Daripada Hazrat Ka'ab Bin 'Ujrah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Hadirlah ke mimbar!

" Maka kami pun telah hadir. Apabila Baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata 'Amin' dan apabila Baginda naik tangga yang kedua Baginda berkata `Amin' dan apabila naik anak tangga yang ketiga Baginda berkata 'Amin'. Apabila Baginda turun, kami telah bertanya, “Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar daripada Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar." Baginda bersabda, "Sesungguhnya Jibrail a.s telah muncul kepadaku dan berkata `binasalah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.' Maka aku berkata 'Amin'. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata `binasalah seseorang yang apabila nama engkau disebutkan kepadanya, tidak pula dia menselawatimu.' Aku juga berkata 'Amin' dan apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata 'binasalah seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga.'Aku berkata ‘Amin’. Keterangan Dalam hadith ini Jibrail a.s telah memohon tiga doa (kebinasaan) dan Rasulullah SAW pula telah mengaminkan ketiga-tiga doa itu. Apa kurangnya dalam doa Jibrail a.s.? Dia ialah satu malaikat yang begitu hampir dengan Allah dan adalah jelas kepada kita amin daripada Rasulullah SAW menjadikan doa itu bertambah makbul. Hanya Allah SWT dengan limpahNya sahaja yang boleh memberi taufik kepada kita untuk menjauhi ketigatiga perkara tersebut dan supaya kita terpelihara daripada semua kebinasaan itu. Jika tidak, tiada sebarang kesangsian lagi terhadap kebinasaan kita sendiri. Dalam sesetengah riwayat dari kitab Durre-Manthur dinyatakan bahawa Jibrail a.s. sendiri yang berkata kepada Nabi SAW, "Katakanlah Amin!" Lalu Rasulullah SAW pun berkata, "Amin!". Dengan itu dapat diketahui bahawa perkara itu lebih diambil berat. Golongan pertama ialah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi dia masih tidak diampunkan. Yakni bulan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan seperti Ramadhan itu pun masih dihabiskan dengan kelalaian. Dalam bulan Ramadhan keampunan dan rahmat Allah SWT turun seumpama hujan. Oleh kerana itu sesiapa yang membiarkan bulan Ramadhan berlalu dalam keadaan keburukan dan kecuaiannya yang begitu teruk sekali sehingga menyebabkan dia terluput daripada keampunan, maka masa mana lagi yang boleh menjamin keampunan untuknya dan apa lagi yang hendak ditunggu untuk kebinasaannya? Sedangkan jalan untuk mendapat keampunan ialah dengan menunaikan amalan-amalan pada bulan Ramadhan seperti berpuasa dan bertarawih dengan sepenuh-penuh perhatian dan kemudian pada setiap masa memperbanyakkan taubat dan istighfar atas dosa-dosanya. Golongan kedua yang telah didoakan kebinasaan untuknya ialah seorang yang nama Nabi SAW disebutkan di hadapannya tetapi dia tidak menselawati Nabi SAW. Perkara ini juga banyak terdapat dalam riwayat-riwayat yang lain. Oleh kerana itu sesetengah ulama berpendapat bahawa membaca selawat pada setiap kali nama Nabi SAW disebutkan adalah wajib. Selain hadith di atas, terdapat banyak lagi hadith lain yang memberi ancaman

terhadap orang yang tidak menselawati Nabi ketika nama Nabi SAW disebutkan di hadapannya. Sesetengah hadith menyatakan bahawa orang yang sedemikian tergolong di kalangan orang yang paling celaka dan paling bakhil. Dia juga dikatakan seorang yang zalim, yang lupa jalan ke syurga malah seorang yang masuk ke neraka jahanam, seorang yang telah rosak agamanya serta dikatakan juga bahawa dia tidak akan dapat melihat wajah Nabi SAW. Walaubagaimanapun para ulama mengertikan hadith-hadith di atas (dengan mengatakan bahawa mereka yang dikenakan azab sedemikian bukan hanya kerana tidak berselawat ke atas Nabi ketika nama Baginda disebutkan tetapi kerana mereka kufur kepada Nabi SAW.Tetapi siapa yang berani menafikan bahawa amaran yang yang zahir daripada hadith-hadith Nabi SAW terhadap mereka yang tidak menselawat, adalah begitu keras sehingga berat untuk ditanggung? Kenapa tidak? Sedangkan ihsan dan jasa Nabi SAW ke atas umat ini berkali ganda banyaknya. Tidak mampu untuk dicakupi oleh segala tulisan dan ucapan. Selain itu dilihat hak-hak Nabi ke atas umat ini adalah begitu banyak. Oleh itu, segala ancaman dan peringatan kepada mereka yang tidak membaca selawat nampaknya memang tepat dan patut. Kelebihan-kelebihan selawat itu sendiri begitu banyak, jadi tidak menselawati Nabi adalah sesuatu yang malang. Apabila seseorang itu berselawat ke atas Nabi SAW kelebihan-kelebihan yang akan diperolehnya tiada tandingan dengan apa-apa yang lain. Umpamanya Allah menurunkan kepadanya sepuluh rahmat, seterusnya para malaikat akan berdoa untuknya, dosa-dosanya akan diampunkan, darjat-darjatnya akan ditinggikan, mendapat pahala sebesar gunung Uhud, wajib mendapat syafaat Nabi SAW, mendapat keredaan Allah SWT dan rahmatNya, keamanan daripada kemurkaanNya, keselamatan daripada huru-hara hari kiamat, dapat melihat tempat tingga di dalam syurga sebelum meninggal dunia dan lain-lain kelebihan yang banyak dijanjikan oleh Nabi SAW melalui pembacaan selawat dengan bilangan-bilangan yang tertentu. Selaini tu, dengan berselawat juga kesempitan hidup dan kefakiran akan dijauhkan, penghampiran kepada Allah SWT dan RasulNya akan diperoleh, mendapat pertolongan apabila berhadapan dengan musuh, pembersihan hati daripada nifaq dan karat, orang ramai akan mengasihinya dan banyak lagi berita gembira yang akan diperoleh dengan memperbanyakkan selawat seperti yang dinyatakan dalam hadith-hadith. Ahli fekah telah menyatakan bahawa adalah wajib secara amali untuk berselawat sekali dalam seumur hidup dan semua ulama mazhab telah sepakat atas keputusan itu. Cuma apa yang diselisihkan ialah adakah wajib atau tidak untuk membaca selawat setiap kali nama Nabi SAW disebutkan? Sesetengah ulama berpendapat bahawa adalah wajib untuk membaca selawat setiap kali nama Nabi SAW disebutkan dan sesetengah yang lain pula berpendapat bahawa amalan itu hanya sunat. Golongan ketiga ialah seseorang yang kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka telah tua tetapi dia tidak berkhidmat kepada mereka sebaik mungkin sehingga dengan sebab khidmatnya itu dia berhak memasuki syurga. Penekanan terhadap menunaikan hak-hak ibu bapa dinyatakan dalam banyak hadith. Para ulama menulis bahawa antara hak-hak mereka ialah - penting untuk mentaati mereka dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak, dan dituliskan juga supaya tidak berlaku biadab terhadap mereka, jangan bertemu mereka dengan keadaan takabbur walaupun mereka seorang musyrik, jangan meninggikan suara lebih dari suara mereka jangan memanggil mereka dengan

nama-nama mereka, jangan mendahului mereka dalam apa-apa urusan pun, berlemahlembut dengan mereka dalam amar-ma'ruf dan nahil-'anil-munkar (menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran) kalau mereka tidak menerima, teruslah berlaku baik terhadap mereka dan sentiasalah mendoakan hidayat untuk mereka. Pendek kata kita mesti memberi penghormatan terhadap mereka dalam setiap perkara. Dalam satu hadith, ada dinyatakan bahawa pintu yang terbaik antara pintu-pintu syurga ialah bapa. Jika kamu suka jagalah dia atau sia-siakanlah dia. Seorang sahabat r.a. telah bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah hak kedua-dua ibu bapa?" Baginda telah bersabda, "Mereka adalah syurgamu atau pun nerakamu." Iaitu keredaan mereka adalah syurga dan kemarahan mereka adalah neraka. Satu hadith lain menyatakan bahawa pandangan seorang anak yang taat dengan penuh kasih sayang terhadap bapanya menjanjikan pahala satu haji yang makbul. Dalam satu hadith, Nabi SAW bersabda, "Semua dosa selain syirik akan diampunkan sekiranya dikehendaki, tetapi dosa menderhakai ibu bapa akan mendatangkan bala sebelum mati di dalam dunia ini lagi." Seorang sahabat telah berkata, "Saya ingin pergi jihad." Rasulullah SAW telah bertanya, "Adakah ibumu masih hidup?" Beliau menjawab “Ya, masih hidup." Baginda telah bersabda, "Berkhidmatlah kepadanya kerana syurga untukmu di bawah kakinya". Dalam satu hadith yang lain dinyatakan bahawa keredaan Allah SWT adalah di dalam keredaan seorang bapa dan kemurkaan Allah SWT adalah dalam kemarahan seorang bapa, dan banyak lagi riwayat yang lain menyatakan kepentingan dan kelebihan berkhidmat kepada kedua-dua ibu bapa. Mereka yang telah cuai dalam perkara ini disebabkan sesuatu kelalaian tertentu dan sekarang kedua-dua ibu bapanya sudah tiada lagi maka dalam syariat kita yang suci masih ada jalan keluar. Nabi SAW bersabda dalam satu hadith, "Sesiapa yang kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia dalam keadaan dia menderhakai mereka, hendaklah dia memperbanyak doa dan istighfar untuk mereka dan dia akan dikira sebagai seorang anak yang taat." Dalam satu hadith yang lain dinyatakan, "Sebaik-baik kebaikan yang dapat dibuat selepas kematian seseorang bapa ialah berlaku baik terhadap teman-teman bapanya."

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful