You are on page 1of 7

KARYA KLASIK MELAYU “CERITA AWANG LUTUNG” FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU JXEA1104

SEMESTER 1(2008/2009) AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
NAMA: AZINATUNNISA BT JAMALUDIN NO.MATRIK: JEA080007 NAMA PENYARAH: DR.AMRAN BIN MUHAMAD
SIPNOPSIS CERITA AWANG LUTUNG. Cerita ini mengisahkan mengenai seorang perempuan yang bernama Mak Da Miskin. Dia telah melahirkan anaknya yang merupakan seekor kera lutong. Mak Da Miskin mengandung tanpa dipinta. Semuanya gara-gara minum air dari tapak gajah di hutan. Mak Da Miskin dihalau dari

negerinya, lalu tinggal di hutan. Setelah lahir anaknya, dia pun peliharalah hingga besar. Apabila awang Lutung sudah besar dia telah mengembara, hingga terdengar perbualan Puteri Bongsu yang mahu bersuamikan kera lutung. Maka dia menyuruh ibunya datang melamar Puteri Bongsu. Puteri Bongsu menyerahkan segalanya kepada ayahdanya. Lalu ayahdanya meminta emas dua karung, perak dua karung, jambatan emas, jambatan perak dari rumahnya samapi ke rumah Mak Da sebagai hantaran. Namun segalanya dapat dilakukan oleh Awang Lutung. Lalu mereka berkahwin. Setelah berkahwin baru dapat tahu tentang penyamaran Awang Lutung. Yang sebenarnya Awang Lutung mempunyai paras rupa yang tersangat elok. Namun kakak Puteri Bongsu cemburu dengan Puteri Bongsu kerana dia memiliki suami yang kacak. Lalu pelbagai helah di buat supaya Awang Lutung membenci kepada Puteri Bongsu. Hinggalah kepada satu helah yang disuruh oleh Puteri Sulung kepada Puteri Bongsu, dia menyuruh Puteri Bongsu menghayun pisau kepada Awang Lutung apabila Awang Lutung balik ke rumah. Akhirnya Awang Lutung lari meninggalkan Puteri Bongsu. Hinggalah mereka terpisah dengan berapa lamanya. Namun akhirnya mereka tetap bertemu jua.

PENGENALAN Cerita Awang Lutung ialah sebuah cerita rakyat melayu yang telah dituturkan oleh seorang tukang cerita di Kampung Mentuan, Daerah Bachok , Kelantan. Cerita ini boleh dikategorikan sebagai cerita rakyat. Cerita rakyatadalah cerita lisan. Ianya hidup daripada satu generasi ke satu generasi yang lebih muda melaliu jalan lisan. Kadang-kadang cerita itu dituliskan, kerana ada yang mahu mencatatkanya. Seperti yang berlaku kepada cerita-cerita rakyat Melayu sejak

pertengahan abad kesembilan belas. Tetapi pada hakikatnya cerita-cerita rakyat hidup melalui jalan lisan, dan kerana itu ia mempunyai jalan bahasa dan konvensi-konvensi seninya tersendiri. Cerita ini dikekalkan dengan beberapa ciri pemakaian bahasa bercerita gaya lisan, terutama dari segi pemakaian bahasa loghat daerah, contohnya, ‘kecek’ yang bermaksud ‘bercakap’. ‘kecek’ adalah dalam bahasa Kelantan. Selain itu pemakaian kependekan perkataan. Contohnya, perkataan ‘tak’, ‘dah’, ‘nak’. Susunan ayat pula tidak rapi jika dibandingkan dengan gaya bahasa yang tertulis. Cerita ini lebih kepada bentuk panglipur lara. Mempunyai pengajaran, nilai moral dan memaparkan sikap-sikap yang selalu ada dalam kehidupan masyarakat. Perasaan prasangka terhadap seseorang, tuduh menuduh, perasaan iri hati, kasih sayang, materialistik, dendam, penyabar dan pelbagai lagi sifat-sifat manusia dalam cerita Awang Lutung ini. Cerita ini mempunyai kaitan dalam nilai masyarakat. Ianya banyak memaparkan nilai hidup manusia, walaupun ada campuran kisah dongeng sedikit dalam cerita ini. Kisah dongeng merupakan kisah yang tidak logik. Cerita ini banyak yang tidak logiknya di fikiran manusia.

FALSAFAH CERITA AWANG LUTUNG. Motif utama cerita Awang Lutung ini ialah penyamaran. Penyamaran Awang Lutung dalam cerita ini memperlihatkan pandangan orang lain terhadapnya. Misalnya Awang Lutung sengaja menyuruh ibunya Mak Da Miskin pergi melamar Puteri Sulung dan Puteri Tengah. Tetapi kedua Puteri itu tidak dapat menerima pinangan daripada Awang Lutung. Hal ini menunjukkan perbezaan taraf. Kedua Puteri tersebut merasakan Awang Lutung tidak sesuai dengan dirinya. Kerana mereka adalah Puteri raja, manakala Awang Lutung adalah seekor kera lutung. Ternyata kedua-dua puteri itu memandang paras rupa dan pangkat. Berbeza dengan Puteri Bongsu.

Semasa Mak Da Miskin datang melamar, Puteri Bongsu melayannya dengan baik serta sopan. Dia tidak mengira pangkat atau darjat seseorang. Puteri Bongsu memaparkan sifat-sifat baik, seperti menghormati orang yang lebih tua, tutur katanya sopan. Hal ini dapat dilihat dalam babak tersebut; “Awang Lutung suruh hamba mari minta Tuan Puteri Bongsu.” “ Perkara ni beginilah Mak Da, tak apalah, mari masuk dulu” Maka Mak Da pun masuklah ke dalam istana. Kemudian Tuan Puteri Bongsu pun mandi berlimaulah Mak Da tadi hingga menjadi seorang yang colek molek serupa dia muda-muda dulu. Lepas itu Mak Da pun makan bersama-sama Puteri Bongsu. Sebelum Mak Da turun nak balik, kata Tuan Puteri bongsu, “ perkara ni beginilah Mak Da, Mak Da pergilah tanya ayahanda sendiri” Babak ini menunjukkan sifat Tuan Puteri Bongsu yang begitu baik melayan tetamu tanpa mengira orang itu siapa. Malah amat menghormati Mak Da sebagai seorang tetamu orang yang lebih tua darinya. Selain itu Tuan Puteri Bongsu juga menghormati ayahnya. Kerana dia menyerahkan segala keputusan ditangan ayahdanya sebagai ketua keluarga. Sifat ini menunjukkan nilai-nilai murni dalam diri manusia. Selain itu terdapat juga unsur-unsur dongeng dalam cerita ini. Perkara ini bukan lagi suatu yang pelik dalam cerita rakyat. Dalam cerita Awang Lutung ini, sememangnya banyak kisah dongeng dikaitkan. Misalnya Mak Da boleh melahirkan seekor kera lutung. Dan semasa melahirkannya, Mak Da Miskin didatangi oleh Mak bidan ketujuh dari kayangan. Kerana bidan itu mendengar jeritan Mak Da yang kesakitan keseorangan di hutan. Unsur dongeng ini boleh dikategorikan sebagai unsur tahyul. Pada zaman dahulu kepercayaan terhadap agama islam agak berkurangan. Maka wujudlah unsur-unsur yang bertentangan dengan agama islam. Pada zaman

dahulu masyarakat percaya tentang kewujudan kerajaan kayangan. Namun sebenarnya unsur dongeng agak penting dalam cerita klasik melayu, untuk menyedapkan jalan cerita. Motif penyamaran juga agak kurang jelas dalam cerita ini. Kerana sebenarnya, Awang Lutung bukanlah seekor kera, tetapi sebaliknya mempunyai paras wajah manusia yang amat segak dan kacak seperti lelaki yang lain. Segalanya terbongkar selepas dia berkahwin dengan Tuan Puteri Bongsu. Dia mempunyai sarung kera lutung, apabila keluar dari sarungnya barulah kelihatan paras rupanya yang kacak itu. Disini memperlihatkan bahawa penyamaran yang dilakukan oleh Awang Lutung adalah untuk mengaburi mata masyarakat yang hanya memandang paras rupa dan darjat. Misalnya Puteri Sulung menolak lamarannya kerana rupa dan darjat, hal ini dapat dilihat dalam babak tersebut; “Allah Mak Da, Siang sayur tak ukur dengan belanga, Potong baju tak ukur dengan badan” Ungkapan itu bermaksud yang Awang Lutung tidak sesuai dengan dirinya sebagai seorang Puteri raja. Dan seoalah lansung tidak padan dengan rupa paras seekor kera lutung dengan Puteri raja, juga kerana Awang Lutung adalah dari kalangan rakyat biasa saja. Dari sinilah memaparkan perbezaan darjat tidak boleh bersama. Dalam cerita ini juga wujud sifat iri hati dan cemburu di kalangan Puteri Sulung dan Puteri Tengah. Mereka telah menghasut Puteri Bongsu membuat pelbagai perkara yang boleh membuatkan Awang Lutung membenci dan meninggalkan Puteri Bongsu. Hinggalah kepada tahap yang membuatkan Awang Lutung lari meninggalkan Puteri Bongsu. Hal ini dapat dilihat semasa Puteri Sulung menyuruh Puteri Bongsu melakukan sesuatu yang kononnya Awang Lutung akan lebih menyayanginya. Cerita ini dapat dilihat dalam babak tersebut; “Hei adik! Kalau mu nak suruh abang kasih ke mu, mu gantunglah pisau ini dimuka pintu. Jadi apabila abang mu balik gak, mu hayunlah pisau itu arah ke dia.”

Jadi sedang molek Awang Lutung sampai ke muka pintu rumah, maka Tuan Puteri Bongsu pun hayunlah mata pisau dan terkenalahdahi Awang Lutung hingga berdarahlah, kata Awang Lutung “Adik duduklah di sini! Abang nak pergi dah” Babak ini menunjukkan yang Puteri Sulung berjaya meracuni fikiran adiknya Puteri Bongsu untuk membuatkan Awang Lutung tinggalkannya. Sebenarnya, Puteri Sulung mencemburui adiknya dapat jodoh yang baik serta mempunyai paras rupa yang amat kacak serta mempunyai beberapa kelebihan yang unik. Perasaan iri hati ini adalah salah satu sifat lazim manusia yang tidak boleh melihat kesenangan dan kebahagiaan seseorang dalam kehidupannya. Perkara ini selalu dilihat dalam kehidupan masyarakat kita. Sebab itulah ia dikaitkan dalam cerita rakyat. Ianya bertujuan memaparkan nilai hidup masyarakat. Perasaan iri hati, dengki antara satu sama lain sering berlaku dala kehidupan seharian manusia. Namun dalam cerita rakyat ianya telah di kaitkan dengan unsur-unsur dongeng dan jenaka bagi menyedapkan jalan cerita tersebut, walaupun adakalanya tidak masuk akal. Nilainilai manusia yang diselitkan dalam cerita ini memberi pengajaran kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian. Misalnya sifat iri hati, bongkak, dan pemarah haruslah dielakkan dalam masyarakat kita. Supaya hidup tidak akan kucar-kacir. Sifat seperti penyayang , penyabar, hormat-menghormati, ikhlas dan jujur perlu diterapkan dalam diri manusia bagi menjamin kehidupan yang lebih sejahtera. Sebagai kesimpulan hasil daripada cerita Awang Lutung, dapat memaparkan dengan jelas bahawa bagaimana rupa samaran seseorang itu menyembunyikan hakikat kebesarannya yang sebenar, dan cuma mereka yang tajam penglihatannya sahaja yang dapat menembusi penyamaran itu. Pelbagai sifat dalam diri manusia dipaparkan. Pencerita itu sebenarnya

mempunyai ilmu yang tinggi dalam menghuraikan sifat manusia ketika zaman itu dalam bentuk cerita. Manusia akan lebih memahami apabila betul-betul menghayati cerita ini dan pada masa yang sama turut belajar dari pengajaran dan nilai moral dalam cerita ini. Oleh demikian, ternyata cerita klasik melayu banyak kaitan dalam kehidupan sebenar manusia.

SEKIAN.

BIBLIOGRAFI
1. Prof. Mohd Taib Osman Ph.D dan Abu Hasan Sham M.A (1978) Warisan Prosa Klasik.

Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.
2. Awang Sariyan(2007) Falsafah dan Logika Melayu. Selangor. Synergymate Sdn. Bhd .