You are on page 1of 2

2.

2 Strategi dan kaedah pembelajaran Permainan yang dijalankan ini juga secara dasarnya melibatkan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam pedagogi bestari. Pertamanya, strategi pengajaran mediatif telah diterapkan dalam permainan ini. Kaedah mediatif ini secara amnya menggalakkan pelajar untuk menggunakan konsep yang telah dipelajari sebelumnya dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan harian mereka. Jika dilihat dalam sudut permainan yang melibatkan asas kemahiran Sains ini, pelajar perlu memahami konsep elektrik yang telah diajar guru mereka sebelumnya bagi memastikan mereka mampu untuk menjawab persoalan dan menyelesaikan masalah yang terdapat dalam permainan ini. Jika pelajar masih belum mampu untuk menguasai konsep elektrik, mereka akan menghadapi pelbagai kesukaran semasa bermain permainan ini. Secara tidak langsung, permainan ini telah merangsang pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan sedia serta menaakul secara deduktif dan induktif. Guru juga hanya bertindak sebagai fasilitator dalam permainan ini kerana hanya menjadi pemudah cara dan pembimbing dalam merangsang naluri ingin tahu pelajar dan mengutarakan idea-idea sendiri. Berbeza dengan strategi pembelajaran yang menggunakan kaedah direktif, strategi pembelajaran secara mediatif ini lebih bersifat pemusatan pada pelajar berbanding guru. Dalam kata lain, strategi yang digunakan memberi peluang kepada pelajar untuk berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya pada guru dalam mengutarakan idea-idea dan menjawab pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran mereka. Mereka lebih berpeluang untuk menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi melalui cara dan kefahaman yang telah mereka peroleh sebelumnya. Pengajaran secara direktif pula kelihatan terlalu mengongkong dari segi penyampaian maklumat. Kaedah yang digunakan hanya berpusatkan guru semata-mata. Ini kerana, hanya

guru yang berhak menyampaikan maklumat manakala pelajar adalah pasif dan bergantung sepenuhnya pada guru untuk membekalkan maklumat dan penyelesaian masalah. Selain itu, permainan ini juga menerapkan unsur-unsur pembelajaran secara generatif. Pengajaran generatif dianggap sebagai satu pendekatan yang dapat membantu pelajar mereka cipta pengetahuan dan membentuk cara yang baru serta kreatif untuk menyelesaikan masalah. Unsur generatif yang diterapkan dalam permainan ini bertujuan untuk merangsang imaginasi pelajar dengan penggunaan metafora atau situasi aneh. Strategi pengajaran ini amat bertepatan dengan permainan yang melibatkan konsep Sains ini. Permainan ini diumpakan sebagai situasi aneh kerana secara kasarnya, permainan ini tidak tertakluk pada sukatan pelajaran yang terdapat dalam sistem pendidikan negara. Walaubagaimanapun, melalui permainan aneh ini, pelajar dapat belajar secara tidak langsung kerana konsep elektrik yang terdapat dalam permainan ini membantu pelajar mengulangkaji kembali konsep Sains yang telah mereka pelajari sebelum ini. Dalam masa yang sama, mereka dapat menambahkan lagi daya kreativiti melalui rangsangan ideaidea yang tercipta hasil pemikiran kreatif mereka semasa bermain permainan ini. Pengajaran generatif juga membolehkan guru membimbing pelajar dengan menggunakan analogi atau metafora, meneroka perhubungan antara bahan baru dan yang tidak dikenali dengan maklumat sedia ada. Ini menunjukkan sekali lagi keselarian yang tercipta antara kaedah generatif dan permainan ini. Apabila pelajar bermain permainan ini, sedar atau tidak, mereka telah menghubungkan bahan baru dalam bentuk permainan dengan maklumat sedia ada iaitu konsep Sains yang mereka telah pelajari. Hubungkait ini memberi kesan yang mendalam kepada pelajar kerana mereka dapat menjiwai permainan yang mereka ikuti disebabkan persamaan yang ada dengan konsep yang telah mereka pelajari sebelumnya.

You might also like