PENDEKATAN KUALITATIF DAN KAEDAH KLINIKAL DALAM PENYELIDIKAN PSIKOLOGI.

Prof.Madya Dr. Hajah Hanipah Hussin Pusat Bahasa dan Pembanguanan Insan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, (UTeM) Jalan Hang Tuah Jaya. Ayer Keroh. 75450.Melaka

1.

PENDAHULUAN

Aplikasi psikologi dalam bilik darjah umumnya adalah satu bidang kajian yang mengkaji tingkah laku pelajar secara saintifik dan sistematik. Aplikasi psikologi seperti ini berpadu dengan kajian terhadap bidang pedagogi iaitu kaedah pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kajian ini memerlukan proses atau prosedur yang bermula dari perkara yang khusus kepada perkara yang umum. Ia dari contoh-contoh, diskripsi, laporan dan pemerhatian, ilustrasi, audio, video dan apa sahaja data yang berkaitan dengannya. Data mentah tadi kemudian dikategorikan dan kemudian dikumpulkan untuk mencari punca masalah. Akhirnya mendapat cara bagaimana menangani masalah. Setelah mendapat cara mengatasi measalah, pelaksanaan dirancang dan pemantauan dibuat. Selepas itu sistem penilaian keberkesanan dilakasanankan dan selepas semua itu berlaku refleksi dibuat untuk usaha pembaikan ke atas mana-mana pelaksanaan yang belum terlakasana sepenuhnya. Kebanyakan kajian berasaskan tindakan akan berulang sehingga dua atau tiga pusingan untuk menyelesaikan masalah. Mungkin satu siri gelongan akan terbina. Semua dokumen direkodkan dan dikompailkan dalam fail yang di panggil portfolio kajian.

Kajian berasaskan klinikal seperti ini telah berjaya mengatasi kebanyakan masalah yang berlaku di sekolah, mahkamah, hospital. Kajian tindakan atau kajian klinikal dimulakan di Malaysia sejak tahun 1990an lagi. Menurut Mohd. Salleh Lebar ( 1994 : m/s 6 ), psikologi ialah sesuatu kajian yang berkaitan dengan tingkah laku manusia. Dalam sesuatu kajian, pengkaji perlulah bersifat terbuka bagi membolehkan penyelidik lain menguji kebenaran terhadap penyelidikan telah

atau hipotesis yang dibuat. Hingga kini, walaupun berbagai-bagai penyelidikan telah dibuat, namun terdapat lagi perkara-perkara yang masih belum difahami dengan mendalam tentang tingkah laku manusia. Oleh itu, bagi sesuatu kajian yang dibuat, penyelidik haruslah mengambilkira berbagai-bagai aspek yang berkaitan untuk menguji sesuatu kebenaran. Aspek yang dimaksudkan itu seperti pengalaman, motivasi dan mental-emosi. Kebenaran sesuatu ujian membolehkan penyelidik lain membuat anggapan yang betul terhadap tingkah laku manusia. Bagaimanapun tidak semua penyelidikan yang dibuat oleh ahli psikologi semuanya betul dan boleh disesuaikan dalam situasi yang berbeza. Mohmood Nazar Mohamed ( 1992 : m/s 13 ) pula mengatakan, psikologi ialah satu kajian saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia. Sebagai satu disiplin bersaintifik, psikologi juga berpegang teguh kepada objektif-objektif sains, iaitu membekal informasi yang terbaru dan berguna kepada masyarakat. Informasi yang dibekalkan ini haruslah boleh diuji kesahihannya ( verifiable ) oleh pakar-pakar lain. Dengan cara ini, barulah ia boleh diterima sebagai satu kajian yang bersaintifik.

2.

KAEDAH PENYELIDIKAN DALAM PSIKOLOGI

Dalam bidang psikologi, berbagai-bagai kaedah penyelidikan boleh digunakan bagi menyelidik dan memahami jiwa serta tingkah laku manusia. Pada dasarnya, penyelidikan tersebut boleh dijalankan sama ada dalam bentuk kaedah klinikal, pendekatan kuantitatif ataupun pendekatan kualitatif. ( Slavin, R.E. 1997 : m/s 14 ) Merujuk kepada jadual 1, pendekatan kualitatif boleh dibahagikan kepada kaedah deskriptif, kaedah ethnografi, kaedah kajian kes dan kaedah pemerhatian atau tinjauan. Sementara pendekatan kuantitatif pula boleh dibahagikan kepada kaedah penilaian, kaedah eksperimen, kaedah ex post facto dan kaedah perangkaan atau korelasi. Di antara kaedah-kaedah penyelidikan psikologi di atas, pendekatan kualitatif dan kaedah klinikal adalah kaedah atau teknik yang lebih ditekankan dalam penyelidikan psikologi dan akan dibincangkan di sini berserta dengan contoh-contoh penyelidikan.

3.

PENDEKATAN KUALITATIF

1

Menurut John McLeod ( 1999 : m/s 74 ), penyelidikan kualitatif kerap didefinisikan sebagai kajian yang tidak melibatkan pengukuran atau teknik statistik. Sebagai contoh, Miles dan Huberman ( 1984 ) menghuraikan data kualitatif sebagai perkataan dan bukannya nombor, manakala Strauss dan Corbin ( 1990 ) memandang pendekatan kualitatif sebagai sebarang penyelidikan yang menghasilkan penemuan yang tidak melalui prosedur statistik atau cara pengkuantitian yang lain. Dr. Othman bin Lebar ( 1999 ) pula mengatakan penyelidikan kualitatif merujuk kepada suatu pendekatan penyelidikan yang memberi penekanan kepada deskriptif, induktif, ‘grounded theory’ dan kajian ke atas bagaimana manusia memberi makna kepada kehidupan mereka. Oleh itu, di antara beberapa teknik dan kaedah untuk menjalankan pendekatan kualitatif dalam penyelidikan psikologi ialah seperti kaedah deskriptif, kaedah ethnografi, kaedah kajian kes dan kaedah pemerhatian atau tinjauan.

3.1

KAEDAH DESKRIPTIF

Menurut Dr. Othman bin Lebar ( 1999 ), matlamat penyelidikan deskriptif ialah untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Contohnya, faktor-faktor yang menentukan keberkesanan program KPLI. Penyelidik akan menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Oleh kerana faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan program KPLI belum dikenalpasti, jadi kita cuba menerokai faktor-faktor tersebut dengan menggunakan kajian deskriptif. Tambahan lagi, penyelidik tidak terlebih dahulu menentukan faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa. Oleh itu kaedah ini tidak bermatlamat untuk menguji kebenaran sesuatu hipotesis. Slavin, R.E. ( 1997 : m/s 14-15 ) seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan seperti berikut. Katakan kamu berminat dalam mengkaji sikap pelajar anda terhadap membekalkan perkhidmatan kesihatan kepada pendatangpendatang baru ataupun sikap guru-guru sekolah anda terhadap pelbagai jenis kecacatan ataupun kaedah pengredan yang digunakan di sekolah anda. Tujuan kajian kamu adalah untuk menerangkan apa yang manusia buat atau bagaimana pelajar-pelajar berfikir

2

mengenai isu-isu tertentu di dalam kelas atau sekolah. Kaedah kajian sebegini dipanggil kaedah kajian deskriptif. Tambahan lagi, pada kebiasaannya, kamu mengukur pembolehubah tertentu ( sikap, kepercayaan, kaedah pengredan ) menerusi cara senarai semak, temuduga, penelitian sistematik ataupun gabungan dari cara-cara tersebut. Daripada keputusan tersebut, kamu boleh memilih untuk mewujudkan hipotesis tertentu mengenai hubungan antara pembolehubah bebas dan bersandar yang seterusnya boleh diuji dengan alat-alat kajian kuantitatif.

3.2

KAEDAH ETHNOGRAFI

Menurut Dr. Othman bin Lebar ( 1999 ), penyelidikan berbentuk kaedah ethnografi dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai kaedah pengumpulan data termasuk pemerhatian-penyertaan, pengumpulan dokumen, soal selidik, temubual dan teknik lain. Pada asasnya, kajian ethnografi berdasarkan andaian yang manusia membuat inferens melampaui apa yang boleh dilihat secara eksplisit atau pengucapan mereka. Kajian tertumpu kepada apa yang didengar dan dilihat kepada membuat interpretasi tentang apa sebenarnya dimaksudkan oleh individu atau kumpulan yang dikaji ( Neumen, 1991 ). Menurut Slavin, R.E. ( 1997 : m/s 15 ) pula, contoh penyelidikan sepanjang tahun yang telah dikendalikan di dalam situasi oleh seorang penyelidik di mana beliau berminat dalam apa yang guru efektif buat untuk memotivasi kelas yang terdiri daripada pelajarpelajar yang berlatarbelakang adat dan budaya yang berlainan untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam sekolah ( Dillon, 1989 ).

3.3

KAEDAH KAJIAN KES

Menurut Dr. Othman bin Lebar ( 1999 ), kaedah kajian kes merupakan satu pendekatan yang menggunakan pelbagai alat atau teknik untuk mengumpul data seperti temubual, pemerhatian dan analisis dokumen. Pendekatan ini juga memberi tumpuan kepada mengkaji fenomena semasa dalam konteks kehidupan yang sebenar seperti mana mengikut Denzin ( 1978 ), “ The case study is a naturalistic type of enquiry ”.

3

Slavin, R.E. ( 1997 : m/s 15 ) seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan. Contohnya, Tombari, Fitzpatrick, dan Childress ( 1985 ) telah programkan sebuah komputer untuk memberi ganjaran dalam bentuk permainan video dan menggunakannya sebagai sebahagian daripada pencelahan pengurusan kendiri untuk membantu kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam. Kamps et al. ( 1992 ) mengkaji apa yang dilakukan oleh seorang guru untuk mengajar seorang kanak-kanak autistik untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya. Trovato dan Bucher ( 1990 ) telah menerangkan bagaimana seorang rakan sebaya bertindak sebagai seorang guru mengajar kemahiran membaca kepada seorang rakan kelas tahun empat.

3.4

KAEDAH PEMERHATIAN

Menurut Tang Chee Yee ( 1993 ), terdapat dua jenis kaedah pemerhatian dalam penyelidikan psikologi iaitu kaedah pemerhatian naturalistik dan kaedah pemerhatian sistematik.

3.4.1

KAEDAH PEMERHATIAN NATURALISTIK

Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan ( 1990 : m/s 24 ) mengatakan bahawa dalam kaedah ini, penyelidik hanya memerhati tingkah laku subjek tanpa disedari oleh subjek. Pemerhatian dijalankan semasa subjek berada dalam keadaan semula jadi. Penyelidik tidak akan bergaul dengan subjek, oleh itu sukar untuk subjek menyedari bahawa beliau adalah objek yang dikaji. Dengan cara ini penyelidik akan mendapat maklumat yang betul dan tepat. Sebagai contoh, pemerhatian penyelidik Jan Goodall yang mengkaji cimpanzi di hutan Afrika ( Goodall, 1971 ). Tambahan lagi, Mohd. Salleh Lebar ( 1994 : m/s 8 ) pula memberi contoh seperti berikut. Dalam konteks psikologi pendidikan bilik darjah, pemerhati boleh menggunakan kaedah ini untuk melihat keberkesanan penggunaan alat pandang dengar dalam pengajaran bahasa Inggeris. Pendapat ini diperkukuhkan lagi dengan contoh yang dikemukakan oleh Mohmood Nazar Mohamed ( 1992 : m/s 14 ) seperti berikut: Sebagai contoh, sekumpulan penyelidik yang digelar ethologis sering melakukan kajian yang

4

mendalam tentang tingkah laku haiwan dalam keadaan semula jadinya. Walau bagaimanapun, kaedah ini mempunyai risiko yang tinggi kerana akan berlaku penerapan unsur-unsur subjektif penyelidik ke dalam kajian yang dilakukan. Ini seperti teori-teori yang menyendeng terhadap sesuatu kepercayaan dan interpretasi yang dibuatnya tentang apa yang dikaji. Dalam hal ini, penyelidik haruslah memperihalkan pemerhatiannya dalam bentuk objektif dan deskriptif.

3.4.2

KAEDAH PEMERHATIAN SISTEMATIK

Menurut Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan ( 1990 : m/s 24 ), dalam kaedah ini penyelidik berminat untuk mengkaji masalah-masalah tertentu. Contohnya, masalah yang timbul apabila penyelidik mengkaji pendapat umum dan faktor-faktor yang mempengaruhi pendapat tersebut. Contoh lain ialah, analisis tentang kesan pengiklanan terhadap pembelian para pengguna dan ramalan tentang kejayaan di institusi pengajian tinggi. Sebenarnya kaedah pemerhatian sistematik adalah kombinasi beberapa kaedah atau teknik seperti inventori, rekod, temuduga, soal selidik dan pengujian. Menurut Crow dan Crow ( 1980 : m/s 15 ), ahli psikologi atau guru yang sungguh terlatih dan berpengalaman boleh mendapat banyak maklumat dari pemerhatiannya tentang tingkah laku seorang pelajar. Laporan yang ditulis secara objektif mengenai pemerhatian seperti ini membantu dalam mencari punca kesulitan yang dihadapi oleh pelajar. Selain daripada itu, menurut Mohmood Nazar Mohamed ( 1992 : m/s 14 ), ada kajian penyelidikan yang sukar dilakukan dengan cara eksperimen ataupun pemerhatian. Oleh itu, kaedah tinjauan ( survey ) digunakan oleh para penyelidik bagi mengkaji perkara-perkara seperti pendapat orang ramai tentang masalah dadah di Malaysia, masalah mendapat kepuasan seks pasangan-pasangan yang telah berumahtangga dan lainlain. Lazimnya kaedah tinjauan menggunakan cara temuduga atau soal selidik. Satu contoh penggunaan kaedah ini ialah kajian yang dilakukan oleh Kinsey ( 1948, 1953 ). Beliau menyelidik tentang tingkah laku seks manusia yang sebelum ini tidak pernah dikaji melalui kaedah yang lain. Melalui data-data hasil daripada kaedah tinjauan, beliau berupaya memahami sifat dan kecenderungan manusia yang bersangkut-paut dengan

5

seks. Contoh penyelidikan yang lain ialah kajian yang dijalankan oleh Choong Lean Keow et al. ( Jurnal, m/s 43 ) tentang persepsi guru pelatih semester empat terhadap faktor-faktor tekanan semasa praktikum III juga menggunakan kaedah tinjauan.

4.

KAEDAH KLINIKAL

Kaedah klinikal merupakan kaedah atau teknik penyelidikan yang biasanya digunakan untuk mengkaji dan membuat hipotesis. Kajian banyak dilakukan di dalam makmal. Dalam kajian ini, pesakit atau sampel kajian diminta pergi ke bilik khas. Kaedah ini sangat popular di kalangan doktor perubatan, ahli-ahli psikiatris dan ahli-ahli kaunselor. Adakala kajian ini juga melibatkan kaedah eksperimen. Menurut Mohd. Salleh Lebar ( 1994 : m/s 9 ), kaedah klinikal lazimnya digunakan untuk mengkaji dan membuat hipotesis tingkah laku orang yang dikaji. Tingkah laku tersebut akan dikaji pula dengan menggunakan kaedah eksperimen. Tingkah laku yang dimaksudkan ialah seperti pesakit di wad, pelajar yang bermasalah, kanak-kanak hiperaktif dan sebagainya. Dalam kajian ini, subjek akan diminta pergi ke bilik yang dikhaskan untuk dikaji oleh pakar psikiatri atau kaunselor. Dalam pertemuan tersebut, pengkaji akan mengenal pasti masalah dan cuba mengatasinya. Setakat ini, pengetahuan kajian tentang motivasi atau teori-teori yang berkaitan dengan emosi dan personaliti dalam bidang psikologi adalah sumbangan daripada kaedah klinikal. Kelebihan kaedah ini ialah ia dapat mengumpul maklumat lengkap tentang tingkah laku dan boleh memberi idea-idea yang terbaru serta kajian ini juga dijalankan secara intensif. Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan ( 1990 : m/s 25 ) pula mengatakan, kaedah klinikal membolehkan penyelidik mengkaji asal usul pesakit yang biasanya

terdiri daripada pesakit otak, penagih dadah, kanak-kanak yang terlalu agresif dan pesakit di wad psikiatri. Pesakit dipisahkan daripada alam sekitar sehariannya yang natural dan dibawa ke suatu keadaan buatan seperti wad khas untuk didiagnos oleh seorang ahli psikiatri atau kaunselor. Contohnya dalam psikologi kaunseling, perkhidmatan kaunseling yang diberikan kepada mahasiswa yang bermasalah di universiti hingga menyebabkan pelajaran mereka merosot adalah menggunakan kaedah ini. Kaedah ini bertujuan mengenal pasti punca masalah dan memperbaiki prestasi pelajaran mereka.

6

Kaedah ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana kajian intensif dilakukan terhadap subjek. Salah seorang ahli psikologi kaunseling yang terkenal di negara kita yang juga telah menghasilkan rencana dan buku dalam aspek ini ialah Profesor Dr. Amir Awang dari Universiti Sains Malaysia. Namun begitu, menurut Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan lagi, kaedah ini mempunyai satu kelemahan kerana subjek di dalam keadaan buatan akan mengurangkan keberkesanan kaedah yang cuba menyesuaikan subjek dalam keadaan yang lazim. Sebagai contoh, seorang bekas penagih yang menjalani pemulihan di pusat pemulihan ( keadaan buatan ) dan akan menghadapi masalah mendampingi dan diterima oleh masyarakat umum ( keadaan lazim ). Tambahan pula, beliau mungkin menjadi sasaran pengedar dadah apabila berada di dalam persekitaran natural. Selain daripada itu, kaedah klinikal banyak diaplikasikan dalam penyelidikan psikologi klinikal. Menurut Mohmood Nazar Mohamed ( 1992 : m/s 12 ) , psikologi klinikal merawat sakit jiwa, kecelaruan mental serta tingkah-tingkah laku bilazim. Oleh itu, pakar-pakar psikologis klinikal lazimnya menjalankan penyelidikan dengan mendiagnosis serta merawat klien-klien mereka dengan menggunakan kaedah klinikal. Selain itu, mereka juga melakukan penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Contohnya mereka melakukan penilaian tingkah laku dan personaliti manusia melalui alat-alat penilaian tertentu seperti alat TAT ( Thematic Apperception Test ), Rorschach, Bender Gestalt, CPI dan lain-lain. Murray ialah ahli psikologi yang telah menyiapkan ujian projektifnya yang terkenal iaitu TAT. Selain daripada itu, Yusof Zaki ( 1986 ) menyatakan ahli psikologi telah menggunakan beberapa istilah untuk menerangkan tingkah laku penghidap bilazim. Antaranya penyakit jiwa ( neurosis ), penyakit akal ( psikosis ) dan penyakit saraf ( nervous diseases ). Di samping itu, ahli psikologi klinikal juga menggunakan berbagai-bagai ujian psikometrik untuk menolongnya memahami masalah yang dihadapi oleh kliennya. Contoh ujian psikometrik ini ialah ujian kecerdasan, ujian bakat, ujian personaliti, ujian penyesuaian, ujian minat dan sebagainya. Menurut Dr. Hasan Langgulung ( 1986 : m/s 294 ), ujian-ujian tersebut adalah hasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh ahliahli psikologi seperti ujian bakat muzik (Seachore, 1919), mekanikal ( Stanquist, 1923 ), jadual perkembangan kanak-kanak (Gessell, 1928), ujian kemampuan-kemampuan dasar

7

( Thurstone, 1938 ).Ujian-ujian seperti ini bersama dengan maklumat sejarah kes akan menolong ahli psikologi klinikal membuat diagnosis tentang sesuatu masalah. Daripada diagnosis, maka suatu tindakan yang sesuai dapat dicadangkan untuk menghadapi masalah tersebut. Sharifah Alwiah Alsagoff ( 1987 : m/s 8-9 ) pula menyatakan bahawa kaedah klinikal yang digunakan oleh ahli psikologi dalam penyelidikan sering digunakan juga untuk membuat hipotesis tentang tingkah laku yang kemudiannya akan dikaji dengan menggunakan kaedah eksperimen. Maka dengan itu, terdapat dua keistimewaan kaedah klinikal iaitu yang pertama ialah kaedah ini dapat mengumpulkan pengetahuan tentang tingkah laku dengan banyak; dan yang kedua ialah kaedah ini dapat memberikan ideaidea baru agar dapat diuji seterusnya dengan kaedah eksperimen yang lebih tepat dan tajam. Sharifah Alwiah Alsagoff seterusnya memberi contoh seperti berikut. Sebagai contoh, banyak daripada pengetahuan kita tentang personaliti, motivasi dan emosi berasal daripada penyelidikan yang menggunakan kaedah klinikal. Daripada pengalamannya merawat pesakit mental, Sigmund Freud ( 1856-1939 ) telah memajukan satu teori personaliti yang panjang lebar dan komprehensif. Teori personalitinya ini, antara lain telah menegaskan betapa pentingnya usia beberapa tahun setelah lahir untuk penyesuaian hidup kemudian serta kepentingan mimpi dan kepentingan konflik taksedar. Tambahan lagi, menurut Freud tahap bayi dan kanak-kanak adalah kritikal dalam pembentukan personaliti kanak-kanak. Setengah-setengah ahli psikologi lain telah menegaskan perkara-perkara yang sama juga; di samping memajukan idea-idea baru tentang perkembangan dan perjalanan personaliti.

5.

KESIMPULAN

Penyelidikan adalah satu proses mencari dan meningkatkan ilmu pengetahuan atau kebenaran yang boleh diterokai melalui kaedah pemikiran saintifik yang berdisiplin. Ilmu tidak akan berkembang tanpa kajian dan penyelidikan. Begitu juga dengan penyelidikan psikologi, di mana ahli psikologi boleh menggunakan satu pendekatan atau lebih di dalam sesuatu bidang kajian. Setiap daripada kaedah penyelidikan ini mempunyai keistimewaan dan kelemahannya sendiri. Kaedah yang dipilih untuk

8

menyelidiki sesuatu masalah ditentukan oleh keistimewaan kaedah tersebut dan juga oleh masalah itu sendiri. Maka, tidak semua daripada kaedah penyelidikan ini boleh dikatakan sebagai saling mengenepikan yang lain. Misalnya, data yang didapati melalui penggunaan satu atau lebih daripada pelbagai teknik tersebut mungkin perlu dianalisis secara kaedah perangkaan. Penemuan-penemuan serta kesimpulan yang diperolehi daripada sesuatu penyelidikan psikologi tidak semestinya muktamad kerana terdapat teori, kaedah dan kecenderungan kajian lampau yang telah berubah pada masa itu. Sebagai contoh, cara pengasuhan kanak-kanak yang disarankan oleh John B. Watson pada tahun 1930-an di Barat adalah cenderung kepada ketegasan tetapi cara pengasuhan sudah berubah sekarang. Justeru itu, kajian atau penyelidikan terpaksa dijalankan bagi mencari formula atau rumusan baru yang lebih sesuai dengan perubahan persekitaran berkenaan. Huraian ini membawa kita kepada kesimpulan bahawa kajian dan penyelidikan psikologi perlu dijalankan secara berterusan dengan penggunaan teknik atau kaedah yang dapat menghasilkan data yang objektif berserta dengan satu tujuan unggul iaitu untuk membaiki, menyesuaikan, meningkatkan kecemerlangan dan kesempurnaan amalan.

BIBLIOGRAFI

A.

BUKU

Crow dan Crow, (1980). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan, diterjemahkan oleh Habibah Elias, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasan Langgulung, (1986). Manusia dan Pendidikan, Jakarta : Penerbit Pustaka Al Husna. John McLeod, (1999). Melaksanakan Penyelidikan Kaunseling, diterjemahkan oleh Issham Ismail dan Wan Mahzom Ahmad Shah, Skudai : Universiti Teknologi Malaysia. Mohd. Salleh Lebar, (1994). Asas Psikologi Perkembangan, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

9

Mohmood Nazar Mohamed, (1992). Pengantar Psikologi Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Sharifah Alwiah Alsagoff, ( 1987). Psikologi Pendidikan 1, Petaling Jaya : Penerbit Longman Malaysia Sdn. Bhd., Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan, (1990). Pengantar Psikologi, Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Slavin, R.E. , (1997). Educational Psychology, Boston : Allyn & Bacon.

B.

JURNAL & BULETIN

Jurnal Penyelidikan (2000). Maktab Perguruan Ipoh Perak. Buletin Penyelidikan (2000). Januari-November, Bil. 1, Maktab Perguruan Perlis.

C.

ARTIKEL

Othman bin Lebar, (1999). Kertas Kerja Penyelidikan Kualitatif – Satu Pengenalan, Kuala Lumpur : Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia.

10

KAEDAH PENYELIDIKAN PSIKOLOGI
PENDEKATAN KUANTITATIF
• kaedah penilaian • kaedah eksperimen • kaedah ex post facto

PENDEKATAN KUALITATIF
• kaedah deskriptif • kaedah ethnografi • kaedah kajian kes • kaedah pemerhatian atau tinjauan

KAEDAH KLINIKAL

• kaedah perangkaan atau korelasi

JADUAL 1

11