You are on page 1of 5

Lebih 50,000 dibunuh di Darfur dan sejuta jadi pelarian - Bantuan AS dan PBB ada muslihat

Oleh Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia 22 Ogos 2004

APAKAH yang sebenarnya berlaku di Darfur, Sudan hingga mengakibatkan 50,000 nyawa terkorban dan lebih sejuta lagi rakyat terpaksa meninggalkan kampung halaman masingmasing? Sejak awal tahun ini Darfur tiba-tiba tercatat terang dalam peta dunia. Ia tercatat kerana mengikut media Barat di sini berlaku pembersihan etnik dan krisis kemanusiaan yang paling hebat. Benarkah wujud pembersihan etnik seperti yang berlaku di Bosnia? Gambaran kekejaman di Bosnia melekat di fikiran sesiapa saja. Tidak kira Barat atau Timur, Bosnia adalah sejarah ``Nazi moden'' yang meninggalkan trauma panjang. Lalu apabila Darfur dikaitkan dengan wujudnya pembersihan etnik, berita militan Janjaweed membunuh dan memperkosa di media Barat, dunia segera mempercayainya. Sama ada benar atau sebaliknya wujud pembersihan etnik, bukan persoalannya. Media Barat dan aktivis hak asasi manusia yang pro-Amerika Syarikat (AS) sudah berjaya meyakini dunia dengan sokongan sebuah badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). AS berminat untuk campur tangan dalam hal dalaman Sudan. Hasrat ini dilakukan dengan memperalatkan PBB untuk menggunakan resolusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. AS bukan mahu memberhentikan pembunuhan yang dilakukan oleh militan Arab, Janjaweed ke atas orang kulit hitam. Pecahan etnik di Sudan ialah 52 peratus etnik kulit hitam, 39 peratus Arab, 6 peratus Beja dan 2 peratus orang asing. Darfur bagi AS mempunyai potensi ekonomi sekiranya Sudan menjadi Iraq. Orang awam terus dibunuh, wanita dan kanak-kanak diperkosa. Presiden Omar Al Bashir pula bukanlah seorang pemimpin yang baik. Dia merampas kuasa, memerintah dengan kuku

besi dan kini menggunakan militan Arab untuk mencetuskan huru-hara di Darfur. Omar Al Bashir mempunyai musuh politik di Darfur. Bekas Speaker Parlimen Sudan, Hassan Al Tarubi mempunyai pengaruh yang hebat malah cuba merampas kuasa daripada Omar Al Bashir. Orang awam yang dikorbankan di Darfur adalah kesan sengketa politik dan strategi untuk melumpuhkan musuh politik apabila Darfur menjadi medan perang. Bagaimanapun pertelingkahan etnik di Darfur sebenarnya bukan perkara baru. Malah bukan saja Darfur, Sudan sendiri mencatatkan rekod perang saudara yang paling panjang iaitu 17 tahun. Tetapi krisis politik yang melibatkan militan Arab, Janjaweed, ia membuka laluan kepada kuasa luar untuk menjadi dalang yang mengeksploitasi keadaan runcing ini. Media dan aktivis hak asasi manusia khususnya di Amerika Syarikat (AS) dengan tiba-tiba menjadi begitu ``manusia'' dan memperjuangkan kemanusiaan. Kalau merujuk kepada para aktivis hak asasi manusia yang condong kepada AS, Darfur mesti diselamatkan. Kuasa besar dalam konteks ini tentulah AS dan Britain dan mereka wajar memainkan peranan untuk mengembalikan kemanusiaan di Darfur. Bunyinya memang manis dan sangat ``kemanusiaan''. Membaca krisis politik dalaman Sudan sesulit memahami kepelbagaian etnik yang mempunyai perjuangan berbeza di negara itu. Kerana itu sejarah Sudan dipenuhi dengan perang saudara. Sementara AS pula selalu masuk dan membuat kacau di negara lain dengan alasan memperjuangkan kemanusiaan. Modus operandi ini digunakan di banyak negara di mana AS mempunyai kepentingan tertentu. Contohnya di Afghanistan. Motifnya menumbangkan rejim pemerintah yang anti-AS. Contoh terbaru di Iraq. Motifnya sama juga. Iraq mempunyai sumber minyak di bawah rejim Saddam Hussein anti-AS. Semua yang dilakukan oleh AS dengan tentera sekutunya menumpang krisis dalaman negara berkenaan. Apabila ada krisis dalaman, ada pula kekacauan. Lalu AS boleh campur tangan demi ``untuk memperjuangkan kemanusiaan''.

Darfur yang terletak di selatan Sudan adalah kawasan yang subur dan kaya dengan hasil minyak. Darfur mengikut sejarah adalah sebuah negara Islam yang total tetapi menyertai Sudan pada 1916. Bagi politik dalaman, Darfur menjadi kebimbangan Omar Al Bashir. Lalu membawa penglibatan Arab untuk menghalau rakyat ke Chad yang bersempadan dengan Sudan. Kerana itu sejak awal tahun ini, Darfur meninggalkan mimpi yang paling ngeri kepada penghuni yang mendiami kawasan ini. Krisis politik dalaman Sudan memang buruk. Dua kelompok pemberontak utama Sudan, Tentera Pembebasan Sudan (SLA) dan Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM) menjadi musuh rejim pemerintah. Sementara militan Arab pula difahamkan mahu membalas dendam terhadap kumpulan etnik Afrika yang berkulit hitam. Penglibatan AS di Darfur sangat licik. AS dan Britain mencampuri hal ehwal dalaman Sudan dengan tiket PBB yang ternyata telah lama diamerikakan. Maka yang kelihatan di Darfur bukanlah AS atau Britain tetapi PBB. Di dunia ini kalau tidak yakin kepada PBB, kepada siapa lagi biarpun semua tahu PBB adalah AS? PBB pula mempunyai tiket ``pembersihan etnik'' yang membolehkan badan dunia itu campur tangan dalam hal ehwal dalam negara Sudan. Darfur atau dalam kata lain Sudan akan menjadi Iraq kedua. Negara yang merdeka daripada Britain pada 1956 ini akan dijajah oleh AS dengan modus operandi yang dilakukan di Iraq. Dunia tidak mungkin melupakan tragedi krisis kemanusiaan yang paling besar di Bosnia. Tragedi di Bosnia adalah yang kedua selepas pembersihan etnik Yahudi yang dilakukan oleh tentera Nazi di dalam Perang Dunia Kedua dulu. Tetapi apakah yang dilakukan oleh PBB untuk menghalang orang awam Bosnia daripada disembelih oleh Serbia? Adakah Majlis Keselamatan PBB bertindak pantas ke Bosnia seperti mereka memberikan tempoh 30 hari kepada rejim Omar Al Bashir untuk mengamankan Darfur? Penglibatan Majlis Keselamatan PBB dalam krisis di Darfur mempunyai helah untuk memberi laluan kepada AS dan Britain ke Sudan.

Pada Januari lalu saja dianggarkan 10,000 pelarian dari Darfur menyeberangi sempadan ke Chad. Mereka meninggalkan kampung halaman apabila militan Janjaweed mengganas membunuh dan memperkosa wanita dan kanak-kanak. Sudan kini diancam kebuluran dan penyebaran wabak penyakit yang tidak terkawal lagi. Semua ini disebabkan oleh tahap kesihatan yang paling rendah di kem-kem pelarian. Selain 50,000 telah mati dibunuh, dianggarkan lebih sejuta orang lagi akan menghadapi kebuluran. Dalam keadaan sekarang dianggarkan lebih sejuta orang akan mati kebuluran. Bayangkan apabila Majlis Keselamatan PBB mengenakan segala macam sekatan ke atas Sudan? Semua senario krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh AS ini telah berlaku di Iraq. Sebuah negara yang sekaya seperti Iraq akhirnya kebuluran, apatah lagi Sudan yang terkenal dengan kemiskinan? Majlis Keselamatan PBB telah memberi tempoh 30 hari kepada Sudan untuk melucutkan senjata militan Janjaweed. Ini bermakna sekiranya Sudan gagal mematuhi ketetapan majlis itu, Sudan berdepan dengan sekatan diplomatik dan ekonomi. Rejim pemerintah Sudan menganggap Majlis Keselamatan PBB telah melancarkan perang ke atas Sudan. Semua ini mencari helah dengan menggunakan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh Majlis Keselamatan untuk memporak- perandakan negara yang terkenal dengan krisis politik dalaman itu. Omar Al Bashir khabarnya tidak akan tunduk kepada tekanan AS menerusi Majlis Keselamatan PBB ke atas Sudan. Sementara itu sebuah akhbar Britain, The Telegraph melaporkan bahawa pengintip dan komando AS sudah berada di Sudan untuk memburu pengganas yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda. Malangnya menjadi rakyat di sebuah negara yang miskin lagi kucar-kacir. Sudan dihuni oleh 39.1 juta orang dengan pendapatan negara hanya AS$1.4 bilion. Perbelanjaan negara pula AS$1.6 bilion. Sudan mempunyai hasil minyak tetapi kemiskinan membuatkan hasil itu tidak mungkin dimanfaatkan sebanyak yang mungkin. Kuasa-kuasa besar seperti AS dan Britain sebenarnya bukan bersimpati kepada mereka. Sebaliknya mencari peluang untuk menguasai Darfur serta telaga minyaknya secara sah

dengan keizinan PBB. Inilah yang berlaku di Sudan. Pembunuhan yang dilakukan oleh pihak militan dan ancaman penyakit yang membawa kepada maut sentiasa menunggu mereka. Bayangkan selama 17 tahun Sudan terperangkap dalam perang saudara, sebanyak 1.9 juta orang kehilangan nyawa terutama di selatan dan tengah Sudan. Mengikut perkiraan seorang daripada lima orang mati dalam perang saudara sebelum ini. Sudan barangkali hanya boleh berbangga apabila negara itu mencatatkan rekod perang saudara yang paling lama di dunia. Demikianlah apabila pemimpin berkuku besi, naik takhta dengan rampasan kuasa dan dia sebenarnya tidak pernah kasih dan sayang kepada rakyatnya. Rakyat bagi orang seperti Omar Al Bashir tidak lebih biri-biri yang menyumbangkan kekayaan kepada dia. Sekiranya Sudan kecundang di tangan AS, rakyat jelata akan terus menderita. Nasib rakyat tidak akan berubah apa-apa. Mereka akan terus jadi pelarian, mangsa pembunuhan dan kekayaan negara menjadi milik orang.

You might also like