You are on page 1of 15

Solat Jamak

1. Takrif
Takrif dari segi bahasa : ia adalah antonim bagi perpecahan.
Berdasarkan istilah para fuqoha adalah :menunaikan solat zohor bersama-sama dengan asar, atau
maghrib dan isya sama ada secara taqdim atau takhir.

2. Hukum Solat Jamak
Para fuqoha bersepakat di atas pensyariatan solat jamak antara Zohor dan Asar di Arafat dengan
ditunaikan secara jamak taqdim pada waktu zohor, dan diantara Maghrib dan Isya dengan ditunaikan
secara jamak takhir di Muzdalifah pada waktu Isya.Kedua-duanya ketika menunaikan haji.
Ini kerana, baginda saw melakukan yang sedemikian ketika Haji Wada. Dari Jabir r.a. katanya ketika
menceritakan cara baginda saw menunaikan haji :
(Baginda saw) telah pergi ke tengah-tengah wadi, dia memberikan khutbah kepada manusia,
kemudian melaungkan azan.Lalu dia berdiri dan menunaikan solat Zohor, kemudian dia berdiri
lagi dan menunaikan solat Asar pula.Dan dia tidak solat diantara kedua-duanya (antara solat
Zohor dan Asar tadi).
[Hadis riwayat Muslim]
Namun begitu, para fuqoha berbeza pendapat di dalam menentukan sebab kepada rukhsah ini (solat
jamak), adakah disebabkan musafir atau menunaikan haji..??
Pendapat pertama : Pendapat oleh Hasan Basri, Ibnu Sirin, Makhul, An-NakhI, Abu Hanifah, dan satu
qoul dari Syafieyyah bahawa ia adalah disebabkan oleh menunaikan haji. Oleh itu, bagi mereka tidak ada
bezanya jika dia bermusafir atau tidak, sama ada dia berada dia Arafah, Mekah, Muzdalifah atau mereka
yang tinggal di situ.
Pendapat kedua : Pendapat oleh jumhur fuqoha' (Malikiyyah, qoul yang rojih dalam mazhab Syafie, dan
Hanabilah) jamak di Arafah dan Muzdalifah adalah rukhsah disebabkan musafir. Mereka berhujjah
berdasarkan banyak hadis-hadis yang sohih dan masyhur yang mana menunjukkan Nabi saw jamak
ketika bermusafir.


3. Jamak ketika musafir
Syafieyyah dan Hanabilahberpendapat : Boleh jamak antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan
Isya, ditunaikan secara taqdim atau takhir dengan sebab musafir, iaitu musafir yang jaraknya
membolehkan solat qosar selagi mana ia bukan musafir kerana melakukan maksiat. Hujjahnya :
i. Dari Anas r.a. katanya :Sesungguhnya Rasulullah saw apabila keluar bermusafir, sebelum
matahari tergelincir diaakan melewatkkan waktu Zohor ke waktu Asar, kemudian dia akan
turun dan menjamakkan antara kedua-duanya (antara Zohor dan Asar).
[Hadis riwayat Bukhari]

ii. Dan di dalam riwayat yang lain, bahawasanya baginda ketika di dalam permusafiran, dan
matahari tergelincir, dia akan solat Zohor dan Asar bersama-sama (dijamakkan kedua-
duanya) lalu menyambung semula permusafirannya.
[Hadis riwayat Baihaqi dari Anas r.a. ]

iii. Dari Muaz r.a. katanya : Kami keluar bersama-sama Nabi saw ke peperangan Tabuk, dan
baginda solat Zohor dan Asar secara jamak, dan Maghrib dan Isya secara jamak juga.
[Hadis riwayat Muslim]
Adapun Malikiyyah, mereka tidak meletakkan musafir sebagai syarat untuk solat jamak, tidak kira sama
ada musafir itu jauh atau dekat. Namun, jika dia berniat iqomah ketika menunaikan salah satu dari dua
solat jamak (iaitu jamak taqdim) tersebut, batallah solat jamaknya.Mereka juga tidak meletakkan
tempoh iqomah selama 4 hari sebagai penghalang kepada solat jamak.
Bagi Al-Auzaie pula, dia berpendapat hanya dibenarkan solat jamak secara takhir sahaja bagi orang
yang bermusafir. Ini berdasarkan hadis Anas r.a. sabda baginda saw :
Apabila matahari tergelincir sebelum dia bermusafir, hendaklah dia solat Zohor dan
meneruskan musafirnya.
[Hadis riwayat Bukhari]
Hasan Basri, Ibnu Sirin, Makhul, An-NakhI, Abu Hanifah berpendapat tidak boleh solat jamak
disebabkan musafir, sama ada jamak taqdim atau takhir. Namun begitu, terdapat jamak yang seakan-
akan jamak, ia dinamakan jamak shuri. Ia adalah dengan melewatkan solat Zohor hingga hujung
waktunya, dan menunaikan solat Asar pada awal waktu. Begitu juga dengan solat Maghrib dan Isya.
Hujjah mereka adalah :
i. Dari Ibnu Masud katanya :Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw solat luar dari
waktunya, kecuali dua solat iaitu jamak antara Maghrib dan Isya.
[Hadis riwayat Bukhari]

ii. Juga sabda baginda saw :Tidak ada pada tidur itu sesuatu yang cuai. Tetapi kecuaian itu
pada sesiapa yang tidak solat sehingga masuk waktu yang lain. Sesiapa melakukan yang
sedemikian, hendaklah dia solat ketika tersedar (akan perbuatannya). Jika esok (baru dia
tersedar), maka solatlah pada waktunya.
[Hadis riwayat Muslim dari Abi Qatadah]

iii. Kata mereka lagi, sesungguhnya waktu solat itu telah sabit secara mutawatir dengan hadis.
Maka tidak boleh meninggalkan hadis Mutawatir dengan hadis Ahad.
Adapun pihak yang mengatakan boleh jamak disebabkan oleh musafir, mereka bersepakat mengatakan
bahawa boleh jamak antara dua solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isya sama ada pada waktu
solat yang pertama atau kedua.
Jika dia sedang berhenti (sedang berehat atau sudah tiba ke tempat yang dituju) pada waktu yang
pertama, maka adalah lebih afdhol untuk dia solat jamak taqdim.Namun jika dia masih bergerak, lebih
afdhol baginya melewatkan dengan menunaikan solat jamak takhir. Ini berdasarkan apa yang
diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. :
Tidakkah kamu mahu aku memberitahu kepada kamu tentang solat Rasulullah saw, apabila
matahari telah tergelincir (masuk waktu Zohor) dan dia berhenti, baginda akan mentaqdimkan
solat asar kepada waktu Zohor, dan menunaikan solat jamak (taqdim) pada waktu Zohor. Dan
apabila dia bermusafir sebelum waktu Zohor, baginda akan mentakhirkan solat Zohor kepada
waktu Asar dan menunaikan solat jamak (takhir) pada waktu Asar.
[Hadis riwayat Al-Baihaqi. Berkata Imam Nawawi : Hadis Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi bersanad jayyid]
Malah ia juga lebih bersesuaian dengan keadaan orang yang bermusafir.
Jika dia sedang bergerak atau berhenti pada kedua-dua waktu dan dia berniat untuk menjamakkan
solatnya, adalah lebih baik bagi dia mentakhirkan solat yang pertama ke waktu yang kedua (iaitu
menunaikan jamak takhir).Ini kerana pada hakikatnya waktu solat yang pertama itu ada di dalam waktu
yang kedua, tetapi tidak sebaliknya.

4. Syarat Sah Jamak Taqdim
Jumhur Fuqoha bersepakat mengatakan dibolehkan solat jamak. Namun mereka meletakkan empat
syarat sebelum dibenarkan solat jamak taqdim :
i. Mestilah menunaikan solat yang pertama dahulu Zohor dan Maghrib kerana ia adalah
waktunya, dan solat yang kedua pula hanya mengikut sahaja. Dan yang mengikut tidak
boleh mendahului apa yang diikutnya. Jika dia solat Asar dahulu sebelum Zohor, tidak sah
solat Zohornya. Begitu juga jika dia dia solat Isya sebelum Maghrib, tidak sah Isyanya. Dan
dia perlu mengulanginya kembali selepas menunaikan solat yang pertama.

ii. Niat untuk jamakkan solat itu adalah lebih baik pada awal solat yang pertama. Namun
begitu, boleh juga diniatkan ketika menunaikan solat yang pertama sehingga memberi salam
(akhir solat).

iii. Hendaklah solat itu ditunaikan secara berturut-turut, tidak boleh diselangi dengan tempoh
yang lama. Adapun tempoh yang sebentar, tidak menjadi masalah. Jika tempoh itu
berpanjangan, batallah solat jamaknya sama ada dia tidur, lupa, sibuk dengan perkara lain
dan sebagainya. Adapun tempoh yang sebentar atau lama itu bergantung kepada uruf
sekelilingnya. Namun sebahagian Syafieyyah dan Hanabilah meletakkan tempoh yang
sebentar itu adalah menyamai kadar iqomah, dan tambah Hanabilah pula kadar mengambil
wudhu.

iv. Hendaklah permusafirannya berterusan dari iftitah solat yang pertama hingga iftitah solat
yang kedua. Jika dia berniat iqomah ketika solat yang pertama, atau dia tiba di tempat
tinggalnya (tempat asalnya) dan dia masih di dalam solat yang pertama, atau dia menjadi
orang yang bermukim di antara dua solatnya ; dia tidak dibenarkan solat jamak lagi kerana
telah hilang sebab (untuk dia menunaikan solat jamak). Dia mesti melewatkan solat yang
kedua pada waktunya.

5. Syarat Sah Jamak Takhir
Disyaratkan supaya sah solat jamak takhir, niat jamak sebelum habis waktu solat yang pertama iaitu
pada waktu solat (pertama) ditunaikan secara ada (). Jika dia melewatkannya tanpa sebarang niat,
berdosalah dia dan dia wajib menunaikan solat secara qodho kerana ia telah terkeluar dari waktunya.
Adapun Syafieyyah menambah satu lagi syarat iaitu dia mesti berada di dalam keadaan musafir sehingga
selesai kedua-dua solatnya. Jika dia bermukim sebelum selesai solatnya, maka solat yang pertama (solat
yang ditakhirkan tadi ; Zohor dan Maghrib) perlu ditunaikan secara qodho.
Hanabilah pula mensyaratkan berterusan musafirnya sehingga masuk waktu solat yang kedua.Maka bagi
mereka, tidak ada masalah sekiranya musafir itu selesai sebelum solat ditunaikan dan selepas masuknya
waktu solat yang kedua.
Para fuqoha juga berbeza pendapat pada kebenaran menunaikan solat jamak pada musafir yang
pendek.
Syafieyyah pada qoul yang rojih di sisi mereka dan Hanabilah mengatakan tidak dibenarkan solat jamak
pada musafir yang pendek. Ini kerana :
i. Solat jamak adalah satu rukhsah yang disyariatkan untuk mengelakkan kesusahan di dalam
musafir. Maka ia (solat jamak) hanya dikhususkan kepada musafir yang panjang
sebagaimana solat qosar.

ii. Juga kerana menunaikan ibadah luar dari waktunya adalah tidak dibenarkan pada musafir
yang pendek seperti berbuka puasa.

iii. Dalil untuk jamak adalah perbuatan baginda saw, dan sesuatu perbuatan itu tidak ada
sighah padanya tetapi ia adalah permasalahan yang tertentu. Maka tidak boleh mensabitkan
hukum kecuali pada perkara yang sepertinya.

iv. Juga tidak diriwayatkan dari baginda saw bahawa dia tidak menunaikan solat jamak kecuali
pada musafir yang panjang.

Manakala pendapat Syafieyyah yang marjuh di sisi mereka, dibenarkan solat jamak pada musafir yang
pendek. Ini kerana ahli Mekkah dan Muzdalifah solat jamak dan ia adalah musafir yang pendek bagi
mereka.
Perbincangan mengenai tajuk musafir yang panjang dan pendek pada tajuk yang lain.
Adapun bagi Imam Ahmad pula, solat jamak tidak boleh ditunaikan melainkan dia masih bergerak pada
waktu yang pertama lalu dia mentakhirkan solatnya kepada waktu yang kedua dan dia menjamakkan
antara keduanya.Dan riwayat yang kedua bagi mereka (Hanabilah), boleh mentaqdimkan solat kedua
untuk ditunaikan pada waktu yang pertama sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

6. Jamak ketika sakit
Para fuqoha berselisih pendapat pada solat jamak yang ditunaikan kerana sakit.Malikiyyah dan
Hanabilah mengatakan boleh menjamakkan antara Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isya dengan sebab
sakit. Hujjah mereka :
i. Berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. katanya :Rasullah saw
menjamakkan antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan Isya, bukan disebabkan
takut, dan bukan hujan. Dan dalam riwayat yang lain : Bukan disebabkan takut, dan juga
bukan (disebabkan) musafir.
[Hadis riwayat Muslim]
Mereka telah bersepakat mengatakan bahawa jamak tidak boleh dilakukan melainkan
dengan keuzuran, maka ia dibolehkan dengan sebab sakit.

ii. Telah sabit bahawa Nabi saw telah menyuruh Sahlah binti Suhail dan Hamnah binti Jahsy r.a.
untuk mentakhirkan solat Zohor dan mencepatkan solat Asar ketika mereka berada dalam
keadaan istihadhah, menjamakkan antara kedua-duanya dengan sekali bersuci.

iii. Kemudian mereka mengqiaskan sakit itu dengan musafir, kerana wujudnya kesulitan. Kata
mereka : Sesungguhnya kesulitan pada melakukan solat secara biasa (tidak menjamakkan
antara dua solat) ketika sakit adalah lebih sulit dari ketika musafir.
Namun begitu, para fuqoha Malikiyyah mengatakan solat jamak yang dibenarkan ketika sakit adalah
jamak taqdim sahaja, iaitu bagi sesiapa yang dikhuatiri akan pitam, demam atau sebagainya. Jika dia
telah sembuh dari sakitnya dan tidak memberikan apa-apa mudharat kepadanya, hendaklah dia
menunaikannya (solat yang kedua) semula pada waktunya.
Adapun Hanabilah, mereka membenarkan orang yang sakit untuk memilih sama ada untuk menunaikan
jamak taqdim atau takhir seperti orang yang bermusafir. Jika sama baginya kedua-dua hal tersebut,
maka mentakhir solat itu adalah lebih aula. Ini kerana, waktu solat yang pertama itu terangkum di
dalam solat yang kedua tetapi tidak sebaliknya. Dan jenis sakit yang dibenarkan untuk menjamakkan
solat adalah keadaan dimana dia akan menghadapi kesulitan jika menunaikan solat pada waktunya.
Contohnya ; orang perempuan yang istihadhah, orang yang kencingnya tidak lawas, atau yang
seumpamanya seperti orang yang menyusukan bayi, jika diqiaskan dengan orang sakit. Mereka ini
dibenarkan menjamakkan solat.
Kebanyakan fuqoha Syafieyyah juga berpendapat seperti pendapat Malikiyyah dan Hanabilah ini.
Antaranya Al-Qodhi Husin, Ibnu Al-Muqri, Al-Mutawalli dan Abu Sulaiman Al-Khitobi.
Berkata Imam Nawawi : Pendapat ini kuat sekali. Dan berkata Al-Qodhi Husin : Dibenarkan untuk
menjamakkan solat dengan uzur sakit, sama ada secara (jamak) taqdim atau takhir. Dan yang lebih
afdhol adalah apa yang lebih sesuai dengan keadaannya.
Hanafiah dan (sebahagian) Syafieyyah berkata tidak dibenarkan jamak disebabkan sakit. Ini kerana ia
tidak sabit dari Nabi saw (bahawa dia melakukannya). Dan juga kerana waktu solat telah tetap, maka
tidak boleh meninggalkannya atau membelakanginya dengan perkara yang hanya kemungkinan sahaja
atau yang tidak jelas. Malah Rasulullah saw telah ditimpa sakit berkali-kali, dan tidak pernah dinaqalkan
dia menjamakkan solat secara jelas.

7. Jamak disebabkan hujan, salji, kesejukan dan seumpamanya
Jumhur fuqoha Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah mengatakan boleh manjamakkan solat antara
Maghrib dan Isya disebabkan hujan yang membasahkan baju dan salji yang sejuk. Ini berdasarkan hadis
yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. katanya :Rasulullah saw solat Zohor dan Asar di Madinah secara
jamak, dan Maghrib dan Isya secara jamak, dan Muslim menambah : Tanpa (bukan disebabkan) takut
atau musafir.
Berkata Imam Malik dan Syafie : Aku melihatnya (keuzuran itu) adalah hujan. Jumhur tidak mengambil
riwayat yang lain iaitu :Tanpa (bukan disebabkan) takut, dan bukan hujan. Ini kerana riwayat ini
berbeza dengan pendapat jumhur.
Juga kerana telah sabit dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umar r.a. bahawa mereka berdua jamak disebabkan
hujan. Dan ia adalah pendapat fuqoha yang tujuh dan Al-Auzaie.
Namun begitu, jumhur berbeza pendapat pada beberapa perkara :
i. Malikiyyah dan Hanabilah berpendapat tidak dibenarkan menjamakkan antara solat Zohor
dan Asar disebabkan hujan. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan bahawa Abu Salamah bin
Abdur Rahman berkata :Sesungguhnya sebahagian dari sunnah itu adalah ; apabila hari
hujan hendaklah dia menjamakkan antara Maghrib dan Isya.
[Berkata Ibnu Hajar : Ianya tidak mempunyai sebarang asal usul, tetapi Al-Baihaqi menyebutkannya dari Ibnu Umar secara
mauquf darinya]
Dan juga kerana pada waktu Maghrib dan Isya itu lebih sulit disebabkan gelap.

Adapun Syafieyyah, mereka menyatakan dibenarkan menjamakkan antara Zohor dan Asar
sama ada disebabkan hujan atau seumpamanya. Ini berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas r.a.
sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Juga kerana illahnya (sebabnya yang
membenarkan solat jamak) adalah hujan, tidak kira sama ada malam atau siang.

ii. Mereka juga berbeza pendapat pada hukum jamak taqdim atau takhir.

Malikiyyah dan Syafieyyah pada pendapatnya yang jaded (baru) mengatakan hanya
dibenarkan jamak taqdim sahaja dan bukan jamak takhir. Ini kerana hujan yang turun itu
tidak dapat dipastikan, ia kemungkinan aka berhenti dan menyebabkan solat ditunaikan luar
dari waktunya tanpa ada keuzuran.

Manakala Hanabilah pula membenarkan jamak takhir dengan sebab hujan seperti
musafir.Pendapat ini selari dengan pendapat lama (qodim) bagi Imam Syafie.

iii. Malikiyyah dan Syafieyyah mensyaratkan pada jamak disebabkan hujan ; mulakan dengan
solat yang pertama (Zohor atau Maghrib), niat untuk menjamakkan kedua-dua solat
tersebut, dan berturutan sebagaimana di dalam solat jamak disebabkan oleh musafir.

Dan mereka juga menambah syarat yang lain :
a. Hujan turun berterusan dari awal solat, ketika memberi salam solat yang pertama, dan
ketika mula menunaikan solat yang kedua.
b. Rukhsah (keringanan) ini hanya dibenarkan bagi orang yang solat secara berjemaah di
masjid. Justeru, tidak dibenarkan orang yang solat di rumah untuk menjamakkan
solatnya. Ini juga adalah salah satu dari pendapat Hanabilah.
Adapun pendapat yang rojih di sisi Hanabilah adalah : Rukhsah ini adalah umum, tidak ada
beza sama ada dia solat secara berjemaah di masjid atau sesiapa yang solat di tempat selain
dari masjid, juga bagi sesiapa yang solat secara bersendirian. Ini kerana telah diriwayatkan
bahawa baginda saw menjamakkan solatnya, sedangkan tidak ada (jarak) antara biliknya
dan masjidnya. Juga kerana jika ada keuzuran (spt : hujan), maka ia sama sahaja sama ada
wujud kesulitan atau tidak.
iv. Pendapat Malikiyyah dan dan qoul yang lebih sohih di sisi Hanabilah : Bahawa tanah dan
lumpur adalah termasuk di dalam keuzuran yang memboleh solat jamak seperti hujan,
kerana ia mengotorkan pakaian dan kasut, dan menyebabkan mudah kegelinciran (ketika
berjalan) dan memudharatkan diri manusia dan pakaiannya. Perkara ini lebih besar dari
sekadar kebasahan (disebabkan hujan). Sebahagian Syafieyyah berpendapat seperti ini.

Tetapi Malikiyyah pula berkata : Jika berhimpun (sebab) hujan, tanah dan kegelepan atau
dua daripadanya (dari tiga sebab itu) atau hanya (ada satu sebab, iaitu) hujan, maka
dibenarkan solat jamak. Berbeza jika hanya (ada satu sebab sahaja) kegelapan atau tanah,
maka ada dua qoul tetapi yang masyhur adalah tidak dibenarkan.

Adapun pendapat yang mutamad di sisi Syafieyyah adalah tidak dibenarkan solat jamak
disebabkan tanah atau lumpur. Kata mereka, kerana ia adalah pada zaman nabi saw, dan
baginda tidak pernah diriwayatkan beliau solat jamak disebabkannya.

v. Pendapat yang rojih di sisi Hanabilah iaitu dibenarkan menjamakkan disebabkan angina
yang kuat pada waktu malam yang sejuk, kerana ia adalah satu keuzuran untuk tidak solat
Jumaat dan Jemaah sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. katanya
:Rasulullah saw pernah menyeru pada suatu malam yang dituruni hujan, atau malam yang
sejuk dan ditiupi angin yang kuat : Solatlah di rumah kamu.
[Hadis riwayat Bukhari]

Tetapi pendapat yang kedua di sisi mereka : tidak dibenarkan menjamakkan solat
disebabkan angin. Ini kerana kesulitan padanya (angin) itu berbeza dengan kesulitan ketika
hujan, maka tidak boleh disamakan dengan hujan.

Manakala Malikiyyah dan Syafieyyah pula tidak membenarkan solat jamak disebabkan angin
yang kuat atau gelap kerana ia adalah pada zaman nabi saw, dan baginda tidak pernah
diriwayatkan beliau solat jamak disebabkannya.

8. Jamak ketika takut
Hanabilah, sebahagian Syafieyyah dan satu riwayat dari Malikiyyah berpendapat boleh menjamakkan
solat disebabkan takut berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa nabi saw solat
Zohor dan Asar di Madinah secara jamak, dan Maghrib dan Isya secara jamak, dan Muslim menambah
:Tanpa (bukan disebabkan) takut atau musafir. Ini menunjukkan jika ia kerana takut, maka ia adalah
lebih aula (untuk solat jamak).
Sebahagian Syafieyyah dan riwayat yang lain dari Malikiyyah pula mengatakan tidak dibenarkan solat
jamak disebabkan takut kerana telah sabit hadis-hadis yang menghuraikan tentang waktu-waktu solat.
Maka tidak dibenarkan membelakanginya kecuali dengan dalil yang jelas.
Dan sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa Hanafiah tidak membenarkan jamak
disebabkan musafir, hujan, atau keuzuran yang selain dari keduanya.

9. Jamak tanpa sebab
Jumhur fuqoha berpendapat tidak dibenarkan menjamakkan solat selain dari keuzuran yang telah
disebutkan kerana :
i. Hadis tentang waktu solat telah sabit, dan tidak dibenarkan membelakanginya kecuali
dengan dalil yang jelas.

ii. Telah diriwayatkan secara mutawatir bahawa nabi saw sangat menjaga waktu solat hatta
Ibnu Masud r.a. pernah menyatakan :Aku tidak pernah melihat nabi saw solat luar dari
waktunya kecuali dua solat jamak antara Maghrib dan Isya di Muzdalifah.
Sebahagian fuqoha pula mengatakan antaranya : Asyhab dari Malikiyyah, Ibnu Munzir dari Syafieyyah,
Ibnu Sirin dan Ibnu Syibramah boleh menjamakkan solat dengan sebab hajat (keperluan) selagi mana
dia tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.
Berkata Ibnu Munzir : Dibenarkan solat jamak bukan disebabkan takut, hujan, atau sakit. Ini juga
adalah pendapat majoriti ahli hadis berdasarkan zohir hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.
katanya :Sesungguhnya nabi saw solat Zohor dan Asar di Madinah secara jamak, dan Maghrib dan Isya
secara jamak bukan disebabkan takut atau hujan.
Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas r.a. : Kenapa baginda melakukan yang sedemikian?. Jawab beliau :
Supaya ia tidak membebankan ke atas umatnya. Dan juga diriwayatkan dari athar para sahabat r.a.
bahawa mereka menjamakkan solat bukan disebabkan keuzuran yang disebutkan tadi.

10. Beberapa fatwa ulama kontemporeri tentang solat jamak
Syeikh Athiyyah Saqr
Soalan :
Semasa kuliah sedang berlangsung di universiti, adakah seseorang pelajar perlu keluar ketika dia
mendengar azan dilaungkan, dan tempon kuliah tersebut selama dua jam dan akan menyebabkan
berlalukan terlepas dari menunaikan solat Maghrib..??

Jawapan :
Waktu solat itu luas, boleh ditunaikan pada awal waktu atau akhir waktu. Namun jika ditunaikan pada
awal waktu, maka ia adalah lebih afdol. Tetapi ia hanya ketika seseorang insan itu tidak sibuk dengan
sesuatu yang penting yang mana dia boleh meninggalkan pekerjaan tersebut dan menunaikan solat
pada awal waktu. Tetapi jika dia sibuk, maka dia boleh melewatkan solat sebelum masuk waktu solat
yang selepasnya.
Adapun jika tempoh kuliah itu menyibukkan waktunya dengan menyebabkannya terlepas solat jika dia
menghadiri kuliah tersebut secara sempurna, maka wajib baginya untuk meninggalakannya dan pergi
menunaikan solat lebih-lebih lagi jika kuliah tersebut sedang membincangkan tajuk yang tidak penting
jika dibandingkan dengan tajuk-tajuk penting yang lain (contoh jika ia berkaitan dengan tuhannya dan
masyarakat). Dia boleh mendapatkan kuliah yang ditinggalkan dengan pelbagai cara yang lain. Maka
kuliah itu jatuh ke tempat yang kedua, menjadi sunat atau tidak wajib.
Jadi, kepada orang yang bertanya dia perlu meninggalkan kuliah dan menunaikan solat supaya dia tidak
terlepas waktu solat itu. Wajib baginya untuk memperingatkan (akan solat itu) pensyarahnya sekiranya
dia seorang muslim, dan akan hukum haram meninggalkan solat dan kewajipan meninggalkan kuliah
untuk menunaikan solat kerana ia sebahagian dari amar makruf nahi munkar. Tetapi tegurlah dengan
penuh hikmah dan baik.
Aku juga berharap kepada pensyarah itu untuk melepaskan pelajarnya supaya mereka dapat
menunaikan solat pada waktunya sebagaimana ia wajib bagipelajarnya dan menangguhkan kuliahnya ke
waktu yang lain supaya Allah swt memberkati kamu dan mereka semua pada apa yang dipelajari.
Ketaqwaan kepada Allah swt itu lebih besar dan akan membawa kepada kebahagiaandi dunia dan
akhirat.
Tetapi di sini aku ingin tekankan sekali lagi akan keluasan waktu solat dan dia tidak boleh keluar dari
kuliah untuk menunaikan solat pada awal waktu (jika kuliah tersebut selesai sebelum habis waktu).
Menunaikan solat pada awal waktu adalah sunat, begitu juga dengan menuntut ilmu. Oleh sebab itu,
Ibnu Al-Qayyim menyebutkan di dalam kitabnya Miftah Darus Saadah m/s 25 : Sesungguhnya majoriti
ulamak menyebutkan secara jelas akan kepentingan menuntut ilmu selepas menunaikan perkara yang
wajib. Berkata Imam Syafie : Tidak ada sesuatu perkara yang lebih afdol dari menuntut ilmu selepas
perkara yang wajib. Para pengikutnya juga mengatakan yang seumpamanya.
Begitu juga dengan Sufyan As-Sauri, juga sebagaimana yang diceritakan oleh Hanafiah dari (Imam
mereka) Imam Abu Hanifah. Imam Ahmad ada tiga riwayat mengenainya (apakah perkara yang paling
afdol selepas perkara yang wajib), dan salah satu darinya adalah menuntut ilmu. Jika ditanya kepadanya:
Apakah perkarayang paling disukai oleh engkau, duduk pada waktu malam dan menulis atau solat
sunat?. Dia akan menjawab : Mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam itu
lebih aku sukai.
Al-Khallal memetik kata-kata Imam Ahmad di dalam kitabnya yang menyebutkan kelebihan menuntut
ilmu. Adapun dari Imam Malik, Ibnu Qasim berkata : Aku mendengar Malik berkata : Sesungguhnya
ramai kaum yang mencari ibadah dan meninggalkan ilmu lalu mereka keluar memerangi umat
Muhammad saw dengan pedang mereka. Jika mencari ilmu, nescaya ia akan menghalang mereka (dari
memerangi umat Muhammad saw).
Ibnu Qoyyim juga menyebutkan bahawa Abu Nuaim dan selainnya menaqalkan dari sebahagian sahabat
Rasulullah saw bahawa mereka berkata : Kelebihan menuntut ilmu itu lebih tinggi dari amalan sunat,
dan sebaik-baik (perkara di dalam) agama kamu adalah warak. Kata-kata ini diriwayatkan secara marfu
dari hadis Aisyah r.a. namun ada beberapa perkara yang perlu dilihat kembali pada marfu itu. *Marfu
adalah sanad (yang berterusan) kepada nabi saw].
Ini kerana kelebihan ilmu itu lebih umum, meliputi dirinya dan orang disekelilingnya tetapi ibadah hanya
khusus manfaat kepada dirinya sahaja.Juga kerana ilmu itu berkekalan faedahnya selepas kematiannya,
manakala ibadah itu terputus (tidak mendapat faedah selepas kematian kerana sudah tidak mampu
menunaikan ibadah). Di dalam hadis yang masyhur :Jika mati anak adam itu, terputuslah semua
amalannya kecuali tiga : Sadaqah Jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh dan sering berdoa
kepadanya.
[Hadis riwayat Muslim]

Dr. Yusuf Al-Qaradawi
Soalan :
Adakah boleh untuk aku menjamakkan antara dua solat ; Zohor dan Asar dengan sebab aku menghadiri
sesuatu majlis atau perayaan yang meliputi antara Zohor hingga Maghrib..??

Jawapan :
Fara fuqoho Hanabilah membenarkan bagi muslim dan muslimah untuk menjamakkan antara solat
Zohor dan Asar, atau antara Maghrib dan Isya dalam keadaan-keadaan yang tertentu dengan sebab
keuzuran. Keringanan ini sungguh memudahkan, juga telah diriwayatkan bahawa sesungguhnya nabi
saw menjamakkan bukan disebabkan musafir, juga bukan hujan. Lalu dittanya kepada Ibnu Abbas r.a. :
Apakah sebabnya (sebab kenapa baginda saw ,melakukan sedemikian)?, lalu dijawab : Supaya ia tidak
membebankan kea tau umatnya dan hadis ini ada di dalam Sohih Muslim.
Jika di sana terdapat kesukaran pada beberapa ketika di dalam menunaikaan solat, maka dia boleh
menjamakkan solatnya dengan syarat dia tidak menjadikannya sebagai tabiat dan kebiasaan, pada
setiap dua atau tiga hari . . . setiap kali dia ingin keluar menghadiri perayaan yang banyak dan berturut-
turut selama beberapa ketika.
Namun, kebenaran (untuk menjamakkan solat ini) hanyalah pada hal-hal jarang-jarang sahaja, untuk
mengatasi kesulitan yang dihadapi seseorang insan.
Contohnya, polis trafik yang tiba gilirannya untuk bertugas pada hari tersebut, dari sebelum Maghrib
hingga selepas Isya.Maka dia boleh menjamakkan Maghrib dan Isya secara taqdim atau takhir
berdasarkan kemampuannya.
Begitu juga dengan doctor yang sedang membuat rawatan kepada pesakitnya dan dia tidak mampu
meninggalkannya, maka dia boleh menjamakkan solatnya sama ada taqdim atau takhir . . . Ia selari
dengan prinsip islam yang tidak mahu menyulitkan penganutnya, dan mengangkat kesulitan itu dari
mereka.
Adapun pergi menghadiri sesuatu perayaan, maka aku tidak melihat keperluan atau keuzuran untuk
menjamakkan solat selagi mana seseorang itu mempunyai masa untuk menunaikan solat. Dia tidak
boleh malu untuk menunaikan solat, sama ada lelaki atau perempuan kerana ia termasuk di dalam malu
yang tidak dibenarkan yang mana ia berkaitan dengan mendirikan solat pada mana-mana tempat. Malah
wajib bagi seseorang yang menunaikan solat itu untuk menjadikan dirinya sebagai qudwah hasanah
(ikutan yang baik) kepada orang lain, sehingga orang lain mengetahui solat itu. Malah solat itu adalah
salah satu dari syiar Allah swt yang wajib dizahirkan. Seseorang muslim wajib melakukannya secara
terang-terangan dan berbangga dengannya. Firman Allah swt :
il:...L-`...-:<!....1...l1l'
Maksudnya :
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka
(dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat
taqwa hati orang mukmin.
[Surah Al-Hajj : 32]
Namun apa yang menjadi keaiban adalah kebanyakan majlis-majlis rasmi yang diadakan di negara-
negara islam, ia menelan waktu solat khususnya Maghrib tanpa mempedulikan hak Allah swt dan
juga perasaan orang Muslim yang menjaga waktu solatnya supaya ditunaikan pada waktunya.
Dan jikalau orang-orang yang menjaga solatnya menghadiri majlis sperti ini, lalu mereka menunaikan
solat apabila tiba waktunya, nescaya akan ramai yang mengikutnya. Dan penganjur majlis itu pasti
terkejut dengan bilangan yang ramai seperti itu, malah mungkin menceceh ribuan orang.
Apapun, sesiapa yang berdepan dengan kesukaran dan kesulitan di dalam menunaikan solat pada
waktunya, dia dibenarkan untuk menjamakkannya sebagaimana yang telah disebutkan tadi.
Sesungguhnya Allah itu menolong orang yang susah.

Dr. Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi
Soalan 1 :
a. Ketika tiba waktu solat Jumaat atau yang selainnya dari solat-solat yang fardhu, kami masih
sibuk bekerja seperti menghadiri kuliah mengubati pesakit sama ada kes yang biasa atau
kecemasan, adakah boleh kami melewatkan solat..??

b. Dan jika kami tidak mendapati tempat yang sesuai untuk menunaikan solat, adakah boleh kami
melewatkan solat sehingga kami pulang atau selesai dari kuliah dan pekerjaan..??

Jawapan :
Setiap muslim wajib menunaikan solat pada waktunya selagi mana dia mampu menunaikannya
mengikut waktunya. Firman Allah swt :
_|:.l.l.l_ls_....l!...!....
Maksudnya :
Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang
beriman.
[Surah An-Nisa : 103+
Namun sekiranya dia tidak mampu melakukannya pada waktu yang telah ditetapkan, dengan sebab-
sebab yang di luar kemampuannya, maka dia boleh menunaikan solat tersebut diluar dari waktunya,
iaitu selepas dia selesai kuliah atau menemui tempat yang sesuai.
Tetapi, dia mesti cuba menyusun waktunya sebaik mungkin supaya dia dapat menunaikan solat pada
waktunya. Sabda Rasulullah saw :
Apabila seseorang dari kamu tertidur pada waktu solatnya atau lalai sehingga terlupa
menunaikannya, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya.
Sesungguhnya Allah swt berfirman : Dirikanlah solat jika/untuk mengingati Aku.
[Hadis riwayat Muslim]
Kesimpulannya, orang yang bertanya perlu berusaha sepenuh tenaganya untuk menyusun waktunya
supaya sesuai dengan waktu solat, sehingga dia dapat menunaikan solat pada waktunya. Namun jika
sekali-sekala dia terluput dari menunaikan solat pada waktunya, wajib baginya mengqadakan solat
tersebut secepat mungkin. Dan, dia tidak boleh mengambil mudah dalam perkara ini.

Soalan 2 :
Ketika waktu maghrib masuk, saya masih berada di dalam dewan peperiksaan. Saya tidak dibenarkan
keluar dari dewan melainkan selepas selesai peperiksaan tersebut.Saya terus berada di dalam dewan
tersebut sehingga azan isya. Adakah boleh untuk saya melewatkan solat maghrib tersebut ke waktu
isya..??

Jawapan :
Orang yang bertanya soalan ini, perlu berusaha sedaya upaya menjauhi perkara ini, iaitu melewatkan
solat maghrib ke waktu isya. Jika dia mampu menangguhkan peperiksaan itu ke waktu yang lain, maka
dia wajib menangguhkannya.
Namun jika dia tidak mampu, dia boleh menangguhkan solatnya sehingga selesai peperiksaan tersebut.
Dia perlu menunaikan solat tersebut dengan kadar yang segera sebaik saja selesai peperiksaan tersebut.

Rujukan :
1. Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (15/284-292), terbitan Kementerian Wakaf dan Hal
Ehwal Islam, Kuwait. Cetakan kedua, 1404H 1983M.
2. Al-Fatawa oleh Syeikh Athiyyah Saqr (2/370-372), terbitan Maktabah Taufiqiyyah.
3. Fatawa Muasiroh oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi (1/245-246). Terbitan Darul Qolam, cetakan
kesebelas, 1426H 2005M.
4. Buhusun wa Fatawa Fiqhiyyah Muasiroholeh Dr. Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi (2/218-219), terbitan
Darul Basyair Al-Islamiyyah.


* * * * * * * * * *

.
.



Wallahualam.

p/s : Sekiranya ada kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam artikel yang ana terjemah ini, khususnya
pada baris hadis dan maksud hadis, ana mohon ampun dari Allah swt dan kemaafan dari para pembaca.


Ditulis oleh Mohammad Naqib bin Hamdan,
Pelajar tahun 3 Universiti Al-Azhar cawangan Dumyat,
Sesi 2010/2011.

You might also like