You are on page 1of 3

Sifat sabar di kalangan manusia masa kini makin pudar walaupun Allah telah menjanjikan pahala, kerahmatan dan

syurga bagi orang-orang yang boleh bersabar. Konteks sabar sangat luas yang merangkumi sabar dalam menahan nafsu, menghadapi kesulitan dan musibah, melaksanakan perintah Allah, meninggalkan laranganNya dan ketika mendapat bencana. Namun sifat sabar yang sangat-sangat dituntut oleh Islam ini makin pupus dan tidak dipraktikkan oleh kebanyakan orang Islam kerana mereka terlalu mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyeru mereka berbuat kejahatan. Mereka tewas dengan nafsu dan syaitan sebelum cuba untuk menahan diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Kerakusan manusia dan hilangnya sifat sabar ini boleh dilihat dalam beberapa situasi seperti yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di Betong, Sarawak pada 18 Oktober 2011 oleh ibunya, seorang pelajar tingkatan 4. Seorang remaja sanggup menghunus pisau pemotong ke perut bayi yang masih merah sehingga terburai isi perut bayi tersebut semata-mata keluarga lelaki itu tidak mahu bertanggungjawab. Di manakah hilangnya sifat sabar dan perikemanusiaan remaja ini? Sekiranya pelajar ini faham dan mempraktikkan sifat sabar dalam dirinya, kejadian ini dapat dielakkan dan nyawa bayi tersebut dapat diselamatkan. Kejadian ini bukanlah kejadian pertama di negara kita malahan ianya telah berakar umbi sejak dahulu lagi cuma pada zaman kini ianya semakin berleluasa. Hilangnya sifat sabar di dalam diri manusia menyebabkan kemusnahan dan kejadian yang tidak diingini berlaku. Dalam konteks rumahtangga juga, setiap pasangan yang berkahwin mestilah memiliki sifat sabar yang tinggi bagi mengekalkan keharmonian institusi kekeluargaan malahan sifat sabar inilah yang dituntut dalam masyarakat Islam tetapi sejak kebelakangan ini keruntuhan rumahtangga semakin menjadi-jadi. Kes-kes perceraian semakin menular dan yang paling membimbangkan sikap suami dan isteri semakin luar biasa seperti terdapat kes-kes pembunuhan, simbah asid, meninggalkan keluarga dan berlaku curang terhadap pasangan. Kes-kes seperti ini adalah rentetan daripada hilangnya sifat sabar sesama pasangan yang akhirnya mengundang kepada keruntuhan rumahtangga dan institusi kekeluargaan. Sekiranya sifat sabar ini ada dalam diri pasangan dan ahli keluarga masing-masing, sudah pasti kes-kes seperti yang telah disebutkan tidak akan berlaku.

Rentetan kejadian dan kes-kes keruntuhan institusi keluarga dan perceraian maka lahirlah anak-anak yang tidak baik dari segi akhlaknya. Anak-anak IT ini adalah generasi yang kurang kasih sayang dan perhatian daripada keluarga dan mereka selalunya menimbulkan masalah dan kekacauan. Anak-anak ini selalu kurang sabar dalam pergaulan dan kurang sabar dalam menerima ujian. Generasi muda amat tidak sabar dalam kehidupan mereka, kita boleh lihat tahap kesabaran mereka amat kurang sebagai contoh sekiranya mereka ditimpa kecelakaan ataupun kesakitan, mereka akan mengadu dan mengeluh supaya cepat disembuhkan daripada penyakit walhal Rasulullah SAW telah bersabda, Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit, janganlah segera meminta sembuh. Namun, masih ramai di kalangan kita yang tidak sabar dalam ujian dan dugaan daripada Allah serta masih merungut kesakitan dan kesengsaraan. Selain itu, manusia pada zaman IT kini juga merupakan makhluk yang mempunyai tahap kesabaran yang amat kurang. Hal ini boleh dilihat dalam konteks material dan duniawi yang mana manusia berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehinggakan terlupa kepada adab dan agama. Individu ini terlalu ghairah mengejar kekayaan sehinggakan sanggup menipu dan menyeleweng untuk mendapatkan tender atau mendapatkan kedudukan. Mereka tidak langsung menghiraukan perasaan dan sensitiviti individu lain dan mereka tidak sabar untuk memiliki yang bukan hak mereka. Rapuhnya sikap sabar ini menjadikan manusia hilang pertimbangan dan pedoman yang menyebabkan mereka bertindak di luar jangkaan dan bertentangan dengan agama yang akhirnya menjerumus mereka ke lembah kehinaan. Hal ini banyak berlaku dalam masyarakat kini dan jelas dapat dilihat dalam institusi pentadbiran, perniagaan MLM dan dalam mendapatkan tender atau kontrak. Oleh itu marilah kita sama-sama sedar dan insaf akan kepentingan sifat sabar ini. Pelbagai pihak seperti pihak kerajaan, sekolah, institusi pelajaran, jabatan agama islam, NGO dan badan-badan berkanun yang lain perlu memainkan peranan masing-masing dalam menerapkan sifat sabar dalam diri setiap indidvidu bagi menjamin kesejahteraan dalam kehidupan. Dalam Tonggak 12 iaitu teras kepada kakitangan awam telah diterapkan unsurunsur ini, namun jika sekadar ungkapan dan tidak dipraktikkan, ia tidak akan terkesan di dalam sanubari manusia. Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar dalam setiap perkara dan sesungguhnya sabar itu tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

You might also like