rakyat seperti laut

tatkala pasang penuh. Rupa gajah dan kuda seperti pulau. Rupa tunggul panji-panji

9
seperti hutan. Rupa senjata berlapis-lapis. Rupa cemara tombak seperti bunga

lalang...”

Selain daripada bahasa berbentuk prosa, di sana sini dalam keseluruhan

naskah Sejarah Melayu, diselitkan juga dengan bahasa berbentuk puisi. Bentuk puisi

yang lumrah dalam naskah Sejarah Melayu ialah pantun. Biasanya pantun ini

digunakan bagi menceritakan sesuatu peristiwa. Contohnya:

Telur itik dari Singgora,


Pandan terletak dilangkahi,
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.

Pantun ini mengisahkan pembunuhan Tun Jana Katib di Singapura dengan perintah

raja sendiri. Setelah ditikam, badan Tun Jana Katib ghaib. Ada yang mengatakan

badannya dihantar ke Langkawi. Selain dari pantun Melayu terdapat juga pantun

Jawa. Selain pantun, terdapat juga bentuk puisi lain yang berupa nyanyian rakyat iaitu

nyanyian yang disertai dengan permainan.

Selain daripada bentuk-bentuk puisi yang disebutkan tadi, kita dapat melihat

bahawa rakyat Melaka juga mengetahui bentuk-bentuk puisi lain. Mereka telah

mengetahui syair, seloka, bait dan gurindam. Sejarah Melayu ada mengatakan

bahawa;

Maka bercaturlah Tun Bahara itu dengan orang Melaka; lawannya itu

berfikir, ia tiada berfikir, pandang kiri, pandang ke kanan, sambil ia bersyair dan

berbait dan bergurindam dan berseloka.

Jadi, dari kenyataan yang telah ditunjukkan tadi, sudah sememangnyalah

perkembangan bahasa Melayu pada zaman itu amat meluas dan teks Sejarah Melayu

telah menjadi bukti betapa kukuhnya penggunaan bahasa Melayu klasik pada masa

itu.

10
4. SUMBANGAN TEKS SEJARAH MELAYU DALAM PERADABAN BANGSA
MELAYU.

a. Aspek Politik dan Ketatanegaraan

Aspek politik dan Ketatanegaraan merupakan suatu aspek yang penting untuk

mengukur sejauhmana keberkesanan pentadbiran sesebuah masyarakat. Dengan

adanya kestabilan dari aspek politik dan Ketatanegaraan sesebuah masyarakat

akan hidup dalam keadaan yang harmoni dan aman. Menurut apa yang telah

digambarkan oleh Sejarah Melayu, Melaka bolehlah dianggapkan sebuah empayar

Melayu yang teguh dan stabil di bawah satu susunan politik tradisional yang

tersusun.

Pusat kekuasaan terletak di tangan seorang sultan. Sungguhpun seseorang

sultan di Melaka tidak mempunyai Majlis Negeri untuk menasihati baginda tetapi

dalam susunan pentadbiran dan pemerintahan, baginda melantik beberapa orang

besar yang masing-masing mempunyai peranan yang tertentu. Di antara

pembesar-pembesar itu ialah seorang Laksamana, seorang Temenggung, beberapa

orang Syahbandar dan seorang Penghulu Bendahari. Dalam Sejarah Melayu, raja

pertama yang dikatakan mengadakan sistem menteri-menteri ini ialah Raja Besar

Muda anak kepada Raja Iskandar Syah. Pemerintahan yang digunakan adalah

berpusat.

Dalam titik-bengik pentadbiran, hubungan dan kerjasama antara raja dan

pembesar sangat rapat. Pembesar dinilaikan sebagai kayu dan raja sebagai api.

Tanpa kayu api tidak akan menyala. Hakikat ini pada amnya dapat kita lihat

daripada sebuah bidalan Parsi yang digunakan oleh pengarang Sejarah Melayu

yang berbunyi...’Ar’ayat juna bakhsanat Sultan Khasad...’ yang kemudian

11
diterjemahkan oleh Tun Sri Lanang sebagai ... rakyat itu umpama akar, yang raja

itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan dapat berdiri,

demikian lagi raja itu dengan rakyatnya.

Naskah Sejarah Melayu ada menyatakan bahawa rakyat Melaka amat tunduk

dan taat kepada perintah raja. Ini disebabkan oleh dua konsep yang dipegang

teguh oleh mereka. Konsep-konsep itu ialah ‘daulat’ dan ‘durhaka’. Daulat

meletakkan baginda di tempat yang lebih tinggi daripada masyarakat yang

menyebabkan baginda tidak boleh ditegur atau dicela. Jika seseorang itu

mengingkari perintah raja ia dikatakan derhaka. Masyarakat Melayu Melaka

berpegang teguh dengan kalimat ‘Melayu Pantang Derhaka’.

b. Aspek Sosio Ekonomi

Episod-episod bersejarah yang dibentangkan oleh Sejarah Melayu ada juga

menyebut mengenai sosio ekonomi masyarakat pada masa itu terutama

masyarakat Melaka. Kemunculan Melaka sebagai pelabuhan dagang telah

mewujudkan golongan usahawan pedagang dan peniaga daripada kaum pribumi

dan pendatang.

Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan merupakan sifat sejarah yang

dapat ditinjau melalui karya Sejarah Melayu. Ekonomi Melaka yang begitu kukuh

kerana Melaka menjadi tumpuan pedagang dan saudagar. Saudagar-saudagar dari

Arab, benua Keling dan China datang ke Melaka. Orang-orang Arab menamakan

Melaka sebagai Malakat, iaitu perhubungan segala dagang. Antara saudagar yang

disebutkan dalam Sejarah Melayu termasuklah Raja Mendaliar, Ali Manu Nayan

dan Nina Sura Dewana. Seperti dalam hikayat .....

12
Maka ada seorang biaperi di Melaka terlalu kaya, Ali Manu Nayan namanya;

apabila orang datang bermain ke rumahnya, maka diberinya kain atau emas,

atau barang benda yang gharib-gharib. Maka segala orang besar-besar dan

hulubalang Melaka semuanya datang bermain ke rumahnya, melainkan Tun

Hassan temenggung juga yang tiada datang ke rumahnya.

Ekoran daripada kewujudan usahawan pedagang dan peniaga daripada kaum

pribumi dan pendatang, pelbagai pihak telah mendapat manfaatnya. Golongan ini

seperti golongan hulubalang juga, tidak mungkin dapat membentuk sesuatu kelas

yang khusus dari segi profesionalisme kerana kegiatan perniagaan dan sektor

perniagaan dan perdagangan boleh dilibati dan dilakukan oleh sesiap sahaja, sama

ada oleh raja, pembesar mahupun rakyat, lelaki dan perempuan dalam masyarakat

tadi.

Mengikut catatan Tome Pires, beberapa orang Sultan Melaka sendiri

mengambil bahagian yang cergas dalam sektor ini sehinggakan baginda dikatakan

menjadi kaya-raya. Bukti ini tidak mungkin dapat menolak kenyataan bahawa

pembesar-pembesar Melaka juga turut berniaga. Antara mereka ialah Bendahara

Tun Mutahir, yang kemudiannya menjadi Seri Maharaja dan Tun Isap. Sejarah

Melayu ada menyebut mengenai Tun Isap;

“Adapun Hang Isap itu ada berniaga dengan Saiyid hamba Allah. Pada kira-kira

Saiyid itu ada emasnya sedikit lagi pada Hang Isap...”

Namun demikian, dalam banyak hal, orang asinglah yang nampaknya lebih

banyak terlibat dalam usaha perdagangan secara besar-besaran. Walaupun

demikian, jumlah masyarakat Melaka yang terlibat dalam perniagaan juga adalah

13
besar. Dalam pada itu juga satu ketetapan undang-undang telah diwujudkan iaitu

Undang-undang Laut Melaka yang meliputi tatacara berniaga.

c. Aspek Sosio Budaya dan Kemasyarakatan.

Kemunculan Sejarah Melayu bukan hanya pada fakta sejarahnya, tetapi fungsi

sosio-budayanya yang dapat memberi penilaian kepada pengkaji-pengkaji

terhadap institusi kesultanan Melaka. J.C. Bottoms, mengakui hakikat bahawa

terdapat persembahan cerita yang detail bersama ‘etiquette’, pakaian dan

pemerintahan yang diberikan oleh Sejarah Melayu itu sendiri.

