Prophet Solomon (pbuh), Queen Balqis, Transportation & Wormhole

By: Prof. Ir. Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat

Dalam kitab-kitab suci agama samawi seperti Al-Quran terdapat catatan potongan sejarah Nabi Sulaiman a.s dan Ratu Balqis. Dalam potongan sejarah itu (sila rujuk Surah An-Naml ayat 38-44), Nabi Sulaiman a.s bertanya kepada pakar dalam kerajaannya siapa yang boleh membawa singgahsana Ratu Balqis sebelum ratu itu tiba di Palestin dalam perjalanannya dari Saba’. Jin Ifrit sanggup membawanya dalam tempoh satu malam (sebelum Nabi Sulaiman sempat berdiri dari tempat duduknya). Seorang manusia yang berilmu boleh membawanya dalam tempoh sekelip mata. Sehingga kini tiada siapa yang tahu bagaimana manusia yang hidup pada zaman Nabi Sulaiman itu melakukan apa yang tidak boleh dilakukan oleh Jin dan Nabi sendiri. Sehingga kini, ia hanya dilihat sebagai satu cerita dalam kitab suci yang tidak mampu digapai oleh manusia zaman ini. Ketika para pakar tidak dapat menggapai kebolehan manusia misteri pada zaman Nabi Sulaiman a.s itu, penulis cerita-cerita sains fiksyen pula banyak menulis cerita mengenai kebolehan melakukan perjalanan yang jauh dalam masa yang sangat singkat. Pakar-pakar Fizik teori juga telah menunjukkan kemungkinan ini. Mereka mengemukakan idea kewujudan apa yang dikatakan lubang ulat (wormhole) dalam alam semesta ini yang menjadi jalan sangat pintas. Analoginya adalah seekor ulat boleh sampai dari satu bahagian ke bahagian bertentangan dalam sebiji buah jambu dengan menebuk lubang melalui pusat buah itu. Dalam alam semesta, keadaan yang serupa mungkin berlaku apabila wujud luabng ulat yang menggabungkan satu kawasan yang jaraknya beribu tahun cahaya boleh dicapai dalam masa beberapa jam sahaja. Kewujudan lubang ulat ini juga memungkinkan manusia undur ke masa yang silam (Hawking 1988). Bagi pakar pengangkutan, perkara ini adalah satu idaman yang diimpi-impikan seperti impian 700 tahun dahulu untuk terbang. Impian dahulu menjadi kenyataan hari ini. Demikian juga halnya dengan lubang ulat yang membolehkan manusia melakukan perjalanan yang amat jauh dalam masa yang amat singkat, impian hari ini adalah kenyataan masa depan. Kemajuan dalam bidang ICT dan bidang lain dijangkakan akan dapat memanfaatkan penemuan secara teori ini.
Sumber: Pengurusan Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System), Prof. Ir. Riza Atiq, Terbitan: UKM, Bangi 2009