You are on page 1of 16

3. ASPEK-ASPEK INTRINSIK 3.

1 PLOT Dalam glosari mini kesusasteraan, Hashim Awang mengatakan plot adalah susunan peristiwaperistiwa dalam sesebuah cerita bagi karya-karya sastera berbentuk cereka. Susunan itu mungkin dibuat secara tertib mengikut urutan masa, iaitu, peristiwa yang dahulu berlaku didahulukan dan peristiwa yang kemudian berlaku dikemudiankan. Kadangkala plot mungkin tidak menurut susunan masa, iaitu peristiwa yang terjadi kemudian didahulukan penceritaannya dan yang dahulu terjadi diceritakan kemudian. Dalam plot selalunya ada unsur-unsur ketegangan, kebetulan dan kejutan untuk menimbulkan minat pembaca. Dalam plot terdapat juga plot tambahan atau anak plot kepada plot utama, Ia disisipkan di antara bahagian plot utama untuk menimbulkan variasi penceritaan. Plot bawahan ini mengandung susunan peristiwa- peristiwa tersendiri, tetapi masih berhubung dengan plot utama.[7] Dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda, plot hikayat ini mengandungi plot utama dan juga anak plot. Penonjolan plot dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda adalah plot yang menurut susunan masa dari satu peristiwa berpindah kesatu peristiwa yang mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain. Hikayat Awang Sulung Merah Muda merupakan prosa lama yang panjang, terdiri daripada 11 bab. Plot Hikayat Awang Sulung Merah Muda dapat dilihat menerusi peristiwa dalam setiap bab. Saya akan cuba sedaya upaya untuk melihat bentuk dan keindahan plot dalam hikayat ini. Nombor-nombor plot seperti di bawah ini adalah plot keseluruhan mengikut susunan peristiwa tetapi dikategorikan kepada dua bahagian iaitu plot utama ditandai dengan kurungan (U) dan plot tambahan (anak plot) ditandai dengan kurungan (A) 3.1.1 PLOT MENGIKUT PERISTIWA DALAM SETIAP BAB BAB 1 Si Helang Mawai mangkat setelah berapa lama memerintah Kerajaan Pati Talak Terengganu. (U) Suami Uli Pati Talak Terengganu menggantikan kerajaan Pati Talak Terengganu.(A) Tuan Puteri Si Helang Bakau anak kepada Si Helang Mawai berkahwin dengan seorang Raja yang tiada bernegeri iaitu Tuanku Si Helang Laut (U) Tuan Puteri Si Helang Bakau dan suaminya Tuanku Si Helang Laut belayar ke negeri Bandar Mengkaleh.(U) Datuk Batin Alam meminang Uli Emak Si Anjing kemudian berkahwin.(A) Tuan Puteri Si Helang Bakau dan Tuanku Si Helang Laut berkaul[8] dan berniat di lautan Tanjung Jati memohon untuk mendapatkan anak.(U) Tuan Puteri Si Helang Bakau hamil dan mengidamkan seekor pelanduk Jantan Putih yang mengandung dan ikan terubuk jantan yang mengarang telur.(U) Tuan Puteri Si Helang Bakau melahirkan seorang anak yang diberi nama Awang Sulung Merah Muda.(U) BAB 2 Tuan Puteri Si Helang Bakau mangkat dan dimakamkan mengikut adat Diraja.(U) Tuanku Si Helang Laut juga mangkat dan dimakamkan berdekatan makam isterinya.(U)

BAB 3 Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjing memelihara Awang Sulung dan dijadikan anak angkat.(U) Datuk Batin Alam menghantar Awang Sulung dan anaknya Puteri Dayang Nuramah belajar Al-Quran dan Merawi[9](U) Datuk Batin Alam menghantar Awang Sulung belajar ilmu Mantik[10] dan Nahu.(U) Datuk Batin Alam mengajar Awang Sulung ilmu silat dan ilmu Kebal.(U) Datuk Batin Alam mengupah orang untuk mengasah gigi[11] Awang Sulung.(U) Awang Sulung berkhatan mengikut adat Istiadat Diraja.(U) Uli Emak Si Anjing belayar ke tanah Pati Talak Terengganu mengambil upah mangandam. (A) Datuk Batin Alam mendesak Awang Sulung membayar balik wang yang digunakan untuk upah mengasah gigi.(A) Datuk Batin Alam menyiksa Awang Sulung dengan menyuruhnya melakukan berbagai-bagai kerja.(A) Datuk Batin Alam menyuruh Awang Sulung membuat pagar sasak[12] dan sebuah kakap[13] panjang tujuh depa sehasta.(A) Awang Sulung masuk ke hutan meminta pertolongan kepada Tukang dari kayangan untuk membuat kakap.(A) Datuk Batin menikam Awang Sulung dan berlaku pertikaman senjata antara kedua-duanya. (U) Tuan Puteri Dayang Nuramah mendesak Awang Sulung lari meninggalkan Datuk Batin.(U) Awang Sulung keluar mengembara dan meninggalkan Datuk Batin Alam dan Puteri Dayang Nuramah.(U) BAB 4 Awang Sulung pergi ke rumah emak saudaranya untuk meminta pertolongan tetapi dihalau. (U) Tuan puteri Dayang Seri Jawa dari Tanah Semarang Jawa belayar ke Bandar Mengkaleh untuk melihat Awang Sulung dengan menaiki Geliung[14] Panjang.(A) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tunang kepada Raja Mambang Saujana.(A) Awang Sulung menyamar sebagai budak sakai atau budak hitam.(U) BAB 5 Awang Sulung masuk ke geliung milik raja dari negeri Semarang Tanah Jawa.(U) Awang Sulung meminta pertolong kepada Tuanku Nahkoda Tua untuk membayar hutang mengasah gigi kepada Datuk Batin Alam tetapi ia dihalau.(U) Tuan Puteri Seri Jawa memberi pinjaman wang kepada Awang Sulung, kemudian Awang Sulung berjanji menjadi hamba kepada tuan puteri(U) Awang Sulung kembali ke istana Datuk Batin Alam dan melunaskan hutangnya.(U) BAB 6 Uli Emak Si Anjing kembali ke negeri Bandar Mengkaleh hendak melihat anaknya.(A) Uli Emak Si Anjing mengetahui Awang Sulung disiksa oleh suaminya Datuk Batin Alam.(A) Tuan Puteri Dayang Nuramah menyerang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kerana merebut Awang Sulung.(U) Awang Sulung meleraikan peperangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.(U) Awang Sulung balik semula ke Bandar Mengkaleh dan berkahwin dengan Tuan Puteri

Dayang Nuramah.(U) BAB 7 1. Awang Sulung menyelamatkan geliung panjang daripada serangan perompak-perompak yang diketuai oleh Panglima Helang Laut.(U) 2. Tuanku Nahkoda Tua dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengetahui identiti sebenar Budak Hitam iaitu Awang Sulung.(A) 3. Awang Sulung berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan meneruskan pelayaran hingga sampai ke negeri Pati Talak Terengganu.(U) BAB 8 Awang Sulung mengetahui Uli Pati Talak Terengganu adalah Ibu Saudaranya.(U) Awang Sulung mempelajari adat-adat di Gelanggang semasa berada di Negeri Pati Talak Terengganu.(A) Awang Sulung menang bersabung ayam kerana menyeru tuah ayam sabungannya yang bernama Kinantan[15] suci.(A) BAB 9 Awang Sulung berkahwin dengan Tuan Puteri Pinang Masak.(U) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa melakukan tipu helah agar Awang Sulung Balik ke Geliung. (A) BAB 10 Awang Sulung meneruskan pelayarannya dengan Tuan Puteri Jawa hingga sampai ke Negeri Pasir Panjang.(U) Awang Sulung bertemu Ibu saudaranya Uli Emak Hitam Pasir Panjang.(U) Awang Sulung bertemu dengan Tuan Puteri Mayang Mengurai kemudian mereka kahwin.(U) BAB 11 Tuan Puteri Dayang Seri Jawa melakukan tipu helah agar Awang Sulung Balik ke Geliung dan meneruskan pelayaran mereka ke Tanah Semarang Jawa.(U) Awang Sulung bertemu dengan tunang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa iaitu Tuanku Mambang Saujana.(U) Awang Sulung berperang dengan Tuanku Mambang Saujana dan berjaya menewaskan dengan memanggal leher Tuanku Mambang Saujana(U) Awang Sulung dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa berarak diseluruh tanah Semerang Jawa meraikan perkahwinannya dan kemenangannya. (U) Awang Sulung berulang-alik menemui keempat-empat isterinya.(U) 3.1.2 KEINDAHAN PLOT Menurut Lufti Abas keindahan bagi sesuatu plot itu adalah cerita yang mempunyai kepelbagaian plot iaitu antara plot utama dan plot-plot kecil.[16]Kepelbagaian ini dapat dilihat dalam plot-plot kecil. Dalam plot-plot kecil ini sebetulnya mempunyai motif yang berhubung dengan plot utama. Sebagai contoh dalam bab 3 terdapat anak plot, iaitu Datuk Batin Alam menyiksa Awang Sulung dengan menyuruhnya melakukan berbagai-bagai kerja. Motif penyiksaan ini adalah sebagai titik tolak atau penggerak berlakunya penggembaraan Awang Sulung (Plot Utama). Jika tidak ada penyiksaan ini sebagai misal sahaja tentu Awang Sulung hanya mengembara tanpa digerakkan oleh satu peristiwa (Penyiksaan ).Ini bermakna plot yang sedemikian kelihatan dangkal (terus-menerus) dan tidak ada nilai-nilai keindahan.

Selain daripada kepelbagaian plot, keseimbangan juga adalah salah satu syarat dalam menganalisis keindahan plot. Kesimbangan ini dapat dilihat dari segi jumlah ratio atau nisbah yang diperolehi di antara plot utama dengan plot kecil. Jumlah nisbah yang diperolehi di antara plot utama dengan anak plot adalah 38:15. Ini bermakna dari segi kesimbangannya tidak menepati syarat keindahan plot. Nisbah yang agak seimbang misalnya 7:4, atau 20:17 , nisbah seperti di atas terlalu jauh daripada tuntutan dalam erti keindahan. 3.1.3 BENTUK PLOT Plot Hikayat Awang Sulung Merah Muda boleh dikatakan sebagai plot Mudah atau kronologi. Ia dikatakan sebagai plot mudah kerana jalan ceritanya berurutan mengikut perkembangan waktu dan peristiwa yang dihadapi oleh Awang Sulung. Sebagai contoh dapatlah diperhatikan seperti Rajah dibawah ini:

P7 P8 P9 Huraian Rajah: P1 - Bahagian awal Hikayat Awang Sulung Merah Muda mengisahkan latar belakang ayah Awang Sulung, kedua ayah dan bondanya mangkat setelah melahirkan Awang Sulung. P2 - Awang Sulung dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan dijadikan sebagai anak angkat. Datuk Batin Alam menyiksa Awang Sulung sehingga Awang Sulung terpaksa keluar mengembara untuk melunaskan hutangnya kepada Datuk Batin Alam. P3 Awang Sulung keluar mengembara dan menghadapi berbagai rintangan semasa berada dalam pengembaraannya diantaranya ia terpaksa menjadi budak sakai atau budak hitam dan menjadi hamba kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. P4 Awang Sulung terpaksa meleraikan peperangan antara Tuan Puteri Dayang Nuramah dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Setelah berjaya dileraikan, Awang Sulung berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Nuramah. P5 Mengisahkan pelayaran Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu dan berkahwin dengan Tuan Puteri Pinang Masak . Konflik yang dihadapi Awang Sulung meleraikan kemarahan (tipu helah) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. P6 Mengisahkan pelayaran Awang Sulung ke Negeri Pasir Panjang dan berkahwin dengan Tuan Puteri Mayang Mengurai. Konflik Awang Sulung sekali lagi meleraikan kemarahan (tipu helah) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

P7 Awang Sulung bertikam senjata dengan Tunang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa iaitu Tuanku Mambang Saujana. P8 Awang Sulung berjaya menewaskan Tuanku Mambang Saujana P9 Awang Sulung berarak bagi meraikan perkahwinannya dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan kemenengannya menewaskan Tuanku Mambang Saujana.

3.2 JALAN CERITA (Fabula) Dalam kata penghantar Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Mohd Taib Osman mengatakan bahawa pada dasarnya cerita-cerita penglipur lara Melayu mempunyai tiga babak. Babak yang pertama mengandungi cerita lahirnya tokoh itu ke dunia dengan segala tanda-tanda dan alamat kebesarannya, dan sebab ia pergi keluar mengembara. Babak kedua ialah cerita pengembaraannya yang penuh dengan episod yang menunjukkan kehandalan dan kegagahan tokoh itu. Dan babak yang penghabisan ialah apabila tokoh itu berjaya menghasilkan tujuan pengembaraannya dan balik kenegerinya. Ini adalah susunana cerita yang dasar[17] 3.2.1 Kelahiran atau sebelum Pengembaraan. Dalam cerita yang bermula dengan kelahiran, tanda-tanda dan alamat kelahiran Awang Sulung digambarkan dengan suasana alam yang hebat, dan ini jelas digambarkan dengan bahasa irama yang mencerminkan suasana alam tersebut: Maka Tuan Puteri pun lepaslah gering bersalin. Maka puteranya itu keluar daripada kandungan bondanya: Tujuh bilah lantai terpatah, Tujuh mengkawan atap terpatah, Berderu-deru hujan panas, Panah-memanah halintar, Berbunyi sekalian bunyi-bunyian, (hlm:2) Sebelum pengembaraan, Awang sulung menghadapi masalah yang memaksa dirinya supaya keluar mengembara. Penggembaraan ini berpunca daripada perlakuan manusia iaitu faktor penganayaian yang mengerakkan berlakunya pengembaraan Awang Sulung yang dilakukan oleh Datuk Batin Alam. Penganayaian ini tergambar dalam satu peristiwa: Maka titah Tuanku Datuk Batin Alam:

jikalau engkau tiada bayar rial aku kurang dua tiga puluh rial batu tentulah engkau dibunuh sekali ini. Maka jawab Awang Sulung, Di manakah anakanda mendapat wang? sedangkan makan minum ayahanda memberikan Maka bertambah-tambahlah murka Datuk Batin Alam, lalu menghunus pedang panjang sambil menetak kepada Awang Sulung. Maka dilepaskan oleh Awang Sulung; tetak tingginya diendapkan, tetak rendah dihamburkan; habis berputusan batang pinang, batang pisang, batang birah, sehingga teranglah di dalam kampong yang besar, lalulah berkata Tuan Puteri Dayang Nuramah, Baiklah abang lari, adinda boleh memegangkan pinggang ayahanda.(hlm:40) 3.2.2 Semasa Pengembaraan. Pada kelazimannya, dalam penggembaraan, wira menghadapi peristiwa suka duka. Pengembaraan Awang Sulung bermula dari negeri Bandar Mengkaleh, kemudian berlabuh di Negeri Pati Talak Terengganu, kemudian di Negeri Pasir Panjang, dan seterusnya ke Negeri Semarang Tanah Jawa. Pelbagai peristiwa yang berlaku dalam pengembaraan ini. Di antaranya Awang Sulung menyusup masuk ke geliung milik raja dari negeri Semarang Tanah Jawa. Rajanya bernama Datuk Nahkoda Tua. Bersama-sama dalam geliung ialah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Awang Sulung terpaksa menyamar sebagai budak sakai atau budak hitam. Dalam pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kebandar Mengkaleh, bersama budak hitam (Awang Sulung), berlaku peperangan di antara Tuan Puteri Dayang Nuramah dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kerana merebut Awang Sulung, tetapi peperangan ini berjaya dileraikan oleh Awang Sulung. Semasa berada di Negeri Pasir Panjang, Awang Sulung bertemu ibu saudaranya iaitu Uli Emak Hitam Pasir Panjang. Puteri Raja negeri Pasir Panjang iaitu Tuan Puteri Mayang Mengurai telah terpikat dengan Awang sulung yang akhirnya membawa kepada perkahwinan. Semasa berada di Semarang Tanah Jawa berlaku peperangan antara Awang Sulung dengan Tuanku Mambang saujana. Peperangan ini disebabkan Awang Sulung telah menghawinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tunang Tuanku Mambang saujana. Peperangan ini berpihak kepada Awang Sulung.

Di negeri Pati Talak terengganu, Awamg Sulung bertemu dengan ibu saudaranya yang bungsu iaitu Uli Pati Talak Terengganu anaknya bernama Tuan Puteri Pinang Masak. Pertemuannya dengan Awang Sulung juga membawa kepada perkahwinan. 3.2.3 Selpas Pengembaraan. Kejayaan Awang Sulung menghapuskan tunang Tuan Puteri Dayang Seri Jawa diraikan oleh rakyat Negeri Tanah Semerang Jawa, Rakyat menunjukkan taat setia kepada Awang Sulung di samping meraikan perkahwinannya. Mereka diarak dengan menaiki gajah. Tiba di balai penghadapan diringi pula dengan nobat dan nafiri. Perkahwinan Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa diraikan dengan penuh adat istiadat kebesaran istana. Selang berapa lama Awang Sulung berada di Negeri Tanah Semerang Jawa, Awang Sulung meminta izin kepada isterinya untuk mengunjungi isteri-isterinya yang lain. 3.3 TEMA

Seperti juga jenis kesusasteraan yang lain, cerita-cerita penglipur lara Melayu mempunyai tema yang berbagai-bagai ragam. Biasanya Sarjana Melayu berpendapat: Tema utama cerita-cerita penglipur lara ialah pengembaraan anak-anak raja besar untuk mencari sesuatu. Mungkin yang dicari itu jodohnya atau barang-barang hikmat yang diperlukan untuk kejayaannya[18] Terdapat beberapa tema yang boleh diketengahkan dalam hikayat ini. Tema dalam sesebuah karya klasik mengandungi beberapa tema iaitu tema utama dan tema sampingan. Tema ini tersembunyi di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku, di sebalik lambang, bahasa, motif dan juga perlakuan watak. Di antara watak dengan peristiwa mempunyai hubungan yang saling bantu-membantu untuk menunjang kepada tema. 3.3.1 Tema Utama Dalam Hikayat Awang Sulung tema utama dapat dilihat melalui beberapa peristiwa peperangan di antara Awang Sulung dengan Mambang Saujana membawa persoalan bahawa hanya orang yang berjiwa besar saja yang akan berjaya. Sama juga halnya dengan peperangan yang berlaku di antara Tuan Puteri Dayang Nuramah dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Watak yang digambarkan melalui keempat watak ini jelas menunjukkan bahwa mereka ini mempunyai jiwa yang besar untuk mencapai hajat dan hasrat masing-masing. 3.3.2 Tema Sampingan Di samping tema utama, ada juga tema sampingan. Tema ini dapat dilihat melalui watak Mambang Saujana, Kerakusan Tuanku Mambang Saujana untuk memiliki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, akhirnya membawa padah pada dirinya kerana ia sanggup menentang demi kepuasan yang ingin dicapainya, walaupun sebenarnya Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyukai Tuanku Mambang Saujana. Peristiwa ini membawa persoalan bahawa kepuasan duniawi tidak akan membahagiakan manusia 3.4 Watak dan perwatakan. Perbincangan mengenai watak dalam analisis ini tertumpu hanya kepada yang menjadi persoalan sahaja dan watak-watak yang lain diterangkan dengan secara ringkas. WATAK DAN PERWATAKAN Watak Wira (Protagonis) Watak Wirawati Watak Jahat (antagonis) Watak Pembantu Awang Sulung Merah Muda *

Tuan Puteri Dayang Nuramah

* Tuan Puteri Dayang Seri Jawa * Datuk Batin Alam * Tuanku Mambang Saujana * Tuan Puteri Dayang Mengurai

* Tuan Puteri Pinang Masak

* Bujang Selamat

* Si Kembang Cina

* Awang Sulung Merah Muda Dari segi Fizikalnya, Awang Sulung adalah seorang yang memiliki wajah yang tampan. Ketampanan ini terbukti melalui peristiwa perkahwinannya dengan empat orang Puteri.Awang Sulung juga mempunyai kecerdasan fikiran dalam menguasai ilmu yang dipelajarinya seperti ilmu Merawi, nahu dan juga ilmu pencak silat dan ilmu kebal.Selain daripada itu, Awang Sulung juga digambarkan seorang yang gagah dan berani. Kegagahan dan keberanian Awang Sulung terbukti dalam sebuah pantun sewaktu hulubalang Mambang

Saujana mengetahui Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah berkahwin dengan Awang Sulung: Maka titah Awang Sulung Merah Muda, Hai encik-encik panglima dengarkan ibarat beta, Apa guna kepuk di ladang, Kalau tidak berisi padi, Apa guna berambut panjang, Kalau tidak berani mati? (hlm : 111) Tuan Puteri Dayang Nuramah Seorang yang berperwatakan pencemburu dan pemarah sehingga berlaku peperangan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa setelah menjumpai Awang Sulung bersama dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Perasaan Simpati yang dimiliki oleh Dayang Nuramah juga digambarkan sewaktu bapanya menyiksa Awang Sulung. Maka berkata Tuan Puteri Dayang Nuramah, Apakah sebabnya ayahanda hendak membunuh Awang Sulung? Apakah salah derhakanya kepada ayahanda?(hlm:40) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa Tuan Puteri Dayang Seri Jawa digambarkan seorang yang mempunyai paras rupa yang cantik. Dia mudah jatuh cinta sebaik saja dia mendengar keelokan paras rupa Awang Sulung. Dia memohon ayahandanya untuk belayar ke Bandar Mengkaleh. Dia bijak membuat helah sehingga Awang Sulung terpaksa menentang tunangannya Tuanku mambang Saujana. Kecantikan dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa digambarkan oleh pengarang: .....dinamakan baginda puteranya itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, terlalu elok rupanya, lengkap sifat yang tujuh laksana, pertama bangsawan, kedua dermawan, ketiga hartawan, keempat gurauan, kelima cumbuan, keenam sebenar perempuan, ketujuh setiawan, sifatnya putih kuning, tubuhnya batang menjelai, tiada bertolok di dalam jajahan negeri Semarang tanah Jawa. (Hlm:41) Datuk Batin Alam Di gambarkkan seorang yang jahat , sifat jahat yang dimiliki oleh Datuk Batin Alam ini menyebabkan Awang Sulung lari mengembara. Di antara episod yang menggambarkan kejahatan Datuk Batin Alam ialah sewaktu Datuk Batin Alam menyuruh Awang Sulung memukat ikan. Maka ia pun kembali ke istana. Maka keluarlah Tuanku Datuk Batin Alam bertanya; Dimana ikan engkau dapat? Maka sembah Awang Sulung Merah Muda; Ikan tiada, patik tidak tahu memukat. Lalulah murka Tuanku Datuk Batin Alam ditampar diterajangnya Awang Sulung Merah Muda, tiada ketahuan marahnya lagi langsung berangkat dari situ.(hlm:36) Kejahatan ini lebih jelas lagi apabila Datuk Batin Alam hendak membunuh Awang Sulung: Maka murka baginda merah padam warna mukanya, Jikalau tidak dengan segera engkau pergi, melainkan aku bunuh engkau (Hlm:37)

Tuanku Mambang Saujana Seorang yang jahat, walaupun tuanangannya Tuan Puteri Dayang Seri Jawa membencinya, tetapi dia tetap ingin terus memiliki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa . Dia sanggup berperang dengan Awang Sulung Merah Muda disebabkan kerakusaannya untuk memiliki Taun Puteri Dayang Seri Jawa.

3.4.1 Persoalan: siapa sebenarnya antagonis (Jahat), Awang Sulung Merah Muda atau Tuanku Mambang Saujana. Persoalan yang menjadi pokok dalam aspek ini ialah untuk menentukan siapakah sebenarnya watak antagonis dan protagonis di dalam hikayat ini. Jika di lihat pada Judul hikayat iaitu Hikayat Awang Sulung Merah Muda maka dengan sendirinya watak utama dalam hikayat ini adalah Awang Sulung Merah Muda. Dari sudut yang lain, perbuatan Awang Sulung merebut tunang Tuanku Mambang Saujana adalah sikap yang bertentangan dengan tatasusila masyarakat Melayu. Jadi, apakah perbuatan ini boleh dikatakan sebagai watak Protagonis?, Tuanku Mambang Saujana pula diberi seolah-olah sebagai watak antagonis sedangkan dia sebetulnya mempertahankan hak dirinya terhadap tunangnya yang dikahwini oleh Awang Sulung. Sama halnya dengan sastera hikayat yang lain seperti hikayat Hang Tuah yang dikatakan sebagai watak utama, dalam masa yang sama Hang Tuah juga melanggar tatasusila orang Melayu iaitu melarikan Tun Teja. Dalam Hikayat Awang Sulung kita boleh meletakkan Awang Sulung dan Mambang Saujana sebagai Protagonis atau antagonis dengan memberikan hujah-hujan yang konkrit. Awang Sulung sebagai Protagonis Pertama: Seperti yang dikatakan tadi, jika dilihat pada judul hikayat itu sendiri menunjukkan bahawa watak utama dalam hikayat ini adalah Awang Sulung. Ini sudah menjadi kebiasaan dalam hikayat-hikayat Klasik seperti Hikayat Hang Tuah. Jadi, watak-watak yang menentang dan memusuhi Awang Sulung dengan sendirinya menjadi watak antagonis seperti Tuanku Mambang Saujana. Kedua: Dalam hikayat ini ada dinyatakan bahawa Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyukai Mambang Saujana. Kebenciannya terhadap Mambang Saujana memang dari awal lagi iaitu sebelum pertemuannya dengan Awang Sulung, suatu dilema yang dihadapi oleh Tuan Puteri apabila ia telah jatuh hati kepada Awang Sulung. Ini dapat kita tafsirkan bahawa delima seorang wanita soal memilih suami harus dileraikan dengan adanya seseorang yang boleh memberi bantuan.. Jika dipandang dari sudut masyarakat yang melahirkan hikayat ini, perbuatan Awang Sulung menentang Mambang Saujana memang wajar kerana dia juga mempertahankan hak seorang wanita dalam menentukan soal memilih suami, bukan atas dasar kebencian atau keterpaksaan.Di samping itu , motif perebutan ini juga menunjukkan kegagahan dan kehandalan seseorang lelaki. Siapa menang dan berjaya membuktikan kegagahannya, dialah dianggap sebagai wira dalam masyarakat di zamannya. Hal ini terbukti apabila Awang Sulung diraikan oleh rakyat Tanah Semerang Jawa setelah Awang Sulung berjaya memenggal leher Mambang Saujana. Awang Sulung sebagai Antagonis

Watak Awang Sulung boleh juga diletakkan sebagai watak jahat. Awang Sulung bukan saja melanggar tatasusila orang Melayu, malah melanggar etika sebagai orang Islam. Bagi pembaca moden perbuatan Awang Sulung sudah setentunya mencerminkan peribadinya sebagai orang yang telah mencerobohi hak orang lain. Awang Sulung bukan saja mencerobohi hak orang lain, malah dia juga mempersenda-sendakan hak seseorang apabila dia ditentang, hal ini terbukti melalui kata-kata Awang Sulung: Maka tersenyum Awang Sulung Merah Muda seraya bertitah, Apakah faedah kita berperang? Jikalau Tuanku Mambang Saujana indahkan isteri, dimana-mana pun boleh didapatinya. Maka kembalilah hulubalang persembahkan titah itu kepada Tuanku Mambang Saujana. (hlm:112) Pengakuan Awang Sulung juga menggambarkan keperibadiannya sebagai seorang antagonis, sebelum pertikamannya dengan Mambang Saujana, Awang Sulung menyampaikan katakatanya kepada hulubalang Mambang Saujana : ..........Jikalau beta tiada berani mati, tiadalah beta mengambil tunangnya. (hlm:113) Kata-kata ini adalah satu pengakuan bahawa Awang Sulung tidak memperdulikan hak orang lain setelah dia merampas tunang Mambang Saujana, bahkan Awang Sulung menentang orang yang telah mempertahankan haknya dan berjaya membunuh Mambang Saujana . Mambang Saujana sebagai Protagonis Mempertahankan hak sebagai seorang yang telah mempunyai ikatan pertunangan adalah satu kewajaran pada diri seseorang. Soal tunang yang tidak menyukai bukanlah menjadi persoalan. Apa yang penting ialah maruah diri harus ditebus hingga ke titik darah yang terakhir. Semangat inilah yang boleh menempatkan diri Mambang Saujana sebagai watak Protagonis. Petikan di bawah ini jelas membuktikan bahawa hak harus dipertahankan: Maka bertitah Tuanku Mambang Saujana dengan merah padam warna mukanya. Biar mati beta, jikalau Awang Sulung Merah Muda itu tiada terbunuh oleh beta ini dengan pedang jenawi selebar daun birah. (hlm:112) Tragedi yang menyedihkan apabila Mambang Saujana tewas dalam mempertahankan haknya terhadap tunangnya. Jika dilihat episod pertikaman di antara keduanya, boleh menimbulakan rasa tidak puas hati terhadap Awang Sulung yang dikatakan sebagai watak utama. Dalam hal ini, Awang Sulung harus diletakkan sebagai watak antagonis, tetapi begitulah hakikat dalam masyarakatnya yang lebih mengutamakan kepahlawanan, maka Awang Sulung adalah wira masyarakatnya. Mambang Saujana sebagai Antagonis Perwatakan Mambang Saujana harus dilihat dari dua sudut aspek yang berbeza iaitu penilaian dalam masyarakat yang melahirkan hikayat ini dan masa yang telah merentasi zamannya. Seperti yang dinyatakan tadi, sudah menjadi kebiasaan dalam hikayat-hikayat Klasik, bahawa watak-watak yang menentang dan memusuhi watak utama dengan sendirinya menjadi watak antagonis seperti Tuanku Mambang Saujana. Dari sudut yang lain pula, kegagalan dan kekalahannya menentang Awang Sulung meletakkan dirinya sebagai watak antagonis. Kegagahan dan kepahlawanan seseorang dalam masyarakat di zamannya adalah satu keutamaan untuk meletakkan seseorang itu sebagai wira. Walau bagaimanapun, keutamaan ini tidak akan dipandang pada masa yang telah merentasi zamannya, apalagi pembaca moden masa kini. Adalah satu pekara yang tidak adil apabila kegagahan itu di tempatkan yang teratas

sebagai penilaian sama ada yang baik dan yang buruk. 3.5 LATAR CERITA Latar cerita dalam hikayat ini meliputi latar yang luas. Tempat-tempat peristiwa yang berlaku digambarkan di dasar lautan, di tanah daratan, di sekitar istana dan negeri-negeri seperti Negeri Bandar Mengkaleh, Negeri Pati Talak Terengganu, dan di Negeri Tanah Semarang Jawa. 4. ASPEK-ASPEK EKTRINSIK 4.1 Weltanschuung Seperti yang dikatakan oleh Mohd. Taib Osman dalam kata penghantar Hikayat Awang Sulung Merah Muda, tidakkah hasil-hasil sastera, baik yang moden mahupun yang lama itu, sedikit sebanyak merupakan pencerminan hidup manusia? Cerita-cerita rakyat Melayu mencerminkan kebudayaan Melayu pada tempat dan zaman cerita-cerita itu hidup.[19] Bertolak daripada kenyataan ini, analisis tertumpu pada aspek kemasyarakatan dan kebudayaan. 4.1.1 Kemasyarakatan. Dalam hikayat Awang Sulung, pencerminan hubungan antara Raja dengan rakyat memang amat ketara. Raja sebagai peneraju negeri adalah tempat rakyat berteduh dan melahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi. Manakala kesetiaan rakyat pula menggambarkan betapa pentingnya seorang raja dalam kehidupan beraja, misalnya apabila Raja bertitah, rakyat akan datang menjunjung titah: Maka berhimpunlah penghulu yang empat suku, serta lembaga yang dua belas suku dengan segala juak-juak, hulubalang, rakyat, tentera kecil dan besar, tua dan muda, laki-laki dan perempuan belaka semuanya datang mengadap: Yang capik datang bertongkat Yang buta meraba-raba, Yang tuli leka bertanya, Yang kecil terambin lintang, Yang jarak tolak-tolakan, Yang pendek tinjau-meninjau, Yang kurap mengekor angin.( hlm:3) Titah raja adalah merupakan undang-undang. Melanggar atau enggan mentaatinya adalah satu penderhakaan. Hal ini terjadi kepada Bidan Tua bidan ketujuh yang enggan membidankan Si Helang Bakau pada mulanya ketika hendak melahirkan Awang Sulung, : Setelah didengar oleh Tuanku Si Helang Laut lalu dititahkannya dengan murkanya, merah padam warna mukanya, Apa sebab bidan tiada mahu datang?.....Orang menderhaka kepada undang-undang dengan keadilan apa guna ditaruh di dalam negeri? (hlm:10) Dalam sistem beraja, anak adalah penting sebagai waris peneraju taktha kerajaan. Mereka

akan merasa bimbang jika tidak mempunyai anak. Si Helang Bakau dan Si Helang Laut yang memerintah Bandar Mengkaleh amat risau tentang ini, sehingga mereka pergi berkaul dan berniat di Lautan Tanjung Jati memohon supaya dikurniakan anak. Ini menunjukkan bahawa hanya anak sajalah yang layak mewarisi taktha Kerajaan. Selain daripada itu, sebagai seorang raja perlulah ada ilmu di dada, lebih-lebih lagi ilmu mempertahankan negara. Seperti halnya yang berlaku terhadap Awang Sulung, ketinggian ilmunya dari segi kepahlawanan akhirnya meletakkan dirinya sebagai seorang raja yang dikasihi. Awang Sulung memang dari kecilnya digambarkan sebagai seorang yang mempunyai ilmu silat dan ilmu kebal, di samping mempunyai ilmu merawi, nahu dan juga semantik. Atas dasar ilmu yang dimilikinya inilah yang boleh meyakinkan rakyatnya sehingga dia layak menjadi seorang raja. 4.1.2 Kebudayaan Dari aspek kebudayaan, terdapat gambaran adat seperti adat melenggang perut[20], adat perkahwinan Di raja, dan adat dalam tuturkata dalam masyarakat melayu fedual. Dalam adat melenggang perut pelbagai upacara yang diadakan di antaranya persembahan pencak silat dan nyanyian gendang rebana: Jikalau sudah sedia cukup sekaliannya, pergilah panggil isi negeri, hendak cari sekalian permainan,orang: Pandai pencak dengan silat Pandai gendang dengan rebana Pandai rebab dengan kecapi.( hlm:8) ....Maka diramas bidan yang tua, lalu ditepung tawari Tuanku Si Helang laut dua laki isterinya, bersiram mandi air tolak bala dan air doa selamat; sudah mandi kedua laki isterinya dikenakan balik pakai-pakaian lalu berarak berangkat pulang. Telah sampai ke istana, lalu mengadap bidan bertujuh kepada Tuanku Si Helang Laut, Patik mengadap ke bawah duli, patik memohon melenggang perut adinda.(hlm:13) Tuturkata dalam masyarakat ini menunjukkan bahawa orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan sopan santun. Pantunlah yang paling menonjol dalam pertuturan masyarakat di zaman itu, sama ada yang berupa sindiran, kemarahan, rasa suka, berhajat dan sebagainya. Anggapan masyarakat di zaman itu, segala teguran dan tegahan lebih elok dipertuturkan dalam pantun agar tidak menyinggung perasaan seseorang. Ini juga menunjukkan bahawa orang Melayu sikapnya tidak terus-menerus (polos) atau berterus terang apabila mengatakan sesuatu yang tidak baik. 4.1.2 Gaya Bahasa Gaya Bahasa dalam hikayat ini turut memaparkan suatu budaya dalam masyarakat melayu, kata ungkapan Bahasa menunjukkan Bangsa sememangnya mencerminkan satu budaya bangsa melalui petuturan yang selalu diungkapan. Dalam hikayat Awang Sulung, bahasa pantunlah yang paling banyak menonjol, terdapat 116 pantun yang dituturkan oleh watakwatak, sama ada dalam kesedihan, kegembiraan, dan juga peperangan. Misalnya pantun yang bernada sedih dituturkan oleh Tuan Puteri Dayang Nuramah sewaktu Awang Sulung melarikan diri disebabkan penyiksaan Datuk Batin Alam.:

Sudah tudung terendak bantan, Padi Siapa diletakkan? Sudah untung peminta badan, Pada siapa dikatakan (hlm:41) Selain dari pantun, bahasa berirama juga bahasa yang paling banyak digunakan dalam memberikan gambaran suasana alam, perintah raja, pakaian, santap dan juga taat setia rakyat. Bahasa berirama yang mengambarkan pakaian dapat dilihat ketika Si Helang Bakau sedang bersalin hendak melahirkan Awang Sulung: Maka disarungkan oleh Tuanku Si Helang laut: Seluar sutera, seluar alang, Beratus cermin di kakinya, Beribu cermin di pinggangnya Di pasangkannya: Kain cindai neka selasih, Jikalau dijemur, bertambah basah, Jikalau direndam, bertambah kering. (hlm:12) Pengunaan bahasa Arab juga diselitkan pada pemulaan cerita, misalnya Wabihi Nastainu Billahi.[21] Pengunaan bahasa ini jelas menunjukkan bahawa Islam telah pun bertapak pada zaman itu. Selain daripada itu terdapat juga perkataan seperti Syahdan, arakian dan juga hatta. Perkataan-perkataan ini dipinjam daripada bahasa Arab. 5. KESIMPULAN Berdasarkan kepada penghuraian di atas jelas bahawa cerita penglipur lara bukan saja cerita yang disampaikan hanya dikala hati berduka lara, bahkan disebalik cerita-ceritanya terselit amanat, pencerminan suatu masyarakat di zamannya dan juga menunjukkan ketajaman fikiran pengarang dalam mengolah cerita-ceritanya. Ini lah yang dikatakan oleh Mohd.Taib Osman: Sebagai pembaca moden, mungkin kita tidak dapat memberikan penghargaan pada ceritacerita rakyat seperti yang dapat kita berikan kepada kepada hasil-hasil sastera zaman kita sendiri. Cerita-cerita rakyat dengan alam keghaibannya mungkin membosankan kita. Tetapi jikalau kita menungkan sebentar, terlihat juga pada kita nanti betapa tajamnya perhatian pengolah-pengolah cerita rakyat itu terhadap manusia dengan hidupnya. Tidakkah hasil-hasil sastera, baik yang moden mahupun yang lama itu, sebanyak sedikit merupakan pencerminan hidup manusia?[22]

CHARTA 1 PERKAHWINAN ASMM DENGAN AHLI KELUARGA SHM UESA + DBA UPTT UEHPP SHB + SHL TPDN + ASMM TPPM + ASMM TPMM + ASMM ASMM

SHM = Si Helang Mawai UESA = Uli Emak Si Anjing DBA = Datuk Batin Alam UPTT = Uli Pati Talak Terengganu UEHPP = Uli Emak Hitam Pasir Panjang SHB = Si Helang Bakau SHL = Si Helang Laut TPDN = Tuan Puteri Dayang Nuramah TPPM = Tuan Puteri Pinang Masak TPMM = Tuan Puteri Mayang Mengurai ASMM = Awang Sulung Merah Muda CHARTA 2 PERKAHWINAN ASMM DENGAN PIHAK LAIN Nahkoda Tua Tuan Puteri Dayang Seri Jawa + Awang Sulung Merah Muda

Nahkoda Tua berasal dari Negeri Tanah Semerang Jawa, anaknya Tuan Puteri Dayang Seri Jawa berkahwin dengan Awang Sulung Merah Muda. = Tanda sebagai anak. + = Tanda Perkahwinan [1] Siti Aishah Mat Ali.,Analisis isi cerita-cerita Tarik Selampit Di Kelantan: cerita Selampit, cerita Si Gembang dan cerita Raja Dera dalam Pengkajian Sastera Rakyat Bercorak Cerita. Penyelenggara Mohd.Taib Osman.1991 : 94. [2] Hashim Awang, Glosari Mini Kesusasteraan Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. 1987:71:72 [3] Ibid : hlm 71 [4] Judul Hikayat pada cerita-cerita ini telah diberikan oleh penyusun atau penyelenggara ( Zalila Sharif & Jamilah Hj Ahmad). Penutur cerita menyebutnya cerita bukan hikayat. Cerita-cerita selepas zaman Winstedt tidak lagi menggunakan judul Hikayat. [5] Jamilah Hj Ahmad. Sastera Rakyat dlm Kesusasteraan Melayu Tradisinal.1993:80:81 [6] Awang Bin Ahmad, Sastera Rakyat (Diangdangan): Peranan dan Perkembangannya Dalam Kesusasteraan Melayu dalam kertas kerja yang dibentangkan pada 29 November 1985 semasa Hari Sastera85 di Pulau Pinang. Di petik dalam buku Sekitar Kritikan Sastera Melayu Brunei. Dewan Bahasa Dan Pustaka.NBD.1995:354 [7] Hashim Awang, Glosari Mini Kesusasteraan. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. 1987: 75 [8] Berkaul membawa maksud bernazar, berjanji hendak melakukan sesuatu. [9] Merawi : Bercerita [10] Mantik : Cara berfikir yang hanya berdasarkan fikiran belaka. [11] Mengasah gigi disini bertujuan untuk menambah Seri Wajah Awang Sulung Merah Muda [12] Pagar Sasak : pagar dari bilah bambo yang dianyam. [13] Kakap : Perahu yang sempit dan rendah [14] Geliung adalah sebuah Kapal bahtera yang besar dan panjang yang digunakan untuk belayar. [15] Kinantan : Ayam yang bulunya putih belaka. [16] Lufti Abas. Keindahan Plot dalam Bahana Ogos, Dewan Bahasa dan Pustaka, NBD, 1994 : 37

[17] Pawang Ana dan Raja Haji Yahya. Hikayat Awang Sulung Merah Muda Edisi Kedua (Ejaan Baru), dengan kata penghantar oleh Mohd,Taib Osman,1985: V [18] Mustafa Mohd Isa. Analisis isi cerita: cerita-cerita Awang Belanga Perlis dalam buku yang bertajuk Pengkajian Sastera Rakyat bercorak Cerita diselenggarakan oleh Mohd.Taib Osman.1991:31. [19] Pawang Ana dan Raja Haji Yahya. Hikayat Awang Sulung Merah Muda Edisi Kedua (Ejaan Baru), dengan kata penghantar oleh Mohd,Taib Osman,1985: VII [20] Kenduri dan mandi pada ketika orang mengandung tujuh bulan. [21] Maksudnya dengan pertolongan Allah Jua. [22] Pawang Ana dan Raja Haji Yahya. Hikayat Awang Sulung Merah Muda Edisi Kedua (Ejaan Baru), dengan kata penghantar oleh Mohd,Taib Osman,1985: VII Posted by SOFIAN BIN AHMAD at 1:58 AM

You might also like