PERMASALAHAN BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU ANTARABANGSA Oleh Dato’ Haji A. Aziz Deraman adeputragong@yahoo.

com Abstrak
Abad ke abad peradaban manusia berubah. Peradaban Melayu ternyata memiliki keunikan dan kekuatan tersendiri zaman-berzaman. Senario perubahan peradaban abad ke-21 dengan adanya kemajuan Asia Pasifik, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi rantau dan dinamisme baru rumpun Melayu sepatutnya membangkitkan kesedaran dan keazaman politik ke arah memajukan bahasa dan persuratan Melayu di persada antarabangsa sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Malaysia patut mendepaninya. Perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu sehingga mencapai taraf salah satu bahasa moden seharusnya tidak menimbulkan rasa pesimistis bagi bahasa Melayu diperkasakan sebagai salah satu bahasa utama dunia. Kekuatan jumlah 300 juta umat Melayu-Polinesia, kejayaannya menjadi bahasa ilmu, bahasa sistem pendidikan nasional, bahasa komunikasi, wujudnya kerjasama serantau, dan pengembangan yang utuh telah menjadikan bahasa Melayu diminati di Barat dan Timur. Permasalahan bahasa dan persuratan Melayu antarabangsa akan banyak dipengaruhi oleh cabaran dalaman dan sikap bangsa asal penuturnya, adanya keserongan persepsi, kesan promosi ‘dualisme’ dan ‘parallelisme’ antara bahasa rasmi dengan bukan rasmi, keraguan tentang keupayaan BM dalam teknologi maklumat, perubahan dasar bahasa yang tidak menentu, tidak majunya usaha penerbitan dan penterjemahan dan dilema tanggapan baru apabila bahasa negara tidak ditegaskan dan diberi jagaan. Bahasa dan persuratan Melayu sekian lama mendapat tempat dalam program pembelajaran, penyelidikan dan pengajian di Eropah, Amerika, Asia dan Oceania tetapi kelihatan kian tiada kesungguhan dukungan, kerjasama dan sokongan. Kesepakatan serantau, kesedaran dan tanggungjawab perlu diberi pemikiran semula dalam konteks “renaissance” kesusasteraan Melayu. Jaringan kesepakatan dalam pengayaan persuratan, penciptaan sastera, penulisan, penterjemahan, pengiktirafan kesarjanaan, pengisian persefahaman, pengukuhan institusi, peranan prasarana dan organisasi seperti MABM, MABBIM, MASTERA, FOKEPS, kerjasama sewilayah, kerjasama antara institusi dan sokongan kepada pertubuhan sukarela (NGO) hendaklah diperkuatkan. Cabaran-cabaran baru menuntut konsistensi usaha, keseriusan pakatan, membesarkan kepustakaan ilmu, menggalakkan pertukaran kebudayaan dan segala prasarana dan forum yang ada tidak diabaikan. Dalam persuratan usaha membina khalayak, penyebarluasan karya, kedudukan sastera dalam pendidikan dan pengembangan program antarabangsa adalah antara pengisian yang perlu diperhatikan. Kejayaan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu dalam abad ke-21 bergantung pada sejauh mana kesepaduan permuafakatan dan kesedaran umat Melayu besar itu sendiri.

1

Pendahuluan

Abad ke abad berubah dan dekad ke dekad bertukar wajah. Manusia dan peradabannya, kekadang merekah dan kekadang biak subur menebar cambah. Ratusan tahun bahasa Melayu berkembang maju menjadi bahasa komunikasi dan bahasa rantaunya yang indah. Ratusan tahun persuratan Melayu mengambil kedudukannya yang ghairah. Dari tangan para ulama kitab-kitab besar ditulis, tradisi keilmuan pusat-pusat pengajian tidak kenal muflis, pesantren dan pondok lahir, ilmu didukung dari awal ke akhir. Dari zaman ke zaman bahasa Melayu dimajukan, persuratannya melimpah memenuhi gelanggang pemikiran.

Langkahan yang akomodatif, bijaknya menyesuaikan diri, menerima yang terkini mengukuhkan akal budi. Dari tradisi lisan dan hikayat, lahir bentuk-bentuk karya kreatif sastera moden bermartabat, dari roman ke novel, dari cerpen ke puisi, begitu kreativiti dan intelektualismenya yang tinggi. Abad ke-20, suatu abad Melayu berani, bukan sekadar memerdekakan pertiwi, tetapi maju mewarnai kehidupan dengan bentuk dan isi. Memasuki abad ke-21, Melayu mulai sepi. Dunia Melayunya mengagumkan semua sejak dahulu, tetapi Melayu kini untuk menyebut diri dan kebudayaannya yang Melayu itu, jadi ‘malu’. Ada juga orang dari kalangan bangsa sendiri tidak sedar diri kehilangan rasa bangga. Turun naik gelombang Melayu selepas kemerdekaan, sesekali hampir pecah ke pasir pantai perjuangan. Keunikan bahasa dan persuratannya yang dikaji barat dan timur, dibuat perbandingan dengan warisan dunia, kehilangan selera pada lidah bangsanya sendiri. Pusat-pusat penyelidikan dan institusi pengajian asing antarabangsa tanpa henti menumpukan perhatian yang cukup berani, tetapi terbayang rupa malang pengaruhnya yang kabur arah di bumi sendiri.

2

Senario Peradaban Abad ke-21

Bangsa Malaysia (yang teras induknya kepada Melayu dan keperibumian, sebagaimana bukti sejarah dan aspirasi Perlembagaan), seharusnya bijak menafsirkan perubahan. Kita tidak sepatutnya terperangkap dengan menerima tafsiran secara total tentang globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme. Kita kena berwaspada dan menaruh keyakinan dan komitmen terhadap kemajuan baru dan pada masa yang sama mengangkat peradaban bangsa sendiri. Globalisasi dengan sifat kesarwajagatannya tidak bermakna akan menelan segala peradaban dan kebudayaan orang lain, laksana dimamah seekor anakonda di kawasan tropika Amerika Selatan, kerana tidak semua tamadun akan terjerut mati oleh Amerika dan Barat, kecuali kita sendiri mahu diri kita jadi mangsa mereka. Apalagi kalau kita tidak mahu mempersiapkan diri atau mempertahankan nilai dan warisan kita yang berbeza dengan mereka.

Dunia dan bangsa kita mungkin menjadi takut, resah dan gelisah kerana pengaruh Amerika dan Barat dalam semua bidang kehidupan tersalur melalui teknologi informasi dan komunikasi (ICT) ciptaan mereka. Kita pula bagaikan tidak bersedia mengubahsuainya dengan pengisian tamadun kita, menyebar dan membinanya sehingga berpengaruh. Kita mahu mengambil atau membeli semuanya dari mereka, bentuk (hardware) dan isinya (software). Itu bukan sikap psikologi Melayu zaman berzaman, kerana apabila kita mengambil sesuatu yang asing, kita mengolahnya dengan rupa dan jati diri sendiri. Kita mengambil katakata asing untuk dijadikan kosa kata bahasa Melayu atau kita mengambil sebuah gambus dan sebiji tabla, struktur linguistik atau sifat seninya tidak bertukar. Kita kekal dengan lenggang-lenggok tatabahasa Melayu dan kita menyanyikan lagu dengan irama dan pantun yang indah sekali, dalam lagu asli, dondang sayang, ghazal, boria atau dikir barat. Warisan kebudayaan kita tidak hilang dan tamadun kita berkembang.

3

Suatu waktu telahan pernah dibuat bahawa rantau Asia Pasifik akan berubah. Asia Tenggara adalah sebahagian daripada rantau Asia Pasifik itu. Dunia Melayu atau negara-negara berbahasa Melayu pula adalah berkongsi majoriti keluasan geografi dan geobudaya Asia Tenggara itu tadi. Ada gagasan ekonomi, gerakan sosial dan prasarana budaya berbentuk baru akan muncul. Tumpuan kegiatan ekonomi mutakhir, perindustrian dan perdagangan menjadi lebih nyata dengan pengukuhan ekonomi di negara-negara Asia Timur seperti Jepun, Korea dan China. Ekonomi dan kebudayaan China bergerak lebih pantas kerana faktor demografi, jaringan sedunia dan dasar-dasar pragmatik perancangan

ekonominya. Rantau Asia Tenggara tidak akan terkecuali kerana potensi luar biasanya yang memiliki sumber asli, sumber tenaga dan tradisi kebudayaan di mana wilayah ini berada. Abad ke-21 adalah abad peralihan bagi Asia dan Pasifik. Kalau begitu, apakah tidak mungkin peradaban Melayu boleh dan akan mencorakkan citra peradaban Asia bersama-sama dengan peradaban dari Asia Timur? Kalaupun telahan awal itu tidak terjadi, oleh sabotaj dan konspirasi Barat, tetapi Asia Pasifik ternyata akan terus berkembang sebagai kawasan ekonomi yang penting.

Sewaktu berceramah di Universiti Frankfurt, Jerman (1995), Beijing Foreign Studies University (BFSU), China (1996), Hankuk University of Foreign Studies, Korea (2000), Pusan University of Foreign Studies, Korea (2003) dan Universiti St Petersburg, Rusia (2003), penulis menegaskan bahawa dalam era globalisasi dan liberalisasi abad ke-21 ini, citra dan ciri-ciri peradaban timur akan tetap bertahan dan maju. Peningkatan optimisme ekonomi di wilayah Asia Timur (China, Jepun, Korea, Taiwan) dan Asia Tenggara (Malaysia, Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina, Indonesia, Brunei), serta tidak kurang juga dengan kebangkitan Asia Selatan (wilayah perkongsian India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka), akan membentuk pola ekonomi Asia yang baru dan pengaruh peradabannya akan ikut maju sekiranya ada kesedaran dan komitmen politik yang tinggi. Pengaruh Bollywood dan kemasukan filem dari Asia Timur khususnya dari China, misalnya telah mengambil suasana senario baru

4

pengaruh budaya, bahasa dan sastera mereka ke rantau Asia Tenggara. Ketigatiga wilayah Asia ini (Timur, Selatan dan Tenggara) ada kekukuhan asas keserumpunan tamadun masing-masing.

Negara-negara yang majoriti penduduknya bangsa serumpun Melayu sedang mengalami perubahan yang drastik dalam bidang politik dan sosioekonomi, misalnya di Indonesia dengan pembaharuan politiknya dan Malaysia dengan lompatan ekonominya. Rantau ini dijangkakan akan berubah menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi dan pasaran dagang yang berkembang pesat.

Perubahan kebudayaan juga sedang mengambil tempatnya. Malaysia setelah 20 tahun (1971-1990)

Misalnya, di

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

dilaksanakan, ekonomi Malaysia semakin seimbang, politiknya kian stabil dan persefahaman antara kaumnya juga semakin akrab dan harmoni. Pertumbuhan ekonomi di Indonesia agak membanggakan tetapi terpaksa bergelut dengan kegawatan ekonomi kesan peristiwa 1997 meskipun diramalkan akan pulih dalam masa yang tidak terlalu lama. Isu dan sistem politik di Indonesia tidak sama dengan Malaysia, tetapi kedua-duanya sama dari segi bahasa, persuratan dan kebudayaannya dan mewarisi keserumpunan ras dengan Filipina, Thailand, Brunei dan Singapura, bahkan melebar sehingga ke timur Lautan Pasifik dan ke barat Lautan Hindi, sehingga kemahawangsaannya dikenali sebagai MelayuPolinesia.

Senario peradaban bangsa-bangsa memang dipengaruhi oleh faktor politik dan ekonomi. Bagi kepemimpinan politik yang bijaksana dan berwawasan, keduaduanya akan membantu perkembangan dan kemajuan tamadun sendiri, khususnya bahasa dan persuratan. Kesempatan sebegini seharusnya digarap oleh semua peringkat kepimpinan baik politik mahu pun sosiobudaya dari rantau Melayu. Berbanding dengan beberapa negara lain di Eropah dan di Amerika Latin, boleh dikatakan Malaysia serta negara-negara berbahasa Melayu seperti Indonesia dan Brunei merupakan kawasan aman dengan kehidupan sosial dan politik yang stabil, di samping ekonominya berkembang pesat. Perkembangan

5

begini sudah tentu akan mendorong negara-negara di luar rantau ini untuk mencari pasaran ekonomi dan membuka pasaran keluaran masing-masing yang sekali gus turut mencetuskan keperluan baru manusia luar itu mengenali dan memahami bahasa, sastera dan budaya masyarakat di rantau ini.

Pelbagai perubahan dan dinamisme baru sedang berlaku kepada rumpun Melayu. Maka pengembangan bahasa dan persuratan Melayu, bahkan kebudayaannya dalam bidang yang pelbagai itu, akan menjadi cukup relevan sejajar dengan kemajuan yang sedemikian itu. Apa yang diperlukan adalah komitmen dan keazaman politik kepemimpinan yang disokongi oleh daya juang kebudayaan. Keperluan mengenali tamadun lain adalah dibuat melalui bahasa dan persuratannya, sebagaimana Jepun, Korea dan China mengenali bangsabangsa lain dengan mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa asing. Mereka mempelajarinya mengikut keperluan berbahasa dengan kaedah pedagogi yang betul. Institusi, tenaga akademik dan para pelajar mereka sudah pasti akan berpeluang memperhatikan evolusi sesuatu bangsa termasuk peradaban Melayu dengan cara terbuka dan menarik. kalangan Pertubuhan Ada pula kesedaran baru khususnya di Asia Tenggara (ASEAN), yang

Negara-Negara

kelihatannya semakin bersedia menjadi pusat

perkembangan ekonomi baru

dunia ( world’s new economic growth centre), dan mahu bersaing dalam segala bidang. Senario baru ini harus digarapi cabarannya oleh Malaysia sebagai peluang memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu ke persada

antarabangsa.

Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu

Permasalahan bahasa dan persuratan Melayu bergantung pada bangsa pendukung dan jumlah penuturnya. Sistem pendidikan kebangsaan di Dunia Melayu sebenarnya sudah tiba ke kemuncak kejayaannya (terutama di Malaysia dan Indonesia), maka rasa pesimistis tidak patut timbul. Geobudaya bahasa Melayu yang luas dan majoriti penuturnya menghampiri 300 juta di rantau

6

Melayu-Polinesia (Asia Tenggara dan Pasifik), adalah faktor kekuatan yang tersendiri. Kita hanya memerlukan permuafakatan dan kesepakatan kerja dalam bertindak dan mengatur program penyebarluasannya. Bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan rumpun Melayu yang memikul khazanah besar sejarah bangsanya, harus menjadi pemangkin, penebus maruah, pembina falsafah, fikiran, nilai, sikap dan jati diri umat besarnya. Kemahawangsaan rumpun Melayu dalam bahasa, sastera dan budaya yang sekian lama menyirati falsafah, pandangan hidup, sistem nilai dan adat, kesenian, amalan dan harapan itu, memiliki keupayaan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa dan sastera bangsa-bangsa dunia. Bahasa dan persuratan Melayu menunggu pelan tindakan dan perancangan strategik penyebarluasannya secara bersama, pragmatik dan konkrit oleh seluruh bangsa dalam Dunia Melayu atau negaranegara berbahasa Melayu. Rumpun Melayu jangan takut mengambil bahagian mengimbangi perkembangan tamadun dunia.

Di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional sudah mencapai tahap bahasa ilmu, kejayaannya menyerap dan menyebarkan ilmu-ilmu baru, ratusan ribu istilah telah digubal, kukuh sebagai bahasa pemerintahan dalam urusan pengurusan dan

pentadbiran, bahasa komunikasi rakyat dan sebagainya. Bahasa Melayu sudah perkasa di dalam negara dan rantaunya sendiri. Bahasa Melayu adalah bahasa pengikat tamadun rantau, bahasa pembangunan nusa bangsa sewilayah, dan bahasa pemersatu rakyat yang mengisi keperluan-keperluan baru dalam membina tamadun masing-masing bangsa. Kewujudan bermacam forum kebahasaan dan persuratan perlu diperkukuh dan diperluaskan pengaruhnya, manakala gerakan psikologi dan kesedaran bahasa melalui pelbagai program dan gerakan oleh pelbagai institusi itu seharusnya bukan sahaja menjana rasa cintai bahasa dengan semangat nasionalisme dan patriotisme, bahkan disemai cita-cita besar menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa besar di persada dunia.

7

Bangsa serumpun Melayu menoleh ke Barat

kerana mahu menguasai

pembangunan sains dan teknologi atau memajukan perindustrian, tetapi Dunia Melayu harus tahu memilih yang terbaik dan bagaimana memperoleh serta memajukannya. Di samping menerima kita juga perlu memberi. Maknanya kita perlu mempunyai keluwesan dan keterbukaan mencitrakan dan

mengglobalisasikan milik kita yang terbaik termasuk kekayaan bahasa, sastera dan budayanya. Apakah sikap ini adalah buaian mimpi dan retorik semata-mata? Apakah kitalah umat yang tiada keyakinan terhadap keutuhan, keampuhan, kemurnian dan keluhuran nilai-nilai peradaban sendiri berbanding dengan Barat. Wajah Asia yang ada pada kita tetap akan searus berkembang dalam kemajuan peradaban timur dan senario Asia tadi. Keyakinan terhadap kebersamaan kebudayaan inilah yang harus menunjangi setiap usaha mana-mana negara bangsa di Dunia Melayu. Mereka perlu mencitrakan bahasa dan persuratan yang dikongsi bersama itu ke peringkat antarabangsa. Dunia mahu mengenali bahasa dan sastera Melayu, bahkan melalui institusi pengajian dan pusat-pusat penyelidikan mereka itu, mereka lebih memahami serta menghormati aspirasi, persepsi, cita rasa dan jati diri rumpun Melayu dan peradabannya. Apakah bangsa besar Melayu belum menghayati falsafah bangsanya Bulat air kerana

pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan akan dapat sagunya?.

Cabaran dalaman utama yang dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa nasional kerana lemahnya sokongan jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sejajar dengan tumpuan kepada pembangunan bidang ekonomi, sains dan teknologi, apa yang berlaku kini, telah wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan bangsa atau negara memilih untuk berbahasa. Bahasa Inggeris dianggap seperti ‘segala-galanya’ dan pegangan ini akan memusnahkan kemajuan bahasa kebangsaan dan boleh menimbulkan kesan psikologi atau persepsi negatif di kalangan mereka yang mempelajari bahasa Melayu di negara asing. Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dalam jentera pentadbiran, dalam sistem

8

pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan masyarakat Malaysia selama ini sudah ternafi dengan mudah. Persepsi kita tentang bahasa mesti jelas. Keperluan kita menguasai bahasa Inggeris adalah keperluan untuk kita merujuk dan memperoleh sumber pengetahuan yang tertulis melaluinya. Bahasa Inggeris juga tidak dinafikan perlu bagi kelompok yang berkeperluan di bidang komunikasi, diplomasi, dagang, korporat, atau perniagaan antarabangsa mereka. Malahan kita juga perlu menguasai bahasa Arab kerana hubungan kita dengan Asia Barat atau menggarap ilmu-ilmu dari tamadun Islam, bahasa Sepanyol kerana kita juga akan berdagang dengan negara Amerika Latin, Bahasa Perancis, Jerman atau sebagainya kerana rakan dagang tradisional kita akan bertukar kepada rakan dagang baru. Cuma kita harus jelas bahawa

bahasa-bahasa asing diperlukan mengikut konteks perhubungan.

Di Malaysia perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sehingga mencapai taraf dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsanya sendiri yang dilihat dalam beberapa dimensi, antaranya: (a) orang Melayu yang kurang yakin terhadap kemampuan bahasanya sendiri; (b) rakyat bukan Melayu yang belum menjiwai bahasa Melayu; (c) bahasa Inggeris yang terus dianggap “superior”; (d) “pengimportan” budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris melalui programprogram media elektronik, meskipun ada yang mendorongkan budaya negatif ‘hedonisme’; (e) penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian yang mencetuskan tanggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat unggul itu.

Persepsi baru timbul oleh kekeliruan kepentingan politik atau keputusan politik yang pula mempengaruhi pendirian masyarakat, sehingga masyarakat jadi ‘bingung’, tertanya-tanya ke mana bangsa Malaysia dalam persoalan bahasa negaranya? Apakah ‘bilingualisme’ atau ‘dualisme’ yang mahu dipromosikan suatu gejala yang hampir sama sedang meruntuhkan kebudayaaan kebangsaan dengan mempromosikan kembali ‘pluralisme’, ‘parallelisme’, ‘laisez faire’ dan tindakan tanpa batas yang membezakan sesuatu yang ‘kebangsaan’ dengan

9

sesuatu yang ‘kesukuan’ atau etnis. Dalam amalan berbahasa, dasar ‘dualisme’ dan ‘parallelisme’ mungkin sesuai sewaktu acara-acara antarabangsa tetapi tidak dalam acara-acara rasmi kebangsaan. Gagasan pemerkasaan bahasa di peringkat nasional adalah suatu perkara yang sudah di luar konteksnya. Bahasa dan persuratan Melayu sudah lama punya martabat dan sudah zaman-berzaman perkasanya. Yang tidak punya martabat dan tidak punya keperkasaan adalah diri kita sendiri, lalu menyalahkan hebat bahasa sewaktu kita tidak berdaya Isu

mengungkapkan

atau

menggunakannya

dengan

sempurna.

pemerkasaan mungkin sesuai dan perlu dalam konteks pemerkasaannya ke peringkat antarabangsa. Semakan semula perlu dilakukan terhadap usahausaha kita selama ini, tentang matlamat strategik dan fungsi utama bahasa Melayu bagi maksud dalam negeri dan bagi maksud luar negeri, apakah masih berterusan atau sebaliknya.

Apabila pembangunan peradaban yang berfokus kepada perkembangan fizikal termasuk kemajuan teknologi maklumat melanda dunia mulai akhir abad ke-20 yang lalu, bahasa Melayu berhadapan dengan masalah : (a) dapatkah bahasa Melayu itu menjadi sebahagian daripada elemen yang membangunkan teknologi tersebut dengan mengisi pelbagai maklumat yang terkandung dalam aneka jenis TMK (ICT) benar-benar sejajar dengan hasrat untuk mensejagatkan bahasa Melayu. Teknologi maklumat itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting, canggih, cekap dan pantas untuk tujuan tersebut; (b) dalam kesibukan negara membina intelektualisme yang tinggi dalam pelbagai bidang, apakah ada kesediaan kumpulan intelek dan ilmuwan bukan sekadar benar-benar mampu, tetapi bersedia mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjana maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini; (c) bagaimanakah situasi keupayaan negara peneraju seperti Malaysia dan Indonesia bersiap siaga selain mendampingi dan menyepadukan diri dengan TMK (ICT), berusaha

menggerakkannya sebagai wahana pengembangan yang setanding dengan kedudukan bahasa-bahasa utama yang lain di dunia.

10

Kita bimbang dengan kerapnya terjadi perubahan terhadap pendekatan pelaksanaan dasar bahasa di negara kita. Fungsi bahasa dalam sistem pendidikan negara merupakan sesuatu yang utama, kerana kesan dan akibat jangka panjangnya. BM sebagai bahasa rasmi perlu dipermantap dan dipertingkatkan kualitinya; diperkukuh sebagai bahasa perpaduan; diperluaskan fungsinya sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan; dipertingkatkan sebagai bahasa kebangsaan di sektor swasta, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO); diperluas dan dipertingkatkan sebagai bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi, komunikasi canggih, bahasa media elektronik; bahkan terus diperkembangkan sebagai bahasa kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, agama dan falsafah. Cuba kita teliti sejauh manakah kecuaian kita menjaga dan mengawalnya bagi mengekalkan martabat dan keperkasaannya selama ini?.

Suatu waktu kita banyak berbahas tentang penulisan dan penterjemahan ilmu dalam bahasa Melayu yang masih kekurangan dan perlu dipergiatkan. Bagaimanakah bahasa Melayu akan terus melangkah menjadi sebuah bahasa intelektual di negara kita, sekiranya fungsinya sebagai bahasa pengantar ditarik balik? Apa kata para sarjana dan ilmuwan kita yang selama ini diminta segera mengambil inisiatif menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berwibawa, bahasa ilmu, dan keprihatinan mereka dalam gerakan intelektualisme dan tradisi keilmuan sebagai akauntabiliti bersama mereka? Negara industri seperti Jepun, Korea, Perancis, Jerman, Itali dan beberapa buah negara lain telah membangun dengan pesat berdasarkan keupayaan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu yang ulung dan mantap, tetapi kita kelihatan tidak berupaya berlangkah seiring dengan mereka. Mereka mempertahankan kewibawaan bahasa mereka dan sentiasa mementingkan bahasa mereka sebagai bahasa sains dan bahasa kepustakaan ilmu serta pengetahuan. Sebaliknya di Malaysia situasi mutakhirnya, seperti sengaja digerakkan keraguan terhadap keyakinan tentang keupayaan dan kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

11

Kini institusi pengajian tinggi dikatakan telah mengubah dasar mereka terhadap bahasa. Dalam jangka panjangnya, kerana sistem baru sudah dimulai kembali di peringkat rendah dan menjalar ke atas, maka sekali gus, operasi dan paradigma yang menganggap ilmu hanya mampu diungkapkan dalam bahasa Inggeris itu terus biak berkembang. Lingkaran fikiran dan perasaan kita itu akan selamanya terjajah oleh sikap dan persepsi yang lebih kepada yang asing bukannya amalan positif bahasa kebangsaan kita sendiri. Kedaulatan bahasa kebangsaan tidak akan dapat dipertahankan dan diperkukuh tanpa kesedaran dan kesediaan masyarakat Malaysia sendiri menerima serta mengakui bahawa bahasa Melayu itu sudah terbukti kemampuannya menjadi bahasa ilmu, sains dan teknologi, selain tidak terlalu taksub bahawa bahasa Inggerislah yang akan menjadikan maju mundurnya sesebuah bangsa.

Di Malaysia tugas pengukuhan BM boleh dilihat dalam dua aspek. Pertama, pemantapan dan pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mempunyai nilai ekonomi serta bahasa perpaduan bangsa yang benar-benar diamalkan oleh seluruh masyarakat tanpa dipengaruhi prejudis dan sentimen kaum serta politik yang sempit. Kedua, bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentasi variasi dan versi kebangsaan itu, sesegera yang mungkin dibawa melangkah keluar atau mengukuhkan keberadaannya di pentas antarabangsa dalam era globalisasi dengan langkah penuh hikmah lagi bijak. Aspek kedua itu adalah tugas antarabangsanya. Aspirasi ini tidak akan tercapai selagi minda dan perasaan kita dikongkong oleh pemikiran orang lain, dihantui oleh ketidakpastian dan ketakutan. Permasalahan antarabangsanya banyak bergantung kepada permasalahan senario di peringkat nasionalnya. Kita sendiri perlukan kepada suatu keyakinan - keyakinan yang bermula dari permasalahan dalaman.

12

Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu Antarabangsa

Pusat pengajian Melayu yang pertama telah ditubuhkan di Leiden, Belanda pada tahun 1876, dan sehingga kini pusat itu telah diiktiraf sebagai pusat utama bagi kajian budaya Melayu di peringkat antarabangsa. Kemudian pada akhir tahun 1992, kerajaan Malaysia telah memulakan langkah penubuhan Kursi Pengajian Melayu (Eropah) dengan ditempatkan seseorang yang bertaraf Profesor di Universiti Leiden. Penubuhan kajian Kursi itu bukan di sahaja Eropah, diharap bahkan akan turut

mempertingkatkan

sastera

Melayu

mengembangkan bahasa, budaya Melayu dan promosi pengetahuan pelbagai bidang tentang Malaysia khasnya dan Dunia Melayu atau rantau itu amnya.

Usaha pengembangan bahasa dan sastera Melayu di dunia seharusnya terus dipertingkatkan, manakala pusat-pusat pengajian Melayu yang sedia ada terus diperkukuh melalui program kerjasama kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan persuratan. Paling mutakhir 1995, Kursi Pengajian Melayu telah ditubuhkan di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand. Jika ditubuhkan lagi Kursi-Kursi Pengajian Melayu di mana-mana negara lain yang strategik untuk Malaysia, tentu manfaatnya akan menjadi lebih besar kepada pengajian, pengembangan akademik dan penyelidikan tentang bahasa dan persuratan Melayu. Kerajaan pada dasarnya telah bersetuju dan mengumumkan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China. Kajian kesesuaian patut juga dibuat bagi meneruskan usaha yang sama di Korea Selatan, Jepun, Australia, Jerman, Perancis, United Kingdom, Rusia dan di beberapa negara lain di Asia-Pasifik, Amerika dan Eropah. Banyak negara asing itu berminat. Mereka cuma harus akur dan mematuhi dasar atau prinsip-prinsip penubuhannya dengan dorongan, inisiatif dan menentukan sumber dana pembiayaannya secara bersama.

Kursi Pengajian Melayu boleh menjadi pusat kecemerlangan akademik yang akan merangsang minat para pengkaji, sarjana, pakar dan cendekiawan yang

13

berminat dalam bidang sosiologi, antropologi, bahasa dan sastera Melayu atau Dunia Melayu secara keseluruhannya. Ada bukti-bukti menunjukkan bahawa melalui peranan Kursi ini seperti pengalaman di Leiden, kesedaran yang lebih meluas dan mendalam akan lebih terserlah di kalangan masyarakat

antarabangsa tentang peri pentingnya serta besar manfaatnya menjalinkan dan melestarikan persefahaman budaya serta mengakrabkan kerjasama antara Dunia Melayu dengan rantau Eropah. Suasana dan aspirasi ketamadunan antara Melayu dengan dunia luar boleh pula mewujudkan hubungan yang lebih adil antara Dunia Melayu dengan Barat. Senario ini akan turut mencetuskan iklim sosioekonomi dan sosiopolitik yang lebih kondusif. Pengembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa akan lebih jelas arahnya.

Hasrat pengembangan persuratan Melayu terutama sasteranya tidak patut diniatkan sebagai usaha yang bertujuan ‘berlawan’ dengan perkembangan kesusasteraan Barat atau Inggeris sedunia atau menandingi hasil-hasil persuratan bangsa-bangsa yang sudah sedia mempunyai sejarah kegemilangan persuratan yang cukup lama itu. Kita perlu mengatur usaha agar hasil-hasil persuratan pilihan terbaik kita ikut dikenali, ditatap dan dikaji oleh dunia luar. Caranya tentu bukan sekadar melalui usaha-usaha satu dua agensi, apalagi kalau bertindak secara terpisah antara Malaysia dengan Indonesia atau Brunei, misalnya sewaktu menyertai acara tahunan Frankfurt Book Fair itu. Perancangan strategik perlu ada. Maka rangkaian kerja institusional antara negara memang sangat munasabah dan forum-forum kerjasama yang diwujudkan misalnya Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FOKEPS), Mesyuarat Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan (MEKKAP) kawasan segi tiga Asia Tenggara, boleh menjadi wahana penyebaran bahan pengajian dan kajian di institusi-institusi asing tadi. Malahan apakah mustahil suatu waktu terdekat, dicetuskan Renaisans Kesusasteraan Melayu atau Malay Literature Renaissance? Tidakkah kita yakin bahawa kesusasteraan Melayu yang berlatarbelakangkan tradisi, budaya dan

14

leluhur Melayu yang jitu dan unggul itu dapat dibangkitkan, kemudian diperkembangkan menjadi salah satu daripada World Literature yang berbobot dalam abad ke-21 ini?

Usaha mempertingkatkan kajian dan pengajian sastera Melayu melalui program penyelidikan dan pengukuhan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden hendaklah sentiasa dilakukan. Usaha-usaha memperkenalkan kesusasteraan Melayu ke peringkat serantau dan antarabangsa telah pun dipergiatkan atau disokong oleh DBP melalui beberapa seminar, pertemuan, dialog, persidangan penulis, pengucapan puisi, di samping program sastera atau Minggu Sastera Melayu dalam kajian di luar negara. Kerjasama rapat DBP dengan gerakan sastera dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), terutama GAPENA mesti ditingkatkan lagi. Agensi seperti DBP memerlukan prasarana organisasi rakyat yang tidak bercorak rasmi bagi merakyatkan program kebahasaan dan kesusasteraannya. Maknanya sebagai badan ilmu, DBP mesti meneruskan tradisi perjuangan rakyat yang melahirkan dirinya ke dunia selain menjadi badan yang mendukung fungsi kerajaan semata-mata. Untuk itu agensi rasmi sepertinya dan pertubuhan perlu berbimbing tangan membina jaringan baru yang diperluaskan dan kerjasama kerantauan dieratkan.

Sesuatu

yang

tidak

boleh

diabaikan

adalah

bidang

penterjemahan.

Penterjemahan lebih banyak karya agung dalam bahasa Melayu dan karya-karya pilihan yang dihasilkan oleh pengarang dan sasterawan tersohor dari dunia berbahasa Melayu ke bahasa-bahasa utama dunia wajar diberikan perhatian serius, bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Di Malaysia karya-karya Keris Mas, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Usman Awang, Arena Wati, Muhamad Haji Salleh, Nordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail, Azizi Haji Abdullah, Fatimah Busu, Dharmawijaya, dan Baha Zain misalnya, dapat membantu memperkenalkan sastera Melayu ke peringkat antarabangsa. Demikian juga karya-karya penulis besar Indonesia dan

15

mana-mana yang terbaik dari Brunei serta Singapura harus diketengahkan di rantau sendiri dan dipromosikan ke peringkat antarabangsa melalui bermacam wahana dan wacana. Dunia Melayu ada mengimpikan Hadiah Nobel dalam abad ke-21 ini, maka usaha penterjemahan karya sastera berbahasa Melayu harus diberikan keutamaan tinggi. Cabarannya sangat besar kerana kita harus bersaing merebut pasaran di dunia antarabangsa. Karya-karya yang akan diterjemahkan itu bukan sahaja karya yang luar biasa, tetapi mutu

penterjemahannya yang baik sekali. Promosinya lebih sistematik dan agresif, termasuk usaha memperluas sebaran karya, diperkenalkan dan dikaji di pelbagai pusat pengajian Melayu antarabangsa yang sedia ada itu.

Promosi perluasan kesusasteraan Melayu boleh didorong sama oleh mereka yang diberikan penghargaan dan pengiktirafan kesarjanaan masing-masing. Penghargaan kepada tokoh-tokoh pengkaji, sarjana dan sasterawan oleh Malaysia misalnya melalui skim Karyawan Tamu DBP, Mualim Tamu Perpustakaan Negara Malaysia atau oleh mana-mana institusi pengajian tinggi itu tidak boleh sama sekali dihentikan. DBP pernah menawarkan kepada tokohtokoh sasterawan, pengkaji dan sarjana dari India, Singapura, Rusia, Perancis, United Kingdom, Korea, Azerbaijan, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Indonesia dengan dilantik mereka sebagai Karyawan Tamu atau diberikan geran bagi penyelidikan. Mereka diberikan kesempatan untuk membuat penyelidikan dan penulisan dalam bentuk memoir, autobiografi dan kajian. Setidak-tidaknya mereka juga akan ikut memainkan peranan untuk merangsang pengembangan kajian atau pengajian sastera Melayu di dunia.

Dalam tempoh satu dekad silam (1995-2005), sewaktu penulis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), agensi ini telah menggerakkan pelbagai usaha bertujuan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa agar menjadi salah satu bahasa yang dipelajari dan sastera yang dikaji, dirasakan kewujudannya, dan relevan kehadirannya. Sesungguhnya dunia menyedari tidak kecilnya akan sumbangan tamadun berbahasa Melayu terhadap

16

peradaban dunia. Mereka ada kesedaran sejarah dan mengetahuinya melalui kajian silam atau semasa yang ternyata telah terbukti kedudukannya. Programprogram antarabangsa dari segi pengajaran dan pembelajaran BM dan sastera Melayu menunjukkan telah muncul kefahaman dan pengertian yang lebih mendalam tentang bahasa, sastera dan budaya Melayu sehingga segala prasangka dapat diperbetulkan dan membuka ruang kajian positif tentang kebangkitan dan kemajuan bangsa serumpun Melayu. Penulis telah

menyaksikannya sendiri di beberapa institusi negara Barat dan di negara-negara Timur. Mereka tahu bahawa amat jelas wujud banyak khazanah bahasa, sastera dan budaya Melayu untuk dikaji, dengan lebih bersifat adil dan objektif.

Memorandum persefahaman (MoU) antara DBP dengan puluhan institusi di Asia dan Eropah bukan sesuatu yang sia-sia. Pelaksanaan program dan aktiviti yang sesuai boleh diteruskan meskipun tidak dalam kuantiti yang banyak jumlahnya. Kerjasama kebahasaan, forum kesusasteraan, penyelidikan, penerbitan,

pertukaran pakar boleh sahaja dilakukan. Beberapa program yang sudah terlaksana boleh disusuri lagi. Beberapa MoU ini termasuklah dengan Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) China; Universiti Peking, China; The University of New South Wales (UNSW) Australia; Persatuan Nusantara, Moscow, Russia; University of La Rochelle, Perancis; SOAS University of London, British Library, University Frankfurt, Jerman; Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea; dan University of Prince Songkla (PSU), Thailand; Mindanao State University (MSU), Filipina dan beberapa yang lain patut dirancangkan bagi tujuan kesepakatan masa hadapan. Usaha-usahanya perlu digerakkan yang juga bagi memenuhi wawasan DBP yang menetapkan matlamat bahasa Melayu pada alaf baru dalam rangka pengisian Wawasan 2020 dengan kenyataan: ‘Bahasa Melayu menjadi asas bagi pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia, serta menjadi salah satu bahasa antarabangsa pada tahun 2020’.

17

Kerjasama Institusi dan Pengukuhan Prasarana

Prasarana yang sedia ada di pusat-pusat pengajian tinggi serta pelbagai institusi di luar rantau Asia Tenggara harus ditatarkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Soalnya adalah antara keyakinan dan komitmen. Keinginan institusiinstitusi asing untuk bersama itu jelas disuarakan dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia 1995 dan dalam pelbagai forum kebahasaan sesudahnya, misalnya dalam persidangan, seminar-seminar serantau dan di luar rantau serta dalam Kongres Bahasa-Bahasa Utama Dunia 2004 yang lalu. Kerjasama antara institusi itulah yang mampu menjadi pemangkin penyejagatan bahasa, sastera dan juga persuratan Melayu. Kita dengan sikap proaktif sepatutnya terus mendorongkan kemajuan, menghulurkan sokongan moral, bantuan dan

kerjasama kepada pusat-pusat program bahasa Melayu yang sudah ditubuhkan di Jepun, Korea, China atau pusat-pusat penelitian di Eropah, Amerika dan beberapa lagi di Asia.

Kongres Bahasa Melayu sedunia (pada 21 - 25 Ogos 1995) di Kuala Lumpur itu merupakan langkah pertama yang cukup baik bagi melihat kedudukan pengembangan bahasa, persuratan dan penyelarasan pengajian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Maka pada penghujung dekad 1990-an, bagi memenuhi satu daripada rumusan Kongres tersebut, maka dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia, sebuah majlis penyelaras aktiviti pengembangan bahasa Melayu telah diluluskan penubuhannya. Majlis ini dinamai Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dilancarkan pada 21 Ogos 2000 dan merupakan wadah utama penyelarasan dan pelaksanaan projek bahasa dan persuratan Melayu peringkat antarabangsa. Majlis akan bersama menggalak, atau menggerak, menyokong dan berkongsi sumber-sumber atau maklumat yang ada bagi menjayakan usaha memajukan bahasa dan persuratan Melayu di institusi masing-masing atau antara institusi antarabangsa. Majlis ini dilahirkan dengan matlamat yang amat murni khususnya untuk pengisian Memorandum Persefahaman antara DBP dengan pelbagai pihak luar negara. Sidangnya yang

18

mencakupi Sidang Penuh, Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Untuk Penutur Asing serta ditambah dengan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja menjadi forum atau ruang bagi Majlis membincang, menyelaras dan merencanakan pelbagai aktiviti kebahasaan di peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan. Negara-negara yang diundang menganggotai Majlis adalah negara-negara yang aktif dalam gerakan

pengajaran bahasa Melayu, mengembangkannya bagi tujuan ilmu atau sumber maklumat serantau, menggalakkan pengajian dan penyelidikan tamadun Melayu dan Asia Tenggara, dan yang menggalakkan penggunaannya sebagai wahana komunikasi.

Kita juga mempunyai forum untuk perundingan dan permuafakatan bahasa di peringkat rantau (negara-negara berbahasa Melayu). Satu daripadanya ialah MABBIM (Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia) ditubuhkan pada 29 Disember 1972, pada asalnya MBIM (Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia), kemudiannya menjadi MABBIM apabila negara Brunei Darussalam

menganggotainya pada 4 November 1985. Fungsi utamanya ialah merancang dan menyelaraskan pembinaan bahasa Melayu khususnya hal-hal dasar, pedoman ejaan dan pedoman pembentukan istilah. Hasil usaha majlis ini, khususnya yang bersifat istilah sepatutnya dimanfaatkan oleh pelbagai pihak yang menggunakan bahasa Melayu. Sejak pertengahan 1990-an, MABBIM telah diperluaskan fungsi-fungsinya bagi mencakupi hal-hal penyelidikan, penulisan dan penyebaran bahasa. Sehingga kini, MABBIM telah berjaya menghasilkan terbitan beberapa pedoman ejaan, pedoman peristilahan, daftar istilah, dan keputusan sidang selama puluhan tahunnya. MABBIM sekali gus menjadi

saluran pembinaan dan pemasyarakatan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara dengan lebih akrab, mantap dan berwibawa. Majlis ini disegani sebagai sebuah majlis bahasa status tertinggi milik negara-negara berbahasa Melayu, sumber rujukan atau ‘fatwa’ tentang bahasa Melayu sedunia, membantu usaha mengembangkan bahasa Melayu dan mengelolakan pelbagai aktiviti di samping melaksanakan fungsi-fungsi utamanya tadi.

19

Satu forum baru yang diwujudkan kerajaan Malaysia pada 12 Ogos 1996 di Kuala Lumpur dengan kerjasama negara-negara jiran ialah Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Tujuan utama penubuhannya antara lain bagi

merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memaju dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa; menyelaraskan kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan bersama serantau untuk secara bersepadu; mengusahakan bakat,

peluang-peluang

para

sasterawan

memajukan

penterjemahan, penerbitan dan pengiktirafan terhadap pencapaian mutu ciptaan sastera, dan berusaha bersama-sama memantapkan penyebaran dan

penggunaan bahasa utama rantau ini sebagai alat komunikasi, media ilmu pengetahuan dan media pengucapan seni ke peringkat rantau dan

antarabangsa. Kita ingin melihat melalui pelbagai program kerjasama itu, kesusasteraan kebangsaan negara-negara Asia Tenggara dari Myanmar sehingga Vietnam dapat dihayati bersama dengan adanya usaha

penterjemahan, persidangan, pertukaran pakar, penerbitan dan pengiktirafan.

Pembentukan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang dianggotai Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, manakala Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam yang dipelawa sebagai pemerhati Majlis ini, dan kemudiannya, Kemboja, Laos dan Myanmar akan turut dihubungi, akan lebih membawa pengertian dan kerjasama yang bermakna antara para perancang sastera di negara-negara Asia Tenggara. Usaha-usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan Melayu/Indonesia ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa tidak boleh lagi dilakukan dalam kelompok yang kecil. Maka atas alasan itu MASTERA tidak boleh dibiarkan kaku. Kita hendaklah terus berusaha bersama memantapkan penyebaran bahasa dan sastera berbahasa Melayu. Kerjasama dengan pusat-pusat Pengajian Melayu/Indonesia di seluruh dunia bagi mengantarabangsakan kesusasteraan Melayu/Indonesia, dan juga untuk meningkatkan usaha melancarkan urusan lalu lintas pengedaran dan pemasaran penerbitan (buku, majalah dan media elektronik) di kalangan

20

negara-negara

anggota

khususnya.

MASTERA

akan

juga

berperanan

‘menyerantaukan’ kesusasteraan kebangsaan masing-masing negara melalui promosi, kegiatan sastera dan penterjemahan supaya lahir aliran keluar masuk penghayatan kesusasteraan antara satu sama lain.

Cetusan idea penubuhan Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FOKEPS) pada 15 Mac 2001 di Johor Bahru pula, adalah juga atas inisiatif DBP. Anggota pendirinya terdiri dari negara-negara anggota MABBIM dan Singapura sebagai pemerhati. FOKEPS bertujuan menyediakan wahana komunikasi kerjasama penerbitan serantau yang diharap memberikan impak yang menyeluruh kepada kerjasama bahasa dan sastera yang sudah terjalin itu, di samping meningkatkan budaya ilmu dalam bahasa Melayu. Isu lalu lintas buku, promosi, hak cipta dan harta intelek menjadi fokus utama kerjanya. FOKEPS akan ikut berusaha menggalakkan minat membaca di kalangan warga rantau serta bekerjasama meningkatkan tahap profesionalisme penerbitan dalam bahasa Melayu di kalangan negara-negara serumpun. Kelahiran FOKEPS telah melengkapkan prasarana bagi ketiga-tiga bidang utama gerakan tamadun berbahasa Melayu apabila bahasa, persuratan dan penerbitan memiliki wahana tersendiri yang akan saling melengkapi antara satu sama lain.

Untuk memperteguhkan peranan dan fungsi bahasa Melayu, baik sebagai bahasa nasional mahupun bahasa supranasional, usaha bersama yang jitu dan bersepadu antara negara-negara rumpun Melayu perlu dipergiat dan ditangani dengan penuh iltizam. Program dialog, kolokium, simposium dan sebagainya di peringkat wilayah sebagai wahana perbincangan dan perbincangan hal-hal kebahasaan, persuratan dan pemikiran bangsa tidak boleh diketepikan. Penubuhan tiga buah pejabat wilayah DBP – di Butterworth, di Kota Bharu dan di Johor Bahru serta dua cawangan di Sabah dan Sarawak – dilahirkan dalam konteks zon budaya yang sangat berguna bagi perancangan dan penyelarasan apa-apa kegiatan kebahasaan dan persuratan dengan cara yang lebih berkesan. Kerjasama dan kesetiakawanan ASEAN serta program kerjasama segi tiga

21

wilayah seperti SIJORI (Singapura, Johor dan Riau), segi tiga utara (Selatan Thailand, utara Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera) dan kerjasama segi empat ASEAN Timur (East ASEAN Growth Area - EAGA; Indonesia, Malaysia, Brunei dan Indonesia) harus juga dimanfaatkan agar kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan persuratan dapat dimasukkan sebagai salah satu agenda sampingan yang dominan dalam rangka kerjasama dua hala demikian. Malaysia telah pun mengambil inisitaif menubuhkan forum kerjasama di kawasan segi tiga tersebut dengan nama Majlis atau Mesyuarat Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan (MEKKAP) masing-masing dan telah dijalankan program serta beberapa kegiatan bersiri. Masalahnya juga adalah soal penerusan.

Pada

masa

yang

sama

program

pembinaan,

pemantapan

dan

juga

pengembangan yang terancang perlu dilaksanakan. Dalam konteks ini, badanbadan budaya, bahasa dan sastera seperti Pusat Bahasa Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia; Dewan-Dewan Kesenian di Indonesia;, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), di samping badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Malaysia, kelompok-kelompok organisasi penulis di Indonesia, Angkatan Sasterawan Brunei (ASTERAWANI) Brunei Darussalam, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan lain-lain harus terus mempertingkatkan peranan mereka untuk mendepani usaha-usaha penyejagatan bahasa dan sastera Melayu.

Penyejagatan bahasa, sastera dan persuratan Melayu seperti yang dilakukan melalui MABBIM, MABM, MASTERA, FOKEPS, MEKKAP dan lain-lain bentuk kerjasama serantau itu, mesti diperkukuh oleh kesepakatan kerja yang sudah sedia terjalin antara Pusat Bahasa Indonesia dengan DBP (Malaysia) dan DBP Brunei Darussalam. Jika keadaannya pasif dan tiada sesiapa yang lebih proaktif, maka segala gagasan murni awal itu akan tinggal sepi di kertas sahaja. Penyebarluasan bahasa Melayu sebagai bahasa umum dan juga bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi (iptek atau bahasa sains dan teknologi) di rantau ini

22

tidak

boleh

dibiarkan

tanpa

direncanakan

pelbagai

bentuk

kerjasama

kebahasaan dan kesusasteraan yang baru yang lebih konkrit. Dalam abad ke-21 ini, bahasa Melayu akan berhadapan dengan cabaran terhadap keupayaannya dari sudut fungsi wahana pengantar ilmu dan maklumat dengan adanya perkembangan bermacam-macam ilmu pengetahuan dalam pelbagai domain, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, yang bahasa memang menjadi sebahagian daripada keperluan itu.

Cabaran dan Perancangan Strategik Abad Ke-21 Abad ke-21 adalah suatu abad yang mencabar kesinambungan, kewujudan dan kegemilangan sesebuah peradaban bangsa-bangsa di dunia. Asakan gelombang globalisasi, liberalisasi dan pengaruh pascamodenisme sering sekali dikaitkan dengan kukuh atau lenyap lupusnya sesuatu bahasa, tradisi persuratan dan budayanya. Pembangunan bahasa Melayu menjelang tahun 2020 menuntut pembetulan falsafah dan perspektif yang benar yakni dengan meyakini bahawa pengembangan dan kemajuan ilmu untuk membina peradaban hendaklah dilakukan dalam bahasa sendiri. Bahasa Melayu berhadapan dengan cabaran strategik, antara lainnya:

(i)

Kehilangan

konsistensinya

untuk

melaksanakan

program

perekayasaan dan penjanaan citra BM sebagai sebuah bahasa kebangsaan yang kuat dan sebagai salah satu bahasa antarabangsa dan bahasa dunia. Strategi baru perlu dirangka bagi

pengembangannya yang berkesan. Ada kenyataan-kenyataan politik tetapi pengisiannya terlalu sedikit. (ii) Keseriusan negara-negara berbahasa Melayu yakni Malaysia,

Indonesia dan Brunei Darussalam yang diharapkan dapat berpadu tenaga untuk menjadi peneraju dan pemacu utama kemajuan BM, lebih-lebih lagi dalam konteks merealisasikan hasrat menjadikan

23

bahasa Melayu bahasa komunikasi Asia Tenggara atau suatu ketika mencapai status bahasa rasmi ASEAN. (iii) Kelunturan rasa bangga dalam konteks penyatuan antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, setelah ratusan ribu istilah telah diseragamkan melalui kerjasama dalam MABBIM, namun, pengisian barunya akan terbantut sekiranya ada perubahan dasar penggunaan bahasa yang tidak tegas atau tidak jelas di mana-mana negara serumpun berbahasa Melayu. (iv) Kepustakaan ilmu dalam BM khususnya penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu dalam bidang sains dan teknologi tidak bergerak sejajar dengan perkembangan ilmu dan pembangunan negara. Akibatnya bertambah buruk apabila kerap berubahnya dasar bahasa dalam sistem pendidikan. Institusi-institusi pengajian tinggi mula meminggirkan BM dalam kerja-kerja ilmu sebagai bahasa pengantar kuliah, syarahan, penyelidikan dan penerbitan. Jumlah penulisan dan penerbitan buku dalam BM akan kian mengecil. (v) Gerakan promosi bahasa dan eksport kebudayaan melalui kesalingan kerja melalui program pertukaran lebih banyak program televisyen yang berbudaya atau berbahasa Melayu; mempermudah dan

memperbanyak aliran buku dan maklumat dalam bahasa Melayu; dan memanfaatkan internet dan multimedia semaksimum mungkin di kalangan negara serantau adalah masih berada di tahap rendah dan penyebaran ke seluruh dunia hendaklah dijadikan agenda serantau yang berpanjangan.

Bahasa adalah asas pembinaan tamadun bangsa dengan kesedaran tanpa diketepikan keperluan umat Melayu dan bangsa Malaysia menguasai bahasabahasa utama dunia yang lain. Tumpuan perancangan strategik memerlukan tumpuan pemerkasaan ke peringkat antarabangsa dengan suatu daya juang dan komitmen politik ke arah merealisasikan bahasa Melayu berperanan bagi maksud luar negara. Gerakan ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai salah

24

satu

bahasa

komunikasi

Asia

Tenggara;

sebagai

salah

satu

bahasa

perdagangan rantau; salah satu bahasa komunikasi atau bahasa perdagangan Asia Timur; BM menjadi salah satu bahasa sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus diperkembangkan sebagai bahasa pengajian tamadun Melayu di institusi pengajian asing di luar negara seharusnya tidak dilihat sebelah mata.

Pada hemat penulis, abad ke-21 bagi dunia Melayu haruslah dijadikan abad gerakan bersama mengangkatkan peradaban serantau dengan keutamaan meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa penting dunia. Untuk memastikan kejayaannya, maka beberapa tindakan positif yang sudah atau yang sedang diambil atau akan diambil itu hendaklah diberikan tunjangan langsung oleh kerajaan dan dengan kerjasama yang kukuh oleh pelbagai pihak. Perancangan baru perlu meneliti antaranya:

(i)

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai badan utama pembina dan pengembang bahasa Melayu, melihat semula keterabaian beberapa program bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa yang sudah sedia berjalan rancak itu dengan suntikan komitmen dan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

(ii)

Penyediaan forum yang sedia ada seperti MABBIM, MABM, MASTERA, FOKEPS, MEKKAP mulai kaku dan rangkaian kerjasama institusi tidak dimanfaatkan. Kini kelihatan hendaklah diaktifkan semula bagi memudahkan perundingan dan penyelarasan aktiviti kebahasaan dan persuratan di peringkat rantau dan antarabangsa;

(iii)

Meneruskan sokongan moral, bantuan kerjasama kepada mana-mana institusi yang bersedia membuka pusat-pusat bahasa

Melayu/pengajian Melayu di luar negara seperti mempercepatkan kewujudan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, dan membantu mengukuhkan program

25

bahasa Melayu dan kajian tentang tamadun berbahasa Melayu di Eropah, Amerika dan Asia-Oceania. (iv) Mendorongkan usaha menambahkan jumlah Kursi Pengajian Melayu mengikut kesesuaian negara atau bekerjasama mendirikan Jabatan Pengajian Melayu/Program bahasa Melayu di luar negara; (v) Merangka pewujudan pusat sumber bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dan kelas bahasa Melayu (umum) di Kedutaankedutaan Malaysia di luar negara; (vi) Menyediakan program peminjaman tenaga pakar bahasa/sastera, pertukaran pensyarah, sarjana, pengajar, pelajar dan petugas bahasa dan pengajian Melayu antara negara; (vii) Mengadakan dan meneruskan program penggalakan yang berupa aktiviti sosiobudaya seperti pertandingan debat, pidato, forum, pertandingan menulis karya kreatif dan esei serta program dan hadiah lawatan sambil belajar/kerja; (viii) Mengadakan kerjasama peningkatan ilmu, kepakaran dan

keterampilan berbahasa Melayu dalam semua bidang dengan IPT di dalam dan di luar negara; (ix) Menyediakan atau berusaha mendapatkan sokongan dan sumber dana atau sumber-sumber lain dari syarikat-syarikat multinasional Malaysia untuk menjayakan program kebahasaan bagi negara yang kurang mampu; (x) Menyebarkan bahan-bahan terbitan dalam bahasa Melayu mengenai dunia dan pemikiran Melayu juga bahan kesusasteraan yang relevan (bercetak dan elektronik); (xi) Berunding dan menempa jalan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak kementerian yang berkaitan (di dalam Malaysia), kedutaan-kedutaan luar, persatuan dan majlis di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu, dan (xii) Merangka serta melaksanakan pengisian tambahan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani, secara

26

berperingkat-peringkat melalui kerjasama dengan institusi dan negara yang berkenaan.

