Kelemahan Penguasaan Bahasa Melayu Para Pelajar di Sekolah Misi dalam Sistem Pendidikan Dwibahasa.

Satu Tinjauan Ringkas Oleh Madam Teo Wee Wee Sekolah St. John’s, Kuala Belait

1.0 Pendahuluan BAHASA RASMI negeri ini ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dengan huruf yang ditentukan oleh undang-undang bertulis1. Sesuatu bahasa itu memerlukan perkembangan dan pengembangan, atau dengan perkataan lain bahasa perlu berkembang dan diperkembangkan. Cogan kata yang berbunyi ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menjelaskan sesuatu bangsa dikenali atau terkenal kerana mempunyai bahasa yang berdaulat. ‘Bahasa menunjukkan bangsa’pula menjelaskan bahawa budi bahasa, perangai dan pertuturan seseorang itu menunjukkan taraf keturunannya. Sememangnya bahasa ialah alat perhubungan yang menghidupkan masyarakat. Bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa rasmi negara kita mestilah berkembang supaya dapat menjalankan tugasnya sebagai alat perhubungan dalam segala lapangan mengikut kemahuan dan kemajuan masyarakat Brunei Darussalam. Kerajaan telah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini disusuli dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Dalam usaha kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, seringkali kita menemui penyalahgunaan dan kelemahan penguasaan bahasa Melayu pelajar dalam peperiksaan awam ( PSR, PMB dan GCE Peringkat O ). Pada amnya peratus kelulusan mata pelajaran
1 Perlembagaan Negeri Brunei 1959, perkara 82 (1), hlm. 122

PROSIDING SETALING II

bahasa Melayu adalah rendah dan pencapaian para pelajar kurang memuaskan, iaitu sukar melahirkan pelajar yang memahami sistem bahasa Melayu, dan yang cekap berbahasa supaya dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan bagi melahirkan fikiran dan perasaan serta ilmu pengetahuan melalui lisan dan penulisan. 1.1 Gerakan ‘Cintailah Bahasa Melayu’ Gerakan “Cintailah Bahasa Melayu’ dapat menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar di samping mengukuhkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Justeru, gerakan ini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Di samping itu, dengan gerakan ‘Cintailah Bahasa Melayu’ dan penekanan Kementerian Pendidikan terhadap bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib lulus di peringkat kepujian untuk melanjutkan pelajar ke Tingkatan Enam, penuntut-penuntut sekolah telah menumpukan perhatian mereka demi memajukan penguasaan bahasa Melayu masing-masing. Sebagai guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan yang sepenuhnya terhadap gerakan ini. 1.2 Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu Jika ditinjau dari aspek bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pula, sememangnya bahasa itu mesti berkembang untuk menerapkan ledakan ilmu yang pesat kini. Kita menyedari hal ini iaitu kosa kata bahasa Melayu dan istilah sains dan teknologi sentiasa diperkaya dari semasa ke semasa, dicipta mahupun dipinjam daripada bahasa asing supaya berperanan sebagai bahasa ilmu. 2.0 Sebab-sebab kelemahan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah misi dalam sistem pendidikan dwibahasa Sebab-sebab utama : a. Kurang yakin terhadap martabat bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris

122

PROSIDING SETALING II

Kerajaan menggalakkan dan menyeru rakyat kita mempelajari dan menguasai lebih daripada satu bahasa utama dunia, tetapi mengekalkan identiti bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa antarabangsa yang mesti dikuasai di peringkat nasional. Bahasa Inggeris penting dalam pergaulan kita dengan dunia luar. Dalam hal ini, generasi muda yang bakal menerajui negara merupakan golongan yang paling perlu memajukan taraf penguasaan bahasa asing mereka, penguasaan bahasa Inggeris penting kepada generasi muda dalam menunaikan cita-cita menimba ilmu di seberang laut. Secara langsung pelajar kurang yakin terhadap martabat bahasa Melayu dan menganggap bahasa Melayu banyak kelemahannya, antaranya termasuklah ketidakseragaman sebutan, ejaan dan tatabahasanya, hal ini menyulitkan seseorang pelajar mempelajarinya. Martabat bahasa Melayu ini turut merosot. b. Pengaruh bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan penggunaan bahasa Melayu Pengaruh bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan penggunaan bahasa Melayu merupakan satu faktor yang menyebabkan berlakunya penyalahgunaan bahasa Melayu. Ini menyebabkan pertuturan bahasa Melayu turut terpengaruh dengan tatabahasa bahasa Inggeris dan seterusnya mengucar-ngacirkan penggunaan bahasa Melayu terutamanya dari segi struktur ayat. Satu kenyataan dan tidak syak lagi, sikap orang ramai termasuk pelajar memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu tetapi mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Memang tidak dapat dinafikan bahawa para pelajar berpendapat kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris akan meninggikan taraf kedudukan dan meningkatkan imej diri mereka apabila bergaul dengan pelajar-pelajar yang lain. Mereka akan berasa lebih bangga apabila dapat bertutur bahasa Inggeris dengan fasih apabila berhadapan dengan khalayak yang kurang atau tidak memahami bahasa Inggeris. Sesetengah pelajar pula mengatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris boleh menerapkan ilmu dengan lebih cepat dan mudah berbanding dengan bahasa Melayu.

123

PROSIDING SETALING II

c. Keengganan pelajar memperbaik penguasaan bahasa Melayu dan kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan (a). Unsur keengganan pelajar memperbaik penguasaan bahasa Melayu Pencapaian mata pelajaran bahasa Melayu dalam peperiksaan awam ( PSR, PMB, GCE Peringkat O ) adalah rendah dan pencapaian kurang memuaskan. Kementerian Pendidikan telah memberi peluang kepada pelajar yang gagal untuk menduduki peperiksaan tunggal bahasa Melayu Kertas Jun untuk memberi peluang kepada mereka yang gagal atau lulus dengan pangkat 7 atau 8 dalam mata pelajaran itu untuk memperbaiki keputusan itu. Kebanyakan pelajar menganggap mata pelajaran bahasa Melayu sukar dipelajari, justeru itu di peringkat awal lagi minat pelajar terhadap mata pelajaran bahasa Melayu sudah kurang. Disebabkan masih memandang negatif terhadap penggunaan bahasa Melayu, tambahan pula kekurangan pengetahuan dan pelajaran tentang bahasa Melayu terutama pelajar yang berasal dari keluarga yang ibu bapa mereka berlatarbelakangkan pendidikan Inggeris telah menyebabkan penyalahgunaan bahasa bukan saja dari segi ejaan, sebutan, aspek tatabahasa tetapi juga peristilahan kerapkali berlaku. Pelajar-pelajar yang tidak berikhtiar untuk memperbaiki kebolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam pertuturan mereka telah mencemar bahasa Melayu mereka. Mereka juga menggunakan bahasa Melayu dengan sesuka hati tanpa berusaha merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau pihak-pihak lain yang dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka. Secara tidak langsung, masalah ini akan menjadikan bahasa Melayu tidak dapat mencapai kemajuan yang memuaskan dan lama-kelamaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan ketinggalan buat selama-lamanya. Ujian Lisan bahasa Melayu bertujuan untuk menguji kebolehan dan kematangan untuk mengemukakan pendapat, ulasan, hujah di samping bertujuan menguji kebolehan pelajar bertutur dalam pelbagai bidang. Format ujian lisan ini dikenali sebagai Perbualan Berdasarkan Satu Pernyataan, ini bermakna calon tidak lagi dikemukakan dengan bahan rangsangan untuk menjalani ujian lisan. Semasa Ujian Lisan dijalankan, calon akan dikemukakan dengan satu pernyataan dan calon dikehendaki

124

PROSIDING SETALING II

memberikan ulasan, pendapat, komen dan pandangan yang kritis berdasarkan pernyataan tersebut. Selain daripada pernyataan, beberapa soalan tambahan yang dibentuk oleh pemeriksa akan dikemukakan. Soalan-soalan tambahan yang menyusuli pernyataan adalah bersesuaian dengan konteks perbualan dan pernyataan atau jawapan yang telah dikemukakan lebih awal. Pemberian markah adalah berdasarkan ketepatan fakta, kecekapan berbahasa, kematangan menghuraikan hujah atau menganalisis pernyataan yang dikemukakan. Di sini timbul satu masalah yang kerapkali dihadapi oleh pelajar iaitu pelajar didapati sukar berhujah disebabkan pembacaan yang luas daripada pelbagai bahan bacaan yang bercorak akademik dan pengetahuan am adalah terbatas di kalangan pelajar. Tambahan pula, pelajar didapati agak sukar menunjukkan keyakinan terhadap hujah-hujah yang dikemukan, ada kalanya pelajar menggunakan bahasa daerah, bahasa pasar atau loghat semasa menjawab soalan. Hal ini berlaku kerana keengganan palajar memperbaik dan memajukan penguasaan bahasa Melayu menyebabkan masalah ini berkekalan. (b). Kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan Pengenalan Gurulah yang mewarnakan atau mencorakkan jenis insan atau rupa bangsa sesebuah masyarakat. Peranan guru Bahasa Melayu dewasa ini sangat penting dan mencabar.Bahasa Melayu telah berkembang maju sehingga berjaya merentasi pelbagai ilmu pengetahuan. Hal ini ada kebenarannya kerana hampir kesemua bidang atau disiplin ilmu boleh dibincangkan melalui perantaraan Bahasa Melayu, jadi, guru Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dan mencabar kerana pada bahu gurulah terletaknya tanggungjawab untuk menyemai dan membina masyarakat madani di negara kita ini2. Kriteria Guru Bahasa Seseorang guru bahasa wajib : i. Melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu bahasa

2 Pengajian Melayu 1, AB.Rahman AB.Rashid, hlm.1

125

PROSIDING SETALING II

ii. iii. iv.

Mengemaskinikan ilmu keguruan Mempunyai sikap yang positif dan mulia Memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Keupayaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara ini memang tidak dapat dinafikan. Dewan Bahasa dan Pustakan ( DBP) berperanan untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu berjaya menyediakan buku-buku teks dan buku-buku rujukan untuk kegunaan sekolah-sekolah di negara ini. Sebagai sebuah pusat pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang diamanatkan oleh kerajaan, ia berusaha mengkaji dan memperbetulkan kesalahan-kesalahan bahasa, istilah, ejaan dan seterusnya menyiarkannya di dalam akhbar ataupun majalah keluarannya. Pihak DBP juga mengeluarkan banyak buku panduan yang berhubung dengan tatabahasa dan penggunaan ejaan yang betul untuk memenuhi permintaan dan keperluan lapisan masyarakat yang berbeza. Bahasa Melayu kini menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan formal dari peringkat rendah hingga universiti, ini membuktikan keupayaan bahasa Melayu mendukung ilmiah serta mengembangkannya. Misalnya buku-buku tentang penyelarasan sistem ejaan (rumi dan jawi), pembentukan istilah dan sistem ejaan peristilahan pelbagai bidang serta buku-buku ilmiah pelbagai bidang juga dilaksanakan dan dihasilkan untuk membantu guru semasa mengajar Bahasa Melayu. Selain daripada sikap pelajar sendiri, kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan juga menyebabkan kelemahan penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu. Guru kurang kreatif dalam mengajar, misalnya guru hanya mengajar secara lisan sahaja berdasarkan sukatan pelajaran yang terbatas, cara penyampaian yang membosankan, tidak sanggup memikul tanggungjawab yang diberikan dan tidak dapat menjalankan tugas dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Peranan guru bukan sekadar sebagai pengajar atau cikgu malah sebagai “pendidik” yang bertanggungjawab membentuk muridnya untuk menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sebagai guru bahasa Melayu pula

126

PROSIDING SETALING II

boleh memainkan peranannya menerajui pelaksanaan dasar pendidikan bahasa yang berteraskan konsep Bahasa Melayu merentas kurikulum dengan cara mempelbagaikan rancangan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas supaya pencapaian dan kebolehan penguasaan bahasa pelajar dapat dipertingkat dari semasa ke semasa. d. Budaya membaca yang rendah Pada amnya sikap membaca di kalangan masyarakat negara ini tidak menggalakkan malah membimbangkan. Boleh dikatakan bahawa tahap pembacaan di kalangan pelajar masih rendah, khususnya terhadap bacaan dalam bahasa Melayu. Hal yang merungsingkan kini bukanlah semata-mata kurangnya minat membaca buku dalam bahasa Melayu tetapi yang nyata ialah kurangnya tabiat membaca di kalangan masyarakat yang dikatakan terpelajar. Kebanyakan pelajar yang membaca kerana peperiksaan, tabiat membaca tidak lagi diteruskan selepas tamat pengajian. Beberapa sebab utama budaya membaca yang rendah : i. belum wujud tradisi membaca di kalangan pelajar ii. media elektronik mengalih minat menyebabkan pelajar lebih gemar menonton daripada membaca iii. sikap ambil mudah terhadap pembacaan, pelajar tidak mahu membebankan fikiran dan menumpukan perhatian yang padu terhadap sesuatu yang dibaca iv. tidak ada galakan daripada ibu bapa dan guru v. sistem pendidikan yang mengongong dan bahan bacaan sukar difahami Kekurangan pengetahuan dan pelajaran tentang bahasa Melayu di kalangan pelajar disebabkan budaya membaca yang rendah. Oleh itu pelajar tidak mengetahui dan tidak memahami selok-belok bahasa Melayu yang betul. Di samping itu, sikap pelajar yang tidak mementingkan ketepatan bahasa dan tidak mengambil berat terhadap bahasa Melayu sehingga kesalahan yang dilakukan dalam pelajaran pun tidak dipedulikan padahal mereka sedar tentangnya.

127

PROSIDING SETALING II

e. Terpengaruh dengan dialek kedaerahan Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terpengaruh dengan dialek kedaerahan khususnya dialek Melayu Brunei. Kerapkali kita mendapati pelajar bertutur bahasa Melayu mencampur aduk kaedah sebutan dengan loghat ala Cina, Dialek Melayu Kedayan, Bahasa Tutong, Bahasa Belait, Bahasa Dusun, Bahasa Bisaya, Bahasa Murut, Bahasa Penan, Bahasa Mukah dan Bahasa Iban. Penggunaan loghat bahasa Melayu dan bahasa pasar serta bahasa kacukan harus dibendung di sekolah supaya kekacauan dan kekeliruan dalam penguasaan bahasa Melayu dan menyalahgunakan bahasa Melayu dapat dielakkan. Sekiranya masalah ini tidak dikawal dan dibendung daripada terus berleluasa, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, alat perpaduan serta bahasa ilmu pengetahuan pasti akan terjejas. Kesimpulan Memandangkan penguasaan bahasa Melayu agak lemah di kalangan di negara ini, maka usaha haruslah dibuat untuk mengatasinya. Walaupun bahasa rasmi negara kita ialah bahasa melayu, namun bahasa Inggeris merupakan bahasa utama antarabangsa amat penting untuk kemajuan negara kerana penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah. Rujukan Abd Rahman Abd Rashid, Abd Rahim Selamat,Yap Kim Fatt, (1997), Pengajian Melayu 1, Longman Malaysia Sdn. Bhd (4409-W), Kuala Lumpur. Azizah Saliman, (1998), Nota Peperiksaan SPM Bahasa Malaysia, Preston Corporation Sdn. Bhd. (7332-P), Kuala Lumpur. Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 1, (2000), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 2, (2000), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 3, (2001), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

128