You are on page 1of 3

Kertas Kerja

Program Kitar Semula Peringkat Sekolah 2011


SMK DATO HAMZAH, Pelabuhan Klang.

1.0 Pendahuluan

Pihak guru dan pelajar SMK Dato Hamzah berhasrat untuk melaksanakan Program
Kitar Semula atas kesedaran bahawa kapasiti tapak pelupusan sampah kita yang semakin
terhad. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan
kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu-isu keselamatan yang berkaitan.
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna
semula bahan-bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sampah-sarap. Sebagai permulaan,
pihak sekolah bercadang untuk mengehadkan pengumpulan terhadap kertas putih, kertas
berwarna, surat khabar dan kadbod sahaja memandangkan bahan-bahan ini paling banyak
didapati di persekitaran sekolah dan persekitaran sekeliling.
Sehubungan dengan perkara ini juga, Kelab Pencinta Alam Sekitar akan turut
ditubuhkan bagi memastikan program ini berterusan. Kelab ini akan bertanggung jawab
untuk menyelia pengumpulan bahan-bahan dan memastikan program ini berjalan dengan
lancar.

2.0 Objektif
2.1 Melatih pelajar untuk mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.
2.2 Memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam diri pelajar.
2.3 Mengurangkan pembuangan sampah di dalam kawasan sekolah.

3.0 Matlamat
3.1 Melahirkan generasi masa hadapan yang cintakan alam sekitar dengan
mempraktikkan amalan kitar semula untuk mengurangkan pencemaran, menjimatkan kos,
tenaga dan menjimatkan sumber kita.

4.0 Sasaran
Seluruh warga SMK Dato Hamzah.
5.0 Pelaksanaan

Tarikh: Februari 2011


Tempat: Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah
Masa: Sepanjang tahun 2011

Aktiviti
Pada bulan 24 Februari 2011, pihak sekolah akan mengadakan Majlis Pelancaran
Program Kitar Semula peringkat sekolah bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada
pelajar mengenai program ini. Pihak sekolah akan menjemput penceramah yang akan
memberikan penerangan ringkas mengenai kitar semula dan seterusnya menerangkan
langkah-langkah yang betul dalam mengendalikan bahan-bahan yang boleh dikitar semula
dan akan turut diadakan pameran ringkas.
Bagi menarik minat pelajar untuk menyertai kempen ini, akan dijalankan
pertandingan pengumpulan bahan kitar semula yang paling banyak. Pertandingan akan
diadakan bagi dua sesi secara berasingan, iaitu bagi sesi pagi dan petang dan pemenang
pertama, kedua dan ketiga akan dipilih berdasarkan berat bahan yang dikumpulkan.
Pertandingan akan dijalankan sekali dalam tempoh 3 bulan.
Pengumpulan akan dijalankan sekali bagi setiap tempoh 2 minggu dan bahan-bahan
tersebut akan dikumpulkan di blok F. Pengurusan pengumpulan bahan-bahan ini akan dibantu
oleh ahli-ahli Kelab Pencinta Alam Sekitar dan guru-guru yang terlibat. Tarikh dan waktu
pengumpulan akan diberitahu dari semasa ke semasa melalui papan kenyataan khas yang
akan disediakan.

6.0 Kos

Pendapatan
Surat khabar/kertas/majalah = RM0.25 per kg
Kadbod = RM0.28 per kg

Perbelanjaan
RM 50 akan diperuntukkan untuk hadiah pelajar-pelajar yang mendapat tempat dalam
pertandingan pengumpulan bahan kitar semula yang paling banyak.
7.0 Penutup

Kejayaan pelaksanaan Program Kitar Semula ini bergantung kepada kerjasama dan
komitmen yang tinggi daripada seluruh warga SMK Dato Hamzah terutama guru dan pelajar.
Melalui program ini, diharapkan perasaan cintakan alam sekitar dapat disemai di dalam diri
setiap warga sekolah , menjadikan persekitaran sekolah lebih bersih dan kondusif dan
seterusnya mengurangkan masalah pencemaran yang semakin membimbangkan kini.
Semoga usaha murni ini mendapat kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada
semua pihak untuk memastikan kesejahteraan semua pihak.

Disediakan oleh: Disahkan oleh:

...................................... ......................................

(Cik Nur Zafira bt Noor Azizan) (Pn Hjh Noor Mala bt Hamzah)

Pengetua SMK Dato Hamzah