Prasarana pengembangan bahasa dan persuratan Melayu sejak kemerdekaan ternyata telah memperlihatkan kejayaan pembinaan dan pengembangannya yang cukup luar biasa, tetapi tidak jelas dimanfaatkan, kurang gagasan, tidak kuat dukungan dan sokongan. Dalam tempoh tidak sampai setengah abad,

bahasa Melayu berjaya menjadi bahasa ilmu dan pengantar pendidikan di Malaysia dan Indonesia, menjadi salah satu bahasa moden, sehingga memungkinkan persuratannya berkembang maju. Bagi menghadapi persaingan global dan cabaran alaf baru, kita perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran tertentu untuk memaju dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu itu, berjalan seiring dengan kecekalan kita mendorongkan perkembangan bahasa Melayu tadi. Dalam persuratan kita perlu antara lainnya:

i)

Mencetuskan gerakan renaisans kesusasteraan Melayu. Gerak kerjanya meliputi pembaharuan pengkaryaan, kesungguhan kerja-kerja promosi, penterjemahan, wacana karya (kreatif dan ilmiah) dan penglibatan yang lebih agresif agar kehadirannya menimbulkan pengiktirafannya sebagai sebahagian dari

khazanah ilmu dan warisan persuratan dunia. Penggemblengan tenaga institusi rasmi, agensi dan pertubuhan sukarela perlu digerakkan secara bersepadu. ii) Meluaskan khalayak kesusasteraan kebangsaan yang

merentasi kaum, sukuan, profesion, generasi dan kewilayahan di peringkat kebangsaan dan mengukuhkan rangkaian

keserantauannya. iii) Penyebaran karya sastera harus melalui perubahan dan kaedah yang pelbagai dan menggunakan sepenuhnya kemajuan teknologi maklumat melalui media cetak, elektronik, multimedia

27

dan rangkaian kerjasama promosi dari rantau sendiri keluar ke persada dunia. iv) Memikirkan kemungkinan pembaharuan dan perubahan jika diperlukan, dari segi penulisan buku-buku ilmu, penerbitan hasil-hasil penyelidikan, penterjemahan, pengayaan bentuk dan isi yang boleh menonjolkan keunikan asas politik, ekonomi, persekitaran kebudayaan dan sosial yang sentiasa berubah di wilayah Melayu itu. Pengisian kepustakaan Melayu mesti dipertingkatkan dan diperkukuhkan. v) Melihat semula sistem pendidikan supaya lebih berupaya mewariskan kesusasteraan yang merentasi kurikulum dan bidang ilmu agar generasi muda Malaysia menghayati

kesusasteraan kebangsaan dengan mendalam. Hal yang sama boleh dilakukan di Indonesia, atau di negara rumpun berbahasa Melayu yang lain. vi) Membina penulis pelapis atau generasi baru kesusasteraan yang giat berkarya, terlibat dalam kepimpinan organisasi persuratan dan institusi serta cukup berpengetahuan luas dengan mengenali hati budi bangsa dan rumpun sendiri serta pada masa yang sama tegak bersama di pentas global.

Penutup

Gerakan membangunkan sesuatu peradaban bangsa yang tahan diuji pastinya mempunyai sejarah dan latar perencanaan yang kukuh meskipun berbeza. Forum yang diiktiraf wacananya merupakan tapak tempat benih pemikiran disemai dan idea bercambah. Maka untuk itu forum di pelbagai peringkat untuk mencanai dan melestarikan idea daripada para pemimpin ilmu, cendekiawan dan karyawan sentiasa diperlukan. Mereka bertemu, berbincang, berunding, dan bertukar-tukar pandangan untuk merancang dan merangka strategi

pengembangan bahasa dan persuratan Melayu. Pengukuhan seharusnya

28

dilakukan dari masa ke semasa. Kecemerlangan bahasa, sastera dan budaya Melayu sebagai pancaran peradaban bangsa dan manusia serumpun pada alaf ini bukan sekadar harus berlegar di kalangan umat berbahasa Melayu di rantau Asia Tenggara sahaja, malah menuntut kesediaan kita melangkahi sempadan yang lebih luas, hinggalah mencakupi segala usaha bersepadu untuk meletakkannya di pentas dunia. Segala macam isu dan masalahnya hendaklah diselesaikan dengan bijak dan penuh komitmen.

Kepantasan

perkembangan

kemajuan

dunia

sepatutnya

menyegerakan

kebangkitan umat Melayu besar. Bangsa Melayu boleh menjadi salah satu kabilah dunia yang ikut disegani dengan kehadirannya dalam politik dan peranan ekonomi antarabangsa dan menjadi lebih wajar sekiranya diiringi dengan mendukung bersamanya cita-cita pengembangan kebudayaan terutama

pengajian bahasa dan persuratan Melayu besar. Gerakan ini perlu dilakukan dengan keazaman politik, sedar dan secara langsung, selari dengan sumbangan signifikan bangsa dan negara Malaysia itu dalam forum-forum antarabangsa yang lain (OIC, NAM, Dialog Selatan-Selatan, ASEAN, SEAMEO dsb). Kemajuan dan kepesatan perkembangan ekonomi yang berlaku di kebanyakan negara berbahasa Melayu merupakan kesempatan ke arah mendorongkan kemajuan peradabannya. Dinamika baru Asia Tenggara tidak mungkin terpinggir dari kebangkitan dan pembaharuan Asia dan dinamika itu amat memerlukan keseimbangan pengisian kemajuan kerohanian, antara lainnya melalui

ketinggian pemikiran bahasa dan persuratannya.

29

Bibliografi:

A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: DBP.

_____________, 2001. Bahasa Asas Pembinaan Tamadun Bangsa. Kuala Lumpur: DBP dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

_____________, 2004. Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: DBP dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Awang Sariyan. 1996. Warna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Citra, 2001. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collins, James T., 1998. Malay, World Language: A Short History, Kuala Lumpur: DBP.

Dewan Bahasa dan Pustaka Tonggak Bahasa Melayu Ke Pentas Dunia Bahasa Moden. 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sasaran Kerja Utama (SKU) DBP, 1996-2000, 2001-2005 (Dokumen Terhad).

30

Biodata: Dato’ A. Aziz Deraman Kelahiran Kelantan, Malaysia 1948, Aziz mendukung kekayaan warisan tradisi kebudayaan dan keagamaan sebuah negeri yang tersohor di wilayah timur peradaban Melayu. Tradisi agama dan budaya itulah yang menjadi asas kekuatan pelbagai rupa kegiatannya. Sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (P.T.D), dikenali dengan budayawan-pentadbir, Aziz telah berkhidmat di pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan dalam tempoh 33 tahun setelah tamat pengajian dari Universiti Malaya 1971. Aziz adalah Pengarah Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (kini dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) 1981-1989, sehingga ke jawatan terakhir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka 1994-2004. Sewaktu memegang tampuk DBP, beliau menetapkan wawasan ke arah mengangkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kekuatan rantau dan menterjemahkan peranannya sebagai salah satu bahasa utama dunia. Beliau mengambil inisiatif membina jaringan budaya secara institusional di kalangan sarjana bahasa dan sastera MelayuPolinesia, mengadakan kumpulan kerja global antara sarjana dan peneliti bertaraf dunia daripada Eropah, Amerika, Asia-Oceania bagi meletakkan kebudayaan Melayu lebih bermakna di bidang akademik. Peranan beliau membantu usaha menubuhkan program bahasa Melayu dan pusat-pusat pengajian Melayu di universiti-universiti Eropah, Amerika Syarikat, Rusia, Uzbekistan, China, Korea, Jepun, Australia, New Zealand, Filipina dan Thailand sangat dihormati. Aziz banyak melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persilatan (PESAKA dan PERSILAT), kesusasteraan (PUSPA dan GAPENA), kesenian (Majlis Antarabangsa Festival dan Pertubuhan Kesenian) serta menduduki beberapa Majlis dan Jawatankuasa yang kena mengena dengan pendidikan dan kebudayaan di Malaysia, mencetuskan forum bahasa, sastera dan penerbitan di peringkat rantau dan antarabangsa melalui MABM, MASTERA, FOKEPS serta mengukuhkan MABBIM. Aziz, seorang penyair yang hasil kerjanya ikut menjadi sumber ilham penulis muda, sajak-sajaknya dideklamasikan dan beberapa pula telah dijadikan lagu puisi, disiarkan melalui radio dan televisyen. Beliau telah menulis ratusan artikel tentang aspek kebudayaan, kesenian, sosial dan pendidikan serta menghasilkan monograf dan bukubuku mengenai peradaban. Antara penerbitan beliau: Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Intelektualisme Budaya, Asas dan Pemikiran Kebudayaan Malaysia; dan kumpulan puisi Kau dan Aku, Bahtera Madani, Gapura Diri dan Bicara Kasih. Beliau telah dianugerahi darjah kebesaran dan pengiktirafan antaranya D.P.S.K., D.S.P.N., J.S.M., K.M.N.,D.M.M.,dan A.S.Pushkin Memorial Medal, Rusia (1999), Profesor Kehormat, Guangdong University of Foreign Studies, China (2001), Anugerah Khas Presiden ABIM (2003), Anugerah Pencetus MASTERA, Indonesia (2005), Soka University Award of Honour, Tokyo, Jepun (2006), Anugerah Tokoh Budaya Kelantan (2006).

31