MOTIVASI BELAJAR SISWA

Kemahiran Belajar: Apa, Mengapa Dan Bagaimana Perlu Disampaikan?
Ulasan Semula Bahan Oleh: Mohd Ariffin Bin Aman, Ketua Jabatan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, PMM RINGKASAN EKSEKUTIF Kini terdapat keperluan tinggi terhadap keperluan menyebarluaskan Kemahiran Belajar (KB) bagi menghasilkan keberkesanan pengajaran-pembelajaran (P&P) di kalangan pensyarah dan siswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Perkara ini telah ditekankan sejak lama dahulu oleh Hj Alimuddin Bin Mohd. Dom, Ketua Nazir Sekolah (2006) dalam bahan pembentangan tentang keperluan KB di kalangan pelajar sekolah. Pembentangan tersebut menjadi paksi ulasan ini kerana amat sesuai dijadikan sebagai maklumat perkongsian profesional yang disesuaikan dengan situasi pensyarah dan siswa IPT, memandangkan terdapat peresamaan pelbagai aspek dalam core business masimg-masing iaitu pengendalian P & P, impak fenomena dunia pendidikan masakini dan hasrat meningkatkan keberkesanan P&P, kualiti siswa dan kecemerlangan institusi. Pensyarah dan siswa IPT perlu mengetahui kepentingan tentang apa, mengapa dan bagaimana KB perlu disampaikan semasa pengajaran manakala pelajar pula perlu mengaplikasikannya semasa pembelajaran kendiri. Ini perlu kerana bukan semua pensyarah di IPT yang menganggap bahawa KB sebagai komponen penting dalam pengajaran. Begitu juga, tidak semua siswa di IPT pula yang telah terdedah atau mahir dengan KB semasa dibangku sekolah. Tambahan pula sesi penilaian P & P pensyarah oleh siswa, dan pemantauan P & P oleh institusi menunjukkan simptom pensyarah dan siswa tidak memiliki KB yang tinggi dan terdapat keadaan tidak seimbang bagi keduadua belah pihak. Tiga skop KB yang utama yang akan diulas iaitu Kemahiran Pengurusan Kendiri; Kemahiran Mendengar, Menyertai (Participating) dan Mencatat Nota dan Kemahiran Membaca. Pengulas juga berkeyakinan, jika semua skop tersebut dijadikan inisiatif berterusan secara istiqamah oleh semua pensyarah dan siswa IPT, maka tidak mustahil ianya boleh melonjakkan peningkatkan keberkesanan P & P, kualiti siswa dan kecemerlangan institusi. Ini kerana pensyarah akan lebih mudah dan selesa menyampaikan pengajaran sekiranya semua siswa telah bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan dalam pembelajaran kendiri.

PENGENALAN Fenomena dunia pendidikan masakini menuntut bahawa bukan sahaja golongan pensyarah perlu menyampaikan ilmu dengan berkesan, tetapi juga siswa perlu terlibat secara aktif bagi melengkapkan keberkesanan proses P&P. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Gall, M.D. and Gall (1990), “Untill recently, most people placed their illnesses entirely in the hand of doctors. The patient was viewed as a passive participant in the healing process. Today many people see that they play an active role in keeping themselves healthy. Norman Cousins best-seller, ‘Anatomy of an Illness” have demonstrated that patients can do much to heal themselves…. A similar principle applies to the learning process. Traditionally, the teacher has been regarded as the most important element of instruction. But the teacher cannot learn for the student Learning occurs inside the student’s head, not the teacher’s. The student must use appropriate skill for learning study skills or learning will not occur”. Hj Alimudin (2006) pula menyatakan pengalaman beliau semasa pemantauan dan

pemeriksaan terhadap guru-guru di bilik-bilik darjah bukan sahaja menilai aspek pengajaran tetapi juga memerhatikan pembelajaran pelajar semasa guru mengajar. Kerap kali berlaku keadaan berat sebelah di mana guru-guru melaksanakan pengajaran mereka dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat tetapi dalam masa yang sama pembelajaran pelajar adalah sebaliknya. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan guru-pelajar tidak memiliki kemahiran belajar yang tinggi serta seimbang dengan pengajaran guru. OBJEKTIF Selepas membaca bahan ulasan ini pensyarah dan siswa dapat : 2.1 2.1 Menyebarluaskan kemahiran belajar semasa proses pengajaran secara berterusan Menguasai dan mengaplikasikan kemahiran belajar ketika menjalani pembelajaran kendiri 2.3 Meningkatkan keberkesanan P & P, kualiti siswa dan kecemerlangan institusi yang menekankan skop kemahiran belajar

KEMAHIRAN PENGURUSAN KENDIRI Pengurusan kendiri atau self-management dirujuk kepada salah satu skop kemahiran belajar bagi seseorang siswa iaitu menjalankan aktiviti monitor, reward dan direct dalam tingkah laku belajar dan membolehkan mereka menjadi siswa yang bebas untuk belajar dan tidak bergantung kepada arahan orang lain. Untuk memberi panduan tentang perkara ini kepada semua siswa, pensyarah perlu memahami keperluan dalaman dan luaran sesebuah institusi supaya boleh membantu untuk mengimbanginya.

MEMAHAMI KEPERLUAN DALAMAN INSTITUSI Antara aspek memahami keperluan dalaman institusi yang perlu diambilkira oleh pensyarah dalam adalah : i) Aktiviti Siswa Yang Terbatas Semasa berada di institusi, siswa akan dikawal samada oleh pensyarah atau garispanduan institusi yang ditetapkan. Sewaktu kuliah berlangsung, sedikit sebanyak percakapan, pendengaran, pergerakan serta perbuatan siswa adalah dalam kawalan pensyarah. Siswa perlu meminta kebenaran pensyarah untuk melakukan sesuatu dan sekiranya engkar mereka akan dikenakan hukuman yang sewajarnya. Oleh itu, pergerakan siswa adalah terbatas mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak institusi. ii) Kekangan Masa Para siswa menghadiri sesi kuliah 5 hari seminggu dan 80 hari dalam satu semester pengajian (16 minggu). Mereka sentiasa terikat dengan masa kuliah, menyiapkan tugasan, membuat kerja kursus dan menyertai aktiviti kokurikulum akademik atau bukan akademik yang ditetapkan oleh institusi. iii) Cara Belajar Bebas Semasa di bangku sekolah siswa banyak bergantung kepada guru untuk belajar tetapi apabila berada di IPT, cara belajar siswa adalah bebas dan ditentukan oleh siswa sendiri.

iv) Persaingan dan Penilaian Pembelajaran meletakkan siswa dalam situasi persaingan antara mereka dan siswa digalakkan berlumba-lumba mencapai kedudukan terbaik dalam penilaian termasuk aktiviti-aktiviti kerja kursus yang lain. v) Batasan Interaksi Sosial Interaksi sosial siswa di institusi adalah sangat kompleks. Pola perlakuan kerap berubah-ubah di mana ada ketika berlaku persaingan, ingin berkawan atau membentuk kumpulan. Kadang kala suasana di bilik kuliah boleh mengganggu siswa kerana interaksi sosial ini merupakan sesuatu yang penting kepada siswa manakala ianya tidak pula begitu penting oleh pensyarah serta tidak diberi perhatian yang serius.

MEMAHAMI KEPERLUAN LUARAN INSTITUSI Sementara itu, aspek memahami keperluan luaran institusi iaitu tugas rutin harian siswa di kamsis atau di rumah sewa adalah berlainan, iaitu: i) Rutin Harian Di Kamsis atau Rumah Sewa Siswa perlu menguruskan sendiri kerja rutin di kamsis atau rumah sewa seperti menyediakan keperluan asas untuk makan, pakaian, persediaan kerja kursus atau tugasan atau kebersihan diri dan kawasan kediaman. Jika siswa tidak terlibat dengan memasak sekalipun mereka perlu keluar untuk menguruskannya serta lain-lain urusan yang berkaitan. ii) Masalah Peribadi Siswa juga tidak terlepas daripada situasi permasalahan peribadi masing-masing iaitu isu keluarga yang berlaku di rumah atau kampung seperti masalah perpisahan keluarga, perceraian ibubapa, kesihatan diri dan keluarga, masalah perhubungan adik beradik, hal-hal kecemasan, keluarga hilang punca pendapatan, ibubapa kehilangan tempat bergantung, putus cinta, terpengaruh dengan rakan dalam atau luar, putus asa, terbawa-bawa sikap negatif di bangku sekolah, kesukaran belajar, terlalu rendah diri dan lain-lain masalah yang akan mempengaruhi jiwa raga, perasaan dan tingkah laku siswa untuk meneruskan pembelajaran.

iii) Bekerja Terdapat juga situasi seseorang siswa yang terpaksa berkerja untuk menampung kos

pembelajaran sendiri samada secara sukarela, terpaksa atau pengaruh rakan lain. Suasana ini sudah tentu akan menjejaskan prestasi pembelajaran siswa. iv) Hiburan Masa pembelajaran siswa juga boleh terganggu akibat kelalaian sendiri kerana terlalu leka menonton televisyen, leka dengan permainan video, kumpulan bermotosikal, muzik, filem dan pergaulan dengan rakan siswa lain atau rakan di kalangan masyarakat sekitar rumah sewa atau kampung.

PENASIHATAN TEKNIK KEMAHIRAN PENGURUSAN KENDIRI Bagi kedua-dua situasi dalaman dan luaran institusi di atas, siswa didapati tercabar dan kadang kala terjadi dilema, konflik atau kekeliruan memilih keadaan mana yang sepatutnya diikuti dalam sesuatu permasalahan. Oleh yang demikian adalah menjadi tugas pensyarah atau kaunselor menghulurkan bantuan penasihatan atau bimbingan siswa supaya dapat membuat pilihan yang sesuai agar dapat meneruskan pembelajaran dengan baik. Untuk meningkatkan keupayaan siswa menghadapi pembelajaran dengan berkesan, pensyarah perlu berupaya memberikan panduan (tips) penasihatan berguna kepada siswa dalam menguasai kemahiran belajar. Dalam keadaan ini antara penasihatan teknik kemahiran belajar dari skop pengurusan kendiri yang perlu diketengahkan kepada siswa adalah : i) Menguruskan Peralatan Belajar Antara panduan penasihatan siswa yang boleh diberikan oleh pensyarah ialah kaedah menyusun bahan pembelajaran seperti alat tulis, bahan edaran, nota, assignment dan sebagainya. Bahan-bahan ini perlu disimpan sebaik mungkin dan mestilah boleh dikesan semula dengan segera apabila tiba keperluannya. Oleh itu, pensyarah perlu mengajar siswa kaedah yang baik dan betul untuk menyediakan fail, folder dan tempat simpanan secara sistematik.

ii) Pengurusan Masa Pengurusan masa sangat penting kepada seseorang siswa. Masa maksima 24 jam sehari perlu boleh dibahagikan dengan baik mengikut objek aktiviti harian yang perlu dijangkakan melalui penyusunan jadual peribadi masing-masing supaya mampu mambahagi masa dengan baik untuk menyiapkan tugasan, mengulang kaji, membuat rujukan, berbincang, menghadiri kelas tambahan dan lain-lain tanggungjawab belajar. Di samping itu, mereka perlu memasukkan juga masa berkawan, bersukan, berehat dan sebagainya. iii) Pilihan Kerjaya Masa Depan Siswa perlu jelas tentang masa depan mereka termasuk kerjaya yang akan diceburi daripada program yang diikuti. Mereka perlu bertanya pensyarah atau pegawai kerjaya tentang peluang kerjaya bagi bidang yang diikuti, pengalaman dan pengetahuan pensyarah atau maklumat kerjaya yang sediada. Sekiranya siswa telah jelas dan tahu hala tuju masa depan mereka, sudah tentu mereka akan berusaha mencapainya melalui usaha-usaha di bilik kuliah atau di mana sahaja. iv) Menepati Masa Siswa perlu sering diingatkan tentang peri pentingnya sikap menepati masa. Mereka perlu berada lebih awal ke institusi dan hadir sebelum bermula kuliah atau aktiviti. Mereka juga dikehendaki menyiapkan tugasan, kerja kursus mengikut date line yang diberikan dan membuat persediaan awal sebelum menghadapi kuiz, ujian dan peperiksaan. Menepati masa boleh membina imej positif siswa dan menerapkan sahsiah diri unggul dan merupakan persediaan utama sebelum menceburi kerjaya. v) Menguruskan Tekanan Menguruskankan tekanan atau stress perlu diajar kepada pelajar. Mereka hendaklah di latih supaya sentiasa berfikiran terbuka dan mengawal emosi. Maklumat pemakanan asas seimbang perlu didedahkan kerana fizikal diri yang sedang membesar. Sementara itu tidur perlulah cukup dan istiqamah melakukan riadah bagi menjadikan diri sihat, ceria dan sentiasa bertenaga.

vi) Menggalakkan Perbincangan Pensyarah perlu menjadikan dirinya sebagai tempat rujukan siswa bagi mendapatkan maklumat. Siswa perlu digalakkan berbincang dan mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan belajar. Siswa perlu diberi ruang dan peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembelajaran dan pensyarah perlu bertindak sebagai fasilitator.

KEMAHIRAN MENDENGAR, MENYERTAI DAN MENCATAT NOTA i) KEMAHIRAN MENDENGAR Seseorang akan menggunakan lebih banyak masa mendengar daripada rnembaca, bertutur dan menulis. Pendengar yang berkesan melibatkan tindakan yang lebih daripada mendengar percakapan sahaja. Ianya perlu melibatkan pemprosesan maklumat secara aktif termasuk menghayati, memahami dan menilai apa yang diperkatakan. Jika semuanya dapat dilakukan siswa akan mudah bertutur iaitu salah satu kaedah penting dalam pengajaran pensyarah. Oleh itu, siswa perlu didedahkan dengan kemahiran mendengar selengkapnya supaya dapat bertutur dengan baik. Perlu diingat, walaupun seseorang siswa boleh mendengar dengan baik tetapi mereka masih akan mudah lupa. Ini kerana mengikut kajian, siswa akan melupai 50% maklumat selepas 55 minit dan kehilangan 83% selepas seminggu atau hanya 17% maklumat yang tinggal dalam ingatan selepas seminggu. Untuk mengatasi masalah tersebut, siswa perlu sentiasa bersedia membuat catatan nota atau mengambil nota tantang apa sahaja maklumat yang diterima. Kaedah mencatat nota yang baik membolehkan siswa mengingati fakta atau maklumat dalam jangka masa yang lebih panjang. Kemahiran mendengar yang baik mesti didahului dengan sikap yang baik dan positif. Siswa mesti mempunyai sikap positif terhadap pengajaran pensyarah seperti datang lebih awal ke kelas, mencari tempat duduk yang strategik, membuat persediaan awal dengan lebih dahulu membaca perkara berkaitan topik dan isi kandungan dan menyediakan alat tulis serta buku nota untuk mencatat.

ii) KEMAHIRAN MENYERTAI Kemahiran menyertai atau mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mempunyai kaitan rapat dengan usaha membina sahsiah diri yang berani dan ingin mencuba sesuatu. Ini menjadikan mereka tidak gentar, tidak takut atau tidak segan-silu bertanya, memberi pendapat atau pandangan mengenai sesuatu perkara, walaupun bertentangan dengan pandangan siswa yang lain. Siswa yang aktif akan membebaskan perlakuannya dari konkongan, sentiasa ingin tahu, ingin mencuba dan tidak takut kegagalan. lnilah sahsiah diri siswa yang ingin dibangunkan sesuai dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara maju. Kemahiran menyertai yang menggalakkan siswa bertanya dan menjawab soalan pensyarah akan membolehkan mereka memeriksa dan menilai sejauh mana kefahaman mereka bagi isi pengajaran yang diajar. Hal ini juga berkaitan dengan persediaan menghadapi ujian atau peperiksaan yang akan dihadapi. Walau bagaimanapun, ramai siswa tidak mengambil peluang ini dan berterusan merasa segan silu atau takut semasa pengajaran berlangsung. Di sinilah pentingnya peranan pensyarah untuk sentiasa memastikan siswa memiliki kemahiran menyertai dalam setiap kuliahnya. iii) KEMAHIRAN MENCATAT NOTA Dalam menerapkan kemahiran mencatat nota, pensyarah hendaklah sentiasa memastikan siswa tidak mencatat nota terhadap setiap perkara atau perkataan yang diperkatakan (word by word). Yang penting, dalam masa yang pantas, mereka perlu menilai samada maklumat itu

merupakan fakta kunci yang akan diperlukan pada masa hadapan. Dalam hal ini, siswa mestilah boleh membezakan maklumat penting dan tidak penting. Mereka juga mestilah menentukan sama ada sesuatu maklumat itu sememangnya telah diketahui atau sesuatu maklumat baru. Pensyarah mesti menggalakkan siswa mencatat nota dalam sesi perbincangan formal dan dalam masa yang sama menjadikan kebiasaan kepada mereka untuk menyoal dan memberi pendapat. Sejak peringkat awal kuliah lagi, pensyarah perlu menggalakkan siswa menggunakan teknik mencatat nota iaitu dengan memberikan tanda isyarat atau clues yang menunjukkan siswa

perlu mencatat nota melalui tindakan mengeraskan atau meninggi suara dari biasa atau mengulang semula percakapannya. Elakkan siswa mencatat nota terlalu panjang dengan menggalakkan siswa menggunakan singkatan perkataan sendiri, bentuk simbol, grafik atau peta minda (mind mapping). Bagi mengelakkan terlalu banyak simbol yang mengelirukan, adalah dicadangkan siswa menulis kata kunci atau glossary singkatan perkataan di bahagian depan nota supaya mudah mengingati makna simbol-simbol tersebut. Pensyarah perlu menggalakkan siswa menggunakan pen dan tidak menggunakan pensel dalam menulis nota. Ini untuk memastikan nota tersebut kekal dalam jangkamasa panjang. Pensyarah perlu mengingatkan siswa bahawa kebiasaannya pada waktu terakhir pensyarah mengajar adalah masa yang penting dalam sesuatu pengajaran dan perlu diberikan perhatian yang serius. Ini disebabkan pensyarah akan membuat kesimpulan, rumusan atau menyenaraikan kembali isi pengajarannya daripada awal hinggalah ke hujung pengajarannya. Inilah masanya siswa perlu memberikan tumpuan dan catatkan fakta yang rumusan pensyarah itu. Bagi tujuan kemudahan memfail atau menyimpan nota (walaupun tidak begitu penting) tetapi siswa perlu diingatkan supaya menulis nama modul, tarikh, masa dan nama pensyarah pada bahagian atas nota. Ini akan memudahkan siswa ketika mengimbas kembali nota semasa ulangkaji walaupun telah sekian lama dicatat dan dalam masa yang sama mendidik siswa supaya kerja-kerja mereka sentiasa kemas, mudah diurus dan bersistem. Pensyarah perlu menekankan bahawa nota yang baik ialah menulis di sebelah muka (atau separuh ruang dibiarkan kosong pada muka surat sama mengikut cara masing-masing), yang sebelah lagi dikosongkan kerana ruang tersebut memudahkan siswa membuat catatan baru semasa meruju, bincangan, menambah fakta semasa mengulangkaji. Teknik ini adalah berkonsepkan Cornell Method. Kaedah Cornell ialah mencatat nota atas kertas bersaiz A4 atau A5, di mana kertas dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu bahagian kanan untuk catat nota sementara sebelah kiri dibiar kosong bertujuan membuat catatan nota tambahan semasa ulangkaji pada waktu yang lain. Kaedah ini didapati sangat berkesan dan baik jika siswa mempunyai pencapaian sederhana kerana berpeluang mencatat fakta tambahan atau mengulangi cacatan fakta atau membuat ringkasan nota pada ruang tersebut pada bila-bila masa semasa mengulangkaji.

Kemahiran mendengar, menyertai dan mencatat nota perlu disampaikan secara terancang dan perlu sentiasa ditekankan dalam program perkembangan staf atau sewaktu aktiviti kokurikulum untuk dijadikan kemahiran merentasi kurikulum. Pensyarah dan kaunselor perlu dilatih dan digalakkan menguasai kemahiran tersebut dalam tugas harian supaya menjadi sebahagian dari budaya kerja harian.

KEMAHIRAN MEMBACA Tujuan utama pensyarah menekankan kemahiran membaca kepada siswa sejak dari peringkat prasekolah lagi ialah untuk membolehkan mereka membaca dengan baik. Kemahiran membaca melibatkan proses decoding iaitu membolehkan siswa menggunakan pelbagai teknik bacaan seperti membaca kuat, membaca senyap, bertulis berpandukan teks yang dibaca. Dalam kemahiran membaca, kemahiran-kemahiran lain turut terlibat sama sekiranya dilaksanakan dengan baik seperti kemahiran menyertai, bertutur, mendengar, mencatat nota dan kemahiran pengurusan kendiri. Bagi pensyarah berpengalaman, mereka akan memberikan perhatian khusus kepada kemahiran membaca dan memastikan siswa menguasainya kerana ia akan memberi kesan kepada pembelajaran siswa pada masa akan datang. i) Memahami Isi Kandungan Kemahiran membaca agak kompleks kerana turut melibatkan kemahiran pemahaman (comprehension) atau memahami apa yang dibaca secara menyeluruh. Persoalan yang selalu ditanya ialah bagaimana siswa boleh mendapatkan ilmu dan pengetahuan daripada pembacaan dan bagaimanakah ianya dicerakinkan atau bagaimanakah menyenaraikan pemahaman apa yang telah dibacanya dengan fakta-fakta pengajaran pensyarah. ii) Struktur Buku Teks Sesungguhnya setiap buku teks memiliki kelainan tersendiri dari aspek isi kandungan, tajuk, struktur penulisan dan gaya penulisan. Sebagai contoh, buku Bahasa Melayu tidak sama dengan Buku Matematik, Buku Sejarah dan Buku Fizik atau buku-buku subjek yang lain. Semua buku ini mencabar minda dan keupayaan siswa untuk memahami isi kandungannya. menjawab soalan dan menyiapkan latihan

iii) Memahami Fakta Pensyarah perlu menyedari bahawa apa yang dibaca oleh siswa dari sehari ke sehari adalah semakin sukar dan mencabar. Misalnya, siswa pada peringkat sekolah perlu memahami fakta asas sahaja seperti nama, tarikh, tempat, peristiwa dan angka. Di peringkat IPT pula keadaan berubah kerana mereka perlu meningkatkan pemahaman kepada fakta saintifik. Secara lebih mendalam. siswa perlu mengetahui apakah maksud tersurat atau tersirat, memberi pendapat sesuatu isu atau membuat kesimpulan hasil pembacaan. Dengan kata lain, siswa perlu mengetahui pelbagai perkara, mengingat dan menguasai fakta dan menulis kembali fakta berpandukan soalan. Oleh itu, siswa perlu sentiasa digalakkan membuat rujukan di perpustakaan, Internet, media akhbar, majalah dan dokumen-dokumen. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pensyarah kerap mengingatkan dan menyatakan kepentingan menguasai kemahiran-kemahiran mendapatkan maklumat baru itu kepada semua siswa. Adalah tidak memadai jika pensyarah menekankan kemahiran mernbaca dengan hanya melalui situasi ”how to read” sahaja, tetapi tidak ”how to read to learn”. Misalnya, semasa siswa perlu membaca buku dari muka surat 122 hingga 156, pensyarah hanya berpuashati jika berjaya menerangkan ayat terakhir di muka surat 156 itu. Apa yang sepatutnya berlaku ialah, pensyarah perlu melaksanakan pengajaran yang lebih daripada itu iaitu termasuk melatih siswa mendapatkan fakta penting, memahami dan mengingati semua fakta tersebut. Oleh itu, jika menyatakan kemahiran membaca ini, pensyarah hendaklah memulakan dengan melihat dahulu struktur penulisan buku seperti isi kandungan, prakata, tajuk, tajuk kecil, rujukan dan indeks. Pada kebiasaannya kebanyakan buku-buku rujukan telahpun ada struktur standard ini.

PENASIHATAN TEKNIK MENGINGAT FAKTA Terdapat pelbagai kaedah yang digunapakai untuk seseorang siswa untuk mengingat dan menguasai fakta semasa pembelajaran siswa adalah : i) Menggariskan fakta penting Kaedah ini dilakukan dengan menggariskan atau membuat highlight kepada isi-isi penting. Dalam kaedah ini, siswa perlu berhati-hati kerana mereka perlu pastikan hanya yang

digariskan itu fakta yang penting sahaja, bagi mengelakkan siswa terlibat menggariskan keseluruhan perkataan dalam mukasurat dan tidak lagi boleh membezakan isi-isi penting. ii) Summarizing a reading passage (Membuat Kesimpulan) Kaedah ini biasanya digunakan oleh siswa yang melibatkan proses kognitif melalui tiga proses iaitu : a) menentukan maklumat penting dalam teks b) mengenal pasti konsep umum yang bertahap tinggi dan tahap rendah dan c) menulis kesimpulan. iii) Monitoring comprehensive while reading (Memantau Fakta Semasa Membaca) Kaedah ini melibatkan bagaimana minda bekerja semasa membaca atau dikenali sebagai ”metacognition”. lanya melibatkan dua kemahiran iaitu kebolehan mengenal pasti fakta semasa membaca dan keduanya kebolehan memilih fakta menggunakan strategi membetulkan kesilapan. Pembaca yang baik biasanya memahami bahan yang dibaca. Sekiranya ia gagal mendapat fakta yang diperlukan maka mindanya akan bekerja untuk mencari kesilapan dan kesukaran di dalam teks serta berusaha untuk mencari jawapannya. Teknik menyoal daripada tajuk topik akan dapat membantu siswa menguasai kemahiran ini. Kebanyakan buku telah menyediakan soalan-soalan pada bahagian akhir sesuatu topik. Namun siswa masih boleh menyediakan soalan sendiri secara dalaman minda ketika sedang membaca. iv) Membaca Cepat Siswa juga perlu dilatih kaedah membaca cepat kerana dijangkakan siswa cemerlang akan membaca lebih banyak bahan dibandingkan dengan siswa sederhana pencapaiannya. Purata pembacaan siswa sepatutnya di antara 130 hingga 250 perkataan seminit. Sudah pasti jika ada siswa yang boleh membaca lebih daripada 500 patah perkataan seminit ianya adalah lebih baik.

v) SQ3R Reading Strategy Memperkenalkan kaedah ini kepada siswa adalah satu langkah bijak. Kaedah ini melibatkan lima langkah iaitu; a) Survey (tajuk topik) b) Ask Question (menjadikan tajuk topik sebagai soalan), c)Read (membaca untuk menjawab soalan), d) Recite (menyediakan nota ringkas) dan e) Review (membaca semula nota, sediakan soalan sendiri dan menjawabnya). vi) Reciprocal Teaching Reading Strateg Kaedah ini juga boleh diperkenalkan kepada siswa dengan melaksanakan empat aktiviti iaitu : a)_ menghasilkan soalan sendiri tentang isi topik berkenaan b) membuat kesimpulan daripada pembacaan c) menerangkan maklumat daripada topik dan d) menjangkakan apakah soalan lain yang boleh ditanya hasil daripada maklumat yang telah dibaca. Siswa digalakkan menyediakan soalan-soalan tersebut daripada setiap pembacaan sama ada topik pendek atau panjang dan membiasakan diri (berulang-ulang dan latih-tubi) untuk menjawab semula soalan-soalan tersebut.

PENUTUP Kemahiran belajar yang digariskan perlu disebarluaskan kepada siswa melalui program dan aktiviti yang melibatkan semua pensyarah. Ramai pensyarah dalam institusi juga telah

mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Adalah dijangkakan, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya semua pensyarah dapat menyampaikan ilmu ”Kemahiran Belajar” dan siswa pula dapat mengaplikasikannya ketika menjalankan pembelajaran kendiri. Menguasai kemahiran belajar akan menjadikan P & P lebih menarik dan merangsang siswa mengejar ilmu pengetahuan semaksimum mungkin. Ini akan menjadikan hasrat institusi sebagai pusat kecemerlangan yang menyediakan pendidikan berkualiti dapat dicapai dengan jayanya.

RUJUKAN Hj Alimuddin M. Dom, Ketua Nazir Sekolah; Kemahiran Belajar: Mengapa Dan Bagaimana Kemahiran Belajar Perlu Disampaikan Kepada Pelajar Sekolah, 2006. Dunn, R. And K. Dunn, Teaching Students Through Their Individual Learning Styles, Reston Publishing, 1978. Gall, M.D and Gall, J.P., Tools for Learning : A Guide to Teacher Study Skill, ASDC Pub. 1990.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful