MUKADDIMAH

:
Semarak Ramadhan Langit Ilahi

A

lhamdulillah. Segala puji itu kita panjatkan kepada Allah SWT, selawat dan salam itu kita utuskan ke atas Rasulullah SAW, dan tidak lupa kepada sahabat-sahabat yang berjuang di sisi baginda mengangkat agama Allah SWT, juga mereka yang mengikuti mereka dari masa ke semasa hingga ke hari kiamat. Alhamdulillah. Akhirnya terealisasi juga hajat saya ingin membuat „buku ringkas‟ dalam bentuk ebook, berformat PDF ini, yang mengumpulkan sekitar 10 artikel ringkas berkenaan Ramadhan. Ya, Ramadhan. Sebab saya fikir, adalah baik sekiranya artikel-artikel yang pernah saya tulis berkenaan Ramadhan selama ini dibukukan. Hajatnya sebenarnya ingin membuat buku yang lebih tebal, dan diterbitkan di alam realiti. Namun, saya dikekang masa, dapat berbuat yang ini sahaja sudah saya rasa gembira. Tambahan, buku Semarak Ramadhan Langit Ilahi ini PERCUMA. Kalau terbit di alam realiti, pembaca perlu bayar pula. ^^ Buku ini, bukanlah buku menerangkan fadhilat-fadhilat Ramadhan. Jauh sekali buku untuk membahaskan permasalahan fiqh di dalam Ramadhan. Tidak dan tidak. Buku ini lebih berbentuk Chicken Soup for The Soul sahaja. Membincangkan perihal mentaliti kita terhadap Ramadhan, dan berharap agar buku ini mampu membuatkan kita memandang Ramadhan dari satu dimensi baru. Ramadhan sering dianggap sebagai adat oleh masyarakat kita. Ramadhan sering dilayan sebagai „second class‟ yang mana Syawal adalah yang mendapat layanan „first class‟nya. Ramadhan sering dilayan sebagai tempat melambak amalan soleh, dan amalan soleh itu tidak pula berterusan pada 11 bulan selepasnya. Ramadhan sering sahaja dilihat memenatkan, menyusahkan, dan meletihkan, dari dilihat sebagai tempat perubahan diri dan peningkatan jiwa. Ada pula yang melayan Ramadhan sebagai Tuhan, dan akhirnya di bulan lain tidak pula giat beribadah sebagaimana di dalam Ramadhan.

Maka dengan buku ringkas ini, saya berhajat mengubah persepsi itu. Ramadhan adalah medan perubahan. Ramadhan adalah tanda cinta Tuhan. Ramadhan adalah teduhan di dalam kehidupan. Ramadhan adalah kem untuk melakukan peningkatan. Ramadhan adalah madrasah tarbiyah. Ramadhan adalah untuk kita, hamba-hamba Allah SWT mendapatkan bekalan. Saya berhajat agar Ramadhan benar-benar menjadi satu tempat untuk melakukan perubahan. Baik buat diri saya, mahupun buat diri masyarakat. Agar Ramadhan tidak lagi dilayan dengan sambil lewa. Dan agar nanti, bila masyarakat masuk ke dalam Ramadhan, masyarakat keluar menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Itu harapan saya. Maka saya persembahkan buku yang ringkas ini. Buat tatapan semua. Buat jiwa saya dan jiwa kita. Agar kita benar-benar mampu menjadi hambaNya. Ayuh, Mari Menjadi Hamba! Semarak Ramadhan Langit Ilahi. Ini buku kita. ~ seorang hamba Hilal Asyraf 0159, 050811, 5 Ramadhan 1432 Irbid, Jordan

Bab 1: Seorang Pendosa yang memasuki Ramadhan.
Oh pendosa itu tidak sedar Betapa Tuhan masih cintakan dia Diberikan Ramadhan bulan keampunan Tetapi dia masih tidak menyedarinya Apakah yang lebih diharapkan seorang pendosa Selain keampunan Tuhan kepadanya? Maka pendosa manakah yang bersyukur, Dan berlumba keluar menggapai keredhaanNya?

Kamu, saya dan mereka. Kita semua adalah pendosa. Ya. Sungguh, banyak kesilapan telah kita lakukan, hasil kelalaian kita selama ini. Sudah diingatkan berkali-kali tetapi tetap alpa dan leka. Akhirnya terpalitlah pada diri ini dosa-dosa, yang kalau kita lakarkan lukisan bentuk hati di atas kertas dan menitik satu titik hitam bagi setiap dosa, nescaya mungkin gelaplah lakaran bentuk hati itu lantaran banyaknya dosa-dosa kita. Namun, pendosa seperti kita ini, Allah SWT berikan lagi Ramadhan kepadanya. Apakah perasaan? Jujurnya, saya rasa terharu apabila seorang pendosa seperti saya, diberikan oleh Allah SWT peluang untuk memasuki Ramadhan yang teramatamat mulia ini. Ya. Terharu. Seakan-akan Allah SWT bersuara: “Nah, ini peluang untuk kamu membersihkan diri.” Seakan-akan, ini adalah bukti tanda Allah masih „mahu‟ pendosa ini memasuki syurgaNya. Ramadhan yang mahal buat pendosa. Hanya orang yang mati sahaja akan mengetahui nikmat hidup. Dan hanya orang yang mati sebelum Ramadhan sahaja yang akan mengetahui betapa mahalnya sebuah Ramadhan untuk dirinya. Ramadhan adalah medan di mana Allah lambakkan segala ganjaran. Tetapi lebih dari ganjaran-ganjaran tersebut adalah, Ramadhan ini Allah lambakkan juga dengan peluang-peluang keampunan yang terbuka luas. Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya...” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.

Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai‟e,Malik,Ahmad dan Baihaqi. Mengapa peluang keampunan itu mahal? Kerana keampunan itu memadamkan dosa-dosa. Apakah yang lebih bermakna untuk seorang pendosa, selain dipadamkan dosa-dosanya? Allah masih memandang kita. Apakah yang lebih besar? Dan perasaan bahawa Allah SWT masih memandang kita, masih memberikan peluang kepada kita, nyatanya di situ ada tanda yang jelas bahawa ALLAH MASIH SAYANG KITA, justeru hati pendosa mana yang tidak kembang dengan perkara ini? Seakan-akan orang yang lapar tidak makan berhari-hari, yang kemudiannya diberikan makanan. Begitulah pendosa-pendosa yang gelisah dengan dosa-dosanya dan kemudian diberikan ruang keampunan. Pasti „Sang Pemberi‟ punya rasa belas. Tidakkah kita rasa bertuah, di‟belas kasihan‟kan Allah SWT? Allah SWT! Siapakah Allah? Tuhan Sekalian Alam. Yang Di tanganNya langit dan bumi. Yang Menguasai Segala-gala. Yang Maha Perkasa. Allah itulah yang sedang memandang kita para pendosa dan memberikan belas kasihanNya kepada kita dengan memberikan peluang Ramadhan kali ini buat kita. Kita! Siapakah kita? Kita yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Kita yang bila diberikan peringatan lupa. Kita yang bila ditegur tak ambil peduli. Kita yang terus-terusan mengulang dosa yang sama. Kita yang lambat bergerak menghargai peluang keampunanNya selama ini. Apakah yang lebih besar dari perasaan “Allah Masih Memandang Aku. Allah Masih Sayang Aku.” Ini? Nyata orang-orang yang melihat akan tersedar, lantas mengambil peluang Ramadhan ini

Allah masih sayangkan kita. Kita. Pendosa. Penutup: Motivasi buat pendosa yang masih hidup. Ramadhan ini, berubahlah. Tanda bersyukur bukanlah hanya dengan menyebut alhamdulillah. Orang yang bersyukur dengan pemberian kedua-dua ibu bapanya, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik. Ibu bapa beri duit untuk dia belajar, dia belajar bersungguh-sungguh. Maka orang yang bersyukur dengan pemberian Allah SWT, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik juga. Allah SWT memberikan kita Ramadhan untuk menjadi lebih baik, maka kita mengambil segala peluang yang wujud di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Kalau Allah benci dengan kita, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum Ramadhan. Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini. Tetapi sekarang, Ramadhan telah tiba dan kita berada di dalamnya. Maka marilah kita, para pendosa yang masih hidup ini, bersyukur, dengan mengambil peluang Ramadhan ini, menjadikan Ramadhan kali ini medan perubahan kita. Ayuh!

Bab 2: Ramadhan adat, Ramadhan ibadat.
Selama ini kita memandang Ramadhan sebagai apa? Adat? Ibadat? Rutinan tahunan yang dilaksanakan Ibu Ayah Kaum kerabat? Atau medan latihan Tuhan agar hamba memahami bahawa hidup medan ibadat? Salah pandang salah jalan Salah faham terkeluar dari objektif asal Berpuasa tidak mendapat apa-apa Rugi dia setahun lamanya

Ramadhan. Ramadhan. Ramadhan. Kita melihatnya bagaimana? Adat atau ibadat? Adakah kita selama ini melalui Ramadhan sekadar untuk merasai kemanisan berhari raya, atau kita melaluinya kerana memahami bahawa Ramadhan adalah mekanisme untuk mempertingkatkan diri menjadi hamba Ilahi? Hakikatnya, silap melihat Ramadhan, merupakan satu perkara yang fatal kepada perjalanan diri menjadi hamba Ilahi. Hal ini kerana, Ramadhan disediakan, bermatlamatkan bantuan kepada manusia agar benar-benar tunduk kepadaNya. Bukan saja-saja diberikan kesusahan di dalamnya Sedikit sukar di dalam Ramadhan. Apabila tidak boleh makan minum suka hati. Ada waktunya, ada masanya. Hampir 12 jam perlu berlapar dan menjauhi makanan dan minuman. Tidak cukup dengan itu, diwujudkan lagi beberapa had seperti tidak boleh bersetubuh, tidak boleh memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Perlu taat. Kadang-kadang diri sampai kehairanan. Takkan korek hidung pun batal? Apa logiknya? Bukan makan pun? Tambah pula apabila diri ini perlu menjaga pelbagai lagi pantang larang yang selama ini memang wujud di bulan lain, cuma lebih terasa di bulan Ramadhan kerana hendak menjaga apa yang dinamakan sebagai „pahala puasa‟. Sukar bertambah-tambah. Solat tarawih pula lagi. Berdiri lama. Baca panjang. Letih-letih. Susah. Banyak kerja. Mengapa? Ini adalah latihan. Adakah senang menjadi seorang Islam yang taat kepada Allah SWT 24/7?

Maka kekuatan itu dipertingkatkan dengan latihan. Namun sekiranya kesusahan ini sekadar dilihat sebagai „adat‟, maka kita tidak akan mendapat apa-apa melainkan penat. Manifestasi makna ibadah sebenar Bukanlah puasa itu satu-satunya ibadah yang wujud di dalam Ramadhan. Ramadhan itu sendiri merupakan satu ibadah. Tinggal yang wajib di dalamnya hanyalah berpuasa. Namun di dalamnya, punya 1001 lagi perkara sunat yang boleh dilakukan, bahkan diganda-gandakan pahalanya. Memandang Ramadhan, ia hakikatnya merupakan ibadah terpanjang di dalam Islam. Sebulan. Maka jadilah sepanjang Ramadhan, 24 jam sehari tanpa henti, adalah ibadah. Bagaimana kita melaluinya, begitulah Allah menilainya. Ibadah Ramadhan berjalan sepajang bulannya. Berhenti berpuasa selepas Maghrib, diteruskan pula dengan pelbagai ibadah lain seperti membaca Al-Quran, Solat Tarawih, qiam dan sebagainya. Begitulah sebenarnya kehidupan kita di 11 bulan yang lain pun. Seluruh kehidupan adalah ibadah. Menjaga pantang larang yang Allah tetapkan adalah setiap masa. Berusaha menjadi hamba Allah SWT yang terbaik adalah sepanjang masa. Tiada rehat. Tiada henti. Tiada waktu yang kita „bukan hambaNya‟. Ramadhan memprodus suasana agar kita terasa akan hakikat ibadah yang sebenarnya. 24 jam 7 hari hamba Ilahi, beribadah tanpa henti. Itulah kebenaran hakiki yang perlu kita rasai. Ramadhan punya matlamat. Maka Ramadhan perlu kita lalui dengan serius dan bersungguh-sungguh. Bukan hanya kerana terpaksa dan menganggapnya satu kitaran biasa. Ramadhan punya matlamatnya yang jelas.

Membina taqwa. Taqwa akan membimbing manusia ke jalan kebenaran, menjauhi larangan Allah dan mentaati perintahNya. Maka ia perlu dilalui dengan penghayatan dan kefahaman yang jelas. Bukanlah kita melakukan amal-amal di dalam Ramadhan semata-mata untuk mengaut pahala. Tetapi kita perlu melihat ia sebagai satu cara untuk meningkatkan kekuatan diri dalam menjadi hamba Ilahi. Itulah dia matlamat Ramadhan. Penutup: Memecahkan Ramadhan adat, kepada Ramadhan pembina Ummat Maka perlulah kita memecahkan kefahaman atau perasaan di dalam jiwa ini yang memandang Ramadhan semata-mata satu adat, atau satu acara tahunan kitaran yang berulang-ulang. Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia semata. Semua perkara yang Allah arahkan, suruh, pasti mempunyai makna yang besar dan membawa 1001 kebaikan kepada kita. Begitulah Ramadhan. Tidak akan wujud perintah agar dijalankan Ramadhan itu sebulan, sekiranya Ramadhan itu sekadar adat semata. Maka kita perlu fokus dan serius. Memperbaharui semula niat. Memahami semula akan matlamat. Lantas memperbaharui semangat diri dalam bergerak menggapai apa yang Allah mahu berikan kepada kita di dalam Ramadhan. Bukan sekadar pahala. Tetapi peningkatan diri sebagai hamba kepadaNya.

Bab 3: Dan berkira-kira
Bagaimana Ramadhan ini kita lalui? Apakah dengan mengharap kepada Ilahi? atau sekadar menganggapnya satu tradisi? Adakah kita berkira-kira? Berstrategi dan merancang amalan kita? Atau sekadar bersambil lewa, Tidak pernah serius dan peduli apa.

Ramadhan hakikatnya adalah ibarat tetamu. Resmi tetamu adalah dilayan. Tambahan, Ramadhan bukan sebarang tetamu. Ramadhan adalah tetamu yang membawa pelbagai hadiah yang mahal dan berharga. Persoalan yang menarik untuk kitsa sama-sama perhatikan apabila menyebut hal Ramadhan sebagai tetamu adalah: “Bagaimanakah layanan kita terhadap Ramadhan?” Apakah kita telah bersungguh-sungguh? Di sinilah kita perlu melihat akan seruan Rasulullah SAW, yang sering kita ulang-ulangi apabila Ramadhan menjengah. “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira, maka Allah akan mengampunkan untuknya dosadosanya yang telah lalu.” Hadith Muttafaqun Alaih. Apakah yang dimaksudkan dengan „berkira-kira‟ di dalam hadith ini? Hakikatnya, „berkira-kira‟ di dalam hadith ini membawa satu maksud. Dan maksud itulah yang menterjemahkan layanan sebenar, untuk Ramadhan, yang kita sering sahaja alpakan. Hadith ihtisaba Ada tiga riwayat yang menyatakan akan hadith berkenaan „ihtisaba‟ atau berkira-kira yang bersangkutan dengan Ramadhan. 1. “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.” 2. “Barangsiapa yang membangunkan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.” 3. “Barangsiapa yang membangunkan Malam Al-Qadr, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”

Makna ihtisaba pada asalnya adalah berkira-kira. Ia berasal dari kata akar „hisab‟ yang bermaksud hitung. Justeru berkira-kira di sini bukanlah bermaksud teragak-agak sebagaimana yang biasa kita gunakan. Berkira-kira di dalam hadith ini adalah membawa maksud: Menghitung-hitung apakah lagi amalan yang masih belum kita laksanakan di bulan Ramadhan? Apakah lagi perkara yang perlu dilakukan bagi mendapat keredhaan Allah? Apakah lagi yang mesti dilakukan untuk Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik? Menghitung-hitung ini juga boleh membawa maksud kepada berharap. Yakni, kita mengira-ngira berapa amalan yang telah kita lakukan, dan kita berharap agar Allah menerima semua amalan kita tersebut. Kita akan sering mengira amal kita, dan bertanya kepada diri: “Allah terima tak aku baca AlQuran tadi?”, “Allah terima tak puasa aku hari ini?”, “Allah terima tak solat tarawih aku tadi?” dan sebagainya. Sekaligus memacu kita untuk melakukan yang lebih baik dari hari ke hari. Dan persoalan-persoalan ini hanya akan muncul bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam melayani Ramadhan. Begitulah. Layanan maksimas Melihat Ramadhan yang berlalu hari demi hari, apakah kita hakikatnya telah melayani Ramadhan dengan semaksima mungkin? Ramadhan hadir dengan 1001 ganjaran dan anugerah, datang membawa keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT untuk insan kerdil seperti kita yang banyak dosa, bahkan Ramadhan menjadi kem untuk kita meningkatkan diri agar mampu kekal menjadi hamba Allah SWT untuk 11 bulan yang lain. Namun bagaimanakah kita telah melayaninya? Apakah dengan bersungguh-sungguh? Atau dengan layanan sambil lewa sahaja? “Alah, tahun depan Ramadhan datang lagi.” Adakah itu yang keluar dari mulut kita?

Jika kita lihat semula, kesungguhan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini juga hakikatnya membawa kepada pembumian realiti 11 bulan yang lain. Apakah kita ini, dalam seluruh kehidupan kita, merasa bersungguh-sungguh dalam memenuhi tuntutan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya? Jika di dalam Ramadhan kita ada ganjaran bahawa amalan semuanya akan digandakan, sedangkan di luar Ramadhan juga wujud ganjaran seperti barangsiapa yang berjuang menegakkan agama Allah maka baginya syurga, apakah kita mengusahakannya? Ramadhan madrasah tarbiyah Ramadhan jika kita lihat kembali hakikatnya adalah sebuat madrasah atau sekolah untuk mendidik jiwa-jiwa mu‟min agar terus hidup pada bulan-bulan yang lainnya. Banyaknya ganjaran pada bulan ini adalah untuk melatih mansuia itu kuat mengejar ganjaran-ganjaran yang selama ini memang telah Allah janjikan pada bulan-bulan yang lain juga. Allah menyatakan siapa yang membantu agamaNya, maka Allah akan membantuNya. “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Surah Muhammad ayat 7. Allah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang berjuang di atas jalanNya. “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam tamantaman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga „Adn . Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 10-12. Allah menjadikan jalan keluar bagi siapa yang bertaqwa dan bertawakkal kepadaNya.

“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),” Surah At-Talaq ayat 2. Apakah kita mengejar semua ini? Bagaimanakah kita melayan kebaikan Allah SWT kepada kita selama ini yang menawarkan kita ganjaran-ganjaran ini? Dan di dalam Ramadhan inilah, seruan melayan Ramadhan dengan penuh kesungguhan, dengan penuh mengharap, itu datang untuk melatih kita menjadi manusia yang sepanjang tahun bersungguh-sungguh mengejar janji-janji Allah SWT, sepanjang tahun berharapkan kepadaNya. Tidakkah kita mula sedar dan melihat? Penutup: Apakah yang telah kita lakukan? Persoalan utama dalam layanan kita adalah apa yang telah kita lakukan? Ini sepatutnya menjadi soalan wajib saban malam sebelum tidur. Agar kita bermuhasabah dan meracang dengan lebih baik untuk keesokan harinya. Untuk melayan Ramadhan semaksima mungkin, maka wajiblah kita mewujudkan planning dan strategi. Bukan sekadar melaluinya dengan lenggang kangkung tanpa perancangan. Perancangan, menyatakan bersungguh -sungguhnya kita dalam melayani Ramadhan. Perlulah kita ini hakikatnya, memahami akan hikmah dan hakikat kewujudan Ramadhan. Barulah kita akan mampu memenarakan peribadi mukmin yang sebenar, di luar Ramadhan. Ramadhan hanyalah wasilah tarbiyah, untuk kita menjadi hamba Allah SWT yang sebenar.

Bab 4: Apakah Ramadhan ini akan sama?
Ramadhan ini, Allah telah beri kita peluang. Apakah kita telah menghargai? Atau kita sekadar melayaninya dengan layanan yang sama? Rutin tahunan yang hampir sahaja tidak bermakna Atau kita berjaya menjadikan Ramadhan ini medan perubahan jiwa? Persoalan untuk manusia yang sedar Dan khas buat mereka para pengejar Syurga.

Allah SWT memberikan kita Ramadhan pada kali ini. Dan belum tentu Allah SWT memberikan kita Ramadhan lagi pada tahun hadapan nanti. Justeru, satu perkara yang saya takuti adalah, repetensi Ramadhan yang lepas. Apakah akan sama Ramadhan kali ini dengan Ramadhan tahun lepas? Apakah maksudnya sama? Yakni kita keluar Ramadhan, tetapi tidak mengalami tranformasi yang sepatutnya. Ramadhan kita akhirnya hanya menjadi Ramadhan adat. Yang kita jalani sebulan semata-mata untuk sampai kepada Aidulfitri. Bukan Ramadhan untuk meningkatkan diri agar menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik pada 11 bulan yang lain. Ramadhan kita pada kali ini mengulangi kekurangan-kekurangan Ramadhan yang lepas. Kita tidak pun melakukan peningkatan. Kita tidak pun melakukan perubahan di dalam amal. Kita sekadar bermalas-malas dan bersambil lewa. Seakan-akan Ramadhan itu adalah perkara enteng di dalam hidup kita. Saya takut demikian. Apakah Ramadhan kali ini, akan mengalami nasib yang sama? Syu’ur Ramadhan yang dipadamkan suasana Satu perkara yang amat saya terkilan dengan suasana di Malaysia adalah, keadaan di sini membunuh syu‟ur Ramadhan yang ada. Bayangkan, pada hari ke-tiga Ramadhan, sudah didendangkan dengan lagu-lagu raya. Promosi jualan-jualan mega, rancangan-rancangan drama, serta dendangan-dendangan lagu di radio, telah memenuhi waktu-waktu Ramadhan kita. Itu belum dikira dengan anak-anak yang terbiar bermain mercun dan meriam buluh. Tidak disediakan „program‟ yang baik buat mereka. Belum lagi dikira „orang-orang tua‟ yang mungkin sibuk dengan hal masing-masing. Yang ibu-ibunya dengan kumpulannya, yang bapa-bapanya dengan kumpulannya, yang remaja-remajanya dengan kumpulannya. Tidak dapat dipastikan apakah

semua golongan ini bergerak membangunkan syu‟ur Ramadhan, atau sekadar melalui Ramadhan seperti hari-hari kebiasaan yang dipenuhi kemungkaran, kemaksiatan, dosa-dosa kecil dan besar, sebagaimana bulan-bulan biasa. Ini yang pada akhirnya meragut peluang perubahan kita hakikatnya. Inilah dia „penjara‟ yang saya ingin nyatakan. Kita terperangkap dalam pertembungan antara nafsu dan tuntutan Allah SWT. Kita terperangkap pada garis perpisahan antara kepayahan menjalani perubahan, dengan kesenangan kekal di takuk lama tanpa perlu melakukan apa -apa. Dan kebanyakan kita, tersungkur pada pilihan untuk berdiam diri dan buat tidak tahu sahaja. Lebih buruk, dengan kegagalan ini, kita telah persiakan Ramadhan yang Allah beri pada kita kali ini. Menjadikan Ramadhan ini, sama seperti Ramadhan yang lepas. Sepatutnya kita merasa takut Terdapat satu hadith Rasulullah SAW yang apabila saya ingat-ingatkan dan muhasabah semula, menimbulkan satu kegerunan yang amat dasyat kepada diri saya sendiri. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu juga, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah naik mimbar seraya berkata : "Amin.. Amin.. Amin.." Para sahabat bertanya kepada Baginda : "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan amin, amin, amin..?" Sabda Baginda: "Sesungguhnya Jibril datang kepadaku, dan dia berkata : "Barangsiapa yang datang kepadanya Ramadhan tapi tidak diampuni dosanya maka akan dimasukkan neraka dan akan Allah menjauhinya, katakanlah "Amin", maka aku pun mengucapkan Amin...."

Hadits Riwayat Ibnu Khuzaimah 3/192 dan Ahmad 2/246 dan 254 dan Al-Baihaqi 4/204 dari jalan Abu Hurairah. Hadits ini shahih, asalnya terdapat dalam Shahih Muslim 4/1978. Tiga perkara penting di sini. Datang kepadanya Ramadhan, tetapi tidak diampuni dosa-dosanya. Akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan Allah akan menjauhinya. Tidakkah ini menggerunkan? Tanda hamba tidak bersyukur Memang kalau diikutkan, kita tidak mengetahui apakah kita mendapat keampunan atau tidak. Tetapi satu perkara yang boleh kita jadikan kayu ukur untuk menilai diri kita adalah, sejauh manakah usaha kita dalam mendapatkan keampunan Allah SWT di dalam Ramadhan ini? Sejauh manakah kita telah berusaha untuk mengubah diri dalam Ramadhan ini? Sejauh manakah kita telah berusaha untuk melakukan peningkatan terhadap diri kita pada Ramadhan kali ini? Kita tahu bahawa Ramadhan adalah bulan mulia penuh barakah, di dalamnya penuh tarbiyah dan ganjaran, didikan dan asuhan Ramadhan amat mahal dan tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Tetapi sejauh manakah telah kita gunakannya? Maka di sinilah kita boleh dapat mengira-ngira, apakah kita akan mendapatkan keampunan Allah SWT atau tidak? Ya, mungkin akan ada yang berkata kepada saya: “Mana tahu, yang solat taubat dua rakaat sekali aku buat itulah yang Allah terima.” Dan saya akan berkata semula: “Mana kamu tahu, yang solat taubat dua rakaat yang sekali kamu buat itulah yang Allah terima?” Kita tidak tahu Allah nak terima yang mana. Sebab itu usaha perlu dengan kesungguhan.

Persoalannya, apakah kita telah bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan kali ini? Tepuk dada, tanya diri. Dan bukankah kita ini hamba yang tidak bersyukur jika kita tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, sedangkan Ramadhan telah Allah sediakan di dalamnya 1001 peluang dan 1001 ganjaran? Sedangkan kita ini, seorang pendosa ini, Allah masih izinkan masuk ke dalam RamadhanNya tanda Dia masih membuka peluang kepada kita? Maka adalah logik manusia yang tidak reti bersyukur sebegini, Allah jauhi dan masukkan ke dalam neraka. Sudah diberi peluang, lagi tidak menggunakannya. “Dan ingatlah ketika Rabb kamu megumumkan: Sekiranya kamu bersyukur maka akan Aku tambahkan (nikmat kamu), tetapi sekiranya kamu kufur, maka sesungguhnya azab Aku amatlah pedih” Surah Ibrahim ayat 7. Tetapi sekiranya kamu kufur, atau dalam erti kata lain, tidak bersyukur, maka sesungguhnya azab Allah itu amatlah pedih. Tidakkah kita takut? Penutup: Ayuh. Perubahan. Jangan ditangguh lagi. Maka apakah yang kita tunggu lagi? Maka apakah yang kita nantikan? Apakah hendak menunggu sehingga Ramadhan berakhir, kemudian baru sibuk-sibuk menyatakan penyesalan? Apakah hendak menunggu sehingga kita tidak lagi Allah izinkan mampu merasai Ramadhan, baru kita sibuk-sibuk menerbitkan kekecewaan akan sikap kita hari ini? Jangan dan jangan. Ayuh. Perubahan. Lakukan sekarang. Jangan jadikan Ramadhan kali ini sama dengan Ramadhan kita yang lepas. Mari. Sama-sama berubah. Jadikan Ramadhan kita kali ini Ramadhan yang terbaik. Kita hargainya dengan perancangan, strategi, dan kita laksanakan perancangan dan strategi kita itu. Ayuh!

Bab 5: Apakah yang telah kamu lakukan?
Dan hari-hari itu berlalu tanpa terbela Dan setelah Allah memberikan peluang kepadamu dan kau persia Sungguh kita ini hambaNya yang tidak punya malu lagi hina Apa yang telah kita lakukan dengan anugerahNya? Sungguh kita pendosa lupa Sungguh kita manusia yang tidak tahu erti bersyukur kepadaNya Dan apakah kita akan mengulangi perkara yang sama?

Ramadhan tahun 2009. Saya masih ingat salah seorang guru saya di University of Yarmouk, Irbid, Jordan menjadi khatib Jumaat pada hari ketujuhRamadhan. Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari, itulah namanya. Pakar hadith di Yarmouk. Seorang yang berjambang panjang hitam pekat, tinggi dan tegap, namun orangnya amat tawadhu‟ dan sering tersenyum. Khutbahnya pada ketika itu menyentuh hati dan jiwa saya. Saya masih ingat bagaimana bulu roma saya meremang ketika mendengar bicaranya. “7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu lakukan di dalam Ramadhan kali ini?” Ya. Kadangkala kita sebagai hamba ini terlupa. Ramadhan ini adalah hadiah dan peluang daripada Allah SWT, untuk pendosa seperti kita. Namun, bila memasuki Ramadhan, kita mempersia-siakannya. Hari-hari berlalu di dalam Ramadhan, tanpa kita menghargainya. Bila mendengar Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari berbicara ketika itu, meremanglah bulu roma saya. Sungguh, sedikit dari kalangan hambaNya yang benar-benar bersyukur. Apakah yang telah kamu lakukan dengan harta? Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu: “Allah telah memberikan kamu harta. Harta kamu adalah milik Allah SWT. Bukan kepunyaan kamu, bukan kepunyaan bapa kamu atau datuk kamu. Maka wahai hamba Allah, apakah yang kamu telah lakukan terhadap harta kamu dalam Ramadhan kamu ini?” Apakah yang telah kita lakukan dengannya? Biasanya kesenangan membuatkan kita lupa. Wang hanya kita lihat sebagai untuk menyeronokkan diri kita sahaja. Menyedekahkannya kelihatan satu kerugian, memberikannya kepada yang memerlukan dilihat seakan satu kekurangan.

