Jelaskan struktur pentadbiran koperasi.

Apa yang dimaksudkan dengan anggota, mesyuarat agung, Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan pengurusan koperasi?

Struktur adalah susunan atau aturan manakala pentadbiran pula merupakan satu proses yang melibatkan ramai manusia yang bekerjasama untuk mencapai tujuan yang dikongsi bersama. Oleh itu, struktur pentadbiran koperasi ialah struktur organisasi yang menerangkan susunan, saling kaitan, peranan dan perhubungan di antara komponen-komponen yang terdapat dalam koperasi yang saling bekerjasama untuk mencapai tujuan yang dikongsi bersama. Struktur koperasi terdiri daripada empat komponen iaitu anggota-anggota, Anggota Lembaga Koperasi (ALK), Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) serta Pengurusan dan kakitangan koperasi. Komponen-komponen ini membantu koperasi menjalankan urusan seharian bagi mencapai matlamat koperasi dengan teratur dan licin. Peringkat pertama dan kuasa tertinggi dalam koperasi ialah Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Anggota. Pada peringkat ini, dasar serta hala tuju koperasi ditentukan oleh anggota koperasi. Peringkat kedua ialah Lembaga koperasi yang dipilih dari kalangan anggota koperasi, diberi mandat dan amanah oleh anggota-anggota lain dalam MAT untuk mentadbir koperasi. Di peringkat kedua juga terdapat JAD yang diamanahkan untuk mengawal kewangan koperasi dari dalam. Peringkat ketiga ialah pengurusan yang digaji. Pengurus dan kakitangan yang lain bertugas sepenuh masa. Ini adalah untuk memastikan segala urusan perniagaan koperasi dapat berjalan dengan licin bagi memberi perkhidmatan terbaik dan mencapai matlamat koperasi. Anggota merupakan seseorang atau sesuatu koperasi yang diterima menjadi anggota mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang kecil selepas pendaftaran koperasi. Peranan anggota adalah sebagai pemilik, penyumbang modal, pengawal dan pengguna. Sebagai pemilik, anggota bertanggungjawab melantik dan memilih lembaga dan JAD, menentukan dasar dan hala tuju koperasi serta menghadiri MAT bagi menentukan dasar supaya koperasi berjaya mencapai matlamat yang dipersetujui bersama. Mesyuarat Agung Koperasi didefinisikan sebagai satu perhimpunan atau perjumpaan yang menemukan anggota-anggota koperasi dengan pihak pengurusan koperasi bagi membincangkan perkara-perkara tertentu seperti yang telah digariskan dalam Akta Koperasi 1993, Peraturan-peraturan Koperasi 1995, Undangundang Kecil Koperasi serta arahan-arahan berkaitan yang dikeluarkan Suruhanjaya. Sebagai kuasa tertinggi dalam pentadbiran koperasi, mesyuarat ini mestilah dilaksanakan dengan
teliti bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah sah dan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang yang dimaksudkan.

Anggota Lembaga Koperasi (ALK) adalah pegawai koperasi yang diamanahkan oleh anggota untuk menjalankan tugas memimpin dan mentadbir koperasi di bawah kuasa peraturan-peraturan dan undang-undang kecil koperasi. ALK bertanggungjawab membuat dasar, menjalankan pentadbiran dan urus
niaga koperasi. ALK bertindak sebagai sebuah kumpulan dengan menetapkan objektif perjalanan koperasi dan kemudiannya membuat keputusan untuk membolehkan objektif dicapai berdasarkan keputusan anggota-anggota dalam mesyuarat agung.

Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) adalah satu penilaian bebas yang diwujudkan dalam sesebuah koperasi yang bertujuan untuk memeriksa semua sistem operasi dari sudut pengurusan dan kewangan serta sistem kawalan dalaman bagi memastikan pematuhan, kecukupan dan kecekapan serta menilai keberkesanannya. ALK bertanggungjawab membuat pengauditan dan mengemukakan laporan audit dari semasa ke semasa kepada ALK. Pelaksanaan tugas pengauditan dalaman yang efektif akan menggalakkan operasi koperasi yang telus, efisien serta dapat mengurangkan kesilapan dan salah laku. Pengurusan Koperasi ditugaskan melaksanakan dasar, keputusan atau tindakan yang telah ditetapkan oleh ALK dalam mencapai sesuatu matlamat. Pengurusan mempunyai fungsi yang tersendiri seperti merancang, menyusun, mengelola, mengawal dan menilai. Fungsi-fungsi ini haruslah dilaksanakan oleh orang yang profesional. Struktur pengurusan adalah berbeza antara satu koperasi dengan koperasi lain berdasarkan saiz dan aktiviti yang dijalankan. Pengurusan bertanggungjawab terus kepada ALK dengan melaksanakan dasar yang telah diputuskan oleh ALK melalui mesyuarat lembaga.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful