You are on page 1of 3

Masalah buang bayi boleh diatasi

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


adawiyah.koh@utusan.com.my

Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan beberapa berita yang amat memeranjatkan semua
pihak iaitu isu pembuangan bayi. Gejala ini amat devian kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak
berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita. Ada antara bayi yang ditemui yang
masih hidup dan ada yang sudah meninggal dunia dan hampir semua yang ditemui berada dalam
keadaan yang amat menyedihkan. Seperti tiada kesedaran diri, bayi yang tidak berdosa terus menjadi
mangsa keadaan. Tidak kira apa pun status bayi tersebut, isu ini perlu dibendung. Pembuangan bayi
adalah satu jenayah walaupun terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung
luar nikah terpaksa membuang bayi mereka kerana terdesak, malu dan takut akan akibat yang bakal
ditanggung.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar motivasi, Profesor
Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, terdapat pelbagai sebab mengapa dan kenapa berlakunya
peningkatan kes pembuangan anak.

Sebab kes ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu sosial, spiritual atau rohani dan era
globilasasi dan pembangunan teknologi.

"Faktor sosial merupakan salah satu daripada penyumbang utama berlakunya kes buang anak ini.
Antaranya, pergaulan bebas tanpa had terutamanya di antara lelaki dan wanita. Selain itu, terikut
dengan budaya barat yang yang mengamalkan seks itu adalah sebahagian daripada proses percintaan.
Golongan ini juga percaya alat-alat terkini seperti kondom dan pil boleh mengelakkan daripada
mengandung jika melakukan hubungan seks," katanya.

Di samping itu, ibu bapa tidak mengambil berat tentang anak-anak mereka hingga menyebabkan
mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa sebarang pemantauan.

Dr. Mohammad Shatar menambah, didikan agama yang kukuh adalah dinding terbaik untuk
mengelakkan diri remaja daripada sebarang kes jenayah dan salah laku. Namun, ilmu agama amatlah
tipis dalam kalangan remaja pada hari ini hingga menyebabkan kes pembuangan anak tidak menjadi
kesalahan kepada mereka.

Ilmu agama

Justeru itu, kurang ilmu agama menjadi faktor golongan ini tidak dapat menilai halal dan haram.

"Era globalisasi dan pembangunan teknologi (ICT)

pada hari secara langsung atau tidak telah menyumbang kepada kes pembuangan anak. Jika kita kaji,
kemudahan telefon bimbit telah menyebabkan remaja boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja pada
bila-bila masa untuk sebagai titik permulaan kepada kes yang tidak bermoral ini. Kesukaran membuat
pemantauan oleh ibubapa terhadap penggunaan internet juga menyumbang kepada gejala kes ini,"
jelasnya.

Secara tidak langsung, kes pembuangan bayi ini mempengaruhi kesihatan sosial pada hari ini.

Dari sudut perubatan, kadar kematian bayi yang lebih tinggi akan menyebabkan penjagaan perubatan
yang tidak sempurna. Ini disebabkan kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah, jangkitan
kuman dan kecederaan sewaktu bersalin.

Selain itu, kes ini turut memberi kesan kepada psikologi dan sosial wanita yang melahirkan bayi tersebut
iaitu murung, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah atau gelisah. Bukan itu sahaja, ia akan
mewujudkan masalah emosi dan hubungan interpersonal dengan terputusnya hubungan kekeluargaan
dan rakan-rakan.

"Terlalu banyak kesan psikologi dan sosial kepada masyarakat. Antaranya, kemajuan dan kemakmuran
masyarakat di masa hadapan akan terjejas. Pesan Iman Al-Ghazali, jika kamu mahu melihat senario masa
depan masyarakat dan negara kamu, lihatkan senario remaja masa kini. Jika mereka hebat maka akan
hebatlah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan, tetapi jika remaja kini rosak akhlaknya dan
lemah mindanya. Maka akan rosaklah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan," jelasnya.

Dr. Mohammad Shatar menambah, psikologi remaja yang terlibat dengan kes tersebut tidak akan
tenang dan tenteram.

Perasaan bersalah yang datang di kemudian hari akan memberikan tekanan psikologi dan sosial yang
berat serta tumpuan kepada kerjaya akan terjelas.

Secara umum, remaja pada hari ini tidak faham dan mengerti secara mendalam erti kasih sayang yang
sebenarnya. Justeru itu, jika mereka berkahwin, perkahwinan itu jarang yang kekal lama kerana mereka
tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang itu.

"Maksud kasih sayang sesama manusia ialah menyayangi manusia lain sama seperti kita menyayangi diri
sendiri. Selain itu, meletakkan diri kita dalam diri mereka, jika kita jadi bayi tersebut apakah perasaan
kita. Dari segi psikologi, cinta remaja tidak diikuti dengan tanggungjawab," jelasnya.

Beliau menjelaskan, teori sosial mengenai cinta di bawah umur 13 tahun, percintaan yang berlaku
hanyalah berdasarkan kepada kecantikan. Manakala, umur 13 hingga 25 tahun, percintaan yang berlaku
ketika ini adalah berdasarkan trend iaitu orang lain bercinta kita nak bercinta dan jemu dengan
pasangan masing-masing, akan dicuba pasangan lain.

Sementara itu, bagi golongan berumur 25 tahun ke atas, percintaan yang sering diikuti dengan
tanggungjawab.

Dalam membantu masyarakat pada hari ini untuk membendung kes pembuangan bayi, mereka perlu
menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar kepincangan dalam institusi sosial tidak berlarutan.
"Golongan dewasa juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada golongan remaja kerana golongan
inilah yang banyak terlibat dengan isu pembuangan bayi. Langkah ini adalah bertujuan untuk
mengelakkan golongan ini berpengaruh dengan keadaan sekeliling. Selain itu, kerjasama masyarakat
dengan kerajaan turut memainkan peranan dalam usaha mencapai masalah sosial 'sifar'. Walaupun ia
mungkin sukar dicapai tetapi melalui kerjasama di antara masyarakat dan pihak berkuasa mampu
menyelesaikan masalah buang anak ini," ujarnya.

Kesedaran

Dr. Mohammad Shatar menyarankan masyarakat memberi kesedaran untuk membendung gejala tidak
sihat ini. Misalnya, kerajaan boleh melaksana undang-undang terhadap remaja yang berdua-duaan di
tempat yang kondusif untuk seks bebas. Selain itu, masyarakat perlu membantu kerajaan dalam
melaksanakan agenda ini. Aktiviti yang mencurigakan perlu dibuat laporan kepada pihak yang
bertanggungjawab untuk membanteras mereka yang terlibat.

" Ibu bapa juga perlu peka dan mengambil berat terhadap perkembangan dan apa yang dilakukan oleh
remaja mereka. Selain itu, guru perlu memantau kehadiran pelajar dalam kelas. Laporkan kepada ibu
bapa jika anak mereka tidak hadir kelas. Ini kerana anak-anak sering melencong ke tempat lain
walaupun berpakaian sekolah dari rumah," katanya.

Jika ada remaja yang pernah terlibat dengan masalah ini, kita perlu memberi ruang penambahbaikan
untuk kembali ke pangkal jalan.

"Golongan ini perlu bertaubat dan menyesal dengan sepenuhnya. Mereka yang pernah terbabit boleh
memberi kesedaran kepada remaja lain mengenai implikasi yang dihadapi. Ingatlah, kesilapan hari ini
bukanlah kesilapan yang berkekalan. Mohon ampun dan maaf kepada Allah dan ibu bapa," ujarnya.

You might also like