Konteks ‘etiquette’ di sini umumnya merupakan penekanan terhadap budaya

yang bertumpu pada adat istiadat dan pola-pola normatif yang menjadi dasar

hidup masyarakat. Secara logiknya dapatlah dikatakan bahawa raja merupakan

tokoh agung dalam hiraki masyarakat tradisional Melaka yang menegakkan

konsep taat rakyat kepada raja dan negaranya. Raja dianggap kudus dan

mempunyai kuasa ‘supernatural’. Hal ini dapat diperincikan pada asal-usul

keturunan raja Melaka itu sendiri. Kelahirannya atau keturunan itu sendiri

diselaputi unsur-unsur magis dan mitos. Misalnya raja terdiri daripada buluh

betung dan buih. Dengan itu, secara tidak langsung bagi membatasi hubungan

secara terus antara raja dengan rakyat maka lahirlah konsep adat sebagai suatu

bentuk dakyah yang mesti dipatuhi.

Selaras dengan definisi adat istiadat itu sendiri, secara idealnya adat istiadat di

Melaka seperti yang dibentangkan dalam Sejarah Melayu, memang bertujuan

untuk membendung perlakuan-perlakuan sambil memupuk nilai-nilai

kemanusiaan anggota masyarakatnya kerana ia lebih merupakan kebiasaan yang

diiktiraf oleh masyarakat tersebut. Penetapan upacara-upacara dan peraturan-

14
peraturan itu sudah sememangnya mempunyai tujuan dan fungsi-fungsi tertentu

serta untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.

Golongan yang ditekankan dalam hal ini ialah golongan atasan dan

hubungannya dengan golongan rakyat biasa. Golongan atasan lebih berkuasa,

lebih mulia dan tinggi darjatnya dalam segala hal berbanding rakyat biasa.

Golongan rakyat biasa pula sentiasa mengekori, tunduk dan patuh kepada segala

peraturan yang telah ditetapkan kepada mereka.

Larangan-larangan kekuningan, peraturan-peraturan membuat rumah,

membuat perahu, peraturan memakai payung, larangan memakai emas dan

sebagainya jelas memaparkan masyarakat terutama masyarakat yang terlalu

mementingkan kedudukan dan status.

Walaubagaimanapun, upacara-upacara yang dibentangkan sungguh

mengkagumkan dan dapat mencerminkan masyarakat Melayu tradisional di

Melaka dan Johor yang kaya dengan adat ketimuran dan penuh dengan nilai-nilai

kesenian, keindahan dan kemeriahan.

Dalam pada itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh dan unsur-unsur Hindu

diselitkan dalam upacara-upacara tersebut. Ini juga dapat mencerminkan bahawa

adat istiadat dan upacara bercorak kehinduan masih menjadi anutan masyarakat

Melayu tradisional, walaupun ketika itu Islam telah berkembang dan menjadi

agama rasmi mereka ketika itu.

5. KESIMPULAN

Sejarah Melayu bukan sahaja telah merakamkan mengenai sejarah budaya dan keagungan

raja-raja Melaka tetapi secara tidak langsung ia telah mengangkat kerajaan Melayu Melaka ke

15
sebuah empayar besar yang teguh dan stabil di bawah satu sistem politik tradisional yang

tersusun. Justeru itu, tamadun bangsa Melayu telah dapat dinaikkan.

Perkembangan peradaban Melayu pada zaman sekarang adalah bertitiktolak daripada

peradaban aslinya. Harus kita akui bahawa peradaban Melayu bermula lebih awal daripada

zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Pada masa itu banyak perubahan penting telah

berlaku. Kedatangan Islam telah membentuk semula peradaban bangsa Melayu. Kebiasaan-

kebiasaan yang lama telah ditinggalkan walaupun masih ada lagi sedikit pengaruh hindu.

Sejarah Melayu banyak menceritakan mengenai kedudukan raja-raja Melau dalam

masyarakat. Aspek kebudayaan yang ditonjolkan pada masa itu juga jelas dinyatakan. Antara

aspek kebudayaan dan masyarakat seperti yang diutarakan dalam naskah Sejarah Melayu

ialah pakaian diraja dan kelengkapannya, adat mengadap raja dan budaya di istana, cara

mengiringi raja, senjata dan kelengkapan perang, alat kebesaran dan perhiasan, adat

perkahwinan, perayaan dan adat Islam serta amalan hidup rakyat jelata. Semua aspek ini telah

mengangkat peradaban bangsa Melayu.

16

You might also like