Intergrasi ICT Dalam Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan: Isu dan cabaran.

Pengenalan Jurnal Intergrasi ICT Dalam Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ini telah diutarakan oleh beberapa orang ahli panel daripada Institut Aminuddin Baki. Menurut penulis, dalam dunia globalisasi masa kini kita tidak dapat menolak revolusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkembang pesat dalam semua bidang di dunia ini terutamanya dalam bidang pendidikan. Kita semua sedia maklum bahawa ICT merupakan satu sistem pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan dan komunikasi maklumat dalam semua bentuk. Oleh itu, ICT telah menjadi satu elemen yang sangat penting dalam sistem pendidikan kita pada masa kini. Tanpa ICT, pengurusan dan kepimpinan pendidikan dikatakan tidak lengkap dan efisien dalam pembangunan dan pemodenan pendidikan di negara kita.

Ulasan Jurnal Sebagai seorang pemimpin pendidikan mereka seharusnya berperanan sebagai fasilitator perubahan Intergrasi ICT dalam budaya sekolah. Mereka sememangnya mempunyai tugas dan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan Integrasi ICT dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Untuk mencapai matlamat tersebut, pemimpin perlulah mengadakan struktur organisasi yang menyokong perkembangan ICT dalam organisasi masing-masing agar pelaksanaan dan penggunaan ICT dapat berkembang sepenuhnya dalam semua bidang. Pemimpin juga perlulah memberikan bimbingan dan latihan yang terancang serta berfokus kepada setiap kakitangan agar

1

penggunaan ICT dalam organisasi dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan dalam meningkatkan hasil dan produktiviti yang telah ditetapkan. Selain itu, sebagai pemimpin mereka juga haruslah sentiasa membuat penilaian dan pemantauan secara berterusan agar keberkesanannya dapat dipertingkatkan dan sebarang kelemahan dapat diatasi dengan segera. Di samping itu, konsultansi dan penguatkuasaan juga perlu ada agar penyalahgunaan ICT dapat dibendung bagi mengelakkan sebarang kerugian kepada organisasi tersebut. Seseorang pemimpin itu juga haruslah mempunyai visi dan misi yang jelas untuk menentukan arah tuju bagi mencapai kejayaan yang cemerlang untuk sekolah. Pengurus organisasi juga perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aspek pengurusan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanannya dan mereka juga harus bertindak sebagai pemaklum yang sanggup memberi tumpuan kepada perkara-perkara semasa yang mempunyai kaitan dengan kakitangan dan organisasi. Penulis juga telah mengenal pasti aspek etika, sosial dan politik yang menjadi isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan ICT dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan ini. Dalam aspek etika , penulis melihat tentang penggunaan ICT secara beretika yang bersesuaian dengan nilai-nilai masyarakat kita. Tetapi juga wujud individu-individu yang menggunakan ICT ini secara tidak beretika seperti penyebaran maklumat palsu, penggunaan bahan-bahan lucah dan kegiatan mencuri maklumat penting pengguna ICT. Masalah salah laku seperti pencerobohan sistem maklumat, sabotaj, pengubahsuaian sistem sedia ada tanpa kebenaran dan sebagainya merupakan sebahagian daripada isu ini. Dalam konteks akauntabiliti pula, apabila sesuatu perubahan itu berjaya dilaksanakan maka banyak individu yang mengaku bertanggungjawab terhadap kejayaan tersebut tetapi apabila berlaku kegagalan perkara sebaliknya akan berlaku.

2

Dalam aspek sosial pula, penulis melihat kesan ICT terhadap aspek-aspek kemanusiaan seperti hubungan, nilai, kesihatan, persekitaran dan sebagainya. Dalam pelaksanaan ICT dalam pendidikan terdapat jurang digital yang luas antara sekolah di kawasan bandar dan sekolah di kawasan pedalaman akibat kekurangan kemudahan dan infrastruktur. Penggunaan alat-alat komunikasi yang canggih seperti telefon bimbit dan PDA oleh guru, pelajar dan komuniti akan menyebabkan mereka kurang mahir dalam interaksi interpersonal. Ini disebabkan penggunaan laras bahasa yang ringkas dalam SMS dan sebagainya tidak bersesuaian dengan adab dan budaya kita. Seterusnya ICT telah menyebabkan berlakunya anjakan kuasa yang boleh mengubah struktur kuasa dalam organisasi. Contohnya, kakitangan bawahan boleh berkomunikasi secara terus dengan pihak atasan tanpa melalui lapisan-lapisan di atasnya jika terdapat sesuatu perkara yang tidak memuaskan hatinya. ICT juga telah menyebabkan berlakunya pergantungan terhadap teknologi dan pengangguran. Akibat pergantungan tersebut sekiranya berlaku tiada bekalan elektrik, gangguan virus dan sebagainya sesuatu urusan atau tugas tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Penggunaan komputer dan robot untuk menggantikan tugas yang dilakukan oleh manusia telah menyebabkan berlakunya pengangguran. Masalah dalam aspek politik pula merujuk kepada undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan seperti cukai dan duti, perlindungan harta intelek dan sebagainya. Selain itu, dasar dan objektif ICT yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia juga menarik minat penulis dalam isu dan cabaran yang dihadapi. Kementerian telah menetapkan matlamat bahawa semua pelajar mestilah diberi peluang untuk mempelajari ICT, penggunaan

3

ICT untuk mempertingkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan serta menjadi sebahagian daripada kurikulum di sekolah.

Dapatan Kajian yang berbentuk kuantitif dan kualitatif ini sememangnya sesuai dan boleh diterima dan digunakan dalam pengurusan pendidikan di negara kita. Melalui kajian ini kita dapati bahawa terdapat kesan yang amat positif dalam pentadbiran dan pengurusan pendidikan di negara-negara barat. Integrasi ICT ini telah membantu pihak pengurusan sekolah dalam menjalankan tugas-tugas dalam aspek penyeliaan, pemantauan, penyeliaan guru-guru dan menilai tahap pencapaian murid. Selain itu, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran juga ternyata dapat memberikan peningkatan dan pencapaian akademik para pelajar. Dengan penggunaan ICT para guru dan murid dapat mencari maklumat dengan lebih cepat dan berkesan melalui internet, e-mail dan sebagainya. Di samping itu, kajian yang dibuat juga menunjukkan bahawa penggunaan ICT secara signifikannya telah membantu pemimpin sekolah dalam menjalankan tugas seharian di samping dapat menjalinkan kerjasama berpasukan dan mengeratkan hubungan komunikasi antara pihak pengurusan sekolah dengan guru-guru. Justeru, dapatan kajian ini sangatlah berguna dan boleh diterima di negara kita untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dan pengurusan pendidikan di negara ini. Bagi meningkatkan lagi keberkesanan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, saya mencadangkan supaya setiap sekolah dibekalkan dengan komputer yang secukupnya supaya setiap orang murid dapat menggunakan sebuah komputer semasa

4

menjalankan aktiviti pembelajaran. Pada masa sekarang 2-3 orang murid terpaksa berkongsi sebuah komputer untuk aktiviti pembelajaran menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Selain itu, perlu wujud kerjasama yang erat antara sektor swasta dan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan rangkaian internet tanpa memikirkan soal keuntungan dalam penyediaan rangkaian tersebut dalam sesuatu kawasan terutamanya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

Penutup Kesimpulannya, intergrasi ICT dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan sangat penting kerana ia dapat memberi impak yang besar kepada sesebuah organisasi seperti sekolah . Dengan adanya penggunaan ICT secara meluas dalam sesebuah organisasi sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan mudah, cepat dan berkesan. Oleh itu, setiap pemimpin terutamanya pengetua dan guru besar di sekolah haruslah menerima penggunaan ICT dalam organisasi mereka serta menggalakkan kakitangan meningkatkan kemahiran dalam ICT agar mereka dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan pencapaian para pelajar.

5

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful