UMNO REFORM 2

Menyokong pemerkasaan Bahasa Melayu
Contributed by Webmaster Tuesday, 10 June 2008

PENGUMUMAN yang dibuat oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersama Datuk Seri Dr. Rais yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negara untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu termasuk tulisan jawi, di Putrajaya pada 2 Mac 2006 (Utusan Malaysia 3 Mac 2006, muka hadapan), disokong penuh oleh persatuan Melayu, tiga buah negeri di utara. Menurut perutusan yang ditandatangani pemimpin utama tiga buah persataun itu Datuk Seri Haji Mohd. Yussof Latif, presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Encik Abd. Ghani Mehat, Yang Dipertua Persatuan Melayu Negeri Kedah (PEMIKAD) dan Encik Mohd. Zain Hamzah, Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), begitu bersyukur dan berharap apa yang dirancang itu benar-benar menjadi kenyataan. Rancangan tersebut hendaklah dilaksanakan mulai sekarang, tanpa melengah-lengahkan lagi kerana sebenarnya bahasa Melayu kini seperti berada di dalam perahu yang bocor, hampir tenggelam dan lemas, begitulah harapan dan kebimbangan mereka yang terdapat dalam perutusan yang dinamakan "Kertas Kesepakatan Bersama, Saranan dan Harapan Memperkasakan Bahasa Melayu". Kertas tersebut dikirimkan kepada kedua-dua menteri itu supaya dapat dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Memperkasakan Bahasa Kebangsaan (JIMBK). Perutusan itu juga dikirimkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan harapan akan mendapat perhatian dan kerjasama penuh daripada kerajaan Malaysia terhadap pengumuman itu. Sebelum ini, pada 20 November 2005, ketiga-tiga persatuan tersebut juga pernah mengirimkan perutusan yang dinamakan "Pernyataan dan Kesepakatan Bersama Memartabatkan Bahasa Melayu". Dalam kertas atau perutusan kali ini mengandungi "Saranan dan Harapan". Saranan utama yang dikemukakan di antaranya ialah Penggubalan Akta Penggunaan Bahasa Melayu. Kertas kesepakatan bersama itu berpendapat, kerajaan perlu menggubal Akta Penggunaan Bahasa Melayu yang lengkap untuk memperkasakan bahasa Melayu.. Perutusan itu mencadangkan agar akta-akta yang terdapat di negara ini seperti Akta Kerajaan Tempatan (1976), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (1974), Akta Pertubuhan (1966), Akta Pendaftaran Perniagaan (1956), Akta Cap Dagang dan Peraturan-peraturan Cap Dagang (1983), Akta Industri Pelancongan (1992) agar kerajaan memasukkan satu enakmen penggunaan bahasa Melayu dalam akta-akta tersebut. Apabila dimasukkan, akan menyeluruhlah penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Perutusan itu juga menegaskan papan tanda seluruh negara terutama di tempat-tempat umum, termasuk papan tanda di bangunan-bangunan perniagaan, kedai-kedai, kilang-kilang perusahaan, bank-bank, hotel, pasar raya sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu. Tulisan bahasa Melayu hendaklah di bahagian atas, ukuran tulisannya tiga perempat untuk bahasa Melayu, seperempat sahaja tulisan bahasa-bahasa lain. Tulisan bahasa Melayu itu hendaklah jelas dan terang. Perhubungan surat-surat, notis, pengumuman, siaran-siaran, sijil-sijil, surat-surat perjanjian, kontrak, dokumen insurans, termasuk penyata tahunan, setengah tahun atau suku tahun sesebuah syarikat, bank, korporat, kilang-kilang perusahaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu di samping bahasa lain jika perlu. Penggunaan bahasa Melayu yang lebih menyeluruh dan amat mustahak diharapkan juga terdapat di label-label barangan, ubat-ubatan, seluruh jenama yang dikeluarkan atau dipasarkan di negara ini hendaklah menggunakan bahasa Melayu. Suatu saranan yang begitu jelas, perutusan tersebut menegaskan bahawa Akta Pendidikan Negara tidak perlu dipinda bahkan diperkemaskan lagi kedudukan bahasa Melayu. Kami menyarakan agar penggunaan bahasa Inggeris untuk pelajaran Sains dan Matematik hendaklah digantikan kembali menggunakan bahasa Melayu, tegas perutusan itu. Alasan yang diberikan berdasarkan negara-negara maju seperti Jepun, Korea, China (di sebelah timur); negara-negara Jerman, Perancis, Itali, Rusia, Belanda, Sweden dan Denmark di Barat, menggunakan bahasa negara mereka sendiri. Jika kerajaan negara-negara tersebut berkeyakinan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa global itu, tentulah mereka terlebih dahulu dan telah lama menggunakan bahasa tersebut. Di samping itu sekian ramai cerdik-pandai, pakar, ahli-ahli bahasa dan ahli-ahli psikologi yang berwibawa di negaranegara tersebut tentu pernah memikirkan hal tersebut. Akan tetapi mereka tidak berbuat demikian. Ketiga-tiga persatuan ini berpendapat bahawa penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua mata pelajaran itu terdapat dua akibat yang akan berlaku kepada bangsa Melayu. Pertama, 75 peratus anak-anak Melayu yang tinggal di luar bandar akan gagal mengikuti pelajaran dalam bahasa Inggeris, cuma 25 peratus yang tinggal di bandar-bandar yang akan berjaya. Akan berlaku pertembungan atau berbezaan budaya antara anak-anak dengan keluarga di rumah kerana anak-anak tersebut tidak lagi menggunakan lambang atau kata-kata "campur", "tolak", "darab" dan "bahagi". Begitu juga anak-anak kita tidak lagi menghitung dengan menggunakan angka satu, dua, tiga, empat dan seterusnya. Mereka akan menghitung dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana begitulah yang mereka pelajari di sekolah. Berhubung dengan kempen penggunaan bahasa Melayu, sepertimana yang ditegaskan dalam pengumuman itu, perutusan itu mencadangkan supaya kempen itu menyeluruh terutama sekali di bandar-bandar kerana masyarakat di bandarlah, termasuk sektor-sektor swasta yang sering meminggirkan bahasa Melayu. Perutusan ini mencadangkan agar diadakan pertandingan bahas, syarahan, pertandingan menulis (mengarang), jika perlu diadakan pertandingan berbalas pantun sepertimana yang dilakukan dalam kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan dalam tahun-tahun 60an dahulu. Pertandingan-pertandingan tersebut sewajarnya melibatkan pihak swasta seperti kilang-kilang perusahaan, bank-bank, pasaraya, jabatan-jabatan kerajaan selain penuntut-penuntut sekolah dan institusi pengajian tinggi, para belia, JKKK, para imam di kampung-kampung, PIBG, Rukun Tetangga dan sebagainya.
http://umno-reform2.com/front Powered by Joomla! Generated: 25 October, 2011, 20:15

UMNO REFORM 2

Kami menyarankan, menurut perutusan itu, semua akhbar di Malaysia turut bersama menjalankan kempen memperkasakan bahasa Melayu atau bahasa Kebangsaan. Akhbar berbahasa Cina dan Tamil patutlah menyediakan halaman bahasa Melayu sepertimana akhbar di Sabah dan Sarawak menyediakan halaman bahasa peribumi di sana. Perutusan itu juga menyentuh Dasar Buku Negara untuk memperkaya dan membina bahan-bahan pembacaan dan ilmu dalam bahasa Melayu. Dewan bahasa dan Pustaka mestilah gembelingkan usaha untuk menerbitkan buku-buku keperluan umum dan institusi-institusi pendidikan tinggi. Usaha penterjemahan sekian banyak ilmu dari negara-negara maju hendaklah dilakukan sebaik mungkin dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara. Jika kerajaan Jepun menyediakan dana sebanyak 400 juta dolar Amerika setahun untuk memasukkan (menterjemahkan) ilmu dan maklumat ke dalam bahasa Jepun, mengapa kita tidak boleh? Kalau tidak dipecahkan ruyung di manakah dapat sagunya! Tegas perutusan itu. Di negara Thailand, usaha memperbanyakkan buku-buku akademik, pihak pemerintah mewajibkan setiap graduan yang ingin mendapat lulusan Sarjana, Doktor dan Profesor hendaklah menyiapkan sebuah buku akademik untuk institusi pengajian tinggi. Perutusan itu mengharapkan agar usaha begitu juga dilakukan di negara ini. Kerjasama majlis Bahasa Brunai-Indonesia-Malausia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) perlu diperkukuhkan untuk memperkaya penerbitan buku negara-negara serumpun, sebangsa dan sebudaya ini. Suatu aspek lagi yang ditekankan dalam perutusan adalah matlamat menghidupkan tulisan jawi. Kami berpendapat, menurut perutusan tersebut, usaha menghidupkan kembali tulisan jawi di negara kita memang sudah tiba masanya, setelah tulisan ini hampir berkubur. Ketiga-tiga persatuan menyarankan, untuk memperkasakan kembali tulisan ini, mata pelajaran tersebut hendaklah menjadi satu mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah rendah, menengah dan universiti. Jika bangsa Cina dan India mempunyai tulisan masing-masing di negara kita ini dan dijadikan pelajaran wajib diajar di sekolah-sekolah, mengapa tulisan jawi yang menjadi tulisan identiti negara tidak dapat dijadikan pelajaran wajib? Apabila dijadikan pelajaran wajib barulah para guru dan pelajar akan mempelajari tulisan ini secara bersungguh-sungguh. Usaha untuk menerbitkan semula Utusan Melayu dalam tulisan jawi merupakan suatu usaha yang baik dan patut dihargai, menurut perutusan tersebut. Tegasnya, akhbar inilah yang menjiwai bangsa Melayu suatu ketika dahulu. Melalui akhbar Utusan Melayulah tersemai semangat menuntut kemerdekaan negara. Kempen penggunaan tulisan jawi hendaklah dilancarkan. Kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan berperanan besar mengguna tulisan jawi. Ketika pegawai kerajaan diwajibkan mengambil peperiksaan untuk kenaikan pangkat misalnya, salah satu soalan hendaklah diwajibkan menjawab dalam tulisan jawi. Tulisan jawi hendaklah diguna-pakai di papan-papan tanda nama jalan, Begitu juga di papan tanda nama kedai, kilangkilang perusahaan, pasar raya hendaklah digalakkan menulis jawi di samping tulisan rumi. Di lapangan-lapangan kapal terbang, stesen kereta api, terutama di pintu-pintu masuk ke negara ini sepatutnya terdapat tulisan jawi. Dengan itu para pelancong mudah mengenali identiti negara ini. Meskipun tulisan jawi berasal daripada tulisan Arab (tulisan-tulisan bangsa lain pun saling pengaruh-mempengaruhi), akan tetapi bangsa Arab tidak dapat memahami tulisan jawi kerana kita menggunakan sistem ejaan kita sendiri. Inilah jati diri kita! Perutusan ini membuat kesimpulan bahawa saranan tersebut merupakan saranan yang jujur dan ikhlas demi pembangunan budaya bangsa Malaysia agar mempunyai jati diri, identiti dan maruah di negara merdeka sejajar dengan negara-negara maju dan membangun di seluruh dunia. Segala program dan perancangan untuk memperkasakan bahasa Melayu dan tulisan jawi dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan sepertimana yang diumumkan itu. Program ini juga diharap akan mendapat sokongan dan kerjasama daripada pemimpin negara termasuk seluruh kementerian sama-sama memperkasakan bahasa Melayu dan tulisan jawi. Kedua-dua aspek tersebut akan memperkukuhkan budaya kita dan menanamkan semangat jati diri sepertimana negaranegara maju memperkukuhkan jati diri melalui bahasa ibunda masing-masing. Kami sedar, menurut perutusan itu, pelaksanaan memperkasakan bahasa Melayu kini memanglah berat. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Akan tetapi apabila mendapat kerjasama daripada semua pihak, sesuatu yang berat itu akan menjadi ringan. Anggaplah program ini sebagai tanggungjawab yang diamanahkan rakyat. Seberat mana sekali pun 'pikulan' itu sewajarnya dipikulkan seimbang dengan perjuangan dan harapan rakyat.

Rejab Ismail, Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS).

http://umno-reform2.com/front

Powered by Joomla!

Generated: 25 October, 2011, 20:15