You are on page 1of 4

FRIDAY, MAY 8, 2009

Hukuman sebat kes syariah, sivil perlu diselaraskan


Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2009/05/hukuman-sebat-kes-syariah-sivil-
perlu.html

HUKUMAN sebat sudah diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah)
1965 (pindaan 1984). Akta itu diwujudkan menurut kuasa diberikan mengikut Perlembagaan
Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri).

Berdasarkan akta itu, kadar hukuman sebat yang sudah ditetapkan adalah enam kali sebatan saja.
Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang diguna pakai, hukuman sebat diperuntukkan
sebagai salah satu hukuman bagi pesalah jenayah syariah.

Contohnya, mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, hukuman
sebat hanya dikenakan ke atas enam jenis kesalahan iaitu kesalahan berhubung doktrin palsu,
perbuatan sumbang mahram, pelacuran, pelindung pelacur (ibu ayam), persetubuhan luar nikah, liwat
dan musahaqah.

Oleh demikian, adalah menjadi budi bicara bagi seseorang hakim untuk menjatuhkan hukuman sebat
dalam penghakimannya. Memang dalam sesetengah penghakiman kes jenayah syariah ada hakim
menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah.

Namun, perkara yang sering bermain di minda kita adalah sejauh mana pelaksanaan hukuman itu
dijalankan di Malaysia. Banyak kekeliruan timbul apabila menyebut mengenai pelaksanaannya.
Kekeliruan itu harus diselesaikan secara bersama supaya kesepakatan dapat dicapai dalam mencari
penyelesaiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman
Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata umumnya hukuman sebat dalam kesalahan jenayah syariah itu
tidak diketahui sebilangan masyarakat.

“Perkara ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah kurangnya pendedahan mengenai hukuman
sebat dan hukuman ini tidak dilaksanakan secara meluas oleh mahkamah,” katanya.

Contohnya, pada 12 Januari 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda
sebanyak RM5,000 dan enam kali sebatan terhadap seorang lelaki dan wanita yang mengaku bersalah
meminum arak.

Hukuman itu diperuntukkan mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam
Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Malangnya, kes itu diperalat pelbagai pihak. Keadaan itu menyebabkan
timbul pelbagai anggapan mengenai keupayaan institusi agama melaksanakan perintah sebatan yang
diputuskan.

Namun setakat ini belum ada apa-apa tindakan dibuat bagi menyelesaikan atau menangani masalah
berkaitan sebatan itu.

Selain itu, timbul juga pertikaian berkenaan kaedah sebat yang dilaksanakan. Adakah kaedah sebatan
seperti dilaksanakan Jabatan Penjara ketika ini boleh diguna pakai atau perlu satu kaedah lain yang
bertepatan dengan hukum syarak diadakan.

Dalam pada itu, persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan Mahkamah Syariah adalah ringan.
Sering kali hukuman diputuskan berbentuk denda saja. Oleh itu, ia menjadi faktor penyumbang kepada
peningkatan statistik kesalahan jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat menganggap undang-
undang syariah sebagai remeh.

Pelbagai program sudah dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) bagi menangani masalah itu. Namun, kesalahan jenayah syariah tidak juga
berkurangan.

Jamil Khir berpendapat, satu kajian terperinci perlu dibuat oleh pakar dalam bidang perundangan
syariah dan sivil bagi memastikan pelaksanaan hukuman sebat dapat dijalankan; satu kaedah atau
peraturan berkaitan sebatan perlu diwujudkan bagi menjamin hukuman dilaksanakan dengan teratur
dan berkesan selain kerjasama strategik perlu diwujudkan antara Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Penjara,
Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan.

Pendapat itu disokong Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang berkata,
peruntukan sebatan mengikut Undang-undang Jenayah Syariah negeri dan peraturan sebatan
diperuntukkan mengikut Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah agak jarang diketengahkan dan
dilaksanakan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan wujud pelbagai persoalan sama ada di kalangan pengamal undang-
undang mahupun orang ramai, sama ada ia relevan dikekalkan mengikut undang-undang syariah atau
sebaliknya.

Sehubungan itu, jumlah hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah jenayah syariah masih kecil
walaupun Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman itu mengikut enakmen, ordinan
dan akta kesalahan jenayah syariah.

Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa,
berkata berdasarkan kajian, secara umum kebanyakan negeri, tiada satu pun hukuman sebat
dijatuhkan ke atas pesalah itu walaupun selepas Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mengikut model
undang-undang seragam yang mempunyai prosedur hukuman sebat dikuatkuasakan.
“Setakat ini, Kelantan sudah melaksanakan hukuman itu manakala di Pahang, Perak dan Johor ada
hukuman sebat yang pernah dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan atas sebab rayuan yang
dikemukakan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Hukuman Sebat
Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian pada seminar itu.

Beliau berkata, jumlah hukuman sebat yang sangat sedikit itu menyebabkan realiti sebenar mengenai
masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara tidak dapat diketahui.

Justeru katanya, langkah penambahbaikan dalam konteks jenayah syariah juga sukar untuk diambil
kerana hukuman sebat itu masih tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Walaupun masih ada beberapa masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat, segala masalah itu
bukanlah halangan besar kepada pelaksanaannya. Terpulang kepada kebijaksanaan hakim untuk
menggunakan kuasa dan budi bicara memilih hukuman yang hendak dijatuhkan dengan sewajarnya,”
katanya.

Beliau berkata, pihak penjara perlu menjalinkan semangat dan rangkaian kerjasama yang termaktub
dalam undang-undang dan komitmen melaksanakan hukuman Mahkamah Syariah dengan mematuhi
setiap prosedur.

Mahamad Naser turut mencadangkan kaedah terperinci membabitkan hukuman sebat yang seragam
digubal dan dikuatkuasakan di negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar ketika membentangkan kertas kerja bertajuk
Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Cabaran dan Halangan berkata, hukuman
sebat syariah berbeza dengan sebat sivil.

“Walaupun peruntukan hukuman itu sudah lama wujud, pelaksanaannya masih belum meluas. Sudah
sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya. Halangan yang wujud adalah
yang bersifat metafora dan bukan sebenar.

“Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi berkaitan seperti penjara sudah
bersedia melaksanakannya. Malah, hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah yang
dijalankan pegawai penjara dan mendapati ia tidak bertentangan peruntukan undang-undang dan
hukum syarak,” katanya.

Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara, Masran Muhamad, ketika membentangkan kertas kerja
bertajuk Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat bagi Kes Jenayah Syariah: Satu
Pandangan berkata, jabatan itu akan terus melaksanakan hukuman berdasarkan arahan daripada waran
yang sah serta berlandaskan ketetapan undang-undang.

Katanya, bagi tujuan pendedahan, Jabatan Penjara mengalu-alukan kehadiran kakitangan Mahkamah
Syariah untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat di penjara.

Berikutan itu, kerajaan masih menunggu cadangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan
Sivil, Jakim sebelum membuat keputusan mengenai langkah memperkasakan undang-undang jenayah
syariah di negara ini menerusi pindaan.

Jamil Khir berkata, kajian akan dilakukan kerana persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan
Mahkamah Syariah ringan dan kerajaan tidak mahu undang-undang syariah di negara ini menjadi
perbahasan yang tidak ada penghujung.

“Oleh itu, kita menyasarkan apabila masyarakat dan kalangan ulama, pengamal undang-undang
termasuk Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia serta Mahkamah Sivil melihat satu kesepakatan
yang baik, barulah kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, anggapan umum ialah denda maksimum RM5,000 bukan kerana ia sedikit atau banyak,
tetapi ada kesalahan besar tetapi hukuman tidak boleh dikenakan lebih daripada peruntukan diberikan.

“Kita harus rombak dan lihat supaya ia memberi keadilan daripada apa yang ditetapkan dalam bidang
kuasa. Seminar ini akan bermula sebagai rangkaian atau permulaan berterusan ke arah memperkasakan
lagi bidang kuasa jenayah syariah untuk kita laksanakan,” katanya.