SME 3023

TRENDS AND ISSUES IN EDUCATION FOR MATHEMATICAL SCIENCES
TUGASAN INDIVIDU “MATHEMATICS ANXIETY”

TENGKU FARAH NORFADHILAH BT ENGKU AZMAN D20081033202 SCIENCE (MATHEMATICS) WITH EDUCATION (AT48) LECTURER’S NAME : PROF. DR. MARZITA PUTEH

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN “FOBIA TERHADAP MATEMATIK”?

Matematik merupakan satu bidang yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Tanpa pengetahuan matematik, seseorang itu akan menghadapi masalah kerana matematik sangat berkait rapat dengan aktiviti harian kita yang mana melibatkan pengiraan masa, wang, bentuk dan sebagainya. Oleh sebab itu matematik dijadikan subjek teras di sekolah-sekolah supaya setiap pelajar dapat mengaplikasikan ilmu matematik di dalam hidup masing-masing. Namun begitu, berlaku fenomena di mana kebanyakan pelajar lemah dalam subjek matematik. Sehubungan dengan itu, kajian telah dibuat terhadap para pelajar bagi mencari faktor-faktor penyebab mengapa ramai pelajar kecundang dalam subjek matematik. Hasilnya ternyata pelajar-pelajar yang berpencapaian rendah telah mengalami “mathematics anxiety” iaitu kebimbangan terhadap matematik atau dalam bahasa mudahnya, tidak suka, benci, gerun, fobia dan pelbagai lagi perasaan negatif bila berhadapan dengan perkara-perkara yang melibatkan matematik.

Sebagai seorang pelajar, pernahkah anda merasa tertekan apabila menyebut tentang kelas matematik? Pernahkah anda merasa bimbang atau fikiran bercelaru apabila berhadapan dengan masalah-masalah yang memerlukan pengiraan dalam kehidupan seharian? Jika jawapannya ya, anda mungkin salah seseorang yang mengalami masalah “mathematics anxiety”. Kebimbangan terhadap matematik ini telah ditakrifkan sebagai gangguan perasaan, tertekan dan bimbang dengan sesuatu manipulasi nombor dan menyelesaikan masalahmasalah matematik sama ada melibatkan pelbagai situasi kehidupan seharian mahupun dalam bidang akademik (Lindquost, 1981). Apabila seseorang mengalami masalah kebimbangan terhadap matematik, individu tersebut akan mudah lupa dan hilang keyakinan diri. Golongan ini akan merasa rendah diri dan tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti kelas matematik. Kebanyakan pelajar yang menghidap fobia matematik ini, fikirannya akan kosong dan berserabut walaupun hanya melibatkan pengiraan mudah. Sigmund Freud (1936) pula menerangkan tentang maksud kebimbangan (anxiety) dalam konteks teori psikologi sebagai sesuatu yang dirasai, perasaan yang kurang menyenangkan yang mana dialami di serata dunia.

MENGAPAKAH MASALAH INI BERLAKU?

Setiap apa yang berlaku di dunia ini pasti ada sebab musababnya. Pelbagai kajian telah dibuat dalam usaha mencari punca yang menyumbang ke arah berlakunya masalah fobia terhadap matematik. Menurut Lazarus (1974), beliau menyatakan bahawa hal ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam penyusunan dan perancangan kurikulum matematik. Kurangnya kemahiran juga menyebabkan pemahaman terhadap matematik agak susah bagi kebanyakan orang. Disebabkan terdapat pelbagai faktor yang sangat berkait rapat antara satu sama lain, adalah sukar untuk kita tentukan apakah punca sebenar berlakunya masalah fobia terhadap matematik. Namun begitu, penyelidikan terus dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini. Ada yang berpendapat bahawa masalah ini berlaku adalah kesan daripada pembawaan sikap negatif daripada orang dewasa kepada kanak-kanak (Bush, 1991). Manakala McMillan (1976) menemui puncanya adalah daripada sikap guru dan keghairahan terhadap suatu subjek yang boleh memberi impak yang besar terhadap sikap pelajar berbanding mendidik pelajar itu sendiri. Selain itu, guru-guru yang turut mempunyai masalah fobia atau bimbang terhadap matematik telah menyalurkan perasaan yang sama kepada pelajar-pelajar mereka (Kelly dan Tomhave, 1985; Bulman dan Young, 1982 dan Lazarus,1974).

Ibu bapa merupakan individu-individu yang paling hampir dengan para pelajar selain daripada guru-guru dan rakan-rakan mereka. Sikap negatif sesetengah ibu bapa yang sangat suka memaksa anak-anak mereka mungkin menambahkan lagi fobia matematik para pelajar. Berdasarkan kajian yang telah dikendalikan oleh Puteh (1998), beliau telah menemui beberapa sebab yang menyumbang ke arah kebimbangan terhadap matematik. Antaranya ialah personaliti guru dan gaya pengajaran yang digunakan oleh guru; peperiksaan awam dan kesannya; domain afektif yang melibatkan faktor diri sendiri (personaliti & persepsi); perasaan bimbang, takut serta kesulitan untuk mengingat mahupun kecacatan semulajadi. Selain itu, faktor lain adalah kerana ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anakanak mereka supaya cita-citanya tercapai; pengaruh rakan sebaya; dan perkaitan penggunaan matematik dalam kehidupan seharian.

SIAPAKAH YANG MENGALAMINYA?

Apabila kita menyebut tentang “fobia terhadap matematik”, sudah tentu kita akan membayangkan golongan-golongan yang mengalami masalah ini adalah dalam kalangan mereka yang terlibat dalam bidang akademik khususnya pelajar-pelajar sekolah. Pihak kerajaan telah menjadikan matematik menjadi subjek wajib yang perlu dipelajari oleh setiap pelajar sekolah kerana matematik digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Berbeza dengan pelajar universiti yang mana mereka bebas memilih program yang ditawarkan oleh universiti mengikut pilihan mereka sendiri. Bagi pelajar yang fobia terhadap matematik, sudah pasti program-program dan kursus-kursus yang berkaitan dengan subjek tersebut akan ditolak awal-awal oleh mereka kerana pengalaman pahit yang mereka pernah lalui. Pada kebiasaannya, pelajar sekolah yang mengalami masalah ini adalah pelajar daripada didikan guru yang gagal menarik minat pelajar terhadap matematik. Sikap guru yang bertindak seperti diktator, garang, tidak mesra pelajar, suka berleter dan marah-marah terhadap pelajar menambahkan lagi fobia pelajar terhadap matematik. Pelajar akan merasa takut untuk bertanyakan kepada guru kerana bimbang akan dimarahi seterusnya menyebabkan mereka malu dengan rakan-rakan sekelas.

Selain itu, guru juga mungkin mengalami masalah ini. Salah satu fenomena yang terjadi dalam bidang pendidikan adalah apabila seorang guru yang bergraduat dengan subjek tertentu tetapi apabila ditempatkan di sekolah-sekolah, mereka perlu mengajar selain daripada subjek yang mereka belajar di universiti malah sedikitpun tidak berkait dengan kemahiran yang mereka ada. Hal ini menyebabkan guru yang kurang fasih dan mahir dalam bidang yang perlu diajar terpaksa mengajar secara ala kadar setakat yang mereka tahu. Tambahan lagi, sekiranya seseorang guru pernah melalui pengalaman pahit dan tidak suka dengan subjek matematik, mahu atau tidak mereka perlu mengajarnya kerana kekurangan guru di sekolah tersebut. Permasalahan ini menyebabkan guru tersebut bersikap acuh tidak acuh, terkadang mereka melakukan perkara yang sama yang telah dilakukan oleh guru mereka dahulu. Apabila seseorang ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab yang tidak sepatutnya, hasilnya lahirnya pelajar yang tidak suka terhadap matematik. Sedangkan guru sendiri tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar subjek tersebut, apatah lagi para pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan matematik, objektif pengajaran yang dirancang pula tidak akan tercapai.

BILAKAH MASALAH INI TERJADI? Dalam mencari punca-punca yang menyebabkan berlakunya perasaan fobia terhadap matematik, kita seharusnya meneliti dari akar umbi mengapa masalah ini berlaku. Seperti yang kita sedia maklum, boleh dikatakan semua rakyat Malaysia akan dan telah melalui zaman persekolahan. Oleh sebab itu, sudah semestinya mereka akan merasai berada di dalam kelas matematik sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di sekolah menengah kerana matematik merupakan subjek yang wajib dipelajari di mana-mana sekolah. Di sinilah bermulanya perjalanan seorang pelajar yang akan melalui pembelajaran matematik di dalam kelas dan individu yang bertanggungjawab mendidik pelajar tidak lain dan tidak bukan adalah gurunya. Sebelum menempuh alam persekolahan, mungkin ada pelajar yang sangat suka belajar matematik kerana dalam kehidupan mereka baru bertemu dengan masalah pengiraan asas seperti tambah dan tolak. Namun apabila mereka belajar di sekolah, barulah mereka akan diajar dan diperkenalkan dengan rumus, formula dan fakta-fakta matematik. Sekiranya guru gagal menerangkan dengan jelas kepada pelajar tentang konsep-konsep asas matematik kepada pelajar, hal ini yang menyebabkan timbulnya perasaan tidak suka, benci, tertekan dalam diri pelajar. Apabila asasnya sudah rapuh, bagaimana pelajar mampu meneruskan pembelajaran dengan cemerlang kerana dalam diri mereka sudah muncul perasaan negatif terhadap matematik berikutan mereka tidak faham tentang apa yang di ajarkan oleh guru. Manakan tidak, cuba kita bayangkan, jika kita tidak suka kepada sesuatu benda tetapi mahu atau tidak kita harus berhadapan dan menerimanya, sudah pasti kita akan merasa menyampah kerana fikiran kita berkata yang kita tidak menyukainya. Kesan daripada perasaan tersebut, lalu terjadilah fobia terhadap matematik. Sudah menjadi lumrah manusia yang dikurniakan sifat ingin tahu. Pelajar yang aktif di sekolah akan gemar bertanya kepada guru kenapa dan mengapa. Sebagai contoh jika guru memberikan sesuatu rumus kepada pelajar, terdapat pelajar yang bertanya bagaimana rumus tersebut dihasilkan. Sesetengah guru yang suka ambil mudah dan lepas tangan akan membiarkan soalan pelajar tanpa sebarang jawapan dan tergantung, ada juga yang meminta pelajar hanya menghafal rumus tersebut tanpa banyak soal. Proses pemikiran pelajar yang baru mahu bercambah awal-awal lagi sudah dicantas oleh guru. Masalah kecil yang dipandang remeh inilah yang menyebabkan timbulnya rasa benci dalam diri pelajar terhadap matematik sekaligus menghakis minat pelajar dalam mendalami ilmu matematik. Tidak semua pelajar mempunyai tahap pemikiran yang cerdas dan cepat memahami sesuatu tajuk. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pelbagai aktiviti dijalankan di dalam kelas termasuklah aktiviti soal jawab dan ujian. Pelajar yang gagal menjawab soalan yang diajukan

oleh guru dan mendapat markah ujian yang rendah berbanding rakannya yang lain, mereka akan merasa malu apabila ditertawakan oleh rakan-rakannya yang lain. Kesan daripada itu, akan terbit perasaan benci dan fobia sekiranya berhadapan dengan situasi yang sama. Mereka akan rasa takut untuk mencuba lagi. Dalam hal ini, guru dan rakan sebaya memainkan peranan penting untuk mengembalikan semangat pelajar dan sebaiknya mengelakkan perkara ini berlaku. Sebaliknya guru perlu memberi peneguhan positif bagi pelajar yang lemah dalam subjek matematik.

APAKAH PENYEBAB KEPADA MASALAH INI? Matematik merupakan satu subjek yang kadang-kadang dilihat sebagai penentu sama ada seseorang itu bijak atau tidak. Sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar perlu berusaha gigih sebelum diterima masuk di institut pengajian tinggi. Sejak di bangku sekolah rendah hingga sekolah menengah, pelajar diberi tekanan supaya lulus dengan cemerlang dalam subjek matematik sekaligus mencipta kebimbangan dalam diri pelajar. Mereka akan merasa risau dan takut sekiranya mereka gagal mencapai cita-cita mereka untuk ke menara gading disebabkan oleh berpencapaian rendah dalam peperiksaan matematik. Sistem pendidikan sebegini telah menghasilkan pelajar yang terikat dengan peperiksaan. Mereka cenderung untuk mengikut dan menelan sahaja apa yang diajarkan oleh guru mereka kerana sudah tentu guru sudah “masak” dengan soalan-soalan yang biasa ditanya dalam peperiksaan. Pelajar akan mengikut langkah demi langkah seperti yang diajar oleh guru sehingga mereka tidak mahu mencuba untuk memikirkan cara lain untuk menyelesaikan soalan-soalan matematik kerana bimbang kurang mendapat markah mengikut skema yang telah ditetapkan. Kesan daripada itu, sebahagian pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik tapi gagal dalam kehidupan seharian kerana mereka belajar secara menghafal, mengingat tanpa memikirkan apa sebenarnya yang mereka boleh guna pakai dengan ilmu matematik dalam kehidupan seharian. Tidak dinafikan salah satu sebab utama mengapa kebanyakan rakyat Malaysia merasakan adalah amat penting untuk seseorang itu cemerlang dalam matematik kerana ianya seolah-olah menjadi pasport sama ada seseorang itu boleh meneruskan pengajian di universiti terunggul seterusnya menjamin mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik serta gaji yang lumayan. Jadi tidak hairanlah mengapa ibu bapa bersungguh-sungguh mahu anakanaknya lulus dengan cemerlang dalam subjek matematik. Tidak semua pelajar mempunyai minat yang sama terhadap sesuatu subjek kurikulum. Apabila seseorang pelajar dipaksa untuk menyukai apa yang mereka kurang suka, jiwa remaja pelajar akan memberontak seterusnya menambahkan lagi fobia pelajar tersebut terhadap matematik. Dalam masa yang sama, pelajar sering dimomokkan dengan masyarakat di sekelilingnya bahawa matematik itu susah. Pada mulanya mereka hanya mendengar, kemudian apabila mereka sendiri melalui proses pengajaran dan pembelajaran matematik yang membosankan dan berhadapan dengan guru yang tidak mahir dalam menjelaskan sesuatu topik, lalu sudah pasti mereka mengiyakan apa yang telah mereka dengari selama ini.

BAGAIMANA ANDA MENGURANGKANNYA DARIPADA BERLAKU? Kanak-kanak itu ibarat kain yang putih bersih. Bermula dari rumah, ibu bapa dan keluargalah yang mencorakkannya manakala di sekolah, guru-guru dan rakan-rakan sebaya mempengaruhi sikap pelajar. Dalam satu kajian ada mengatakan bahawa dorongan keluarga dan ibu bapa sangat mempengaruhi sikap pelajar terhadap matematik. Pelajar yang cemerlang biasanya dibantu oleh ibu bapa mereka dalam menyelesaikan masalah atau tugasan matematik di rumah. Pelajar tersebut mempunyai tempat untuk mengadu dan bertanyakan soalan pada di luar waktu sekolah. Jika bukan ibu bapa, ada yang bertuah kerana memiliki kakak atau abang yang berpendidikan tinggi yang boleh membantu mereka dalam subjek matematik. Hal ini menyebabkan mereka merasa gembira dan senang hati kerana adanya dorongan daripada keluarga sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Sekiranya mereka tidak faham sesuatu tajuk yang diajarkan oleh guru mereka, mereka boleh meminta bantuan ahli keluarga yang mampu menjawab segala keraguan pelajar. Sebaliknya jika pelajar yang bingung dengan apa yang telah dipelajari, ditambah lagi dengan keluarga yang tidak mengendahkan soalan pelajar walhal mereka boleh membantu, hal ini akan menyebabkan jiwa pelajar berkecamuk. Mana mungkin pelajar mampu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru sekiranya mereka tidak faham bagaimana cara untuk menyelesaikannya. Kesan daripada itu, pelajar akan mula meniru hasil kerja rakannya supaya tidak dimarahi atau didenda kerana gagal menyiapkan tugasan. Di dalam dunia ini, tidak ada seorang pun yang suka dirinya ditekan dan dipaksa. Sesetengah ibu bapa hanya tahu menyuruh dan mengingatkan anak-anak mereka agar berusaha mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Namun apabila anakanak mereka gagal dalam mana-mana ujian, mereka akan memarahi anak-anak mereka tanpa mahu mengambil tahu kenapa hal tersebut berlaku. Hal ini menyebabkan pelajar merasa tertekan jiwanya. Ibu bapa seharusnya memberi peneguhan secara positif kepada anak-anak mereka dan bukannya hanya tahu membebel tak tentu hala. Antaranya ibu bapa boleh menawarkan ganjaran kepada anak-anak mereka dan memberi hadiah sekiranya mereka cemerlang dalam peperiksaan. Sudah semestinya mereka akan terdorong untuk berusaha menangani perasaan tidak suka terhadap matematik. Selain daripada itu, ibu bapa boleh mendorong anak-anak mereka untuk belajar dalam kumpulan dengan rakan-rakan. Semasa mereka berbincang, apa salahnya jika ibu bapa menyediakan sedikit jamuan supaya mereka belajar sambil bersantai, jadi pelajar tidaklah terlalu tertekan dalam usaha menghakis kebimbangan mereka terhadap matematik.

BAGAIMANA ANDA MENGATASI MASALAH INI? Di Malaysia, peperiksaan awam seperti Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan subjek matematik sebagai subjek teras yang menjadi nilaian sebelum diterima untuk ke universiti mahu pun di alam pekerjaan. Pada kebiasaanya, pelajar yang mendapat mendapat gred yang rendah dalam subjek matematik, mereka akan merasa rendah diri dan membandingkan pencapaian mereka dengan pelajar yang lain. Kesan daripada itu, mereka seboleh-bolehnya akan menjauhi dan mengelakkan daripada masalah-masalah yang berkaitan dengan matematik kerana ianya akan mengingatkan mereka dengan pengalaman silam mereka. Mereka juga merasa tertekan dan rimas apabila masyarakat, saudara mara dan rakan-rakan asyik bertanyakan gred peperiksaan yang mereka perolehi. Oleh hal yang demikian, masalah fobia terhadap matematik mungkin boleh diatasi sekiranya sistem pendidikan diubah yang mana tidak berorientasikan peperiksaan sematamata. Pada pendapat saya, pihak yang terbabit perlu merangka semula sistem pendidikan di sekolah. Sebagai contoh, kita boleh mengambil kira markah tugasan pelajar dan bukannya seratus peratus bergantung pada peperiksaan akhir. Hal ini kerana setiap pelajar mempunyai tingkah laku yang berbeza. Sesetengah pelajar merasa tenang semasa menjawab peperiksaan, manakala sesetengahnya pula akan mula merasa takut, gementar, dan kalut apabila berada di dalam dewan peperiksaan dengan calon-calon peperiksaan yang lain. Mereka akan mudah menggelabah apabila memikirkan adakah mereka mampu menjawab semua soalan dengan peruntukan masa yang diberikan. Sudah pasti mereka akan mudah melakukan kecuaian dalam pengiraan ditambah pula setelah melihat ragam calon-calon yang lain. Di dalam peperiksaan, tidak semua yang dipelajari akan disoal, tahap penguasaan pelajar pula berbeza-beza mengikut tajuk yang mereka sukai. Oleh hal yang demikian, penilaian pelajar berpandukan sistem peperiksaan semata-mata perlu dikaji kembali supaya setiap pelajar dapat dinilai secara menyeluruh dan adil tanpa dipengaruhi faktor-faktor lain. Usaha untuk mengatasi masalah kebimbangan atau fobia terhadap matematik tidak akan tercapai sekiranya hanya satu pihak yang bersungguh-sungguh melaksanakannya. Sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam menghindarkan masalah ini daripada terus menyelubungi para pelajar sekaligus melahirkan pelajar yang celik dan cinta akan ilmu matematik.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful