You are on page 1of 26

The goal of the human soul is conquest, perfection, security, superioriority

Every child is faced with so many obstacles in life that no child ever grows up without
striving for some form of significance.

PSIKOLOGI INDIVIDU
ALFRED ADLER

Alfred Adler dilahirkan pada 7 Februari 1980 di Rudolfsheim, Vienna, Austria. Beliau berasal dari
keluarga Jewish kelas pertengahan. Beliau berbangsa Yahudi, namun beliau tidak dibesarkan dalam
kebudayaan masyarakat Yahudi. Beliau menganuti kepercayaan Protestant.

Adler merupakan anak kedua daripada 6 adik- beradik. Beliau mempunyai seorang abang yang
bernama Sigmund. Semenjak dari kecil, Adler sering dibanding- bandingkan dengan abiliti abang
sulungnya. Beliau dan Sigmund, sememangnya berbeza dari segi keupayaan fizikal. Adler berasa
cemburu dengan abangnya yang sentiasa dibanggai dalam pencapaian sukan. Tambahan pula,
Adler tidak mampu untuk bergiat aktif sepertimana abangnya, Sigmund kerana beliau telah
disahkan menghidap penyakit Pneumonia ketika berumur baru 5 tahun. Lebih menyedihkan,
doktor pula mengesahkan penyakit Adler adalah kronik dan sukar dirawat.

Bertitik tolak dari peristiwa tersebut, Adler telah menyimpan hasrat untuk menjadi seorang doktor
apabila dewasa. Ternyata, cita- cita anak kecil itu telah berjaya direalisasikan apabila beliau
berjaya merangkul Ijazah Kedoktoran ketika usianya
mencecah 25 tahun, pada tahun 1895. Ijazah tersebut ditauliahkan daripada University of Vienna.

Bercerita soal hubungan Adler dan kelurga, beliau pada mulanya amat dimanjakan oleh ibunya.
Namun, ia sekadar bersifat sementara. Pada usia Adler 20 bulan, ibunya menyambut kelahiran
adik perempuannya yang baru dan sekaligus perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh
ibunya selama ini telah pula beralih arah.

Setelah menyedari situasi itu, Adler mula rapat dengan bapanya. Hubungannya dengan bapanya
semakin hari semakin akrab. Bapanya menjadi sumber inspirasi Adler untuk berjaya. Semasa
belajar di sekolah rendah, Adler pernah diherdik oleh guru kelasnya kerana prestasi Adler di
sekolah amat lemah. Beliau sering gagal dalam peperiksaan terutama dalam mata pelajaran
Matematik. Gurunya pernah mencadangkan kepada bapanya untuk memberhentikan Adler dari
terus bersekolah. Kata guru itu adalah lebih baik sekiranya Adler dilatih menjadi seorang tukang
kasut.

Akibat dari herdikan yang diterima, Adler menjadi semakin lemah semangat dan hilang minat
untuk pergi ke sekolah. Atas semangat dan kepercayaan yang diberikan oleh bapanya, Adler
akhirnya pulih semangat. Beliau tekad untuk membuktikan bahawa beliau turut berpotensi untuk
berjaya. Demi memenuhi desakan itu, Adler akhirnya berjaya mengatasi kegagalan beliau. Sejak
detik itu, Adler tidak lagi menghadapi kesukaran dalam belajar dan menjadi pelajar nombor satu
dalam kelas.

Pada tahun 1898, beliau berjaya menghasilkan hasil penulisannya yang pertama. Beliau
menekankan hubungan kesihatan dan abiliti seseorang mencapai kejayaan. Kupasan beliau
membawa kepada pembentukan prinsip pemikiran baru dalam suasana sekolah- sekolah.

Pada tahun 1902, Adler mula menyertai gerakan Freudian atas jemputan Freud sendiri. Mereka
banyak membincangkan aspek baru dalam dunia psikopatologi. Namun, sepanjang 4 tahun, Adler
bergiat dalam kegiatan Freudian; Adler tidak pernah selari pandangan dengan Freud. Buktinya,
jelas dapat dilihat melalui penulisan Adler pada tahun 1907 yang mana mengupas tentang organ
inferioriti dan kelebihannya. Adler membantah pandangan Freud terhadap pembentukan
personaliti seseorang itu adalah didorong oleh desakan seksual.

Maka, pada tahun 1911, Adler memutuskan untuk keluar dari terus bersama dengan gerakan
Freudian itu. Adler bersama- sama dengan 8 orang ahli lain yang seangkatan dengan pandangan
Adler berjaya menubuhkan sebuah persatuan: Society for Free Psychoanalysis. Memandangkan
nama tersebut seolah- olah mempersendakan Freud, Adler memutuskan pula untuk mengubah
nama tersebut kepada Society for Individual Psychology.

Kemudian, pada tahun 1912, Adler menerbitkan pula sebuah buku yang berjudul “ The Neurotic
Constitution” yang mana buku ini merupakan usaha Adler untuk lebih memperkembangkan
konsep utama yang ada dalam Teori Psikologi Individu. Selain itu, penulisan beliau banyak
memfokuskan kepada keunikan personaliti seseorang individu. Seterusnya, beliau menghasilkan
pula sebuah buku yang bertajuk “Understanding Human Nature”. Buku ini digunapakai oleh para
pelajar di Viennese Institute for Adult Education.
Semasa Perang Dunia Pertama, beliau turut terlibat dalam revolusi Marxism dan bergiat sebagai
tentera Austria. Beliau berjaya menubuhkan beberapa buah klinik rawatan mental di Vienna.
Namun malangnya, usaha beliau itu akhirnya ditutup oleh pihak Nazi.
Justeru itu, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1934 berikutan mendapat tawaran
mengajar di Long Island College of Medicine.
Hasil perkahwinan beliau bersama Ruissa Epstein [seorang wanita berbangsa Rusia], mereka
dikurniakan 4 orang cahayamata iaitu antaranya ialah Kurt dan Alexandra. Kurt dan Alexandra
merupakan 2 daripada 4 orang anak Adler dan Ruissa yang bergiat sebagai ahli psikiatri dan
meneruskan tradisi mendiang bapa mereka membantu masyarakat sejurus selepas kematian
mendiang pada 28 Mei, 1937. Mendiang meninggal akibat serangan sakit jantung semasa lawatan
beliau ke Aberdeen, Scotland.
PENGENALAN TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Teori Psikologi Individu memfokuskan kepada keunikan yang dimiliki oleh seseorang individu dan
Adler menolak mengenai desakan seksual menentukan personaliti seseorang.
Menurut Adler, fenomena psikologi yang dialami oleh setiap individu itu adalah berbeza antara
satu sama lain tetapi bersifat konsisten antara satu sama lain iaitu untuk mencapai kehendak
superioriti. Kegagalan seseorang individu berhadapan dengan cabaran hidup mendorong individu
bersifat lemah, pasif dan defensif iaitu individu ini sedang mengalami inferiority complex

Kehendak seseorang itu mempengaruhi setiap tindakan mereka berpandukan pula kepada
pengalaman di masa lepas yang telah dilalui mereka yang mana mendorong kepada usaha untuk
merealisasikan suatu kehendak. Perasaan inferioriti yang wujud secara nyata atau khayalan dalam
diri seseorang individu dianggap suatu yang normal. Bahkan, perasaan inferioriti itu menjadi
dorongan untuk seseorang individu mencapai keinginan superioriti. Superioriti pula merupakan
matlamat hidup seseorang individu di samping menggapai kesempurnaan kendiri yang unggul.
Maka, matlamat ini dijadikan pula sebagai panduan hidup seseorang. Matlamat tadi adalah hasil
idea yang dibayangkan. Ia diistilahkan sebagai Fictional Finalism.

Kematangan atau kebaikan seseorang itu dilihat melalui pandangan seseorang individu itu
terhadap kehidupan sosial yang sedang dihadapi. Menurut Adler, dengan berusaha membantu
orang lain, sebenarnya kita sedang membantu diri kita dalam mencapai matlamat. Dengan
mempunyai kepentingan sosial ( social interest) yang tinggi, individu ini amat mementingkan
kebajikan orang lain dan usaha yang dibuat untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat
membantu seseorang individu untuk menyesuaikan diri dengan baik di samping mengurangkan
perasaan sunyi dan tertekan.
Perancangan hidup seseorang individu dianggap unik dan cara hidup mereka dibentuk semasa
lima tahun yang pertama. Selain itu, layanan ibu bapa semasa peringkat awal kanak- kanak
memberi kesan kepada timbulnya reaksi inferioriti dalam diri anak- anak dan mempengaruhi
pembentukan personaliti unik anak- anak dan gaya hidup yang bakal diamalkan ketika dewasa.
Antara gaya hidup anak- anak yang dikesan dipunyai oleh anak- anak adalah [1] jenis dominan/
Active- Destructive, [2] jenis bergantung/ Passive- Constructive, [3] jenis mengelak/
Passive- Destructive Style, dan [4] jenis sosial/ Active- Constructive Style.

Selain itu, Adler turut percaya perbezaan layanan ibu bapa terhadap anak- anak adalah berkait-
rapat dengan turutan kelahiran ( birth order ) setiap anak. Maknanya, layanan yang diterima oleh
anak sulong, anak kedua, anak tengah, anak tunggal dan anak bongsu adalah berbeza- beza
antara satu sama lain. Demikian, melalui pengalaman yang dialami, seseorang individu itu mampu
menciptakan personaliti dan tingkah laku diri yang unik dan ia berdasarkan persepsi subjektif
yang dimiliki oleh setiap mereka.
Kata Adler lagi, desakan hidup yang dihadapi seseorang menjadi tunggak kepada perkembangan
personaliti individu itu sendiri. Di samping itu, konsep kendiri kreatif turut memainkan peranan
besar dalam menentukan personaliti seseorang. Kendiri kreatif wujud dalam diri individu
berasaskan kepada proses pembelajaran (rangsangan- tindakbalas) yang dilalui sepanjang
kehidupannya di masa lalu. Apa sahaja keputusan yang 0dibuat, tanggungjawab adalah
disandarkan kepada individu itu sendiri. Penilaian baik dan buruk sesuatu perkara itu adalah
terpulang kepada pengamatan individu itu sendiri dan manusia bukanlah hamba kepada nasib.
Thinking, feeling, emotion, and behavior can only be understood as subordinated to the
individual’s style of life, or consistent pattern of dealing with life. The individual is not
internally divided or the battleground of conflicting forces. Each aspect of the
personality points in the same direction.

PANDANGAN ALFRED ADLER MENGENAI
SIFAT SEMULAJADI MANUSIA

Setiap individu merupakan makhluk yang bersosial. Personaliti manusia adalah dibentuk oleh
persekitaran sosial di mana keinginan bersosial itu telah sedia ada di dalam diri individu secara
semulajadi. Ini secara tidak langsung mencirikan bahawa teori personaliti Adler turut menekankan
aspek biologikal sepertimana Freud yang menekankan aspek seksual. Keinginan mereka untuk
menjalinkan hubungan dengan masyarakat dan mempunyai semangat kekitaan dengan
melibatkan diri dalam aktiviti sosial.

Namun, Adler menolak pandangan Freud mengenai naluri dan keperluan biologi merupakan
elemen asas personaliti manusia. Menurut Adler, ,manusia didorong oleh minat sosial. Dalam
berusaha untuk bergaul dengan anggota masyarakat, manusia membentuk gaya hidup yang
tersendiri. Di sini keperluan memenuhi desakan seksual dilihat memainkan peranan yang kecil.

Selain itu, setiap tindak- tanduk mnausia mempunyai suatu tujuan tertentu. Tujuan itu ialah untuk
memperolehi rasa selamat dan untuk mengatasi perasaan rendah diri. Kedua- dua matlamat
tersebut dipercayai sebagai pendorong individu ke arah menakluki kuasa, superioriti, dan
kesempurnaan- terutamanya matlamat untuk mengatasi perasaan rendah diri. Maknanya,
perasaan rendah diri atau inferioriti ini merupakan asas penggerak dan pendorong ke arah kendiri
kreatif.
Seterusnya, Adler turut berpendapat bahawa alam sedar (self- consciousness) menjadi pusat
personaliti manusia. Oleh sebab itu, manusia mempunyai keupayaan untuk mengawal dan
mengarah dirinya menurut kehendak dirinya. Tambahan, manusia sedar akan sebab- musabab
dalam setiap tindak- tanduk yang dilakukan. Dengan itu, mereka sedar akan perasaan inferior
yang wujud di dalam diri mereka serta bentuk sebenar suatu matlamat yang perlu ditujui dan
dicapai. Jadi, manusia itu bukanlah mangsa kepada nasib.

Adler turut menekankan aspek- aspek dalaman yang lain yang mana terdapat di dalam diri
seseorang individu iaitu nilai, motif, minat, nilai, persepsi subjektif dan usahanya ke arah kendiri
unggul. Aspek- aspek dalaman ini turut menjadikan suatu personaliti milik manusia itu unik dan
berbeza antara satu sama lain.

KONSEP UTAMA DALAM
TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU
Sebelum Adler memformulasikan Teori Psikologi Individu, beliau telah terlibat dalam pengkajian
dan pembinaan teori berkenaan neurosis (dalam H.L & R.R Ansbacher, 1956).
Maka, hasil teori beliau adalah daripada konklusi yang dibuat melalui pengkajian awal beliau
terhadap para pesakitnya. Konklusi yang dibina berdasarkan pengkajian itu digubal daripada
berkaitan dengan individu abnormal kepada individu yang normal.
Maka, teori yang terhasil adalah bersifat ekonomikal dan telah memperkenalkan beberapa konsep
utama dalam aplikasi Teori Psikologi Individu Adler. Antara konsep- konsep tersebut ialah [1]
Fictional Finalism, [2] Usaha ke arah superioriti, [3] Perasaan inferior atau pampasan,
[4] Minat sosial, [5] Cara hidup, dan [6] kendiri kreatif.

FICTIONAL FINALISM

Every psychological manifestation should be perceived and understood as only
preparatory for a particular goal. Everyone develops a final goal, either consciously or
unconsciously, but ignorant of its meaning.

Konsep Fictional Finalism adalh berdasarkan kepada falsafah Hans Valhinger dalam buku beliau:
The Psychology of “as if’, pada tahun 1911.
Fictional Finalism menunjukkan apa yang sedang diusahakan oleh seseorang individu itu untuk
dipenuhi (kehendak) di masa mendatang. Matlamat yang sedang ditujui adalah Fictional Finalism
yang mana mengarahkan tingkahlaku seseorang itu sepertimana percaya dan yakinnya individu
itu bahawa dirinya ada kemampuan untuk merealisasikan segala impian (fiksyen) agar menjadi
nyata di akhirnya.
Impian yang ingin dicapai seringkali bersifat ke arah kesempurnaan (guiding self ideal) dan
idealistik. Ia wujud dalam diri individu secara sedar atau tidak sedar. Selain itu, fiksyen yang direka
ini bersifat positif dan mampu memandu psikologikal individu secara efektif sepanjang berhadapan
dengan alam realiti. Contohnya, kepercayaan Muslim terhadap konsep Neraka dan Syurga. Dua
perkara tersebut adalah suatu yang ghaib dan penuh keajaiban. Namun, faktor keimanan Muslim
membuatkan mereka yakin akan kewujudan perkara ini setelah tibanya Hari Kiamat di mana
Syurga diciptakan oleh Allah untu didiami oleh para Mukmin manakala Neraka menempatkan para
hamba yang mungkar dan dilaknat.

Justeru itu, segala tindak tanduk manusia adalah berpandukan kepada matlamat yang diinginkan
iaitu untuk mendiami Syurga Allah. Maka, jelas bahawa tingkah laku manusia dalam mencorak
kehidupan adalah dipengaruhi oleh matlamat yang hendak dicapai.

Menurut Adler, seseorang yang normal mampu membebaskan dirinya dari terus dibelenggu oleh
fiksyen yang direka dan manusia turut berupaya membelakangkan fiksyen tersebut apabila ia
dirasakan sudah tiada kepentingan.

USAHA KEARAH SUPERIORITI

Konsep ini bererti manusia akan sentiasa berusaha untuk menuju ke arah kesempurnaan
kendirinya yang subjektif. Ia merupakan usaha mereka untuk berkembang. Kuasa yang mendorong
individu untuk berusaha ke arah superioriti wujud sejak lahir dan setiap individu menggunakan
potensi ini mengikut gaya hidup mereka yang unik di samping gigih mencapai matlamat yang
diidamkan.

Menurut Adler, manusia bergerak ke arah suatu kondisi yang semakin hari semakin baik dan
seterusnya manusia akan memiliki rasa puas dan ketika itu, manusia berada di puncak kejayaan
dan memperolehi kesempurnaan kendiri yang unggul. Di situ, manusia turut berasa selamat dan
berkuasa. segala bentuk inisiatif yang dilakukan merupakan tujuan manusia mengatasi segenap
perasaan inferioriti miliknya.

Adler turut melabelkan reaksi manusia terhadap perasaan tidak senang atau inferioriti mereka
dengan sesuatu situasi yang sedang dihadapi itu sebagai masculine protest. Beliau turut
berpendapat, superior dikaitkan dengan kuasa dan sifat kelakian (masculinity). Manakala, inferioriti
dikaitkan dengan kelemahan dan sifat kewanitaan (femininity).

Terdapat 3 tahap berbeza yang mana seseorang individu itu ingin capai dan setiap dari mereka itu
berbeza dalam memilih bentuk matlamat antara satu sama lain: [1] untuk menjadi agresif, [2]
untuk menguasai, dan [3] untuk menjadi individu superior.
Jenis matlamat yang dipilih adalah dipengaruhi oleh penglibatan awal kehidupan mereka dalam
keluarga (family atmosphere).

PERASAAN INFERIOR ATAU PAMPASAN

Man is pushed by the need to overcome his inferiority and pulled by the desire to be
superior.

Menurut Adler, manusia dilahirkan dengan kekurangan tertentu yang membawa kepada rasa
rendah diri. Rasa rendah diri ini akan mendorong individu untuk berusaha mengatasinya agar ia
mencapai rasa superioriti dan kesempurnaan.

Terdapat dua jenis inferioriti yang kebiasaannya dialami oleh semua individu iaitu rasa rendah diri
terhadap aspek fizikal diri atau aspek psikologikal. Rasa rendah diri terhadap aspek fizikal diri
digelar inferiority organ. Ia wujud di dalam diri individu kesan daripada tanggapan subjektifnya ke
atas bentuk fizikal miliknya yang mana dikatakan kurang sempurna. Kebiasaannya, perasaan
inferiority organ dialami oleh mereka yang dilahirkan cacat anggota. Ada juga mereka yang sedia
normal turut mengalami perasaan inferiority organ kerana diri individu ini berfikiran yang negatif
dan pesimis terhadap diri sendiri. Maka, tidak hairanlah, jika individu ini mengambil jalan yang
drastik dengan menjalani comestic surgery demi mendapatkan kepuasan dan menghilangkan
perasaan inferior di dalam dirinya.

Contoh:
Micheal Jackson menjalani pembedahan plastik yang kompleks demi memutihkan warna kulitnya.
Jacko dikatakan ingin lari dari kepompong imej Negro yang merupakan golongan yang lemah dan
ditindas.

Kemudian, inferior psikologikal yang mana wujud secara subjektif kesan daripada ketidaksesuaian
individu menghadapi dunia sosialnya. Perasaan inferior ini turut muncul di dalam diri individu
melalui pengaruh layanan ibu bapa yang diterima semasa di awal 5 tahun pertama. Sama ada
individu ini dimanjakan atau disisihkan oleh ibu dan bapa menjadi faktor yang menyumbang
kepada pembentukan personaliti individu apabila dewasa. Selain itu, layanan ibu bapa yang tidak
bertoleransi dengan anak- anak dipercayai mampu memberi kesan kepada anak di mana anak
bersikap memberontak dan bersikap anti- sosial.
Proses memampas inferioriti ini akan berlaku secara berterusan (cycle through lifetime) dan
berlaku di sepanjang hayat. Oleh yang demikian, inferior ini perlu dilihat dari perspektif yang
positif. Melalui perasaan inferior, manusia sebenarnya mengalami proses perkembangan yang
sihat dan ia merupakan satu kritikan yang konstruktif buat diri sendiri dan dalam pada masa yang
sama kita menjadi lebih peka terhadap kelemahan dan kelebihan diri sendiri.

MINAT SOSIAL

Social interest is the true and inevitable compensation for all the natural weaknesses of
individual human beings.

Minat sosial merupakan trait yang wujud sejak lahir lagi lagi tetapi perlu dipupuk dan dibimbing.
Minat masyarakat ini didasarkan kepada keperluan seseorang individu untuk bermesra dengan
orang lain di samping memupuk semangat kekitaan.

Sepertimana yang kita maklum, Adler pernah menggariskan bahawa tindak- tanduk seseorang itu
adalah bersandarkan kepada suatu tujuan atau matlamat. Di sini, untuk mencapai matlamat
kesempurnaan kendiri unggul, seseorang itu memasang strategi dengan berusaha membantu
orang lain dan bertingkahlaku yang disenangi oleh masyarakat sekeliling. Sehubungan dengan itu,
ia dapat menjauhkan seseorang individu dari berperasaan rendah diri dalam suasana sosial.
Seterusnya, individu berkeyakinan menuju ke arah pencapaian Kendiri Unggul di samping
memperolehi penerimaan sosial yang tinggi.

CARA HIDUP

Cara hidup merupakan perancangan hidup yang unik dan tersendiri. ia merujuk kepada cara
manusia mengejar matlamat. Cara hidup seseorang itu telah dibentuk semasa 5 tahun yang
pertama. Demikian, ia digelar critical period di mana ia mempengaruhi reaksi individu kepada
inferioriti yang dialami ketika dewasa. Perasaan inferioriti ini wujud secara nyata dan khayalan.

Adler ada menekankan tentang family constellation: gabungan dalam keluarga yang melibatkan
kedudukan kelahiran dan layanan ibu bapa. Perkara tersebut merupakan aspek psikologikal yang
penting dalam memahami perihal tingkahlaku seseorang individu.

URUTAN KELAHIRAN

ANAK TUNGGAL
Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai hanya seorang anak. Maka, oleh sebab- sebab
tertentu di mana salah seorang pasangan mungkin mengalami penyakit yang menghalang mereka
mendapat anak. Demikian, kehadiran anak tunggal dalam hidup mereka dianggap suatu keajaiban
Allah.
Memandangkan pasangan tersebut tidak mempunyai pengalaman sebagai ibu dan bapa, anak ini
ditatang bagai minyak yang penuh. Anak ini mendapat sepenuh kasih sayang dari pasangan dan
tumpuan perhatian yang diterima pula adalah 200 peratus oleh anak tersebut. Akibatnya, anak ini
terlalu dilindungi dan perkembangan anak mampu tergugat.
Anak tunggal juga sering mengalami kesukaran dalam perkongsian sesuatu dengan adik- beradik
dan rakan sebaya. Ini kerana sebelum ini hidupnya bersendiri dan mendapat tumpuan yang padu
daripada kedua orang tuanya. Kebiasaannya, anak ini lebih senang berdamping dengan orang
dewasa dan gaya bicara anak tunggal banyak dipengaruhi oleh tutur bahasa orang- orang dewasa.

ANAK SULONG

Anak sulong akan mengalami perasaan terlepas pandang oleh kedua ibu bapa. Ini kerana kasih
sayang dan tumpuan ibu bapa beralih arah tehadap adiknya. Anak ini mengalami situasi
dethroned. Dia harus belajar berkongsi dengan adiknya. Ibu bapa pula meletakkan harapan yang
tinggi apabila anak ini melangkah ke alam pra- sekolah. Ibu dan bapanya sering membahukan
tanggungjawab kepada anak ini berbanding dengan adik- beradik yang lain. Kepada adik- adik
pula, anak sulaong dijadikan sebagai model mereka,
Kesan dari layanan yang diterima cenderung menjadikan anak sulong ini bersifat agak tegas dan
autokratik. Dia turut merasakan dia sentiasa mempunyai hak kuasa ke atas adik- adiknya. Dia
boleh menjadi seorang yang ringan tulang jika ada dorongan yang dihulurkan oleh ibunya atau
ayahnya. Kebiasaanya, anak sulong sering beralih mengharapkan keprihatinan daripada ayahnya
setelah lahir anak kedua dalam keluarga.

ANAK KEDUA

Sifat anak ini selalunya lebih agresif berbanding dengan anak sulong. Dia selalu dibantu dalam
banyak perkara dan sentiasa ada penyokong di belakang kejayaannya –sama ada ibu, bapa atau
kakak atau abangnya.
Dia turut mempunyai daya saing yang lebih tinggi dan sering kali berlumba- lumba untuk menjadi
yang lebih baik daipada adik- beradiknya yang lain. Anak kedua boleh menjadi seorang yang degil
atau cuba dilihat menyerlah daripada orang lain dalam apa- apa perkara.

ANAK TENGAH
Menurut Adler, anak tengah umpama sandwich. Anak tengah sering merasa dirinya terhimpit dan
tidak menyerlah dalam keluarga. Sikapnya juga adalah agresif dan cepat marah. Dalam hidupnya,
dia sentiasa ke arah cuba mencari suatu keadilan bagi dirinya sendiri mahupun untuk individu lain.
Dia seorang drastik dalam bertindak.

ANAK BONGSU
Hidupnya dibelakangi oleh banyak ketua. Abang- abang ataupun kakak- kakaknya cuba menjadi
pengajar kepadanya dan ini seolah- olah dia mempunyai banyak orang ibu dan bapa. Namun, dia
tidak mengalami situasi dethrone berbanding adik- beradiknya yang lain.
Dia ini sering berhasrat ingin menjadi besar atau lebih berkuasa daripada orang lain. Dia
mempunyai cita- cita yang besar tetapi seringkali kecundang di tengah jalan. Kadangkala anak ini
tidak membesar dengan matang dan masih bersifat keanak- anakan walaupun dia sudah remaja.

ANAK KEMBAR

Salah satu daripada pasangan kembar ini akan bersifat lebih agresif, cerdas, dan aktif. Maka, ibu
bapa mereka cenderung melihat salah seorang daripada mereka adalah kakak atau abang kepada
yang satu lagi.
Anak kembar boleh mengalami masalah ketidaktentuan identiti. Pasangan kembar yang lebih
menyerlah akan menjadi ketua dan model kepada pasangannya yang lebih lemah dan pasif.

Adler percaya setiap individu mempunyai cara hidup yang unik dan apa yang berlaku kepadanya
adalah ditentukan oleh persepsi dan penilaian dia terhadap persekitaran.
Demikian, setiap individu berupaya mengubah sesuatu perkara dan bertanggungjawab ke atas
kesan dan akibat dari tindakan yang diambil. Individu tersebut turut menentukan sendiri gaya
hidup yang wajar dipilih dan ia adalah tanggungjawab diri sendiri.

Menurut Adler, terdapat 4 cara hidup asas bagi seseorang individu. Cara hidup yang diamalkan
adalah merujuk kepada usahanya ke arah memaksimakan potensi diri dan menuju ke arah Kendiri
Unggul. 4 cara hidup itu ialah: [1] Jenis Dominan/ Active – Destructive Style, [2] Jenis
Bergantung/ Passive- Constructive Style, [3] Jenis Mengelak/ Passive- Destructive Style,
[4] Jenis Sosial/ Active- Constructive Style.
JENIS-JENIS CARA HIDUP

[1] Jenis Dominan/ Active – Destructive Style,
[2] Jenis Bergantung/ Passive- Constructive Style,
[3] Jenis Mengelak/ Passive- Destructive Style,
[4] Jenis Sosial/ Active- Constructive Style.
JENIS DOMINAN/ACTIVE – DESTRUTIVE STYLE

Individu jenis ini mempunyai kesedaran sosial yang rendah. Dia kurang minat terhadap
kepentingan dan kebajikan masyarakat. Mereka anti- sosial dan suka menunjukkan superioriti
dengan menindas orang lain. Ia berlaku secara sengaja atau tidak sengaja.
Contoh:
Orang kaya memberi derma kepada golongan fakir yang meminta sedekah di jalanan. Orang kaya
tersebut menghulurkan sejumlah wang di hadapan khalayak ramai. Tindakan orang kaya itu
bukannya didasarkan kepada anjuran Islam- infaq fisabilillah tetapi atas niat menggariskan
perbezaan taraf yang jelas antara orang kaya dan golongan fakir.

Kanak- kanak yang mempunyai sikap begini biasanya lebih suka berkawan dengan kanak- kanak
yang lebih lemah supaya mereka senang menguasai dan mempengaruhi kanak- kanak yang lemah
tadi. Apanila dewasa, mereka lebih suka menjadi penguasa yang boleh memerintah orang lain
atau pasangan mereka. Mereka akan cuba menguasai orang lain dengan menggunakan duit.
Individu ini bertingkahlaku tanpa melihat kepada orang lain. Sekiranya, individu ini memiliki sifat
menguasai yang berlebihan, maka dia cenderung menjadi seorang yang kejam dan delikuen.

JENIS BERGANTUNG/POSSIVE – CONSTRUCTIVE STYLE

Individu jenis ini biasanya bersikap pasif dan kurang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi. Sebaliknya, mereka lebih suka bergantung kepada orang lain. Kanak- kanak yang
bersikap begini lazimnya dimanjakan oleh kedua ibu bapa dan jarang diberi tanggungjawab
sepanjang kehidupan mereka.
Oleh itu, mereka membesar menjadi individu yang kurang yakin dan gemar menyerlahkan diri
pada pandangan umum. Misalnya, gemar bersolek dan tampil menawan. Individu ini turut gagal
menghadapi situasi yang susah dengan sabar. Baginya, segala apa yang dihasratkan mesti dapat
dicapai dengan apa cara sekalipun. Bahkan, individu ini sanggup menggunakan khidmat ahli sihir
untuk merealisasikan impiannya dengan mudah di samping dia tidak perlu berusaha.

JENIS MENGELAK/PASSIVE – DESTRUCTIVE STYLE

Individu yang mempunyai cara hidup jenis mengelak biasanya kurang berkeyakinan dalam
menyelesaikan suatu konflik. Lazimnya, individu ini telah membuat spekulasi awal terhadap
sesuatu yang masih belum sahih. Selalunya, persepsi mereka cenderung ke arah pemikiran yang
negatif.
Mereka turut tergolong dalam individu yang pesimis dan takut memasuki suasana baru. Mereka
telah mengjangkan bahawa diri mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru itu
dan terus mengambil jalan untuk lari dari menyertai dalam suasana tersebut.
Individu ini turut dikatakan suka mengelamun dan berfantasi akan gambaran mereka sebagai
superior.
JENIS SOSIAL/ACTIVE-CONSTRUCTIVE STYLE

Individu yang mempunyai cara hidup jenis social lazimnya membesar dalam keluarga yang saling
membantu dan sentiasa memberi sokongan morak. Individu ini turut mempunyai kekuatan untuk
berdepan dengan sebarang masalah. Setiap tindakan mereka pula acapkali mengambil kira
kebajikan masyarakat. Kepentingan masyarakat diletakkan sebagai prioriti utama dalam
kehidupan mereka. Mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan mereka turut senag
bekerjaama dan mudah menyesuaikan diri.

KENDIRI KREATIF

They cannot believe there is nothing that “makes” a child do it; that it is his own
conclusion, jis own response, his own evaluation of situation which is influential. It is a
creative act, which in itself is a phenomenon that our deterministically oriented
contemporaries find difficult to comprehend.

Kendiri Kreatif merupakan suatu yang terdapat di antara rangsangan yang bertindak ke atas
individu dan gerakbalas. Selain itu, ia merupakan kemuncak pencapaian seseorang.
Konsep kendiri kreatif menekankan bahawa manusia bereaksi ke atas alam nyata melalui
Kombinasi tenaga kreatif yang mana mengubah personaliti diri yang dinamik, cara hidup yang
unik, dan persepsi subjektif.

Setiap kreativiti yang digubal adalah selaras dengan matlamat yang sedang ingin dicapai iaitu
termasuklah untuk mengatasi perasaan inferioriti.
Adler turut melihat kepada aspek Stimulus- Response dalam menentukan tahap minat social yang
dianuti oleh seserang individu dan paras kewajaran individu memilih sesuatu matlamat itu dan
akhir sekali, gaya hidup unik yang sedang individu amalkan.

Rangsangan Tindak balas

Orang Individu
Rajah 1: Struktur Kendiri Kreatif: Stimulus-Response.
LATIHAN

1. Jelaskan ciri- ciri personaliti yang boleh berkembang kepada anak sulong, anak kedua, dan
anak bongsu kesan daripada turutan kelahiran.

2. Cadangkan apakah pendekatan yang paling berkesan dalam mendidik generasi pewaris/
anak? Nyatakan sebabnya.

3. Pada pandangan anda, apakah punca lain yang menyumbang kepada pembentukan
seseorang anak?

4. Berikan kebarangkalian tingkah laku yang akan dilakukan oleh seseorang individu yang
dieksploitasi berdasarkan konsep Adler?
TERAPI ADLERIAN
Terapi Adlerian

Menurut Dickmeyer, 1979, terdapat empat matlamat yang dicadangkan dalam Kaunseling
Adlerian iaitu seperti berikut:

1. Membina dan mengekalkan perhubungan empati antara kaunselor dengan klien.
2. Membantu klien memahami gaya hidupnya.
3. Menolong klien membina celik akal.
4. Membantu klien mencari alternatif tinadak dan membuat pilihan.

MEMBINA DAN MENGEKALKAN PERHUBUNGAN EMPATI ANTARA KAUNSELOR DENGAN
KLIEN

Dalam Terapi Adlerian, matlamat ini merupakan matlamat yang utama dan sangat perlu
ditekankan oleh kaunselor. Untuk mencapai matlamat ini, kauselor perlu mewujudkan rasa hormat-
menghormati dan saling mempercayai antara kaunselor dan klien di mana kauselor perlu terapkan
elemen universality iaitu kaunselor dan klien adalah sama taraf.
Demikian, rasa ragu klien terhadap akauntabiliti kaunselor sedikit demi sedikit akan beransur
hilang sepanjang sesi kaunseling. Sehubungan itu, klien dapat memberi kerjasama yang baik dan
sedia berkongsi pengalaman. Dengan ini, sesi kaunseling turut bertambah lancar dan kaunselor
turut mudah memfokuskan topik perbincangan kepada matlamat sebenar klien.
Di sini, kaunselor turut membantu klien meneroka kelebihan dan kelemahan yang ada pada klien.
Kaunselor turut memberi galakan dan semangat dengan meyakinkan klien bahawa dirinya
mempunyai keupayaan untuk mengatasi setiap masalah.

MEMBANTU KLIEN MEMAHAMI GAYA HIDUPNYA

Untuk mencapai tujuan ini, kaunselor hendaklah meneroka perasaan, motif, kepercayaan dan
matlamat yang dipersetujui oleh klien.
Penerokaan ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya, Early Recollections dan
Constellation Family. Melalui dua pendekatan tersebut, kaunselor dapat memperolehi banyak
maklumat yang mana membantu kounselor untuk melihat perhubungan antara interaksi klien
dalam keluarga dan tingkahlaku klien ketika dewasa. Ia turut membantu kaunselor memahami
gambaran tingkahlaku klien apabila dewasa dan faktor- faktor yang menyumbang kepada bentuk
ketingkahlakuan mereka.
Soalan- soalan terbuka dikemukakan agar klien memahami akan persepsi- persepsinya terhadap
diri sendiri. Klien juga diminta melaporkan peristiwa- peristiwa penting yang berlaku di dalam
hidupnya. Menurut Adler, klien akan mengingati peristiwa- peristiwa yang memberi impak kepada
dirinya dan peristiwa- peristiwa itu turut mempengaruhi cara klien memandang dirinya sendiri,
persepsinya terhadap kehidupan, dan menunjukkan kefahaman klien terhadap nilai, sikap, dan
kepercayaan miliknya dan semua ini adalah lambing personaliti individu yang unik.

Semasa membuat penilaian, tugas kaunselor ialah untuk menggabungkan dan merumuskan
semua maklumat yang didapati dan membuat tafsiran bagaimana kepercayaan- kepercayaan yang
tidak benar dan tidak seimbang itu mempengaruhi gaya hidup klien.

MENOLONG KLIEN MEMBINA CELIK AKAL

Celik akal adalah satu langkah menuju perubahan. Melalui pembinaan celik akal, klien dapat
memahami gaya hidupnya dan sedar akan matlamatnya yang salah (dlm. Sapora Sipon, Ahmad
Jazimin, Hapsah, 2003).

Untuk mencapai matlamat ini, klien akan melalui proses konfrontasi bersama- sama kaunselor
seiring sokongan yang kaunselor hulurkan. Kaunselor cuba menjelaskan dan mentafsirkan setiap
cetusan peristiwa yang dialami klien dengan mengaitkan ia kepada tingkahlaku yang ditonjolkan
klien kini yang mana menyebabkan diri klien songsang dan kabur kepada tujuan hidup yang lebih
wajar.
Setelah klien dibantui kauselor dalam meneroka punca yang menyumbang kepada kekecelaruan
sedia ada dan permasalahan yang sedang dihadapi. Maka, secara tidak lansung, kaunselor sedang
memberikan suatu kesedaran yang jelas kepada klien dan klien mengalami celik akal dan tahu
apakah faktor utama yang membawa dirinya dalam kesusahan.
Selain itu, klien turut nampak sebab dirinya bertingkahlakuan yang kurang wajar.

MEMBANTU KLIEN MENCARI ALTERNATIF TINDAKAN DAN MEMBUAT PILIHAN

Setelah klien memahami akan sebab- sebab dirinya mengalami ketidakwajaran hidup di samping
mempunyai matlamat yang tidak sesuai. Kini, klien sudah bersedia untuk membuat peralihan- dari
negatif kepada positif.

Dengan ini, kaunselor akan bersama- sama klien dalam membincangkan strategi yang perlu
didasarkan kepada setiap langkah peralihan. Kaunselor dan klien saling berbincang dan
mencadangkan alternatif yang wajar diambil dan dipilih demi membawa klien mengalami
perubahan.
Setelah mengenalpasti dan memilih langkah yang sesuai, lien perlu tekad untuk
melaksanakannya. Sepanjang klien menjalani sesi peralihan, klien akan dipantau dan dinilai
semula sehingga dia mencapai matlamat, tingkahlaku, dan gaya hidup yang wajar.
PENDEKATAN TERAPI PSIKOLOGI INDIVIDU

Dalam menjalankan sesi kaunseling Adlerian bersama klien, kaunselor mengenengahkan beberapa
pendekatan yang mana bertujuan untuk mendalami faktor- faktor yang menyumbang kepada
pengherotan matlamat yang disandang oleh seseorang klien itu.

Seperti yang sedia maklum, Adler telah mencadangkan beberapa konsep yang dilalui oleh semua
manusia yang mana membawa mereka kepada suatu pembentukan personaliti yang unik. Secara
ringkas, fictional finalism diada- adakan dan menjadi pendorong bagi seseorang individu menerajui
kehidupannya dengan baik. Perasaan inferior pula wujud di dalam diri individu setelah dia melihat
dan mempersepsikan persekitarannya. Maka, timbul pula hasrat ingin memperolehi rasa selamat,
sempurna, dan berkuasa dalam diri individu ini. Sehubungan dengan itu, individu ini berusaha pula
untuk mencapai superioriti.

Di samping berusaha untuk merealisasikan fiksyen ke alam realiti, individu ini turut berkecimpung
dalam aktiviti kekitaan dan pelingbatan sosialnya itu selain mampu meningkatkan status sosial
mereka, ia turut menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kejayaan mencapai suatu
matlamat.

Dalam Terapi Adlerian, terdapat beberapa bentuk penilaian yang dapat diamalkan oleh seseorang
kaunselor. Kaunselor dapat menyelitkan salah satu pendekatan berikut atau kesemuanya. Tujuan
pengamalan bentuk- bentuk penilaian berikut adalah untuk memahami personaliti klien dan faktor
yang menyumbang kepada pembentukan personaliti unik mereka.
TEKNIK-TEKNIK PENILAIAN DALAM PSIKOLOGI INDIVIDU

[1] Analisa Mimpi (Dream Interpretation)
[2] Sorotan Zaman Kanak- kanak (Early Recollections).
[3] Susunan Kelahiran ( Birth Order).

Analisa Mimpi (Dream Interpretation)

“Everything can be different.” So it is in dream interpretation. We must modify each
dream interpretation to fit the individual concerned.

Tujuan kemunculan sesuatu mimpi akan jelas apabila kita menilai mimpi tersebut melalui perasaan
dan emosi yang sedang dialami, dan bukannya melalui persoalan kenapa munculnya sesuatu
mimpi dan menilai mimpi bersandarkan fakta realiti. Ini adalah suatu yang mustahil. Setiap mimpi
yang muncul dalam tidur seseorang individu, kebiasaannya datang dalam bentuk yang simbolik
dan dan memerlukan pentafsiran yang khusus dan pentafsiran tersebut dilakukan oleh pakar
secara holistik.

Tingkahlaku yang digerakkan di dalam mimpi merupakan kondisi pemikiran yang sedang dialami
oleh seseorang individu ketika mereka bermimpi. Menurut ahli Psikologi Individu, gerak- geri
mereka di dalam mimpi merupakan sumber pendorong kepada ketingkahlakuan mereka dan
matlamat yang ingin dicapai.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu bermimpi dirinya sedang mendaki bukit, maka dia
ditafsirkan mempunyai matlamat untuk berada di tahap atas atau dihormati. Namun, dirinya
dilingkungi perasaan tidak selamat. Kedua, apabila seseorang itu bermimpi dirinya boleh terbang.
Maka, dia ditafsirkan mempunyai kepercayaan bahawa dirinya boleh melaksanakan suatu tugasan
yang mana individu lain tidak mampu melakukannya.

Melalui kedua- dua mimpi tersebut, kaunselor sebenarnya dapat membaca hasrat yang dipunyai
oleh kliennya: ingin melakukan sesuatu yang mana sebelum ini mereka diselubungi rasa gusar.
Demikian, peranan kaunselor ialah cuba berbincang bersama klien untuk merangka strategi yang
tepat dan bersesuaian dengan diri klien. Strategi tersebut dijadikan sebagai garis panduan kepada
klien bagi memandu dirinya ke arah mencapai matlamat. Matlamat tersebut, sebelum ini adalah
kabur dan setelah kaunselor menggunakan pendekatan analisa mimpi ini, maka keputusan analisa
mimpi menunjukkan matlamat yang dipunyai klien di sebalik mimpi- mimpi yang telah dialam

LATIHAN

1.Apakah yang diterokai oleh seorang kaunselor melalui teknik Analisa Mimpi?

2. Jelaskan maksud celik akal yang diutarakan dalam Terapi Adlerian?

3. Apakah yang dimaksudkan dengan dethroned dan berikan gambaran situasi
berkenaan dalam institusi keluarga serta apakah kesan kepada tingkahlaku anak
yang mengalami dethroned?

KESIMPULAN
Selepas kematian Adler, teori dan pendekatan beliau telah mendapat penerimaan yang meluas
oleh badan- badan akademik dan ahli psikologi klinikal.
Kemudian, teori Adler telah pula diperkembangkan oleh ahli personalogi yang lain. Antaranya,
Harry Stack Sullivan, Karen Horney, Julian Rotter, Abraham Maslow dan Carl Rogers.

Pendapat Adler tentang persepsi subjektif dijadikan asas pembentukan Teori Rasional Emotif yang
dipelopori oleh Albert Ellis. Teori Adler juga telah mempengaruhi Rollo May dalam menghasilkan
Teori Kewujudan beliau.

Kini, teori mendiang Adler tidak semasyur teori yang diperkenalkan oleh Freud dan Jung. Ia adalah
disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, idea yang dikemukakan Adler adalah terlalu idealistik
memandangkan realiti dalam sesebuah kehidupan adalah tidak semuanya terdorong kea rah
positif sahaja. Malah tidak semua manusia itu adalah baik dan optimis. Lagipun, Adler turut gagal
menjelaskan perkaitan yang berlaku antara masyarakat dan seseorang individu yang mana
membawa individu terbabit kepada memperolehi minat sosial. Tambahan pula, teori Adler tidak
dihuraikan secara terperinci tentang hubungan satu prinsip dengan prinsip yang lain. Ia dipercayai
memerlukan kepada perintis semasa untuk mengkaji semula fakta yang dikemukakan Adler.

Walaubagaimanapun, Adler berjaya menunjukkan bahawa manusialah yang menentukan nasibnya
sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pilihan yang dibuat. Prinsip Adler yang menolak
konsep universality antara manusia harus dilihat secara positif dan mendalam. Bagi saya, Adler
berjaya mengumpulkan satu idea yang rasional melaui prinsip manusia itu unik. Ia adalah
disebabkan setiap manusia adalah berbeza dari segi persepsi dan tindakan. Maka, apabila manusia
sedar diri setiap daripada mereka adalah unik. Secara tidak langsung manusia akan menghormati
pendirian orang lain sepertimana orang lain turut menerima kehadirannya dalam masyarakat.
Selain itu, manusia turut menyedari akan kepentingan melihat pandangan seseorang itu dari kaca
mata mereka dan bukannya membuat suatu spekulasi yang penuh prasangka. Ini tegas dinyatakan
oleh Adler kerana baginya manusia itu adalah unik.
BIBLIOGRAFI

Azlina Abu Bakar@ Mohd, 2002, Psikologi Personaliti Individu, Karisma Publications Sdn.
Bhd., Shah Alam: Malaysia.

Hall, Calvin S. & Lindzey Gardner, 1970, Theories of Personality – 2nd Edition, John Wiley
& Sons Inc: USA.

Jess Feist, 1994, Theories of Personality 3rd Edition, Brown & Benchmark Publishers: USA.

Maddi, Salvatore R., 1968, Personality Theories- A Comparative Analysis, The Dorsey
Press: USA.

Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh, Hapsah Md. Yusof, 2003, Kaunseling Individu Edisi
Kedua, Pearson, Selangor: Malaysia.

Sternberg, Robert J, 1997, Pathways to Psychology, Harcourt Brace & Company: USA.

Henry T. Stein, 2005, Distance Training in Classical Alderian Psychotherapy, Pada: http:// ourworld.
Compuserve. Com/ homepages/ hstein, [ May, 5 2005].
RUMUSAN
-Peta Mikro

Peta mikro ini adalah dibina oleh Henry T. Stein, Ph. D
Saling berhubung Bersendirian

Tolak ansur dan
toleransi Eksploitasi
Fictional Finalism
Perkembangan kendiri
Mementingkan diri
Saling membantu dan Bersifat dominan
menyumbang
Kendiri Unggul
Usaha untuk
maju Keselamatan diri

Pembaikan dalam Untuk menguasai
pencapaian orang lain

Mengatasi kesukaran
hidup

Ke arah positif Usaha ke arah superioriti Ke arah
negatif
(minat sosial tinggi) ( minat sosial rendah)

Kuasa kreatif

Perasaan Inferior
KESIMPULAN

Selepas kematian Adler, teori dan pendekatan beliau telah mendapat penerimaan yang meluas
oleh badan- badan akademik dan ahli psikologi klinikal.
Kemudian, teori Adler telah pula diperkembangkan oleh ahli personalogi yang lain. Antaranya,
Harry Stack Sullivan, Karen Horney, Julian Rotter, Abraham Maslow dan Carl Rogers.

Pendapat Adler tentang persepsi subjektif dijadikan asas pembentukan Teori Rasional Emotif yang
dipelopori oleh Albert Ellis. Teori Adler juga telah mempengaruhi Rollo May dalam menghasilkan
Teori Kewujudan beliau.

Kini, teori mendiang Adler tidak semasyur teori yang diperkenalkan oleh Freud dan Jung. Ia adalah
disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, idea yang dikemukakan Adler adalah terlalu idealistik
memandangkan realiti dalam sesebuah kehidupan adalah tidak semuanya terdorong kea rah
positif sahaja. Malah tidak semua manusia itu adalah baik dan optimis. Lagipun, Adler turut gagal
menjelaskan perkaitan yang berlaku antara masyarakat dan seseorang individu yang mana
membawa individu terbabit kepada memperolehi minat sosial. Tambahan pula, teori Adler tidak
dihuraikan secara terperinci tentang hubungan satu prinsip dengan prinsip yang lain. Ia dipercayai
memerlukan kepada perintis semasa untuk mengkaji semula fakta yang dikemukakan Adler.

Walaubagaimanapun, Adler berjaya menunjukkan bahawa manusialah yang menentukan nasibnya
sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pilihan yang dibuat. Prinsip Adler yang menolak
konsep universality antara manusia harus dilihat secara positif dan mendalam. Bagi saya, Adler
berjaya mengumpulkan satu idea yang rasional melaui prinsip manusia itu unik. Ia adalah
disebabkan setiap manusia adalah berbeza dari segi persepsi dan tindakan. Maka, apabila manusia
sedar diri setiap daripada mereka adalah unik. Secara tidak langsung manusia akan menghormati
pendirian orang lain sepertimana orang lain turut menerima kehadirannya dalam masyarakat.
Selain itu, manusia turut menyedari akan kepentingan melihat pandangan seseorang itu dari kaca
mata mereka dan bukannya membuat suatu spekulasi yang penuh prasangka. Ini tegas dinyatakan
oleh Adler kerana baginya manusia itu adalah unik.
BIBLIOGRAFI

Azlina Abu Bakar@ Mohd, 2002, Psikologi Personaliti Individu, Karisma Publications Sdn.
Bhd., Shah Alam: Malaysia.

Hall, Calvin S. & Lindzey Gardner, 1970, Theories of Personality – 2nd Edition, John Wiley
& Sons Inc: USA.

Jess Feist, 1994, Theories of Personality 3rd Edition, Brown & Benchmark Publishers: USA.

Maddi, Salvatore R., 1968, Personality Theories- A Comparative Analysis, The Dorsey
Press: USA.

Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh, Hapsah Md. Yusof, 2003, Kaunseling Individu Edisi
Kedua, Pearson, Selangor: Malaysia.

Sternberg, Robert J, 1997, Pathways to Psychology, Harcourt Brace & Company: USA.

Henry T. Stein, 2005, Distance Training in Classical Alderian Psychotherapy, Pada: http:// ourworld.
Compuserve. Com/ homepages/ hstein, [ May, 5 2005].