Ramadhan berjalan sebagai peluang daripada Allah SWT. Dan sedekah adalah antara amalan yang disukai, zakat adalah antara amalan yang wajib, maka apakah yang telah kita lakukan dengan harta kita sepanjang Ramadhan yang berjalan? Pernahkah kita merancang untuk bersedekah berapa dan berapa dalam sehari, dalam seminggu di bulan Ramadhan? Pernahkah kita merancang betulbetul kepada siapa dan kepada siapa duit kita hendak diberikan? Atau sebenarnya, harta kita habis pada kuih-muih, langsir, sofa, dan persiapan hari raya semata-mata? Sedang bulan Ramadhan yang mulia ini Allah janjikan pelbagai ganjaran bagi mereka yang beramal. Dan salah satu amal yang boleh diusahakan adalah sedekah. Apakah kita telah sedekahkan sepanjang Ramadhan yang berjalan? Atau peluang besar beramal dalam Ramadhan ini kita persiakan? Atau peluang membersihkan diri dari dosa ini kita persiakan? Apakah yang telah kamu lakukan terhadap makanan? Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu: “Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu makanan. Kamu makan. Tapi adakah kamu berkongsikan makanan kamu itu dengan orang lain? Apakah yang telah kamu lakukan dengan makanan kamu pada bulan ini?” Di Jordan, tiada bazar Ramadhan. Yang ada hanya jualan kecil-kecilan sahaja di tepi jalan, dan rata-rata menjual perkara yang sama. Dua benda tradisi ketika Ramadhan di Jordan. Qutayif(sejenis kuih seperti apam balik tetapi tanpa isinya), dan tamar hindi. Itulah yang dijualnya oleh semua peniaga. Sederhana. Jadi saya tidak terbiasa di Jordan makan sehingga kembung perut. Makan ala kadar sahaja. Sama seperti makan malam biasa. Tetapi tidak jika di Malaysia. Bazar Ramadhan membunuh kita sebenarnya. Mengajak kepada pembaziran. Di tengah Ramadhan kita akhirnya menjadi pembazir, sedang pembazir itu adalah saudara syaitan.

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Surah Al-Israa‟ ayat 27. Kita beli itu ini, berdasarkan kelaparan yang menguji, tetapi tidak habis makanan-makanan yang kita beli. Atau jika habis pun, makanan-makanan itu tidak menjana kekuatan untuk bangkit berdiri solat beramal ibadat. Bahkan melemahkan. Jangan cerita berkenaan memberikannya kepada orang lain. Jauh sekali. Apa yang telah kita lakukan terhadap makanan-makanan kita di bulan Ramadhan yang berjalan? Adakah kita hanya menjadi teman syaitan pada bulan keampunan? Apakah yang telah kamu lakukan terhadap masa? Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari berkata lagi: “Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu masa, dan masa itu sentiasa berlalu. Apakah yang telah kamu lakukan dengan masa kamu dalam bulan ini?” Kita kelaparan, keletihan, dan merasakan kita sudah mati akal hendak melakukan apa lagi. Lantas kita memilih untuk menghabiskan masa dengan tidur. Lebih teruk lagi, ada kalangan kita mengisi masa dengan bermaksiat walaupun di tengah Ramadhan. Masa habis dengan bersembang, masa habis di hadapan permainan komputer/video, masa habis menonton drama dan movie, dan begitulah masamasa berlalu. Sedangkan Ramadhan ini rahmat Allah mencurah-curah setiap saat. Apakah yang telah kita lakukan terhadap masa kita di bulan Ramadhan ini sepanjang 11 hari ini? Apakah kita mengisinya dengan baik? Atau kita hanya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja?

Sedang kita pendosa, memasuki bulan ini, adalah tanda cintaNya kepada kita masih menyala? Dan bagaimanakah kita melayan cintaNya itu? Apakah yang telah kamu lakukan dengan amal ibadat? Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari berkata lagi: “Wahai hamba Allah, Allah telah memfardhukan kamu solat, maka apakah yang telah kamu lakukan terhadap solat-solat fardhu kamu? Ketahuilah bahawa Tarawih itu sunnah, sedang Isya‟ dan Fajar itu adalah wajib. Apakah pantas untuk kamu mendirikan tarawih tetapi melewatkan isya‟ dan mengakhirkan fajar? Ketahuilah bahawa Isya‟ dan Fajr itu datang dahulu sebelum tarawih!” Kadangkala, ada sebahagian kita terlalu teruja melaksanakan ibadah sunat di bulan Ramadhan hingga mengenepikan kualiti ibadah fardhu. Kita tersilap kerana memandang Ramadhan sebagai adat. Sebagaimana orang yang berhenti merokok di waktu siang tetapi merokok pula di waktu malam. Sedang rokok adalah haram 24 jam. Kita nampak, kalau tidak tarawih, maka sama macam tidak berpuasa. Sedangkan kalau meninggalkan solat fardhu dengan sengaja, kita merasa tidak mengapa pula. Inilah dia celupan yang silap dan kefahaman yang bengkok. Justeru apakah kita menjaga dan mempercantikkan amalan kita di dalam Ramadhan? Atau kita langsung tidak pernah memikirkan akan kualiti ibadah kita? Apakah yang telah kamu lakukan terhadap Al-Quran? Sheikh Dr Muhammad Audeh Al-Hawari menyeru lagi: “Ramadhan adalah bulan Al-Quran wahai hamba Allah. Wahai hamba Allah, maka apakah yang telah kamu lakukan kepada kitab Rabb kamu ini? Adakah kamu mempercantikkan bacaan kamu? Adakah kamu menghayati isinya dalam kehidupan kamu?”

Bagaimana kita melayan Al-Quran di dalam Ramadhan? Saat Allah SWT mewujudkan suasana yang indah pada bulan ini untuk kita rajin membacanya, apakah yang telah kita lakukan dengan Al-Quran? Adakah sekadar berusaha mengkhatamkannya, tetapi tidak memperdulikan tajwidnya? Sedang menghabiskan bacaan 30 juzu‟ Al-Quran di dalam bulan Ramadhan hanyalah sunat, manakala membacanya dengan bertajwid adalah wajib. Yang manakah kita dahulukan? Adakah berlumba-lumba dengan teman kenalan lebih utama dari menjaga tajwid dan makhraj bacaan? Persoalan yang lebih menarik, apakah kita menyentuh Al-Quran sepanjang Ramadhan ini telah berjalan? Atau kita langsung tidak pernah membacanya? Adakah kita sekadar hendak membacanya hingga habis, tetapi tidak mahu mengambil pengajaran darinya walau secebis? Perhatikan, perhatikan. Apakah yang telah kita lakukan terhadap Al-Quran di dalam bulan yang mulia ini? Adakah kita sekadar membaca? Adakah kita sekadar menghabiskan? Bagaimana pengajaran di dalamnya? Bagaimana tajwid di dalamnya? Maka apakah maknanya tamat 30 juzu‟ di dalam Ramadhan, untuk hasilnya 11 bulan yang kemudian dalam kehidupan kita? Penutup: Apakah kita bermuhasabah untuk melayani Ramadhan kita? MasyaAllah. Khutbah ini, walaupun dua tahun telah berlalu, masih saya ingati. Saya masih ingati bait-bait bicara Sheikh Dr Muhammad Audeh AlHawari. Saya masih ingat betapa bulu roma saya tertegak ketika itu. Bagaimanakah kita melayan Ramadhan? Sambil lewa?

Persoalan itu membuatkan jiwa ini tertusuk. Jika benar teliti, maka kita akan bermuhasabah akannya. Melihat kembali layanan kita kepadanya. Dan berusaha agar esok lebih baik daripada hari ini. “7 hari telah berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu buat dalam Ramadhan ini?” Aaaah... masih tergiang-giang. Moga Allah membenarkan kita melayani Ramadhan sebaiknya. Semoga kita berusaha bersungguh-sungguh menghargai Ramadhan yang diberikan kepada kita. Jangan sesekali kita persiakannya. Jangan sesekali kita tidak bersyukur dengan pemberianNya, Ramadhan ini, kepada kita. Sama-sama kita lihat kembali Ramadhan kita. Mari, jadikan Ramadhan ini, Ramadhan yang terbaik sepanjang kehidupan yang pernah kita lalui!

Bab 6: Ramadhan itu Kem.
Ibarat satu tempat khas, Memproses diri secara intensif, Ramadhan berperanan sebulan setahun, Membentuk peribadi hamba yang sensitif, Dalam menjaga agama Tuhannya, Dalam menjadi hamba kepada Rabbnya.

Bab kali ini sekadar membawa satu analogi untuk menambah kesedaran. Kesedaran agar kita mampu bergerak menggembleng lebih banyak tenaga untuk mencapai apa yang patut dicapai oleh kita di bulan Ramadhan yang mulia. Maka di sini ada satu analogi untuk kita sama-sama perhatikan. Ramadhan itu sama dengan kem. Mungkin kita boleh ambil Kem Ibadah@Kem Jati Diri yang sering kita hantar anak-anak, adik-adik atau pelajar-pelajar kita pergi. Atau mungkin, kita pernah menghantar diri kita sendiri pergi ke program-program tersebut. Dan anda akan melihat sesuatu yang besar daripada analogi ini. Kem Ibadah yang kita juga mungkin pernah pergi Pernah pergi kem ibadah@jati diri? Mungkin pernah. Atau mungkin kita pernah hantar anak-anak kita, adikadik kita, pelajar-pelajar kita ke kem ibadah@jati diri. Agak-agak bagaimanakah keadaan sebuah program kem ibadah@Jati diri? Ada tiga perkara penting dalam sesebuah program kem ibadah@jati diri. Waktunya terhad. Wujud program di dalamnya. Untuk mencapai satu matlamat, dan hendak dibawa keluar pencapaian itu ke luar kem. Ramadhan adalah demikian Kalau kita perhatikan, Ramadhan adalah demikian. 1. Waktu Ramadhan adalah terhad. – 29@30 hari. 2. Wujud program di dalam Ramadhan – puasa, iftar, sahur, qiam, tarawih, sedeqah, Al-Quran dsb

3. Untuk mencapai satu matlamat dan hendak dibawa keluar pencapaian itu ke luar bulan Ramadhan – Taqwa, sebaik-baik bekal untuk kehidupan adalah taqwa. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183. Pembinaan diri di dalam Ramadhan Sekiranya kita sekadar melihat Ramadhan sebagai bulan beramal, manakala bulan-bulan lain adalah tidak, maka itu adalah satu kesalahan yang besar. Hakikatnya, Ramadhan adalah ibarat kem. Kita duduk di dalamnya untuk memberikan penekanan kepada diri betapa kita perlu menjadi hamba Allah SWT yang baik juga di bulan-bulan yang lain. Apakah Allah hanya wujud di dalam bulan Ramadhan? Tidak. Apakah Allah hanya memberikan ganjaran di dalam bulan Ramadhan? Tidak. Allah wujud setiap masa, dan ganjaranNya juga wujud setiap masa. Tinggal di dalam Ramadhan, ia diganda-gandakan bagi meningkatkan kembali kekuatan orang beriman agar memahami tujuan kehidupannya di atas muka bumi. Mungkin beberapa program tidak wujud dan beberapa ganjaran dihilangkan, tetapi... Mungkin beberapa program di dalam bulan Ramadhan, tidak wujud di dalam bulan-bulan yang lain seperti Tarawih dan puasa, iftar, sahur 30 hari berturutturut. Beberapa ganjaran seperti Solat Fardhu ganjarannya sama seperti 70 solat fardhu, solat sunat ganjarannya sama seperti satu solat fardhu, satu malam lailatul qadr kebaikannya melebihi 1000 bulan, dan segala amalan akan dibalas berganda-ganda, mungkin tiada di bulan-bulan lain. Tetapi, bulan-bulan lain tetap wujud tugasan dan tuntutannya.

Kita tetap hamba Allah SWT. Dan Allah SWT tetap wujud bersama kita. Mungkin program-program tadi telah tiada, tetapi program ruti seperti solat fardhu, menjauhi larangan Allah dan menjalankan perintahNya, berbuat baik kepada manusia dan menyebarkan kebaikan serta banyak lagi, masih ada di bulan-bulan yang lain. Mungkin ganjaran tadi telah tiada, tetapi ganjaran syurga tetap terbuka pada bulan-bulan yang lain. Ganjaran kasih sayang dan rahmat Allah tetap wujud pada bulan-bulan yang lain. Ganjaran pahala tetap ada pada bulanbulan yang lain. Dan Ramadhan, adalah untuk melatih kita istiqomah beramal dalam bulan-bulan yang lain itu. Penutup: Apa guna kem jati diri@kem ibadah? Apa guna kem jati diri@kem ibadah? Apakah untuk kita bermotivasi selama tiga hari sahaja? Adakah untuk kita tahu solat dan ambil wudhu‟ tiga hari sahaja? Semestinya bukan. Kegunaan kem jati diri@kem ibadah adalah untuk mengasuh pesertapersertanya, agar mampu melakukan perkara yang sama, sepanjang mereka berada di luar kem. Begitulah Ramadhan. Sebulan Ramadhan itu, hakikatnya adalah untuk kita bawa ke 11 bulan dalam setahun kehidupan kita. Tidakkah anda memerhatikannya?

Bab 7: Ramadhan manifestasi keimanan.
Apakah kau mampu melihat puasa? Pernahkah pula kau melihat iman? Tidakkah kau melihat persamaan antara keduanya? Justeru mengapa Ramadhan wujud dalam setahun sebulan? Pasti ada yang tersembunyi di dalam kehendakNya. Dan apakah kita hambaNya tidak mahu mendalaminya?

Puasa adalah ibadah yang unik. Berbanding ibadah lain, puasa mempunyai similariti paling hampir dengan keimanan. Siapa yang boleh melihat puasa? Tiada. Kalau kita tak puasa, tak ada siapa yang tahu. Sebab puasa tak boleh nampak. Itulah dia keimanan. Tidak terlihat. Maka siapakah yang memandang Ramadhan ini sebagai latihannya memperkasakan perkara „lutsinar‟ di dalam dirinya? Pengkhususan Allah terhadap Puasa. “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta‟ala berfirman (yang artinya) : Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Hadith Riwayat Muslim. Setiap amalan lain selain puasa kita mendapat ganjaran 10 – 700 kali lipat. Itulah ketetapan Allah SWT. Namun untuk amalan puasa, Allah tidak menyatakannya. Berapa kali lipat, berapa kali ganda, Allah tidak memberitahukannya. Hal ini kerana, puasa Allah khaskan untukNya, dan Dia ada perkiraan istimewa untuk puasa. Memandang semula keistimewaan ini, menambahkan betapa pentingnya puasa sebagai wadah peningkatan diri kita sebagai hamba Allah SWT. Hal ini kerana, untuk menjadi hamba Allah SWT, kita perlu beriman kepadaNya. Dan puasa, melatih kita menjaga keimanan kita.

Tiada siapa tahu Iman adalah rahsia. Tiada siapa tahu iman kita bagaimana. Kadangkala, kita sendiri tidak pasti keimanan kita di peringkat mana. Manusia hanya boleh menilai secara zahir. Ramai sahaja orang pergi solat di masjid, membaca AlQuran, beribadah itu ini, tetapi di dalam jiwanya dia tidak terikat dengan Allah SWT. Dia masih ragu-ragu dengan hukum Allah SWT. Dia tidak menjadikan Allah SWT sebagai matlamatnya. Namun kita tidak tahu. Hatta Saidina Umar RA sendiri tidak tahu siapakah munafik dari kalangan pegawainya. Hingga dia bertanya kepada pemegang rahsia Rasulullah SAW: Hudzaifah Al-Yamani yang mengetahui siapakah orang yang munafik yang berada di kalangan pegawainya. Itupun Hudzaifah Al-Yamani tidak mendedahkannya. Iman itu unik. Tiada siapa mampu menilai iman, kecuali Allah SWT. Maka puasa adalah latihan terbaik dalam menjaga keimanan. Sebagaimana kita menjaga puasa kita dari terbatal, begitulah kita berusaha menjaga keimanan kita dari terbatal. Kita berusaha mencari ilmu pengetahuan untuk mengetahui sah batal puasa. Tetapi pernahkah kita berusaha untuk mencari akan perkara yang membatalkan keimanan kita? Sebulan ini adalah tarbiyah Hendaklah kembali kita melihat betapa sebulan Ramadhan adalah merupakan tarbiyah dan didikan hakikatnya. Bukan semata-mata bulan untuk mendapatkan ganjaran. Pahala akan terbasmi dengan kemungkaran yang kita lakukan. Maka sepatutnya kita memandang Ramadhan dari satu aspek lain. Aspek mempertingkatkan „kelasakan‟ kita dalam menjadi hamba Allah SWT. Tegar melawan nafsu, tegas menjaga iman, tangkas melaksanakan amal. Ini semua adalah perkara yang perlu kita lihat.

Kita hamba Allah untuk 365 ¼ hari penuh dalam setahun. Bukannya hanya 29@30 hari sahaja. Maka untuk apa sebulan Ramadhan penuh galakan dan suasana solehah ini Allah sediakan? Untuk meningkatkan diri. Saya ulang – untuk meningkatkan diri. Penutup: Kepada yang melihat dan meneliti, maka dia akan mencapai kejayaan hakiki Ummat Islam lemah kerana tidak melihat dan meneliti. Kebanyakan kita hanya mengambil Islam sebagai adat dan tradisi. Begitulah juga Ramadhan kita layani. Inilah dia apabila kita tidak melihat dengan pandangan yang hakiki. Maka marilah kita duduk sebentar dan melihat kembali. Apakah sepatutnya kita lakukan untuk menjadi hamba Allah yang sejati. Keimanan. Keimanan yang hakiki. Itu yang kita perlukan. Persoalannya, apakah daripada Ramadhan ini kita belajar untuk menjaga keimanan kita? Sebagaimana Puasa yang tidak terlihat, bagaimana kita menjaga Keimanan kita dari dirosakkan syaitan yang jahat?

Bab 8: Ramadhan itu bukan Tuhan
Ada manusia silap mengerti Dia melayan Ramadhan seperti Ilahi Di dalam Ramadhan dia bersungguh mengerah diri mengabdi Di luar Ramadhan seakan-akan Ilahi telah mati Dan dia kembali seperti sebelum Ramadhan ini Sungguh itu adalah hamba Ramadhani Bukan sesekali hamba Rabbani

Realiti kita lihat pada adat dan kebiasaan masyarakat kita, kita hanya melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan, dan meninggalkannya selepas Ramadhan usai. Tiada penerusan di dalam kehidupannya pada sebelas bulan yang lain, seakan-akan Ramadhan itu tidak pernah dilaluinya. Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup bertarawih hingga 20 rakaat, tetapi di luar Ramadhan, solat fardhu pun dilewat-lewatkan. Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup menghabiskan 30 juzu‟ Al-Quran sebulan, tetapi sebelas bulan lain hendak menyentuh Al-Quran pun sukar. Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup menahan segala perbuatan mungkar dan maksiat, tetapi di dalam sebelas bulan lain seakan tidak pula wujud halal dan haram. Seakan-akan, Tuhan kita adalah Ramadhan, bukannya Allah SWT. Seakan-akan, kita menyembah Ramadhan, bukannya Allah SWT. Sedangkan, Ramadhan tidak sesekali menjadi Tuhan di dalam kehidupan kita. Melainkan Ramadhan hanyalah alat untuk mencapai ketaqwaan dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang hakiki. Allah kekal wujud walau di luar Ramadhan Allah SWT itu hidup dan tidak akan mati. Allah SWT itu tidak mengantuk atau terlalai walau sehari. Allah kekal wujud walau Ramadhan telah berakhir nanti “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah Al-Baqarah ayat 255.

Yang kita sembah hanyalah Allah SWT. Kita tidak menyembah Rasulullah SAW walaupun baginda adalah manusia yang termulia di dunia. Kita juga tidak sesekali menyembah Ramadhan walaupun Ramadhan merupakan bulan yang termulia antara bulan-bulan yang ada. Maka perlulah kita jelas akan niat kita melakukan segala amalan di dalam Ramadhan. Untuk apakah? Adakah semata-mata untuk mengumpul banyak pahala, kemudian dihabiskan pahala itu dengan dosa-dosa di luar Ramadhan? Maka apakah makna Ramadhan? Yang memberikan kita pahala atas segala ibadah kita di dalam Ramadhan adalah Allah SWT. Allah SWT yang sama jugalah yang memberikan pahala atas ketaatan kita kepadaNya di bulan-bulan yang lain. Allah SWT jugalah yang menawarkan kita ganjaran itu dan ini di dalam bulan Ramadhan. Allah SWT yang sama jugalah yang menawarkan kita syurga sekiranya kita kekal hidup dalam ketaatan kepadanya di bulan-bulan lain. Tetapi mengapa kita hanya bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan sahaja? Adakah Allah tidak wujud pada bulan yang lain? Ramadhan hanyalah wasilah Wasilah bermaksud jalan yang menyampaikan. Kalau kita hendak berjaya di dalam pengajian, maka antara wasilahnya adalah studi bersungguh-sungguh. Wasilah juga boleh dimaksudkan sebagai alat. Hendak membuka skru, maka wasilah kita adalah dengan menggunakan screw driver. Wasilah juga boleh dimaksudkan sebagai metod. Hendak mendidik anak cepat membaca, maka wasilahnya adalah dengan membiasakannya dengan kad-kad huruf semenjak kecil. Ramadhan hanyalah wasilah. Bagi memudahkan kita, hamba Allah SWT ini mencapai ketaqwaan, dan menjadi hambaNya yang terbaik. Wujudnya bulan Ramadhan yang penuh di dalamnya dengan ganjaran, dikurangkan pula aura kejahatan di dalamnya, semua itu untuk membuka jalan bagi kita melatih diri menjadi hamba Allah SWT yang terbaik.

“Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Hadith riwayat Bukhari. Bagi yang memerhati, maka dia akan melihat akan hakikat perkara ini. Penutup: Sepatutnya peningkatan kita gunakan Ramadhan sebagai medan

Maka sepatutnya kita kembali membersihkan matlamat dan niat, serta menjelaskan kefahaman mengapa kita beribadah di dalam bulan Ramadhan. Mengapa kita berusaha menjalaninya dengan baik. Mengapa kita berusaha mengejar ganjaran-ganjaran yang ada. Hakikatnya adalah untuk menjadikan diri kita kuat. Kuat untuk melalui 11 bulan yang lain. Hal ini kerana, tuhan kita, Allah, wujud juga pada 11 bulan yang lain. Allah bukannya wujud di dalam Ramadhan sahaja. Maka jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka kita akan menggunakan peluang Ramadhan ini sebaik-baiknya. Sepatutnya, demikian. Maka apakah kita melaksanakan yang sepatutnya? Atau kita telah terlupa bahawa Allah adalah Tuhan?

Bab 9: Ramadhan, didikan untuk kemerdekaan.
Apakah itu merdeka? Adakah negara yang tiada penjajah? Tidak. Merdeka yang sebenar adalah, Terlepasnya diri dari gari-gari penjajah dan cara hidup mereka Kita bebas berdiri dengan cara hidup kita Itulah cara hidup Islam yang sebenarnyanya Maka Ramadhan menyediakan Didikan untuk menjadi hamba yang merdeka Siapakah yang memerhatikannya?

Satu perkara besar yang dapat kita perhatikan di dalam Ramadhan adalah, pembebasan manusia dari belenggu hawa nafsu. Di dalam Ramadhan, kita terdidik untuk mengawal dan menahan hawa nafsu kita. Antara ibadah di dalam Ramadhan adalah berpuasa di siang hari. Ibadah ini diangkat ke taraf wajib sepanjang 29@30 hari. Di waktu siang itu, kita diwajibkan menahan nafsu makan dan minum serta nafsu syahawat. Memerhatikan betapa hakikat Ramadhan adalah untuk dibawa keluar manfaatnya ke bulan-bulan lain, membuatkan kita akan melihat betapa Ramadhan hakikatnya adalah didikan untuk kemerdekaan yang hakiki. Semerdeka mana pun tanah dari dijajah penjajah, belum tentu bermakna jika jiwa kekal dijajah nafsu. Fitrah berkaitan kehendak Jika kita perasan, Allah SWT mengurniakan kepada setiap seorang antara kita peneman bernama „kehendak‟. Kita boleh menamakannya dengan pelbagai nama. Orang putih kata „desire‟, dan boleh juga kita panggil makhluk ini sebagai „nafsu‟. Tiada nafsu, kita tak akan makan. Tak ada nafsu, kita tak akan cari duit. Tak ada nafsu, kita tak akan melakukan hubungan kelamin. Tak ada nafsu, kita tak akan hidup. Tetapi, perlu diingati bahawa sekiranya di dunia ini kita sekadar mengikut apa yang kita kehendaki, pasti kehidupan akan tunggang langgang. Saya bagi contoh mudah: 1. Kalau ikutkan kita, pastinya kita lebih suka tidur dari bekerja. Tetapi kalau kita turutkan kehendak kita untuk meneruskan tidur dan tidak pergi kerja, maka hidup kita akan ditimpa kesukaran untuk menyara kehidupan dan sebagainya. Kalau ikutkan, kita suka aja nak makan segala apa yang kita mahu. Tetapi kalau kita turutkan nafsu pemakanan kita itu, kita akan menghidap penyakit. Kalau ikutkan, kita nak borong semua barangan di pasaraya. Tetapi kalau kita turutkan perasaan itu, maka kita akan kekurangan wang untuk perkara lain yang lebih memerlukan.

2. 3.

Itu adalah contoh. Maka dapatlah kita fahami di sini bahawa, tidak semestinya semua yang nafsu kita kehendaki itu, hajatkan itu, baik untuk kita. Jika dituruti tanpa kawalan, maka ia akan memberikan keburukan besar kepada kita. Yang disuntik oleh musuh-musuh Allah kepada kita Memerhatikan dengan lebih jelas, syaitan hanyalah penghasut sahaja di dalam kehidupan kita ini. Bukanlah syaitan yang membuatkan kita melakukan kesalahan dan kesilapan. Syaitan hanya pemberi cadangan. Yang membuatkan kita terjerumus mengikuti turutan syaitan adalah nafsu kita. Maka kalau kita kembali meneliti pergerakan-pergerakan musuh Allah, mereka ini menyusup ke dalam kehidupan kita dengan memanipulasikan „desire‟ kita. Kita disogokkan dengan hiburan, kita diberikan pendedahan kepada perkara-perkara syahawat, dan kita juga dibuai dengan kesenangan serta kemewahan dunia yang penuh dengan penipuan. Sedar atau tidak, kita terpenjara dalam permainan musuh-musuh Allah SWT. Lihatlah senjata mereka yang paling ampuh, yang wujud pada hampir setiap rumah kita ~ Televisyen dan internet. Sekarang, orang asli pun ada astro. Dan lihatlah apa yang disediakan di dalam rancangan-rancangan televisyen kita. Apakah yang diangkat? Bukankah membesarkan nafsu dan mendidik kita memanjakannya? Ini menjadikan hubungan manusia kepada Allah SWT melemah. Sesungguhnya syurga itu dipagari dengan perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu. Manakala neraka pula dihiasi dengan perkara-perkara yag dicintai oleh nafsu. Inilah realitinya. Kita terperangkap di dalam penjara nafsu ini. Jika dibelenggui nafsu Allah SWT sebagai Tuhan Yang Menciptakan kita, Dia mengetahui serba serbi berkenaan kita. Dia faham apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita.

Sebab itu, di dalam Islam wujud didikan untuk tidak memanjakan hawa nafsu. Islam bukan mendidik untuk menafikan kewujudan nafsu. Tetapi Islam mendidik kita untuk mengawalnya. Sebab itu Islam tidak melarang untuk ummatnya mengejar kesenangan dunia, tetapi pada masa yang sama, ummat Islam dididik agar tidak terlarut dengannya. Islam tidak menafikan seks, tetapi Islam mendidik cara yang bersih dan halal untuknya. Islam tidak menafikan nafsu makan, tetapi Islam mendidik cara yang terbaik untuk melayaninya. Lihatlah sekiranya perkara-perkara ini tidak dididik untuk dikawal? Nafsu mengejar kekayaan membuahkan hasad dengki, persaingan tidak sihat dan perbalahan. Nafsu seks menyebarkan penyakit HIV, melemahkan akal dan pemikiran masyarakat. Nafsu makan meyebabkan ummat lemah dan diserang pelbagai penyakit kesihatan. Walaupun tanah kita merdeka, apakah kita merdeka sekiranya dipengaruhi nafsu sebegini? Semestinya tidak. Ramadhan hadir mendidik Maka perhatikanlah bagaimana Allah menghadirkan Ramadhan sebagai bulan tarbiyah untuk kita mendidik nafsu. Sebulan kita dilatih, agar kita membawa hasil latihan ini ke sebelas bulan yang lain. Sepanjang siang kita diarahkan untuk tidak mengikuti kehendak nafsu makan dan minum, nafsu syahawat. Bahkan kita dilarang untuk berkata buruk, mengumpat, melihat aurat orang lain, yang mana jika kita lakukan maka puasa kita hanya tinggal lapar dan dahaga sahaja. Pada masa yang sama, kerja-kerja di bulan lain seperti Solat Fardhu lima waktu tetap diteruskan tanpa diringankan. Dosa-dosa di bulan lain, tetap masih menjadi dosa di bulan Ramadhan.

Penambahan ini adalah untuk melatih kita menjadi lebih kuat. Kita dibenarkan berbuka, makan dan minum apabila menjelang maghrib. Tetapi sekiranya kita ingin ibadah kita lancar ketika Isya‟ dan tarawih serta mudah untuk bangun malam, kita perlu makan sedikit sahaja. Lihatlah kecantikan ini. Seakan-akan ia hendak menyatakan, sekiranya kamu benarbenar hendak menjadi hamba Allah yang sebenar, dunia ini hanya perlu dicicipi sedikit sahaja. Hasilnya, bagi mereka yang benar-benar merasai dan menghayati didikan ini, nafsu akan menjadi hamba mereka. Mereka mengawal nafsu dengan kesedaran dan keimanan mereka kepada Allah SWT. Bukannya mereka menjadi hamba nafsu, bukannya mereka yang dikawal oleh nafsu. Perkara ini, akhirnya akan melahirkan hamba-hamba Allah yang siap melaksanakan perintahNya tanpa rungutan, dan menjadi hambaNya yang benar-benar taat dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan. Merdeka dengan sebenar-benar kemerdekaan. Penutup: Tidak terbelenggu nafsu, jiwa bebas dari tuntutan dunia yang mengharu Apabila kita berjaya memahami akan hakikat ini, maka dunia akan tunduk kepada kita. Inilah dia yang dikatakan meletakkan dunia di dalam tangan. Dunia sedikit pun tidak terlekat di hati. Maka segala apa berkaitan dunia, adalah untuk kita manipulasikan bagi mendapat keredhaan Allah SWT. Yang ada di dalam jiwa hanyalah cinta kepadaNya. Nafsu yang terpenjara di dalam kawalan kita. Sedang jiwa kita bebas daripanya. Merdeka, dengan didikan Ramadhan ke arah menjadi hambaNya!

Bab 10: 10 Malam Terakhir.
Lailatul Qadr Malam yang lebih baik dari 1000 bulan Tetapi kadangkala menjadi bencana bagi yang tidak memahami Ganjaran pembakar semangat Akhirnya menjadi tuhan Hingga terkelambu sebulan Ramadhan Dan terlepas manusia dari peluang perubahan

10 Malam Terakhir. Antara sajian lazat di dalam Bulan Ramadhan yang mulia, dan sering sahaja 10 malam terakhir ini diulang-ulang peringatannya, bahkan semenjak awal Ramadhan lagi agar tidak disambil lewakan manusia. Apakah yang membuatkan ‟10 malam terakhir‟ begitu mengujakan? Yang menjadikan 10 malam terakhir Ramadhan kali ini amat dikejari adalah kewujudan Lailatul Qadr. Satu malam yang istimewanya melebihi 1000 bulan. Ia bukannya sama dengan seribu bulan. Tetapi jauh lebih baik lagi. Allah SWT sendiri mengisytiharkan sedemikian dalam firmanNya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar” Surah Al-Qadr ayat 1-5. Ini menyebabkan ramai yang teruja dengan Lailatul Qadr. Hendak ibadahnya dikira seakan-akan dia beribadah lebih dari 1000 bulan. Hendakkan dirinya terampun dan sebagainya. Tetapi, bila dilihat-lihat kembali, seakan wujud satu lawak di dalam hal Lailatul Qadr orang kita. Lailatul Qadr kamu, Lailatul Qadr aku “Semalam Lailatul Qadr la.” “Eh, mana ada. Seingat aku dua hari lepas la.” “Ya Allah, sungguh, aku nampak tanda-tandanya.” “Mustahillah. Dua hari lepas tu aku nampak tanda-tandanya, jelas sangat.” Mungkin ini antara perbualan yang anda akan dengari sekiranya anda kaki mendengar perbualan orang. Saya apabila mendengar perbualan ini dari rakanrakan saya, saya hanya tersengih sahaja. Boleh pula seorang kata lailatul qadr malam ini dan seorang lagi kata dua hari lepas. Mengapa ya?

Jawapannya mudah, seorang bangun qiamullail malam tadi, manakala seorang lagi bangun qiamullail dua hari lepas. Sedangkan pada dua hari lepas, yang berqiamullail hari ini tidak bangun, manakala pada hari ini, yang berqiamullail dua hari lepas tidak bangun. Maka jadilah lailatul qadr kamu, dan lailatul qadr aku. Masing-masing nak mengaku dirinya mendapat lailatul qadr, pada hari dia bangun. Mencari, bukan menunggu Rasulullah SAW dalam mengejar Lailatul Qadr telah menyatakan dengan jelas di dalam sabda baginda: “Carilah Malam Al-Qadr itu pada malam ganjil ketika 10 malam terakhir.” Hadith Sohih riwayat Bukhari. Rasulullah SAW dengan terang dan jelas menyatakan: “Carilah.” Tiada perkataan „menanti‟ atau „menunggu‟ atau mana-mana yang sekaum dengannya. Bahkan diriwayatkan di dalam hadith yang lain, dari Aisyah RH, katanya: “Nabi SAW biasanya apabila tiba sepuluh(yang akhir daripada bulan Ramadhan), baginda akan mengikat sarungnya erat-erat, beliau menghidupkan malam-malamnya dan beliau kejutkan keluarganya.” Hadith sohih Riwayat Bukhari. Dan mencari ini adalah bukan dengan „menunggu‟ petanda pelik-pelik seperti pokok sujud, langit terang, dan sebagainya. Mencari di sini adalah dengan kita bersungguh-sungguh mengisi 10 malam terakhir itu dengan ibadah kepada Allah SWT sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Sedang Rasulullah sendiri tidak „menunggu‟, bahkan baginda „mencari‟, mengapa kita asyik sibuk menanti petanda-petanda pelik? Hikmah disembunyikan Lailatul Qadr Apakah hikmahnya Allah SWT menyembunyikan malam yang hebat penuh barakah ini? Yang Rasulullah SAW sabdakan sebagai:

“Barangsiapa yang mendirikan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, nescaya akan diampunkan buatnya segala dosanya yang telah berlalu.” Hadith riwayat Bukhari. Hikmahnya adalah tersembunyi di dalam ayat berikut: “Adalah untuk melihat, di manakah antara kamu yang terbaik amalannya” Surah Al-Mulk ayat 2. Lailatul Qadr bukanlah untuk mereka yang bermalas-malasan dan bermain-main dalam beribadah kepada Allah SWT. Bukan untuk mereka yang seakan-akan menanti durian runtuh sambil bergoyang kaki, menanti keampunan Allah dengan sambil lewa. Bukan dan bukan. Lailatul Qadr adalah rezeki daripada Allah SWT yang diberikan hanya kepada mereka yang berusaha. Anda bayangkan, bagi mereka yang mendirikan kesepuluh-sepuluh malam terakhir, apakah ada kemungkinan mereka akan terlepas Lailatul Qadr? Semestinya tidak. Tetapi untuk yang lip lap lip lap? Banyak lompong untuk Lailatul Qadr bolos dari pelukan mereka. Ternyata, Lailatul Qadr hanya untuk hamba Allah yang benar-benar bersungguh berusaha. Jangan bermimpi hendak mendapatkan syurga dengan bermain-main Dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita betapa perkara besar seperti keampunan Allah, rahmatNya, syurgaNya, malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bukanlah perkara yang kita boleh dapat dengan bernasib baik seakan-akan bermain loteri. Tiada orang akan mendapat syurga dengan bermain-main. Semua mendapatkannya dengan kesungguhan. Begitulah mahalnya Al-Qadr. Tidakkah kita memahami?

Dan untuk mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh “Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal, tapi mungkin nanti malam lailatul qadr tu tertidur ke, kan sia-sia juga.” Mungkin sebahagian kita memberikan alasan sedemikian rupa. Tidak mengapa sebenarnya. Terlepas pun tak mengapa kalau kita sudah bersungguh-sungguh dari awal. Pada saya, orang yang bersungguh-sungguh dari awal, dia nampak kenapa dia beribadah, kenapa dia bersungguh-sungguh. Dia menyembah Allah, mengharap redha Allah. Bukannya dia menyembah lailatul qadr, mengharap redha malam itu kepadanya. Dan jangan kita pandang enteng rahmat Allah SWT kepada orang yang berusaha mendekati-Nya dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak pernah merasa, bahawa Allah SWT akan mesia-siakan hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh itu. Orang yang bersungguh-sungguh ini, pastinya Allah akan berikan yang terbaik untuk-Nya. Kalau tidak dapat lailatul qadr, tetapi dapat redha Allah, dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah dikira kemenangan? Kalau dapat lailatul qadr, tapi kemudian tetap jadi manusia ingkar, tak ikut peraturan yang Allah tetapkan, maka apakah yang besarnya? Pahala lebih dari 1000 bulan itu, kemungkinan akan susut dengan sikap suka mengumpat, dengan dosa-dosa, dengan menganiaya orang lain dan sebagainya. Dapat lailatul qadr, lepas tak bangun dah qiam pada malam-malam lain. Adakah itu kemenangan? Sedangkan, kita semua faham bahawa bukanlah lailatul qadr itu yang memberikan pahala. Allah jugalah yang memberikan pahala kepada kita. Dan kita tidak berRamadhan hanya kerana hendak mendapat “Lailatul Qadr”. Kita melalui Ramadhan adalah untuk mengubah diri kita. Jadi, apakah yang goyang kaki menunggu Lailatul Qadr itu adalah yang telah mengubah keadaan dirinya?

Penutup: Maka bangkitlah. Bersungguh-sungguh! Maka, selagi ada waktu, kita sepatutnya memperbaiki kefahamanan ini, dan bangkit menjadi manusia yang bersungguh-sungguh sedari mula lagi. Kita semarakkan Ramadhan dengan kesungguhan kita. Mengambil segenap ruang dan peluang yang ada untuk kita gunakan Ramadhan sebagai medan perubahan pada diri kita. Kita tidak lagi memegang kepercayaan yang biasa. Menanti Ramadhan sekali setahun hanya untuk mendapat „lesen‟ beraya. Menanti Lailatul Qadr, seakan-akan menjadi „piala‟ bahawa dia telah menjalani Ramadhan dengan baik. Tidak dan tidak. Kita menjalani Ramadhan, adalah untuk mengubah diri kita. Ya. Fokus dengan kepercayaan itu. Dan bergeraklah!

Bab 11: Kamu tidak layak untuk Aidilfitri.
Apakah kita fikir kita layak, Untuk ke majlis orang-orang yang berjaya mencapai ijazah taqwa? Sedang kita selama Ramadhan bersambil lewa? Sungguh AidilFitri perayaan kembali kepada fitrah, Maka apakah yang ada untuk manusia yang masih di tempat yang sama? Ramadhan dilepaskan begitu sahaja, Tiba-tiba Aidilfitri kita yang sibuk berhari-raya Sungguh manusia itu alpa dan lupa Tidak sedar akan dirinya siapa

Apabila Aidilfitri sudah semakin hampir. Bagaimanakah keadaan kita? Ya, pastinya ramai yang bergembira, pastinya ramai yang bersukaria. Kadangkala, hingga kita terlupa bahawa Ramadhan hadiah Allah itu sudah hendak pergi meninggalkan kita. Kadangkala, hingga kita memberhentikan segala ibadah dan amalan kerana kononnya hendak fokus kepada Aidilfitri yang menjelang. Saya melihat kepada diri saya sendiri. Satu soalan yang beberapa tahun kebelakangan ini saya tanya pada diri. “Apakah saya adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?” Persoalan itu timbul di dalam diri saya. Oh ya, sebelum kita pergi jauh kepada persoalan yang ditimbulkan oleh saya itu, saya ingin membuka satu lagi persoalan: “Apakah kita ini tahu sebenarnya Aidilfitri itu untuk siapa?” Tahukah? Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya? Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya? Makna Aidilfitri dan hakikatnya Perkataan „Aid‟ atau („id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan „fitri‟ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: „idulfitr. Perkataan „id + al-fitr. Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian? Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan? Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang

seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat. Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain. Itulah maknanya Aidilfitri. Persoalannya, apakah kita...? Persoalannya, apakah kita telah mengisi Ramadhan dengan bersungguhsungguh? Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguhsungguh? Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita? Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan? Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan dalam keadaan sudah hampir hendak pergi meninggalkan kita, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan? Saya ada rasa sedikit malu pada diri saya. Sebab saya kira, Aidilfitri bukan untuk saya. Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka. Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tidak banyakkan pun sedekah. Kita tidak rancang apa-apa pun amal untuk

Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan „keimanan dan berkira -kira‟. Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya. Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Saya rasa malu. Perayaan Aidilfitri yang hakiki Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa. Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah. Tetapi lihatlah, pada 2hb Syawal, kita sudah boleh mula berpuasa enam. Tandanya, 2hb Syawal bukanlah hari besar ummat Islam. Jika di Jordan, suasana ini saya rasai. Pada hari ke-2, sudah berakhir segala promosi raya. Yang ada mungkin hanya ziarah menziarahi sepanjang cuti. Biasanya Kerajaan Jordan akan memberikan cuti sekitar lima hari. Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari. Tulisan saya ini, bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah. Tujuan artikel ini ditulis, adalah untuk menunjukkan, di mana hakikatnya kita perlu meletakkan kegembiraan kita yang sebenarnya. Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih. Saya lihat, sheikh-sheikh saya yang berdiri lama mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan, yang masuk „hard mode‟ dalam Ramadhan dalam beribadah dan menyebarkan kebaikan, cukup bersederhana

meraikan Aidilfitri sehari cuma. Saya jujurnya, malu pada diri saya sendiri. Sebab itu, puisi itu muncul Rentetan hal ini, saya ada menulis sebuah puisi setahun yang lalu: Aidilfitri belum tiba lagi, Tidak perlu ucapkan Selamat Hari Raya untukku tika ini, Sedang Ramadhan kekasihku cintaku hendak bergerak pergi, aku tidak berkenan merayakan apa-apa kini waktu ini waktuku untuk waktunya sahaja. Sekarang ini, aku hanya peduli Ramadhan dan Tuannya sahaja. Aidilfitri belum tiba lagi, dan belum tentu aku layak merayakannya nanti Kerna Aidilfitri, Hanyalah perayaan bagi mereka yang berjaya mengisi Ramadhan sesempurna hati ~Hilal Asyraf~ 050910 1005AM Rumah, Johor Malaysia Puisi ini bukanlah hakikatnya untuk menghalang diri kita dari menyebut selamat hari raya. Tetapi adalah untuk kita rasa tersindir dengan sikap kita yang sebenarnya tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun, namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk dia. Saya amat terkesan dengan sahabat merangkap senior saya: Abang Ali Irfan bin Jamaluddin. Saya berkata kepadanya tahun lepas ketika beberapa hari sebelum tamat Ramadhan: “Selamat Hari Raya Abang Ali.” Terus dengan pantas dia membalas: “Ish, Ramadhan belum habis lagi.” Ya. Saya malu. Saya jadi malu. Saya telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan saya. Sepatutnya, saya dakap Ramadhan erat-erat sebelum dia meninggalkan saya.

Sepatutnya, saya „terpaksa‟ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me‟rela‟kan perpisahan saya dengannya. Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia. Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik. Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya. Penutup: Kita patut lihat diri kita semula. Muhasabah agar kita adalah yang layak untuk Aidilfitri. Kita hakikatnya masih ada waktu lagi untuk kita memasukkan diri kita dalam kalangan mereka yang layak merayakan Aidilfitri. Kita masih ada waktu. Kita masih ada peluang. Ramadhan yang berjalan ini tidak patut kita sia-siakan. Kita sepatutnya melihat semula diri kita. Hari-hari yang telah berlalu, apakah yang telah kita lakukan. Kemudian perhatikan, apakah kita ini hakikatnya layak merayakan Aidilfitri? Sama-samalah kita muhasabah. Waktu masih ada. Jangan jadi hamba yang tidak bersyukur, kemudian celaka. Sedang Ramadhan ini Allah berikan sebagai hadiah yang besar buat kita para pendosa. Apakah tergamak kita membuang Ramadhan ini begitu sahaja?

Penutup: Ramadhan itu hanya tempat berteduh.
Dan katalah Ramadhan itu telah berlalu, Apakah telah mati Tuhanmu itu? Dan katalah Ramadhan itu telah pergi, Apakah dunia ini kehilangan Ilahi?

Bayangkan kita sekarang sudah masuk ke bulan syawal. Sudah beberapa hari kita meninggalkan bulan tercinta kita, yakni Ramadhan. Kita tidak lagi berada di bulan yang mulia dan dimuliakan itu. Saya suka bertanya bagaimana kondisi hati kita sekarang di bulan Syawal ini? Bagaimana amal? Bagaimana akhlak? Bagaimana sikap? Adakah kita hari ini, telah meninggalkan segala-gala didikan yang kita dapat dalam Ramadhan lalu? Duduklah sebentar, lihat pada diri sendiri tanpa menuding kepada orang lain. Saat Ramadhan telah terlepas dari gapaian kita. Sedang Ramadhan yang akan datang belum tentu ada buat kita. Duduklah sebentar dan fikirkan keadaan ini. Apakah perasaan kita? Wahai pembaca, ketahuilah bahawa, Ramadhan itu hanya tempat berteduh sahaja. Tempat berteduh untuk mengambil bekal buat perjalanan yang masih panjang. Masih ingatkah kita nanti ketika itu? Masih ingatkah kita, apabila kita telah menjejak Syawal, bagaimana kita bersungguh-sungguh mengisi masa di dalam Ramadhan lalu? Adakah jam kita telah berkurang pada bulan lain, menyebabkan kita rasa lemah untuk mengekalkan prestasi kita di Ramadhan lalu? Masih ingatkah bagaimana kita bersungguh-sungguh menjaga akhlak dan perilaku semasa Ramadhan lalu? Apakah kebaikan-kebaikan itu telah tidak dikira, tertutup pada bulan lain, menyebabkan kita rasa tidak perlu untuk meneruskan kebaikan itu? Masih ingatkah bagaimana kita bersungguh-sungguh mencari keredhaan Allah SWT dalam Ramadhan yang lalu? Apakah Allah SWT tidur pada bulan lain, atau telah mati pada bulanbulan yang lain, meyebabkan kita merasakan tidak lagi berguna kita meneruskan kesungguhan kita itu?

Ramadhan itu tempat berteduh. Wahai pembaca, ketahuilah bahawa Ramadhan itu tempat berteduh sahaja. Hanya tempat berteduh untuk orang-orang beriman mengisi semula bekalan mereka. Taqwa, sebaik-baik bekal dalam perjalanan manusia untuk menembusi akhirat. Maka apakah maknanya andai kita tidak membawa bekalan itu ke bulanbulan yang lain? Ramadhan bukan segala-galanya. Maka jangan kita tinggalkan segalagalanya di dalam Ramadhan sahaja. Sepatutnya apabila kita menjejak Syawal nanti, keluar dari Ramadhan nanti, kita ingat kembali kehidupan kita dalam bulan yang mulia ini, Ramadhan ini. Malulah kita kepada Allah yang sentiasa hidup dan berjaga, jika kita hanya bersungguh di dalam Ramadhan sahaja. Bukankah kita ini menyembah Allah, bukannya Ramadhan? Apa yang telah anda lakukan kepada Allah yang memberikan Ramadhan sebagai hadiah kepada kita? “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah Al-Baqarah ayat 255. Konsep Ramadhan adalah konsep teduhan penuh bekal. Bekalan yang hanya mampu diambil dengan didikan. Sekarang adalah masa merealisasikan didikan Ramadhan. Kalau sekarang kita meninggalkan kebaikan-kebaikan yang kita berjaya lakukan, yang kita dapat buat semasa Ramadhan, maka bukankah kita ini hamba yang merugi? Jangan sesekali kata: “Pahala aku masa Ramadhan telah digandagandakan. Apa salahnya berehat-rehat di bulan yang lain.”

Sesungguhnya kita adalah hamba yang palsu jika befikiran sebegitu. Untuk siapakah anda bersungguh-sungguh dalam Ramadhan? Untuk mencapai keredhaan Allah kah, atau semata-mata untuk berbuat dosa lebih banyak pada bulan lain? Apakah maknanya ketaatan di bulan Ramadhan jika untuk digadaikan dengan keingkaran di bulan yang lain? “Ramadhan depan ada lagi.” Jika kata-kata itu keluar, anda manusia terangkuh sekali di alam ini. Andakah yang memegang nyawa wahai pembaca? Anda kah? Bagaimana anda tahu anda boleh hidup lagi pada Ramadhan akan datang? Bagaimana kalau nyawa anda ditarik, di tengah-tengah kealpaan semasa mengharungi 11 bulan yang lain? Penutup: Dan permusafiran hidup itu perlu diteruskan. Ramadhan itu tempat berteduh sahaja. Hanya tempat berteduh, untuk kita mengambil bekal yang disediakan. Bekalan taqwa dan peningkatan keimanan. Untuk kita harungi 11 bulan lagi ibarat musafir dalam perjuangan. Sebelum Allah izinkan kita kembali semula ke bulan teduhan Ramadhan, mahupun Allah menarik kita di tengah perjalanan. Hiduplah wahai diri saya dan pembaca. Hiduplah kita dengan kehidupan hamba. Tunduk sepanjang masa tanpa sekalipun mendabik dada kepada Allah yang mencintai kita. Muhasabah kembali saat-saat Ramadhan kita yang telah dilalui apabila nanti kita telah keluar dari Ramadhan ini. Realisasikanlah didikan yang kita perolehi dalam Ramadhan. Atau kita sebenarnya hamba-hamba yang merugi. Semasa masih mempunyai rezeki hidup di dalam Ramadhan ini, mari kita fikir-fikirkan saat Ramadhan ini berlalu pergi nanti. Apakah kita ingin Ramadhan ini pergi dalam keadaan kita tidak sempat mengambil bekal? Atau kita ingin Ramadhan ini berlalu dalam keadaan kita sempat mengambil bekal yang mencukupi? Sungguh, selepas Ramadhan masih wujud kehidupan. Ramadhan hanyalah teduhan.

Manifestasi Taqwa ijazah Ramadhan itu adalah dalam melalui kehidupan, bukan dengan melalui Ramadhan.

Layari laman web Langitilahi.com bagi mendapatkan pengisian-pengisian yang bermakna dan penuh manfaat sepanjang bulan Ramadhan ini!

© Langitilahi.com Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu. Sekiranya anda ingin meniagakan e-buku ini, sila hubungi terus Hilal Asyraf di emailnya; hilalasyraf@gmail.com Mari Menjadi Hamba

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful