Puisi Kasih Berbau Syurga Perlahan terdengar, Suara nyaring menangis, buat yang pertama kali, kuat sekali

, Dengan kasih sayang seorang perempuan, Si kecil itu pun dibesarkan, ditimang-timang, disayang-sayang, hingga besarnya si kecil itu mengenal orang, bicara riang tak gusar susah senang. Perempuan yang pengasih itu, tak pernah meminta, hanya memberi selalu, bahkan pada si kecil itulah yang kini, sering dia memberi, bermanja-manja Perempuan itu senang menurutkan dalam senyuman, Si Kecil itu kini pandai canda tawa dan mahu bergaul orang, Bisa berlari berkejaran berkawan dengan sesiapa, Perempuan penyayang itu hanya melihat dia berkembang dewasa, Dibelainya kasih dan cinta, Diusapnya rambut sambil berpesan-pesan, Seingat budak yang telah dewasa itu begini barangkali, Berlakulah ihsan pada sesama manusia, jangan pernah mengalah, bila ditekan resah gelisah, mahupun dengkian yang menyusah. Kita mesti gagah teraju umat penyudah. Teruskan berjuang pantang menyerah! Ya Bait kata itu selalu diulang perempuan itu, Selalu… Setiap malam dalam rindukan Tuhannya, Dia berdoa dalam esaknya, Budak dewasa itu mendengar dari celahan pintu bilik, Perempuan itu selalu menyebut namanya, Dimohonnya agar budak dewasa itu sering terjaga dari segala bencana, dosa dunia, Dihiasi taqwa tamsilan iman mulia. Astaghfirullah… Menitis air mata hangat di pipi budak dewasa itu, Aku pun turut menangis amat, Ya…

Si kecil yang menjadi budak dewasa itu, Kini di sini, Dia adalah aku…. Perempuan itu adalah Ibu Kasihku… Sungguh saat ini aku mengerti kasih cinta ibu padaku… Si kecil yang menjadi dewasa dalam tangannya, Yang acap terima pesan darinya, Bagai puisi kasih berbau syurga! Wahai Allah yang Maha Beri Ampun Lupuskanlah dosa ibuku Wahai Allah Yang Kuasa Berikanlah rahmat kepada ibunda Wahai Allah Yang Esa Kasihilah ibu selamanya Ameen Ya Rabbal ‘Alamin Fauzan Ibrahim Bukit Beruang 7 Mei 2008 ---------------------------------Guru, Siapakah Dia?
Pernah dahulu kami tidak tahu menulis dan membaca, insan itulah yang mengajar kami memegang pena dan mengeja. Pernah dahulu kami berbahasa kesat, insan itulah yang melunakkan lidah kami yang liat. Pernah dahulu kami resah keliru, insan itulah yang memberikan arah untuk kami tuju. Pernah dahulu kami malas dan culas, insan itulah yang bertegas untuk kami maju dan cerdas. Pernah dahulu kami berlaku biadap, insan itulah yang membimbing kami mengenal sopan dan adab. Pernah dahulu kami lupa dan leka, insan itulah yang mengingatkan kami, hidup ini bukan suka semata. Insan itu pesan pada kami, Ilmu itu untuk iman keyakinan, bukan cakap sembarangan tiada pedoman. Insan itu nasihat pada kami, Iman itu bukan pakaian luaran sebagai hiasan, ia perlu digerakkan anggota badan sebagai amal bekalan. Insan itu tunjuk pada kami,

apa itu jalan kehidupan, dengan sabar dan tekun dia memberitakan: "Apabila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang kesabaran. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sikap pemurah. Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah." Siapakah insan ini? Dia lah Muhammad, guru umat masakini. Dia lah ibu. Dia lah ayah. Dia lah abang dan kakak. Dia lah guru. Dia lah cikgu. Dia lah ustaz. Dia lah pakcik dan makcik. Dia lah sesiapa yang mengajar dan mendidik. 15 May 2010 Fauzan Ibrahim ------------------------------Kawan Setia Pabila si dia berasing diri, Masih sentiasa bersama meskipun hanya di hati, Sebab dia begitu tulus, Selalu ingin bertanya khabar dalam kudus, Si dia yang setia itu memahami, Persahabatan tidak mungkin boleh dirancang, Hanya mampu bersedia, Dia mengajarmu persahabatan itu terjadi, Hanya bilamana dua insan saling memberi, Hadiah yang melindungimu setiap hari. Bersahabat itu dia kata, Terbit bila segala rasa bersama, Walau senyuman cuma, Ia merentas masa dan batas ruang, bilangnya. Dunia ini sekitarnya berubah, Tiada yang kekal gagah, Namun setia kawan tetap tak tergugah, Diuji masa tiada kalah, Sambil merawathilang segala luka dan resah. Ya Allah, Rahmatilah hati ini, demikian aku berdoa! Moga ia selamat, baik fajar siang mahupun malam gulita. Aku mahu kau berjanji sahabat, Kau akan kuat, Takkan dibiar gelap pada nyanyian dan semangat,

Janji padaku lagi hai rafiqi, Setia itu tidak pernah mati, Kita tetap sahabat setia sebab iman kita menjadi! Fauzan Ibrahim 8 Februari -------------------------Anak Muda – Sahamnya Tinggi Anak muda dan warga tua, setiap kelompok daripada keduanya memiliki apa yang tidak dimiliki oleh kelompok yang satu lagi. Anak muda memiliki semangat, kesungguhan pada mendapatkan sesuatu, tubuh badan yang sihat bertenaga serta daya responsif yang optimum. Tetapi mereka harus akur dengan beberapa kelemahan yang ada. Kelemahan yang bukan disengaja, tetapi dek perjalanan hidup yang belum panjang untuk sampai kepada memilikinya. Itulah pengalaman. Anak muda kurang pengalaman. Sedangkan pengalaman adalah guru yang berbeza berbanding ilmu. Jika ilmu mengajar manusia menjadi alim (berilmu), pengalaman membentuk manusia menjadi hakim (bijaksana). Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’aala sering menggabungkan nama-Nya ALEEM dengan HAKEEM. Seandainya kombinasi ini mahu diteladani oleh manusia, ia mengajar kepada kita bahawa berilmu sahaja tidak memadai. Kesarjanaan bukan jaminan untuk bertindak tepat kerana apa yang harus datang sama adalah hikmah kebijaksanaan. Ilmu menganugerahkan kesarjanaan, masa dan pengalaman menganugerahkan hikmah kebijaksanaan. Itulah kekurangan anak muda. Masa belum banyak memberikan pengalaman hidup, dan ilmu yang ada belum dimatangkan dengan pengalaman yang perlu. Berbeza dengan orang tua yang lebih dewasa. Mereka menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Cause and effect banyak yang sudah dilangsaikan dan semua itu menajamkan pemerhatian serta pandangan orang tua. Orang muda, orang tua, perlukan sinergi - situasi Menang-menang. Hormat-menghormati dan sayang-menyayangi. Fauzan Ibrahim 6 Mei 2010 ------------------------------

Kata Ayah
Sewaktu nasi tumpah ke tanah Kata ayah, ia bukan rezki untuk kita

Saya memandang putih mata Mencari makna pada usia yang terlalu muda. Sewaktu petang menua pulangkan warna terang Kata ayah, itulah anugerah Tuhan untuk kita Saya merenung dalam penuh tanya Mencari makna malam dan gelap yang datang. Sewaktu usia membawa saya kepada remaja Kata ayah, ia adalah tempoh yang paling mahal Saya mengira dengan akal Mencari berapakah mahalnya harga usia. Kata ayah, maruah adalah cinta Hanya satu tiada dua Anugerah paling berharga, jagailah ia dengan nyawa. Kata ayah, lelaki adalah khazanah Padat dengan segala kudrat Taklif selalu menjadikannya imam di depan Bukan kerana kuat tapi sebab taat Kata ayah, perempuan adalah rahsia Penuh rasa malu tercipta Tanpanya benteng takkan tega Menongkah perit cubaan dunia. Kata ayah, lindungilah dirimu wahai anak Dari sinar panahan syaitan Yang menunggu waktu kau layu Dia mencarimu disetiap yang bernama keseronokan. Kata-kata ayah saya simpan dalam peti azimat Buat bekal di perjalanan Apabila saya terasa hidup ini cukup penat Ia akan jadi pedoman yang mengingat. Kini, Setika saya sudah dewasa dan memamah erti hidup Dengan segala rasa payah, saya mencari makna kata-kata ayah Saya pegang amanah maruah Saya junjung beban kasih yang melimpah Hanya kerana pesan ayah, bahawa Cinta itu wahai anak Bukanlah benda yang dapat dicari Tidak juga boleh dibeli Jauh lagi untuk dimusihi Pun bukan untuk dipenuhi Atau untuk dibinasai. Cinta itu wahai anak Adalah yang mewangi bila diuji Yang tabah bila disakiti, yang redha bila dilukai Yang tidak hilang bilamana musim berganti.

Kau akan berjaya Bila siang yang terang tidak mampu memanah kulitmu dan malam tidak mampu menggelapkan hatimu dan ujian tidak mampu meruntuhkan dirimu dan cinta tidak mampu menurunkan darjatmu dan kegembiraan tidak mampu membeli kekhusyukanmu dan pada ketika itu kau akan merasa dunia ini manis dalam ujian yang pilu kau akan dapati indahnya ketekunanmu memelihara malu pada ketika cinta sejati yang Tuhan kurniai tidak mampu mendorongmu menyerahkan harga diri. Sebaliknya, Kau tetap segar dan mekar Di dalam pagar syariat yang kukuh, utuh dan ampuh Kau melindungi diri Kau dilindungi Tuhan Yang Maha Tinggi. Demikian, pesan ayah saya simpan Di sudut hati yang paling suci Mengisi segala nilai-nilai murni! Fauzan Ibrahim

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful