You are on page 1of 20

PEMANGKIN DAN PENGHALANG KEPADA PERPADUAN KAUM DAN INTEGRASI NASIONAL 1957-1969 Malaysia merupakan sebuah negara pluralistik

dengan kelompok majoriti bangsa Melayu diikuti dengan Cina, India, dan kelompok peribumi kecil seperti Dayak, Bidayuh, Kadazandusun, dan Bajau di Sabah dan Sarawak. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, usaha-usaha ke arah pengukuhan hubungan antara etnik telah diperluaskan. namun, kewujudan faktor-faktor yang menghalang perpaduan dan integrasi nasional yang membawa kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah dan pengajaran kepada negara dari segenap peringkat masyarakat. Peristiwa Darurat 1948-1960 merupakan salah satu faktor penghalang pada perpaduan rakyat. Peristiwa ini telah membawa kepada rancangan penempatan semula yang bertujuan untuk menyekat bekalan makanan dari sampai kepada pihak komunis. Malangnya, langkah ini telah membawa satu kesan buruk terhadap pemupukan perpaduan di Tanah Melayu kerana pembukaan kampung baru kebanyakannya melibatkan orang Cina. Menurut Zainal Abidin dalam buku Malaysia : Warisan dan Perkembangan, kawasan penempatan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti hak milik tanah, sekolah, klinik, bekalan elektrik, dan air. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu kerana kampung mereka terpinggir dan terabai dari mendapat kemudahan yang sama sedangkan mereka berkhidmat dalam pasukan polis dan tentera. Memetik kajian Md Shukri Shuib (2010), menurutnya, for a multiracial country, the most fragile elements that will bring a disaster to the system is neglecting the racial-ethnic balance of the political economy If this racialethnic balance can be properly governed and well managed by the government, it will be a core element in securing the prosperity and longevity of the development nation and states building. Peristiwa ini harus dijadikan pengajaran dalam sistem pentadbiran kerajaan kita pada hari ini kerana jika sesuatu langkah penyelesaian untuk satu masalah mungkin akan menjadi punca kepada masalah lain yang lebih besar jika tidak dikaji secara mendalam dan pandang ke hadapan.

42

Faktor penghalang yang kedua ialah politik yang berbeza mengikut kaum. Penubuhan parti-parti politik berlandaskan kaum seperti UMNO dan PAS untuk orang Melayu, MCA, PAP, dan DAP untuk orang Cina, dan MIC untuk orang India telah menguatkan sikap dan semangat perkauman yang tinggi. Walaupun terdapat sebahagian parti berlainan bangsa yang bergabung, perjuangan mereka yang berbaur perkauman tetap utuh. Bagi kaum India dan Cina, hal-hal yang berlaku di negara asal mereka adalah lebih penting daripada hal politik di Tanah Melayu (Pengajian Malaysia, 2009). Kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum juga menjadikan pengaruh perkauman turut merebak kepada institusi keluarga dan pendidikan. Apabila proses sosialisasi ini berlaku, maka menurut Funston (2001), setiap etnik akan memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing terutama halhal yang berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan. sedangkan dalam membina integrasi nasional dan perpaduan yang utuh semua rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama mestilah sama-sama berganding tenaga mencapai satu perjuangan dan matlamat yang sama demi negara yang sama-sama menjadi tempat tumpah darah semua rakyatnya. Faktor seterusnya ialah pertikaian penetapan bahasa rasmi Malaysia. pada tahun 1957, sebuah perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dirangka dan dipersetujui. Perlembagaan tersebut telah menetapkan bahawa bahasa melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara dengan semakan semula 10 tahun selepas itu untuk mengkaji semula kedudukan bahasa Inggeris dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal. Malangnya, hasrat untuk merealisasikan usaha tersebut menerima kekangan-kekangan yang besar sekaligus mengganggu perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahun 1966, kira-kira 1200 pertubuhan keturunan Cina menjalankan kempen mengutip tanda tangan menuntut supaya bahasa Cina dijadikan salah satu dari bahasa rasmi negara (Zainal Abidin, 1992). Pertelingkahan ini umpama menambahkan retak-retak perpecahan rakyat ketika itu yang baru bertatih untuk menjalinkan hubungan dan perpaduan sesama mereka selepas era penjajahan sekaligus membantutkan usaha integrasi nasional.

43

Faktor seterusnya berkait rapat dengan faktor bahasa iaitu pendidikan. kebangsaan yang dirasmikan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 mendapat kecaman dari pelbagai pihak dan menjurus kepada kajian semula ordinan tersebut sekaligus menghasilkan Laporan Rahman Talib yang menjadi asas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Akta Pelajaran 1961. Dasar pelajaran ini telah mendapat kecaman dari pelbagai pihak termasuklah dari orang Melayu sendiri kerana pelaksanaannya yang longgar kerana perkembangan sekolah aliran Inggeris pada tahun 1956-1966 adalah 300 peratus kali lebih pesat dari sekolah aliran Melayu. Selain itu, sebahagian besar masyarakat Cina pada ketika itu menyokong usaha DAP dan PAP untuk menubuhkan Universiti Merdeka yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan ini bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Hal ini juga telah menyebabkan Kerajaan Perikatan memberi bantuan kewangan untuk menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris yang jelas bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan iaitu untuk menyelaraskan bahasa pengantar dalam pendidikan demi perpaduan bangsa. Kolej tersebut ditubuhkan dengan cadangan parti MCA demi untuk menarik pengundi Cina untuk terus mengundi Parti Perikatan. Dapatlah disimpulkan bahawa, dalam melaksanakan sesebuah dasar terutamanya dasar yang paling penting dalam sesebuah negara iaitu dasar pendidikan yang mempunyai matlamat penting dalam kesejahteraan dan perpaduan negara, kerajaan sepatutnya lebih tegas dalam melaksanakannya. . Menurut Haris Mohd. Jadi, dasar pendidikan Inggeris tidak bersifat diskriminasi tetapi membawa kepada perpecahan kaum. Oleh itu, kesan dari sistem pendidikan ketika pemerintahan Inggeris yang memperlihatkan perbezaan dalam sistem pendidikan mengikut kaum dan langsung tidak membantu ke arah pembentukan sebuah bangsa yang bersatu dalam sebuah negara (Azmah, 2001) perlu segera dihapuskan atas nama sebuah perpaduan. Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air (Shamsul Amri, 2007). Di negara kita, proses ini jelas terhalang dengan satu lagi faktor iaitu pemisahan tempat tinggal atau penempatan mengikut kegiatan ekonomi. Pemisahan ini merupakan kelangsungan kesan dari dasar pecah dan perintah semasa penjajahan British. Menurut buku Pengajian Malaysia (2009), 44

penjajahan Inggeris sememangnya telah menetapkan setiap kaum membuat petempatan di kawasan ekonomi masing-masing. akibatnya, orang Melayu kekal sebagai petani dan nelayan, orang Cina dalam perdagangan dan perlombongan, dan orang India di estet-estet. perkara ini telah mengekang semua kaum dari berinteraksi dan merenggangkan hubungan sama ada dari segi agama, politik, akhbar, dan pemikiran. Menurut buku Malaysia : Warisan dan Perkembangan, pada akhir tahun 60-an, ekonomi bumiputera sangat merosot. contohnya di Bandar Tanjung (Georgetown), satu peratus sahaja tanah di situ dimiliki bumiputera, manakala di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Cuma satu kedai sahaja dimiliki bumiputera berbanding beratus-ratus buah kedai yang ada di situ. Pegawai-pegawai kanan ikhtisas bumiputera juga tidak mencecah walaupun 10 peratus berbanding kaum-kaum lain. Ketidakseimbangan yang ketara ini telah menimbulkan rasa tidak puashati antara sesama kaum. Orang Melayu mencemburui kejayaan dan kemewahan orang Cina, sementara orang Cina dan India pula cemburukan keistimewaan orang Melayu yang berpeluang berkhidmat dalam sektor pentadbiran kerajaan. Di samping faktor-faktor yang menghalang integrasi nasional ketika itu, terdapat juga beberapa pemangkin dalam perpaduan dan integrasi nasional. salah satunya ialah, pendidikan. Pendidikan memainkan watak paling utama sebagai wacana dalam membentuk satu pemikiran dan gaya hidup dalam sesebuah masyarakat. Jika sistem pendidikan pernah menjadi unsur utama dalam memecah belahkan perpaduan di negara kita, adalah menjadi satu langkah yang bijak untuk menggunakan medium yang sama untuk memangkin kembali perpaduan antara semua kaum. Ini selari dengan kenyataan Langton (1969) dengan mengatakan, sekolah berperanan untuk menanamkan kepercayaan politik secara formal melalui perancangan secara sedar dan secara tidak formal melalui pengalaman. Atas kesedaran ini lahirlah satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan salah satu pemangkin dalam integrasi nasional pada waktu dan terus memainkan peranannya secara aktif sehingga kini. Ianya menepati objektif dasar ini yang dinyatakan dalam pendahuluan 45

kepada akta pelajaran, 1961, iaitu, " bahawasanya Dasar Pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya...". Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pelajaran, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi keperluan ekonomi. unsur penting dalam dasar pendidikan ini yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ialah penyelarasan kurikulum, peperiksaan, dan bahasa pengantar yang sama untuk semua jenis sekolah. hal ini sedikit sebanyak membantu dalam proses perpaduan dan integrasi nasional di negara kita pada waktu itu. Perkongsian kuasa politik juga mampu menjadi pemangkin kepada integrasi nasional. Kewujudan Parti Perikatan adalah melalui gabungan tiga parti berasaskan kaum iaitu UMNO, MCA, dan MIC. Dalam buku Biografi Politik Tunku Abdul Rahman, Tunku sentiasa meminta UMNO supaya bertolak-ansur dengan MCA dan MIC sebagai usaha menjaga perpaduan. Hasilnya, parti ini telah memenangi Pilihanraya Majlis Persekutuan pertama pada tahun 1955. Kemenangan ini menunjukkan bahawa penggabungan etnik-etnik melalui satu pakatan bukan sahaja memberi faedah dalam perhubungan kaum, malah mampu meraih sokongan rakyat yang sememangnya terdiri dari pelbagai etnik. Konsep perkongsian kuasa ini telah berkembang dan diikuti oleh parti pembangkang yang menubuhkan Barisan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, DAP, dan PAS). Walauapapun matlamat penggabungan parti-parti ini, ia dilihat sebagai salah satu medium yang menyatu-padukan rakyat terutamanya dalam aspek politik. Menurut buku Pengajian Malaysia (2009), sikap tolak ansur budaya merupakan asas yang penting dalam mewujudkan perpaduan antara kaum di negara kita. Berdasarkan sejarah, Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity (Ridhuan Tee Abdullah, 2010). Budaya Melayu jelas diamalkan dan menjadi teras kebudayaan kebangsaan namun tetap tidak mengetepikan budaya etnik lain yang bebas untuk diamalkan. Seperti yang diketahui, Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Namun dengan sikap tolak ansur, tiada sebarang kekangan untuk bahasa-bahasa

46

lain digunakan dalam pelbagai bidang dalam masyarakat. Rakyat Malaysia juga bebas untuk mengamalkan agama dan menyambut perayaan keagamaan masing malah kita juga telah mewujudkan tradisi rumah terbuka yang diamalkan oleh semua kaum. Semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum sama-sama meraikan perayaan masing-masing dan ini meningkatkan kesefahaman dan penghargaan kepada nilai-nilai dan tradisi antara mereka. Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen sejak tahun 1957 di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Negara. Pemerintahan demokrasi membantu dalam memangkin perpaduan rakyat. Menurut Kamus Dewan Edisi 4, demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yg dipilih dlm pilihan raya; berparlimen (perwakilan) pemerintahan demokrasi yg dijalankan secara perwakilan. Buku Pengajian Malaysia (2009), menyatakan bahawa pemerintahan demokrasi memberi peluang kepada rakyat untuk meluahkan bantahan dan ketidakpuasan etnik serta membuat tuntutan tertentu. Hal ini sangat membantu dalam

mengurangkan mahupun mengelakkan ketegangan antara etnik. Namun begitu, kebebasan yang diberikan bukanlah kebeasan yang tiada batasan. Ini adalah untuk memastikan bahawa individu yang bersuara bertanggungjawab dalam meluahkan perasaan di samping tidak mengenepikan undang-undang. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga ditubuhkan untuk menjamin kestabilan negara selain untuk mengimbangkan sistem pemerintahan demokrasi. Proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah sesuatu yang mudah (Ting Chew Peh ,1987). Menurut Ridhuan Tee Abdullah, Kita dapat lihat setiap kaum membawa hal masing-masing daripada pelbagai sudut seperti sejarah, pendidikan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Boleh dikatakan

kebanyakannya bersifat perkauman. Ia telah berakar umbi sejak dahulu lagi, sebelum, semasa dan selepas merdeka. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sama ada sebagai seorang pemimpin, guru, pelajar, mahupun rakyat biasa untuk samasama mengambil pengajaran dari sejarah yang pernah berlaku. Segala faktor yang mengundang kepada perpecahan wajib dielakkan dan sentiasa berusaha

untukmengukuhkan lagi perpaduan dan integrasi nasional yang telah menapak di bumi Malaysia yang kita cintai ini.

47

LAPORAN KRONOLOGI DAN KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM DASAR DAN PELAN TINDAKAN UNTUK PERPADUAN NASIONAL YANG DILAKSANAKAN OLEH PIHAK KERAJAAN BAGI MENJAMIN KESTABILAN DAN KESEJAHTERAAN SOSIAL-EKONOMI DI MALAYSIA Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum sejak sekian lama. Situasi ini memerlukan negara memberi perhatian terhadap kewujudan hubungan etnik yang mantap dalam kalangan rakyat. Dengan kewujudan kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik, persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya memastikan pembangunan negara berjalan lancar tanpa sebarang gangguan (Shamsul Amri, 2011). Hal ini ditegaskan oleh Tun Abdul Razak mengenai perpaduan negara bukanlah melalui proses asimilasi tetapi melalui integrasi iaitu melalui penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yg diterima oleh semua bangsa dlm negara (Zulkarnain, Sivamurugan, Azeem Fazwan, 2008). Dalam membentuk satu perpaduan nasional antara semua kaum, beberapa dasar dan pelan tindakan telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan sosial-ekonomi di Malaysia. Antaranya adalah penubuhan Jabatan Perpaduan Negara (kini dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional JPNIN), pengenalan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN), Pelaksanaan Wawasan 2020, Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB). Kesedaran kerajaan Malaysia terhadap perpaduan nasional dapat dilihat melalui penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada tahun 1969. Penubuhan ini adalah sebagai agensi peneraju utama untuk memelihara, meningkat dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia. JPNIN dipertanggungjawab mempertingkatkan dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berasaskan

Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Gagasan 1 Malaysia. Dalam penubuhannya selama 42 tahun, jabatan ini telah banyak mencapai kejayaan dalam aspek pembinaan keharmonian dan perpaduan dalam diri individu dan masyarakat 48

kepelbagaian kaum di Malaysia melalui aktiviti-aktiviti yang sering dianjurkan dalam bulan kemerdekaan, Hari Memperingati Pahlawan, Jalur Gemilang, Program Citrawarna Malaysia dan sebagainya. Seterusnya, pada 31 Ogos 1970 semasa sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-13, Rukun Negara telah diperkenalkan ekoran tragedi yang menggungat perpaduan kaum dalam masyarakat Malaysia iaitu Peristiwa 13 Mei 1969 dan kesan daripada peristiwa tersebut kerajaan mula berusaha ke arah merangka dasar-dasar pembangunan dan pendekatan yang boleh menghapuskan jurang perbezaan antara kaum bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan penduduk Malaysia yang berbilang etnik. Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan telah dirumus berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam telah menggariskan lima prinsip utamanya iaitu (1) Kepercayaan kepada Tuhan, (2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara, (3) Keluhuran Perlembagaan, (4) Kedaulatan Undang-undang, dan (5) Kesopanan dan Kesusilaan. Pengenalan Rukun Negara merupakan satu tindakan bijak yang telah diambil oleh kerajaan kerana instrumen ini mampu mengatasi garis pemisah antara etnik dalam membentuk dan membimbing masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan perpaduan berdasarkan hak, peranan dan tanggungjawab yang digariskan dalam kelima-lima prinsip yang perlu dihormati oleh setiap rakyat. Tambahan, jika diamati kepada kesemua prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, kerajaan telah berjaya merangkumi semua aspek dalam pembinaan negara bangsa Malaysia yang unggul kerana secara keseluruhannya dalam konteks pembangunan politik, instrumen ini jelas menyatakan cita-cita membina negara bangsa yang warganya bersatu padu, mengamalkan cara hidup yang demokratik, melaksanakan keadilan sosial dan berfikiran terbuka manakala dalam konteks pembangunan ekonomi pula, secara jelas Rukun Negara menggariskan bahawa sains dan teknologi menjadi asas kepada ekonomi berasaskan perindustrian yang akhirnya akan melahirkan masyarakat yang progresif (Shamsul Amri, 2011). Selain pengenalan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga turut diperkenalkan pada tahun 1971 ekoran kewujudan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi antara pelbagai kaum di Malaysia yang menjejaskan perpaduan antara kaum dan keamanan negara sehingga tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei. Sejak

49

Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 hingga ke akhir tahun 1960-an, pembangunan ekonomi di dorong oleh kuasa pasaran. Hasilnya, Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi masih wujud ketidak seimbangan yang serius. Ini bermakna, walaupun pertumbuhan ekonomi tinggi, kekayaan tidak diagihkan dengan baik. Golongan yang miskin, kebanyakannya kaum Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan berkerja sebagai petani, masih ramai dan masih mundur manakala kaum Cina dan orang asing pula menguasai bidang perindustrian, perniagaan dan sektor korporat dan keadaan ini dinamakan sebagai market failure (Mahani Zainal Abidin, 2007). Hasilnya, DEB sebagai satu penjuruteraan sosial (social engineering) telah digubal untuk mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi di antara kaum dan wilayah. Banyak negara, termasuk negara-negara yang mengamalkan sistem ekonomi kawalan pusat (centrally planned economies) telah gagal mencapai matlamat mengagihkan faedahfaedah pembangunan dengan saksama serta memperbaiki taraf hidup

penduduknya. Sasaran pelaksanaan DEB pada tempoh masa 20 tahun melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971 1990 telah membuktikan Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana ia merupakan sebuah di antara sebilangan kecil negara yang mencapai kejayaan yang mengkagumkan dalam tempoh yang ditetapkan, bukan sahaja dari segi

pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengatasi dengan lebih berkesan masalahmasalah kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi. Ini telah diperakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa keberkesanan DEB sudah terbukti apabila kadar kemiskinan masyarakat Bumiputera ketika ini hanya 5.1 peratus berbanding 23 peratus pada 1990 dan 64.8 peratus ketika DEB mula dilaksanakan pada 1971. Kejayaan ini dengan sendirinya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan DEB telah menjejaskan

pertumbuhan ekonomi negara. Sebaliknya, DEB sebenarnya berjaya mengadakan suasana aman dan stabil bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha membangunkan negara sehingga ke tahap yang dicapai sekarang ini. Dalam proses tersebut, kadar kemiskinan dan juga ketidakseimbangan yang ketara dalam pendapatan, guna tenaga dan pemilikan modal saham dalam kalangan kaum telah dapat dikurangkan. Kejayaan-kejayaan dari segi pertumbuhan dan pengagihan ini telah dapat membantu merapatkan jurang diantara kaum-kaum di negara ini. 50

Pengakhiran DEB pada tahun 1990 telah diteruskan dengan pelancaran Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991 melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) 19912000 yang juga yang merupakan pembangunan dekad pertama Wawasan 2020. Teras utama DPN adalah untuk mewujudkan keseimbangan yang optimum dalam pertumbuhan ekonomi dan ekuiti, memastikan pembangunan yang seimbang antara sektor-sektor utama ekonomi, mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan dari segi sosial, ekonomi dan wilayah dan memastikan kesejahteraan hidup di samping menerapkan nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif. DPN juga memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia, menjadikan sains dan teknologi sebagai sebuah komponen penting dalam perancangan pembangunan dan memastikan perlindungan alam sekitar bagi mengekalkan pembangunan negara yang mampan dalam jangka panjang. Di samping mengekalkan strategi asas DEB, DPN juga telah memperkenalkan beberapa dimensi baru. Dimensi baru ini termasuklah mengalihkan tumpuan strategi pembasmian kemiskinan ke arah menangani masalah ketermiskinan, menekankan pewujudan guna tenaga dan pembangunan pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang aktif sebagai strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera yang bermakna dalam sektor ekonomi yang moden, lebih bergantung kepada sektor swasta untuk mencapai objektif penyusunan semula masyarakat dan mengukuhkan pembangunan sumber manusia. Dalam tempoh RRJP2, ekonomi Malaysia terus mengalami perubahan struktur. Negara telah menyaksikan pengukuhan dalam asas sektor pembuatan dari segi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi serta komposisi industri (Arbain Muhayat, 2009. Ekonomi negara berkembang pada paras yang tinggi iaitu 7.0 peratus walaupun pada tahun 1997 dan 1998, ekonomi telah mengalami penguncupan yang ketara kerana kelembapan ekonomi serantau akibat krisis kewangan. Kadar kemiskinan terus mencatatkan kekurangan kepada peratus pada tahun 1999 manakala, ekuiti bumiputera mencatatkan kekurangan kepada 18.9 pada tahun 2000 (Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Malaysia, 2011). Saiz sektor perkhidmatan telah berkembang dan kualitinya telah meningkat. Perubahan dalam struktur pengeluaran juga telah dicerminkan oleh corak guna tenaga dan komposisi eksport. Selain itu, Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar yang diperkenalkan telah berjaya mempergiatkan lagi pembangunan luar bandar, di mana orientasinya telah beralih 51

daripada pembangunan fizikal kepada penekanan yang seimbang bagi kedua-dua pembangunan manusia dan fizikal, di samping pertambahan peluang ekonomi yang lebih banyak di pusat-pusat bandar yang terus menjadi daya tarikan penghijrahan masuk migran yang seterusnya telah meningkatkan pemusatan penduduk di kawasan tersebut serta telah menghasilkan lebih banyak pembangunan di beberapa bandar yang sedia ada seperti Nilai, Bandar Baru Kelang dan Bandar Bukit Puchong dan penubuhan bandar baru seperti Kota Kemuning hasil daripada pembinaan dan menaik taraf jalan raya dan lebuh raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Lembah Klang Utara dan Lebuhraya Damansara-Puchong. Di samping itu, tempoh tersebut juga turut menyaksikan pembangunan beberapa inisiatif baru termasuk pembangunan bandar yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti Taman Hi-Tech Kulim, Putrajaya, Cyberjaya dan Kertih. Kesimpulannya, strategi dan dasar RRJP2 telah menyumbang ke arah pengukuhan dan pemodenan asas industri negara. Negara telah mencapai pertumbuhan yang pesat walaupun dilanda krisis kewangan pada tahun 1997/98. Ini telah diiringi oleh pertambahan yang ketara dalam tahap pendapatan dan peningkatan dalam kualiti hidup rakyat Malaysia dengan kemajuan yang nyata dalam pengurangan kadar kemiskinan. Hasil penilaian semula Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) 19912000 serta pengalaman yang dipelajari daripada krisis kewangan Asia tahun 1997-1998, kerajaan telah meneruskan dasar bagi pelaksanaan perpaduan nasional melalui penggubalan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) berasaskan Dasar Wawasan Negara (20012010) yang juga merupakan

pembangunan dekad kedua Wawasan 2020. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan Dasar Wawasan Negara (DWN) merupakan visi jangka panjang kerajaan untuk membawa Malaysia ke matlamat Wawasan 2020 iaitu satu rancangan komprehensif yang melibatkan semua sektor ekonomi negara dan pelaksanaan Dasar Wawasan Negara melalui Rancangan Malaysia Ke-lapan dan Ke-sembilan akan melahirkan ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh, berdaya saing dan memberi peluang yang saksama kepada rakyat (Utusan Malaysia, 2001). Seperti di masa lalu, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan yang menyeluruh dalam membangunkan ekonomi demi menjamin pertumbuhan yang stabil, menggalakkan keharmonian di kalangan kumpulan etnik dan meningkatkan persepaduan nasional serta akan menumpukan kepada meningkatkan keutuhan dan 52

daya saing negara dan bertujuan untuk memperkukuhkan kekuatan sedia ada, menangani kekurangan dan kekangan serta menghadapi cabaran persaingan dunia. Teras DWN ialah meningkatkan resilience dan daya saing ekonomi bagi menangani kesan teruk yang dialami semasa krisis kewangan serantau 1997/98. Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah dalam mengulas Seminar Indeks-Indeks Pembangunan Dari Perspektif Islam 28-29 Ogos 2004 mengenai Peranan Kerajaan Dalam Dasar Pembangunan Negara menyatakan Rancangan Malaysia Ke-lapan merupakan peringkat pertama ke arah pencapaian matlamat DWN. Setakat 2001 hingga 2005, kadar pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana kerana masalah seperti serangan pengganas di New York, SARS, selsema burung, kenaikan harga minyak akibat perang Afghanistan dan Iraq telah memberi implikasi kepada pertumbuhan ekonomi. Namun begitu, ekonomi negara telah mula mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada tahun 2004. Pada suku pertama tahun ini, ekonomi mencatatkan pertumbuhan pada kadar 7.6 peratus. Pada suku kedua pula, ekonomi berkembang pada kadar 8.0 peratus. Ini merupakan satu pencapaian yang amat

memberansangkan. Jika prestasi ini dapat dikekalkan pada separuh kedua tahun ini, ekonomi dijangka boleh mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi daripada anggaran awal di antara 6.0-6.5 peratus. Perpaduan nasional juga dilaksanakan melalui pelancaran Wawasan 2020. Wawasan 2020 ialah pandangan yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia negara membangun dengan corak negara Malaysia yang diingini menjelang tahun 2020. Pandangan ini dikemukakan pada persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 dalam kertas kerja bertajuk "Malaysia-The Way Forward". Wawasan 2020 bermatlamat untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara (Tun Dr. Mahathir Mohammad, 1994). Menurut beliau lagi dalam "Malaysia Melangkah Ke Hadapan, Malaysia tidak patut dibangunkan daripada segi ekonomi sahaja malah ia mesti menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, sosial, kejiwaan, psikologi dan kebudayaan (Zurinah Hassan, 1994). Dalam merealisasikan Wawasan 2020, sembilan cabaran Wawasan 53

2020 telah dikenal pasti iaitu (1) Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu, (2) Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan, (3) Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang, (4) Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, (5) Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi, (6) Membina masyarakat yang maju dan saintifik, (7) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang, (8) Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya, dan (9) Memupuk dan membina masyarakat makmur. Dalam merealisasikan kesemua cabaran ini, setiap rakyat perlu memahami pembabitan mereka dalam proses pembangunan negara. Konsep penyatuan usaha ke arah satu matlamat ini perlu dilihat sebagai satu sinergi (Covey, 2004), iaitu gabungan pelbagai usaha dari pelbagai sudut dan perspektif untuk mencapai satu matlamat yang diinginkan. Peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masing-masing, seperti yang diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir dalam sebuah wawancara RTM bertajuk "Bersama Perdana Menteri" Julai 1993 (Zurinah Hassan, 1994). Dasar yang dilancarkan pada tahun 1991 ini, telah memulakan langkahnya dalam pelaksanaan perpaduan nasional melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) 19912000 yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) dalam Dasar Wawasan Negara (DWN). Selain daripada dasar-dasar yang dijelaskan seperti di atas, antara komponen penting pembangunan sosial yang akan mempengaruhi perubahan ke atas gaya hidup dan kualiti kehidupan adalah anjakan yang berlaku dalam kadar pendidikan dalam negara. Oleh kerana sedar kepentingannya, dasar ke atas pendidikan iaitu Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dilaksanakan sebagai teras dalam agenda sosio-ekonomi negara. Kepentingan dalam bidang pendidikan ini turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Merlimau di Jasin. ''Kerana kita sedar, kalau kita mahu mencapai kemajuan besar dalam negara kita dan mahu menjadi negara maju menjelang 2020 nanti, perkara penting yang

54

harus kita beri tumpuan adalah soal pelajaran," (Utusan Malaysia, 14 Februari 2011). Objektif pendidikan juga dihubungkait dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan agenda lain negara terutama untuk memberi pendidikan kepada semua warga Malaysia, menghasilkan sumber tenaga yang berkualiti, menghasilkan individu yang berilmu dan berkemahiran serta yang setia dan berpadu atas nama Malaysia. Dalam belanjawan 2008 yang diumumkan pada September 2007, kerajaan memansuhkan yuran sekolah, yuran peperiksaan dan meluaskan skim pinjaman buku teks untuk kesemua lapisan pelajar sebagai insentif untuk memastikan pendidikan terus mendapat tempat dalam kalangan ibu-bapa dan kanak-kanak sendiri (Zulkarnain, Sivamurugan Pandian, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, 2008). Pendidikan percuma merupakan satu perubahan pembangunan sosial yang begitu ketara selepas 50 tahun merdeka. Walaupun pendidikan tidak diwajibkan, hampir 99 peratus mengikuti proses pembelajaran di sekolah dan 92 peratus pula di sekolah menengah. Sepanjang 1996-2000, perbelanjaan

pembangunan kerajaan ke atas pendidikan adalah 17.5 bilion atau 56 peratus dari perbelanjaan sektor sosial dan 17 peratus daripada perbelanjaan pembangunan sepenuhnya. Untuk tempoh masa 2001-2005, perbelanjaan pendidikan telah meningkat kepada 18.7 bilion ringgit. Pada tahun 2008, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM35,355 juta untuk bidang pendidikan dan latihan berbanding hanya RM21,517 juta pada 2004 (Utusan Malaysia, 18 Januari 2007; Kementerian Kewangan, 2007). Malah Datuk Seri Najib dalam Belajawan 2012, sektor pendidikan diperuntukkan sebanyak RM50.2 bilion termasuk Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan (Utusan Malaysia, 7 Oktober 2012). Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan bertepatan dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti

pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang 55

terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif. Bagi menghadapi segala cabaran yang menghalang Malaysia daripada mencapai Wawasan 2020, kerajaan telah memberikan sepenuh komitmen kepada pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Rancangan ini merencanakan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang dengan matlamat untuk menyampaikan hasil yang dihasratkan untuk semua rakyat. Rancangan ini menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi (Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak dalam ucapan semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh pada 10 Jun 2010). Pelan hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan selaras dengan prinsip Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ini memperincikan objektif, keberhasilan dan set tindakan permulaaan dalam bidang yang dikenal pasti sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) dengan fokus yang khusus pada tahun 2010 (PEMANDU, 2010). Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang akan diterajui oleh Datuk Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak disasar pada dua objektif utamanya iaitu pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua. Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi kerajaan adalah

mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar Bandar dan mempertingkatkan

pengangkutan awam bandar. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya. 56

Seiringan dengan GTP, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) juga membentuk Model Ekonomi Baru bagi memantapkan lagi transformasi yang akan dilaksanakan. Memetik bait-bait perkataan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB) pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur pada 30 Mac 2010, beliau menjelaskan kesemua bahagian transformasi ini dalam bentuk metafora sebagai sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia yang mana kita memerlukan bumbung iaitu falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. Dalam situasi ini, 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita sama berteduh, Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah satu program penyampaian dalam enam Bidang Keberhasilan Utama yang merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua pula ialah Pelan Transformasi Ekonomi yang akan membangunkan MEB dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan adalah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh dan Ke-sebelas. Tiga prinsip meb yang jelas terhasil daripada laporan NEAC menyatakan, pertama, berpendapatan tinggi, kedua, kemapanan dan ketiga, keterangkuman (inclusive) (Majlis Penasihat Ekonomi Negara, 2010). Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya, meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh. Kesimpulan, setiap dasar dan pelan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mencapai perpaduan nasional hendaklah melalui satu konsep penyatuan usaha dari pelbagai sudut dan perspektif supaya matlamat yang diingini dapat tercapai. Malah, Tun Dr. Mahathir juga telah menegaskan kepentingan peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masing-masing. Ulasan artikel oleh: Ainil Husna bt Muhamad Muis, Nurhidayatul Asyikin bt Mat Refin, Rashidatul Kamilah bt Samsury. Pelajar PISMP Sains/PJK/PSV Semester 3 Ambilan Januari 2011, IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor. Disiapkan pada 6 Mac 2012. 57

BIBLIOGRAFI Buku Adam, R. (2005). Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Covey, Stephen R. (2004). The 7 Habits of Highly Effective People. New York: Free Press. Ira Meilita [et.al]. (2009). Pengajian Malaysia. Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd. Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan Edisi Empat. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka. Keow, C. L. (2010). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Manaf, A. A. (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors. Mohd Syariefudin. M. K. (2009). Kenegaraan dan Ketamadunan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Shamsul Amri Baharuddin. (2011). Modul Hubungan ETNIK. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Zahid Emby. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang: Penerbit Universiti Putera Malaysia. Zaid Ahmad [et.al]. (2010). Buku Teks Hubungan Etnik di Malaysia: Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Zainal Abidin Ahmad, M. Z. (2006). LANH 1303 Pengajian Malaysia. Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd. Zurinah Hassan. (1994). Wawasan 2020: Huraian 9 Cabaran. Penerbitan Perwarna: Shah Alam.

58

Artikel dalam Jurnal dari Sumber Elektronik Mohd Ridhuan. (2010). Cabaran Integrasi Antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari, 3, 61-84. Retrieved Februari 2012 from http://www.ukm.my/jhadhari/makalah/v2n12010/makalahv2n1-n4.pdf Md. Shukri Shuib [et al]. (2010). The Role of Malaysian Leaders in National Building Process (1957-2003). Arts and Social Sciences Journal, Volume 2010: ASSJ3.1-17. Retrieved Februari 2012 from http://astonjournals.com/manuscripts/Vol2010/ASSJ-3_Vol2010.pdf Zulkarnain [et al]. (2008). Pembangunan Sosial 50 Tahun Merdeka. Jurnal Kemanusiaan, Bil. 12 Dis 2008. Retrieved Februari 2012 from www.fppsm.utm.my

Artikel Seminar dari Sumber Elektronik Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri. (2010). Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi dan Maju. Ucapan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak Semasa Membentangkan Usul Tentang Rancangan Malaysia Kesepuluh:. 2010. 10 Jun 2010. Retrieved Februari 2012 from http://www.epu.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=9c88f35aa4ac-4b49-96e7-1f6cc5a9d456&groupId=34492 Jabatan Penerangan Malaysia. (2010). Model Baru Ekonomi (MBE). Teks Ucapan Pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Persidangan Invest Malaysia 2010, Kuala Lumpur. 30 Mac 2010. Retrieved Februari 2012 from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/419model-baru-ekonomi-mbe/6141-teks-ucapan-perdana-menteri-tentang-modelekonomi-baru-meb-.html Wan Abdul Aziz . (2004). Peranan Kerajaan dalam Dasar Pembangunan Negara. Seminar Indeks-Indeks Pembangunan Dari Perspektif Islam. 28 hingga 29 59

Ogos 2004. Retrieved Februari 2012 from http://www.epu.gov.my/html/themes/epu/images/common/pdf/speecothers/se minar%20indeks%20pembangunan%20dr%20perspektif%20islam%202829%20ogos%2004.pdf

Modul dari Sumber Elektronik Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN). Model Ekonomi Baru untuk Malaysia: Bahagian 1 Ringkasan Eksekutif. Retrieved Februari 2012 from http://www.kpkk.gov.my/pdf/artikel/model_ekonomi_baru.pdf. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). (2010). Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju. Retrieved Februari 2012 from http://jpt.mohe.gov.my/RUJUKAN/Pelan%20Hala%20Tuju%20GTP.pdf Kementerian Luar Negeri. Bab 2: Cabaran Merealisasikan Wawasan 2020. Retrieved Februari 2012 from http://klnportal.kln.gov.my/klnvideo/2010/transformasi/video/documents/Pelan %20Hala%20Tuju%20GTP/Pelan%20Hala%20Tuju%20GTP_Bab02.pdf

Artikel dalam Akhbar dari Sumber Eletronik Danzaim. (2011). Keberkesanan DEB Sudah Terbukti. Berita Harian Online. Retrieved Februari 2012 from http://berita-harian-online.com Arkib. (2011, Februari 14). Berita Umum: Dasar Pendidikan Negara Utamakan Semua Kaum-TPM. Utusan Online. Retrieved Februari 2012 from http://www.utusan.com.my Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). (2011, Oktober 7). Bajet 2012: Kerajaan Umum Pendidikan Percuma Di Sekolah Rendah, Menengah. Retrieved Februari 2012 from http://umno-online.com

60

Arkib. (2010, Mac 30). Intipati Model Ekonomi Baru (MEB) diumumkan PM. Utusan Online. Retrieved Februari 2012 from http://www.utusan.com.my

Artikel dari Sumber Eletronik Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri. (2011). Pembangunan Ekonomi. Retrieved Februari 2012 from http://www.epu.gov.my/ PEMANDU Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU). (2011). Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Retrieved Februari 2012 from http://www.pemandu.gov.my/ Arbain Muhayat. (2009). RRJP2 1991-2000. Retrieved Februari 2012 from http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/tag/RRJP-2-1991-2000 Jabatan Penerangan Malaysia. (2005). Maklumat Kenegaraan: Perspektif Wawasan 2020. Retrieved Februari 2012 from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/255perspektif-wawasan-2020.html. Jabatan Penerangan. (2008). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Retrieved Februari 2012 from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumatkenegaraan/242-dasar-pendidikan-kebangsaan.html USM Daily. (2009). Penghayatan Rukun Negara. Retrieved Februari 2012 from http://usmdaily.blogspot.com/2009/02/penghayatan-rukun-negara.html Mahani Zainal Abidin (2007). Kejayaan DEB: Pembangunan Keseimbangan dengan Dasar Ekonomi Baru di Malaysia. Retrieved Februari 2012 from http://www.isis.org.my/attachments/390_MAZ_Kompass_220907.pdf Md. Sabri, Paeza. (2006). Rundingan Damai (Conciliation). Retrieved Februari 2012 from http://www.mohr.gov.my/pdf/sabri&paeza.pdf

61