You are on page 1of 7

Kepentingan Pemuliharaan Warisan Kebudayaan di Negara Malaysia oleh Farah Shaqhirah Binti Robert Raja “Warisan kebudayaan negara

merupakan khazanah yang sangat tinggi nilainya dan wajar dipelihara oleh generasi masa kini” petikan ucapan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika merasmikan Perasmian Hari Muzium Negara pada tahun 2009 ini menggambarkan betapa pentingnya pengekalan budaya dan seni warisan di negara Malaysia waimah di seluruh dunia sekali pun. Skop definisi warisan terlalu besar untuk ditakrifkan. Pendapat para sejarahwan, golongan intelektual hatta masyarakat secara amnya juga wajar dipertimbangkan dan diambil kira untuk menentukan takrifan yang paling tepat bagi menjelaskan kewujudan warisan kebudayaan ini sebagai satu entiti penting dan sewajarnya diberi perhatian yang serius. Namun begitu, pendefinisian yang telah digariskan oleh Jabatan Kebudayaan Negara sudah cukup untuk menjelaskan betapa agungnya warisan kebudayaan yang terdapat dalam ruang lingkup masyarakat di negara ini. Warisan ditafsirkan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi yang terdahulu. Warisan merupakan khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat mahupun manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan. Entiti ini meliputi ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang diwariskan melalui cara hidup, kepercayaan yang dijelmakan melalui objek budaya serta berperanan untuk menggambarkan memori keseluruhan hidup masyarakat serta melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat itu. Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak amat menekankan peri pentingnya pemuliharaan dan pengekalan warisan kebudayaan sebagai satu anugerah yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi suatu masa nanti. Akta Warisan Kebudayaan yang digubal menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan yang kian prihatin terhadap kondusi peninggalan sejarah yang semakin usang dimamah usia. Undang-undang ini adalah

suatu Akta yang memberi peruntukan bagi pemeliharaan Warisan Kebangsaan, Warisan Kebudayaan Ketara (Tangible Cultural Heritage), Warisan Kebudayaan Tak Ketara (Intangible Cultural Heritage) dan warisan semula jadi. Akta ini turut menjelaskan beberapa skop warisan kebudayaan iaitu, tapak warisan, objek warisan, warisan orang hidup dan warisan kebudayaan bawah air. Walau bagaimanapun, arus modenisasi yang dinikmati oleh negara kini telah merobek keprihatinan rakyat itu sendiri untuk menghargai dan menghayati kepentingan pengekalan warisan kebudayaan sebagai salah satu identiti nasional yang menjadi teras kehidupan berlandaskan acuan moralisasi tersendiri.

Warisan kebudayaan amat penting khususnya bagi menjana ekonomi negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), penekanan yang lebih akan diberikan kepada pembangunan budaya, seni dan warisan. Penekanan ini selaras dengan Misi Negara untuk membangunkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni termasuk nilai budaya positif. Industri berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraf juga akan digalakkan sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi. Penghayatan terhadap budaya, seni dan warisan akan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara yang lebih besar dalam membina kesedaran terhadap sejarah dan warisan serta masa depan untuk dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia. Pertumbuhan ekonomi negara yang tidak stabil mendorong pelbagai pihak untuk bertindak dan melontarkan buah fikiran yang mampu membantu memulihkan situasi kurang enak ini. Dunia melihat pembangunan yang dinikmati negara sebagai salah satu peningkatan yang memberangsangkan, bukan sahaja dari sudut pembangunan ekonomi, bahkan turut meluputi jaminan kebudayaan yang lebih unggul. Pengekalan budaya dalam erti kata lain perhatian yang lebih terhadap usahausaha memulihkan artifak, monumen dan bangunan bersejarah merupakan tindakan bijak

yang digarapkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan warisan terbabit bukan sahaja membawa keuntungan besar buat negara, malah turut meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini. Memetik ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika Majlis Penyerahan Watikah Georgetown dan Melaka di Dataran Merdeka pada 23 November 2008 yang mengatakan bahawa pengiktirafan Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah kategori kebudayaan mampu memberi lonjakan ekonomi kepada negara. Sektor pelancongan berpotensi untuk melonjak naik dan peningkatan yang memberangsangkan itu mampu membawa sinar baharu terhadap keutuhan ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Analisis kajian turut menunjukkan bahawa, tapak warisan yang mendapat pengiktirafan terbabit akan berupaya mencatatkan kedatangan pelancong atau pelawat sehingga 30 peratus pada tahun pertama. Selain Melaka dan Georgetown, Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara Mulu (Sarawak) telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kategori Tapak Semulajadi pada tahun 2000. Perkembangan positif dalam usaha mengekalkan warisan kebudayaan negara ini jelas memberikan impak positif terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pelbagai kemudahan telah diberikan bagi tujuan membaik pulih warisan kebudayaan negara. Misalnya, peruntukan sebanyak RM 50 juta kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam Bajet 2009 wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ketara dan tidak ketara yang terdapat di Malaysia. Pembangunan budaya dan kesenian tempatan dilihat kerajaan sebagai salah satu inisiatif ulung bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengekalkan kelestarian warisan, sekali gus menjamin kesinambungan tamadun. Takkan Melayu hilang di dunia, begitulah ungkapan yang acap kali didengari, malahan menjadi salah satu teras utama dalam memperkenalkan kebudayaan Melayu dalam kalangan generasi muda masa

ini. Ketamadunan membuktikan kemajuan sesebuah masyarakat yang dikaitkan dengan pencapaian mega, khususnya dari sudut sains dan teknologi. Kepelbagaian warisan kebudayaan yang terdapat kini, sebagai contoh seni tampak, seni lukis dan seni kebudayaan membuka mata pelbagai pihak tentang keunikan yang ditonjolkan dalam entiti yang menjadi warisan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Kepentingan pemulihan warisan yang cukup bersejarah ini sentiasa diwar-warkan, malahan menjadi buah mulut para intelektual dan para pemikir. Ironinya, sesetengah anak muda kini tidak lagi melihat karyakarya sejarah seperti kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, keunggulan Bahasa Melayu selaku bahasa lingua franca suatu ketika dahulu dan tamadun-tamadun awal yang sudah sekian lama wujud dan bertapak di negara ini sebagai pembakar semangat untuk menumpahkan sepenuh taat setia kepada negara. Mereka lebih mengagung-agungkan budaya luar yang semakin dominan serta berpotensi untuk meracuni minda anak-anak muda supaya melupakan kebudayaan timur yang diwarisi oleh mereka. Natijahnya, generasi tonggak pembangunan negara ini kian hanyut dalam era ciptaan mereka dan ketamadunan nenek moyang mereka kian pudar, bahkan semakin jauh daripada kehidupan yang berlandaskan pegangan agama dan tatasusila yang mapan. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu memainkan peranan bukan sahaja selaku pemerhati bahkan menitipkan secangkir pengetahuan buat anak-anak remaja agar tidak terus dibuai dengan budayabudaya negatif dan tidak bertamadun. Sebaliknya, ketamadunan bangsa yang dipamerkan melalui warisan budaya yang pelbagai ini seharusnya menjadi rencah dalam kehidupan seharian.

Aspirasi satu Malaysia sudah tidak asing lagi dalam diri setiap insan yang bergelar warganegara. Setiap aspek kehidupan dikaitkan dengan aspirasi terbabit dan membentuk pemikiran bahawa perpaduan amat penting seraya wajar dijadikan agenda peribada setiap

pihak. Pengekalan dan pemuliharaan warisan kebudayaan tidak terkecuali dalam usaha bagi menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. Umum mengetahui bahawa negara kita terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan adat resam. Tidak dapat dinafikan agenda perpaduan menjadi tunjang utama dalam memastikan keamanan negara akan sentiasa berkekalan. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh, semua rakyat harus bersatu padu bagi mencapai hasrat terbabit. Persoalannya, bagaimanakah keamanan tersebut boleh dikekalkan? Pelbagai usaha berupaya dilaksanakan dan salah satunya ialah mendekatkan diri masyarakat dengan kepelbagaian warisan budaya yang terdapat di Malaysia. Justeru, pengekalan warisan ini penting bagi mengelakkan salah faham berlaku, sekali gus meningkatkan jurang perbezaan antara kaum. Rakyat Satu Malaysia dan identiti bangsa Malaysia yang diselitkan dengan kefahaman tentang perkaraperkara asas dalam kebudayaan satu-satu bangsa, mampu mengukuhkan perpaduan yang menjadi syarat utama dalam mencapai kemerdekaan negara lagi. Pemupukan perpaduan nasional tidak berlaku dalam situasi utopia atau segalanya sempurna. Perlu ada pengorbanaan, umpama bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Peruntukan yang dijana kerajaan dalam hasrat untuk membaik pulih peninggalan warisan di negara ini merupakan pelaburan masa hadapan yang tidak akan menemui titik kerugian. Bahkan, para arkeologi akan terus menjalankan kajian di tapak-tapak warisan terbabit bagi mendapatkan penemuan-penemuan baharu yang lebih bersifat global. Isu perpaduan yang ditimbulkan bersifat universal dan harus dipandang secara analitikal oleh semua pihak. Perkaitan antara warisan ini dan perpaduan negara begitu ketara dalam mengasimilasikan kebudayaan pelbagai kaum sebagai salah satu elemen dalam menjalani kehidupan sebagai bangsa Malaysia. Tak kenal maka tak cinta. Oleh hal yang demikian, warisan-warisan ini sepatutnya dikekalkan untuk dipelajari serta diteladani oleh generasi masa akan datang. Hal ini penting dalam memastikan perpaduan negara akan terus berkekalan.

Dalam tempoh RMKe-9, usaha yang berterusan akan diambil untuk membangun dan meningkatkan kualiti warisan kebudayaan Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan dan pembangunan mengenai kaedah baharu bagi meningkatkan kemahiran pertukangan serta membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi tapak warisan di pasaran tradisi dan baru akan dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor swasta. Oleh hal yang demikian, pemulihan artifak dan monumen milik negara akan berupaya mengindustrikan budaya bukan sahaja di dalam, malah di luar negara. Industri budaya ini membolehkan negara mengetengahkan kebolehan dan keistimewaan yang dimiliki untuk dinilai oleh masyarakat luar. Hal ini membolehkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju lain di dunia. Meski pun berdepan dengan pelbagai krisis yang tidak menentu, pengindustrian budaya ini diyakini mampu mencetuskan revolusi baru dalam pembangunan ekonomi berteraskan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan kebudayaan negara. Malaysia mempunyai sumber budaya yang kreatif dan luas dalam bidang seni persembahan, seni halus dan seni tampak, kaligrafi Islam dan penulisan Jawi, filem, pendidikan seni, kesusasteraan dan kraf yang boleh dimajukan dan diterokai. Dalam tempoh RMKe-9, potensi ekonomi industri budaya kreatif akan terus dibangunkan melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Bagi memudahkan pembangunan industri ini, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif dan pihak industri akan digalakkan untuk menggunakan pelbagai kemudahan di peringkat negeri seperti pusat kebudayaan dan galeri untuk menjayakan aktiviti mereka. Pengenalan terhadap pengindustrian budaya ini dilihat sebagai suatu capaian yang menarik dan wajar diteliti dengan sedalam-dalamnya oleh semua pihak. Warisan kebudayaan yang dipulihara oleh pihak kerajaan ini mampu merealisasikan hasrat dan garapan untuk mengindustrikan budaya yang menjadi kebanggaan penduduk di negara Malaysia.

Konklusinya, terdapat banyak kepentingan pemuliharaan warisan budaya di negara ini. Perkara ini harus dinilai daripada prespektif sarwajagat agar semua pihak mengamalkan budaya cakna dalam memulihara warisan terbabit. Kejayaan dan hasil daripada usaha terbabit bakal menjadi indikator dalam menentukan pencapaian yang telah diterima oleh negara sejak dahulu hingga kini. Proklamasi tentang kepentingan pemuliharaan artifak, monumen dan bangunan bersejarah wajar diwar-warkan. Sekiranya terdapat pihak yang terlepas pandang, hatta tidak memainkan peranan tersendiri sekali pun, maka perkara terbabit akan menatijahkan variasi dampak yang negatif terhadap kebudayaan, kesenian serta warisan negara Malaysia yang tercinta ini.